TIDAK cukup dengan hanya menemani makan
tengah hari selama seminggu ini, ada sahaja Encik Zafrul
mencari pasal denganku.
“Darwiesha, masuk sekejap!”
Menonong aku ke biliknya
setelah mendapat arahan melalui interkom. Hanya hari pertama
dia menyuruh setiausaha peribadinya memanggilku. Selepas
itu dan hari-hari yang berikutnya, Encik Zafrul interkom aku
terus dari mejanya.
“Masuk!”
Suara tegas Encik Zafrul kedengaran setelah
aku mengetuk pintu biliknya.
“Awak dah sarapan?”
“Sudah, Encik Zafrul. Kat rumah tadi dengan
housemate saya.”
“Saya tak sempat sarapan. Awak boleh tolong turun
belikan saya kuih dan tolong buatkan saya kopi?”
“Tapi encik… Kak Zaty kan, ada?” Aku merujuk kepada
setiausaha peribadinya.
“Saya mahu awak yang buat. Kalau saya nak Zaty
bancuh kopi saya, tak perlulah saya mintak awak datang sini.”
Aku terkedu dibidas sinis. Not sepuluh ringgit diunjurkan
kepadaku dan aku ambil dari tangannya tanpa berlengah lagi.
Aku berpaling ke pintu tapi tersedar sesuatu. Pantas
aku pusingkan tubuh ke arahnya semula.
“Er… maaf Encik Zafrul. Encik gemar makan kuih
apa?” Aku harus bertanya dulu kerana inilah kali pertama aku
diberikan tugas sebegini walaupun ia di luar bidang kerjaku.
Mengalahkan P.A.nya pula.
“Saya makan saja apa yang awak pilih. Saya nak tahu
juga kuih kesukaan awak. Tak salah kan saya nak kenal awak
lebih mendalam lagi?”
Erk!!! Salah tu tak salah. Ada tapinya… untuk apa?
Aku melewati deretan kubikel untuk ke pintu kaca
sebelum turun ke tingkat bawah. Sampai sahaja di pintu, aku
bertembung pula dengan Umairah yang baru naik ke aras ini.
“Awak nak pergi mana, Wiesha?”
“Er… nak turun bawah. Encik Zafrul mintak saya
belikan kuih.”
“Hah! Biar betul Wiesha? Sebelum ni, mana pernah
dia buat perangai manja macam gitu? Kak Zaty pun tak pernah
belikan Encik Zafrul sarapan. Eh, awak dengan Encik Zafrul
ada apa-apa hubungan ke?”
Hah! Terbuka mulutku. Apa motif
Encik Zafrul sebenarnya? Peliknya…
“Isy... mana ada apa-apa. Saya pekerja, dia bos. Mestilah
saya kena buat apa saja kerja yang diarahkan.”
“Entah-entah, Encik Zafrul suka kat awak tak?”
Umairah angkat-angkat kening.
Aku mencebik. Bukan
entah-entah lagilah Umairah. Encik Zafrul sudah pun mengaku.
Aku saja yang belum lagi ‘ter’suka kepada ketuaku itu.
“Mengarut ajelah awak ni. Saya dah lambat ni. Nanti
lama pulak Encik Zafrul tunggu nak sarapan.”
“Alah… kalau dia suka kat awak pun, apa salahnya?
Kat floor bawah, dah ramai yang soksek-soksek pasal korang
berdua. Encik Zafrul punyalah kacak, takkan awak nak tolak
lelaki bergaya macam tu?”
“Eei tolonglah! Saya datang sini, nak kerja tau, bukan
nak cari teman lelaki.” Serta-merta aku tarik muka masam dan
bergerak ke tangga mahu turun ke tingkat bawah.
NAIK ke tingkat satu semula, aku terus ke pantri untuk
membancuh kopi yang diinginkan Encik Zafrul. Kali ini, Kak
Lela pula yang memandangku agak pelik.
“Wiesha buat air untuk siapa?”
“Untuk Encik Zafrul, kak.”
“Eh... selalunya Kak Lela yang selalu bancuh dan
hantar ke bilik dia.”
“Entahlah kak. Saya pun tak tahu. Agaknya, hari ni
angin sepusing dia datang kut.” Aku tergelak dengan telahanku
sendiri.
“Macam-macamlah Wiesha ni. Kuih ni nak letak dalam
piring?”
“Haah Encik Zafrul yang mintak tolong saya belikan
tadi.”
“Aik… peliknya Kak Lela dengan perangai dia
sekarang? Lagi satu Kak Lela perasan, sejak Wiesha mula kerja
kat sini, dia dah banyak berubah tau.”
“Berubah? Dulu... Encik Zafrul macam mana?” Teruja
juga aku mahu mengorek rahsia Encik Zafrul. Alang-alang
bakal dapat informasi percuma, apa salahnya tadah telinga?
“Sebelum ni, Encik Zafrul serius sangat. Garang
semacam sampaikan tak pernah senyum, tak pernah ketawa.
Sekarang Kak Lela tengok, muka Encik Zafrul berseri-seri.
Agaknya Wiesha ni datang bawak sinar kepada RME
Development kut?”
“Sinar apa Kak Lela? Saya tengok bilik dia sama aje.
Malap aje lampu kat dalam bilik dia tu?” Kak Lela tergelak aku
menjawab begitu.
“Maaflah! Kak Lela mengarut saja pagi-pagi ni. Dah...
pergi cepat hantar kopi Encik Zafrul tu. Kalau dah sejuk, tak
sedap pulak.”
Aku senyum separa ikhlas. Kepalaku mula memikirkan
Encik Zafrul. Benarkah apa yang diceritakan Kak Lela tadi?
Encik Zafrul sebelum ini garang? Tapi, cara dia loyar buruk
denganku macam bukan seorang yang garang aje.
Sejak itu, semakin bertambah kerjaku. Dari peneman
Encik Zafrul makan tengah hari, setiap pagi aku harus
menyediakan sarapan dan juga kopi sebaik sahaja dia sampai
di pejabat. Jika Encik Zafrul ada mesyuarat di luar dan akan
masuk di sebelah petangnya, pagi-pagi lagi dia akan berSMS
denganku. Kadang-kadang terfikir juga aku. Jawatanku di sini
sebagai pembantu akaun ataupun setiausaha peribadinya? Kak
Zaty pula, apa peranannya?
SUDAH lebih tiga minggu di sini, Encik Zafrul tidak sekali
pun mendesakku tentang hal berkaitan hati dan perasaannya.
Aku lega juga kerana sememangnya aku tidak bersedia langsung
mahu memberikan jawapan. Selama tiga minggu ini juga, aku
melaksanakan tugas yang diarahnya tanpa banyak soal.
“Wiesha…. Saya nak awak pergi bank. I need a cash.”
Sekeping cek tunai dihulurkan kepadaku. Aku ketap bibir.
Ini lagi tak boleh ‘blah’ punya arahan. Cek peribadi dia
pun, nak aku juga yang tunaikan? Sibuk sangat ke Encik Zafrul
ni, sampai tak boleh ke kaunter bank sendiri?
“Kenapa buat muka cemberut macam tu? Awak tak
boleh tolong ke?”
“Bukan tak boleh tolong, Encik Zafrul. Tapi bank ni,
bukan dekat-dekat opis. Jauh juga kalau saya nak menapak.”
“Awak ada lesen memandu, kan? Nah kunci kereta
saya. Agak-agak dah balik sini nanti, tunggu saya kat restoran
macam biasa. Call saya kalau awak dah sampai.”
“Encik Zafrul nak suruh saya drive kereta encik? Encik
tak takut ke, kalau jadi apa-apa pada kereta encik?”
“Awak kena biasakan diri dengan kereta saya. Awak kan
buah hati saya...”
Hah?” Aku buah hati dia? Sedap-sedap mulut saja dia
declare begitu. Melampau sungguhlah Encik Zafrul ni.
“Don’t think so much. Just go! Ingat... bila dah balik
sini semula, terus call saya dan tunggu kat restoran macam
selalu.”
“Tapi Encik Zafrul…” Aku masih lagi keberatan.
Sudahlah aku disuruh ke bank atas urusan peribadinya,
ditambah pula kerisauan aku dengan cek bernilai RM15,000.00.
Bukan sedikit oiii! Kalau hilang atau tercicir kat mana-mana,
masak aku mahu menggantinya.
“Saya ada meeting dengan lembaga pengarah sekejap
lagi. Saya tak ada masa nak layan bertekak dengan awak.”
Dalam keterpaksaan aku ambil kunci kereta di atas mejanya.
Sempat juga aku mengerlingnya tajam. Bengang!
BUKANNYA susah mahu mencari kereta Encik Zafrul di
tempat letak kereta yang dikhaskan untuknya. Acap kali juga
Encik Zafrul membawaku makan tengah hari agak jauh dari
bangunan pejabat RME Development. Sudah tentu aku tahu di
mana keretanya berada setiap hari.
Remote Mercedez Benz CLK berwarna kelabu aku
picit. Dengan ucapan Bismillah, aku masuk ke keretanya. Cuba
membetulkan seat dan laraskan cermin pandang belakang.
Tubuhku yang terbenam di kerusi empuk, aku tegakkan.
Mujurlah abah juga memiliki kereta sama jenisnya dengan
yang ini dan aku sudah biasa disuruh abah memandu jikalau
keluar bersama kedua-dua orang tuaku. Yang Encik Zafrul pula,
confident sangat ke aku boleh bawa kereta mahal ni? Tak takut
ke kalau-kalau keretanya calar?
Benar bagai dikata oleh Encik Zafrul.
Jalan raya sudah
mula sesak walaupun masa belum lagi menginjak ke tengah
hari. Terpaksa berhati-hati dengan jalan sempit di hadapan bank
yang aku mahu tuju. Tempat letak kereta juga penuh. Aduhai…
kenapalah Encik Zafrul jadikan aku balaci hari ni? Ingat aku
tak ada kerja ke kat pejabat tu. Kalau macam ni, baik aku jadi
P.A.nya sahaja. Lagi baik kalau jadi bini terus! Hahahaha…
mengarut sungguh la kau Lyana.
Hati kata tak suka, boleh pula
berangan nak jadi isteri bos, huh!
Terpaksa pula aku berpusing dua kali di jalan sehala
yang sama untuk mencari parkir kosong. Akhirnya, nampak juga
satu kereta yang baru mengundur dan menderu meninggalkan
kawasan ini. Berhati-hati aku masuk ke petak yang ditinggalkan.
Sudahlah sempit, kiri kanan kereta pula diparkir begitu rapat
dengan garisan kuning. Cermin mata hitam aku sangkutkan
ke telinga. Panas terik dan membahang hingga silau mataku.
Kalau tak fikirkan bos yang memberi arahan untuk aku ke
sini, tak ada maknanya aku mahu menempuh jalan sesak dan
berpanas terik begini.
Final check! Sambil melangkah aku tunduk membelek
kepingan cek tunai di dalam beg tangan yang aku sandang.
Lega… masih ada lagi dan terletak elok di dalamnya. Cek tunai
RM15,000.00. Siapa tak bimbang kalau hilang?
“Cik… watch out!!!”
Jeritan nyaring satu suara
mengejutkan aku. Serentak bunyi hon yang panjang
kedengaran dan aku tidak sedar bila masanya tubuhku terkalih
ke bonet kereta yang aku pandu tadi. Elok saja pula lelaki yang
menolakku tadi menghimpit tubuhku.
“Auchhhh!!!” Aku mengaduh. Perutku rasa senak
terhentak ke badan kereta yang keras. Apa yang sudah berlaku?
“Maaf. Cik tak apa-apa? Sikit lagi cik nak kena langgar
tadi.” Lelaki yang menyelamatkan aku menjarakkan diri dan
bertanya dengan wajah bimbang. Tanganku memegang perut
dan degup jantungku berdetak laju. Menggeletar seluruh
tubuhku.
“Terima kasih, encik. Saya tak perasan pun ada kereta
datang.”
“Cik tak biasa dengan kawasan ni? Di sini memang
senantiasa sibuk. Lain kali cik perlu berhati-hati.” Formalnya
lelaki ini bercakap denganku. Intonasinya juga agak pelik.
“Kali pertama saya datang. Bos saya minta saya ke
bank.”
“Saya Arief Rachman.”
Sebelah tangannya dihulurkan
kepadaku. Teragak-agak aku mahu menyambut. Tapi
mengenangkan aku telah terhutang budi kepadanya tadi, aku
sambut juga salam perkenalan daripadanya.
“Saya Wiesha.”
Tanganku yang masih menggeletar
digenggam lama.
“Wiesha saja? Tak ada nama penuh?”
“Tak perlulah encik tahu nama penuh saya. Saya nak
ucap banyak-banyak terima kasih kerana selamatkan saya tadi.
Saya minta diri ke bank dulu dan harus balik ke pejabat secepat
yang mungkin.”
“Saya temankan Wiesha. Saya juga mahu ke bank yang
sama.”
Oh!!! Apa lagi yang harus aku katakan? Rupa-rupanya
tujuannya sama denganku. Aku biarkan saja dia menyaingi
langkahku ke seberang jalan menuju ke deretan bangunan
kedai.
Menggeletar juga aku apabila memegang sampul surat
berisikan sejumlah wang tunai yang agak besar jumlahnya.
Lima belas ribu ringgit! Cepat-cepat aku masukkan ke dalam
beg tangan dan zip rapat-rapat. Aku kepitnya kuat-kuat di celah
ketiakku.
“Wiesha… tunggu sebentar.” Lah... Encik Arief lagi...
Aku menunggunya hingga dia berdiri betul-betul di hadapanku.
“Ini kad saya. Kalau tak keberatan, boleh saya minta
nombor Wiesha?” Kad berbentuk segi empat bertukar tangan.
Aku menelitinya sebentar. Peliknya nama dia. Panjang berjela
mengalahkan nama penuhku.
Arief Rachman Haqeem bin Ahmad Rashidi.
Finance Executive,
CIMB
Oh! Rupanya dia bekerja di sini. Patutlah masuk-masuk
saja ke dalam bank tadi, pengawal keselamatan mengangkat
tangan kepadanya. Selepas itu dia hilang. Aku pula tak tahu dan
tidak mahu ambil peduli ke mana dia pergi.
“Wiesha...”
“Hah! er... tak apalah. Saya dah ada nombor Encik
Arief. Insya-Allah, saya akan telefon Encik Arief.”
“Saya tunggu.” Aku mengangguk dan menghadiahkan
sekuntum senyuman untuknya. Cukup kukira untuk membalas
budinya kerana menyelamatkan nyawaku sebentar tadi.
Arief Rachman juga yang bukakan pintu kaca dan
mempersilakan aku keluar. Dia mengikut aku keluar ke koridor
dan berdiri di situ hinggalah aku selamat menyeberangi jalan
ke sebelah sana.
Sebelum aku buka pintu kereta, hatiku bagai
tertarik-tarik mahu memandang ke hadapan bank semula. Arief
Rachman masih lagi di situ dan melambai kepadaku. Agak lama
selepas itu, barulah dia memalingkan tubuhnya ke pintu kaca.
Wah! Sampai begitu layanan seorang pegawai bank kepada
pelanggannya? Bagus sungguh!
SEKEMBALINYA dari CIMB, aku terus ke Restoran Kampung.
Kebosanan menunggu Encik Zafrul tiba, aku keluarkan sebuah
novel yang sentiasa berada di dalam beg tanganku.
Sebuah kisah cinta yang agak dramatik di mana
seorang lelaki kaya lagi tampan jatuh cinta kepada seorang gadis
yatim piatu. Sudah tentu keluarga si hero tidak sukakan gadis
pilihan anak mereka yang tidak tahu asal usulnya. Memang
begitulah kehidupan. Manusia tetap memandang pangkat dan
keturunan. Kononnya mahukan menantu perempuan golongan
yang baik-baik sahaja. Masalahnya, anak bujang mereka tu…
baik sangat ke?
Rata-rata kisah di dalam novel, si lelaki anak hartawan
suka berpoya-poya, kasonova tapi tetap mahukan gadis baik
sebagai isteri. Sungguh klise!
Aku tersenyum membuat andaian sendiri.
“Baca novel pun boleh senyum-senyum? Macam orang
gila!”
O-mak-kau! Hampir tercampak novel di tanganku.
“Encik ni… tak reti nak bagi salam ke? Terkejut
saya.” Aku urut dada seraya simpan kembali novel ke dalam
beg tanganku. Kalau hari-hari selalu kena sergah macam ni,
mahunya cepat aku jadi arwah!
“Sorry… Assalamualaikum. Dah lama sampai?”
Aik... buat-buat tanya pulak padahal dia yang suruh
aku tunggu di restoran Kampung ini.
“Waalaikumussalam. Ha… macam tu, la! Er… duit
encik, nak ambik sekarang ke? Saya tak beranilah nak pegang
lama-lama. Banyak tu…” Aku bertanya dalam nada yang amat
perlahan sekali. Aku tak mahu ada yang pasang telinga. Takut
nanti kena rompak, siapa yang susah? Aku jugak yang kena
menanggungnya. Mana nak cari lima belas ribu ringgit weh!
Sekarang ni tengah bulan. Nak tunggu hari gaji, lambat lagi!
“Tunggu balik pejabatlah. Duit tu selamat dalam beg
awak, kan? Saya keluar makan ni, tak bawak apa-apa. Lebih baik
awak aje yang pegang dulu.”
“Tapi encik…” Tak jadi aku mahu menjawab apabila
pesanan kami dihantar pelayan restoran. Nak bercerita tentang
duit di depan orang luar? Lagi tak boleh!
“Awak ni kan…. setiap kali bercakap, mesti banyak
‘tapi’nya. Tak boleh ke awak tak ingkar arahan saya walau
sekali?”
Aku tahan geram.
Wahai Encik Zafrul… itu bukan
arahan, tapi paksaan!
Nasi goreng ayam yang baru disuap, aku kunyah
perlahan. Hairan sungguh aku dengan orang kaya seperti Encik
Zafrul ni. Macam tak kisah saja dengan duit tunai yang boleh
dikatakan agak banyak tu. Kalau aku jahat, boleh saja aku bawa
duit tu lari. Boleh shopping sesuka hati. Lepas tu, bersedialah
untuk di pecat dari RME Development.
“Kenapa diam aje hari ni?”
“Diam? Selalunya saya bising ke?” Aku membidas
semula.
“Ada saya cakap macam tu ke?”
Aku angkat bahu dan teruskan suapanku. Lama
menunggu dia sampai tadi, perut pun lapar bukan main. Dah
tahu ada meeting dengan Lembaga Pengarah, lagi mahu makan
denganku hari ini. Tak boleh ke lunch sorang-sorang tanpa aku?
Menyusahkan betul! Aku membebel di dalam hati.
Berani ke aku merungut depan-depan?
No comments:
Post a Comment