DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 19 January 2015

Pengarah Cinta Terbaik - Bab 17



CITRA ketawa kecil saat melihat lukisan yang dilakarkan oleh Imran. Walaupun nampak comot tetapi kelihatan comel pada pandangan Citra. Sedikit sebanyak Citra kagum dengan bakat yang ada pada Imran walaupun baru berusia lima tahun tapi lukisan tangan anak kecil ini nampak seperti kanak-kanak yang sudah bersekolah. Cuma Citra pelik dengan sikap Imran yang tidak mahu bercakap walaupun dia cuba untuk berbual dengannya.
Menurut Datin Rohana memang inilah perangai Imran. Suaranya akan kedengaran apabila dia menangis, selebihnya kanak-kanak ini hanya membisu. Setiap masa hanya dihabiskan dengan menyendiri dan melukis. Entah apa yang bermain dalam fikiran budak kecil ini pun, Citra tidak mampu untuk meneka.
Lamunan Citra terhenti apabila telinganya menangkap petikan loceng di muka pintu. Dia berpaling. Mungkin mama. Detik hatinya lantas dia bangun.
“Imran tunggu dekat sini sekejap ya, auntie nak buka pintu sekejap,” ujar Citra sambil menggosok rambut Imran dengan lembut.
Kemudian, Citra menuju ke pintu utama. Daun pintu dibuka sebelum dia kaku saat melihat figura seorang lelaki yang berdiri tegak di muka pintu. Hampir tidak berkelip matanya melihat lelaki yang tinggi lebih kurang enam kaki, berkulit putih kemerah-merahan, berambut perang dan memiliki sepasang mata yang berwarna coklat gelap. Kacak! Itulah yang terbit daripada benak Citra sebelum dia tersedar akan sesuatu.
Citra meraba-raba rambutnya yang terdedah sedangkan lelaki itu sedang memandang wajahnya dengan pelik.
“Alamak! Alamak! Alamakkk!” jerit Citra. Dengan pantas dia berlari menuju ke tingkat atas sambil menutup kepalanya dengan menggunakan tangan. Auratnya sudah terpamer pada lelaki asing ini. Dia beristighfar dalam hati.
Citra menutup daun pintu dengan kuat. Dia menarik nafas panjang sebelum menekan dadanya sendiri. Kus semangat kerana terlalu kuat berlari.
“Kau ni kenapa?” soal satu suara mengejutkan Citra. Dia mendongak.
“Awak buat apa dalam bilik ni? Kan mama tak bagi awak masuk,” ujar Citra sebaik saja melihat Rasfal sedang duduk di meja kerja. Nampaknya sedang menaip sesuatu.
“Aku ada kerja. Nak tulis skrip jadi aku masuklah sekejap. Bukan aku usik barang-barang kau pun,” balas Rasfal.
Citra terdiam. Mengahnya masih belum hilang.
“Kau ni macam kena kejar di hantu je kenapa?” soal Rasfal kemudiannya. Dia mengalih pandang pada wajah Citra yang kelihatan berpeluh.
“Ada lelaki dekat bawah…” ujar Citra.
So?”
“Saya lupa pakai tudung. Sebab itu saya berlari naik ke bilik,” terang Citra sambil menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan perlahan.
Rasfal hanya tersenyum. Itulah sikap Citra yang dia kenal. Terlalu menitik berat soal auratnya.
“Siapa lelaki tu?” soal Rasfal ingin tahu.
“Entahlah saya tak kenal. Tapi muka dia ada iras-iras muka awak,” ujar Citra.
Rasfal termenung seketika. Dia mengetuk dagu. Ada iras-iras muka aku? Siapa ya? Benak hatinya bertanya.
Hmmm…jomlah kita turun. Aku nak tengok juga siapa tetamu tu,” balas Rasfal kemudian bangkit dari tempat duduknya lalu menuju ke arah Citra yang masih berdiri menyandar di belakang pintu.
Citra menggelengkan kepala.
“Kenapa kau geleng pulak?”
“Saya tak nak jumpa dengan lelaki tu. Seganlah…” balas Citra tidak berganjak sedikit pun daripada tempatnya.
“Kau jangan nak mengada-ngada. Entah-entah lelaki tu saudara aku, kau kenalah tunjuk muka. Nanti tak pasal-pasal dia cakap kau sombong,” ujar Rasfal sambil menarik pergelangan tangan Citra.
“Tapi saya malu,”
“Malu apanya. Tadi tu kau tak sengaja. Kalau tak sengaja, tak mengapa kan?”
“Tapi saya tetap….”
“Tak ada tapi-tapi. Nah…”
Rasfal mencapai tudung express lalu diletakkan di atas kepala Citra. Dia menunggu Citra menyarungkan tudung tersebut sebelum tangan gadis itu ditarik supaya mengikuti langkahnya turun ke tingkat bawah.

KAU buat apa dekat sini?!”
Perbualan Datin Rohana terganggu dengan suara Rasfal yang lantang. Dia bangun. Lelaki itu juga bangun sambil mengadap wajah Rasfal yang kelihatan masam mencuka.
“Ras, kenapa cakap dengan abang macam tu? Hormat sikit,” tegur Datin Rohana.
Rasfal tersenyum sinis. Wajah lelaki itu dipandang lama. Semakin lama dipandang, semakin sakit hatinya.
“Hormat? Ras rasa Ras tak perlu hormat pada orang macam dia!” balas Rasfal kasar.
“Awak…” tegur Citra sambil cuba memegang lengan Rasfal. Namun, tangannya direntap. Lelaki itu kelihatan betul-betul marah. Tapi kenapa?
“Abang mintak maaf, Ras…” lembut suara lelaki memohon maaf.
“Aku takkan sesekali maafkan kau. Sebabkan kau di…” Rasfal tidak jadi meneruskan kata. Dia melepaskan keluhan yang berat. Kepalanya digelengkan beberapa kali.
“Kenapa kau balik? Kau nak hancurkan hidup aku ke? Belum puas lagi apa yang kau buat pada aku sebelum ni?” soal Rasfal bertubi-tubi. Suaranya kedengaran lantang.
Suasana menjadi tegang. Raqeeb hanya bungkam. Dia tidak tahu bagaimana ingin menjawab soalan yang diajukan oleh adiknya itu. Rasa bersalah semakin menghimpit dadanya. Sedangkan Datin Rohana dan Citra hanya mampu melihat pertengkaran antara Raqeeb dan Rasfal.
“Abang tak ada niat pun macam tu, Ras. Abang balik ni semata-mata nak tengok adik abang kahwin. Salah ke?”
“Adik? Baru kau nak mengaku aku adik kau. Nak tengok aku kahwin konon. Boleh jalanlah!” balas Rasfal kasar.
“Ras, jangan kurang ajar dengan abang macam tu. Mama tak pernah ajar,” sampuk Datin Rohana.
“Memang mama tak pernah ajar, tapi dia yang ajar Ras jadi macam ni!” tingkah Rasfal sambil menuding jari pada Raqeeb yang kelihatan resah.
“Ras!” tegur Datin Rohana dengan suara yang hampir terjerit.
Rasfal terdiam. Dia mendengus marah. Lalu, tanpa menunggu lama dia meninggalkan Datin Rohana dan Raqeeb. Kunci kereta dicapai lalu langkahnya dilajukan menuju ke muka pintu.
Citra termangu-mangu seketika sebelum dia juga turut berlari-lari anak mengejar langkah Rasfal yang sudah menaiki keretanya. Lalu, dengan pantas Citra menarik pintu dan melompat masuk ke tempat duduk penumpang.
Rasfal yang berada di sisi dikerling seketika. Dia ingin bertanyakan sesuatu tetapi melihat saja wajah Rasfal yang tegang, Citra mematikan niatnya. Nanti tak pasal-pasal makan penampar dengan lelaki itu. Sudahlah perangai Rasfal memang sukar untuk dijangkakan. Akhirnya, Citra hanya mendiamkan diri.

RASFAL memberhentikan keretanya di kawasan taman permainan yang agak sunyi sepi. Dia melangkah keluar tanpa bersuara sedikit pun. Kehadiran Citra disisinya langsung tidak diendahkan. Perasaannya bercampur baur saat ini. Jiwanya kacau dengan kehadiran Raqeeb.
Kenapa lelaki itu hadir kembali dalam hidupnya saat hati dan fikirannya sudah melupakan apa yang terjadi? Kenapa mesti lelaki itu membangkitkan kembali memori yang ingin dilupakan daripada kamus hidupnya? Bertalu-talu soalan terbit dalam hati Rasfal.
“Awak okey ke?” soal Citra sambil mencuit lengan Rasfal. Dia juga bingung dengan perubahan emosi Rasfal. Dalam sekelip mata lelaki itu menjadi seorang yang pendiam.
Rasfal melabuhkan duduknya sambil mengadap tasik kecil di hadapannya. Kelihatan air itu tenang saja walaupun permukaannya dipenuhi dengan dedaunan yang kering.
“Saya sayangkan awak tapi saya cintakan dia. Saya tak tahu bagaimana perasaan itu boleh berubah dengan sekelip mata,” gemersik suara itu bergemaung di telinga Rasfal. Dia meraup wajahnya.
“Saya tahu awak ada masalah, kalau awak nak cerita saya boleh mendengar,” ujar Citra sambil melabuhkan duduk di sebelah Rasfal.
“Kau bukan boleh selesaikan masalah pun,” Rasfal bersuara.
“Memanglah saya tak boleh selesaikan masalah tetapi sekurang-kurangnya awak akan lebih lega kalau ceritakan masalah awak pada orang lain. Mana tahu hati awak akan jadi lebih tenang,” Citra meluahkan pendapat. Suaranya cuba diceriakan.
Rasfal hanya mencebik.
“Aku tak perlukan kau dan aku tak perlukan sesiapa,” balas Rasfal. Walaupun agak mendatar tapi kata-kata itu telah menikam hati Citra. Namun, Citra tetap tersenyum nipis.
“Mama cakap awak seorang yang suka memendam perasaan tapi bagi saya kalau terlampau lama memendam masalah nanti akan memudaratkan diri awak juga. Mengganggu fikiran awak. Lebih baik awak luahkan. Salah satu cara untuk menghadapi masalah adalah dengan berhadapan dengan masalah itu sendiri. Saya tahu awak seorang yang kuat,” ujar Citra.
Rasfal mendengus. Suara Citra kedengaran bingit di telinganya. Tiba-tiba saja darahnya menyirap mendengar kata-kata Citra.
“Kau apa tahu? Kau tak tahu apa-apa, jangan nak bising dekat telinga aku. Memekak tahu tak? Kau tu cuma isteri sementara aku dan jangan nak berlagak macam kau tahu segalanya pasal aku. Aku tak perlukan kau! Kau faham tak?!” suara Rasfal kedengaran meninggi.
Citra tersentap. Dia terdiam sejenak. Hatinya sudah mula sebak dengan kata-kata Rasfal. Cukup tajam dan menghiris hatinya.
“Saya terlupa sekejap tentang tu. Maaflah, saya tak sengaja campur tangan urusan awak. Kebaikan keluarga awak buatkan saya rasa saya sebahagian daripada keluarga awak juga tapi sebenarnya saya terlupa. Kita bukan siapa-siapa pun. Saya cuma pekerja awak dan tak layak untuk campur tangan dalam urusan keluarga awak. Maafkan saya,” ujar Citra.
Lalu dia bangun meninggalkan Rasfal sendirian di situ. Air mata yang bergenang ditahan agar tidak tumpah.
Rasfal mengetap bibir. Wajahnya diraup berkali-kali. Sekali lagi dia telah berkasar dengan Citra dan dia pasti gadis itu mesti merajuk.
“Kenapalah dengan aku ni? Dia tak bersalah pun,” desis Rasfal sendirian.
Fikirannya benar-benar kacau saat ini apatah lagi apabila dia menyedari bayang Citra yang sudah menghilang. Rasfal menarik nafas panjang sebelum bangun untuk mencari Citra.
“Citra!” laung Rasfal. Bergema suaranya di taman permainan yang sunyi-sepi itu. Tetapi tiada balasan daripada Citra.
“Citra!” panggil Rasfal lagi seraya mempercepatkan langkahnya. Matanya melilau ke sini dan ke sana namun bayang Citra tidak kelihatan.
“Mana pulak dia hilang ni?” soal Rasfal sendirian. Dia mula kerisauan.
Namun, langkah Rasfal tiba-tiba terhenti apabila telinganya dapat menangkap bunyi tangisan di sebalik pokok besar di taman itu. Dia menelan air liur. Siapa pula yang menangis ni? Soal hatinya. Serentak bulu romanya meremang.
Rasfal mengintai di sebalik pokok dan kelihatan Citra duduk sambil memeluk lutut. Gadis itu sedang menangis. Rasfal mengetap bibir kerana dia adalah punca Citra menangis.
“Citra, jom balik…” ajak Rasfal sambil menyentuh lembut bahu Rasfal.
Citra menepis kasar.
“Pergilah balik. Buat apa kisahkan saya,” balas Citra spontan. Dia mengesat air matanya yang merembes laju.
“Apa kau merepek ni? Kau datang dengan aku, baliklah dengan aku,” jawab Rasfal.
“Bos tak perlukan saya jadi buat apa kisahkan saya? Sama ada saya nak hidup ke nak mati ke, bos peduli apa?” agak kasar bahasa yang Citra gunakan. Bahasanya sudah mula bertukar.
Rasfal tersentak. Dia tidak menyangka Citra boleh jadi sekasar ini.
“Jangan nak mengarut, Citra. Kita balik sekarang!” tegas Rasfal.
“Saya tak nak balik! Bos tak pernah peduli pasal perasaan saya. Saya tahu kedudukan saya dalam hidup bos malah saya tahu, saya tak penting pun pada bos tapi tak boleh ke kalau bos hargai saya sebagai pekerja?” soal Citra tiba-tiba. Air mata dibiarkan terus mengalir.
“Mungkin saya orang susah jadi senang-senang orang gunakan saya tapi saya tetap ada hati dan perasaan seperti orang lain. Saya tak mintak bos terima saya sebagai isteri bos tapi cukuplah layan saya sebagai seorang kawan. Apa saya tak layak ke berkawan dengan orang popular seperti bos?” soal Citra lagi. Kali ini dia ingin meluahkan apa yang terbuku di hatinya.
Rasfal mati kutu. Soalan demi soalan yang diajukan oleh Citra menyesakkan otaknya. Akhirnya dia hanya mampu mendiamkan diri membiarkan gadis itu meluahkan perasaannya.
“Mungkin betul, saya tak layak untuk bergelar isteri apatah lagi kawan pada Ras Haqeemi. Saya patut sedar semua itu. Mulai sekarang saya dah putuskan yang hubungan kita hanya mengikut kontrak saja. Saya dengan cara saya dan bos dengan cara bos,” balas Citra lalu bangun ingin meninggalkan Rasfal.
Tetapi dengan sepantas kilat Rasfal menyambar pergelangan tangan Citra.
“Dah habis kau melalut? Sekarang dengar aku cakap pulak,” ujar Rasfal sambil memegang kedua belah bahu Citra.
“Selagi kontrak tak tamat, selagi itulah kau kena ikut arahan aku.” sambung Rasfal. Dia memandang wajah Citra yang tertunduk. Air mata gadis itu menyentuh hati lelakinya.
“Saya tahu itu. Inilah takdir yang harus saya terima. Walaupun takdir itu membuatkan saya terasa seperti dipermainkan tetapi saya terima walaupun terperangkap dalam kehidupan seperti ini. Sesekali saya terfikir kenapa Allah tak ambil nyawa saya dengan ibu supaya saya tak perlu tanggung semua ini,” balas Citra dengan suara yang serak.
“Kau dah jauh merepek ni, Citra,” tegur Rasfal.
Citra menepis pegangan Rasfal.
“Kalau kematian itu mampu menamatkan penderitaan yang saya alami, bagi saya kematian itu adalah lebih baik daripada hidup tapi tak pernah dihargai,” ujar Citra lalu berpaling untuk meninggalkan Rasfal.
Rasfal termangu seketika menafsir kata-kata Citra. Akhirnya dia hanya mampu mengeluh.

No comments:

Post a Comment