Monday, 9 February 2015

Kurelakan Kasihmu - Bab 6

JATUH terduduk Najwa di atas katil ketika itu. Entah mengapa air matanya kini bagai tidak mahu berhenti mengalir. Dia bingung serta tidak tahu apa yang patut dia lakukan. Baru tadi dia membuat ujian kehamilan walaupun hatinya tidak tegar mahu melihat keputusannya. Dua tiga kali juga dalam masa selang 3 jam dia melakukan ujian kehamilan menggunakan pregnancy test yang dibeli di farmasi siang tadi. 

Hasilnya semua positif dan kini Najwa bagaikan sudah hilang pertimbangan. Dia tidak dapat membayangkan hidupnya mengandungkan bayi luar nikah hasil perbuatan durjana seorang lelaki berjiwa iblis! Perasaan bencinya terhadap Irfan semakin menjadi-jadi. Mulutnya tidak berhenti menyumpah seranah lelaki itu dan memukul perutnya yang masih kempis. Dia benci mengandungkan benih lelaki tidak berguna itu. Dia benci anak itu hidup dalam kandungannya sehinggakan dia terfikir mahu membunuh anak itu dengan menggugurkan kandungannya. 

Najwa memegang rambutnya yang masih pendek itu lalu ditarik-tarik kasar. Gelora perasaannya kian menjadi-jadi.  Dadanya berombak kencang, jiwanya kacau. Dia sedang menghadapi tekanan perasaan yang maha hebat ketika ini. Air mata sudah banyak mengalir sehingga matanya menjadi sembab. Dia meraung dan meracau-racau sendirian di dalam bilik itu.

Mujurlah Tinie tiada di rumah ketika itu. Gadis itu pulang bercuti selama seminggu ke kampungnya di Kedah. Jika tidak, tentu temannya itu takkan biarkan dia keseorangan meracau begini. Dan kalaulah Tinie ada, Najwa takkan berani meracau begini kerana bimbang rahsianya diketahui oleh kawannya itu.

“Kenapa aku perlu mengandungkan anak lelaki dayus tu? Kenapa?!!” tangis Najwa sendirian. 

Dia memukul lagi perutnya. Dia tidak mahu bayi itu terus hidup di dalam rahimnya. Dia bencikan bayi itu sama seperti dia membenci Irfan!

Najwa menarik nafas panjang lalu dilepaskan. Air mata kembali deras ke pipinya yang sudah sebal. Sebak semakin memenuhi ruang dadanya semula. Dia tidak mampu menghadapi masa hadapan yang sudah semakin gelap. Sudahlah dia kena mengandungkan anak luar nikah itu, nanti bila perutnya sudah membesar, sudah tentu dirinya akan dipandang hina dan dia pasti akan dicemuh oleh masyarakat sekeliling! 

Tentu Tinie pun akan membuang aku lepas dah tahu yang aku mengandung tanpa bernikah. Siapa nak percaya yang aku ni adalah mangsa rogol? Tentu mereka fikir aku sengaja mereka-reka cerita untuk membela diri. Esak tangis Najwa semakin berlagu sendu. Dia sungguh menderita. 

“Padan muka kau!!” suatu suara bergema di dalam minda Najwa. Kuat dan semakin kuat.

Tiba-tiba dia terdengar bunyi ketawa berdekah-dekah. Semakin kuat dan semakin membingitkan telinganya. Bayangan Irfan yang sedang mentertawakannya hadir di segenap ruang dalam bilik itu membuatkan Najwa menjadi semakin tertekan.

“Diam! Kau diam!! Lelaki tak guna! Lelaki sial! Pembawa sial!!!” maki Najwa seraya menutup kedua belah telinganya. Kepalanya tergeleng-geleng. Matanya dipejam rapat-rapat, tidak mahu memandang wajah lelaki itu yang masih galak merenung sinis ke arahnya. 

Najwa membuka matanya selepas yakin yang bayangan Irfan sudah tiada di situ. Dia menangis semahu-mahunya meratapi nasibnya yang selalu ditimpa malang.

“Kenapa semua ni harus terjadi kat aku?! Kenapa aku?!! Kenapa?? Kenapaaaa?” rintih Najwa sambil menggetap giginya menahan sebak. 

Hatinya tiba-tiba ingin menyalahkan takdir Allah SWT di atas semua yang berlaku ini. Syaitan begitu ligat menghasut dan berusaha bersungguh-sungguh ingin menyesatkan hati Najwa yang sudah dikuasai tekanan perasaan. Namun... 

“Allah kan ada, sayang... Ingat pada Allah! Ada hikmahnya sesuatu ujian yang Dia berikan...” suatu bisikan halus kedengaran. Kata-kata yang pernah arwah ibunya ucapkan kepadanya sewaktu arwah ibunya itu masih ada. 

Barulah Najwa sedar bahawa dia tidak keseorangan. Matanya membesar dan terbuka luas. Memang benar kata arwah ibunya itu. Allah itu wujud dan sentiasa bersama hamba- Nya. Air mata dibiarkan meniti di pipi ketika hatinya semakin mengingati Allah SWT.

Ya Allah, adakah Engkau sengaja mahu mengujiku? Tetapi dugaan-Mu ini terlalu maha hebat untukku seorang diri menanggungnya. Ampunkanlah aku kerana berfikiran yang bukan-bukan seketika tadi. Hanya satu yang kupinta, Engkau ringankanlah beban di dalam hatiku ini. Agar aku dapat memikul segala beban perasaan yang tidak tertanggung rasanya
ini... Aminn Ya Rabbal ‘Alaminn...



Seminggu berlalu...

SUASANA MALAM di Kuala Perlis amat mendamaikan perasaan Najwa. Ketika memerhatikan laut, pemandangan sekeliling yang dipenuhi batu-batu besar, bulan, bintang dan juga pasir-pasir di pantai yang tampak putih, Najwa dapat merasai suatu perasaan kagum yang begitu kuat terhadap ciptaan Allah SWT yang amat menenangkan jiwanya.

Di beberapa buah kedai makan yang berderetan di tepian pantai Kuala Perlis itu, terdapat beberapa buah keluarga yang sedang bergembira menikmati Laksa Kuala Perlis dan juga ikan bakar yang memang terkenal di kawasan ini. Bertuahnya anak-anak itu kerana masih mempunyai ibu bapa serta adikberadik. Najwa tersenyum pahit dalam genangan air mata
apabila teringatkan arwah ahli keluarganya.

“Nah, air untuk hang... Mineral water as you requested earlier, ma’am!” seloroh Tinie yang sudah melabuhkan punggung di atas sebuah batu bersebelahan dengan Najwa. 

“Thanks, Tie. You’re the best!” gelak Najwa sambil menyambut botol air mineral yang dihulurkan oleh Tinie. 

Buat seketika, suasana hening di antara mereka. Masing-masing asyik dengan melayan perasaan dan khusyuk menikmati keindahan pemandangan malam di tepi pantai Kuala Perlis itu. Tinie tiba-tiba menoleh ke arah Najwa yang sedang leka mengira bintang di dada langit yang kelam.

“Aku tengok hang sejak dua menjak ni macam lain sikit. Hang sakit ka? Selalu saja pucat... Sekarang ni pun muka hang pucat sangat!”

Soalan itu membuatkan Najwa tersentak, tertunduk dan terpaku pada kakinya. Air liur yang ditelan terasa perit hendak melepasi kerongkongnya. Kelu lidahnya untuk menjawab pertanyaan Tinie yang terlalu sensitif itu. Akhirnya Najwa hanya mendiamkan diri, tidak mampu untuk menjawab apa-apa. Dia sedikit resah apabila renungan Tinie masih tidak berganjak.

“Dah dua bulan kita duduk serumah. Hampir setiap kali dinner, kita dinner sama-sama. Banyak masa yang kita spend bersama... Aku kenal hang memang jenis yang suka pendam
rasa dan perahsia. Tapi Wawa... Aku dapat rasa ada sesuatu yang tak kena tentang hang... Aku tau hang memang ada pendamkan satu masalah berat yang hang tanggung sendiri sorang-sorang. Kalau hang rasa hang boleh percayakan aku, hang ceritalah. At least, ringan sikit beban hati hang tu...” pujuk Tinie. Dia tahu, Najwa tentu ada suatu masalah berat yang tidak mahu diceritakan kepada sesiapa pun.

Najwa mengeluh kecil. Perasaan resah semakin membelenggu jiwanya. Patutkah dia menceritakan segalagalanya kepada Tinie? Apa agaknya pandangan Tinie selepas mengetahui cerita tentang dirinya yang dirogol dan kini sedang mengandungkan benih lelaki durjana itu. Mungkinkah Tinie faham dengan keadaan dirinya? Mungkinkah Tinie mempercayai setiap kata-katanya? Atau mungkinkah temannya itu akan terus membuangnya selepas mengetahui tentang semua itu? Tinie mungkin beranggapan yang dia hanya mereka-reka cerita untuk membela diri sendiri yang sudah terlanjur dengan seorang lelaki.

Ya, aku tidak boleh membiarkan Tinie berfikiran yang bukan-bukan begitu. Aku masih mempunyai secebis maruah sahaja yang tinggal. Sekurang-kurangnya, aku ingin mempertahankan sisa-sisa maruah aku yang masih ada ini. Jika perut ini membesar, aku tidak akan teragak-agak untuk berpindah lagi. Maruahku, maruah bayiku yang tidak berbapa ini akan aku pertahankan sehingga ke akhirnya. Ya Allah, aku masih tidak mampu untuk menceritakan kisah dukaku ini kepada sesiapa pun walaupun pada Tinie atau Arissa sendiri.

“Aku... Aku tak ada apa-apa! Serius! Aku okey je...” ujar Najwa tiba-tiba dalam senyuman pahit. Sebak yang terasa mencengkam hatinya seketika tadi, cuba dikawal sebolehnya supaya air jernih tidak gugur ke pipinya. Dia tidak mahu Tinie tahu yang dia sedang berduka. 

“Hang ni memang degil... Kalau jadi apa-apa dekat hang nanti, aku jugak yang sedih. Hang tak sedih ke kalau aku sedih di kemudian hari nanti?” pujuk Tinie lagi, cuba memancing.

“Tie, terima kasih sebab ambil berat pasal aku. Kalau kau risau sangat, nanti aku pergi check kat kliniklah. Dah, jangan risau lagi ya?” getus Najwa, masih mekar dengan senyuman. Senyuman yang dipaksa-paksa dalam sebak. Namun dia cuba mengawal sebaknya supaya tidak terhambur keluar. 

“Tengok tu, degil lagi. Tak mau cerita pun tak apalah! Nak merajuk...” ugut Tinie dengan mulut memuncung sakan. 

Najwa tertawa lucu seraya memeluk bahu Tinie.

“Alaa, janganlah merajuk! Alalala!”

“Tak mau dengaq!” Tinie menutup kedua belah telinganya. Tingkah lakunya kini sudah macam budak-budak yang merajuk sebab tak dapat gula-gula. 

Dan Najwa terus mencuba memujuk Tinie dengan membuat lawak bodoh lalu akhirnya mereka tertawa bersama. Tidak tahan Tinie dengan lawak spontan yang baru sahaja dibuat oleh Najwa. Mereka tertawa riang bersama-sama lalu kembali menikmati keindahan pantai pada waktu malam yang terbentang di hadapan mereka.

“Eh, nanti aku nak pergi jumpa keluarga bakal mertua aku sat. Hang tolong hantaq kat rumah depa sat, boleh kan? Dekat sini ja...” pinta Tinie separuh mengharap. Loghat utaranya agak pekat pula kali ini.

“Okay! No problem!” balas Najwa tersenyum ikhlas. 

KERETA IRFAN dipandu agak laju ketika itu. Selesai menjamu selera bersama kawan baiknya Fizul dan beberapa orang lagi kawannya di sebuah restoran berhampiran Kuala Perlis, dia terus bergegas ingin kembali ke hotel penginapannya iaitu Putra Palace Kangar. Malam sudah hampir larut dan dia juga agak penat berjalan-jalan di sekitar negeri itu sejak pagi lagi. 

Sudah tiga hari dia datang bercuti di Perlis. Baginya, negeri Perlis agak sesuai untuk dia menenangkan jiwanya kerana di sinilah dia dapat melarikan diri daripada hiruk-pikuk kota raya Kuala Lumpur yang sibuk dan sesak. Suasana kampung dan juga sawah padi yang terbentang luas serta udara yang lebih nyaman di negeri ini amat mendamaikan jiwa Irfan yang sememangnya memerlukan ketenangan.

Irfan memandu dengan penuh tumpuan ketika itu. Tiba-tiba dia terdengar seperti sesuatu terjatuh di sebelah tempat duduk penumpang bersebelahannya. Rupa-rupanya air pepsi di dalam gelas kertas yang dibelinya tadi telah terjatuh dan tertumpah. Selepas memastikan yang tiada kenderaan di hadapannya, Irfan tunduk untuk mengambil gelas kertas yang tergolek itu...



NAJWA MENEPUK-NEPUK dashboard keretanya. Tiba-tiba sahaja lampu keretanya terpadam. Baru tadi lampu keretanya okey-okey saja. Selepas menghantar Tinie tadi, dia terus memandu hala ke rumahnya di Kangar. Najwa berasa sangat pelik. Apa hal pulak ni? Habis bateri ke apa? Dahlah aku ni tak tahu menahu tentang nak baiki kereta ni. Apa masalah pulak ni? Dahlah jalan ni gelap, tiada lampu jalan... Rasa tidak sedap hati tiba-tiba menerjah. 

Najwa mengaduh kecil apabila terasa perutnya seperti ditendang. Eh, tapi kandungan aku ni baru dua bulan. Takkanlah baby seusia dua bulan ni tendang, aku dapat rasa kut? Najwa berkerut dahi dalam perasaan pelik dan tidak sedap hati. Dalam pada dia berniat untuk memberhentikan keretanya di bahu jalan, Najwa tidak sedar di hadapannya ada sebuah kereta yang tiba-tiba datang dari arah bertentangan. Sebaik sahaja Najwa menyedari lampu kereta itu yang menyuluh wajahnya, semuanya sudah terlambat...

Banggg!!! Bunyi perlanggaran itu kedengaran begitu kuat sekali. Dalam sekelip mata Najwa terasa tubuhnya seperti  terhentak ke stereng kereta. Mujurlah dia memakai tali pinggang keledar, jika tidak sudah tentu tubuhnya terpelanting keluar dari kereta itu. Keretanya terbabas agak jauh dari kereta tadi.

Najwa mengerang kesakitan. Sakitnya hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Dahinya yang perit sudah dibanjiri cecair berwarna merah dan pekat. Perutnya terasa memulas sakit, darah kelihatan begitu banyak sekali mengalir pada pahanya. Najwa menangis teresak-esak sambil memegang perutnya yang terasa sungguh perit bagai sedang ditores dengan pisau cukur. Ari-arinya terasa bagai mahu pecah berderai.

“Tolong! Ya Allah, ada perempuan tersepit kat dalam kereta tu!!” suara tempikan seseorang kedengaran sayup-sayup di cuping telinga Najwa.

Pandangan Najwa sudah mulai berpinar-pinar, bagaikan dia sedang mengalami mimpi buruk. Suasana kelihatan kabur pada pandangan matanya. Dia umpama sedang berhalusinasi dan separuh sedarkan diri. Dalam samar-samar, dia dapat melihat beberapa orang manusia yang berlari-lari anak menuju ke arahnya. Entahkan mimpi, entahkan realiti. Najwa masih separuh sedar.

Dummmm! Bunyi letupan kereta di hadapannya juga kedengaran bagai sayup-sayup sahaja pada pendengaran Najwa. Terasa matanya dimasuki sesuatu. Pedihnya hanya Allah SWT
sahaja yang mengetahuinya. Najwa memejamkan matanya yang terasa bagai tertusuk dengan cebisan-cebisan tajam. Sakitnya, Ya Allah… Rintih hati Najwa. Dan akhirnya Najwa terus pengsan.

No comments:

Post a Comment