TEPAT
pukul dua pagi, Rasfal terjaga dengan sendirinya. Dia menoleh ke kanan dan ke
kiri, dia dapat rasakan kelainan, hatinya seperti risau akan sesuatu. Lalu,
fikirannya teringatkan Citra yang tidur di bilik sebelah. Kemudian, Rasfal
menyelak selimut dan menghayunkan langkah menuju ke bilik Citra.
Pintu bilik itu dipulas perlahan-lahan
sebelum dia melangkah masuk. Kelihatan Citra sedang tidur tanpa memakai apa-apa
selimut yang dapat melindungi tubuh genit itu daripada kesejukan. Rasfal mengeluh,
kenapalah Citra ini selalu memandang remeh soal kesihatan diri sendiri? Tanpa
menunggu lama, Rasfal duduk di birai katil dan menyelimuti tubuh Citra
menggunakan selimut tebal. Dia dapat melihat tubuh Citra seakan menggigil.
Mungkin kesejukan. Fikir Rasfal.
Kemudian, dia melekapkan tapak tangannya
di dahi Citra. Mak aii, panasnya. Desis hati Rasfal lalu dia menggigit kuku.
Apa aku nak buat ni? Demam Citra masih belum kebah sepenuhnya lagi.
“Ibu…ibu…ibu…” kedengaran rengekan yang
terbit daripada celah bibir Citra yang pucat membuatkan Rasfal tersentak. Lama
dia memandang wajah Citra yang sedang memejamkan mata. Mengigau rupanya. Detik
hati Rasfal. Dia menarik nafas lega. Kemudian dia mengelus rambut Citra,
baharulah gadis itu terdiam.
“Rindu betul kau dekat ibu. Tapi apa
yang aku boleh buat? Ibu takkan kembali walaupun kau menangis air mata darah
sekali pun…” desis Rasfal perlahan sambil matanya tidak lepas memandang wajah
Citra yang tidur nyenyak.
Rasfal akui dalam hati, Citra mempunyai
wajah yang cukup ayu. Tidak terlalu cantik dan tidaklah seburuk mana tetapi
wajah itu kelihatan manis apabila tersenyum. Setiap kali gadis itu tersipu
malu, terserlah keayuan di wajah yang penuh keibuan itu. Inilah baru kali
pertama Rasfal memberanikan diri untuk merenung wajah Citra dengan lama.
Daripada kening gadis itu yang lebat, pandangan Rasfal jatuh pada mata Citra
yang terpejam rapat. Mata itu cantik jika dia tersenyum ataupun ketawa. Tetapi
apabila anak mata itu mengeluarkan mutiara jernih, Rasfal dapat rasakan hatinya
terasa sakit dengan sendirinya.
Rasfal terus ralit merenung wajah Citra,
kali ini hidung gadis itu pula yang menjadi santapan matanya. Hidung yang kecil
dan comel itu amat sesuai dengan seulas bibir milik Citra yang terbentuk cantik
seperti ulas limau. Ada belahan di tengah bibir yang mungil itu. Memang cantik.
Akui Rasfal dalam hati. Dia menelan air liur apabila matanya tidak mahu beralih
daripada merenung bibir mungil itu. Namun, sepantas kilat dia menyedarkan
dirinya. Rasfal meraup wajahnya beberapa kali.
“Ya Allah, apa yang aku fikirkan ni?”
soal dirinya sendirian.
“Sepatutnya aku jaga batas pergaulan
antara aku dengan dia. Aku kena professional. Dia pekerja dan aku majikan,
takkan lebih daripada itu. Come on,
Ras Haqeemi. Lupakan pasal perempuan. Lupakan dia ini adalah isteri kau yang
sah. Dia hanya isteri sementara kau saja. Bila kontrak dah tamat, dia bukan
lagi isteri kau. Kau tak payah layan dia baik sangat, cukuplah layanan seorang
majikan pada pekerjanya saja…” hati kecil Rasfal mengingatkan.
Rasfal terangguk-angguk mengiyakan
kata-kata hatinya. Lalu, Rasfal bangun dan meninggalkan bilik Citra setelah
memastikan gadis itu dapat tidur dengan selesa.
BUNYI
deringan telefon mengejutkan Rasfal yang sedang nyenyak tidur. Dengan mata yang
masih terpejam rapat, dia mencapai I Phone 5 miliknya lalu dia menjawab
panggilan yang entah daripada siapa.
“Hello…” suara Rasfal kedengaran malas.
Kepalanya masih lekat di atas bantal.
“Hello, bro. Tidur lagi ke? Kau sempat tengok jam tak?” suara garau di
hujung talian memang tidak asing lagi di telinga Rasfal.
“Hmmm….kenapa
dengan jam?” soal Rasfal masih dalam mood mamai.
“Kau tanya aku kenapa dengan jam? Kau
tahu tak sekarang ni dah pukul sepuluh pagi! Pukul sebelas nanti kau ada photoshoot untuk majalah hiburan, kau
dah lupa ke? Baru semalam aku ingatkan kau. Takkan baru dapat bini, semua kerja
kau lupa kut…” bebel Atif lagi kedengaran bingit di telinga Rasfal.
Mata Rasfal membulat. Photoshoot? Alamak, aku lupalah!
Pantas, Rasfal memandang jam loceng di
atas meja sisi. Betul kata Atif, jam sudah menunjukkan hampir ke pukul 10.30,
bermakna dia hanya ada setengah jam untuk bersiap. Ya Allah, macam mana aku
boleh bangun lambat ni! keluh hati Rasfal.
“Sorry,
Atif. Aku tidur lambat semalam. Biasalah, kalau dah biasa tak tidur malam
tup-tup kena paksa tidur malam, jadi lambatlah aku boleh tidur. Aku tak sangka
boleh terbabas macam ni. Okey, kau bagi aku lima belas minit, aku bersiap. Aku
jumpa kau kat set lokasi,” balas Rasfal lalu mematikan talian sebelum sempat
Atif membalas.
Dia menyelak selimut dan bergegas ke
bilik mandi. Inilah pertama kali dia terlewat untuk ke set lokasi,
kebiasaannya, dialah artis yang selalu tepat pada waktu dan boleh dikatakan
seorang artis yang berdisiplin tinggi. Tapi hari ini, semuanya hancur lebur.
Setelah siap mandi dan bersiap ala
kadar, Rasfal pantas mencapai kunci kereta dan terus memulas tombol pintu.
Sebaik saja pintu ditarik terjengul wajah Citra di hadapannya membuatkan Rasfal
tersentak.
“Makkk!! Yang kau berdiri depan pintu
bilik aku ni kenapa? Nak terkejutkan aku ke? Sorrylah aku dah lambat ni…” ujar Rasfal lalu merempuh tubuh Citra
yang masih tercegat berdiri.
Citra tidak sempat berkata apa-apa
apabila Rasfal dengan pantas berlari-lari anak menuju ke luar rumah. Hanya
pandangan yang dapat Citra hadiahkan pada Rasfal yang sudah hilang di sebalik
pintu utama.
“Bos, saya lapar….” Ucap Citra perlahan
tapi suara itu tidak sampai ke telinga Rasfal.
Citra mengeluh hampa. Dia menggosok
perutnya yang sudah berkeroncong. Apa yang boleh dia jadikan bahan makanan
sedangkan satu barang-barang mentah pun tiada di dalam peti ais. Namun, tidak
dapat tidak. Citra menghayunkan langkah menuju ke dapur. Sekali lagi peti ais
dibuka, hanya ada sekotak susu segar dan roti potong yang sudah tamat tarikh
luputnya ditinggalkan di dalam peti ais. Apa yang dia nak makan? Keluh hati
Citra.
Citra menopang dagu di atas meja.
Bibirnya diketuk menggunakan jari telunjuk. Dia perlu memikirkan sesuatu.
“Hah, agak-agak kalau aku beli barang
dapur, dia marah tak?” soal Citra sendirian.
“Takkanlah dia nak marah. Aku lapar,
kalau aku tak makan ikut masa, nanti dia jugak yang marah. Tak boleh ke kalau
sehari kau tak menyusahkan aku?” ejek Citra sambil meniru gaya Rasfal membebel.
Dia mencebik benci apabila teringatkan
perangai Rasfal semalam. Memang cukup menyakitkan hati. Masih terasa sakit
pinggangnya dipeluk oleh lelaki itu semalam gara-gara dia tidak mahu makan nasi
goreng. Memang Rasfal buang tebiat. Sudahlah bercakap dengan bahasa yang kasar,
perbuatannya juga makin kasar dari hari ke hari. Kalau aku tahu ini perangai
dia sebenar, mati hidup balik pun aku takkan setuju jadi isteri sementara dia.
Dasar mamat tak cukup matang! Maki
Citra dalam hati bagi meluahkan rasa tidak puas hatinya.
“Apa aku nak buat ni?” soal Citra
sendirian. Lantas, dia mengambil keputusan untuk keluar membeli makanan atau
apa saja yang boleh dijadikan bahan untuk makan. Perutnya sudah tidak
henti-henti berkeroncong.
Selepas bersiap ala kadar, Citra keluar
tanpa meminta keizinan daripada Rasfal terlebih dahulu. Dia berharap agar dia
dapat pulang terlebih dahulu daripada Rasfal, barulah tidak akan menimbulkan
kekecohan nanti.
ATIF
memandang pelik pada Rasfal yang sedang sibuk bergaya di hadapa kamera.
Walaupun bibir lelaki itu mengukir senyuman tetapi jelas terpamer riak
keresahan di wajah Rasfal. Sesekali lelaki itu akan mengerling jam di tangan,
kadang-kadang fokus Rasfal seakan lari ke tempat lain. Agaknya apa yang berada
di dalam fikiran lelaki itu?
“Atif!” laung Rasfal sambil berlari-lari
anak mendapatkan Atif yang berdiri di bawah pokok. Di tangan lelaki itu
terdapat dua plastik beg.
Atif hanya mengangkat tangan dan
tersenyum. Dia menunggu Rasfal untuk menyapanya.
“Kau dah beli apa yang aku pesan?” soal
Rasfal dengan termengah-mengah.
“Kau dah habis photoshoot ke?” soalan dibalas soalan.
“Aku break
sekejap. Panaslah pulak. Ada tak barang yang aku pesan?” Rasfal mengulangi
pertanyaannya lagi.
“Ada, ni hah. Kau nak buat apa dengan
baju kurung dan tudung ni? Kau nak bagi pada mama kau ke?” soal Atif dengan
pelik. Tidak pernah selama dia menjadi pengurus Rasfal, lelaki itu menyuruh dia
membeli pakaian perempuan. Inilah kali pertama.
“Taklah. Aku nak bagi pada Citra. Kesian
dia, pakaian semuanya dekat rumah dia. Aku tak sempat nak ambil…” jawab Rasfal
sambil menilik baju kurung yang dibeli oleh Atif.
Dahi Atif berkerut. Citra?
“Citra tinggal dengan kau ke? Bukan ke
dia tinggal dekat rumah dia?” soal Atif lagi. Wajah Rasfal yang sedang
membelek-belek baju kurung yang dibelinya dipandang dengan penuh tanda tanya.
Rasfal mendongak membalas pandangan Atif
yang kelihatan terkejut. Dia tersengih.
“Semalam, masa aku melawat dia dekat
rumah, aku terjumpa dia pengsan sebab seharian dia tak makan. Tambah pulak
sekarang dia demam sebab rindukan ibu dia, jadi aku bawak dia balik ke apartment aku. Kau juga suruh aku
tengok-tengokkan dia. Kalau boleh kau nak aku bawak dia balik ke apartment, itu yang aku bawak tu tapi
aku terlupa nak ambil pakaian dia. So,
aku mintaklah kau tolong belikan,” terang Rasfal tanpa selindung.
Atif terangguk-angguk. Dia memeluk
tubuh.
“Macam itulah baru lelaki sejati. Tapi
aku tengok kau macam resah semacam ni kenapa?” soal Atif lagi.
“Aku nak balik,” ujar Rasfal selamba.
“What?
Tak sampai sejam tau kau photoshoot
takkan dah nak balik? Macam mana dengan interview
kau dengan wartawan nanti?” soal Atif bagaikan tidak percaya dengan ayat yang
terbit daripada mulut Rasfal.
“Entahlah. Kau tolonglah bagi pihak aku,
boleh? Petang karang aku dah kena balik rumah mama aku sebab nak settlekan soal majlis resepsi minggu
depan. Kalau aku tak balik dengan Citra mahu kena leter. Sakitlah telinga aku
dengan bebelan mama aku tu,” Rasfal mencipta alasan. Dia menyeka peluh di dahi.
Atif melongo seketika. Inilah kali
pertama Rasfal mengutamakan keluarganya berbanding dengan kerjanya. Jika selama
ini banyak mana pun leteran Datin Rohana, lelaki itu sanggup dengar asalkan
kerjanya berjalan dengan lancar.
“Cuba kau terus-terang dengan aku, Ras.
Kau nak balik cepat sebab nak ke rumah mama kau atau kau risaukan Citra?” teka
Atif sambil memandang tepat ke dalam anak mata Rasfal.
Rasfal tersentak. Dengan pantas dia
menggelengkan kepala walhal dalam hati dia mengiyakan.
“Taklah. Aku betul-betul kena balik
cepat hari ini. Kau arrange interview aku dengan wartawan lepas
majlis resepsi, boleh tak? Aku rasa dia orang semua faham. Aku dah tak ada masa
nak settlekan pasal majlis ni kalau
aku tak start hari ni,” dalih Rasfal
lagi.
Padahal, memang dia risaukan Citra. Dia
bimbang jika sesuatu berlaku pada gadis itu semasa ketiadaannya maklumlah Citra
masih belum sihat sepenuhnya lagi.
“Yelah, aku tolong kali ni. Nasib baik
kau ni bos aku, kalau tak dah lama aku ketuk-ketuk kepala kau tu. Suka buat
keputusan last minute…” bebel Atif
tidak puas hati.
Rasfal hanya tersengih. Dia tahu dia
memang boleh harapkan Atif.
“Terima kasih, Atif. Tak sia-sia aku
ambil kau jadi PA aku. Bulan ni aku naikkan gaji kau…” ujar Rasfal membuatkan
Atif tersenyum lebar.
“Kau nak rasuah aku ke?” soalnya.
“Bukan rasuah tapi hadiah. Kalau kau tak
nak, aku tak kisah…” balas Rasfal sambil memeluk tubuh.
“Eh, gila kau. Orang gila je tak nak
duit.” Balas Atif.
“Tahu pun kau, jadi jangan nak banyak
songeh.”
“Hah, sebelum aku terlupa. Ada beberapa
syarikat barang kemas yang nak taja majlis kau tu. Macam mana, kau nak terima
tak tajaan tu?” soal Atif dengan wajah yang kembali serius.
“Tajaan? Aku tak pernah terfikir pun nak
ditaja. Aku mampu lagi nak handle
perkahwinan aku ni. Kau faham kan, perkahwinan aku ni macam mana? Aku tak nak
nanti bila aku berpisah, akan timbul masalah lain. Kau cakaplah pada syarikat
tu yang aku tak terima mana-mana tajaan. Aku dah ditaja oleh Datin Rohana…”
jawab Rasfal dengan sengihan yang melebar.
“Kau tak takut ke orang akan cakap kau
kekwat?” balas Atif.
Rasfal mengeluh kecil.
“Mulut orang Atif takkan boleh kita
tutup. Kalau kita terima tajaan dia orang akan cakap kita berlagak tapi bila
kita tak terima tajaan, orang tetap akan cakap kita sombong. Jika kita asyik
fikirkan apa yang orang cakap, sampai bila kita tak boleh buat keputusan
sendiri.” Jawab Rasfal membuatkan Atif terangguk-angguk.
“Tapi kau kena jaga hubungan kau dengan
syarikat-syarikat yang nak taja kau ni. Nanti senang kau nak berurusan dengan
mereka semua…” sambung Atif lagi.
Rasfal terdiam seketika. Apa yang
dikatakan oleh Atif ada benarnya juga. Dunia seni yang diceburinya memang perlu
menjaga hubungan dengan orang lain tetapi bagaimana dengan prinsipnya pula?
“Macam inilah, kalau kau rasa nak terima
tajaan itu, kau deal dengan mereka
tapi pastikan yang press tak tahu
pasal berapa jumlah tajaan tu. Aku tak nak nanti timbul gosip lain tentang
majlis aku pulak dan aku nak kau pastikan yang tajaan itu tak lebih dari lima
puluh ribu. Aku tak nak sebarang pembaziran, lebih baik dia orang taja
anak-anak yatim daripada taja majlis aku…” ucap Rasfal tenang.
Atif mengangguk tanda faham. Itulah yang
dia bangga dengan Rasfal, walaupun artis popular tetapi lelaki itu tidak pernah
meninggi diri walaupun ada segelintir yang mengatanya sombong tetapi bagi Atif
sikap Rasfal boleh dicontohi oleh artis lain.
“Baiklah kalau itu yang kau nak, nanti
aku pertimbangkan yang mana baik untuk majlis kau,” balas Atif.
Rasfal hanya tersenyum dan menganggukkan
kepala.
PINTU
dipulas dengan perlahan sebelum dia melangkah masuk ke dalam rumah. Suasana
yang sunyi sepi itu membuatkan Rasfal pelik. Ke mana Citra? Soal hatinya sambil
menjenguk di balkoni luar. Bayang gadis itu tidak kelihatan.
“Citra!” laung Rasfal sambil menjengah
ke dapur. Kosong. Dia bergegas ke bilik Citra namun sebaik saja pintu bilik
gadis itu dipulas, tiada satu bayang pun yang kelihatan. Bilik itu kemas dan
rapi.
“Ke mana pulak dia pergi?!” dengus
Rasfal. Dia bercekak pinggang memikirkan ke mana hilangnya Citra.
Anak mata coklat miliknya melirik jam
yang berada di pergelangan tangan, jam sudah menunjukkan pukul satu tengah hari
tetapi bayang Citra hilang entah ke mana. Lantas, I Phonenya dicapai, nombor
Citra didail. Tetapi telinganya dapat menangkap bunyi deringan yang jelas lalu
dengan pantas Rasfal mencari-cari arah deringan itu sebelum dia menjumpai
telefon bimbir milik Citra yang berada di bawah bantal.
Rasfal mengetap bibir. Sakit betul
hatinya dengan perangai cuai Citra. Hatinya mula dipagut resah. Resah
memikirkan Citra.
“Dia ni memang nak kena dengan aku. Suka
betul cari pasallah…” bebel Rasfal sendirian. Kemudian, dia keluar dari bilik
Citra, dia mencapai kunci kereta namun belum sempat dia melangkah keluar dari
rumah, pintu utama terkuak. Rasfal menanti dengan hati yang panas berbahang.
Wajah Citra terjengul di sebalik pintu
dengan riak yang kelihatan. Kulit yang kuning langsat itu kelihatan sedikit
merah dibakar terik mentari. Hampir dua jam dia berjalan mencari kedai tetapi
satu kedai pun tidak kelihatan mungkin kawasan apartment ini agak tersorok dari orang ramai jadi tiada satu pun
kedai yang dibina. Penat. Memang penat ditambah pula dengan rasa lapar yang
tidak hilang-hilang. Akhirnya, Citra mengambil langkah untuk pulang ke rumah.
“Kau ke mana?” sergah satu suara
menyentakkan Citra yang sedang menutup pintu. Dia berpaling. Serentak, air liur
ditelan apabila melihat wajah Rasfal yang mencuka.
“Saya…saya…”
“Saya apa?” pintas Rasfal sambil matanya
melotot memandang wajah Citra yang berpeluh.
“Saya keluar sekejap…”
“Kenapa tak mintak izin dengan aku dulu?
Dah tak reti nak cakap kau nak keluar ke mana? Kalau kau pengsan tengah jalan
macam mana? Dengan telefon tak bawak. Kau ni tak ada kerja lain ke selain
menyusahkan aku?” bebel Rasfal meluahkan rasa yang meluap panas. Dia bercekak pinggang.
Citra terpempan. Dia menundukkan kepala.
Hatinya cukup terguris dengan kata-kata Rasfal. Semalam kena marah, hari ni
kena marah, apalah malang sangat nasib aku dapat suami garang macam dia. Keluh
hati Citra.
“Saya mintak maaf. Saya dah nak cakap dengan
awak pagi tadi, tapi awak nak cepat jadi saya tak sempat nak bagitahu awak…”
ujar Citra perlahan. Dia tunduk menekur lantai.
Rasfal terdiam. Dia baru teringat yang
Citra ada berjumpa dengannya sebelum dia bergegas keluar. Bukan salah gadis itu
juga kalau keluar tanpa izinnya. Detik hati Rasfal cuba meredakan kemarahan
yang bersarang dalam hatinya.
“Dah tu tak boleh call aku bagitahu kau nak ke mana. Takkan semua benda aku nak
cakap…”
“Kredit telefon saya dah habis. Saya
lupa nak isikan. Saya mintak maaf kalau asyik menyusahkan bos je. Saya tak
sengaja…” balas Citra sayu.
Rasfal menarik nafas panjang sebelum
menghembuskannya dengan perlahan. Dia mendekati Citra yang sedang tertunduk
menekur lantai. Wajah itu kelihatan keruh seperti ingin menangis.
“Kau ke mana tadi?” soal Rasfal dengan
suara yang sudah mengendur. Dia melabuhkan punggung di atas sofa.
Citra mendongak. Wajah lelaki itu sudah
kembali tenang membuatkan Citra menarik nafas lega.
“Saya lapar. Saya keluar cari makanan
tapi kedai macam tak ada je dekat kawasan ni. Dalam peti sejuk tu kosong, nak
masak pun tak ada barang…” adu Citra dengan suara yang tersekat-sekat. Bimbang
Rasfal akan mengamuk lagi.
Rasfal berpaling pada Citra.
“Maknanya kau tak makan lagilah ni?”
soal Rasfal tidak percaya.
Citra mengangguk pantas.
“Tak. Tak ada apa yang boleh saya makan.
Ada roti pun dah tamat tempoh. Saya nak cakap kat bos pagi tadi tapi tak
sempat, bos dah keluar dulu…” terang Citra agak polos.
Rasfal menepuk dahi. Hampir dia terlupa
yang sememangnya dia tidak pernah membeli barang-barang dapur. Hidup bujang
jadi dia tidak perlukan semua itu. Nampaknya kali ini memang salahnya.
“Hmmm…kau
pergi bersiap sekarang…” arah Rasfal dengan nada yang lembut.
Mata Citra membulat.
“Nak bersiap pergi mana?” soalnya lurus.
“Nak pergi makanlah takkan nak pergi
kelab pulak. Ambil pakaian ni, aku tak sempat nak singgah rumah kau jadi kau
pakailah apa yang ada ni…” ucap Rasfal sambil menghulurkan beg plastik pada
Citra.
Lambat-lambat Citra menyambut huluran
Rasfal. Walaupun dirinya dipenuhi dengan tanda tanya tapi dia tidak berani
meluahkan bimbang Rasfal akan memarahinya lagi.
“Terima kasih, bos…” hanya itu yang
terluah.
“Hmmm…dah.
Pergi bersiap cepat, aku tunggu. Jangan nak bersolek lama-lama, aku makan kau
kan…” ujar Rasfal bergurau.
Citra mengangguk lalu terus menuju ke
biliknya untuk bersiap. Nasiblah kau bos aku, kalau tak dah lama aku cekik kau.
Bebel hati Citra namun dia tetap akur dengan arahan Rasfal.
No comments:
Post a Comment