“AKU
balik dululah, Ras. Kalau ada apa-apa, kau call
aku,” ucap Atif sambil menepuk lembut lengan Rasfal yang berdiri di hadapannya.
Rasfal hanya mengangguk.
“Kau tak payah risau. Tahulah aku jaga
diri nanti,” balas Rasfal tersenyum nipis.
“Kau jagalah Citra baik-baik. Kesian aku
tengok dia, menangis sepanjang hari. Kau tengoklah tu, termenung je kerja dia…”
ucap Atif sambil menunjukkan ke arah Citra yang duduk termenung di atas tangga
rumah.
Rasfal berpaling. Satu keluhan kecil
terbit daripada celah bibirnya melihat Citra yang hanya termenung sambil
ditemani oleh Datin Rohana. Sebaik saja pulang dari tanah perkuburan, gadis itu
hanya mendiamkan diri. Sepatah ditanya, sepatah yang dijawab.
“Insya- Allah, dia tengah sedih aku
cakap apa pun, bukan dia nak dengar. Biarlah dia layan perasaan dia dulu. Anak
mana yang boleh tahan sedih kalau ibu meninggal. Kalau aku dekat tempat dia
pun, tentu aku akan jadi sasau macam dia…” balas Rasfal menyebelahi Citra.
Atif tersenyum nipis. Apa yang dikatakan
Rasfal ada benarnya juga. Dia mengeluh sebelum meminta diri untuk pulang.
Rasfal berlalu ke arah Datin Rohana yang
setia menemani Citra. Mamanya itu memeluk erat bahu Citra yang sedang menahan
tangis. Sayu hatinya melihat keadaan Citra yang tidak bermaya.
“Citra, mama tahu Citra sedih. Kalau
mama cakap apa pun Citra tentu tak dapat terima tapi mama nak Citra tahu yang
Citra masih ada mama. Masih ada papa dan Citra masih ada Ras. Kita satu
keluarga kan? Mama tak nak Citra rasa Citra keseorangan dalam dunia ni
sedangkan mama dan papa masih ada untuk temani Citra. Mama rasa yang Ras akan
jaga Citra dengan baik sebagaimana ibu Citra jaga Citra…” ucap Datin Rohana
sambil mengelus lembut bahu Citra yang bersandar di bahunya.
Rasfal terdiam mendengar kata-kata Datin
Rohana. Mampukah aku untuk menjaga gadis ini sedangkan perkahwinan itu hanya
sementara?
“Betul cakap mama tu, Citra. Saya masih
ada untuk awak. Jika saya sanggup untuk menikahi awak bermakna saya sudah
bersiap sedia untuk menjaga awak buat selama-lamanya…” ucap Rasfal. Entah dari
mana datangnya kata-kata itu Rasfal tidak pasti. Dia hanya bercakap apa yang
terlintas di hatinya.
Citra mendongak. Lama dia memandang
wajah Rasfal sebelum dia kembali memeluk Datin Rohana. Kata-kata Rasfal
membuatkannya kembali sebak kerana dia tahu perkahwinan ini tidak akan kekal
lama. Selepas perkahwinan ini tamat ke mana lagi dia akan pergi? Ke mana lagi
dia harus membawa dirinya yang bersendirian di bumi yang luas ini? Dia tiada
tempat untuk bergantung apatah lagi untuk menumpang kasih-sayang.
“Laaaa…kenapa menangis pulak ni?” soal
Datin Rohana pelik. Dia menjenguk wajah Citra yang tersembam di dadanya.
Citra menggelengkan kepala. Dengan
pantas dia menyeka air mata yang merembes di pipinya.
“Mama kena balik dah. Papa dah tunggu
tu. Ras, kamu jaga Citra elok-elok…” ucap Datin Rohana sambil menggosok lembut
belakang badan Citra sebelum dia bangun
dan mendapatkan Rasfal.
“Citra tu isteri kamu. Jaga dia
baik-baik dan jangan nak buat perangai pulak…” ujar Datin Rohana sambil
berbisik di tepi telinga Rasfal.
Rasfal hanya mampu mengangguk. Nampaknya
begitu mudah untuk mamanya menerima Citra tanpa banyak soal sedangkan sebelum
ini semua kawan perempuan dan rakan artis wanita tidak berkenan di mata
mamanya.
“Insya-Allah, mama. Mama jaga diri baik-baik.
Ras akan jaga Citra…” balas Rasfal.
Selepas bersalaman dengan papa dan
mamanya, Rasfal kembali mendapatkan Citra yang duduk termenung di atas tangga.
Dia mengeluh kecil sebelum melabuhkan punggung di sisi Citra. Buat seketika dia
merenung wajah Citra yang kelihatan pucat tidak bermaya.
“Sunyi je bila ibu tak ada. Biasanya,
kalau petang-petang macam ni, saya selalu bawak ibu pergi jalan-jalan. Ibu
pulak suka sangat makan ABC dekat kedai depan tu…” cerita Citra tanpa dipinta.
Dia menarik nafas sedalam-dalamnya cuba
menahan rasa sebak yang kembali mengetuk dada. Bibirnya digigit perlahan.
Rasfal terdiam. Dia hanya membiarkan
Citra terus bercerita. Mungkin dengan cara seperti itu, Citra akan merasa lebih
lega.
“Sekarang semuanya sudah berubah. Rumah
ni sunyi tanpa ibu, hidup saya juga sepi tanpa ibu. Saya dah tak ada sesiapa
lagi atas dunia ni untuk saya bergantung harap. Kenapalah bukan saya yang pergi
dulu…” ujar Citra. Air matanya menitis laju.
Rasfal tersentak. Dia mengetap bibir.
“Citra, awak tak boleh cakap macam tu.
Cara awak cakap tu seolah-olah awak tak redha dengan apa yang Allah tetapkan
untuk awak. Saya mengaku saya bukan seorang yang ahli untuk bercakap soal agama
tapi awak kena ingat dan yakin, hidup dan mati itu ketetapan Allah. Tidak cepat
ataupun lambat, awak dan saya akan pergi juga. Awak kena yakin, apabila Dia
mengambil seseorang yang awak sayang bermakna Dia akan mengantikannya dengan
lebih baik…” nasihat Rasfal lembut.
“Kematian bukan penamat sebuah kehidupan
tetapi permulaan sebuah perjalanan kita sebagai manusia. Saya percaya ibu akan
bahagia kalau awak lepaskan dia pergi…” sambung Rasfal lagi membuatkan Citra
tertunduk.
“Saya tahu tapi hati saya ni rapuh
sangat. Saya rasa macam saya ni anak yang tak berguna. Ibu meninggal tanpa sempat
melihat saya sedangkan itu impian saya. Saya dah berkorban segalanya supaya ibu
dapat melihat semula tapi awak tengoklah…dia pergi tinggalkan saya seorang…”
balas Citra dengan suara yang tersekat-sekat.
“Tiada siapa yang tahu apa yang akan
terjadi esok apatah lagi yang akan datang. Kita hanya mampu merancang tapi
setiap perancangan kita tidak mampu menandingi perancangan yang di atas sana.
Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk awak, Citra. Saya tahu perkahwinan ini
adalah pengorbanan awak untuk ibu tetapi pemergiaan ibu bukan rancangan kita.
Rela atau tidak, saya tak boleh nak batalkan perjanjian kita…” ujar Rasfal.
Citra mengeluh kecil. Air matanya diseka
dengan jari. Itu salah satu masalah lagi. Sepatutnya apabila pembedahan itu
berjaya, dia akan menerima gaji daripada Rasfal tetapi sekarang berlaku
sebaliknya. Ibunya sudah meninggal dunia dan sekarang dia sudah sah menjadi
isteri kepada pelakon dan pengarah terkenal. Dia terperangkap!
“Tapi saya tak nak menyusahkan awak…”
“Susah atau tidak semuanya sudah
dipersetujui dan awak tak boleh berpaling lagi. Satu Malaysia dah tahu yang
saya berkahwin dengan awak dan tak mungkin saya akan ceraikan awak dalam masa
terdekat ni. Awak kena faham dengan situasi saya. Saya boleh berikan gaji
setiap bulan pada awak kalau awak nak sebagai upah jadi isteri saya…” balas
Rasfal. Dia mula berpeluh apabila dapat tanda-tanda yang Citra ingin menarik
diri. Mana boleh tarik diri. Malu muka aku nanti. Detik hati Rasfal.
Citra mengeluh lagi. Otaknya semakin
sakit memikirkan masalah yang melanda hidupnya. Dia inginkan ketenangan seperti
dahulu. Sewaktu ibunya masih hidup.
“Nantilah saya fikirkan kemudian. Kalau
bos nak balik ke KL, bos baliklah. Biarkan saya seorang dekat sini…saya faham
bos tentu sibuk…” balas Citra. Dia sedikit pun tidak menoleh pada Rasfal yang
berada di sisi. Entah mengapa dia rasa sedikit kekok berdua-duaan dengan Rasfal
walaupun lelaki itu sah menjadi suaminya.
“Saya ni public figure, Citra. Kalau saya tinggalkan awak keseorangan dekat
sini, apa kata orang nanti. Tak pasal-pasal masuk paper, sekarang ni wartawan cari peluang untuk create berita yang panas walaupun benda itu tak sahih. Saya akan
temankan awak sampai majlis tahlil untuk ibu selesai selepas tu kita balik KL.
Kita masih ada majlis resepsi…” terang Rasfal.
Citra mengetap bibir. Kata-kata Rasfal
tidak ubah seperti seorang bos yang memberi arahan pada anak buahnya. Mendatar
saja bunyinya langusng tidak wujud kemesraan. Apa yang kau harapkan, Citra?
Ingat, dia hanya majikan kau dan kau adalah pekerja dia. Itu saja. Hati
kecilnya mengingatkan.
“Bos tak kisah ke bermalam dekat rumah
saya yang serba kekurangan ni. Saya segan…” jawab Citra sambil menundukkan
wajahnya.
Rasfal tersenyum manis. Wajah Citra yang
bertudung putih dipandang lama sebelum matanya jatuh pada jari-jemari Citra
yang masih merah berinai. Terasa ingin digenggam jari-jemari itu tapi Rasfal
tersedar, dia perlu menjaga batas antara dia dan Citra.
“Saya ni pernah tidur seminggu dalam
hutan apa nak dikisahkan sangat kalau tinggal dekat rumah awak dua hari. Janji
saya dapat makan, minum dan tidur. Selebihnya saya tak kisah…” balas Rasfal
tersenyum.
Citra berpaling. Mata mereka berlaga
membuatkan Citra terkedu seketika. Dia tidak percaya pelakon terkenal seperti
Rasfal berkata seperti itu. Walaupun air muka lelaki itu kelihatan sombong tapi
ternyata Rasfal bukanlah seperti yang dia fikirkan. Masih ada sifat baik dalam
diri lelaki itu pasti terikut perangai Datin Rohana yang tidak sombong.
“Kalau macam tu, saya nak kemas apa yang
patut. Malam ni ada tahlil, lepas maghrib orang masjid akan datang. Saya harap
bos dapat turut serta masa tahlil nanti…” ucap Citra selepas melarikan
pandangan ke tempat lain.
Rasfal tersenyum kecil. Dia mengangguk.
Dalam hati dia tercuit dengan sikap malu-malu yang ditunjukkan oleh Citra tanpa
sedar.
“Memang itu pun niat saya nak bermalam
dekat sini tapi depan orang ramai ataupun mama dan papa, tolong jangan panggil
saya bos, boleh?” pinta Rasfal.
Dahi Citra berkerut. Dia berpaling pada
Rasfal.
“Habis tu saya nak panggil bos apa?
Takkan nak panggil nama je…”
“Panggil macam biasa je. Kalau awak tak
keberatan panggil je abang lagipun saya lebih tua daripada awak…” balas Rasfal
tersengih.
Bulat mata Citra memandang wajah Rasfal.
Abang? Macam tak sesuai je.
“Mana boleh, awak bos saya takkan saya
nak panggil abang pulak. Nanti marah pulak Abang Qammar.” Jawab Citra sambil
menggelengkan kepala.
Rasfal terdiam seketika apabila nama
Qammar disebut oleh Citra. Hampir dia terlupa yang Citra sudah mempunyai
tunangan.
“Depan orang ramai awak panggillah
dengan panggilan yang elok sikit, tapi kalau belakang orang, terpulang pada
awak…” balas Rasfal membuat kata putus.
“Hmmm…insya-Allah
saya akan cuba. Saya masuk dulu, saya nak kemas bilik untuk awak. Bolehlah awak
rehatkan badan. Saya ni terlalu banyak menyusahkan awak…” ujar Citra kemudian
dia bangun.
Rasfal hanya menganggukkan kepala
sebelum dia kembali menyambung lamunannya.
MAJLIS
tahlil selesai dengan selamat. Walaupun dirinya masih bersedih namun Citra cuba
cekalkan hati tetapi saat imam membacakan doa, air mata Citra tumpah juga
apabila wajah ibunya menari-nari di ruang mata.
Kini, semua tetamu sudah pulang ke
rumah, tinggal Citra bersendirian mengemas ruang tamu yang belum selesai
dikemas.
“Assalamualaikum…” sapa satu suara
membuatkan Citra berpaling ke muka pintu.
“Waalaikummusalam…” jawab Citra apabila
terlihat wajah Rasfal yang kacak berbaju melayu dan berkain pelekat berdiri di
muka pintu.
Rasfal melangkah masuk menghampiri
Citra. Suasana rumah itu sunyi sepi hanya tinggal mereka berdua sahaja. Suasana
itu cukup membuatkan Rasfal terasa kekok. Dia kekok apabila berdua dengan Citra
saat ini.
“Nak saya tolong ke?” soal Rasfal memulakan
bicara.
Citra memandang sekilas pada Rasfal yang
masih setia memandang wajahnya.
“Tak payahlah. Saya boleh kemas. Kalau
awak nak rehat, saya dah kemas bilik. Awak pergilah. Maaflah kalau awak tak
selesa…” jawab Citra sambil tangannya lincah menyapu ruang tamu.
“Berapa kali saya nak cakap yang saya
tak kisah dengan semua tu. Cuma saya nak bagitahu awak, esok saya kena balik
KL, ada wawancara dengan Astro Ria..” ucap Rasfal. Dia berlalu ke tepi tingkap.
Citra menghentikan perbuatannya. Dia
mengangkat wajah seketika sebelum menunduk kembali.
“Kalau macam tu, bos baliklah. Saya nak
tinggal dekat sini lagi.”
“Awak nak tinggal dalam rumah ni
sorang-sorang? No, no, saya tak benarkan!” tingkah Rasfal
sambil menggelengkan kepala.
Citra terdiam seketika. Dia memandang
wajah Rasfal yang kelihatan tegang.
“Tapi kenapa? Ini rumah saya…” balas
Citra.
“Ya, saya tahu ini rumah awak tapi
bahaya awak tinggal sorang diri dalam rumah ni. Kalau mama tahu mesti saya yang
kena marah. Awak tak dengar apa yang mama pesan tadi?” soal Rasfal. Suaranya
kedengaran tegang.
Citra tidak menjawab. Perlahan-lahan dia
menghampiri Rasfal yang berdiri di tepi tingkap. Wajah lelaki itu dipandang
lama.
“Saya dengar, tapi saya nak tinggal lama
lagi kat sini. Saya belum puas tinggal kat sini. Hanya rumah ni saja kenangan
yang saya ada dengan ibu saya…” ucap Citra perlahan.
Rasfal menarik nafas panjang. Cuba
bersabar dengan karenah Citra yang seakan tidak mahu menerima kenyataan bahawa
Puan Cempaka sudah meninggalkan mereka buat selama-lamanya.
“Apa lagi yang awak nak tunggu, Citra?
Ibu dah meninggal. Awak tak faham ke? Buat apa awak kenang kalau ternyata ibu
takkan kembali. Menangislah air mata darah sekalipun, ibu takkan hidup semula.
Cuba awak belajar terima kenyataan. Jangan jadi perempuan yang lemah!” suara
Rasfal meninggi.
Bahu Citra terhinjut mendengar suara
Rasfal yang meninggi. Spontan air matanya mengalir. Bukan dia tidak dapat
menerima kenyataan tetapi saat ini hatinya sangat rapuh. Dia baharu kehilangan
ibunya jadi wajar kalau dia berasa sedih.
“Saya…saya cuma…cuma nak tinggal kat
sini je…” ujar Citra dengan sendu yang semakin berlagu. Dia menundukkan
wajahnya.
Rasfal mengeluh. Dia meraup wajahnya
yang terasa lesu. Tanpa dia sedari, dia sudah menyakiti hati Citra. Lalu, dia
memegang kedua bahu Citra. Wajah gadis itu yang sedang tersedu sedan dipandang
lama.
“Maaf, saya tak sengaja…”
“Saya tahu saya banyak menyusahkan bos
sampaikan ibu saya meninggal pun saya susahkan bos. Sepatutnya saya selesaikan
masalah bos bukan mengheret bos dalam masalah saya ni…” lirih suara Citra
kedengaran menyebabkan Rasfal kehilangan kata. Setiap kali melihat air mata
mengalir dari anak mata bundar itu, hatinya terasa sakit dengan sendirinya.
“Citra….bukan itu maksud saya…”
“Saya tak salahkan bos kalau bos tak
faham keadaan saya sebab bos tak pernah berada di tempat saya. Selepas abah
saya meninggal dunia, hidup ibu saya bagaikan dalam kegelapan, dia menangis dan
terus menangis sehingga meragut pandangannya. Waktu itu saya tak mampu buat
apa-apa hanya berdoa yang ibu akan sembuh, bila ibu ada peluang untuk
sembuh…dia pergi buat selama-lamanya. Bos tahu apa yang saya rasa, saya rasa
saya tak guna….” Luah Citra. Air matanya terus menitis dengan laju mengenangkan
dirinya yang tidak mampu membalas jasa ibunya.
Rasfal menghela nafas panjang. Dia
menggigit bibir. Menyesal kerana telah meninggikan suara pada gadis itu
sehingga memaksa gadis itu meluahkan perasaannya.
“Saya minta maaf. Saya tahu awak sedih
tak sepatutnya saya marahkan awak tapi saya tak nak awak jadi perempuan yang
lemah. Saya tahu awak seorang yang tabah dan kuat. Pertama kali saya melihat
awak, saya tahu awak seorang yang kuat, Citra.” Pujuk Rasfal lembut.
“Saya kuat apabila ibu ada bersama
dengan saya tapi sekarang saya tak ada siapa-siapa. Saya keseorangan atas dunia
ni, bos tahu tak? Saya tak ada sesiapa!” suara Citra meninggi bersama sendu
yang tidak tertahan. Dia menjarakkan diri daripada Rasfal.
Rasfal mengeluh. Lalu, dia menarik Citra
ke dalam pelukannya. Niatnya hanya untuk menenangkan Citra yang bagaikan hilang
pedoman. Tubuh itu meronta minta dilepaskan tetapi Rasfal memperkemaskan lagi
pelukannya. Dia berharap agar gadis itu kembali tenang.
“Siapa cakap awak keseorangan? Awak
masih ada saya…masih ada mama dan papa saya…” ujar Rasfal memujuk.
Citra membalas pelukan Rasfal. Saat ini
dia betul-betul perlukan seseorang untuk meluahkan perasaannya. Sungguh hati
dan jiwanya lemah saat ini.
“Tapi semuanya untuk sementara…apabila
semuanya dah tamat, awak juga akan tinggalkan saya. Semuanya akan pergi dari
saya….” Rengek Citra lagi.
Rasfal kehilangan kata. Apa yang
dikatakan oleh Citra itu ada benarnya juga. Hubungan mereka sementara.
Perkahwinan ini juga sementara. Bagaimana
nasib gadis ini setelah mereka berpisah nanti?
“Awak jangan fikir perkara yang jauh,
hiduplah untuk hari ini. Perkara yang terjadi esok, biar Allah yang tentukan.
Kuatkan semangat awak,” pujuk Rasfal lembut. Dia cuba menjenguk wajah Citra
yang erat memeluk tubuhnya namun wajah itu tidak kelihatan kerana tersembam di
dada bidangnya. Basah baju melayunya dek air mata Citra.
“Lepas ni awak tinggal dengan saya, saya
akan jaga awak. Esok kita balik rumah saya ye…” sambung Rasfal lagi apabila
tiada balasan daripada Citra.
Dahi Rasfal berkerut apabila tiada
jawapan daripada Citra. Hanya terdengar dengusan nafas gadis itu yang dekat di
wajahnya.
“Citra…” panggil Rasfal lalu menolak sedikit tubuh Citra yang
kelihatan lemah.
“Laaaa…tidur rupa-rupanya.” Ujar Rasfal
kemudian dia tersenyum sendirian.
“Tengah berdiri pun boleh tidur. Pelik
betul Citra ni…” omel Rasfal sendirian. Lalu dia mencempung tubuh Citra dan
dibawa tubuh genit itu ke biliknya.
Tubuh Citra dibaringkan dengan
berhati-hati. Tudung yang melekat di kepala gadis itu dibuka lalu diletakkan di
sisi Citra. Rasfal terpaku seketika saat melihat wajah sebenar Citra tanpa
mengenakan tudung. Sungguh polos wajah itu saat tidur. Perlahan-lahan jari
Rasfal menguis anak rambut Citra yang menutupi dahi gadis itu. Sisa air mata
yang mengalir di pipi Citra yang mulus diseka dengan jari-jemarinya.
“Berat betul ujian untuk kau, aku harap
kau dapat harungi semua ni sebab aku tahu kau seorang yang tabah…” desis Rasfal
sendirian.
Dia tersenyum sebelum menarik kain
selimut dan menyelimuti tubuh Citra. Dia bangun setelah segalanya selesai.
“Selamat malam, Citra…” ucap Rasfal
sebelum menutup suis lampu.
No comments:
Post a Comment