DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 15 January 2015

Pengarah Cinta Terbaik - Bab 7



LAMA mata Citra memandang wajah Doktor Murni yang merawat ibunya. Kata-kata Doktor Murni bermain di fikirannya.
“Cik Citra dengar tak apa yang saya cakapkan ni?” soal Doktor Murni apabila melihat Citra hanya termenung panjang. Dia mengawang-awangkan tangannya di hadapan wajah Citra.
Citra tersentak. Dia tersenyum manis.
“Tak boleh tukar tarikh ke, doktor? Hari Jumaat tu saya nikah. Kalau boleh saya nak ada di sisi ibu saya saat dia menjalani pembedahan,” ucap Citra mengharapkan simpati.
“Maaf, Cik Citra. Hanya tarikh itu je yang ada sebab jadual saya dah penuh. Kalau nak tunda pun saya rasa tak berbaloi sebab Cik Citra dah bayar separuh,” balas Doktor Murni.
Citra mengeluh berat. Dia menyandarkan belakang badannya di kerusi. Sakit betul kepalanya memikirkan tarikh pembedahan Puan Cempaka jatuh pada tarikh pernikahannya. Kedua-duanya penting kerana semuanya telah siap sedia. Hanya tunggu harinya saja untuk melangsungkan perkahwinan antara dia dan Rasfal. Jika perkahwinan itu ditunda semata-mata untuk pembedahan ibu, pasti Rasfal akan menarik balik pertolongannya. Aduh, apa yang perlu dilakukan sekarang ni? bisik hati Citra. Dia menggigit kuku.
Citra tersedar apabila terasa lengannya disentuh seseorang. Dia berpaling. Kelihatan Puan Cempaka tersenyum nipis. Hampir dia terlupa kehadiran Puan Cempaka di sisinya.
“Citra, ibu tahu majlis tu penting untuk Citra. Citra kena pergi majlis tu. Ibu nak tengok Citra nikah…” ucap Puan Cempaka lembut.
“Tapi ibu, ibu kena buat juga pembedahan itu dan Citra nak berada di samping ibu…” balas Citra sambil menggenggam tangan Puan Cempaka.
“Citra jangan risau pasal ibu. Biar ibu operation, Citra kahwin. Bila dah selesai majlis, Citra datang jenguk ibu, ya nak?” Puan Cempaka memberi cadangan sambil matanya tegak memandang ke hadapan Cuma tangannya saja masih kemas memegang tangan Citra.
“Tapi Citra nak ibu ada saat Citra menikah. Takkan Citra nak kahwin sorang-sorang…” balas Citra lagi seakan mahu menangis.
Puan Cempaka ketawa kecil. Tangan kanannya diangkat dan dia cuba mencari kepala Citra. Lalu, kepala Citra yang beralas tudung itu dielus lembut.
“Kalau ibu pergi pun, ibu tak nampak Citra jadi biarlah ibu kat hospital ni. Lepas operation selesai, Citra datanglah bawak menantu ibu sekali…” pujuk Puan Cempaka lembut.
Citra mengeluh kecil. Mungkin hanya inilah jalan yang terbaik untuk menyelesaikan semua masalah.
“Macam mana, cik?” soal Doktor Murni apabila melihat Citra hanya mendiamkan diri.
Hmmm…baiklah doktor, saya setuju…” balas Citra perlahan.

RASFAL memalingkan wajah apabila terlihat kelibat Fiona yang baharu saja keluar dari bilik Encik Mikail. Apalah nasibnya kali ini apabila drama terbaru mengandingkan dia dan Fiona. Nak atau tak nak, dia perlu menerima dengan rela hati.
“Ras!” panggil Fiona kuat.
Rasfal memejamkan mata. Dia melepaskan keluhan kuat. Langkahnya juga turut terhenti.
“Ras, you nak ke mana? Dah lama I tunggu you dalam bilik bos.” Rengek Fiona sambil cuba memegang lengan Rasfal.
Rasfal menepis.
“You nak bercakap boleh tapi tangan tu tak perlulah bergerak sekali. Nanti wartawan nampak, mati I.” rengus Rasfal sambil menjarakkan diri.
“Alah you ni. Tu pun nak kecoh. Satu Malaysia tahu yang you teman tapi mesra I…” balas Fiona sambil memuncungkan bibirnya yang dicalit gincu merah.
Rasfal mencebik. Teman tapi mesra? Tolonglah. Dalam drama bolehlah nak mesra-mesra. Bebel Rasfal Cuma dalam hati.
“I nak jumpa bos. Bye…” balas Rasfal selamba.
“Ras! Tunggu dulu!” panggil Fiona sambil membuntuti langkah Rasfal sehingga ke dalam bilik Encik Mikail.
“Selamat pagi, Mike…” sapa Rasfal. Dia memang sudah terbiasa memanggil Encik Mikail dengan panggilan itu kerana panggilan itu membuatkan mereka lebih rapat.
Encik Mikail yang sedang membaca skrip mengangkat muka. Dia tersenyum pada Rasfal dan Fiona yang sedang berdiri di hadapannya.
“Sampai pun kau, Ras. Susah betul aku nak jumpa pelakon terkenal macam kau ni. Maklumlah nak kahwin. Macam mana persiapan majlis kau?” soal Encik Mikail berbasa-basi.
Rasfal tersenyum. Dia melabuhkan punggung di kerusi yang bertentangan dengan Encik Mikail. Kehadiran Fiona langsung tidak diendahkan.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Lagipun urusan majlis, aku serahkan pada wedding planner. Insya-Allah semuanya baik. Kau jangan lupa datang…” ucap Rasfal.
Encik Mikail tersengih.
Of courselah aku datang. Macam mana dengan tawaran aku? Berminat tak dengan projek terbaru produksi aku? Drama tiga belas episod ini memang aku buat khas untuk kau dengan Fiona,” ucap Encik Mikail membuatkan wajah Rasfal kembali serius.
Lama dia menatap wajah Encik Mikail sebelum belakang badannya disandarkan ke kerusi.
“Tema apa kali ini?” soal Rasfal pendek.
Well, macam biasa. Tema percintaan, konflik orang ketiga dan konflik dendam. Tapi dalam drama ni kau kena lakonkan watak orang gila yang kematian kekasih hatinya. Konflik terjadi apabila orang gila ni bertemu dengan wanita yang mirip dengan kekasih hatinya dulu,” terang Encik Mikail.
Rasfal mendengar dengan teliti tanpa sedikit pun menyampuk. Jalan cerita yang diterangkan oleh Encik Mikail menarik perhatian Rasfal. Selama ini dia asyik melakonkan watak yang hampir sama. Kalau tidak watak kaki perempuan pasti watak lelaki kaya. Sekarang mungkin tiba masanya untuk dia mencuba watak yang baru.
“Menarik juga cerita kau ni, Mike. Tapi boleh tak kalau kita shooting lepas majlis aku. Kau tahulah kan…kalau majlis kahwin ni makan masa sikit…” balas Rasfal mengharapkan pengertian daripada Encik Mikail.
“Kau ni Ras macamlah aku ni tak pernah kahwin. Kau jangan risau, lepas dua minggu majlis kau, baru kita start shooting. Aku tahu kau jadual kau mesti padat dengan photoshoot, interview lagi. Tapi make sure lepas dua minggu kau kena pergi lokasi,” balas Encik Mikail kedengaran tegas.
Rasfal tersenyum dan mengangguk.
“Ras, you tak takut ke reputasi you jatuh bila you dah kahwin? You tahulah kalau hero-hero kahwin awal, pasti peminat akan lari…” sampuk Fiona yang dari tadi mendiamkan diri.
Rasfal menjeling. Meluat betul dia mendengar suara Fiona yang berada di sebelahnya.
“I tak kisah peminat nak lari ke nak apa ke, kalau jodoh dah sampai takkan I nak tolak pulak. Lagipun kalau reputasi I jatuh, I boleh bersara awal. Bolehlah I tumpukan perhatian pada produksi I tu…” balas Rasfal.
“Fiona, hero kita ni takkan muflis kalau tak ada job. Agaknya you lupa yang dia ni pernah menang Pengarah Muda Terbaik. Jadi bila-bila masa saja dia boleh comeback dengan cerita arahan dia sendiri. I yakin walaupun Ras kahwin tapi populariti dia tetap takkan goyah. Mana nak cari pelakon lelaki yang mudah mengalirkan air mata macam Ras ni…” puji Encik Mikail sambil tersengih.
Rasfal hanya tersenyum manis. Dia mengerling pada wajah Fiona yang kelihatan tidak berpuas hati.
Anyway, Mike. I dah sediakan satu skrip yang menarik untuk projek kita bersama. Nanti bila dah siap I akan maklumkan pada you. I rasa projek yang I nak buat ni pasti akan meletup,” ucap Rasfal.
Encik Mikail mengangkat ibu jarinya tanda bagus. Memang itulah harapannya apabila mengambil Rasfal sebagai artis di syarikatnya. Dia tahu Rasfal memang seorang yang berpengaruh malah papa Rasfal juga seorang yang berpengaruh jadi senanglah untuk dia mencari penaja untuk setiap projek terbarunya.
“Kalau projek itu boleh bagi profit pada I dan syarikat I, why not kita bergabung. You pengarah, I penerbit…”
“Dan I heroin…” sampuk Fiona dengan gaya yang tergedik-gedik. Dia menyelak rambutnya yang perang.
Rasfal mencebik. Macamlah aku nak ambil kau berlakon. Perasan! Detik hati Rasfal.
“I nak cari newcomer. Lagipun you nak sesuai berlakon jadi watak ustazah…” tempelak Rasfal membuatkan Fiona terdiam.
“I tak kira, I nak jadi heroin juga. You tahu kan I ramai peminat, kalau kita berdua digandingkan dalam filem pasti meletup filem tu…” balas Fiona berdegil.
Rasfal dan Encik Mikail berpandangan. Akhirnya mereka mengangkat bahu. Rasfal tidak membalas sebaliknya dia menumpukan sepenuh perhatian pada penerangan Encik Mikail tentang drama terbaru mereka. Fiona yang berada di sebelah pun turut menyibukkan diri seolah-olah kehadirannya dialu-alukan oleh Rasfal.
Selesai perbincangan, Rasfal terus keluar dari bilik Encik Mikail. Sebelah petangnya dia perlu menghadiri satu rakaman bual bicara berkenaan majlis perkahwinannya nanti.
“Ras, tunggu dulu!” panggil Fiona sambil menarik tangan Rasfal dari belakang.
Rasfal mendengus. Langkahnya terhenti.
“You nak apa lagi? Kerja kita dah habis kan…” ucap Rasfal seolah membentak.
“Ras, you dah fikir masak-masak ke nak kahwin dengan perempuan lain? Kenapa you tak pilih I?” soal Fiona dengan suara yang sayu.
Rasfal menghela nafas panjang. Lengannya ditarik daripada terus dipegang oleh Fiona.
“You tahu tak bila you akan mati?” soal Rasfal tiba-tiba.
Fiona tersentak. Namun dengan pantas dia menggelengkan kepala.
“Hah tahu pun. Macam tu juga kenapa I tak pilih you sebab I tak tahu yang jodoh I bukan dengan you. Jadi you jangan tanya I kenapa I tak pilih you sebab jodoh I dengan orang lain dan bukan dengan you…” balas Rasfal bersahaja.
Fiona menarik mulut muncung. Sakit hati betul dengan lelaki seperti Rasfal. Memang tidak pandai menjaga hatinya malah Rasfal memang lelaki yang sukar untuk didekati tidak seperti pelakon lelaki yang lain.
“Hebat sangat ke perempuan tu sampaikan you tolak I?” soal Fiona masih tidak berpuas hati.
“I tak pernah pun terima you jadi macam mana you cakap I tolak you?” soalan dibalas soalan. Rasfal menjongketkan kening.
Fiona terdiam. Sedikit terasa dengan kata-kata Rasfal.
Look, Fiona. I rasa cukuplah sandiwara you setakat ini. I dah nak kahwin, you carilah lelaki lain lagipun artis popular macam you bersusun anak-anak datuk yang nak. You tinggal pilih je. You jangan kacau I lagi. Cukuplah hubungan kita atas dasar kerja. I harap you faham…” sambung Rasfal sambil tersenyum nipis.
Fiona tidak menjawab. Sebaliknya dia hanya membiarkan Rasfal melangkah pergi. Jauh di dalam hatinya dia masih tidak dapat menerima hakikat yang dia ditolak mentah-mentah oleh lelaki itu.

“MACAM mana Atif? Apa kata doktor?” soal Rasfal sambil mendapatkan Atif yang sedang berbual dengan seorang wanita yang memakai jubah berwarna putih.
Atif berpaling ke sisi. Wajah Rasfal dipandang dengan senyuman nipis.
“Perempuan tu selamat. Tak ada apa-apa kecederaan yang serius pun yang berlaku pada dia,” ujar Atif.
Rasfal menarik nafas lega. Wajahnya diraup menggunakan tapak tangan.
“Alhamdulillah, kalau macam tu jomlah temankan aku jumpa perempuan tu sekejap.” Ajak Rasfal.
Atif hanya mengangguk dan membuntuti langkah Rasfal.
Pintu wad ditolak perlahan. Kelihatan seorang gadis sedang berdiri sambil menghadap tingkap hospital yang terbuka. Rasfal dan Atif berpandangan sesama sendiri.
“Assalamualaikum…” salam dihulurkan dengan ramah.
Gadis itu berpaling dan tersenyum manis pada Rasfal sebelum pandangannya beralih pada laman wajah Atif yang berdiri di sebelah Rasfal.
“Waalaikummusalam, Ras Haqeemi…” ucap gadis itu dengan suara yang perlahan. Senyuman tak lekang daripada bibirnya.
Dahi Rasfal berkerut.
“Macam mana awak tahu nama saya?” soal Rasfal sambil menarik kerusi sebelum melabuhkan punggung di situ.
Gadis itu tersenyum manis lalu duduk di birai katil. Matanya tidak lepas daripada menatap wajah Rasfal yang kelihatan penuh tanda tanya.
“Siapa yang tak kenal Ras Haqeemi, pelakon dan pengarah muda yang sangat popular dekat Malaysia ni. Saya rasa sangat gembira kerana dapat berjumpa dengan awak…” ucap gadis itu sambil memintal-mintal rambutnya yang panjang.
Rasfal menelan air liur. Renungan gadis itu cukup menyeramkannya malah senyuman yang terukir di bibir gadis itu juga sangat meresahkan hati Rasfal. Namun, dia hanya tersengih.
“Errr…saya mintak maaf pasal kejadian semalam. Kami tak sengaja terlanggar awak. Alhamdulillah, awak okey. Hari ni awak dah boleh keluar, kalau awak nak balik, kami boleh hantarkan…” ujar Rasfal.
Tiba-tiba wajah gadis itu bertukar mendung. Senyuman di bibirnya juga mati.
“Kalau saya balik maknanya saya tak dapat nak jumpa awak lagi kan?” soal gadis itu perlahan.
Rasfal dan Atif berpandangan sesama sendiri. Lain macam je budak ni. Detik hati mereka.
“Errr…saya rasa kita tak ada keperluan lain untuk berjumpa. Saya akan ganti rugi untuk segala apa yang berlaku semalam,” ujar Rasfal penuh yakin.
Gadis itu mendiamkan diri. Jelas riak kecewa terpamer di wajah gadis yang tidak diketahui namanya itu. Rasfal menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Sikap gadis ini sangat pelik pada pandangannya.
“Kalau tak ada apa-apa, saya balik dulu. Sekali lagi saya mintak maaf atas apa yang berlaku. Pengurus saya akan uruskan segalanya bagi pihak saya,” sambung Rasfal setelah tiada balasan daripada gadis itu.
Rasfal menyiku lengan Atif. Dia bangun dan melangkah menuju ke pintu.
“Siapa nama perempuan tu?” soal Rasfal sambil berbisik.
“Isabella…” jawab Atif ringkas.
“Kau tak cuba telefon keluarga dia ke? Mesti mak dan ayah dia tengah risaukan anaknya ni,” balas Rasfal.
Atif hanya menjongketkan bahu.
“Aku dah tanya pasal keluarga dia tapi dia tak cakap apa-apa pun. Kau jangan risaulah pasal dia ni. Biar aku yang settle. Kau tu dah nak kahwin kenalah jaga status kau tu,” balas Atif.
Rasfal hanya mengangguk mengiyakan kata-kata Atif. Sekilas dia memandang Isabella yang sedang termenung panjang. Satu keluhan dilepaskan.


No comments:

Post a Comment