DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 15 January 2015

Pengarah Cinta Terbaik - Bab 1


CITRA tersenyum kegembiraan. Tangan ibunya yang sedikit dingin itu digenggam kuat. Bersyukur kepada Allah kerana sekejap masa lagi ibunya akan dapat melihat seperti biasa. Namun, senyuman yang terukir mati tiba-tiba apabila dia masih belum mengetahui kos pembedahan mata yang perlu ditanggung.
“Doktor, macam mana pula dengan kos rawatannya?” soal Citra sambil memandang wajah Doktor Haiza dengan penuh tanda tanya.
“Maaflah saya cakap, kos rawatan untuk pembedahan kornea ini bukannya murah. Anggaran kos yang boleh saya cakap adalah RM30,000. Kalau awak boleh sediakan secepat mungkin, kita boleh lakukan pembedahan ini dengan cepat. Jadi ibu awak pun boleh melihat dengan cepat,” balas Doktor Haiza menjawab.
RM30,000? Mana aku nak cari? Gaji aku pun tak sampai seribu sebulan. Desis hati Citra sambil matanya mengerling wajah ibunya yang hanya mampu tersenyum nipis. Sayu hatinya melihat wajah ibunya yang tua. Teraba-raba dalam kegelapan mencari sedikit cahaya untuk menerangi harinya.
Kalau bukan disebabkan ayah mereka meninggal dunia, Puan Cempaka masih lagi dapat melihat namun dek kerana terlalu sedih ditinggalkan oleh suami tercinta, Puan Cempaka menangis tiap-tiap hari malah tiada satu saat pun Puan Cempaka tidak menitiskan air mata. Hari-hari Puan Cempaka hanya dengan tangisan mengenangkan suami tercinta. Akhirnya, akibat terlalu banyak sangat menangis, mata Puan Cempaka mengalami kerosakan dah akhirnya Puan Cempaka hilang penglihatannya.
“Insya-Allah, doktor. Saya akan cuba usahakan secepat mungkin.” Balas Citra dengan senyuman hambar.
Doktor Haiza hanya menganggukkan kepala. Dia memandang Citra yang sedang memimpin Puan Cempaka yang terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan. Timbul simpati dalam hati Doktor Haiza terhadap dua beranak ini. Namun, tiada apa yang boleh dia lakukan selain berdoa agar penyakit yang dihadapi oleh Puan Cempaka dapat disembuhkan.
“Saya minta diri dulu, doktor. Terima kasih…” ucap Citra dengan senyuman hambar terukir di bibirnya.
Doktor Haiza membalas dengan senyuman.

“Ibu rasa tak payahlah kita buat pembedahan, Citra. Ibu tak nak menyusahkan Citra. Bukan murah kos rawatan ni…” ujar Puan Cempaka sebaik saja keluar daripada bilik Doktor Haiza.
Citra mengeluh perlahan. Dia memimpin tangan Puan Cempaka untuk keluar daripada hospital. Berat sungguh apa yang dirasakan saat ini tetapi dia tidak boleh mengalah ataupun putus asa. Nasib ibunya berada dalam tangannya sekarang ini.
“Ibu tak payah risau, ya. Citra akan usahakan juga cari duit untuk pembedahan tu. Citra nak tengok ibu melihat semula. Hanya ibu yang Citra ada sekarang ni. Citra tak kisah kalau perlu susah sekali pun janji ibu dapat tengok semula.” Balas Citra sambil memeluk bahu ibunya dengan erat. Dia menahan rasa sebak yang menyerang dadanya.
“Ibu tak kisah pun Citra kalau tak dapat tengok semula. Ibu lagi senang macam ni. Kalau ibu dapat melihat pun itu lebih menyakitkan hati ibu apabila terpaksa melihat segala kenangan yang ayah kau tinggalkan. Lebih baik ibu macam ni…” keluh Puan Cempaka membuatkan air mata Citra menitis.
“Ibu duduk dekat sini dulu ye. Citra nak pergi beli air. Ibu jangan pergi mana-mana tau…” ujar Citra tanpa membalas kata-kata Puan Cempaka tadi.
Dia mendudukkan Puan Cempaka di tempat menunggu bas. Setelah ibunya duduk dengan selesa, dia mengatur langkah menuju ke gerai yang menjual minuman. Terasa haus pulak tekaknya. Namun, tiba- tiba telefon bimbitnya berdering. Lalu, dia menyeluk poket baju kurungnya dan mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia tersenyum apabila tertera nama Qammar di skrin telefon.
“Hello, assalamualaikum…” salam dihulurkan. Buat seketika Citra terlupa pada Puan Cempaka yang masih sabar menantinya.
“Citra, mana teksi ni? Lambatnya…” rungut Puan Cempaka sambil bingkas berdiri.
Dia meraba-raba ke hadapan. Satu apa pun tidak dapat dilihatnya. Terasa gelap gelita dunianya.
“Citra, kamu ke mana?” soal Puan Cempaka lagi. Dia mengatur langkah menuju ke hadapan. Hanya telinganya saja yang dapat menangkap bunyi bising di sekelilingnya namun suara Citra tidak kedengaran. Puan Cempaka resah. Ke mana pula anaknya menghilang ni? Soal hatinya.
Dia meneruskan langkahnya dengan niat mencari Citra tanpa memikirkan bahaya yang akan dihadapinya.

RASFAL mengeluh berat. Buat seketika dia memandang wajah Atif yang kelihatan tenang memandu namun sesekali kedengaran keluhan terbit daripada celah bibir Atif. Macam berat saja bunyinya padahal yang perlu menanggung segalanya adalah Rasfal.
“Keadaan dan semakin genting ni, Atif. Semalam aku terbaca dekat blog tentang gosip aku tu. Mereka sengaja nak ambil kesempatan atas kesempitan aku. Entah daripada mana datangnya gambar aku menari dengan lelaki-lelaki jambu tu pun aku tak tahu…” Rasfal mengeluh lagi.
Sejak kontroversi gay melanda dirinya, hidup Rasfal jadi haru-biru apabila ada saja wartawan yang menganggu hidupnya tidak kira di set lokasi ataupun di rumah. Hingga sampai satu tahap, mama dan papa dia pun jadi mangsa buruan wartawan yang ingin mendapatkan cerita sensasi.
“Apa yang berlaku ni, Ras?” soal Datuk Rahim dengan suara yang keras. Dia menghempaskan surat khabar harian ke hadapan  Rasfal yang menundukkan wajah di sebelah mamanya.
“Mana Ras tahu papa. Tiba-tiba je keluar cerita pasal ni…” jawab Rasfal. Suaranya tenggelam timbul. Dalam hati dia memang takut kalau papanya mengamuk. Boleh kecut perutnya apabila melihat wajah Datuk Rahim yang bengis itu.
“Kalau tak ada sebab takkan berita ni boleh keluar macam tu je? Papa malu tahu tak bila kawan-kawan papa tanya betul kamu ni lelaki yang…papa nak sebut pun malu. Belum ada dalam keturunan papa minat kaum sejenis!” balas Datuk Rahim sambil menghempas badannya ke atas sofa.
“Keturunan saya pun tak ada, bang!” sampuk Datin Rohana sambil menjeling Rasfal yang terkulat-kulat.
“Papa, mama, Ras bukan lelaki macam tu. Ras ni normal. Ras yakin mesti ada orang yang nak sabotaj Ras. Tak pernah terlintas pun dalam fikiran Ras nak suka dekat kaum sejenis. Gelilah papa…” balas Rasfal cuba menyakinkan papa dan mamanya.
“Kalau tak betul macam mana gambar kamu menari dengan lelaki-lelaki itu boleh tersebar dekat internet? Sejak bila kamu ni jadi kaki clubbing? Berapa kali papa cakap pada kamu, kalau nak jadi artis, jadilah tapi jangan lupa adat dan agama. Kamu ni dah kena kejutan budaya ke? Nak papa sedarkan ke?!” soal Datuk Rahim bertalu-talu.
Rasfal meraup wajahnya. Kusutnya keadaan. Papa dan mamanya seolah-olah tidak mempercayai kata-katanya lagi. Apa yang perlu dilakukan lagi supaya segala kontroversi ini dapat ditamatkan.
“Ras tak tahu, papa. Memang Ras mengaku yang Ras ada pergi ke kelab untuk sambut birthday kawan Ras tapi Ras tak buat kerja-kerja terkutuk tu. Ras tahu agama lagi, papa, mama.” Suara Rasfal kedengaran seakan merayu.
“Oh, tahu agama. Habis tu kelab tu bukan tempat maksiat ke? Bercampur lelaki dan perempuan. Terkinja-kinja menari macam tak ingat dunia, ini ke dunia hiburan yang kamu agung-agungkan sangat tu?” tempelak Datuk Rahim lagi membuatkan Rasfal terkedu.
“Papa…percayalah pada Ras. Mama…say something. Takkan mama pun tak percayakan Ras…Ras anak mama. Ras lelaki tulen tau…” ujar Rasfal sambil mengenggam tangan Datin Rohana dengan kemas.
“Berapa kali mama dah cakap pada kamu, dunia hiburan ini bukan sesenang yang kamu sangkakan. Silap percaturan padahnya yang akan memakan diri kamu sendiri. Tengoklah apa yang berlaku sekarang, disebabkan kontroversi kamu ni, mama dengan papa terpalit sekali. Mama malu nak keluar bila kawan-kawan mama tak habis-habis nak tanya pasal kamu. Mama tak kira, kamu kena bersihkan nama keluarga kita secepat mungkin. ASAP. Faham!” tingkah Datin Rohana pula.
Rasfal menjatuhkan kepalanya. Harapan hanya tinggal harapan. Datin Rohana pun sama seperti Datuk Rahim. Tiada siapa yang mempercayai dia lagi.
Ping!Ping!
Bunyi hon yang ditekan oleh Atif menyebabkan Rasfal terkejut. Dia kembali ke dunia realiti. Dia memandang ke arah Atif apabila tiba-tiba kereta yang dipandu Atif terhenti.
“Kenapa, Atif?” soal Rasfal.
“Aku hampir langgar orang, Ras!” ucap Atif mengejutkan Rasfal.
“Apa? Cepat keluar. Kita tengok…” ujar Rasfal dengan kelam-kabut.
Dia menolak daun pintu Honda CRZ miliknya lalu melangkah turun daripada kereta. Kelihatan seorang gadis sedang memeluk seorang perempuan tua yang memegang tongkat. Terpamer riak ketakutan di wajah gadis muda itu. Lama Rasfal memandang gadis itu tanpa sedikit pun berkelip.
“Encik saya mintak maaf. Salah saya sebab biarkan ibu saya sorang-sorang. Ibu saya tak nampak. Saya mintak maaf…” ucap gadis itu dengan suara yang tersekat-sekat. Wajahnya keruh.
“Lain kali jaga mak awak baik-baik. Nasib baik saya tak langgar, kalau tak, siapa nak jawab?” balas Atif sedikit bengang.
“Saya tahu. Saya minta maaf…” ucap gadis itu lagi sambil memandang wajah Atif yang sudah merah padam.
Atif melepaskan keluhan. Lama dia memandang wajah gadis itu. Dahinya sedikit berkerut kerana wajah itu mengingatkan dia pada seseorang. Ya, dia kenal dengan gadis ini.
“Qammar. Awak tunang Qammar kan?” soal Atif tiba-tiba.
Rasfal berpaling pada Atif yang masih memandang wajah gadis ayu di hadapan mereka. Atif kenal ke dengan gadis ini? Qammar? Siapa Qammar? Macam pernah aku dengar je nama tu. Bisik hati kecil Rasfal.
“Ya, saya Citra tunang Qammar. Awak siapa?” soal Citra pula. Matanya silih berganti memandang dua jejaka yang berada di hadapannya ini. Seorang lagi jejaka memakai cermin mata hitam itu hanya mendiamkan diri.
“Nasib baiklah awak ni tunang Qammar. Saya ni kawan dia. Kawan satu production dengan dia. Ini Ras Haqeemi. Mesti awak kenal kan, pelakon popular tu…” Atif memperkenalkan Rasfal pada Citra.
Pelakon popular? Citra memandang wajah Rasfal yang mendiamkan diri. Dia tersenyum nipis sebelum pandangannya dialihkan pada wajah Atif.
“Citra, siapa tu nak?” soal Puan Cempaka sambil menyentuh tangan Citra.
“Kawan Abang Qammar, ibu.” Jawab Citra lembut.
Kemudian dia memandang Atif dan Rasfal. Bibirnya mengukir senyuman ikhlas.
“Saya minta diri dululah. Saya minta maaf atas apa yang berlaku tadi..” ucap Citra.
Atif turut tersenyum. Melihat keadaan ibu Citra yang buta membuatkan dia tidak sampai hati untuk memarahi Citra. Dia dapat melihat kedukaan yang tersembuyi jauh dalam anak mata gadis itu. Akhirnya Atif mengangguk lalu membiarkan Citra berlalu sambil memimpin tangan ibunya.
Rasfal terus memandang Citra dan ibunya. Timbul rasa simpati dalam dirinya apabila melihat kesungguhan Citra untuk mencari teksi untuk ibunya. Wajah manis itu kelihatan merah akibat terkena terik matahari.
“Hoi, bro. Jangan tenung lama-lama, tunang Qammar tu…” ucap Atif sambil memetik jarinya di hadapan Rasfal.
Rasfal tersedar lalu mengalihkan pandangan ke wajah Atif sebelum dia melangkah masuk ke dalam kereta.
“Siapa Qammar tu?” soal Rasfal sebaik saja Atif melangkah masuk ke dalam kereta.
“Tunang perempuan tulah…” jawab Atif selamba sambil menghidupkan enjin kereta.
“Aku tahulah tunang dia. Qammar tu siapa dengan kau?” Rasfal mengulang pertanyaannya. Dia mengetap bibir.
Atif ketawa kecil.
“Oh, Qammar tu cameraman Karya Production. Alah, yang jadi juru kamera untuk drama kau tu. Apa ya tajuknya? Lupalah pulak aku. Drama Indah Bersulam Duka. Hah, drama itulah…” jawab Atif.
Rasfal menganggukkan kepala. Di matanya terbayang wajah Qammar yang berkulit hitam manis. Lelaki yang tinggi lampai agak kelam kabut orangnya. Tetapi satu je perkara yang Rasfal tidak suka pada Qammar, lelaki itu buaya darat. Hari ini dengan perempuan lain, esok perempuan lain pula. Tapi dia tidak menyangka yang Qammar sudah bertunang.
“Oh, bukan ke mamat tu kaki perempuan. Tak sangka pulak aku tunang dia boleh tahan sopan…” balas Rasfal pula.
“Apa nak dihairankan, Ras. Yang dia bawak ke hulu ke hilir tu cuma nak seronok je tapi bila nak buat bini dia cari stok yang sopan santun. Stok yang boleh buat bini macam si Citra tu. Baik, sopan santun, dan aku yakin mesti beragama. Siapa yang tak nak? Kau je yang tak pandang perempuan macam tu…” ucap Atif selamba.
Rasfal hanya mencebik. Terbayang-bayang wajah Citra di matanya. Gadis itu tidaklah cantik seperti artis-artis tetapi wajah itu sejuk mata memandang. Manis dan ayu dengan tudung dan baju kurung yang dipakainya. Senyuman gadis itu kelihatan manis walaupun tanpa lesung pipit menghiasi pipinya. Namun tetap comel dengan matanya yang besar dan bundar. Ish, apa yang aku mengarut ni? soal hati Rasfal. Dia menepuk dahi.
“Tapi aku kesian tengok si Citra tu. Ibu dia buta macam tu, dia tetap bersabar. Mana nak kerja lagi nak jaga ibu dia lagi. Untunglah si Qammar dapat bakal bini macam tu…” puji Atif lagi.
“Dia orang tu tinggal dekat mana?” soal Rasfal lagi.
“Setahu akulah dekat Kampung Baru…”
“Kampung Baru? Jauhnya sampai ke sini.” Desis Rasfal.
“Mungkin dia baru balik dari hospital kut,” balas Atif sambil matanya dibiarkan fokus ke dada jalan raya.
Sedangkan Rasfal sudah pun mendiamkan diri. Namun, perbualan mereka terganggu apabila telefon bimbit Rasfal berdering. Dengan pantas, Rasfal menekan punat jawab setelah melihat nombor yang tidak dikenali tertera di skrin telefonnya.
“Hello….” Sapa Rasfal.
Tetapi suara di hujung talian sunyi sepi. Tiada satu bunyi pun yang kedengaran. Rasfal pelik. Dia memandang telefonnya sebelum melekapkan I Phone 5 itu ke telinganya kembali.
“Hello, siapa ni?” soal Rasfal lagi.
Namun, talian tetap menyepi. Rasfal mendengus lalu mematikan telefon.
“Siapa tu, Ras?” soal Atif sambil mengerling sekilas pada Rasfal.
“Entah. Aku tak tahu. Private number. Banyak kali dah nombor ni call aku tapi bila aku jawab, senyap pulak.” Bebel Rasfal sambil meraup rambutnya ke belakang.
“Alah, apa nak dihairankan. Kau tu artis, tentulah ramai secret admire yang kejar.” Balas Atif bersahaja.
“Kalau secret admire yang menyusahkan aku baik tak payah. Semalam, masa aku balik dari shooting, ada orang letak bunga ros merah depan atas kereta aku. Tak ke buang tebiat tu,” balas Rasfal.
Atif hanya ketawa mendengar bicara Rasfal. Artis popular macam Rasfal tentu ramai peminat dan perangai peminat ini sukar untuk dijangkakan.
“Aku cakap serius, kau boleh gelak. Aku rimaslah,”
“Kalau rimas, kau carilah calon isteri cepat-cepat. Selagi kau tak kahwin, selagi itulah ramai yang akan kacau kau. Silap-silap gay pun cari kau nak buat anak ikan,” ujar Atif bersama tawa yang meledak.
Rasfal menjeling. Satu tumbukan hinggap di bahu Atif.
“Kau cakap elok-elok sikit, nanti lebam bijik mata tu,” marah Rasfal sambil menunjuk penumbuk.
Atif hanya mampu ketawa sambil mengangkat tangan tanda menyerah kalah.
Sorry, bos!”

No comments:

Post a Comment