LAMA
mata Citra memandang wajah Doktor Murni yang merawat ibunya. Kata-kata Doktor
Murni bermain di fikirannya.
“Cik Citra dengar tak apa yang saya
cakapkan ni?” soal Doktor Murni apabila melihat Citra hanya termenung panjang.
Dia mengawang-awangkan tangannya di hadapan wajah Citra.
Citra tersentak. Dia tersenyum manis.
“Tak boleh tukar tarikh ke, doktor? Hari
Jumaat tu saya nikah. Kalau boleh saya nak ada di sisi ibu saya saat dia
menjalani pembedahan,” ucap Citra mengharapkan simpati.
“Maaf, Cik Citra. Hanya tarikh itu je
yang ada sebab jadual saya dah penuh. Kalau nak tunda pun saya rasa tak
berbaloi sebab Cik Citra dah bayar separuh,” balas Doktor Murni.
Citra mengeluh berat. Dia menyandarkan
belakang badannya di kerusi. Sakit betul kepalanya memikirkan tarikh pembedahan
Puan Cempaka jatuh pada tarikh pernikahannya. Kedua-duanya penting kerana
semuanya telah siap sedia. Hanya tunggu harinya saja untuk melangsungkan
perkahwinan antara dia dan Rasfal. Jika perkahwinan itu ditunda semata-mata
untuk pembedahan ibu, pasti Rasfal akan menarik balik pertolongannya. Aduh, apa
yang perlu dilakukan sekarang ni? bisik hati Citra. Dia menggigit kuku.
Citra tersedar apabila terasa lengannya
disentuh seseorang. Dia berpaling. Kelihatan Puan Cempaka tersenyum nipis.
Hampir dia terlupa kehadiran Puan Cempaka di sisinya.
“Citra, ibu tahu majlis tu penting untuk
Citra. Citra kena pergi majlis tu. Ibu nak tengok Citra nikah…” ucap Puan
Cempaka lembut.
“Tapi ibu, ibu kena buat juga pembedahan
itu dan Citra nak berada di samping ibu…” balas Citra sambil menggenggam tangan
Puan Cempaka.
“Citra jangan risau pasal ibu. Biar ibu operation, Citra kahwin. Bila dah
selesai majlis, Citra datang jenguk ibu, ya nak?” Puan Cempaka memberi cadangan
sambil matanya tegak memandang ke hadapan Cuma tangannya saja masih kemas
memegang tangan Citra.
“Tapi Citra nak ibu ada saat Citra
menikah. Takkan Citra nak kahwin sorang-sorang…” balas Citra lagi seakan mahu
menangis.
Puan Cempaka ketawa kecil. Tangan
kanannya diangkat dan dia cuba mencari kepala Citra. Lalu, kepala Citra yang
beralas tudung itu dielus lembut.
“Kalau ibu pergi pun, ibu tak nampak
Citra jadi biarlah ibu kat hospital ni. Lepas operation selesai, Citra datanglah bawak menantu ibu sekali…” pujuk
Puan Cempaka lembut.
Citra mengeluh kecil. Mungkin hanya
inilah jalan yang terbaik untuk menyelesaikan semua masalah.
“Macam mana, cik?” soal Doktor Murni
apabila melihat Citra hanya mendiamkan diri.
“Hmmm…baiklah
doktor, saya setuju…” balas Citra perlahan.
RASFAL memalingkan wajah apabila
terlihat kelibat Fiona yang baharu saja keluar dari bilik Encik Mikail. Apalah
nasibnya kali ini apabila drama terbaru mengandingkan dia dan Fiona. Nak atau
tak nak, dia perlu menerima dengan rela hati.
“Ras!” panggil Fiona kuat.
Rasfal memejamkan mata. Dia melepaskan
keluhan kuat. Langkahnya juga turut terhenti.
“Ras, you nak ke mana? Dah lama I tunggu
you dalam bilik bos.” Rengek Fiona sambil cuba memegang lengan Rasfal.
Rasfal menepis.
“You nak bercakap boleh tapi tangan tu
tak perlulah bergerak sekali. Nanti wartawan nampak, mati I.” rengus Rasfal
sambil menjarakkan diri.
“Alah you ni. Tu pun nak kecoh. Satu
Malaysia tahu yang you teman tapi mesra I…” balas Fiona sambil memuncungkan
bibirnya yang dicalit gincu merah.
Rasfal mencebik. Teman tapi mesra?
Tolonglah. Dalam drama bolehlah nak mesra-mesra. Bebel Rasfal Cuma dalam hati.
“I nak jumpa bos. Bye…” balas Rasfal selamba.
“Ras! Tunggu dulu!” panggil Fiona sambil
membuntuti langkah Rasfal sehingga ke dalam bilik Encik Mikail.
“Selamat pagi, Mike…” sapa Rasfal. Dia
memang sudah terbiasa memanggil Encik Mikail dengan panggilan itu kerana
panggilan itu membuatkan mereka lebih rapat.
Encik Mikail yang sedang membaca skrip
mengangkat muka. Dia tersenyum pada Rasfal dan Fiona yang sedang berdiri di
hadapannya.
“Sampai pun kau, Ras. Susah betul aku
nak jumpa pelakon terkenal macam kau ni. Maklumlah nak kahwin. Macam mana
persiapan majlis kau?” soal Encik Mikail berbasa-basi.
Rasfal tersenyum. Dia melabuhkan
punggung di kerusi yang bertentangan dengan Encik Mikail. Kehadiran Fiona
langsung tidak diendahkan.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan
lancar. Lagipun urusan majlis, aku serahkan pada wedding planner. Insya-Allah semuanya baik. Kau jangan lupa
datang…” ucap Rasfal.
Encik Mikail tersengih.
“Of
courselah aku datang. Macam mana dengan tawaran aku? Berminat tak dengan
projek terbaru produksi aku? Drama tiga belas episod ini memang aku buat khas
untuk kau dengan Fiona,” ucap Encik Mikail membuatkan wajah Rasfal kembali
serius.
Lama dia menatap wajah Encik Mikail
sebelum belakang badannya disandarkan ke kerusi.
“Tema apa kali ini?” soal Rasfal pendek.
“Well,
macam biasa. Tema percintaan, konflik orang ketiga dan konflik dendam. Tapi
dalam drama ni kau kena lakonkan watak orang gila yang kematian kekasih
hatinya. Konflik terjadi apabila orang gila ni bertemu dengan wanita yang mirip
dengan kekasih hatinya dulu,” terang Encik Mikail.
Rasfal mendengar dengan teliti tanpa
sedikit pun menyampuk. Jalan cerita yang diterangkan oleh Encik Mikail menarik
perhatian Rasfal. Selama ini dia asyik melakonkan watak yang hampir sama. Kalau
tidak watak kaki perempuan pasti watak lelaki kaya. Sekarang mungkin tiba
masanya untuk dia mencuba watak yang baru.
“Menarik juga cerita kau ni, Mike. Tapi
boleh tak kalau kita shooting lepas
majlis aku. Kau tahulah kan…kalau majlis kahwin ni makan masa sikit…” balas
Rasfal mengharapkan pengertian daripada Encik Mikail.
“Kau ni Ras macamlah aku ni tak pernah
kahwin. Kau jangan risau, lepas dua minggu majlis kau, baru kita start shooting. Aku tahu kau jadual kau
mesti padat dengan photoshoot, interview
lagi. Tapi make sure lepas dua minggu
kau kena pergi lokasi,” balas Encik Mikail kedengaran tegas.
Rasfal tersenyum dan mengangguk.
“Ras, you tak takut ke reputasi you
jatuh bila you dah kahwin? You tahulah kalau hero-hero kahwin awal, pasti
peminat akan lari…” sampuk Fiona yang dari tadi mendiamkan diri.
Rasfal menjeling. Meluat betul dia
mendengar suara Fiona yang berada di sebelahnya.
“I tak kisah peminat nak lari ke nak apa
ke, kalau jodoh dah sampai takkan I nak tolak pulak. Lagipun kalau reputasi I
jatuh, I boleh bersara awal. Bolehlah I tumpukan perhatian pada produksi I tu…”
balas Rasfal.
“Fiona, hero kita ni takkan muflis kalau
tak ada job. Agaknya you lupa yang
dia ni pernah menang Pengarah Muda Terbaik. Jadi bila-bila masa saja dia boleh comeback dengan cerita arahan dia
sendiri. I yakin walaupun Ras kahwin tapi populariti dia tetap takkan goyah.
Mana nak cari pelakon lelaki yang mudah mengalirkan air mata macam Ras ni…”
puji Encik Mikail sambil tersengih.
Rasfal hanya tersenyum manis. Dia
mengerling pada wajah Fiona yang kelihatan tidak berpuas hati.
“Anyway,
Mike. I dah sediakan satu skrip yang menarik untuk projek kita bersama. Nanti
bila dah siap I akan maklumkan pada you. I rasa projek yang I nak buat ni pasti
akan meletup,” ucap Rasfal.
Encik Mikail mengangkat ibu jarinya
tanda bagus. Memang itulah harapannya apabila mengambil Rasfal sebagai artis di
syarikatnya. Dia tahu Rasfal memang seorang yang berpengaruh malah papa Rasfal
juga seorang yang berpengaruh jadi senanglah untuk dia mencari penaja untuk
setiap projek terbarunya.
“Kalau projek itu boleh bagi profit pada
I dan syarikat I, why not kita
bergabung. You pengarah, I penerbit…”
“Dan I heroin…” sampuk Fiona dengan gaya
yang tergedik-gedik. Dia menyelak rambutnya yang perang.
Rasfal mencebik. Macamlah aku nak ambil
kau berlakon. Perasan! Detik hati Rasfal.
“I nak cari newcomer. Lagipun you nak sesuai berlakon jadi watak ustazah…”
tempelak Rasfal membuatkan Fiona terdiam.
“I tak kira, I nak jadi heroin juga. You
tahu kan I ramai peminat, kalau kita berdua digandingkan dalam filem pasti
meletup filem tu…” balas Fiona berdegil.
Rasfal dan Encik Mikail berpandangan.
Akhirnya mereka mengangkat bahu. Rasfal tidak membalas sebaliknya dia
menumpukan sepenuh perhatian pada penerangan Encik Mikail tentang drama terbaru
mereka. Fiona yang berada di sebelah pun turut menyibukkan diri seolah-olah
kehadirannya dialu-alukan oleh Rasfal.
Selesai perbincangan, Rasfal terus keluar
dari bilik Encik Mikail. Sebelah petangnya dia perlu menghadiri satu rakaman
bual bicara berkenaan majlis perkahwinannya nanti.
“Ras, tunggu dulu!” panggil Fiona sambil
menarik tangan Rasfal dari belakang.
Rasfal mendengus. Langkahnya terhenti.
“You nak apa lagi? Kerja kita dah habis
kan…” ucap Rasfal seolah membentak.
“Ras, you dah fikir masak-masak ke nak
kahwin dengan perempuan lain? Kenapa you tak pilih I?” soal Fiona dengan suara
yang sayu.
Rasfal menghela nafas panjang. Lengannya
ditarik daripada terus dipegang oleh Fiona.
“You tahu tak bila you akan mati?” soal
Rasfal tiba-tiba.
Fiona tersentak. Namun dengan pantas dia
menggelengkan kepala.
“Hah tahu pun. Macam tu juga kenapa I
tak pilih you sebab I tak tahu yang jodoh I bukan dengan you. Jadi you jangan
tanya I kenapa I tak pilih you sebab jodoh I dengan orang lain dan bukan dengan
you…” balas Rasfal bersahaja.
Fiona menarik mulut muncung. Sakit hati
betul dengan lelaki seperti Rasfal. Memang tidak pandai menjaga hatinya malah
Rasfal memang lelaki yang sukar untuk didekati tidak seperti pelakon lelaki
yang lain.
“Hebat sangat ke perempuan tu sampaikan
you tolak I?” soal Fiona masih tidak berpuas hati.
“I tak pernah pun terima you jadi macam
mana you cakap I tolak you?” soalan dibalas soalan. Rasfal menjongketkan
kening.
Fiona terdiam. Sedikit terasa dengan
kata-kata Rasfal.
“Look,
Fiona. I rasa cukuplah sandiwara you setakat ini. I dah nak kahwin, you carilah
lelaki lain lagipun artis popular macam you bersusun anak-anak datuk yang nak.
You tinggal pilih je. You jangan kacau I lagi. Cukuplah hubungan kita atas
dasar kerja. I harap you faham…” sambung Rasfal sambil tersenyum nipis.
Fiona tidak menjawab. Sebaliknya dia
hanya membiarkan Rasfal melangkah pergi. Jauh di dalam hatinya dia masih tidak
dapat menerima hakikat yang dia ditolak mentah-mentah oleh lelaki itu.
“MACAM mana Atif? Apa kata doktor?” soal
Rasfal sambil mendapatkan Atif yang sedang berbual dengan seorang wanita yang
memakai jubah berwarna putih.
Atif berpaling ke sisi. Wajah Rasfal dipandang
dengan senyuman nipis.
“Perempuan tu selamat. Tak ada apa-apa
kecederaan yang serius pun yang berlaku pada dia,” ujar Atif.
Rasfal menarik nafas lega. Wajahnya
diraup menggunakan tapak tangan.
“Alhamdulillah, kalau macam tu jomlah
temankan aku jumpa perempuan tu sekejap.” Ajak Rasfal.
Atif hanya mengangguk dan membuntuti
langkah Rasfal.
Pintu wad ditolak perlahan. Kelihatan
seorang gadis sedang berdiri sambil menghadap tingkap hospital yang terbuka.
Rasfal dan Atif berpandangan sesama sendiri.
“Assalamualaikum…” salam dihulurkan
dengan ramah.
Gadis itu berpaling dan tersenyum manis
pada Rasfal sebelum pandangannya beralih pada laman wajah Atif yang berdiri di
sebelah Rasfal.
“Waalaikummusalam, Ras Haqeemi…” ucap
gadis itu dengan suara yang perlahan. Senyuman tak lekang daripada bibirnya.
Dahi Rasfal berkerut.
“Macam mana awak tahu nama saya?” soal
Rasfal sambil menarik kerusi sebelum melabuhkan punggung di situ.
Gadis itu tersenyum manis lalu duduk di
birai katil. Matanya tidak lepas daripada menatap wajah Rasfal yang kelihatan
penuh tanda tanya.
“Siapa yang tak kenal Ras Haqeemi,
pelakon dan pengarah muda yang sangat popular dekat Malaysia ni. Saya rasa
sangat gembira kerana dapat berjumpa dengan awak…” ucap gadis itu sambil
memintal-mintal rambutnya yang panjang.
Rasfal menelan air liur. Renungan gadis
itu cukup menyeramkannya malah senyuman yang terukir di bibir gadis itu juga
sangat meresahkan hati Rasfal. Namun, dia hanya tersengih.
“Errr…saya mintak maaf pasal kejadian
semalam. Kami tak sengaja terlanggar awak. Alhamdulillah, awak okey. Hari ni
awak dah boleh keluar, kalau awak nak balik, kami boleh hantarkan…” ujar
Rasfal.
Tiba-tiba wajah gadis itu bertukar
mendung. Senyuman di bibirnya juga mati.
“Kalau saya balik maknanya saya tak
dapat nak jumpa awak lagi kan?” soal gadis itu perlahan.
Rasfal dan Atif berpandangan sesama
sendiri. Lain macam je budak ni. Detik hati mereka.
“Errr…saya rasa kita tak ada keperluan
lain untuk berjumpa. Saya akan ganti rugi untuk segala apa yang berlaku
semalam,” ujar Rasfal penuh yakin.
Gadis itu mendiamkan diri. Jelas riak
kecewa terpamer di wajah gadis yang tidak diketahui namanya itu. Rasfal
menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Sikap gadis ini sangat pelik pada
pandangannya.
“Kalau tak ada apa-apa, saya balik dulu.
Sekali lagi saya mintak maaf atas apa yang berlaku. Pengurus saya akan uruskan
segalanya bagi pihak saya,” sambung Rasfal setelah tiada balasan daripada gadis
itu.
Rasfal menyiku lengan Atif. Dia bangun
dan melangkah menuju ke pintu.
“Siapa nama perempuan tu?” soal Rasfal
sambil berbisik.
“Isabella…” jawab Atif ringkas.
“Kau tak cuba telefon keluarga dia ke?
Mesti mak dan ayah dia tengah risaukan anaknya ni,” balas Rasfal.
Atif hanya menjongketkan bahu.
“Aku dah tanya pasal keluarga dia tapi
dia tak cakap apa-apa pun. Kau jangan risaulah pasal dia ni. Biar aku yang settle. Kau tu dah nak kahwin kenalah
jaga status kau tu,” balas Atif.
Rasfal hanya mengangguk mengiyakan
kata-kata Atif. Sekilas dia memandang Isabella yang sedang termenung panjang.
Satu keluhan dilepaskan.
No comments:
Post a Comment