HAMPIR
terbuka luas mulut Citra saat melangkah masuk ke dalam dewan hotel yang begitu
besar dan mewah. Kalau tidak silap Citra, hampir dua ribu tetamu yang dijemput
untuk meraikan majlis resepsi itu nanti. Sungguh Citra kecut perut apabila
membayangkan suasana majlis yang gah itu nanti.
“Berapa yang awak habis itu majlis ni?”
soal Citra sambil berbisik di sebelah Rasfal.
Rasfal berpaling dan tersenyum nipis.
“Lebih daripada sepuluh ribu,” balas
Rasfal.
Lebih daripada sepuluh ribu? Mulut Citra
terlopong. Lelaki itu sanggup menghabiskan duit semata-mata untuk majlis
perkahwinan yang tidak akan berpanjangan ini? Kalau Citra cukuplah diadakan
kenduri doa selamat. Itu sudah memadai.
“Banyaknya tu. Awak tak rasa membazir
ke? Kita kahwin bukannya lama. Nanti awak nak bayar gaji saya lagi,” ujar Citra
sambil membuntuti langkah Rasfal menuju ke arah pelamin yang sudah dihias
cantik.
“Kau anggaplah apa yang berlaku sekarang
ini umpama dalam filem. Semua yang aku lakukan ini ibarat seperti modal untuk
filem aku. Kau tak payah bimbang, semua yang aku lakukan ini untuk kepentingan
aku dan aku takkan menyesal,” balas Rasfal sambil matanya memandang ke kiri dan
kanan. Bimbang jika ada yang mencuri dengar perbualan mereka berdua.
Citra hanya menganggukkan kepala.
Tiba-tiba, matanya menangkap kelibat Atif dan Qammar yang sedang membincangkan
sesuatu. Kelihatan Qammar tekun mendengar arahan daripada Atif.
“Abang Qammar!” panggil Citra sedikit
teruja. Sejak arwah ibunya meninggal, baharu hari ini dia berpeluang untuk
bertemu dengan Qammar. Rasa rindu untuk menatap wajah tunang tersayang hilang
begitu saja apabila Qammar memandang ke arahnya.
“Saya nak jumpa Abang Qammar sekejap,
boleh?” pinta Citra pada Rasfal yang berdiri di sebelahnya. Lelaki itu hanya
mendiamkan diri.
“Atif! Qammar!” panggil Rasfal lalu
menggamit kedua lelaki itu untuk supaya datang ke arahya.
Citra tersenyum apabila Qammar dan Atif
berjalan menuju ke arahnya. Matanya setia memandang wajah Qammar yang suram tanpa
senyuman sedangkan bibir Atif sudah melebarkan senyuman.
“Apa khabar pengantin baru?” soal Atif
sambil bersalaman dengan Rasfal.
“Pengantin baru abah kau,” balas Rasfal
kemudian mereka berdua ketawa. Rasfal menumbuk lembut bahu Atif. Kehadiran
Qammar tidak diendahkan Cuma sesekali matanya melirik pada Citra yang kelihatan
begitu gembira kerana dapat bertemu dengan Qammar.
“So
far macam mana dengan progress
majlis ni? Semua dah settle ke?” soal
Rasfal sambil memandang wajah Atif dan Qammar.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan
lancar. Cuma bahagian audio dan kamera yang belum set up lagi. Bahagian lighting
dah siap sepenuhnya,” terang Atif.
“Saya cuma perlukan dua hari untuk
siapkan bahagian kamera. Insya-Allah, akan siap before bos bersanding,” ucap Qammar pula.
Rasfal hanya menganggukkan kepala.
“Atif, ikut aku sekejap,” ujar Rasfal
sambil mengajak Atif untuk meninggalkan Citra dan Qammar. Dia tahu tentu ada
yang perlu dibincangkan antara Qammar dan Citra.
“Kita nak ke mana?” soal Atif pelik.
“Ikut jelah. Banyak bunyi pulak kau ni,”
bebel Rasfal sambil menarik tangan Atif.
“Aku bagi kau peluang tapi jangan nak
lebih-lebih. Ingat sikit yang kau tu isteri siapa sekarang,” Rasfal memberi
amaran sambil berbisik.
Citra menganggukkan kepala tanda faham.
Dia hanya mampu menghantar kelibat Rasfal dan Atif dengan pandangannya sebelum
anak matanya kembali beralih pada laman wajah Qammar yang kelihatan muram.
“Abang tak sihat ke? Citra tengok macam
tak gembira je,” Citra bersuara.
“Tunang mana yang akan gembira kalau
tunang dia akan bersanding dengan lelaki lain. Seksa abang tengok Citra dengan
bos sedangkan abang lebih berhak pada Citra. Citra cintakan abang kan?” luah
Qammar.
Citra mengeluh kecil.
“Memang Citra cintakan abang tapi siapa
yang setuju untuk Citra terima tawaran bos dulu kalau bukan abang. Berapa kali Citra
cakap yang benda ini mengarut tapi abang nak Citra terima juga. Sekarang abang
tengoklah, kita jauh terpisah. Walaupun Citra ada depan mata abang tapi kita
tak dapat bersama,” keluh Citra.
“Tolong jangan ungkit apa yang berlaku,
Citra. Abang tahu abang yang hasut Citra untuk terima tawaran bos tapi demi
kepentingan ibu. Abang tak nak tengok Citra jatuh sakit sebab bekerja keras
kumpul duit untuk operation ibu.
Abang sayangkan Citra dan kalau boleh abang tak nak tengok Citra terbeban walau
sikit pun,” balas Qammar.
“Selagi abang berada di sisi Citra,
selagi itulah Citra takkan rasa terbeban. Sekarang kita dah tak boleh undurkan
masa ataupun hentikan semua ini. Citra harap abang dapat tunggu Citra sampai
perkahwinan ini tamat,” ujar Citra sambil meraup wajahnya.
Qammar terdiam. Dia memandang wajah
Citra. Selama dia kenal Citra semenjak di bangku sekolah menengah lagi, dia
tahu Citra memang seorang gadis yang baik malah gadis itu jarang sekali
membantah kata-katanya.
“Abang pasti akan tunggu Citra. Citra tu
jangan pula lupakan abang lepas kahwin dengan lelaki kaya. Dahlah pelakon,
popular pulak tu. Abang ni apalah yang ada,” ujar Qammar seolah berjauh hati.
“Abang ada hati Citra yang tak pernah
Citra beri pada sesiapa pun,” pintas Citra dengan suara yang ceria.
Qammar tergelak kecil. Dia tersenyum
manis pada Citra yang kelihatan ayu dengan tudung syiria berwarna oren.
“Kalau Citra sayangkan abang, abang nak
minta sesuatu dengan Citra boleh tak?” soal Qammar perlahan. Dia memandang ke
kiri dan kanan. Dia mendekati Citra.
“Apa dia, bang?” soal Citra pelik.
“Abang nak pinjam duit sikit boleh? Kereta abang asyik meragam jelah. Tentu bos
ada bagi Citra gaji kan?”
“Duit yang bos abang bagi hari tu mana?”
soal Citra.
“Duit tu abang dah bagi pada adik abang.
Dia orang nak buat belanja sekolah. Citra tahulah kan, sekarang ni sekolah
banyak aktiviti, duit pun kena banyak keluar,” ujar Qammar cuba menyakinkan
Citra.
“Tapi sekarang ni Citra tak ada banyak
duit, dalam dua ratus adalah,” balas Citra jujur.
Qammar tersenyum manis. Umpannya sudah
mengena. Tidak susah untuk memujuk gadis lurus seperti Citra. Gadis itu tidak
pandai membantah ataupun melawan kata-katanya.
“Dua ratus pun dua ratuslah. Nanti Citra
bagilah kat abang separuh gaji Citra. Gaji abang sebagai cameraman ni berapalah sangat. Dahlah abang ni banyak tanggungan,”
keluh Qammar sambil menayang muka sedih.
Sayu hati Citra mendengar rungutan
tunangnya. Dia tidak menyangka yang
Qammar mengalami kesulitan duit.
“Insya-Allah, kalau Citra dapat gaji,
Citra tolong abang. Abang kan tunang Citra tentu Citra takkan biarkan abang
hidup susah,” balas Citra lembut.
Qammar hanya tersenyum manis. Dalam hati
dia melonjak kegembiraan kerana selepas ini dia tidak perlu tentang duit kerana
dia sudah menemui lubuk yang sesuai.
“KENAPA
kau biarkan mereka berdua tu berdua-duaan? Kau tak takut ke kalau reporter nampak?” bebel Atif sambil
menjuihkan bibirnya ke arah Qammar dan Citra yang sedang berbual mesra.
“Nak takut apa? Aku kan ada dekat sini.
Lainlah kalau dia orang berdua-duaan di belakang aku. Boleh jugak aku marah,”
balas Rasfal selamba. Dia duduk di atas kerusi yang tersedia di hadapannya.
“Kau ni memang tak ada perasaan kan?” ucap
Atif geram. Dia turut melabuhkan punggung di sisi Rasfal.
“Kenapa pulak kau cakap macam tu?”
“Yelah, isteri sendiri bercakap dengan
lelaki lain kau boleh buat tak tahu je. Kalau orang lain memang dah dapat
penumbuk lelaki tu. Cubalah tunjuk yang kau ambil berat pada isteri kau tu,”
balas Atif seakan tidak berpuas hati.
“Dia cuma isteri sementara jadi tak
perlulah aku beria sangat. Lagipun Qammar tu tunang dia, biarlah dia jumpa
tunang dia puas-puas,” jawab Rasfal seolah tiada hati dan perasaan.
Atif melongo seketika. Terkebil-kebil
dia memandang wajah Rasfal. Dia tidak menyangka jawapan itu yang terkeluar
daripada mulut Rasfal.
“Tunang apa bendanya? Bekas tunang. Dia
isteri kau walaupun hanya di atas kertas. Tanggungjawab dia pada kau dan
tanggungjawab kau pada dia tetap sama seperti suami isteri yang lain. Cuba kau
alihkan fikiran kau daripada dunia drama kau, barulah kau boleh nampak
realitinya,” bidas Atif.
Rasfal tersenyum sinis.
“Inilah yang aku malas nak cakap pasal
kahwin. Asyik-asyik tanggungjawab. Kau tahu kan aku tak suka terikat dalam satu
hubungan yang lama. Rimas tahu tak. Sampai sekarang aku tak dapat nak fikir
macam mana lelaki dan perempuan boleh hidup dalam satu jangka masa yang lama.
Kalau aku tentu bosan gila. Cukuplah sekali ni je aku kahwin lepas ni aku tak
nak terikat dengan mana-mana perempuan,” balas Rasfal.
Mata Atif membulat.
“Kau tak boleh tolak fitrah kau sebagai
manusia, Ras. Satu hari nanti kau tetap perlukan teman hidup yang dapat menjaga
kau hingga akhir hayat kau,” ujar Atif masih tegas dengan pendapatnya.
“No,
no…aku tak perlukan semua itu. Ya, memang
aku tak nafikan yang perkahwinan itu satu fitrah tapi perkahwinan itu tak ada
dalam kamus hidup Ras Haqeemi. Hidup aku hanya untuk karier aku dan tak ada
ruang untuk benda lain. Aku setuju dengan cadangan kau untuk ambil Citra
sebagai isteri sementara aku dulu pun disebabkan aku tahu dia sudah bertunang,
jadi lepas berpisah dia boleh hidup dengan tunangnya. That’s it,”
“That’s
it? Kalaulah semua itu boleh berjalan seperti apa yang kau rancang alangkah
mudahnya hidup ni. Kau kena ingat Ras, memang kau boleh tulis tentang jalan
cerita hidup kau untuk dijadikan drama tapi kau tetap tak boleh menulis jalan
hidup kau sendiri sebab kita masih ada pengarah yang lebih berkuasa,” balas
Atif cuba menasihati Rasfal.
Rasfal terdiam. Memang benar kata-kata
Atif tapi mampukah untuk dia menerima seorang wanita asing untuk dijadikan
isteri? Jawapannya tentu tidak.
“Aku masih berpijak pada bumi yang
nyata, Atif. Cuma aku…”
“Itulah masalah kau, cuma...cuma…aku nak
cakap kau ni pernah kecewa dengan perempuan, rasanya kau tak pernah bercinta.
Bercakap dengan perempuan pun macam bercakap dengan musuh, aku tak tahu macam
mana reporter boleh cakap yang kau ni
playboy. Confuse aku. Kau ni ada masalah dengan perempuan ke?” soal Atif
lagi.
Rasfal hanya tersengih. Namun, sengihan
mati apabila matanya terpandang Citra seakan menghulurkan sesuatu pada Qammar
yang diambil daripada beg tangannya. Rasfal mula curiga. Bebelan Atif sudah
tidak kedengaran di telinganya.
“Stop,
stop. Aku nak balik dululah,” ujar
Rasfal mematikan bebelan Atif.
Atif terdiam. Dia memandang wajah Rasfal
yang kelihatan seperti kelam kabut.
“Awalnya nak balik. Hantaran kau tak check lagi,” balas Atif.
“Kau tolong check bagi pihak aku. Aku percayakan kau,” jawab Rasfal lalu
bingkas bangun meninggalkan Atif yang melopong melihat tingkah Rasfal yang
kelihatan tergesa-gesa.
“Entah apa kena dengan mamat sekor ni,” bebel Atif lagi sambil
menggelengkan kepala.
“DAH
habis bersembang dah?” sampuk Rasfal tiba-tiba menyebabkan Citra dan Qammar
terkejut.
Citra berpandangan dengan Qammar sebelum
air liurnya ditelan. Wajah Rasfal yang kelat itu cukup menceritakan yang lelaki
itu sedang menahan marah.
“Dah, bos…” balas Qammar dengan nada
tersekat. Janganlah dia tahu aku pinjam duit daripada Citra. Detik hati Qammar.
“Baguslah. Citra, jom balik!” ajak
Rasfal sambil menarik lengan Citra.
Citra tersentak. Dia melihat wajah
Qammar yang sudah berubah apabila Rasfal memegang tangannya. Citra juga turut
rasa bersalah.
“Tapi kita belum…”
“Tak payah nak banyak cakap, banyak hal
lagi yang kita kena settle. Jom
balik,” ajak Rasfal.
“Citra pergilah ikut bos. Lain kali kita
jumpa lagi,” ujar Qammar perlahan. Bunyi seperti orang kecewa.
Rasfal mencebik. Sesuka hati dia je nak
jumpa isteri orang. Ingat aku nak benarkan ke? Bebel hati Rasfal.
“Okeylah. Abang jaga diri baik-baik,”
ujar Citra sambil langkahnya hampir tersadung apabila lengannya ditarik oleh
Rasfal. Rela atau tidak, akhirnya dia meninggalkan Qammar. Sayu hatinya apabila
melihat wajah Qammar yang kelihatan kecewa.
‘Satu hari nanti kita akan bersatu juga,
abang.’ Desis hati Citra.
“Nak tengok apa lagi ni? Tak puas lagi
ke jumpa tadi?” soal Rasfal sedikit kasar.
Citra hanya mendiamkan diri. Dia hanya
mengikuti langkah Rasfal yang menariknya sehingga ke kereta.
“Aku nak kau terus terang dengan aku,
apa yang kau bagi pada Qammar tadi?” sambung Rasfal sebaik saja mereka berdua
berada di dalam kereta.
Citra tidak menjawab. Jantungnya berdebar
dengan soalan yang diajukan oleh Rasfal. Dia bimbang lelaki itu akan melenting
jika mengetahui dia memberikan Qammar duit.
“Saya…saya…saya tak bagi apa-apa pun,”
bohong Citra dengan suara yang tersekat-sekat. Dahinya berpeluh malah tapak
tangannya juga berpeluh. Dia resah dalam diam.
Rasfal tersenyum sinis. Dia tahu Citra
berbohong. Melihat air muka gadis itu, dia sudah tahu.
“Aku bukan budak kecik yang boleh kau
tipu. Cepat cakap apa yang kau bagi pada Qammar?!” sergah Rasfal membuatkan
bahu Citra terhinjut.
“Errr…saya
bagi Abang Qammar pinjam duit. Kereta dia rosak,” terang Citra dengan suara
yang tersekat-sekat.
Rasfal terdiam. Lama matanya menatap
wajah Citra. Dia mengetap bibir.
“Kau percaya ke?” soalnya.
“Saya sentiasa percayakan Abang Qammar.
Dia tak pernah menipu saya,” balas Citra jujur.
Rasfal hanya menggelengkan kepala.
Kesian betul Citra, langsung tak tahu perangai Qammar yang sebenarnya
bagaimana. Kalaulah gadis itu tahu tentu hancur lumat hatinya mengenangkan
tunang yang disangka baik tetapi ternyata bohong belaka.
“Jangan terlampau percaya nanti kau juga
yang menyesal. Aku bukan nak masuk campur urusan kau tapi aku tak nak kau
menderita nanti. Gaji yang aku bagi pada kau tu untuk kau simpan bukannya untuk
kau habiskan pada orang lain,” ujar Rasfal. Suaranya kembali mengendur. Enjin
keretanya turut dihidupkan.
“Abang Qammar bukan orang lain, dia
tunang saya. Dia bakal suami saya,” tegas Citra.
Rasfal menjeling. Dia mencebik.
“Tunanglah sangat. Sedarlah sikit
sekarang ni kau dah jadi bekas tunang dia,” balas Rasfal tidak mahu mengalah.
“Tak kiralah bekas tunang ke, apa ke,
yang penting hanya dia yang saya ada sekarang ni. Dia masa depan saya, hidup
saya…” ujar Citra membela Qammar.
Rasfal mendengus. Sakit pula telinganya
mendengar kata-kata Citra untuk Qammar. Macamlah hebat sangat!
“Stop
it, please. Nak bernanah telinga aku dengar. Kau nak bercinta ke, nak apa
ke janji kerja kau buat dengan sebaik mungkin dan jangan nak menimbulkan
apa-apa gosip dengan lelaki lain termasuk tunang kau tu. Aku tak suka!” ucap
Rasfal.
“Baiklah, bos. Saya ingat,” balas Citra
akur dengan keputusan Rasfal.
Rasfal mendengus apabila telefon
bimbitnya tiba-tiba berdering. Sepantas kilat dia mencapai telefonnya dan
menekan punat jawab.
“Hello!” sergah Rasfal dengan kuat. Sudahlah
hatinya panas dengan dengan kerenah Citra sekarang ada orang pula yang nak cari
pasal dengannya.
“Hello, kau ni siapa hah? Kalau tak ada
kerja yang berfaedah, jangan kacau aku!” marah Rasfal dengan suara yang
meninggi. Pantas, talian dimatikan. Telefonnya dicampak begitu saja.
Citra menelan air liur melihat wajah
Rasfal yang bengis. Dia kecut perut untuk menegur. Akhirnya dia hanya
mendiamkan diri sepanjang perjalanan.
No comments:
Post a Comment