Wednesday, 11 February 2015

Hantu Punya Bos - Bab 3

ABBY, kau kena tolong aku. Selamatkan maruah aku, please?!!” Abby mengeluh untuk kesembilan puluh enam kali. Apa yang teruk sangatnya dengan bos Diela ini sampai melibatkan maruah bagai ni? Abby mendecit geram. Kalau tak memikirkan sahabat karib, sudah lama ditempelengnya wajah Diela ini.

Dia memang dari keturunan orang yang tidak suka didesak. Hendak menolong bagaimana pula? Dia bukannya pintar sampai boleh menyelesaikan masalah orang lain. Dia sendiri juga punya masalah dalam hidup! Masalah besar lagi!

“Apa yang sampai melibatkan maruah ni, babe?” Dia menyoal Diela bengang.

Dia ketika itu sedang memasak. Suara Diela setiap masa menghantuinya. Diela ini begitu suka mendesak semenjak dia hendak berhenti kerja ini. Setiap masa Diela memujuk rayu kepadanya supaya menerima tawaran bekerja di situ. Tawaran Diela sendiri yang buat! Bagaimana dia hendak bekerja di situ kalau hari-hari telinganya menerima berita yang tidak enak mengenai perangai bos Diela itu?

“Tolonglah! Aku tak sanggup dah! Tadi ada mak cik cleaner yang terperanjat dengar jerkahan bos aku tu. Sampai tercampak keluar gigi palsu dia. Betul, aku tak tipu! Okey, tu memang salah mak cik tu sebab tak pakai Polident tapi.. yalah, tak elok kan? Main jerkah aje sesuka hati. Aku tak sanggup ditengking lagi. Sedangkan mak cik tu pun boleh tercampak gigi palsunya, inikan pula aku? Mahu tercabut telinga capang aku ni nanti. Kalau ada kau, kau boleh tengking balik bos aku tu. Mulut kau lebih pedas, berbisa, berselumbar dan bersembilu!” Diela berkata sambil mempamerkan riak kasihan.

“Are you serious? Lepas tu mak cik cleaner tu cakap apa?” Abby tidak menghiraukan ayat Diela yang terakhir itu. Dia perlu tahu kesinambungan kisah yang terjadi kepada mak cik cleaner itu. Terkejut dia mendengar berita tentang mak cik cleaner itu. Teruk sangatkah tahap kewarasan bos Diela sampaikan mak cik itu boleh tersembur keluar gigi palsunya? Tentu mak cik itu trauma!

“Apa lagi? Traumalah mak cik tu. Bersungguh dia pergi kutip gigi palsu dia. Mujur tak kena pijak dek pekerja lain. Kalau tak, aniaya aje. Patah. Sudahlah buat gigi palsu mahal sekarang ni. Mak cik tu kata, lepas ni, dia nak cuci pejabat bos awal pagi. Setiap petang bos asyik memaki hamun sahaja. Dia takut nanti dengan gusi-gusinya sekali tercampak keluar! Mak cik tu tak tahu, pagi-pagi lagi teruk angin bos aku!

Bos aku tu mereng sangat otaknya. Tak ada kesayuan langsung dalam hati. Hati beku! Kau tau tak pagi tadi, dia kutuk telinga capang aku ni? Dia minta aku buatkan dia air di dalam gelas besar sebesar telinga aku ni. Hantu punya bos! Boleh dia kutuk telinga aku ni? Sakit sungguh hati aku. Macamlah telinga dia lawa sangat! Telinga dia tu berkerepot macam keropok goreng,” cerita Diela kali ini benar-benar menggeletek hulu hati Abby. Berdekah-dekah dia mentertawakan Diela. Dia boleh bayangkan keropok goreng yang asalnya kecil dan lurus tetapi setelah digoreng, ia berkerepot dan membesar. Oh! Buruknya!

“Abby!” Diela memberi amaran. Sakit hatinya bila tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada Abby. Abby mengetap bibirnya menahan lucu. Disebabkan rasa simpati kepada sahabatnya yang sudah mencuka itu, akhirnya Abby membuat muka selamba.

“Maaf. Aku rasa bos kau tu tak cukup kasih sayang.” Selamba sahaja Abby memberikan komennya. Mendengarkan cerita Diela sudah cukup membuktikan bahawa bos Diela itu perlukan penampar sebagai ubat hariannya.

“Haa. Itulah pasal! Aku benci sungguhlah dengan dia. Jangan sampai aku smack down dia sudahlah!” Diela berkata bengang. Terkekeh-kekeh Abby mentertawakannya. Diela ini memanglah. Berani kata belakang, kalau di depan? Dikipas-kipas bosnya!

“Kau ni yang dah tak betul ya? Depan dia kau buat apa? Cuba kau cakap? Pandang mata dia pun kau seram inikan pula kau nak wrestling sama dia. Cakap belakang saja tahu!” kutuk Abby selamba. Tahu sangat dengan sikap Diela itu. Di hadapannya tunjuk berani, di hadapan bos pula? Terkujat sendiri. Kelat wajah Diela ditubanya. Hmmph!

“Abby, kau gantikan kerja akulah. Sebulan aje. Lepas tu kau berhenti ajelah. Tolonglah. Aku betul-betul terdesak ni nak cari pengganti.” Desakan Diela itu membuatkan Abby terbuntang. Selepas disogok dengan cerita kurang enak didengari, mahukah Abby bekerja di situ? Tentulah tidak!

“Kau dah gila? Kau nak aku bertukar jadi Hulk ke apa? Aku mana boleh tahan dengan suasana bising apa lagi dengan petir menyambar di telinga! Tak boleh. Kau ni.. carilah jalan lain.” Abby menolak mentah-mentah. Diela mencemik geram.

“Dia bagi aku masa lima hari aje kau tahu tak? Kalau tak gaji aku sebulan ni, burn! Kejam tak? Letih dan sia-sia aku kerja sebulan ni tahan amarah dia, tau tak? Patutlah telinga aku makin membesar. Ini semua sebab dia!!” Diela menghamburkan lagi amarahnya. Disalahkan bosnya atas telinga capang yang dicipta oleh-Nya. Sangat tak patut!

“Alahai.. Tak payah fikir sangatlah. Dia acah saja tu.” Abby menyedapkan hati Diela. Dia tetap tidak percaya ada bos sekejam bos Diela. Mungkin niat bos Diela itu sekadar mahu bergurau? Siapa tahu? 

“Kalau dia acah, memang besok dia nak matilah tu. Seumur hidup aku bekerja di situ, beramah dan mengacah orang langsung tiada dalam kamus hidupnya! Muka dia, serius memanjang! Bukan setakat serius, kalau kau tengok kening dia, setiap hari, macam ular. Berzig-zag keningnya. Berkerut setiap masa. Kalau dapat tengok bos aku tu senyum, aku rasa ramai pekerja dia yang buat puasa nazar!” Bersungguh Diela berkata begitu. Abby menahan lucu. Teruk sungguh perwatakan bos Diela ini kalau sampai itu tahapnya.

“Kau cari ajelah orang yang terdesak nak bekerja.” Abby memberikan cadangannya. Dia memang tidak berminat hendak bekerja di tempat kerja Diela. Apatah lagi setelah mendengar cerita Diela. Macam kisah seram! Kalau syarikat itu berhantu, mungkin dia boleh pertimbangkan lagi keputusannya. Tetapi kalau syarikat itu mempunyai bos yang berperangai hantu, untuk apa dia pertimbangkan lagi? Reject teruslah!

“Kaulah orangnya! Kau seorang aje yang dah kena dengan syarat-syarat yang bos aku beri.” Diela berkata teruja. Tangan ditepuk berkali-kali dengan gembira. 

Teringat syarat-syarat bos dia pada petang tadi. Lagi pula, memang Abby tidak bekerja sekarang. Abby berhenti  kerja kerana tidak tahan dengan bos lamanya yang suka mengurat. Menggatal. Sudahlah ada bini tiga! Apa punya kuat nafsu sesetengah lelaki ni ya? Lupakan kes tu! Sekarang fokus kepada kes di syarikatnya sendiri.

“Syarat?” Abby menyoal pelik. Diela mengangguk-anggukkan  kepalanya. Mukanya memang ternyata nakal! Ada agenda tersembunyilah tu! Abby sudah berkerut keningnya. Cuba meneka syarat yang dimaksudkan oleh Diela itu. Agakagaknya, apa syarat yang bos dia tetapkan?

“Syarat apa?” Abby menyoal lagi apabila soalannya tidak diendahkan Diela. Semakin berkerut keningnya. Muka nakal Diela menakutkannya.

“Syarat yang dia minta berbunyi macam ni, dia nak pekerja yang kalis amarah dan kebal hatinya.” Diela berkata spontan. Bibirnya melirikkan senyuman ala-ala malaikat. Nampak baik sedangkan suaranya sinis menyapa gegendang telinga Abby.

“Aku tergolong dalam kumpulan itukah?” Abby menyoal pelik. Diela mengangguk-anggukkan kepalanya. Yakin. Amat yakin. Abby mencemik. Dia bukannya kalis amarah. Harap maaf. Dia pekerja yang suka berdendam dengan bos sendiri dan cepat naik angin!! Itu kenyataannya. 

“Kau bukan sahaja ada hati yang kebal. Malah, kepala kau turut sama kebal.” Diela bersuara yakin. Abby mencebik. Tahulah dia, Diela sedang menggula-gulakan dia.

“Kau tak payah nak beli jiwa aku! Stop buttering me.” Abby berkata selamba. Diela pula mencebik. Tak menjadi pula strategi dia membodek kali ini. Abby ternyata sudah arif benar dengan sikapnya yang suka membodek.

“Ada lagi syaratnya.” Diela menyambung. Abby menjongketkan keningnya. Api dapur gas ditutup setelah dia usai memasak.

“Apa syaratnya?” Abby menyoal Diela. Tangannya yang basah mengelap baju dipakai dengan spontan. 

“Dia cakap macam ni, ekhem.. ekhemm… carikan saya pekerja yang rajin macam robot, mendengar kata, tahan lantun dan kalis peluru. Telinga tak besar. Juga tak lembab macam awak!’ Ha, macam itulah bos aku cakap tadi!” Diela mengulang tayang kata-kata bosnya. Kali ini, Abby sudah tergelak bagai dirasuk syaitonnirajin! Sampai tergolek-golek ke lantai. Memang bosnya Diela itu kerek amatlah kalau sedang itu tahapnya!

“Abby, aku bukan cerita untuk tengok kau gelak macam orang nak mati besok. Simpatilah sikit kepada nasib telinga aku ni. Asyik-asyik kena kutuk saiz telinga. Telinga aku ni tak ada dosa pun. Capang macam ni, comel what?” Diela bersuara sendu. Abby menahan dirinya daripada ketawa.

“Okey-okey sorry! Aku boleh tolong apa? Kau pasti ke aku tergolong dalam kumpulan tu? Aku bukannya rajin mana dan kau pun tahu aku memang cepat naik angin, kan?” Abby membebel. Diela mendengus. 

“Kalau kau bekerja dengan dia, automatik kau jadi rajin. Percayalah! Sekali dia menjerkah kau, memang siap terus kerja kau! Aku berani jamin.” Diela berkata lagi. 

Mukanya serius tapi kata-katanya? Abby tergelak sekali lagi. Lenguh perutnya akibat mentertawakan Diela. Diela ini, kalau gelabah, memang keluarlah ayat-ayat kartun dia. 

“Hmmph, aku tak naklah. Aku risau. Banyak lagikan jalan lain? Haa! Kau buatlah iklan. Tulis dekat Facebook ke, dalam Blog ke?” Abby memberi cadangan. Wajah Diela bersinar bagaikan disuluh dengan cahaya matahari! Sehingga silau mata memandang wajahnya! 

“You’re brilliant my friend! How can I forget about that?” pujinya sambil terloncat-loncat kegembiraan seperti kanak-kanak Ribena! Siap buat lompat bintang lagi. Teruja benar. 

Diela berlari ke arah lappynya. Dia harus membuat iklan sekarang juga! Abby menggeleng-gelengkan kepalanya. Apa-apa sahajalah Diela! Moga-moga kau berjaya menjumpai pengganti kau. Tapi bukan aku... Abby berdoa dalam hati. 

Dia memerhati ketekunan Diela membuat iklan secara online dari dapur. Kepala digeleng-gelengkan melihat telatah Diela yang kalut itu.

“Kut ya pun, makanlah dulu! Nasi dah siap senduk. Lauk dah siap cedok. Dah hidang bagai ni. Iklan tu boleh sambung buat kejap lagi.” Abby memanggil Diela yang meniarap menghadap laptopnya sambil mengayunkan kakinya bergilir-gilir.

“Ah! Kau makan ajelah dulu. Aku nak cari pengganti aku ni! This means war!” Diela bersuara penuh dendam dan langsung tidak berpaling daripada menghadap laptopnya. Bersungguh dia mahu menyudahkan iklan itu. Abby mencemik geram. Kalau tahu begini terdesaknya Diela, baik dia beritahu cadangannya selepas makan supaya sahabatnya itu tidak mengabaikan makan dan minum.

No comments:

Post a Comment