Monday, 19 January 2015

Pengarah Cinta Terbaik - Bab 18



MATA Rasfal hanya memerhatikan tingkah laku Citra yang tetap mengukir senyuman walaupun di sebalik anak mata itu tersimpan kedukaan.
“Abang nak lauk apa?” soal Citra pada Raqeeb yang duduk di hadapannya. Dia tersenyum manis.
“Bagi abang ayam masak lemak tulah,” jawab Raqeeb sambil menunjukkan ayam masak lemak cili api pada Citra.
Citra tersenyum lalu bangun dan meletakkan seketul ayam ke dalam pinggan Raqeeb. Dia mengambil air lalu dituangkan ke dalam gelas Raqeeb.
“Terima kasih, Citra. Baik betul menantu mama ni,” ujar Raqeeb sambil memandang wajah Datin Rohana yang tersenyum lebar.
“Tengoklah menantu siapa. Qeeb pun kena cari calon isteri macam Citra. Pandai masak, pandai mengemas, pandai layan budak-budak. Senang hidup Qeeb nanti,” balas Datin Rohana membuatkan Raqeeb tersenyum.
Rasfal mencebik. Naik meluat dia mendengar kata-kata Raqeeb. Dia mengerling ke arah Citra yang berada di sisinya. Gadis itu sudah menyuapkan nasi ke mulut sedangkan pinggannya hanya terisi nasi kosong. Rasfal memberontak dalam hati. Kalau Raqeeb bukan main lagi dia layan. Aku ni? Buat macam tak nampak pulak. Sakit betul hati aku. Bisik hati Rasfal.
Lalu dia mengambil ikan goreng dengan sendirinya. Berdentum-dentam sudu berlaga dengan mangkuk bagi menunjukkan protesnya.
“Sikitnya abang ngah makan. Tambahlah lagi,” sampuk Rania sambil menunjukkan lauk pada Rasfal.
Rasfal menggelengkan kepala pada Rania.
“Abang ngah tak ada selera. Rania makanlah.” Ujar Rasfal pada adik perempuannya itu.
“Papa suka sangat bila kita semua dapat berkumpul macam ni. Walaupun sibuk jangan lupa keluarga tambah-tambah lagi kita dah dapat ahli keluarga baru ni. Mana tahu ada rezeki Imran dapat kawan pulak kan,” sampuk Datuk Rahim sambil tersenyum simpul.
Dahi Rasfal berkerut. Imran dapat kawan baru?
“Mama dan papa nak ambil anak angkat ke?” soal Rasfal sambil meneguk air masak.
“Buat apa nak ambil anak angkat, kalau kamu boleh bagi mama dan papa cucu,” jawab Datuk Rahim selamba.
Serentak, air yang hampir ditelan tersembur keluar daripada mulut Rasfal. Nasib baik dia sempat menutup mulut kalau tidak pasti sudah tersembur ke muka Rania.
“Cucu? Awal sangat kut mama, papa…” ujar Rasfal sambil memandang ke sisi. Kelihatan wajah Citra sudah berubah rona.
“Apa salahnya? Orang kalau dah kahwin mesti nak ada anak kan? Papa pun nak cucu jugak,”
“Tapi Imran kan dah ada. Tunggulah Imran besar dulu,” jawab Rasfal. Dahinya sudah berpeluh apabila menyebut soal anak. Nak ada anak macam mana kalau perkahwinan ini juga sementara?
“Imran anak papa bukan cucu papa. Papa nak cucu,” balas Datuk Rahim bersahaja.
“Mama pun.”
“Rania pun nak anak saudara. Seronok tengok kawan-kawan ada anak saudara. Tapi Rania nak anak saudara perempuan,” sampuk Rania.
Hanya Raqeeb sahaja yang mendiamkan diri. Dia tidak berani menyampuk, bimbang Rasfal akan mengamuk seperti petang tadi. Cukuplah lelaki itu tidak mengendahkannya daripada adiknya itu memarahinya.
“Rania ingat anak ni boleh tempah-tempah nak lelaki ke perempuan. Abang ngah sibuk tak sempat nak jaga anak,” balas Rasfal akhirnya. Naik pening kepalanya mendengar permintaan daripada keluarganya.
“Yang kamu nak susah kenapa? Bukan kamu yang mengandung. Kalau kamu sibuk, mama boleh jagakan Citra dengan cucu mama nanti,” sampuk Datin Rohana menambahkan pening Rasfal.
Rasfal menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Entah bagaimana lagi ingin dinyatakan pada keluarganya bahawa harapan untuk mempunyai cucu itu hanyalah tinggal harapan. Takkan mungkin dia mempunyai anak dengan Citra. Tak mungkin sama sekali!
“Mama, jauh lagi nak fikir tentang tu. Ras dengan Citra tak rancang pun lagi,” balas Rasfal.
“Kahwin pun tak rancang takkan anak kamu nak merancang jugak,” asak Datin Rohana.
Rasfal terasa ingin pitam dengan asakan demi asakan daripada Datin Rohana. Dia kelu untuk membalas sedangkan Citra hanya mendiamkan diri.
“Nampaknya Citra diam je. Maknanya Citra setujulah kan?” soal Datuk Rahim mengalihkan soalannya pada Citra.
“Hah?” Citra terkejut.
“Citra setujukan nak bagi kami cucu dengan cepat?” soal Datuk Rahim sekali lagi.
Cucu? Citra mula gelabah. Dia memandang Rasfal. Apa yang perlu aku jawab? Soal hatinya.
Errr…Citra…Citra…” suara Citra tersekat-sekat.
“Citra malu, papa.” Usik Raqeeb sambil merenung wajah Citra yang sudah merona merah.
Rasfal memandang Raqeeb. Satu jelingan dihadiahkan pada abangnya itu.
“Malu buat apa? Lumrahlah orang kahwin fikir pasal anak sebab anak ini rezeki dan amanah. Anak juga yang akan menjadi aset untuk kita di akhirat nanti. Dalam hadis Rasulullah pun ada menyebut, apabila anak Adam meninggal dunia, terputuslah amalan mereka melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang diamalkan dan doa anak yang soleh.” ujar Datuk Rahim mengingatkan anak-anaknya.
Rasfal terdiam mendengar hujah Datuk Rahim. Tetapi keadaan dia sekarang tidak sama seperti yang difikirkan oleh keluarganya. Dia masih belum mengenali Citra dengan sepenuhnya jadi mampukah gadis itu menjadi ibu kepada bakal anak-anaknya kelak? Soal hati Rasfal sebelum dia memandang pada Citra yang berada di sisinya. Tak mungkin dia jadi isteri aku selamanya kerana hatinya milik lelaki lain!
Citra tertunduk. Kata-kata Datuk Rahim mengingatkan dia pada arwah ayahnya yang sudah bertahun-tahun meninggalkannya. Sebak menghurung dada apabila dia tidak dapat menunaikan impian Datuk Rahim dan Datin Rohana. Satu persatu wajah yang berada di hadapannya dipandang.
‘Maafkan Citra, papa, mama. Bukan Citra tak mampu untuk berikan apa yang mama dan papa harapkan tapi Citra tak layak untuk kandung zuriat lelaki sehebat Rasfal. Dia bukan untuk Citra dan Citra bukan untuk dia. Apa yang berlaku adalah sementara. Perkenalan kita juga sementara. Satu hari nanti, Citra akan pergi juga tinggalkan mama dan papa walaupun Citra akui yang Citra sudah jatuh sayang pada papa dan mama.’ Desis hati Citra. Dadanya sebak namun dia tetap tersenyum.
“Citra tak mampu nak bagi jaminan sebab Citra…” Citra bersuara. Dia menundukkan wajah.
“Citra apa?” soal Datin Rohana. Semua mata tertumpu pada Citra. Rasfal juga ingin mendengar jawapan daripada Citra. Janganlah gadis ini memberi harapan pada keluarganya.
“Citra malu…” ujar Citra lalu bangun dan menuju ke dapur.
Serentak, satu meja ketawakan Citra. Rasfal tersenyum. Dia menarik nafas lega. Mungkin cara itu dapat mengelakkan dia daripada terus diasak dengan soalan yang tiada jawapan.

MATA Citra terpaku pada dada langit yang gelap. Kelihatan bintang-bintang mengelilingi bulan purnama yang kelihatan cantik seperti lampu suluh melekat di dada langit. Hembusan angin malam menyegarkan dirinya mengusir segala rasa hatinya yang galau.
“Citra setujukan nak bagi kami cucu dengan cepat?”
Persoalan daripada Datuk Rahim itu membuatkan Citra terfikir. Berapa lama pembohongan ini mampu bertahan? Dia sudah penat dengan pembohongan demi pembohongan yang diciptakan oleh Rasfal. Dia kasihan melihat wajah Datuk Rahim dan Datin Rohana yang mengharap cucu yang entah bila akan muncul dan dia pasti cucu yang diharapkan itu tidak akan muncul.
Perkahwinan yang dijadikan satu pekerjaan bagi Citra ini hanya bertahan untuk jangka masa setahun tetapi selepas setahun apa yang akan jadi? Benak hatinya bertanya. Dapatkah dia menyambung kembali hubungannya bersama dengan Qammar? Ataupun dia akan terus hidup dibenci oleh Datin Rohana dan Datuk Rahim kerana pembohongan yang diciptakannya.
“Masa tak boleh diundurkan begitu juga dengan apa yang berlaku pada aku. Aku tak boleh berpatah balik selagi kontrak tak tamat. Ya Allah, ampunkan aku. Jika ini yang terbaik untuk aku, bantulah aku untuk menghadapi cubaan ini,” doa Citra perlahan. Dia meraup wajahnya ke belakang. Rambutnya yang terbang ditiup angin diselitkan di celah telinga.
“Termenung jauh nampak…” tegur satu suara mengejutkan Citra. Dia berpaling.
“Bos? Alamak!” Dia teringatkan sesuatu. Dia sudah memutuskan untuk menjaga batas dan auratnya apabila bersama dengan Rasfal. Jika dia adalah isteri sementara jadi dia tidak mahu mempertontonkan auratnya pada Rasfal. Biarlah auratnya hanya untuk suaminya saja.
Lalu dengan pantas Citra mencari selendang ataupun tudung yang dapat menutupi rambutnya daripada dilihat oleh Rasfal. Dia mencari di penyidai. Tiada. Lalu dengan selamba, dia mengambil tuala mandi lalu dililitkan di kepalanya. Rambut yang terjuntai keluar diselitkan di celah tuala.
“Kau buat apa ni?” soal Rasfal pelik. Pelik betul melihat Citra yang kelam-kabut menutup kepalanya.
“Bos nak apa masuk bilik ni? Saya tahu ni bilik bos tapi buat sementara ni mama bagi saya guna bilik ni jadi bos tak boleh sesuka hati je nak masuk,” bebel Citra tanpa menjawab soalan Rasfal. Dia menapak ke belakang menjauhi Rasfal yang kelihatan ingin mendekat.
“Bos berdiri je dekat situ. Kalau nak cakap apa-apa cakap saja dari tempat tu. Saya boleh dengar,” sambung Citra menghentikan langkah Rasfal. Makin berkerut wajah Rasfal dengan kerenah Citra.
“Apa yang kau merepek ni, Citra? Sejak bila pula kau pandai pakai tudung depan aku ni? Bukan ada lelaki lain pun,” ujar Rasfal geram.
“Memandangkan perkahwinan kita sementara jadi saya dah putuskan akan jaga batas-batas saya dengan bos. Lagipun saya cuma pekerja bos je kan maknanya saya kena jaga batas pergaulan saya dengan bos,” jawab Citra bersahaja.
Rasfal menggelengkan kepala. Makin pening dengan sikap Citra. Geram pun ada juga.
“Macam budak-budak. Walaupun perkahwinan ni sementara tapi kau tu sah jadi isteri aku. Tak payah nak mengada-ngada nak tutup rambut bagai. Tanggalkan tuala tu!” arah Rasfal sambil matanya melotot memandang wajah Citra yang kelihatan selamba.
“Tak nak!” tegas Citra pantas.
Rasfal mendengus.
“Aku cakap tanggalkan cepat!”
“Tak naklah!” bangkang Citra sambil memegang kemas tuala yang menutupi rambutnya.
“Kau ni degil betul. Jangan sampai aku tanggalkan pakaian kau sekali. Jangan cabar aku!” ujar Rasfal mengugut.
Citra terdiam. Dia menelan air liur. Tidak dapat dibayangkan jika lelaki itu melakukan apa yang dikatakan. Pantas, dia menggelengkan kepala.
“Bos tak ada hak nak paksa saya!” tegas Citra.
“Aku masih berhak. Aku bos kau!” jawab Rasfal.
Citra mencebik. Dia masih enggan mengikuti arahan Rasfal.
Manakala Rasfal sambil bengang dengan sikap protes yang ditunjukkan oleh Citra lalu dia mendekati Citra.
“Kau ni memang nak kena dengan aku,” bebel Rasfal lalu cuba menarik tuala yang berada di kepala Citra namun dengan pantas Citra mengelak. Dia berlari ke dalam bilik air.
Rasfal merengus. Langkahnya dihayunkan untuk mengejar Citra. Pintu bilik air yang hampir ditutup ditolak dengan tangannya.
“Tepilah! Jangan kacau saya!” marah Citra sambil cuba menutup daun pintu.
“Aku takkan puas selagi kau tak ikut cakap aku!” balas Rasfal.
Lalu dengan sekali rempuhan pintu itu terbuka luas. Citra terdorong ke belakang sebelum belakangnya terhentak di dinding. Tualanya lepas entah ke mana.
“Aduhhh! Sakitlah!” marah Citra sambil menggosok belakang badannya yang terasa sakit.
Rasfal terkejut lalu mendapatkan Citra. Dia berdiri di hadapan isterinya itu.
Sorry, aku tak sengaja.” Ujarnya.
“Tak sengaja? Bos memang suka tengok saya sakit kan?” marah Citra dengan wajah yang berkerut menahan kesakitan.
Rasfal rasa bersalah lalu dengan selamba tubuh Citra ditarik ke dalam pelukan. Belakang tubuh gadis itu digosok perlahan-lahan.
“Maafkan aku, okey?” bisik Rasfal rapat di telinga Citra.
Berderau darah Citra mendengar bisikan itu. Sepantas kilat dia menolak tubuh Rasfal supaya menjauhinya. Dia tidak betah berdua-duaan dengan Rasfal dalam bilik air yang kecil dan sempit ni. Tiada jalan untuk dia melarikan diri kerana tubuh Rasfal menghalangi jalannya.
“Bos nak apa ni? Cepatlah cakap, saya nak keluar,” ujar Citra.
“Aku nak bincang dengan kau. Aku tak nak kau panggil aku bos. Aku tak suka,” Rasfal berterus-terang.
“Dah kenyataan, bos memang bos saya. Saya harus terima hakikat barulah antara kita ada jarak,” jawab Citra selamba.
Rasfal mengeluh.
“Aku tahu kau marahkan aku pasal tadi. Aku mintak maaf. Fikiran aku tengah kusut waktu itu jadi aku tak maksudkan apa yang aku katakan.” Ujar Rasfal.
“Tapi apa yang bos cakap itu ada benarnya juga. Saya kena berpijak pada bumi yang nyata dan sedar diri. Bos dah tolong saya tapi saya berlagak nak campur tangan dalam urusan bos. Betul-betul tak tahu malu kan saya ni?” balas Citra tersenyum sinis.
“Bukan itu maksud aku Citra kau dah salah faham. Aku nak kau terima aku sebagai kawan…”
“Kawan? Tak. Saya tak layak untuk berkawan dengan Ras Haqeemi. Taraf saya tak setanding tu jadi biarlah saya jadi pekerja bos je. Cuma tinggal beberapa hari je lagi untuk kita berlakon dalam rumah ni kan, selebihnya nanti bolehlah saya dengan hal saya dan bos dengan hal bos. Saya takkan ganggu. Saya boleh jamin,” ucap Citra masih lagi tekad dengan keputusannya.
“Susah betul aku nak bercakap dengan orang yang degil macam kau ni. Kalau itu yang kau nak, baiklah. Mulai sekarang jangan masuk campur urusan aku kecuali urusan kerja!” tingkah Rasfal geram.
“Okey. Bos pun jangan masuk campur dalam urusan saya!” balas Citra.
Rasfal mendengus. Dia berlalu meninggalkan Citra dengan rasa yang bengang.

DENGAN aku asyik nak membantah, kalau dengan Qammar, dengan Raqeeb, bukan main lagi lemah lembut. Sakit betul hati aku,” bebel Rasfal sambil kakinya dihayunkan untuk menuruni tangga.
Sewaktu sampai di tingkat bawah, Rasfal melihat Rania sedang terhendap-hendap di depan tingkap. Pantas, Rasfal melangkah ke arah Rania. Dia berdiri di belakang Rania sambil mengintai apa yang diintai oleh adik perempuannya itu.
Rania menggarukan kepala. Sewaktu dia pulang dari membeli-belah, dia terasa seperti diekori sampailah dia masuk ke perkarangan rumah. Tetapi apabila dia memandang ke luar, tiada sesiapa pun yang melintasi rumahnya itu.
“Siapa agaknya?” soal Rania sendirian sambil memusingkan badannya.
Arghhhhh!!!” jerit Rania apabila terpandangkan susuk tubuh Rasfal berdiri di hadapannya.
“Hoi, Rania. Ini Abang Ngahlah, yang kau menjerit macam nampak hantu ni kenapa? Dah tu terintai-intai kat luar tu, kenapa?” soal Rasfal sambil memegang bahu adiknya itu.
Rania mengurut dadanya. Satu jelingan dihadiahkan buat Rasfal.
“Abang ngah ni buat terkejutkan Rania je tau. Rania rasa macam ada orang ikut Rania jelah masa Rania balik hantar kawan-kawan Rania…” ujar Rania.
Dia melabuhkan punggung di atas sofa. Rasfal turut mengikuti langkah Rania.
“Perasaan Rania je kut? Abang ngah tengok tak ada apa-apa pun kat luar tu. Aman je,” ujar Rasfal sambil merenung wajah Rania yang kelihatan pucat.
Rania mengangkat bahu. Mungkin betul juga kata-kata Rasfal. Hanya khayalannya saja.
“Entahlah, abang. Mungkin juga. Rania kan suka sangat tengok cerita CSI jadi terikut-ikut,” balas Ranias sambil tersengih.
Rasfal ketawa kecil. Dengan selamba dia memeluk kepala Rania sebelum pipi adiknya itu dicubit geram.
“Lain kali jangan tengok cerita sampai terbawak-bawak ke dunia realiti. Nanti, abang juga yang susah. Tadi Rania pergi mana?” soal Rasfal sambil melepaskan Rania yang sudah menjerit kecil.
“Pergi jemput kawan-kawan Rania untuk ke majlis abang ngahlah. Dia orang semua frust abang dah kahwin. Sampai ada yang sanggup mogok makan tau kecewa punya pasal,” cerita Rania.
Rasfal ketawa lepas. Mendengar cerita daripada Rania begitu menghiburkan hatinya yang kepanasan. Melihat wajah adik perempuan bongsunya ini sudah cukup untuk mengubati rasa barannya tadi.
“Nak buat macam mana, Rania. Jodoh abang ngah sampai dulu. Kawan Rania tu pun satu, kenapalah tak nak pinang abang sebelum abang kahwin?” gurau Rasfal dengan tawa yang masih bersisa.
Rania turut ketawa.
“Abang bukannya pandang kawan-kawan Rania. Tahulah kawan-kawan Rania tak secantik Kak Citra tapi dia orang tu peminat nombor satu abang tau. Masa gosip abang gay tu kecoh dekat Facebook dan Twitter, kawan-kawan Rania bukan main lagi back up abang sampai Rania ini tak lena tidur tau. Asyik je kena kacau,” balas Rania lagi.
Rasfal tersenyum. Dia tahu gosip dan kontroversi yang melanda dirinya sedikit sebanyak telah menganggu ketenteraman hidup Rania yang masih bergelar pelajar. Pernah adiknya itu demam seminggu kerana tekanan kerana selalu saja diasak dengan soalan demi soalan tentang dirinya malah ada wartawan yang sanggup ke mencari adiknya sampai ke universiti semata-mata untuk mendapatkan penjelasan.
“Abang ngah mintak maaf sebab gosip tu pelajaran Rania terganggu. Abang ngah tak sangka ada orang yang sanggup fitnah abang ngah sampai macam ni sekali. Sekarang semuanya sudah jelas, abang janji takkan ada orang yang akan ganggu adik abang ni lagi,” ucap Rasfal sambil mengelus rambut Rania yang lurus.
Rania tersenyum manis. Lalu melentokkan kepalanya di bahu Rasfal. Tangannya lincah bermain dengan I Pad yang dihadiahkan oleh Rasfal sempena hari ulang tahunnya.
“Rania tak marahkan abang ngah pun. Cuma kadang-kadang Rania rasa manusia ni keterlaluan, cerita tak betul pun dibetulkan. Abang ngah punyalah macho dan maskulin macam ni dia orang cakap abang ngah gay? Ish, tak patut…” balas Rania sambil menggelengkan kepalanya beberapa kali.
“Nak buat macam mana Rania, inilah nasib lelaki kacak macam abang ngah…” gurau Rasfal dengan tawa yang meledak apabila dia melihat wajah Rania yang berubah.
Wekkkk, nak muntah! Macam manalah Kak Citra boleh tahan dengan perangai abang ngah ni. Kuat sangat perasan!” balas Rania.
Rasfal hanya ketawa. Hidung adiknya yang mancung ditarik dengan selamba.
“Rania tengok apa tu?” soal Rasfal mengubah topik perbualannya.
Rania menunjukkan I Pad yang dipegangnya pada Rasfal.
“Gambar kawan-kawan Rania. Abang ngah nak tengok?” soal Rania sambil menunjukkan I Pad itu pada Rasfal.
Rasfal hanya melayani kerenah Rania. Dia hanya memandang pada wajah-wajah yang ditunjukkan oleh Rania. Rata-rata kawan-kawan Rania ramai yang lelaki jika dibandingkan dengan perempuan namun ada satu gambar yang diambil di kedai makan menarik minat Rasfal.
“Rania, abang nak tengok gambar tadi tu…” pinta Rasfal membuatkan Rania menghentikan perbuatannya. Dia menghulurkan I Pad tersebut pada Rasfal.
“Restoran ni dekat mana?” soal Rasfal sambil merenung wajah Rania.
Rania memandang gambar dan Rasfal silih berganti.
“Ini dekat depan sana tu. Keluar dari kawasan rumah kita ni kan ada satu restoran. Abang ngah tak perasan ke?” soal Rania.
Rasfal hanya menggelengkan kepala. Bukan restoran itu yang menjadi persoalannya tetapi figura seseorang yang duduk di belakang Rania menarik minatnya.
“Rania kenal ke perempuan dalam gambar ni?” soal Rasfal lagi sambil menunjukkan gambar seorang gadis yang berada di belakang adiknya itu.
“Mana, abang ngah?” soal Rania dengan dahi yang berkerut.
“Ini…” tunjuk Rasfal sambil membesarkan lagi imej gambar tersebut.
“Entah. Mungkin pelanggan restoran itu kut,” balas Rania sambil menjongketkan bahu.
Rasfal terdiam. Namun dalam hatinya dapat rasakan sesuatu yang tidak kena apabila wajah gadis itu ada hampir setiap gambar yang diambil oleh Rania. Mungkinkah kebetulan? Soal hati Rasfal. Tetapi wajah gadis itu kelihatan seperti pernah dilihat tapi dia terlupa di mana. Mungkin pelanduk dua serupa. Detik hatinya lalu mengusir segala kegusaran yang melanda hatinya.


No comments:

Post a Comment