“MASUKKK!!!” pekik Arrayyan dari dalam setelah mendengar pintu bilik pejabatnya diketuk. Suaranya lantang, kuat dan jelas. Orang pekak pun boleh mendengar dengan elok!
“Bos, saya nak serahkan dokumen ni. Tuan Ghazali punya dokumen dan saya diarahkan beliau untuk serahkan dokumen ini kepada bos.” Diela menghulurkan fail berwarna hitam yang dipeluknya kepada Arrayyan.
Arrayyan hanya mengangguk-anggukkan kepalanya lantas menyambung kerjanya yang terbengkalai tadi. Menyemak semula dokumen apa yang patut. Melihat senarai akaun yang dikredit dan didebit oleh syarikatnya.
“Letakkan di situ.” Dia berkata selamba tanpa memandang muka Diela. Buntut pen di tangannya digigit-gigit. Kemudian, dia menurunkan beberapa catatan di buku peribadinya.
“Baik, err.. Bos, saya…” Diela sudah tergagap-gagap hendak memberitahu mengenai peletakan jawatannya. Nak beritahu ke tak nak? Kalau tak beritahu nanti, macam mana dengan dia? Kalau diberitahu nanti, soalannya tetap sama. Macam mana dengan dia? Selamatkah dia daripada amarah Arrayyan?
Nafas dihela beberapa kali. Dihembus perlahan-lahan mencari ketenangan. Takut dengan bosnya yang macam perempuan mengandung sahaja emosinya. Emo sahaja. Setiap hari emosi bosnya macam perempuan mengandung! Perempuan mengandung tujuh bulan pun boleh terberanak terus bila mendengar jerkahannya.
Dasar hantu raya, hantu setan! Bos gila! Dendamnya masih berbaki rupa-rupanya sebaik sahaja teringat betapa dia sering dikutuk dan dijerkah sepanjang dia bekerja di situ.
“Saya apa?” soal Arrayyan dingin. Dengusan mula kedengaran. Kasar dan menakutkan. Seperti seladang sahaja bunyinya. Diela sudah ketap bibir. Bukan petanda baik! Kepala Arrayyan masih menunduk menghadap kerjanya. Dia sedikit pun tidak mengangkat kepalanya. Malas hendak menatap muka Diela. Bukan ada faedah pun pada pendapatnya. Telinga capang! Pendek. Bodi tak lawa! Potongan badan hancus! Hidung kembang. Harapkan kulit aje putih gebu. Selamba hatinya mengutuk Diela.
“Saya.. Saya..” Tergagap-gagap lagi. Arrayyan sudah naik botol kicap di kepala. Tahap marahnya memuncak! Dia paling pantang kalau ada pekerja yang ingin melengah-lengahkan masanya. Tergagap-gagap seperti ada melakukan kesalahan. Ini Arrayyan Zainuddin! Siapa mahu melengahkan kerja aku memang akan dipetir dengan kuasa paling tinggi. Sehingga hangit seratus peratus! Dia berdiri dan menepuk meja kuat.
“Saya apa?!!!” Dush! Macam ditumbuk Diela rasa. Terperanjat dijerkah sebegitu kuat.
Terhinggut bahu Diela menahan jerkahan yang maha dahsyat itu. Masya-Allah! Boleh terbang rambutnya akibat dipetir di hadapan muka ini. Ini, kalau ada penyakit lemah jantung, memang tunggu keranda teruslah jawabnya! Silap-silap hari bulan, tunggu tok imam baca talkin sahaja. Kalau terkena sedu ni tadi, memang takkan sedu lagi dah lepas ni!
Tentu sahaja pekerja di luar mula berkumpul dan bersoksek-soksek bagai mengenai Diela. Memang mereka akan mengadakan mesyuarat kilat seperti itu jika terdengar Arrayyan mengamuk. Adalah bendanya yang digosipkan oleh mereka.
“Saya nak letak jawatan!” Diela mengaku akhirnya. Kepalanya tertunduk-tunduk ketakutan. Sekejap-sekejap matanya memandang ke arah bosnya yang begitu tajam merenung dia. Mata cantik lelaki itu merenungnya tanpa berkelip. Mukanya bengis kalah firaun berperang!
Arrayyan merengus kuat. Anak mata kelabunya merenung tepat ke dalam anak mata hitam Diela sehingga gadis itu kaku di tempat dirinya. Muka Diela pucat. Ketara sekali. Tentu Diela takutkan amukannya.
“Inikah muka orang yang boleh bekerja bawah tekanan melampau? Inikah dia orang yang berkata dengan yakin bahawa dia akan bertahan dengan sebarang tekanan? Awak memang bekerja untuk berhenti ya, Diela?” Arrayyan menyoal sarkastik! Gulp. Diela menelan liur. Payau.
“Maaf bos, saya akan berkahwin tak lama lagi. Dalam masa beberapa bulan dari sekarang. Tunang saya mengarahkan saya untuk berhenti kerja. Kami perlu membuat persediaan untuk hari pernikahan kami nanti.” Diela cuba menggoreng alasan yang munasabah.
“Alasan!” Alasan Diela tidak diterima. Langsung! Diela rasa tercabar. Menyesal dia tinggalkan pistol air anak saudaranya di dapur rumah. Alangkah indahnya jika dia bawa sekali. Hendak sahaja dia pancutkan pistol air itu ke muka bosnya. Biar terkelip-kelip macam orang terkena sawan!
“Sumpah bos! Betul.” Diela cuba meyakinkan bosnya seyakin yang boleh.
“Saya tak benarkan awak berhenti kerja.” Tegas! Kejam dan tak berhati perut! Hati busuk! ‘Hati batu punya orang. Hantu punya bos! Bengong! Aku nak berhenti pun kau sekat. Sakit betul hati aku!’ Diela menyumpah seranah bosnya dalam hati.
“Tapi bos..” Belum pun habis Diela merengek, Arrayyan mencantas katanya.
“Saya tak peduli. Awak tak akan diberhentikan selagi awak tidak mencari pekerja pengganti yang kalis amarah dan kebal hatinya. Dalam masa lima hari, awak tak boleh berhenti. Kalau awak berhenti juga, gaji awak untuk bulan ini, burn!!!” tegas lagi. Kejam lagi! Syaitan punya bos!!! pekik hati Diela semahunya namun, ia hanya bergema di ruang hati sahaja.
“Tapi..” Baru lagi hendak memintas, sekali lagi dia dijerkah.
“No more excuses! Berhenti sekarang dan gaji awak, dilupuskan!” Ugutan yang maha kejam! Mana boleh macam ni. Kalau repot polis pun, belum tentu polis nak tolong. Dia kaya. Sekejap aje dia boleh selesaikan perkara ni. Nak laporkan kepada pihak atasan? Hantu inilah yang paling atas dah! Alahai! Kepala yang tak gatal, Diela garu-garu dengan muka sedih. Macam mana dia nak berhenti, kalau macam ni?
“Baik bos.” Akhirnya Diela akur. Puaslah dia bersengkang mata mencari calon terbaik untuk dijadikan pengganti buat dirinya di pejabat ini. Siapalah yang sanggup menggosok dahi sendiri yang berkedut akibat dimarahi bos ini nanti?
“You may leave now!” Arahan kejam sekali lagi menjadi santapan telinga Detective Conan Diela. Capang! Diela dihalau. Tangan Arrayyan mengibas-ngibas ke arah pintu. Memang menghalau tahap tak hormat orang! Diela melangkah pergi dengan langkah gontai. Tak bersemangat langsung. Hanya hatinya yang bersemangat mengutuk keras bosnya yang kejam ini. ‘Jebon! Aku doakan kau jumpa pekerja yang menyakitkan hati kau setiap masa. Aku doakan kau jumpa pekerja yang akan membuatkan kau rasa nak mati! Kalau boleh, pekerja yang melawan kata kau! Kalau boleh, pekerja yang beri pelempang sulung kat muka kau! Dan kalau boleh, aku nak kau melutut dengan pekerja kau pula nanti!’ doa Diela geram.
“Sekejap Diela!!” Arahan kuat Arrayyan yang boleh membuatkan ramai pak cik-pak cik yang menghidap sakit jantung mati tak sempat mengucap! Diela sendiri pun sudah tidak pasti sama ada dia bebas penyakit ataupun mungkin mempunyai darah tinggi atau lemah jantung semenjak dia bekerja di sini. Langkah dihentikan. Dia berpaling perlahan.
“Ya bos?” Diela mempamerkan senyuman plastik!
“Carikan saya pekerja yang rajin macam robot, mendengar kata, tahan lantun dan kalis peluru. Telinga tak besar. Juga tak lembab macam awak!” Damm!!! Lagi sekali. ‘Tahan lantun? Bos ingat manusia itu bola gulikah? Kalis peluru? Apa ni? Bos pandai berkias juga. Lembab? Aku ni dia panggil lembab? Memang toyol punya bos! Kau tu lembik! Semua benda nak berharap kepada pekerja bawahan saja. Urrgghh!’
“Baik bos!” Hanya itu yang boleh Diela jawab.
“Okey.” Dia membalas lantas tangannya mengibas-ngibas tanda mengarahkan Diela keluar dengan cara yang paling tidak hormat. Mahu sahaja Diela ketuk kepala bos dia itu dengan kasut tumit halusnya itu sekuat hati, biar ada kesan lubang di dahi licinnya.
ARRAYYAN memanggung kepalanya sambil matanya yang tajam memerhatikan pekerja-pekerja bawahannya. Tidak semua mereka sibuk dengan kerja. Ada yang sibuk dengan bergosip. Gosip? Esh! Melampau betullah! Dia berdiri dengan hati yang membengkak. Tangannya dicekup geram.
‘Jagalah kau orang! Aku bayar gaji kau orang untuk bekerja bukannya untuk makan gaji buta!’ Dia membebel sendirian. Geram sungguh melihat pekerjanya sibuk bergosip sehingga lupa dunia. Dia yang sedang merenung mereka dari dalam bilik ini sedari tadi pun, pekerjanya masih tidak perasan!
Dia membuka pintu bilik pejabatnya dengan kasar. Sekelip mata sahaja, pekerja yang terkantoi bergosip berlari lintang-pukang ke meja masing-masing. Dah nama pun terkantoi, kan? Tentulah sekejap lagi petir akan menyambar. Muka Arrayyan menyinga. Kalah kartun singa yang diberi nama, Simba!
“Gosh!” Suzanna, pekerja terbaik Arrayyan yang sedang tekun menaip terhenti bila melihat muka bengis Arrayyan. Azham di sebelahnya turut memandang ke arah Arrayyan. Automatik, jari yang menari-nari menaip juga sudah berhenti.
“Trouble is a friend! Oh no...” Azham pula bersuara perlahan manakala pekerja lain, ada yang sudah menghijau wajahnya. Kelat. Mereka yang bergosip, satu pejabat yang diamuk. Lihatlah kalau tak percaya.
Azham dan Suzanna cepat-cepat menyumbat telinga dengan kapas di dalam laci masing-masing. Melihat Arrayyan menarik nafas sehingga naik dadanya, bukanlah petanda yang baik. Malah, memang tiada petanda yang baik jika Arrayyan keluar dari biliknya!
“Aku suruh kau orang bekerja! Aku bayar kau orang gaji supaya kau orang bekerja dekat sini! Bukannya chit chat kit kat dekat ofis aku!! Kalau rasa nak bergosip, kau orang segera keluar!!” Memang tiada saya awak lagi jika dia sedang menghamun. Keluar bahasa kasarnya.
Terhinggut bahu semua pekerjanya kecuali Suzanna dan Azham yang kembali menekuni tugas mereka. Buat masa ini, mereka memegang ranking pekerja yang paling lama berkhidmat di Syarikat Avaloft itu. Sesekali mereka berdua menghirup kopi di meja dan kembali menekuni kerja tanpa menghiraukan amarah ketua mereka. Memang Arrayyan tidak pernah memandang mereka dengan bengis kerana kerja mereka amat bagus.
Memang dari dulu lagi, mereka berdua sentiasa komited terhadap kerja mereka. Jarang membuat kesilapan, dan atas sebab itulah mereka berdua mudah mendapat kenaikan gaji.
Usai sahaja menghamburkan amarah, semua pekerja menunduk dan berpura-pura sedang sibuk bekerja. Arrayyan pula kembali memasuki bilik pejabatnya dan dihempas pintu dengan kasar sekali. GEDEGANGGG!!! Sekali lagi bahu pekerjanya terhinggut dek terkejutkan bunyi hempasan pintu itu. Hendak menggumam pun mereka sudah tiada keberanian lagi. Hanya pandangan mata sahaja yang mampu mereka hantar sesama mereka. Arrayyan memang garang mengalahkan hantu raya! Bos paling kejam di serata alam!!! pekik mereka dalam hati.
No comments:
Post a Comment