“Eh, sebab kau aku terpaksa bersoal jawab dengan ayah kau! Tau tak?!” sergah Shafiqa sebaik mendengar suara Ashila di sebelah sana. Pandangannya dilemparkan ke luar dari tingkap biliknya. Beku segala urat sarafnya apabila terpaksalah berbohong dengan Encik Zakey tentang Ashila siang tadi. Nampaknya dia terpaksa memohon maaf daripada Encik Zakey kelak.
“Eh, relakslah!” pujuk Ashila di sebelah sana.
“Kepala otak kau relaks! Aku dah nak terkecing dalam seluar dengan soalan maut daripada ayah kau,” kompelin Shafiqa. Taubat dia selepas ini tidak mahu lagi bersekongkol dengan Ashila. Cukuplah hanya sekali ini. Ashila ketawa mendengarnya. Terasa lucu.
“Bila kau nak balik? Atau seronok jadi perempuan Siam?” Haa... kena kau sekali Ashi, dengusnya dengan rasa yang amat geram. Ashila ketawa kuat mendengar kata-kata Shafiqa.
“Sorrylah, Ika,” pinta Ashila namun masih ketawa. Bengang sungguh Shafiqa mendengar tawa gembira Ashila. Dia di situ rasa cemas semacam. “Cepatlah balik! Aku dah tak tahan dengan soal jawab uncle tau tak?” tingkah Shafiqa. Memang dia tidak tahan dengan segala
pertanyaan daripada Encik Zakey. Kasihan dia melihat orang tua itu tetapi Puan Razita nampak relaks dan tenang sahaja seperti tiada apa-apa yang berlaku. Sekali lagi Ashila ketawa.
pertanyaan daripada Encik Zakey. Kasihan dia melihat orang tua itu tetapi Puan Razita nampak relaks dan tenang sahaja seperti tiada apa-apa yang berlaku. Sekali lagi Ashila ketawa.
“Tempat ni cantik Ika. Aku rasa macam tak nak balik.” Perlahan suara Ashila di sebelah sana. Shafiqa senyap. Ada sesuatu yang hendak ditanya tetapi tidak terkeluar dari bibirnya, bimbang akan menyinggung perasaan temannya itu. Disimpan soalan itu. Biarlah, sebaik Ashila pulang akan ditanya kepada gadis itu.
“Aku balik esok. Jay terpaksa ke Singapura lusa,” jelas Ashila. “Maafkan aku. Aku dah banyak menyusahkan kau.”
“Balik ni kau bincanglah balik dengan ayah dan ibu kau, Ashi. Tak elok kau buat dia orang macam ni. Dia orang percaya dengan kau. Kesian dengan orang tua kau.” Shafiqa seperti merayu agar Ashila berterus terang dengan kedua orang tuanya tentang hubungannya dengan Jamal. Ashila senyap.
“Aku risau kau tu. Jay tu entah ya entah tidak nakkan kau.”
Shafiqa terus menyatakan kerisauannya. Bukan dia tidak tahu sikap Jamal yang suka meminta duit daripada Ashila. Pertama kali Jamal hendak meminjam duit daripada Ashila dan Ashila memberitahunya, ketika itu kepercayaannya terhadap Jamal tidak sampai 0.5 peratus. Adakah seorang businessman tidak berduit. Bukan business kedai roti canai tepi jalan atau berniaga gerai burger. Menurut kata Ashila, perniagaan Jamal melibatkan perkapalan. Perkapalan mana? Dia tidak pasti. Dari situ dia sudah dapat menangkap yang Jamal memang tidak jujur terhadap Ashila. Penat dia menasihati Ashila tetapi cinta sudah menutup kedua mata dan hati si temannya itu.
“Jay baik Ika, kau tak faham.” Perlahan suara Ashila seperti tersinggung dengan kata-kata yang diluahkan oleh Shafiqa tadi.
Shafiqa menggeleng-geleng sendiri. Susah hendak menasihatkan Ashila yang sudah buta mata dan hatinya dengan cinta.
“Suka hati kaulah. Aku tak mahu kau kecewa nanti Ashi. Kita berkawan dah lama. Aku sayangkan kau dan aku tak mahu kau dilukai suatu hari nanti. Aku tengok Raiyan tu baik orangnya. Kenapa kau tak cuba mengenali dia? Orang kata tak kenal maka tak cinta.”
Shafiqa menebarkan pendapatnya. Dia berharap Ashila dapat memikirkan apa yang dikatakan sebentar tadi.
“Hmm... Apa kata kau berkenalan dengan dia?” cadang Ashila pula.
“Kau gila!” Shafiqa terpekik mendengar cadangan Ashila yang tidak masuk dek akal.
“Apa salahnya, Ika.”
“Ashi, dia tu tunangan kau!” tengking Shafiqa. Rasa tidak tahan dengan sikap Ashila yang ambil mudah dengan hubungannya dan Raiyan.
“Aku dah ada Jay.”
“Eh, kau ingat Raiyan tu anak patung? Boleh dipas sana, pas sini?!” tingkah Shafiqa meradang dengan apa yang dikatakan oleh Ashila. Meledak ketawa Ashila lagi. Entah apa yang menggelikan hatinya. “Kau ni terlalu rapat dengan abang aku yang tiga suku tu, sebab tu lelaki takut nak dekat dengan kau,” komen Ashila masih dengan sisa tawanya.
“Kau tu pun sama tiga sukunya,” cemuh Shafiqa masih bengang dengan cadangan Ashila yang tidak masuk di akal. Ashila ketawa kuat kemudian berkata, “Eh, okeylah, aku nak keluar ni!”
“Dah tengah malam ni, kau nak ke mana?” soal Shafiqa dengan garang. Hatinya tidak senang dengan percutian Ashila dan Jamal. Berdua. Keduanya tidak boleh dipercayai langsung. Tambahan ke tempat yang terkenal dengan gejala maksiatnya. Dia menggeleng-geleng sendiri.
“Aku nak pergi disko.” Ashila ketawa lagi di sebelah sana. Shafiqa senyap. Tidak tahu apakah nasihat yang terbaik untuk Ashila ketika itu. Sudah berbuih mulutnya menasihatkan temannya itu. Kini terpulang pada Ashila hendak menerima atau pun tidak. Tetapi dia tidak boleh membiarkan Ashila hanyut dengan cintanya.
“Okeylah, Ika good night,” ucapnya sebelum talian itu diputuskan.
“Degil nak mampus,” dengusnya dengan kuat. Nasib kaulah Ashi, gumamnya sendiri. Tetapi dia tidak boleh membiarkan temannya terus begitu. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Pusing memikirkan masalah yang bukan masalahnya.
USAI bersolat isyak, dia mengemas dirinya untuk beradu. Hatinya kembali hangat sebaik mendengar telefon bimbitnya berbunyi. Ikutkan, mahu sahaja dicampak telefon bimbit itu ke luar tingkap. Tetapi perkara itu tidak mungkin akan berlaku. Telefon bimbit itu hadiah daripada Iskandar. Untuk apa, dia sendiri tidak tahu. Dah orang nak hadiahkan, dia terima sahaja. Senang cerita.
“Siapa pulak ni?” Telefon bimbit di bawah bantal ditarik keluar.
Memandang skrin dan tertera di situ nama Abang Is. “Apa dia nak? Tak tahu ke dah malam buta ni!” bentaknya sendiri. Dibiarkan telefon itu terus bernyanyi sendiri dan seketika kemudian berhenti. Dan ia kembali berbunyi tidak sampai 15 minit kemudian. Terkejut Shafiqa yang sudah mamai hendak melayan mimpinya. Segera dia meraba telefon bimbit sekali lagi di bawah bantal. Dia dapat mengagak siapa yang menelefonnya.
“Abang nak apa?!”
Iskandar ketawa di sebelah sana. “Mana Ika tau, abang yang telefon ni?”
“Siapa lagi yang nak telefon Ika malam-malam buta ni? Abang Muz? Lebih baik dia layan bini dia daripada call Ika malam-malam macam ni,” balas Shafiqa dengan rasa bengangnya.
“Tu le, abang boring ni. Jom teman abang minum teh tarik, perkenan roti canai.”
“Dah malam, bang. Dah pukul 11.15. Esok kerja,” ucap Shafiqa dengan nada malas.
“Alah, sekejap aje,” rengek Iskandar.
“Esoklah...”
“Please Ika, sekejap aje. Abang ambil Ika, okey.”
“Ajaklah ayah dan ibu, abang,” cadang Shafiqa.
“Hisy, Tak rocklah bawak orang tua minum teh tarik tengah malam-malam buta ni!”
“Habis tu, rocklah kalau bawak Ika minum teh tarik malam-malam buta ni?” perli Shafiqa pula. Bibirnya mengulum senyuman dengan apa yang diucapkan. Entah apa-apa yang direpekkan. Ini semua Iskandar punya kerjalah, desisnya sendiri. Iskandar sudah ketawa-ketawa di sebelah sana.
“Siap, ya... lima belas minit lagi abang sampai.”
“Alah, Ika nak tidurlah!” keras suara Shafiqa membantah cadangan Iskandar.
“Please Ika, please, please, please...” meleret Iskandar menarik kata-kata itu.
“Tak mahulah!” Rimas sungguh dia dengan rengekan Iskandar.
“Alah, tolonglah. Sekejap aje, lepas minum-minum kita baliklah. Abang yang drive,” pujuk Iskandar tanpa putus asa.
“Ika kata, Ika tak nak,” tegas Shafiqa dengan pendiriannya. Akhirnya dia bangun dan melangkah keluar dari biliknya untuk meneguk air. Terasa kering tekaknya berperang dengan Iskandar.
“Tolonglah, sekejap aje.” Iskandar terus merayu. Shafiqa senyap sambil terus meneguk air dari peti sejuk selepas dituang ke dalam gelas.
“Ika,” panggil Iskandar.
“Ya.”
“Boleh ya.”
“Okey. Ika bagi abang lima minit untuk sampai di depan pintu rumah Ika. Lebih lima minit Ika tak nak pergi, tau!” Shafiqa memberi syarat kepada Iskandar.
“Okey, sekarang juga abang datang.” Dan talian terputus. Shafiqa menggelenggelengkan
kepalanya lalu melangkah ke ruang tamu. Dia pasti Iskandar tidak akan dapat menepati syaratnya. Baru sahaja dia hendak melabuhkan punggungnya di atas sofa, loceng di pintu berbunyi.
Berkerut dahi Shafiqa. Eh, takkan sekejap sangat dia sampai, gumam Shafiqa. Namun kakinya terus melangkah menuju ke pintu.
“Astaghfirullah al’azim,” ucapnya sebaik melihat Iskandar sedang tersengih seperti kerang busuk di hadapan pintu rumahnya.
“Abang naik apa? Roket?”
“Abang dah ada kat bawah tadi.”
Shafiqa menggeleng-gelengkan kepalanya. Betullah mamat ni. “Tunggulah di situ, Ika siap kejap.” Tidak sampai hati pula untuknya menolak ajakan lelaki itu sebaik melihat wajah kasihan Iskandar sebentar tadi.
“Okey,” jawab Iskandar bernada gembira. Shafiqa menjeling dengan senyuman. Ada rasa lucu dengan telatah Iskandar yang entah apa-apa.
PUAN KAMISAH menghentikan langkahnya sebaik melihat Raiyan masih di ruang keluarga di tingkat itu. Dia melihat ke bilik Razin yang gelap. Pasti anak bongsunya masih belum pulang. Matanya ditalakan ke arah jam yang tergantung pada dinding. Patutlah, desisnya sendiri. Selagi jam belum menunjuk ke pukul 11.00 malam, jangan haraplah dapat melihat kelibat Razin. Berbeza sungguh karakter dua orang anak lelakinya itu. Raiyan lebih senang berehat di rumah, mungkin kerana tidak mempunyai teman wanita, manakala Razin, teman wanitanya hampir tidak terbilang dengan jari tangan. Teman wanitanya keliling pinggang. Dia sendiri tidak pasti yang mana satu pilihan Razin.
“Tak tidur lagi?” tegur Puan Kamisah.
TV terpasang, tetapi mata Raiyan menatap buku di riba. Dia pun tidak pasti buku apa yang sedang dibaca oleh Raiyan. Memang begitulah tabiat anak bujang sulungnya yang suka membaca. Raiyan terkejut. Kemudian tersenyum apabila melihat Puan Kamisah yang sudah duduk bersebelahannya. Kaki yang tadi melunjur di atas meja, diturunkan. Rasa tidak sopan duduk begitu di hadapan ibunya..
“Ibu.” Hanya itu yang mampu terkeluar dari mulutnya dengan senyuman secubit.
“Macam mana?” soal Puan Kamisah ingin tahu.
Dia harap soalan itu difahami oleh Raiyan. Malas hendak menyoal panjang dan mengulangi soalan yang sama. Entah berapa kali dia menyoal soalan itu. Dia bimbang dengan sikap Raiyan yang terlalu pemalu. Payah sungguh dengan sikap Raiyan yang sebegitu.
“Macam mana apa?”
Keliru mendengar soalan daripada Puan Kamisah. Apa yang ditanya oleh Puan Kamisah di meja makan tadi? Tiada apa yang penting dan mereka hanya berbual-bual kepada perkara yang biasa-biasa sahaja. Puan Kamisah mengeluh. Menyampah sungguh dia hendak mengulangi soalan yang sama. “Pasal Ashila la.” Tinggi suaranya.
“Ooo...” itu sahaja yang keluar daripada mulut Raiyan.
Dia memandang buku yang terbuka. Kemudian perlahan-lahan ditutupnya. Kenapalah ditimbulkan soalan itu? Semenjak kejadian tempoh hari, dia tidak menelefon Ashila. Entah mengapa hatinya kuat mengatakan yang gadis itu sudah berpunya. Alahai, kesiannya aku, ada tunang tetapi kepunyaan orang.
“Macam mana?” Puan Kamisah menepuk paha Raiyan.
Terkejut Raiyan dengan tepukan itu. Mata dialihkan ke arah si ibu yang bertanya.
“Saya belum telefon dia lagi,” bohong Raiyan.
Dia tidak sanggup hendak menceritakan apa yang terjadi tempoh hari. Kalau benarlah yang Ashila sudah mempunyai teman lelaki, mengapa pinangannya diterima?
Perempuan itu telah menipu dia dan kedua orang tuanya. Tetapi masakan Encik Zakey dan Puan Razita tidak tahu tentang perkara itu. Atau mereka memaksa Ashila untuk bertunang dengannya? Untuk apa? Dia bukanlah datang daripada keluarga yang berada seperti Encik Zakey yang mempunyai syarikatnya sendiri.
“Kenapa?” soal Puan Kamisah. Resah dia dengan perkembangan Raiyan yang langsung tidak berkembang. Raiyan senyap. Apakah alasan yang terbaik patut diberikan kepada Puan Kamisah.
“Nantilah.”
“Sampai bila Raiyan? Masa berjalan,” ujar Puan Kamisah lembut.
“Lama lagi bu. Susah-susah sangat tangguhkan dulu,” cadang Raiyan. Matanya mengerling ke wajah Puan Kamisah dan dia dapat mengagak reaksi seterusnya.
“Apa?!” Terkejut Puan Kamisah mendengar cadangan Raiyan. Terkejut Raiyan mendengar suara melengking ibunya. Hampir-hampir sahaja bukunya terjatuh ke lantai.
“Kenapa nak tangguh kan pulak? Setahun tu dah cukup untuk Raiyan berkenalan dengan Ashila,” Puan Kamisah mulai bimbang dengan kata-kata Raiyan tadi.
“Sebenarnya saya belum sedia nak kahwin, ibu. Takut tak boleh nak beri komitmen nanti.”
“Belum bersedia?!” Sekali lagi suara Puan Kamisah melengking di ruang keluarga itu.
Sekali lagi Raiyan terkejut. Buku di riba jatuh mengenai kakinya. Aduhai, sakitnya! Desisnya sendiri sambil mengangkat buku itu dan diletak di atas meja. Digosok kakinya yang perit dan pedih ditimpa buku seberat hampir 1 kilogram itu.
“Raiyan ingat umur Raiyan muda lagi. Kalau sebaya Razin tu, ibu tak kisah sangat. Ini dah masuk 34 tahun. Sudah patut berumah tangga dan punya anak,” tegas Puan Kamisah, nadanya sedikit menurun tetapi tetap keras. Anak itu benar-benar membuat dia sentiasa menyinga. Pelbagai alasan kalau hendak bertemu dengan perempuan. Raiyan senyap. Siapa yang tidak mahu berkahwin.
Dia juga ingin mempunyai seseorang yang menyayanginya seikhlas hati.
Sekali lagi keluhan berat terluncur dari bibir Puan Kamisah. Memandang TV yang entah apa ceritanya pun dia tidak pasti. Kemudian beralih memandang anak sulungnya. Dia bangun, lelah rasanya kalau bercakap dengan si Raiyan.
“Suka hati Raiyanlah,” akhirnya dia bersuara setelah beberapa minit menyepi. Langkahnya maju ke bilik yang terletak di bahagian hadapan. Raiyan menarik nafas lega
No comments:
Post a Comment