CITRA
ketawa kecil saat melihat lukisan yang dilakarkan oleh Imran. Walaupun nampak
comot tetapi kelihatan comel pada pandangan Citra. Sedikit sebanyak Citra kagum
dengan bakat yang ada pada Imran walaupun baru berusia lima tahun tapi lukisan
tangan anak kecil ini nampak seperti kanak-kanak yang sudah bersekolah. Cuma
Citra pelik dengan sikap Imran yang tidak mahu bercakap walaupun dia cuba untuk
berbual dengannya.
Menurut Datin Rohana memang inilah
perangai Imran. Suaranya akan kedengaran apabila dia menangis, selebihnya
kanak-kanak ini hanya membisu. Setiap masa hanya dihabiskan dengan menyendiri
dan melukis. Entah apa yang bermain dalam fikiran budak kecil ini pun, Citra
tidak mampu untuk meneka.
Lamunan Citra terhenti apabila
telinganya menangkap petikan loceng di muka pintu. Dia berpaling. Mungkin mama.
Detik hatinya lantas dia bangun.
“Imran tunggu dekat sini sekejap ya, auntie nak buka pintu sekejap,” ujar
Citra sambil menggosok rambut Imran dengan lembut.
Kemudian, Citra menuju ke pintu utama.
Daun pintu dibuka sebelum dia kaku saat melihat figura seorang lelaki yang
berdiri tegak di muka pintu. Hampir tidak berkelip matanya melihat lelaki yang
tinggi lebih kurang enam kaki, berkulit putih kemerah-merahan, berambut perang
dan memiliki sepasang mata yang berwarna coklat gelap. Kacak! Itulah yang
terbit daripada benak Citra sebelum dia tersedar akan sesuatu.
Citra meraba-raba rambutnya yang
terdedah sedangkan lelaki itu sedang memandang wajahnya dengan pelik.
“Alamak! Alamak! Alamakkk!” jerit Citra.
Dengan pantas dia berlari menuju ke tingkat atas sambil menutup kepalanya
dengan menggunakan tangan. Auratnya sudah terpamer pada lelaki asing ini. Dia
beristighfar dalam hati.
Citra menutup daun pintu dengan kuat.
Dia menarik nafas panjang sebelum menekan dadanya sendiri. Kus semangat kerana
terlalu kuat berlari.
“Kau ni kenapa?” soal satu suara
mengejutkan Citra. Dia mendongak.
“Awak buat apa dalam bilik ni? Kan mama
tak bagi awak masuk,” ujar Citra sebaik saja melihat Rasfal sedang duduk di
meja kerja. Nampaknya sedang menaip sesuatu.
“Aku ada kerja. Nak tulis skrip jadi aku
masuklah sekejap. Bukan aku usik barang-barang kau pun,” balas Rasfal.
Citra terdiam. Mengahnya masih belum
hilang.
“Kau ni macam kena kejar di hantu je
kenapa?” soal Rasfal kemudiannya. Dia mengalih pandang pada wajah Citra yang
kelihatan berpeluh.
“Ada lelaki dekat bawah…” ujar Citra.
“So?”
“Saya lupa pakai tudung. Sebab itu saya
berlari naik ke bilik,” terang Citra sambil menarik nafas panjang dan
melepaskannya dengan perlahan.
Rasfal hanya tersenyum. Itulah sikap
Citra yang dia kenal. Terlalu menitik berat soal auratnya.
“Siapa lelaki tu?” soal Rasfal ingin
tahu.
“Entahlah saya tak kenal. Tapi muka dia
ada iras-iras muka awak,” ujar Citra.
Rasfal termenung seketika. Dia mengetuk
dagu. Ada iras-iras muka aku? Siapa ya? Benak hatinya bertanya.
“Hmmm…jomlah
kita turun. Aku nak tengok juga siapa tetamu tu,” balas Rasfal kemudian bangkit
dari tempat duduknya lalu menuju ke arah Citra yang masih berdiri menyandar di
belakang pintu.
Citra menggelengkan kepala.
“Kenapa kau geleng pulak?”
“Saya tak nak jumpa dengan lelaki tu.
Seganlah…” balas Citra tidak berganjak sedikit pun daripada tempatnya.
“Kau jangan nak mengada-ngada.
Entah-entah lelaki tu saudara aku, kau kenalah tunjuk muka. Nanti tak pasal-pasal
dia cakap kau sombong,” ujar Rasfal sambil menarik pergelangan tangan Citra.
“Tapi saya malu,”
“Malu apanya. Tadi tu kau tak sengaja.
Kalau tak sengaja, tak mengapa kan?”
“Tapi saya tetap….”
“Tak ada tapi-tapi. Nah…”
Rasfal mencapai tudung express lalu diletakkan di atas kepala
Citra. Dia menunggu Citra menyarungkan tudung tersebut sebelum tangan gadis itu
ditarik supaya mengikuti langkahnya turun ke tingkat bawah.
“KAU
buat apa dekat sini?!”
Perbualan Datin Rohana terganggu dengan
suara Rasfal yang lantang. Dia bangun. Lelaki itu juga bangun sambil mengadap
wajah Rasfal yang kelihatan masam mencuka.
“Ras, kenapa cakap dengan abang macam
tu? Hormat sikit,” tegur Datin Rohana.
Rasfal tersenyum sinis. Wajah lelaki itu
dipandang lama. Semakin lama dipandang, semakin sakit hatinya.
“Hormat? Ras rasa Ras tak perlu hormat
pada orang macam dia!” balas Rasfal kasar.
“Awak…” tegur Citra sambil cuba memegang
lengan Rasfal. Namun, tangannya direntap. Lelaki itu kelihatan betul-betul
marah. Tapi kenapa?
“Abang mintak maaf, Ras…” lembut suara
lelaki memohon maaf.
“Aku takkan sesekali maafkan kau.
Sebabkan kau di…” Rasfal tidak jadi meneruskan kata. Dia melepaskan keluhan
yang berat. Kepalanya digelengkan beberapa kali.
“Kenapa kau balik? Kau nak hancurkan hidup
aku ke? Belum puas lagi apa yang kau buat pada aku sebelum ni?” soal Rasfal
bertubi-tubi. Suaranya kedengaran lantang.
Suasana menjadi tegang. Raqeeb hanya
bungkam. Dia tidak tahu bagaimana ingin menjawab soalan yang diajukan oleh
adiknya itu. Rasa bersalah semakin menghimpit dadanya. Sedangkan Datin Rohana
dan Citra hanya mampu melihat pertengkaran antara Raqeeb dan Rasfal.
“Abang tak ada niat pun macam tu, Ras.
Abang balik ni semata-mata nak tengok adik abang kahwin. Salah ke?”
“Adik? Baru kau nak mengaku aku adik
kau. Nak tengok aku kahwin konon. Boleh jalanlah!” balas Rasfal kasar.
“Ras, jangan kurang ajar dengan abang
macam tu. Mama tak pernah ajar,” sampuk Datin Rohana.
“Memang mama tak pernah ajar, tapi dia
yang ajar Ras jadi macam ni!” tingkah Rasfal sambil menuding jari pada Raqeeb
yang kelihatan resah.
“Ras!” tegur Datin Rohana dengan suara
yang hampir terjerit.
Rasfal terdiam. Dia mendengus marah.
Lalu, tanpa menunggu lama dia meninggalkan Datin Rohana dan Raqeeb. Kunci
kereta dicapai lalu langkahnya dilajukan menuju ke muka pintu.
Citra termangu-mangu seketika sebelum
dia juga turut berlari-lari anak mengejar langkah Rasfal yang sudah menaiki
keretanya. Lalu, dengan pantas Citra menarik pintu dan melompat masuk ke tempat
duduk penumpang.
Rasfal yang berada di sisi dikerling
seketika. Dia ingin bertanyakan sesuatu tetapi melihat saja wajah Rasfal yang
tegang, Citra mematikan niatnya. Nanti tak pasal-pasal makan penampar dengan
lelaki itu. Sudahlah perangai Rasfal memang sukar untuk dijangkakan. Akhirnya,
Citra hanya mendiamkan diri.
RASFAL
memberhentikan keretanya di kawasan taman permainan yang agak sunyi sepi. Dia
melangkah keluar tanpa bersuara sedikit pun. Kehadiran Citra disisinya langsung
tidak diendahkan. Perasaannya bercampur baur saat ini. Jiwanya kacau dengan
kehadiran Raqeeb.
Kenapa lelaki itu hadir kembali dalam
hidupnya saat hati dan fikirannya sudah melupakan apa yang terjadi? Kenapa
mesti lelaki itu membangkitkan kembali memori yang ingin dilupakan daripada
kamus hidupnya? Bertalu-talu soalan terbit dalam hati Rasfal.
“Awak okey ke?” soal Citra sambil
mencuit lengan Rasfal. Dia juga bingung dengan perubahan emosi Rasfal. Dalam
sekelip mata lelaki itu menjadi seorang yang pendiam.
Rasfal melabuhkan duduknya sambil
mengadap tasik kecil di hadapannya. Kelihatan air itu tenang saja walaupun
permukaannya dipenuhi dengan dedaunan yang kering.
“Saya sayangkan awak tapi saya cintakan
dia. Saya tak tahu bagaimana perasaan itu boleh berubah dengan sekelip mata,”
gemersik suara itu bergemaung di telinga Rasfal. Dia meraup wajahnya.
“Saya tahu awak ada masalah, kalau awak
nak cerita saya boleh mendengar,” ujar Citra sambil melabuhkan duduk di sebelah
Rasfal.
“Kau bukan boleh selesaikan masalah
pun,” Rasfal bersuara.
“Memanglah saya tak boleh selesaikan
masalah tetapi sekurang-kurangnya awak akan lebih lega kalau ceritakan masalah
awak pada orang lain. Mana tahu hati awak akan jadi lebih tenang,” Citra
meluahkan pendapat. Suaranya cuba diceriakan.
Rasfal hanya mencebik.
“Aku tak perlukan kau dan aku tak
perlukan sesiapa,” balas Rasfal. Walaupun agak mendatar tapi kata-kata itu
telah menikam hati Citra. Namun, Citra tetap tersenyum nipis.
“Mama cakap awak seorang yang suka
memendam perasaan tapi bagi saya kalau terlampau lama memendam masalah nanti akan
memudaratkan diri awak juga. Mengganggu fikiran awak. Lebih baik awak luahkan.
Salah satu cara untuk menghadapi masalah adalah dengan berhadapan dengan
masalah itu sendiri. Saya tahu awak seorang yang kuat,” ujar Citra.
Rasfal mendengus. Suara Citra kedengaran
bingit di telinganya. Tiba-tiba saja darahnya menyirap mendengar kata-kata
Citra.
“Kau apa tahu? Kau tak tahu apa-apa,
jangan nak bising dekat telinga aku. Memekak tahu tak? Kau tu cuma isteri
sementara aku dan jangan nak berlagak macam kau tahu segalanya pasal aku. Aku
tak perlukan kau! Kau faham tak?!” suara Rasfal kedengaran meninggi.
Citra tersentap. Dia terdiam sejenak.
Hatinya sudah mula sebak dengan kata-kata Rasfal. Cukup tajam dan menghiris
hatinya.
“Saya terlupa sekejap tentang tu.
Maaflah, saya tak sengaja campur tangan urusan awak. Kebaikan keluarga awak
buatkan saya rasa saya sebahagian daripada keluarga awak juga tapi sebenarnya
saya terlupa. Kita bukan siapa-siapa pun. Saya cuma pekerja awak dan tak layak
untuk campur tangan dalam urusan keluarga awak. Maafkan saya,” ujar Citra.
Lalu dia bangun meninggalkan Rasfal
sendirian di situ. Air mata yang bergenang ditahan agar tidak tumpah.
Rasfal mengetap bibir. Wajahnya diraup
berkali-kali. Sekali lagi dia telah berkasar dengan Citra dan dia pasti gadis
itu mesti merajuk.
“Kenapalah dengan aku ni? Dia tak
bersalah pun,” desis Rasfal sendirian.
Fikirannya benar-benar kacau saat ini
apatah lagi apabila dia menyedari bayang Citra yang sudah menghilang. Rasfal
menarik nafas panjang sebelum bangun untuk mencari Citra.
“Citra!” laung Rasfal. Bergema suaranya
di taman permainan yang sunyi-sepi itu. Tetapi tiada balasan daripada Citra.
“Citra!” panggil Rasfal lagi seraya
mempercepatkan langkahnya. Matanya melilau ke sini dan ke sana namun bayang
Citra tidak kelihatan.
“Mana pulak dia hilang ni?” soal Rasfal
sendirian. Dia mula kerisauan.
Namun, langkah Rasfal tiba-tiba terhenti
apabila telinganya dapat menangkap bunyi tangisan di sebalik pokok besar di
taman itu. Dia menelan air liur. Siapa pula yang menangis ni? Soal hatinya.
Serentak bulu romanya meremang.
Rasfal mengintai di sebalik pokok dan
kelihatan Citra duduk sambil memeluk lutut. Gadis itu sedang menangis. Rasfal
mengetap bibir kerana dia adalah punca Citra menangis.
“Citra, jom balik…” ajak Rasfal sambil
menyentuh lembut bahu Rasfal.
Citra menepis kasar.
“Pergilah balik. Buat apa kisahkan
saya,” balas Citra spontan. Dia mengesat air matanya yang merembes laju.
“Apa kau merepek ni? Kau datang dengan
aku, baliklah dengan aku,” jawab Rasfal.
“Bos tak perlukan saya jadi buat apa
kisahkan saya? Sama ada saya nak hidup ke nak mati ke, bos peduli apa?” agak
kasar bahasa yang Citra gunakan. Bahasanya sudah mula bertukar.
Rasfal tersentak. Dia tidak menyangka
Citra boleh jadi sekasar ini.
“Jangan nak mengarut, Citra. Kita balik
sekarang!” tegas Rasfal.
“Saya tak nak balik! Bos tak pernah
peduli pasal perasaan saya. Saya tahu kedudukan saya dalam hidup bos malah saya
tahu, saya tak penting pun pada bos tapi tak boleh ke kalau bos hargai saya
sebagai pekerja?” soal Citra tiba-tiba. Air mata dibiarkan terus mengalir.
“Mungkin saya orang susah jadi
senang-senang orang gunakan saya tapi saya tetap ada hati dan perasaan seperti
orang lain. Saya tak mintak bos terima saya sebagai isteri bos tapi cukuplah
layan saya sebagai seorang kawan. Apa saya tak layak ke berkawan dengan orang
popular seperti bos?” soal Citra lagi. Kali ini dia ingin meluahkan apa yang
terbuku di hatinya.
Rasfal mati kutu. Soalan demi soalan
yang diajukan oleh Citra menyesakkan otaknya. Akhirnya dia hanya mampu
mendiamkan diri membiarkan gadis itu meluahkan perasaannya.
“Mungkin betul, saya tak layak untuk
bergelar isteri apatah lagi kawan pada Ras Haqeemi. Saya patut sedar semua itu.
Mulai sekarang saya dah putuskan yang hubungan kita hanya mengikut kontrak
saja. Saya dengan cara saya dan bos dengan cara bos,” balas Citra lalu bangun
ingin meninggalkan Rasfal.
Tetapi dengan sepantas kilat Rasfal
menyambar pergelangan tangan Citra.
“Dah habis kau melalut? Sekarang dengar
aku cakap pulak,” ujar Rasfal sambil memegang kedua belah bahu Citra.
“Selagi kontrak tak tamat, selagi itulah
kau kena ikut arahan aku.” sambung Rasfal. Dia memandang wajah Citra yang
tertunduk. Air mata gadis itu menyentuh hati lelakinya.
“Saya tahu itu. Inilah takdir yang harus
saya terima. Walaupun takdir itu membuatkan saya terasa seperti dipermainkan
tetapi saya terima walaupun terperangkap dalam kehidupan seperti ini. Sesekali
saya terfikir kenapa Allah tak ambil nyawa saya dengan ibu supaya saya tak
perlu tanggung semua ini,” balas Citra dengan suara yang serak.
“Kau dah jauh merepek ni, Citra,” tegur
Rasfal.
Citra menepis pegangan Rasfal.
“Kalau kematian itu mampu menamatkan
penderitaan yang saya alami, bagi saya kematian itu adalah lebih baik daripada
hidup tapi tak pernah dihargai,” ujar Citra lalu berpaling untuk meninggalkan
Rasfal.
Rasfal termangu seketika menafsir
kata-kata Citra. Akhirnya dia hanya mampu mengeluh.
No comments:
Post a Comment