MATA
Rasfal hanya memerhatikan tingkah laku Citra yang tetap mengukir senyuman
walaupun di sebalik anak mata itu tersimpan kedukaan.
“Abang nak lauk apa?” soal Citra pada
Raqeeb yang duduk di hadapannya. Dia tersenyum manis.
“Bagi abang ayam masak lemak tulah,”
jawab Raqeeb sambil menunjukkan ayam masak lemak cili api pada Citra.
Citra tersenyum lalu bangun dan
meletakkan seketul ayam ke dalam pinggan Raqeeb. Dia mengambil air lalu
dituangkan ke dalam gelas Raqeeb.
“Terima kasih, Citra. Baik betul menantu
mama ni,” ujar Raqeeb sambil memandang wajah Datin Rohana yang tersenyum lebar.
“Tengoklah menantu siapa. Qeeb pun kena
cari calon isteri macam Citra. Pandai masak, pandai mengemas, pandai layan
budak-budak. Senang hidup Qeeb nanti,” balas Datin Rohana membuatkan Raqeeb
tersenyum.
Rasfal mencebik. Naik meluat dia
mendengar kata-kata Raqeeb. Dia mengerling ke arah Citra yang berada di
sisinya. Gadis itu sudah menyuapkan nasi ke mulut sedangkan pinggannya hanya
terisi nasi kosong. Rasfal memberontak dalam hati. Kalau Raqeeb bukan main lagi
dia layan. Aku ni? Buat macam tak nampak pulak. Sakit betul hati aku. Bisik
hati Rasfal.
Lalu dia mengambil ikan goreng dengan
sendirinya. Berdentum-dentam sudu berlaga dengan mangkuk bagi menunjukkan
protesnya.
“Sikitnya abang ngah makan. Tambahlah
lagi,” sampuk Rania sambil menunjukkan lauk pada Rasfal.
Rasfal menggelengkan kepala pada Rania.
“Abang ngah tak ada selera. Rania
makanlah.” Ujar Rasfal pada adik perempuannya itu.
“Papa suka sangat bila kita semua dapat
berkumpul macam ni. Walaupun sibuk jangan lupa keluarga tambah-tambah lagi kita
dah dapat ahli keluarga baru ni. Mana tahu ada rezeki Imran dapat kawan pulak
kan,” sampuk Datuk Rahim sambil tersenyum simpul.
Dahi Rasfal berkerut. Imran dapat kawan
baru?
“Mama dan papa nak ambil anak angkat
ke?” soal Rasfal sambil meneguk air masak.
“Buat apa nak ambil anak angkat, kalau
kamu boleh bagi mama dan papa cucu,” jawab Datuk Rahim selamba.
Serentak, air yang hampir ditelan
tersembur keluar daripada mulut Rasfal. Nasib baik dia sempat menutup mulut
kalau tidak pasti sudah tersembur ke muka Rania.
“Cucu? Awal sangat kut mama, papa…” ujar
Rasfal sambil memandang ke sisi. Kelihatan wajah Citra sudah berubah rona.
“Apa salahnya? Orang kalau dah kahwin
mesti nak ada anak kan? Papa pun nak cucu jugak,”
“Tapi Imran kan dah ada. Tunggulah Imran
besar dulu,” jawab Rasfal. Dahinya sudah berpeluh apabila menyebut soal anak.
Nak ada anak macam mana kalau perkahwinan ini juga sementara?
“Imran anak papa bukan cucu papa. Papa
nak cucu,” balas Datuk Rahim bersahaja.
“Mama pun.”
“Rania pun nak anak saudara. Seronok
tengok kawan-kawan ada anak saudara. Tapi Rania nak anak saudara perempuan,”
sampuk Rania.
Hanya Raqeeb sahaja yang mendiamkan
diri. Dia tidak berani menyampuk, bimbang Rasfal akan mengamuk seperti petang
tadi. Cukuplah lelaki itu tidak mengendahkannya daripada adiknya itu
memarahinya.
“Rania ingat anak ni boleh tempah-tempah
nak lelaki ke perempuan. Abang ngah sibuk tak sempat nak jaga anak,” balas
Rasfal akhirnya. Naik pening kepalanya mendengar permintaan daripada
keluarganya.
“Yang kamu nak susah kenapa? Bukan kamu
yang mengandung. Kalau kamu sibuk, mama boleh jagakan Citra dengan cucu mama
nanti,” sampuk Datin Rohana menambahkan pening Rasfal.
Rasfal menggarukan kepalanya yang tidak
gatal. Entah bagaimana lagi ingin dinyatakan pada keluarganya bahawa harapan
untuk mempunyai cucu itu hanyalah tinggal harapan. Takkan mungkin dia mempunyai
anak dengan Citra. Tak mungkin sama sekali!
“Mama, jauh lagi nak fikir tentang tu.
Ras dengan Citra tak rancang pun lagi,” balas Rasfal.
“Kahwin pun tak rancang takkan anak kamu
nak merancang jugak,” asak Datin Rohana.
Rasfal terasa ingin pitam dengan asakan
demi asakan daripada Datin Rohana. Dia kelu untuk membalas sedangkan Citra
hanya mendiamkan diri.
“Nampaknya Citra diam je. Maknanya Citra
setujulah kan?” soal Datuk Rahim mengalihkan soalannya pada Citra.
“Hah?” Citra terkejut.
“Citra setujukan nak bagi kami cucu
dengan cepat?” soal Datuk Rahim sekali lagi.
Cucu? Citra mula gelabah. Dia memandang
Rasfal. Apa yang perlu aku jawab? Soal hatinya.
“Errr…Citra…Citra…”
suara Citra tersekat-sekat.
“Citra malu, papa.” Usik Raqeeb sambil
merenung wajah Citra yang sudah merona merah.
Rasfal memandang Raqeeb. Satu jelingan
dihadiahkan pada abangnya itu.
“Malu buat apa? Lumrahlah orang kahwin
fikir pasal anak sebab anak ini rezeki dan amanah. Anak juga yang akan menjadi
aset untuk kita di akhirat nanti. Dalam hadis Rasulullah pun ada menyebut,
apabila anak Adam meninggal dunia, terputuslah amalan mereka melainkan tiga
perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang diamalkan dan doa anak yang soleh.”
ujar Datuk Rahim mengingatkan anak-anaknya.
Rasfal terdiam mendengar hujah Datuk
Rahim. Tetapi keadaan dia sekarang tidak sama seperti yang difikirkan oleh
keluarganya. Dia masih belum mengenali Citra dengan sepenuhnya jadi mampukah
gadis itu menjadi ibu kepada bakal anak-anaknya kelak? Soal hati Rasfal sebelum
dia memandang pada Citra yang berada di sisinya. Tak mungkin dia jadi isteri
aku selamanya kerana hatinya milik lelaki lain!
Citra tertunduk. Kata-kata Datuk Rahim
mengingatkan dia pada arwah ayahnya yang sudah bertahun-tahun meninggalkannya.
Sebak menghurung dada apabila dia tidak dapat menunaikan impian Datuk Rahim dan
Datin Rohana. Satu persatu wajah yang berada di hadapannya dipandang.
‘Maafkan Citra, papa, mama. Bukan Citra
tak mampu untuk berikan apa yang mama dan papa harapkan tapi Citra tak layak
untuk kandung zuriat lelaki sehebat Rasfal. Dia bukan untuk Citra dan Citra
bukan untuk dia. Apa yang berlaku adalah sementara. Perkenalan kita juga
sementara. Satu hari nanti, Citra akan pergi juga tinggalkan mama dan papa
walaupun Citra akui yang Citra sudah jatuh sayang pada papa dan mama.’ Desis
hati Citra. Dadanya sebak namun dia tetap tersenyum.
“Citra tak mampu nak bagi jaminan sebab
Citra…” Citra bersuara. Dia menundukkan wajah.
“Citra apa?” soal Datin Rohana. Semua
mata tertumpu pada Citra. Rasfal juga ingin mendengar jawapan daripada Citra.
Janganlah gadis ini memberi harapan pada keluarganya.
“Citra malu…” ujar Citra lalu bangun dan
menuju ke dapur.
Serentak, satu meja ketawakan Citra.
Rasfal tersenyum. Dia menarik nafas lega. Mungkin cara itu dapat mengelakkan
dia daripada terus diasak dengan soalan yang tiada jawapan.
MATA
Citra terpaku pada dada langit yang gelap. Kelihatan bintang-bintang
mengelilingi bulan purnama yang kelihatan cantik seperti lampu suluh melekat di
dada langit. Hembusan angin malam menyegarkan dirinya mengusir segala rasa
hatinya yang galau.
“Citra setujukan nak bagi kami cucu dengan
cepat?”
Persoalan daripada Datuk Rahim itu
membuatkan Citra terfikir. Berapa lama pembohongan ini mampu bertahan? Dia
sudah penat dengan pembohongan demi pembohongan yang diciptakan oleh Rasfal.
Dia kasihan melihat wajah Datuk Rahim dan Datin Rohana yang mengharap cucu yang
entah bila akan muncul dan dia pasti cucu yang diharapkan itu tidak akan
muncul.
Perkahwinan yang dijadikan satu
pekerjaan bagi Citra ini hanya bertahan untuk jangka masa setahun tetapi
selepas setahun apa yang akan jadi? Benak hatinya bertanya. Dapatkah dia
menyambung kembali hubungannya bersama dengan Qammar? Ataupun dia akan terus
hidup dibenci oleh Datin Rohana dan Datuk Rahim kerana pembohongan yang
diciptakannya.
“Masa tak boleh diundurkan begitu juga
dengan apa yang berlaku pada aku. Aku tak boleh berpatah balik selagi kontrak
tak tamat. Ya Allah, ampunkan aku. Jika ini yang terbaik untuk aku, bantulah
aku untuk menghadapi cubaan ini,” doa Citra perlahan. Dia meraup wajahnya ke
belakang. Rambutnya yang terbang ditiup angin diselitkan di celah telinga.
“Termenung jauh nampak…” tegur satu
suara mengejutkan Citra. Dia berpaling.
“Bos? Alamak!” Dia teringatkan sesuatu.
Dia sudah memutuskan untuk menjaga batas dan auratnya apabila bersama dengan
Rasfal. Jika dia adalah isteri sementara jadi dia tidak mahu mempertontonkan
auratnya pada Rasfal. Biarlah auratnya hanya untuk suaminya saja.
Lalu dengan pantas Citra mencari
selendang ataupun tudung yang dapat menutupi rambutnya daripada dilihat oleh
Rasfal. Dia mencari di penyidai. Tiada. Lalu dengan selamba, dia mengambil
tuala mandi lalu dililitkan di kepalanya. Rambut yang terjuntai keluar
diselitkan di celah tuala.
“Kau buat apa ni?” soal Rasfal pelik.
Pelik betul melihat Citra yang kelam-kabut menutup kepalanya.
“Bos nak apa masuk bilik ni? Saya tahu
ni bilik bos tapi buat sementara ni mama bagi saya guna bilik ni jadi bos tak
boleh sesuka hati je nak masuk,” bebel Citra tanpa menjawab soalan Rasfal. Dia
menapak ke belakang menjauhi Rasfal yang kelihatan ingin mendekat.
“Bos berdiri je dekat situ. Kalau nak
cakap apa-apa cakap saja dari tempat tu. Saya boleh dengar,” sambung Citra
menghentikan langkah Rasfal. Makin berkerut wajah Rasfal dengan kerenah Citra.
“Apa yang kau merepek ni, Citra? Sejak
bila pula kau pandai pakai tudung depan aku ni? Bukan ada lelaki lain pun,”
ujar Rasfal geram.
“Memandangkan perkahwinan kita sementara
jadi saya dah putuskan akan jaga batas-batas saya dengan bos. Lagipun saya cuma
pekerja bos je kan maknanya saya kena jaga batas pergaulan saya dengan bos,”
jawab Citra bersahaja.
Rasfal menggelengkan kepala. Makin
pening dengan sikap Citra. Geram pun ada juga.
“Macam budak-budak. Walaupun perkahwinan
ni sementara tapi kau tu sah jadi isteri aku. Tak payah nak mengada-ngada nak
tutup rambut bagai. Tanggalkan tuala tu!” arah Rasfal sambil matanya melotot
memandang wajah Citra yang kelihatan selamba.
“Tak nak!” tegas Citra pantas.
Rasfal mendengus.
“Aku cakap tanggalkan cepat!”
“Tak naklah!” bangkang Citra sambil
memegang kemas tuala yang menutupi rambutnya.
“Kau ni degil betul. Jangan sampai aku
tanggalkan pakaian kau sekali. Jangan cabar aku!” ujar Rasfal mengugut.
Citra terdiam. Dia menelan air liur.
Tidak dapat dibayangkan jika lelaki itu melakukan apa yang dikatakan. Pantas,
dia menggelengkan kepala.
“Bos tak ada hak nak paksa saya!” tegas
Citra.
“Aku masih berhak. Aku bos kau!” jawab
Rasfal.
Citra mencebik. Dia masih enggan
mengikuti arahan Rasfal.
Manakala Rasfal sambil bengang dengan
sikap protes yang ditunjukkan oleh Citra lalu dia mendekati Citra.
“Kau ni memang nak kena dengan aku,”
bebel Rasfal lalu cuba menarik tuala yang berada di kepala Citra namun dengan
pantas Citra mengelak. Dia berlari ke dalam bilik air.
Rasfal merengus. Langkahnya dihayunkan
untuk mengejar Citra. Pintu bilik air yang hampir ditutup ditolak dengan
tangannya.
“Tepilah! Jangan kacau saya!” marah
Citra sambil cuba menutup daun pintu.
“Aku takkan puas selagi kau tak ikut
cakap aku!” balas Rasfal.
Lalu dengan sekali rempuhan pintu itu
terbuka luas. Citra terdorong ke belakang sebelum belakangnya terhentak di
dinding. Tualanya lepas entah ke mana.
“Aduhhh! Sakitlah!” marah Citra sambil
menggosok belakang badannya yang terasa sakit.
Rasfal terkejut lalu mendapatkan Citra.
Dia berdiri di hadapan isterinya itu.
“Sorry,
aku tak sengaja.” Ujarnya.
“Tak sengaja? Bos memang suka tengok
saya sakit kan?” marah Citra dengan wajah yang berkerut menahan kesakitan.
Rasfal rasa bersalah lalu dengan selamba
tubuh Citra ditarik ke dalam pelukan. Belakang tubuh gadis itu digosok
perlahan-lahan.
“Maafkan aku, okey?” bisik Rasfal rapat
di telinga Citra.
Berderau darah Citra mendengar bisikan
itu. Sepantas kilat dia menolak tubuh Rasfal supaya menjauhinya. Dia tidak
betah berdua-duaan dengan Rasfal dalam bilik air yang kecil dan sempit ni.
Tiada jalan untuk dia melarikan diri kerana tubuh Rasfal menghalangi jalannya.
“Bos nak apa ni? Cepatlah cakap, saya
nak keluar,” ujar Citra.
“Aku nak bincang dengan kau. Aku tak nak
kau panggil aku bos. Aku tak suka,” Rasfal berterus-terang.
“Dah kenyataan, bos memang bos saya.
Saya harus terima hakikat barulah antara kita ada jarak,” jawab Citra selamba.
Rasfal mengeluh.
“Aku tahu kau marahkan aku pasal tadi.
Aku mintak maaf. Fikiran aku tengah kusut waktu itu jadi aku tak maksudkan apa
yang aku katakan.” Ujar Rasfal.
“Tapi apa yang bos cakap itu ada
benarnya juga. Saya kena berpijak pada bumi yang nyata dan sedar diri. Bos dah
tolong saya tapi saya berlagak nak campur tangan dalam urusan bos. Betul-betul
tak tahu malu kan saya ni?” balas Citra tersenyum sinis.
“Bukan itu maksud aku Citra kau dah
salah faham. Aku nak kau terima aku sebagai kawan…”
“Kawan? Tak. Saya tak layak untuk
berkawan dengan Ras Haqeemi. Taraf saya tak setanding tu jadi biarlah saya jadi
pekerja bos je. Cuma tinggal beberapa hari je lagi untuk kita berlakon dalam
rumah ni kan, selebihnya nanti bolehlah saya dengan hal saya dan bos dengan hal
bos. Saya takkan ganggu. Saya boleh jamin,” ucap Citra masih lagi tekad dengan
keputusannya.
“Susah betul aku nak bercakap dengan
orang yang degil macam kau ni. Kalau itu yang kau nak, baiklah. Mulai sekarang
jangan masuk campur urusan aku kecuali urusan kerja!” tingkah Rasfal geram.
“Okey. Bos pun jangan masuk campur dalam
urusan saya!” balas Citra.
Rasfal mendengus. Dia berlalu
meninggalkan Citra dengan rasa yang bengang.
“DENGAN
aku asyik nak membantah, kalau dengan Qammar, dengan Raqeeb, bukan main lagi
lemah lembut. Sakit betul hati aku,” bebel Rasfal sambil kakinya dihayunkan
untuk menuruni tangga.
Sewaktu sampai di tingkat bawah, Rasfal
melihat Rania sedang terhendap-hendap di depan tingkap. Pantas, Rasfal
melangkah ke arah Rania. Dia berdiri di belakang Rania sambil mengintai apa
yang diintai oleh adik perempuannya itu.
Rania menggarukan kepala. Sewaktu dia
pulang dari membeli-belah, dia terasa seperti diekori sampailah dia masuk ke
perkarangan rumah. Tetapi apabila dia memandang ke luar, tiada sesiapa pun yang
melintasi rumahnya itu.
“Siapa agaknya?” soal Rania sendirian
sambil memusingkan badannya.
“Arghhhhh!!!”
jerit Rania apabila terpandangkan susuk tubuh Rasfal berdiri di hadapannya.
“Hoi, Rania. Ini Abang Ngahlah, yang kau
menjerit macam nampak hantu ni kenapa? Dah tu terintai-intai kat luar tu,
kenapa?” soal Rasfal sambil memegang bahu adiknya itu.
Rania mengurut dadanya. Satu jelingan
dihadiahkan buat Rasfal.
“Abang ngah ni buat terkejutkan Rania je
tau. Rania rasa macam ada orang ikut Rania jelah masa Rania balik hantar
kawan-kawan Rania…” ujar Rania.
Dia melabuhkan punggung di atas sofa.
Rasfal turut mengikuti langkah Rania.
“Perasaan Rania je kut? Abang ngah
tengok tak ada apa-apa pun kat luar tu. Aman je,” ujar Rasfal sambil merenung
wajah Rania yang kelihatan pucat.
Rania mengangkat bahu. Mungkin betul
juga kata-kata Rasfal. Hanya khayalannya saja.
“Entahlah, abang. Mungkin juga. Rania
kan suka sangat tengok cerita CSI jadi terikut-ikut,” balas Ranias sambil
tersengih.
Rasfal ketawa kecil. Dengan selamba dia
memeluk kepala Rania sebelum pipi adiknya itu dicubit geram.
“Lain kali jangan tengok cerita sampai
terbawak-bawak ke dunia realiti. Nanti, abang juga yang susah. Tadi Rania pergi
mana?” soal Rasfal sambil melepaskan Rania yang sudah menjerit kecil.
“Pergi jemput kawan-kawan Rania untuk ke
majlis abang ngahlah. Dia orang semua frust
abang dah kahwin. Sampai ada yang sanggup mogok makan tau kecewa punya pasal,”
cerita Rania.
Rasfal ketawa lepas. Mendengar cerita
daripada Rania begitu menghiburkan hatinya yang kepanasan. Melihat wajah adik
perempuan bongsunya ini sudah cukup untuk mengubati rasa barannya tadi.
“Nak buat macam mana, Rania. Jodoh abang
ngah sampai dulu. Kawan Rania tu pun satu, kenapalah tak nak pinang abang
sebelum abang kahwin?” gurau Rasfal dengan tawa yang masih bersisa.
Rania turut ketawa.
“Abang bukannya pandang kawan-kawan
Rania. Tahulah kawan-kawan Rania tak secantik Kak Citra tapi dia orang tu
peminat nombor satu abang tau. Masa gosip abang gay tu kecoh dekat Facebook
dan Twitter, kawan-kawan Rania bukan
main lagi back up abang sampai Rania
ini tak lena tidur tau. Asyik je kena kacau,” balas Rania lagi.
Rasfal tersenyum. Dia tahu gosip dan
kontroversi yang melanda dirinya sedikit sebanyak telah menganggu ketenteraman
hidup Rania yang masih bergelar pelajar. Pernah adiknya itu demam seminggu
kerana tekanan kerana selalu saja diasak dengan soalan demi soalan tentang
dirinya malah ada wartawan yang sanggup ke mencari adiknya sampai ke universiti
semata-mata untuk mendapatkan penjelasan.
“Abang ngah mintak maaf sebab gosip tu
pelajaran Rania terganggu. Abang ngah tak sangka ada orang yang sanggup fitnah
abang ngah sampai macam ni sekali. Sekarang semuanya sudah jelas, abang janji
takkan ada orang yang akan ganggu adik abang ni lagi,” ucap Rasfal sambil
mengelus rambut Rania yang lurus.
Rania tersenyum manis. Lalu melentokkan
kepalanya di bahu Rasfal. Tangannya lincah bermain dengan I Pad yang
dihadiahkan oleh Rasfal sempena hari ulang tahunnya.
“Rania tak marahkan abang ngah pun. Cuma
kadang-kadang Rania rasa manusia ni keterlaluan, cerita tak betul pun
dibetulkan. Abang ngah punyalah macho
dan maskulin macam ni dia orang cakap abang ngah gay? Ish, tak patut…” balas Rania sambil menggelengkan kepalanya
beberapa kali.
“Nak buat macam mana Rania, inilah nasib
lelaki kacak macam abang ngah…” gurau Rasfal dengan tawa yang meledak apabila
dia melihat wajah Rania yang berubah.
“Wekkkk,
nak muntah! Macam manalah Kak Citra boleh tahan dengan perangai abang ngah ni.
Kuat sangat perasan!” balas Rania.
Rasfal hanya ketawa. Hidung adiknya yang
mancung ditarik dengan selamba.
“Rania tengok apa tu?” soal Rasfal
mengubah topik perbualannya.
Rania menunjukkan I Pad yang dipegangnya
pada Rasfal.
“Gambar kawan-kawan Rania. Abang ngah
nak tengok?” soal Rania sambil menunjukkan I Pad itu pada Rasfal.
Rasfal hanya melayani kerenah Rania. Dia
hanya memandang pada wajah-wajah yang ditunjukkan oleh Rania. Rata-rata
kawan-kawan Rania ramai yang lelaki jika dibandingkan dengan perempuan namun
ada satu gambar yang diambil di kedai makan menarik minat Rasfal.
“Rania, abang nak tengok gambar tadi
tu…” pinta Rasfal membuatkan Rania menghentikan perbuatannya. Dia menghulurkan
I Pad tersebut pada Rasfal.
“Restoran ni dekat mana?” soal Rasfal
sambil merenung wajah Rania.
Rania memandang gambar dan Rasfal silih
berganti.
“Ini dekat depan sana tu. Keluar dari
kawasan rumah kita ni kan ada satu restoran. Abang ngah tak perasan ke?” soal
Rania.
Rasfal hanya menggelengkan kepala. Bukan
restoran itu yang menjadi persoalannya tetapi figura seseorang yang duduk di
belakang Rania menarik minatnya.
“Rania kenal ke perempuan dalam gambar
ni?” soal Rasfal lagi sambil menunjukkan gambar seorang gadis yang berada di
belakang adiknya itu.
“Mana, abang ngah?” soal Rania dengan
dahi yang berkerut.
“Ini…” tunjuk Rasfal sambil membesarkan
lagi imej gambar tersebut.
“Entah. Mungkin pelanggan restoran itu
kut,” balas Rania sambil menjongketkan bahu.
Rasfal terdiam. Namun dalam hatinya
dapat rasakan sesuatu yang tidak kena apabila wajah gadis itu ada hampir setiap
gambar yang diambil oleh Rania. Mungkinkah kebetulan? Soal hati Rasfal. Tetapi
wajah gadis itu kelihatan seperti pernah dilihat tapi dia terlupa di mana.
Mungkin pelanduk dua serupa. Detik hatinya lalu mengusir segala kegusaran yang
melanda hatinya.
No comments:
Post a Comment