“AKU
terima nikahnya Citra Nur Afilya binti Mohammad dengan mas kahwin RM500 tunai.."
Dengan sekali lafaz, Rasfal selamat
menjadi suami kepada Citra yang sah. Dia menarik nafas lega apabila tok kadi
mengangguk tanda lafaz ijab dan kabul yang meluncur laju daripada mulutnya itu
sah. Sesekali dia menjeling pada Citra yang duduk bersimpuh di atas pelamin.
Wajah gadis itu kelihatan sugul malah senyuman yang terukir di bibir
seolah-olah terpaksa. Rasfal tahu pasti Citra risaukan keadaan ibunya yang
sedang menjalani pembedahan sekarang ini.
Silauan lampu kamera mengejutkan Rasfal.
Dia tersenyum manis pada para wartawan yang galak merakamkan gambarnya yang
segak berbaju melayu dan bersamping.
"Ras, dah sampai masa kau sarung
cincin..." bisik Atif rapat di telinga.
Rasfal mengangguk lalu bangkit melangkah
ke arah Citra yang duduk di sisi mamanya.
Citra hanya mampu menundukkan wajah.
Sungguh dia malu berhadapan dengan Rasfal saat ini. Renungan suami yang baru
menikahinya sebentar tadi benar-benar menusuk kalbu. Dia gementar dalam diam
apabila ada suara-suara yang mengusik mereka berdua.
"Citra hulurkan tangan..." arah
Datin Rohana sambil berbisik di telinga Citra. Wanita itu tersenyum manis.
Dengan wajah yang merona merah, Citra
menghulurkan jarinya pada Rasfal. Saat Rasfal menyentuh jari-jemarinya, Citra
dapat rasakan jantungnya berdegup pantas apatah saat mata mereka bertentangan,
sepantas kilat Citra menundukkan wajah.
Rasfal tersenyum melihat reaksi Citra.
Gadis itu betul-betul pemalu hari ini.
"Saya nak cium dahi awak ni. Jangan
terkejut pulak..." bisik Rasfal dengan senyuman nakal tersungging di
bibir.
Citra menggelengkan kepala.
"Tak payahlah..." balas Citra
turut berbisik.
Rasfal tidak peduli. Dia bangkit lalu
mendekatkan wajahnya ke wajah Citra. Citra yang sudah bersedia hanya
menundukkan wajah membenarkan Rasfal untuk mengucup dahinya namun sangkaannya
meleset, spontan Rasfal mengucup pipinya.
Citra terpana. Kedengaran riuh-rendah
suara yang mengusik mereka berdua. Saat itu hanya Allah yang tahu betapa
berdebarnya Citra dengan sentuhan Rasfal. Dia menelan air liur beberapa kali.
Setelah selesai menyarung cincin, sesi
bergambar pula yang terpaksa Citra harungi. Maklumlah berkahwin dengan artis
popular terpaksalah dia mengadap semua ini belum termasuk dengan sesi temuramah
dengan stesen televisyen dan surat khabar lagi. Fuhhh, memang memenatkan!
"Ras, peluklah sikit isteri awak
tu. Baru nampak romantik. Takkan malu-malu lagi kut,"
Julie, si jurugambar untuk akhbar harian
bersuara.
Rasfal dan Citra berpandangan. Citra
menggelengkan kepala sedikit sedangkan Rasfal hanya tersenyum nipis.
Perlahan-lahan dia menarik lengan Citra supaya merapatinya dan spontan pinggang
isterinya dirangkul mesra.
Citra tergamam. Jantungnya kembali
berdetak apatah lagi tangan Rasfal masih erat memeluk pinggangnya.
"Bos, tak payahlah mesra-mesra
sangat. Seganlah.." bisik Citra.
Rasfal berpaling pada Citra yang berdiri
di sisinya. Seketika dia memandang jurugambar yang masih setia merakamkan
setiap perbuatan mereka berdua.
"Mana boleh tak mesra, depan
wartawan, depan famili, dan depan public,
kita pasangan yang hangat bercinta. Saya nak lakonan kita ni berjaya. Ingat
kontrak kita..." Rasfal turut berbisik dengan senyuman mekar di bibirnya.
Citra mencebik.
"Buatlah mulut macam tu. Saya cium
depan orang ramai ni baru awak tahu.." usik Rasfal.
Citra terkejut. Dengan pantas dia
menutup mulut. Kepalanya digelengkan.
"Tak senonohlah bos ni..."
marah Citra sambil menjeling.
Rasfal ketawa kecil. Namun, senyumannya
mati apabila melihat Atif yang kelihatan tergesa-gesa mendekati mereka berdua.
"Ras, ada berita sedih. Citra, saya
harap awak dapat bersabar..." ujar Atif selepas dia dapat menarik Rasfal
dan Citra ke tempat yang agak jauh daripada orang ramai.
"Apa maksud kau ni, Atif?"
soal Rasfal pelik.
"Berita sedih? Berita apa?"
giliran Citra pula yang menyoal. Hatinya mula merasa tidak enak.
"Aku dapat call daripada Qammar tadi, dia cakap dia call Citra tapi tak dapat. Jadi dia call aku. Hospital ada call
dia dan dia dimaklumkan ibu awak Citra...ibu awak..." Atif menghentikan
bicara apabila melihat riak Citra yang berubah keruh.
"Kenapa dengan ibu saya, encik?"
soal Citra tidak sabar. Tanpa sedar dia telah memeluk lengan Rasfal.
Atif menarik nafas panjang kemudian
dihembuskan perlahan. Begitu sukar untuk dia menyampaikan berita ini pada Citra
kerana pasti gadis itu tidak dapat menerima berita yang ingin disampaikan.
"Citra, awak sabar ya. Ibu awak dah
tak ada!" ucap Atif.
Citra terpempan. Kata-kata Atif umpama
halilintar buatnya. Namun, Citra hanya ketawa sambil kepalanya digelengkan
beberapa kali.
Rasfal memandang isterinya dengan
pandangan pelik.
"Encik tipu kan? Ibu saya cuma operate mata dan doktor dah bagi jaminan
yang ibu akan selamat. Mana boleh ibu tak ada. Encik ni bergurau pulak dengan
saya..." ucap Citra berpura-pura ketawa sedangkan air matanya sudah
meleleh di pipi.
Rasfal dan Atif berpandangan lalu Rasfal
memeluk bahu Citra, cuba untuk menenangkan gadis itu.
"Citra, soal hidup dan mati macam
ni takkanlah Atif nak main-main..." ucap Rasfal lembut.
Citra menggelengkan kepala tidak
percaya. Tidak mungkin ibunya meninggal! Tak mungkin sama sekali!
"Tapi ibu dah janji, dia takkan
tinggalkan saya!" tekan Citra sambil meraup wajahnya yang basah dengan air
mata.
Rasfal mengeluh. Dia juga terkejut
dengan berita ini tapi apa kan daya, hidup dan mati itu ketentuan Yang Maha
Esa.
"Atif, betul ke apa yang kau
cakapkan ni?" soal Rasfal inginkan kepastian.
"Ras, pasal mati ni mana boleh buat
main. Kalau kau tak percaya, jom kita pergi hospital." cadang Atif.
Rasfal mengangguk. Citra pun.
MEREKA
bertiga mempercepatkan langkah sebaik saja sampai di hospital. Sesekali Citra
mengesat air mata yang merembes laju daripada matanya. Dia takut. Dia takut
jika apa yang dikatakan oleh Atif tadi adalah kenyataan. Bagaimana dia ingin
menghadapi kenyataan jika benar-benar ibunya sudah pergi meninggalkannya?
Dari kejauhan Citra dapat melihat Qammar
yang sedang berbual bersama seorang wanita berjubah putih. Dia kenal dengan
wanita itu. Itulah Dr.Wani yang bertanggungjawab dalam pembedahan ibunya hari
ini. Lalu, Citra berlari-lari anak bagi mendapatkan Doktor Wani dan Qammar.
“Doktor, mana ibu saya?” soal Citra
tidak sabar-sabar.
Qammar dan Doktor Wani tersentak. Wajah
Qammar berubah mendung manakala Doktor Wani hanya menundukkan wajah. Dia
menggigit bibir.
“Kenapa diam ni? Ibu saya selamat kan
doktor?” soal Citra lagi sambil memegang lengan Doktor Wani yang diam seribu
bahasa.
Qammar menghembuskan nafas perlahan. Dia
dan Rasfal saling berpandangan.
“Citra, bawak bersabar. Ibu dah tak ada,
Citra…” ucap Qammar.
Citra tergamam. Pandangannya beralih
pada wajah Qammar. Lama dia memandang wajah bekas tunangnya itu dengan
pandangan yang berbalam. Air mata sudah memenuhi kedua belah matanya itu. Dia
tidak percaya malah sukar untuk dia menerima kenyataan ini. Perlahan-lahan,
Citra menggelengkan kepala.
“Tak. Abang tipu kan? Doktor saja nak
main-main dengan saya kan? Hari tu doktor dah bagi jaminan ibu saya akan
selamat tapi kenapa sekarang abang cakap ibu dah tak ada?” soal Citra dengan
suara yang meninggi.
Qammar mengeluh.
“Cik Citra, memang kalau ikutkan
pembedahan ini boleh selamat tetapi bukan saya yang menentukan ajal seseorang.
Sewaktu melakukan pembedahan, tiba-tiba jantung Puan Cempaka berhenti berdegup.
Kami dah cuba sebaik mungkin tetapi ini semua kerja Allah, saya tak mampu untuk
mengawalnya. Ibu cik meninggal sebelum sempat pembedahan itu berakhir dan saya
klasifikasikan kes ibu cik sebagai mati mengejut.” Terang Doktor Wani dengan
lembut.
“Tidakkkk!!! Ibu tak boleh mati!!!”
jerit Citra tiba-tiba. Takung air matanya sudah pecah membasahi pipinya.
“Sabar, Citra…” ucap Rasfal lembut
sambil memegang belakang isterinya. Sebak juga hatinya melihat keadaan Citra
yang tidak tentu arah.
“Ibu tak boleh mati, doktor. Ibu tak
boleh tinggalkan saya….” Rengek Citra. Dia jatuh terjelopok di hadapan Doktor
Wani dengan tangisan yang kuat.
Qammar turut menitiskan air mata melihat
keadaan Citra lalu dia cuba untuk menyentuh bahu Citra tetapi malangnya tangan
Rasfal terlebih dahulu menarik tubuh Citra untuk bangun. Qammar pegun seketika.
Rasfal menarik Citra ke dalam
pelukannya. Tubuh gadis itu dipeluk erat bagi menenangkan isterinya yang sedang
kesedihan.
“Sabar ya, Citra. Walaupun doktor bagi
jaminan tetapi doktor bukan Tuhan. Ajal maut itu sudah ditetapkan oleh Allah.
Bawak istighfar dan ingat Allah…” bisik Rasfal lembut di telinga Citra.
Citra tidak membalas hanya tangisan yang
kedengaran. Ibu sudah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya. Bagaimana dia
ingin menghadapi semua ini? Jerit batin Citra.
“Saya tak ada sesiapa melainkan ibu
saya. Saya tak sempat nak balas jasa dia. Saya tak sempat nak tunaikan
permintaan dia untuk tengok saya kahwin. Saya…saya…” Citra tersedu-sedan di
bahu Rasfal.
“Syhhhhh….jangan
cakap macam tu. Dia pergi tidak bermakna hubungan awak dan dia terputus. Awak
masih boleh doakan dia agar dia tenang di sana….” Nasihat Rasfal lagi. Dia
mengelus lembut belakang badan Citra.
Sesekali dia memandang pada Atif yang
masih setia menunggu mereka berdua sebelum pandangannya beralih pada laman
wajah Qammar yang keruh. Dia tahu sukar untuk menerima kenyataan bahawa orang
yang kita sayang akhirnya pergi mengadap Sang Pencipta, tetapi sebagai manusia
kita harus akur dengan hukum alam bahawa setiap yang hidup pasti akan merasai
mati dan mati itu adalah sesuatu perkara yang pasti akan berlaku sama ada cepat
atau lambat tetapi yang nyata kematian itu selalu mengekori kita setiap saat.
“Tapi saya nak ibu. Saya nak ibu…”
rengek Citra lagi dengan air mata yang tidak henti-henti mengalir.
Akhirnya dia menolak tubuh Rasfal lalu
berlari masuk ke dalam wad yang menempatkan jasad ibunya. Dia sudah tidak
peduli dengan panggilan Rasfal. Dia sudah tidak peduli dengan pandangan orang
sekeliling. Apa yang berada di dalam fikirannya adalah Puan Cempaka. Hatinya
takkan puas selagi wajah Puan Cempaka tidak kelihatan di matanya.
“Citra!!” laung Rasfal kuat lalu
mengejar isterinya dari belakang. Qammar dan Atif mengikuti dari belakang.
“Ibu!” panggil Citra sambil merempuh
pintu bilik wad. Langkahnya terhenti apabila melihat sekujur tubuh yang
terbaring kaku di atas katil sambil seluruh tubuhnya diselubungi dengan kain
putih sehingga menutupi keseluruhan wajahnya.
“Ibu….” Suara Citra bertukar perlahan.
Dia duduk di birai katil dengan tangisan yang tertahan-tahan. Kolam air matanya
sudah pecah berderai. Hatinya luluh dan lumpuh saat melihat wajah Puan Cempaka
disebalik kain putih.
“Ibu, bangun, bu. Citra datang ni. Citra
bawak menantu ibu…” ucap Citra sambil menggoncang lengan Puan Cempaka yang
kaku.
Namun, tiada jawapan daripada Puan
Cempaka. Hanya bibir yang membiru itu saja yang kelihatan mengukir senyuman.
Wajahnya kelihatan berseri-seri.
“Ibu tidur kan? Ibu tak mati kan? Citra
tahu ibu tidur. Tapi kenapa Abang Qammar dan Doktor cakap ibu dah meninggal?
Ibu mana boleh tinggalkan Citra. Ibu sayang Citra kan? Citra pun sayangkan
ibu….” Ucap Citra lagi sambil mengesat air matanya yang merembes di pipinya
dengan kasar.
“Ibu, bangunlahh…” rengek Citra lagi.
Dia menggoncangkan tubuh Puan Cempaka yang kaku.
“Citra, jangan macam ni. Ibu dah tak
ada. Sabar ya, sayang…” pujuk Qammar yang duduk berlutut di hadapan Citra. Dia
turut menitiskan air mata melihat kepiluan Citra.
Citra menggelengkan kepala. Basah
wajahnya dengan air mata tetapi dia tetap tidak dapat menerima yang ibunya
sudah pergi buat selama-lamanya.
“Citra tak percaya, abang. Baru semalam
ibu bergurau dengan Citra. Ibu nak tengok suami Citra, mana boleh ibu
tinggalkan Citra. Citra sayang ibu…” ucap Citra lagi dengan linangan air mata
yang tidak henti-henti mengalir.
Qammar terdiam. Dia menggigit bibir.
Rasfal yang berdiri di muka pintu hanya
mampu memandang Citra dan Qammar. Dalam hati dia turut sebak melihat isterinya
yang menangis pilu. Timbul simpatinya pada nasib Citra.
“Pergilah pujuk isteri kau tu. Kesian
dia aku tengok. Dia betul-betul perlukan kau saat ini. Kau kena beri semangat
pada dia…” ujar Atif sambil menepuk lembut bahu Rasfal.
Rasfal berpaling pada Atif. Dia
tersenyum nipis.
“Aku rasa dia lebih memerlukan Qammar
daripada aku…” balas Rasfal.
“Tapi kau suami dia. Kau lebih berhak…”
ujar Atif membuatkan Rasfal terdiam.
Dia hanya memandang Citra dari jauh.
Apabila dia melihat Qammar cuba untuk menyentuh tangan Citra, dengan pantas
Rasfal melangkah menghampiri Citra dan Qammar.
“Qammar, tolong tinggalkan I dengan
Citra sekejap…” pinta Rasfal membuatkan Qammar berpaling ke arahnya.
“Tapi saya nak temankan Citra…” bantah
Qammar.
Rasfal mengetap bibir.
“Ya I tahu you nak temankan dia. Tapi
dia isteri I..” ucap Rasfal tegas.
Qammar terdiam. Akhirnya dia menurut.
Dia meninggalkan Rasfal dan Citra berdua bersama-sama dengan jasad Puan
Cempaka.
Rasfal menarik nafas panjang sebelum
melepaskannya perlahan. Dia merenung wajah Citra yang masih basah dengan air
mata sebelum matanya dialihkan pada wajah Puan Cempaka yang kaku tidak
bernyawa. Perlahan-lahan, dia menarik kain lalu menutup wajah Puan Cempaka.
“Jangan tutup! Jangan tutup muka ibu!”
marah Citra sambil menarik tangan Rasfal daripada memegang kain.
Rasfal menarik tangan Citra. Kedua
tangan itu digenggam kemas. Wajah itu ditarik agar menghadapnya.
“Ibu dah tak ada, Citra! Cuba sedar
sikit. Jangan jadi macam budak-budak! Cuba awak tengok. Ibu dah tak bernyawa.
Ibu dah meninggal!” ujar Rasfal dengan suara yang meninggi.
Bukan niatnya untuk berkasar dengan
Citra tetapi dia perlu menyedarkan Citra tentang kematian Puan Cempaka.
“Tak! Ibu tak meninggal! Ibu tengah
tidur tu!” Citra melawan.
Rasfal menarik nafas panjang. Dia
memegang kedua belah pipi Citra dengan tapak tangannya.
“Jangan jadi bodoh, Citra. Kalau
menangis air mata darah sekali pun, ibu takkan hidup semula. Dia milik Allah,
bila-bila masa dia akan kembali pada Allah. Ingat sikit. Ibu awak milik Allah,
bukan milik awak!” sergah Rasfal.
Citra terkejut. Dia terdiam. Kata-kata
Rasfal menusuk ke hatinya. Jadi betullah ibu meninggal? Hatinya menyoal.
Akhirnya dia menangis dan terus menangis.
Rasfal kebingungan. Dia tidak tahu apa
yang patut dilakukan untuk memujuk Citra namun akhirnya dia menarik Citra ke
dalam pelukan.
“Kalau nak menangis, menangis jelah.
Saya faham perasaan awak. Tapi awak kena ingat, awak menangis dan meratap macam
ni, ibu awak akan sakit. Awak nak ibu awak sakit disebabkan awak?” soal Rasfal
lembut.
Pantas, Citra menggelengkan kepala.
“Kalau macam tu, kita kena percepatkan
urusan pengebumian ibu awak. Kalau awak sayangkan dia, awak relakan dia pergi.
Dia pergi bukan ke mana-mana tapi dia pergi berjumpa dengan Pencipta kita.
Percayalah, Allah akan menjaga ibu awak lebih baik daripada awak menjaga ibu
awak…” pujuk Rasfal lagi.
Citra tidak membalas. Dia hanya
menganggukkan kepala. Kata-kata Rasfal membuatkan hatinya sedikit terubat
tetapi kesedihannya tetap tidak akan hilang. Ibu pergi buat selama-lamanya
meninggalkannya seorang di atas muka bumi ini. Bagaimana dia ingin menghadapi
semua ini? Akhirnya, Citra memperkemaskan pelukannya. Rasa tenang berada dalam
pelukan suaminya.
No comments:
Post a Comment