Wednesday, 11 February 2015

Hantu Punya Bos - Bab 4

ABBY termenung melihat Diela sedang nyenyak melelapkan mata di ruang tamu bersama komputer riba yang masih terang menyala. Tak sangka sungguh sebegitu kentalnya semangat Diela untuk mencari pekerja baru buat bosnya. Hailah, sampai macam ini teruknya Diela bekerja semata-mata untuk mencari pengganti dia buat bekerja di pejabat itu. Neraka dunia, Diela kata.

“Bos! Saya dah jumpa pengganti bos!” Abby terkejut beruk mendengar suara Diela yang kedengaran sungguh bersemangat itu. Mana datang bosnya? Mengigau rupa-rupanya. Dia baru hendak mengejutkan Diela daripada tidur terbongkang di ruang tamu itu. Abby menahan gelak. 

“Saya dah jumpa! Betul!!” Diela menekan perkataan ‘betul’ itu.

“Eh bos, jangan pandang saya tak ada mata tau? Saya berjaya cari pekerja yang tak capang macam telinga saya. Kali ini telinga dia kecil aje macam telinga alien!” Diela membebel lagi.
 

Abby sudah pun keras perut menahan tawa. Dia tergolek-golek di lantai menahan rasa lucu yang menebak di dada. Teruk betul penangan bos Diela sampaikan gadis itu termengigaukan dia. Sampai masuk mimpi! Perut dipegang kuat. Rasa nak pecah perut menahan gelak dengan telatah Diela itu.

“Apa ni bos? Betullah.” Kali ini suara Diela meninggi sehingga melengking suaranya. Tentu dia bermimpi yang dia sedang bergaduh dengan bosnya. Abby tersenyum-senyum. Idea nakal muncul. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya untuk merakam igauan kawannya itu. Besok pagi, siaplah kau, Diela! Diela membebel-bebel geram. Abby mengemam bibirnya. Bimbang tawanya bakal membuatkan Diela terjaga.

“Eeee! Dah cari pekerja telinga kecil pun tak kena juga! Hantu punya bos!” jerkah Diela kuat. Abby terhinggut mendengar jerkahan itu namun kemudian, dia sudah senak perut menahan tawanya daripada terhambur keluar.

“Memang kau ni bos paling hantu yang pernah aku jumpa! Hantu pun lari dapat bos macam kau!” Diela menjerkah lagi. Wajah Abby sudah memerah sakan. Diela membahasakan dirinya sebagai aku dengan bos dalam mimpinya itu. Maknanya, dia betul-betul marah! Siapalah bos Diela yang sebenarnya? Teringin juga Abby hendak melihatnya.

Sudah beberapa kali Diela menyebut ayat hantu punya bos itu. Hantu betul agaknya. Teruk sungguh perangainya. ‘Sampai trauma kawan aku yang seorang ni. Aduhai. Kasihan.’ Dia melihat tangan Diela menggagau-gagau ke awangan. Alahai. Kelakar sungguh Diela. Diela manusia paling comel yang dia pernah jumpa. Telatahnya, sentiasa mencuit hati.
 
“Dee, bangun. Tidur dalam bilik.” Akhirnya Abby berkeputusan untuk mengejutkan Diela daripada tidurnya. Tidak sampai hati mahu melihat muka mencuka kawannya yang sedang mengigau itu. Dia sudah mengah menahan rasa lucu. Diela tersentak hebat apabila badannya digoyanggoyangkan. Takut-takut sahaja wajahnya.

“Aku ingatkan aku tertidur di pejabat tadi. Mujurlah kau yang kejutkan aku.” Dia berkata tidak lama kemudian. Dia mengurut-urut dadanya kelegaan dengan tangan kanan sambil tangan kirinya menggenyeh mata. Abby tergelak. Takut bos dia kejutkanlah tu! Sekali kena petir, terus segar mata. Diela berpisat-pisat bangkit daripada tidurnya.

“Kau ni, tak teragak-agak langsung nak mengigau. Teruk betul. Mujurlah yang lain dah tidur, Diela oii. Kalau dia orang tengok keadaan kau tadi, jadi hot issue kau.” Abby mengutuk selamba. Diela berkerut-kerut. 

“Masa bila aku mengigau? Aku ada mengigau ke, babe?” Diela menyoal Abby dengan nada panik. Abby tergelak juga akhirnya.

“Dah, dah. Sekarang kau pergi tidur. Besok kau sambung buat iklan tu. Besok, baru aku jawab sama ada kau mengigau atau tidak berserta bukti yang sahih.” Abby berkata selamba. Dia pergi melangkah ke dalam bilik tidurnya meninggalkan Diela yang terpinga-pinga sendirian di ruang tamu. Diela mencebikkan bibir dan mengangkat bahunya. Bukti?

Dia menutup komputer ribanya yang terpasang tadi dan menyimpannya ke dalam beg. Kemudian, dia bangkit dan masuk ke bilik untuk tidur. Penat setelah berperang dengan bosnya di dalam mimpi. Disebabkan bos dialah, dia perlu bersengkang mata sehingga jam dua pagi bagi menyiapkan iklan jawatan kosong itu.

KEESOKAN harinya, setelah pulang dari tempat kerja, Diela terus meneruskan tugasnya dalam membuat iklan. Abby setia berada di sampingnya. Menegur apa yang patut.

“Weh, takkanlah kau nak buat macam itu? Tak sesuailah! Sampai sudah orang tak nak bekerja kat syarikat tu nanti,” tegur Abby apabila Diela menaip suatu ayat yang tidak berapa sesuai buat ‘mempromosikan’ jawatan kosong itu.

“Betul apa yang aku tulis ni?!” Diela tidak mahu kalah. Dia memang berpuas hati dengan apa yang ditulisnya itu. Dapat juga dia membalas dendamnya kepada Arrayyan yang sudah lama dipendam dalam lubuk hatinya meskipun hanya melalui ‘promosi’ jawatan kosong itu.

“Betul tu memanglah betul. Nanti tak ada sesiapa berani nak bekerja kat tempat kau. Last-last, kau berhenti tanpa gaji juga. Believe me!” Abby pula menegakkan benang keringnya. Dia bukan hendak menakutkan kawannya itu tetapi dia hanya menyatakan perkara yang benar. Padanya, Diela tidak sepatutnya berbuat demikian. Dia menegur benda
yang betul, untuk kesenangan Diela juga. 

“Alah. Tak ada apalah. Memang dia orang patut tahu pun perangai bakal bos dia orang ni. Bos berperangai hantu yang tak sedar diri.” Diela berkata selamba sambil meneruskan kritikannya terhadap bos di tempat kerjanya. Abby menjegilkan matanya.

“Mana boleh buat macam ni? Seseorang yang tidak berpenyakit lemah jantung, berdaya kental dan kalis maki amat diperlukan kerana pengarah syarikat merupakan seorang yang terlalu garang, suka menjerkah, suka memperkecilkan pekerjanya dan sangat sombong! Ini, nak tempah bala namanya. Buatnya nanti, bos kau baca! Macam mana?” Abby menegur lagi bersama sebaris ayat yan g dibaca daripada iklan yang sedang Diela buat.

“Bos takkan baca punya!” Yakin sekali nada Diela berkata. Agak bongkak. Abby mendengus.

“Takkan baca ya? Buatnya kalau orang tu bawa iklan ni kepada bos kau, mesti dia tahu siapa punya kerja! Kau dipecat tanpa sempat berhenti pun...” Abby berkata selari dengan pemikiran rasionalnya.

“Eeee. Habis tu nak aku buat macam mana lagi? Inilah kenyataannya!” Diela mencemik geram. Kepala yang tidak gatal digaru serabut. Geram kerana ideanya ditolak Abby.

“Okey, kalau kau nak buat macam ni juga, kau buatlah, jangan tanya aku kenapa kalau tak ada orang nak bagi respons pada kerja kosong ni nanti.” Abby menyatakan akibat sekiranya Diela meneruskan kerjanya yang tidak berapa cerdik itu. Dia sudah malas memujuk. Ada baiknya dia pergi menonton TV sahaja.

“Yalah-yalah. Aku nak kena buat macam mana ni?” Diela mengalah juga. Dia mengeluh. Benar kata Abby, kalau dia yang terbaca iklan yang seperti ini, sudah lama dia  membakul sampahkan iklan tersebut. Orang gila pun belum tentu berminat dengan kerja ini jika dia menyatakan sikap baran bosnya. Abby tersenyum sinis. Senyuman kemenangan. 

“Kau kena buat, jawatan kosong sebagai PA kepada Encik…??” Abby menyoal Diela. Diela mencebikkan bibirnya. Lama dia terdiam. Nak sebut ke tak nak nama bos dia tu? 

Dengusan kasar dilepaskan apabila melihat riak Abby yang masih setia menanti jawapan.

“Arrayyan bin Zainuddin.” Diela berkata dengan cebikan melampau. Menyampah dia hendak menyebut nama bosnya yang berperangai tak matang itu. Kerjanya dari pagi sehingga petang, mengamuk tak tentu fasal. Hari ini pun begitu juga perangainya. 

Menyampah Diela bila mengenangkan telinganya sekali lagi menjadi mangsa buat mulut petir Arrayyan hari ini. Entah apa yang Arrayyan tidak berpuas hati dengan telinganya pun dia tidak tahu. Setahunya, telinga capangnya itu tidak pernah membuat dosa atau onar terhadap sesiapa. Hmmph. 

“Wow. Nama dia sangat unik. Cantiknya nama. Arrayyan... Eh! Okey, buat macam ni. Jawatan kosong sebagai PA kepada Encik Arrayyan bin Zainuddin di Syarikat Avaloft, Kuala Lumpur. Berminat, sila hubungi saya, Nor Adilah binti Mukhtar. Emailkan butiran peribadi serta gambar anda kepada noradilahmukhtar88@gmail.com.” Abby berkata dengan muka bersemangat. 

“Macam tu aje ke? Simple gila. Iklan kenalah menarik, babe!” Diela membantah. Takkanlah seringkas itu sahaja? Layu sekejap semangat yang timbul tadi.

“Habis, yang kau kritik bos kau tu, menarik sangatlah? Silap-silap hari bulan kau kena saman!” Abby menempelak Diela. Diela tersengih-sengih malu. Kalau kena saman, tunang dialah yang menjadi mangsa nampaknya... 

“Alah, itu pun nak berkira. Aku saja cakap macam tu. Okey dah ni.” Diela malas hendak melayan amarah Abby jadi dia bersetuju sahaja. Abby mencebik. Dia tahu Diela tak berapa berkenan dengan ideanya. Memang ringkas dan kurang menarik pun.

“Kat bawah tu tulislah benefits yang ada bila bekerja dekat Syarikat Avaloft tu.” Abby memberikan cadangan lagi.

“Kebaikan? Cheh! Apa yang baiknya bekerja di situ? Semuanya buruk-buruk belaka.” Diela memperlekehkan syarikat tempatnya bekerja. Kuku dibelek-belek mengada-ada. 

“Eee, tulislah. Hipokrit sikit pun tak apa. Nak selamat atau tak, kau ni?” Abby jadi berang dengan sikap Diela yang mengambil mudah tentang perkara ini. Diela mengangguk-angguk tanda mahu selamat. Abby mendengus geram. ‘Tau pun dia! Orang nak tolong, dia buat tak endah.’ Geram Abby dengan Diela yang tidak berfikir panjang dalam membuat sebarang keputusan. 

“Yalah-yalah. Tapi, kebaikan apa yang dia orang dapat kalau bekerja di situ? Mati dengan lebih cepat dan mudah! Menemui jalan ke kubur dengan sekali jerkahan.” Diela menjawab dengan penuh nada sarkastik. Abby yang berang tadi sudah tergelak-gelak mendengar jawapan Diela. Diela ni, bilalah nak serius?

“Kau ni, seriuslah!” Abby memarahi Diela apabila selesai dia menghamburkan tawanya sepuas hati. Diela tersengih.

“Seriuslah ni. Memang betul pun dia orang akan mati cepat dan mudah. Kalau ada pesakit jantung, memang mudah amat cara matinya nanti. Percayalah cakap aku!” Diela menjawab dengan riak bersungguh-sungguh.

“Hisy kau ni!” Abby mendengus geram. Diela mengalah juga akhirnya.

“Gaji besar, persekitaran bersih dan cantik, ada bilik sendiri, dan pekerja yang ramah.” Diela menjawab dengan muka meluat. Abby terkekeh-kekeh mendengarnya. Nampak sangat Diela enggan mengakui ‘nikmat’ bekerja di bawah Arrayyan itu.

“Kau tulis kat Blog akulah. Blog aku ramai sikit peminat berbanding kau! Dua ratus lebih Follower. Kira okeylah daripada kau yang baru ada beberapa ‘puntung’ ni. Satu puntung daripadanya ialah aku,” tempelak Abby lagi. Wajah Diela bercahaya bagaikan disuluh lampu. Teruja apabila Abby sanggup membantunya.

“Aku punya Blog tak ramai Follower sebab aku baru buka Blog aku. Eh, boleh ke aku guna Blog kau?” Diela bertanya teruja. Abby hanya menganggukkan kepalanya.

“Come, biar aku yang tolong kau.” Abby mengambil alih tugas tak bergaji itu. Dia membuat iklan dengan penuh tekun. Siap disertakan gambar syarikat Diela bekerja itu lagi supaya lebih menarik. Setelah mendaftar masuk akaun Blognya, dia membuat iklan itu dengan dihiasi gadget yang menarik.

“Gaji tinggi bersama insurans, SOCSO dan bonus bulanan. Kami memerlukan pekerja yang berperwatakan menarik, dan tahan bekerja di bawah tekanan.” Diela membaca sepotong ayat yang ditulis oleh Abby itu. Dia tersenyum. Ya, bos memang tak boleh dapat pekerja yang tercela di mana-mana. Kalau jari terkontot sikit pun agaknya dia akan menegur dengan ejekan dan sindiran. 

“Bergeliga juga otak kau, kan?” Diela memuji sahabatnya. Abby hanya tersenyum bangga. Dia meneruskan tugasnya tanpa menghiraukan Diela.

“Kau macam tak kenal aku.” Abby mula mengangkat bakul. Diela mencemik geram. Mulalah nak perasan. Memang pantang dipuji sungguh insan bernama Abby ni!

“Babe. Besok kau temankan aku keluar. Aku rindu nak hang out dengan kaulah. Dah lama kita tak keluar berdua.” Diela mula memakai mata Puss In Boots dan Abby terpukau. Pandai betul dia meraih simpati Abby. 

“Boleh, tapi, tak mahu lepak jauh-jauh ya? Cukuplah kita melepak dekat Tropicana saja. Aku malas nak keluar jauh-jauh. Wandi tak bagi aku keluar ke bandar KL betul.” Abby menyatakan syaratnya. Dia begitu setia kepada kekasihnya bernama Wandi itu. Mereka sudah berpacaran selama enam tahun. Tentulah dia begitu setia. Wandi cinta pertamanya!

“Yalah-yalah. Kau nak keluar ni pun dah kira okey.” Diela mengalah. Abby tersenyum kemenangan. Tiba-tiba dia teringat kepada rakamannya semalam. Rakaman Diela mengigau tahap gaban. Dia harus menunjukkan video itu kepada Diela. Harus!

“Dee, aku ada sesuatu nak tunjuk kat kau ni...” Abby menayang muka nakal. Diela sudah tidak sedap perut.

No comments:

Post a Comment