Monday, 9 February 2015

Kurelakan Kasihmu - Bab 7

IRFAN memegang kepalanya yang sudah berserabut ketika ini. Tangannya menggeletar, tubuhnya menggigil dan hatinya menjadi tidak tenteram sejak tadi lagi. Sejak dia terlibat di dalam sebuah kemalangan yang mengakibatkan seorang gadis tercedera. Akibat kecuaiannya memandu, gadis itu yang menjadi mangsa. Dia tidak nampak kereta gadis itu yang tidak berlampu. Tambahan pula, tiada lampu jalan di sepanjang jalan tersebut. Tapi, salah diakah semua ini? Irfan terpaksa menyalahkan dirinya kerana dialah yang sibuk sangat mahu mengangkat gelas kertas berisi pepsi yang tiba-tiba terjatuh ketika itu.

Fizul datang menghampiri Irfan. Bahu sahabatnya itu ditepuk-tepuk lembut. Dia tahu Irfan sedang tertekan dan gelisah.


“Kau sabarlah, Ir. Jangan fikirkan sangat. Aku rasa, perempuan tu okey aje kut... Insya-Allah...” 


“Mana mungkin dia okey. Aku sendiri nampak dia cedera teruk di kepala dan muka dia. Banyak sangat darah! Banyak sangat! Zul, aku betul-betul takut kalau apa-apa terjadi pada perempuan tu!” luah Irfan sambil meraup wajahnya berkali-kali. Tangannya terus menggeletar dan hatinya tidak keruan sejak tadi.

“Kau banyakkan berdoa dan bersabar... Aku yakin, Allah itu Maha Mendengar. Tentu perempuan tu tak ada apa-apa... Kau kena doakan keselamatan dia...” nasihat Fizul lagi.


Irfan hanya mengangguk-angguk dalam keadaan yang masih kebingungan. Bukanlah senang untuk dia mengatasi perasaan takut, resah, bimbang dan bersalah macam ni dengan
begitu mudah. Sesiapa pun tentu buntu dengan keadaan begini. 


“Kau rasa, perempuan tu selamat tak? Aku... Aku...”

“Insya-Allah, Ir... Kau tu kenalah banyak berdoa. Jangan pulak nasihat aku ni, masuk telinga kanan keluar pula di telinga kiri... Dalam keadaan macam ni, kau kena ingat pada Allah... Jangan menggelabah. Fikir positif!” balas Fizul lagi, meyakinkan Irfan yang nampaknya semakin tertekan pula.


“Aku tak mahu masuk jail kalau sesuatu yang buruk terjadi... pada... perempuan tu...”


“Hesy! Mulut kau ni memang...” belum sempat Fizul habis berkata-kata, seorang gadis comel tiba-tiba sahaja melintas laju di hadapannya. Gadis itu merapati seorang jururawat yang berada di kaunter berhampiran.


“Assalamualaikum, nurse! Saya kawan pesakit bernama Najwa ni. Saya baru dengaq berita yang dia kemalangan... Admitted kat sini...” ujar Tinie dengan sebuah esakan kecil. Tadi dia menerima panggilan daripada seorang pegawai polis yang memaklumkan dia mengenai kemalangan yang menimpa Najwa. Dia sungguh risau lalu bergegas ke hospital yang dinyatakan. Mata Irfan terbuntang selepas mendengar nama Najwa disebut. Berderau darah Irfan dengan tiba-tiba apabila dia membayangkan semula wajah Najwa yang penuh kebencian terhadapnya. Dia memasang telinga, ingin mendengar perbualan seterusnya di antara gadis itu dan juga jururawat tersebut.


“Sekejap saya check dekat list ni... Emm, dia masih kat dalam bilik pembedahan. Dah sejam lebih kat dalam tu. Cik boleh tunggu dulu kat kerusi tepi sana tu...” balas jururawat bertugas tersebut penuh hormat beserta sebuah senyuman manis.


Terkejut Irfan tatkala mendengar. Selepas Tinie berlalu ke kerusi menunggu, Irfan pula yang meluru ke arah jururawat tadi.


“Cik, boleh saya tahu nama pesakit yang berada di dalam bilik pembedahan tu?”


“Ya, berdasarkan IC yang kami jumpa dalam beg tangan mangsa, nama mangsa ialah Adnin Najwa binti Tajudin... Encik ni orang yang terlibat sama dalam kemalangan itu kan?”


“Ya, saya... Saya tengah tunggu pembedahan tamat. Emm... Boleh saya tengok IC dia?” Irfan separuh mengharap. 


“Maaf, encik. Keluarga dan sahabat terdekat saja yang kami benarkan atas segala urusan mengenai hal peribadi mangsa...” jawab jururawat muda tersebut penuh komited. Dia yakin dengan apa yang diberitahu kepada Irfan. 


Irfan mengeluh kecewa. Jika benarlah Najwa itu adalah Najwa yang sama yang dia kenali, tentu gadis itu takkan memaafkan dia lagi. Betapa terkejutnya Irfan selepas mengetahui bahawa perempuan yang baru sahaja menjadi mangsa kemalangan tadi kemungkinan besar adalah Najwa.  Gadis sama yang pernah kehidupannya dimusnahkan oleh Irfan. Dan hari ini, dia juga yang menyebabkan gadis itu kemalangan. Agaknya jika Najwa tahu tentang ini, pasti gadis itu takkan sudi lagi menerima dia buat selama-lamanya. 

Ya Allah, apa yang patut aku lakukan sekarang? Irfan merintih dalam diam. Dia terduduk di kerusi menunggu bersebelahan dengan Fizul yang sejak tadi tidak lekang-lekang memujuk serta menasihatinya. 

“Kau apahal? Kau okey? Sempat pulak kau mengurat nurse cantik tu!” usik Fizul, cuba menceriakan suasana. 

“Eh, kau ni. Ke situ pulak... Kepala otak kau berjambul! Mana ada aku mengurat dia... Aku pergi tanya je... Pasal perempuan tu...”


Fizul hanya menjungkitkan bahunya sambil bersandar di kerusi menunggu. Dia tidak betah lagi melayan perasaan Irfan yang semakin pelik itu. Agaknya, mungkin Irfan sudah berkenan dengan mangsa kemalangan tu? Fizul tersengih sendiri pula dengan imaginasinya yang entah apa-apa.




TINIE TERJAGA apabila telefon bimbitnya bergegar. Barulah dia teringat yang dia kini masih berada di hospital. Tinie melihat ke skrin telefon bimbitnya. Nama tunangnya Rafiq tertera jelas. Oh, dia terlupa beritahu tunangnya itu tentang Najwa yang mengalami kemalangan. Tentu lelaki itu risau kerana sejak semalam dia tidak langsung menelefon lelaki itu. Sudahlah kini mereka sedang berjauhan kerana lelaki itu terpaksa ke luar negara kerana hal kerja. Tinie segera menjawab panggilan telefon Rafiq.


“Assalamualaikum, sayang... Emm, ya Tie tau. Sorrylah, Tie lupa nak bagitau abang pasal Wawa kemalangan tadi... Dia ada kat Hospital Kangar ni... Ya, masih kat dalam emergency room...” suara Tinie yang risau kedengaran.


Irfan yang sejak tadi masih tertanya-tanya tentang Najwa, terus menumpukan perhatian pada Tinie yang sedang bercakap di telefon. Siapa agaknya gadis itu kepada Najwa? Mungkin kalau aku pergi bertanya, gadis itu akan menceritakan sedikit sebanyak mengenai Najwa. Jadi, dapatlah aku tahu siapakah Najwa yang aku langgar tu... Irfan terangguk-angguk. Barulah otaknya kembali berfikir. Tadi, dia tidak terfikir pun mahu bertanya apa-apa pada Tinie kerana terlalu sangat memikirkan keselamatan Najwa di dalam bilik pembedahan. 


Selepas Tinie selesai bercakap di telefon, Irfan bangun. Fizul di sebelahnya sudah tertidur di kerusi menunggu. Irfan segera menghampiri Tinie bersama sebuah senyuman pahit.


“Hmm, boleh saya tanya sesuatu?” Tinie mendongak memandang wajah kacak Irfan yang
tampak sedikit gelisah. 


“Ya, saya?” jawab Tinie tenang. 

“Kat dalam bilik pembedahan tu, kawan awak ke?” soal Irfan lagi. Keningnya bersatu menanti jawapan Tinie.


“Ya, dia kawan saya. Awat pulak encik tanya? Encik kenai dia ka?” Tinie pula yang menyoal banyak. 


“Saya terlibat jugak dalam kemalangan tu. Tapi saya tak cedera sebab sempat keluar dari kereta sebelum kereta saya meletup... Cuma ada calar-calar sikit je ni. Emm, sayalah yang menyebabkan kawan awak tu kemalangan...” jelas Irfan dalam perasaan kesal. Terlupa pula dia akan tujuannya menegur Tinie tadi.


“Oh...” hanya itu ayat yang terkeluar dari mulut Tinie. Dia sebenarnya agak terperanjat dan marah kepada Irfan yang menyebabkan Najwa kemalangan walaupun dia tahu lelaki itu tidak sengaja. Tetapi, apabila difikir semula, ini bukanlah waktu yang sesuai untuk marah-marah. Bagi Tinie, nyawa Najwa lebih penting saat ini. Soal siapa yang bersalah dalam kemalangan itu, Tinie mahu tolak ke tepi dulu.


“Saya Irfan Naufal...” ucap Irfan memperkenalkan dirinya tanpa dipinta. Dia cuba tersenyum pada Tinie yang kini menjeling tajam kepadanya.


“Erm, Tinie...” balas Tinie, separuh acuh tidak acuh. Malas pula dia hendak memperkenalkan nama penuhnya kepada lelaki tidak dikenalinya itu.


“Yang kat dalam bilik pembedahan tu, kawan rapat awak ke? Nama dia siapa? Saya bukannya apa, nak tahu sikit-sikit pasal dia sebab sayalah yang menyebabkan dia kemalangan...” 


“Nama dia Adnin Najwa. Dia tu memang kawan rapat saya. Duduk serumah...”


“Dah berapa lama awak kenal dengan dia?” soal Irfan bertubi-tubi tanpa henti. Dah macam wartawan pula. Tinie terdiam seketika memandang ke wajah tampan Irfan yang kelihatan sedikit resah.


“Baru dua bulan... Eh, awat awak ni tanya banyak pulak ni? Tadi cakap nak tanya sikit ja...” sahut Tinie sedikit tidak berpuas hati dengan Irfan. Kata mahu tanya sikit-sikit saja. Ini sudah sampai ke mana sudah. Takkanlah... Irfan sukakan Najwa kut?


“Oh, sorry. I went overboard... Hmm, terima kasih untuk maklumat yang awak bagi...” getus Irfan dengan keluhan besar. Wajahnya sudah dipenuhi peluh dingin. Kini dia sudah pasti bahawa itu adalah Najwa yang dia kenali kerana sudah dua bulan gadis itu hilang tanpa berita.


Dalam pada rasa bersyukur kerana sudah berjaya menjumpai Najwa, dia berasa risau pula. Bagaimana jika sesuatu yang buruk berlaku pada Najwa? Dan kali ini, dia juga yang menyebabkan gadis itu ditimpa musibah. Irfan meraup wajahnya sambil duduk semula di kerusi menunggu. Dia bimbang untuk berhadapan dengan Najwa dan mengakui bahawa dia adalah Irfan. Lelaki yang paling dibenci oleh Najwa. Mustahil Najwa akan menerimanya selepas melihat wajahnya. Pembedahan masih belum tamat. Sudah dua jam masa berlalu. Hati Irfan semakin gelisah mengenangkan Najwa. Dia memejamkan matanya, berdoa banyak-banyak kepada Allah SWT supaya menyelamatkan Najwa daripada bahaya. Dia tidak tega menanggung rasa bersalah yang teramat sangat dalam jiwanya kerana sekarang ini pun hatinya sudah sarat dengan rasa bersalah yang tidak tertanggung.


Selepas beberapa ketika menunggu, seorang doktor kelihatan berjalan laju keluar dari bilik pembedahan. Tinie terus berkejar ke arah doktor berkenaan diikuti oleh Irfan.


“Doktor, macam mana dengan kawan saya?” soal Tinie seperti tidak sabar-sabar lagi. Wajahnya sungguh risau. Air mata terasa bagai mahu terbit dari kelopak matanya yang sudah berair.


“Siapa keluarga terdekat mangsa?” soal doktor itu kembali.


“Kawan saya tu yatim piatu. Saya sahabat terdekat dia buat masa sekarang ni, doktor...” balas Tinie laju. Irfan hanya terdiam menanti kata-kata seterusnya daripada doktor pertengahan umur itu. Betapa gelisahnya hati Irfan ketika ini, hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. 


“Suami dia tak ada ke?” soal doktor itu lagi. Dia pelik kerana berdasarkan pemeriksaan awal dia ke atas Najwa tadi, gadis itu sedang hamil dua bulan.


“Dia belum kahwin lagi, doktor!” jawab Tinie juga pelik. Kenapa doktor itu bertanya yang bukan-bukan pula? Dan bagaimana pula doktor itu dapat tahu yang Najwa mempunyai suami? Mengarut ke apa doktor ni?


“Awak pasti ke dia tak ada suami? Sebab berdasarkan pemeriksaan awal kami tadi, mangsa mengandung dua bulan... Dan sekarang ni dia sudah pun keguguran... Emm, dan kami sudah mencuba sedaya upaya kami untuk menyelamatkan dia... Tapi, tak dapat menyelamatkan penglihatan dia... Cebisan-cebisan kecil kaca yang masuk ke dalam mata dia tu, dah merosakkan retina mata dia... Maafkan saya...” terang doktor itu satu persatu dengan wajah kesal.


Mata Irfan membesar tidak percaya. Dia terus tersandar di dinding dengan wajah yang sungguh tertekan dan gelisah. Kepalanya dipegang lalu rambutnya diramas-ramas kasar. Najwa hamil? Ya Allah! Aku pasti, dia hamil sebab aku yang rogol dia hari tu! Dan dia buta pun sebab aku yang langgar dia! Ya Allah ya Tuhanku! Ya Allah... Apa yang aku dah buat ni?
 

Ya Allah... Ampunilah aku... Najwa, tolong maafkan saya! Tolonglah maafkan saya... Ya Allah, memang aku ni jenis lelaki yang tak berguna! Apa ada pada ego aku yang menggunung itu selama ni? Agaknya inilah balasan sifat bongkak aku selama ni. Akhirnya Irfan menangis dan meraung. Dia sudah tidak peduli lagi pada orang-orang di sekelilingnya. Beban di dalam hatinya kini ternyata sudah semakin bertambah. 

Fizul yang baru tersedar daripada tidur terus datang menghampiri Irfan dalam keadaan tertanya-tanya. Dia menenangkan Irfan dengan mengusap-usap belakang lelaki itu. Dia mengagak, tentu doktor dari bilik pembedahan itu ada cakap apa-apa tentang gadis yang kemalangan itu. Takkanlah gadis tu meninggal dunia kut? Ya Allah! Engkau kuatkanlah
hati Ir... 


Tinie sungguh terkejut sebaik sahaja mendengar penjelasan doktor itu. Wawa mengandung? Tapi, dia tak pernah pun beritahu aku pasal suami dia. Dia tak pernah cakap yang dia dah berkahwin. Dia tak cakap pun yang dia mengandung? Erm, agaknya sebab ni kut Wawa selalu saja nampak pucat dan murung? Mungkin inilah rahsia yang Wawa cuba sembunyikan daripada aku selama ni dan tanggung seorang diri?
 

Ya Allah, apa yang dah jadi ni? Aku takkan percaya yang Wawa tu perempuan murahan yang dah terlanjur sampai mengandung. Sebab, walaupun baru dua bulan kami kenal, Wawa memang seorang gadis yang sangat baik. Mustahil Wawa berlakon baik depan aku sebab Wawa memang seorang yang jujur dan selalu ikhlas.

Tak mungkin! Tak mungkin dia mengandungkan anak luar nikah! Mungkinkah dia bersuami tapi dia tak mahu beritahu? Mungkin dia ada masalah dengan suami dia? Berbagai-bagai persoalan bermain di benak Tinie ketika ini. Lebih membuatkan hatinya kasihan dan bersedih, Najwa hilang penglihatannya kerana kemalangan tersebut.


“Ya Allah…” hanya itu yang mampu Tinie ucapkan. Manik-manik halus sudah terbit dan kini kelihatan meniti di pipi mulus Tinie. Dia terduduk di atas lantai menangisi nasib Najwa. Sudahlah gadis itu anak yatim piatu, kini hilang pula penglihatan dan juga kehilangan anak yang dikandungnya. Sungguh, nasib Najwa memang malang. Dugaan demi dugaan Allah SWT turunkan buatnya. Tabahkanlah hati Najwa, Ya Allah...



“Ir, sudahlah... Kau sabarlah...” pujuk Fizul lagi apabila Irfan semakin tidak keruan.


Nampak pelik pula lelaki menangis begitu. Tambahan lagi, ramai orang di sekeliling mereka. Semua mata memandang ke arah Irfan dan Fizul. Entah tengah mengutuk di dalam hati atau bersimpati dengan nasib yang menimpa Irfan.


“Aku... Aku perlukan masa bersendirian kejap...” getus Irfan seraya berlalu pergi dari situ.


Fizul hanya memandang langkah Irfan yang lemah itu. Tinie juga begitu, dia memandang ke arah Irfan dengan pandangan bingung. Kenapa agaknya lelaki itu sampai meraung dan menangis begitu kerana Najwa? Tinie mengelap air matanya.


“Doktor, boleh saya masuk tengok kawan saya tak?” tanya Tinie seraya bangun berdiri semula. Tisu dikeluarkan lalu dia mengesat pipinya yang sebal. Esakannya masih kedengaran halus.


“Boleh, tapi biarlah kami pindahkan dia ke wad dulu. Nanti cik boleh tengok dia...” kata doktor tersebut sambil tersenyum kecil. Dia mengangguk-angguk pada Tinie lalu meminta diri. 


Tinie tidak dapat menahan perasaannya apabila terlihat tubuh lesu Najwa yang dibawa keluar dari bilik pembedahan. Kepala dan matanya berbalut. Bibirnya pucat lesi. Najwa kelihatan sungguh terseksa walaupun masih tidak sedarkan diri.


Ya Allah, Engkau tabahkanlah hati gadis itu... Sesungguhnya dia amat memerlukan sokongan-Mu, Ya Allah... Sokonglah hati dia, berilah dia kasih sayang-Mu... Supaya dia dapat menempuhi semua dugaan-Mu ini dengan penuh ketabahan... Aminn...

No comments:

Post a Comment