Wednesday, 18 March 2015

Ceritera Cinta Darwiesha - Bab 3

            BERMULA hari ini, Encik Zafrul berlepas ke Sydney selama seminggu. Lewat malam tadi, dia memaklumkan kepadaku menerusi SMS. Katanya bos besar membatalkan lawatan projek ke sana atas sebab kesihatan dan dia terpaksa menggantikan tempatnya.

         Yehaaa... Betapa leganya! Terasa aman sikit hidupku. Seminggu ini aku tidak perlu berkejar ke pantri membancuh kopi untuknya. Senang hati aku dapat menyiapkan kerjaku yang menimbun dengan penuh konsentrasi.

           Yang hairannya... selepas dua tiga hari, mula terbit rasa rindu pula apabila Encik Zafrul tiada di pejabat. Bak kata pepatah, ‘macam kucing hilang anak’. Bila Encik Zafrul ada di depan mata, aku selalu sangat mendecit geram terhadapnya. Mungkin juga kerana inilah kali pertama Encik Zafrul tiada di pejabatnya begitu lama. Selalunya kalau outstation, setakat sehari dua sahaja.

          Aku berkira-kira sendiri. Kenapa aku rasa kekurangan sesuatu? Benci tapi rindu? IsyyyIsyyy! Tak mungkinlah!  Am I missing something? Apa ya? Haaaaa! Aku petik jari. Baru teringat... Seminggu ini juga aku tak perlu membeli dan menukar air bunga carnation yang dimasukkan ke dalam pasu pewter di atas mejanya.

           Jika tidak, dua hari sekali pastinya aku disuruh ke kedai bunga di tingkat bawah sederet dengan pejabat RME Development. Itulah... nampak aje Encik Zafrul tu brutal, tapi sebenarnya dia seorang ‘Mat Bunga’. Keh keh keh… Dalam hati ada taman. Semestinyalah aku sungguh gembira kerana seminggu ini aku dapat bergelak ketawa dengan kawan-kawan satu department denganku. Setelah sekian lama aku nantikan, dapat juga aku aku keluar makan tengah hari bersama Amy dan seorang lagi kawan baruku di sini bernama Suraya.

          Inilah masanya aku dapat mengecualikan diri daripada menjadi peneman Encik Zafrul makan. Kadangkala hinggakan menjadi beban kurasakan. Ada ketikanya aku sengaja berpuasa untuk mengelak terlalu kerap bersamanya. Tambahan pula gosip hubunganku dengan Encik Zafrul sudah meliar hingga ke tingkat dua.

          “Wiesha… kau tak rindukan Encik Zafrul ke?” Hampir tercekik aku mendengar pertanyaan dari mulut Amy. Kut ya pun nak bertanya soalan cepumas begitu, tunggulah sampai aku habis makan.

         “Kenapa nak rindu dia?” Aku bertanya kembali kepada Amy yang menunggu jawapanku tanpa berkelip matanya.

            “Yalah… dah tiga hari Encik Zafrul ke Sydney. Selama ni, kau kan selalu berkepit aje dengan dia.”

           “Aku berkepit bukannya aku sengaja atau mahu sangat berdua-duaan dengan Encik Zafrul tu. Arahan daripada bos, terpaksa aku turut. Kalau ikutkan hati, aku lebih suka makan dengan korang berdua macam sekarang ni.”

            “Eeeeyy…. Ruginya kau fikir macam tu. Kalau aku ada kat tempat kau, mesti seronok gila. Makan sedap-sedap, hari-hari save budget. Dan lagi… Encik Zafrul tu punyalah handsome. Bangga tau dapat keluar berdua-duaan dengan dia.”

             “Aku tak heran sangat pun dengan makanan yang sedap-sedap tu, Sue. Aku pun pelik dengan perangai Encik Zafrul. Macamlah tak ada orang lain yang boleh diajak untuk temankan dia makan.”

          “Yang kami tahu, selama ni mana pernah Encik Zafrul keluar makan dengan orang lain, kecuali dengan big boss kita.”

           “Haahlah. Kalau dah dengan big bos, takkan Encik Zafrul berani bantah? Big boss tu kan, ayah dia...” Amy mengiakan kata-kata Suraya.

           “Apa? Maksud kau… Encik Zafrul anak pemilik RME Development ke?”

          “Aik? Kau tak tahu ke, Wiesha? Takkanlah dah lebih sebulan berkepit dengan Encik Zafrul, masih tak kenal dia lagi?”

           Aku terkejut. Ya tak ya jugak! Nama penuh Encik Zafrul…. Zafrul Amri Bin Zairi Hashim. Kenapa aku tak pernah perasan? Rasa nak ketuk kepala sendiri dengan tukul kayu. Kayu ajelah… kalau penukul besi, habislah kepala sendiri hancur!

           “Wiesha… kau kenapa?” Suraya merenungku hairan melihat aku termenung lama.

            “Eh tak ada apa-apalah. Aku teringatkan Encik Zafrul.” Lancar sahaja aku menjawab di bawah sedar.

           “Ha… dah mula rindu ke?” Serentak Amy dan Suraya menempelakku. Hah! Apa aku cakap tadi?

           “Korang… Aku sebut apa tadi?” Aku terpinga-pinga apabila kedua-dua rakan sekerja yang berada di depanku ini ketawa mengekek-ngekek.

             TELEFON bimbit di dalam poket seluar panjangku bergetar. Sambil berjalan melalui koridor, aku dekatkan telefon ke telinga.

           “Helo Wiesha...” Wiesha? Siapa pula yang memanggilku Wiesha? Aku tidak dapat mengecam nombor yang terpampang di skrin. Dan yang pasti, bukan suara Encik Zafrul yang kedengaran di talian sana.

            “Assalamualaikum. Siapa tu?”

            “Mudahnya Wiesha lupa pada suara saya. Saya Arief… Arief Rachman Haqeem.”

             “Encik Arief? Eh... macam mana Encik Arief tahu nombor saya?”

             “Saya bekerja di bank. Bukan susah mahu cari butir-butir peribadi customer. Di belakang cek tempoh hari, ada nama dan nombor telefon Wiesha. Wiesha sedang sibuk ke?”

              “Maaflah… saya tak berapa cam suara Encik Arief. Saya baru saja balik daripada makan tengah hari dengan kawan satu pejabat.”

              “Oh ya... bila awak boleh lunch dengan saya pula?”

             “Lunch… err... er… saya tak boleh, Encik Arief. Maafkan saya.” “Kalau tak boleh lunch, how about dinner?”

               “Dinner… ernanti saya fikirkan. Maaf Encik Arief, waktu rehat dah hampir tamat. Saya nak mula bekerja. Senang-senang nanti, saya call Encik Arief.”

              “Tunggu sekejap, Wiesha. Dah lebih dua minggu saya berikan kad saya pada Wiesha, tak pernah barang sekali pun Wiesha telefon hinggakan saya yang terpaksa cari Wiesha. Boleh ke saya percaya dengan janji Wiesha kali ini?” Aku terkedu.

            “Er... maaf. Saya… saya terlupa.” Entah di mana aku  campakkan kad yang dihulurkan kepadaku tempoh hari, aku sendiri pun tidak pasti.

            “Malam nanti saya telefon Wiesha, boleh?”

              “Insya-Allah…” Selepas mengucapkan salam aku matikan talian. Berjeda seketika sebelum aku mendaki tangga naik ke tingkat satu. Arief Rachman Haqeem! Aku hampir-hampir lupa dengan nama itu. Lelaki yang telah menyelamatkan aku daripada dirempuh kereta semasa ke CIMB kira-kira dua minggu yang lepas. Mahu menolaknya secara terang-terangan, rasanya tidak wajar. Terlalu besar budinya kepadaku.

              BOLEH dikatakan saban malam Arief Rachman menelefonku. Semakin selesa aku melayani bual bicaranya yang lembut dan menyenangkan. Sehinggalah membawa aku bertemu janji dengannya hari ini. Aku menggunakan perkhidmatan monorel untuk ke Pavillion. Terlewat sepuluh minit dari masa yang dijanjikan.

         Dari jauh, aku nampak Arief Rachman menunggu di hadapan News. Com sebaik sahaja aku masuk dari Chulan entrance. Merecik juga peluh di dahi setelah berkejar dari stesen monorel Jalan Raja Chulan.

         “Dah sampai pun. Saya baru fikir mahu call Wiesha.”

          “Maaf Encik Arief. Saya terlewat.”

          “Saya mahu menjemput Wiesha di pejabat, Wiesha tak benarkan.”

             “Saya segan Encik Arief.” Segan? Segan hanyalah satu alasan. Selebihnya aku tidak mahu ada yang memandang serong terhadapku.

          “Wiesha, jangan terlalu formal dengan saya. Panggil saja saya Arief. Saya rasa canggung pula bila Wiesha panggil saya Encik Arief.”

           “Baiklah, Arief!” Lebar senyumannya hinggakan aku terpaku

           “Wiesha lapar? Mahu makan sekarang?” Kami menyusuri beberapa buah kafé ala-ala barat di aras ini.

           “Saya ikut saja.” Entahlah…. Apabila bertentang mata begini, aku rasa sedikit kekok mahu berbual mesra dengannya. Lain pula bila kami di talian saban malam. Ada sahaja yang kami bualkan meleret-leret panjangnya sehingga kadangkala tidak sedar hampir dua jam kami bercakap di telefon.

             “Wiesha tahu, masa mula-mula berkenalan tempoh hari, saya sangat kagum dengan Wiesha. Muda-muda lagi sudah mampu pandu kereta mahal.”

            “Malam tadi kan saya dah cerita, itu kereta bos saya. Keluarga saya hanya orang biasa-biasa saja. Mana saya mampu pandu kereta mahal macam tu.”

        “Bapa Wiesha kerja apa?”

           “Er… abah saya dah bersara. Duduk di rumah saja sekarang.” Bukan niatku hendak menipu, tapi aku harus berhati-hati dengan lelaki yang baru saja aku kenali.

          “Tentu seronok hidup di kampung. Seperti juga di kampung kelahiran nenda saya di Jogja.”

         “Jogja? Jadi... awak bukan berasal dari sini?” Patutlah namanya sedikit pelik. Ala-ala nama orang seberang.

         “Saya dilahirkan di sini. Ibu saya juga dilahirkan di Malaysia. Nenek dan moyang ibu saya dari seberang dan berketurunan Belanda juga.” Aku teliti wajahnya yang sedang bercakap. Wajah Arief Rachman ada iras-iras Ari Wibowo semasa muda. Aku kenal sangat dengan pelakon yang dulunya pernah meletup di Indonesia kerana mak dan pembantu rumah kami,  Acik Hawa gilakan sinetron Indonesia.

        “Wiesha gemar makan apa?” “Apa saja. Tak ada yang specific. Saya jenis tak memilih.” 

         “Untung siapa yang dapat jadi pasangan Wiesha.”

          “Untung… apa maksud Arief?”

            “Ya... untung! Orangnya manis, pemalu... jenis tak memilih.” Aku ketawa. Lembut sahaja.

           “Arief… tak perlu awak puji saya lebih-lebih. Kita baru saja berkawan. Tak sampai sebulan pun lagi.”

          “Saya memuji sebab saya sukakan Wiesha.”

          “Hah! Saya tak percayalah… Arief. Awak kerja di bank, sudah tentu awak banyak bergaul dengan ramai orang. Maksud saya, pelanggan. Takkanlah tak pernah jumpa mana-mana perempuan yang berkenan di hati?”

           “Saya menunggu gadis seperti Wiesha agaknya.” Giliran Arief Rachman pula yang ketawa. Bersahaja dan menyenangkan. Lama aku terpaku pada wajah putih bersih dan sedikit kemerahan itu.

          “Baiklah... apa kata kita makan di sini saja?” Langkah Arief Rachman berhenti di depan sebuah restoran di aras empat.

              Rupanya sudah banyak tingkat yang kami susuri. Aku juga bukan selalu sangat datang ke mari. Hanya sekali-sekala menjamu mata dengan kawan serumahku, Haslina. Hendak shopping gila-gila di sini, rasanya tidak berbaloi kerana rata-rata barang-barang yang dijual di sini bukannya murah. Buat apa membazir? Daily Kopitiam! Bau haruman nasi lemak menggamit seleraku. Kami sama-sama masuk ke restoran dan Arief Rachman mengambil tempat duduk yang ala-ala sofa. Dia  mempersilakan aku duduk dan mengambil tempat berhadapan denganku. Makan di pusat membeli-belah ternama, tetapi nasi lemak bersama rendang ayam juga yang aku cari. Baru tadi aku mengaku kepada Arief Rachman yang aku bukan jenis memilih. Tetapi kalau sudah lidah Melayu, tetap juga makanan ruji yang menjadi pilihan. Arief pula memesan prawn noodle. Aku leka merenungnya yang sedang makan menggunakan chopstick. Langsung tidak kekok seperti berketurunan Cina pula dia. Betul ke dia ni berdarah Indon?

            “Oh ya!” Arief Rachman mengangkat mukanya kembali kepadaku. Chopstick di tangan diletakkan di tepi piring yang menampung mangkuk prawn noodlesnya.

          “Erm?” Kening aku angkat tinggi menunggu dia meneruskan kata-katanya.

            “Boleh kita keluar selalu seperti ini?”

          “Selalu?”

            “Yaselalu. Seminggu sekali atau lebih daripada itu kalau Wiesha tak keberatan?”

           Aku tunduk dan berfikir sebentar.

          “Maaf... saya rasa kita tak perlu bincangkan dulu tentang ini. Nanti saya fikirkan. Saya tak mahu Arief terlalu mengharap kepada saya.”

         “Okey... saya terima alasan Wiesha. Apa kata kita berkawan, selalu berhubung dan belajar mengenali antara satu sama lain. Jujurnya saya mengaku saya sukakan Wiesha. Tapi… saya tidak pasti sama ada perasaan Wiesha ada untuk saya atau Wiesha mungkin sudah punya pilihan hati?”

        “Saya belum berpunya, Arief. Saya belum memikirkan untuk berteman.” Sudah! Aku pula yang terikut-ikut lenggok bahasanya yang tersusun indah. Serasa macam dalam sinetron Indonesia yang menjadi kegilaan mak pula. Hehehehe

         SEMINGGU berlalu dan hari Isnin menjelma kembali. Malam tadi Encik Zafrul awal-awal lagi sudah mengirimkan SMS buatku. Katanya dia sudah mendarat di KLIA. Saya rindu awak! Aku renung tiga patah perkataan yang terpampang di skrin. Ayat paling akhir dikirimkan kepadaku. Rindu? Hahahaha… Rindu nak dera aku ke? Hairannya, hati ini berdebar semacam. Kenapa ya? Sesekali aku resah sendirian. Rindukah aku kepada Encik Zafrul? Haishhhhh! Semasa tea break jam 10.00 pagi, aku bergegas turun untuk membeli bunga carnation. Aku meminta izin daripada Kak Zaty untuk menyelinap masuk ke bilik Encik Zafrul semasa tukang cuci membersihkan biliknya. Seperti yang sudah aku agak, carnation yang lama sudah terkulai tangkainya. Kelopak putihnya terlerai dan bertaburan di atas meja.

          Namun sehingga waktu makan tengah hari tiba, Encik Zafrul belum lagi menampakkan diri. Aku membuat andaian, dia letih dan mahu berehat di rumah. Selesai sahaja makan tengah hari, interkom di mejaku berbunyi. Seakan tahu-tahu sahaja aku sudah pun masuk ke pejabat semula. Seperti biasa suara Encik Zafrul meminta aku ke biliknya. Suraya di sebelah kubikelku sempat mengusik apabila mendengar kerusi aku berkeriuk menandakan aku sudah berdiri.

         “Dah rindulah tu! Aku rasa korang berdua memang dah ditakdirkan bersama.” Tanpa menjenguk ke sebelah, aku membalas semula.

         “Banyaklah kau punya takdir! Mati hidup balik, aku tak nak bertakdir dengan dia… Huh!” Aku mendengus. Dengan  langkah lemah aku ke pintu biliknya di hujung sana. Tombol pintu aku pulas tanpa perlu diketuk.

            “Selamat tengah hari Encik Zafrul, ini saya bawa draft financial untuk projek Taman Rinching.” Sebelum Encik Zafrul terbang ke Sydney, sebenarnya aku sedang menyiapkan financial report atas arahannya juga. Namun apakan daya, belum sempat aku serahkannya, dia terpaksa gantikan bos besar ke sana.

            “Hmmmm... letak atas meja dan duduk dulu. Saya nak cakap sikit dengan awak.”

         “Apa salah saya kali ni, encik?” Dia tersenyum hambar apabila sedar aku memerlinya. Wajahnya yang monyok sekejap sahaja bertukar menjadi serius.

          “Darwiesha…. seminggu saya tak ada, awak tak rindukan saya? Sepanjang saya kat Sydney, sekali pun saya tak pernah terima panggilan telefon daripada awak.” Ya... betullah tu aku tak pernah call dia. Gila kentang aku nak call jauh-jauh ke Sydney. Bakal melambunglah bil telefon aku!

          “Memanglah saya rindu. Sebabnya… tak ada siapa nak suruh saya buat air setiap pagi, suruh saya beli bunga, pergi bank dan macam-macam lagi.”

          “Darweisha… kali ni saya pulak nak tengok awak serius. Awak tak pernah ada apa-apa perasaan pada saya ke?” Matanya memanah tepat ke dalam anak mataku. Terkujat aku sebentar.

          “Er… boleh tak Encik Zafrul simpan soalan tu? Sebabnya saya tak ada jawapan untuk soalan encik buat masa ni.” Kalau dia serius, aku juga serius dengan apa yang aku nyatakan. Soal hati dan perasaan, bukan boleh dibuat main-main. Aku masih tidak dapat mengaitkan rasa hatiku kepadanya. Bagaimana aku mahu menjawabnya?

         “Pandai awak mengelak. Tak mengapa. Saya simpan soalan saya untuk dua tiga hari. Hmmm... ini untuk awak dari Sydney.” Aku tarik nafas lega apabila suara Encik Zafrul sudah bertukar nadanya. Encik Zafrul letak satu paper bag di depanku.

          “Terima kasih. Untuk saya saja ke? Untuk staf-staf yang lain, tak ada?”

          “Mereka dah biasa dapat oleh-oleh daripada saya.” Lega rasanya. Aku tidak suka jikalau timbul suara-suara sumbang di luar sana nanti apabila mereka nampak aku membawa beg kertas ini keluar dari bilik Encik Zafrul.

         “Okay... you may go. Thanks for the carnations!” Aku tolak kerusi ke belakang.

         “Wait Darwiesha… Honestly, I miss you… very much!” Suara garaunya seakan dengar tak dengar. Berderau juga darahku. Tidak pernah dia seromantik begini. Kalau hari-hari Encik Zafrul beromantika de amour, mahu luruh jantungku. Tak sanggup aku menentang wajahnya, terus aku bergegas ke pintu. Dada terasa sendat. Apakah aku juga mempunyai rasa yang sama terhadap Encik Zafrul? Arief Rachman bagaimana? Oh tidak!!

          RUTIN seharianku di pejabat tiada yang berubah. Setiap pagi, apabila nampak sahaja Encik Zafrul masuk ke pejabatnya, aku akan ke pantri untuk membancuh kopi dan pada tengah harinya jika Encik Zafrul tiada appointment, tentu sahaja aku terpaksa menemaninya makan tengah hari. Terpaksa ke? Aku rasa lebih pada arahan kut… Tentang perasaan aku kepada Encik Zafrul? Entahlah!  Nasibku baik kerana sampai ke hari ini, Encik Zafrul tidak membangkitkan soalan yang aku minta dia simpan sewaktu dia baru pulang dari Sydney. Hadiah teddy bear yang comel dan seutas rantai silver dengan loket dari batu opel, sehingga sekarang aku biarkan di dalam beg kertas. Hendak menyarungkan rantai cantik itu ke leherku, aku bimbang Encik Zafrul akan menganggap aku sudah pun menyambut cintanya. Biarkan saja... Aku belum bersedia untuk menyerahkan hatiku kepada sesiapa. Tidak kepada Encik Zafrul, tidak juga pada Arief Rachman.

          Dua lelaki yang berbeza watak dan gaya. Aku senang dengan Arief Rachman yang lembut tutur bahasanya. Encik Zafrul? Susah untuk aku mengerti sikap peliknya. Datang mood baik dia, siap romantis segala. Datang angin sawan, semua arahannya harus aku turut tanpa bantahan. Panas petang terasa membahang. Aku mengecilkan mata memerhatikan kenderaan yang bertali arus. Mudah-mudahan dapatlah teksi secepat mungkin. Selalunya aku menumpang kereta Haslina yang bekerja di butik andaman beberapa blok dari pejabatku. Tapi hari ni dia ke luar daerah, menguruskan tempahan pakej perkahwinan di Seremban. Itulah, sudah berkali-kali abah menyuruh aku gunakan Suzuki Swift untuk berulang-alik ke tempat kerja tetapi aku langsung tak ambil kisah. Aku biarkan sahaja kereta comelku itu di rumah abah.

           Kononnya malas mahu memandu di bandar KL yang asyik sesak sepanjang masa. Sekarang, aku terpaksa berpanas menunggu teksi. Padan dengan muka sendiri! Sedang aku terjenguk-jenguk ke jalan raya, sebuah motosikal berkuasa tinggi berhenti betul-betul di hadapan tempat aku berdiri. Aku bukannya arif sangat dengan jenis-jenis motosikal, mungkin superbike kut! Mulanya aku buat tidak tahu sahaja. Aku fikir, mungkin penunggangnya berhenti dan mahu membeli sesuatu di kedai runcit yang hanya beberapa tapak jaraknya dari perhentian  teksi ini.

          “Darwiesha…” Aku terkejut apabila penunggang motor itu menyebut namaku. Siapa pulak mamat ni? Aku kenal ke? Mungkin dia memahami aku yang terpinga-pinga lantas dia membuka full-face helmetnya. Rupa-rupanya Helmi. Salah seorang jurutera di tingkat atas. Selalu juga dia turun ke tingkat satu untuk menyerahkan claim setiap dua minggu sekali. Patutlah dia mengenaliku.

             “Awak tunggu teksi ke?” Aku sekadar senyum dan angguk. Buta ke apa dia ni? Dah terang-terang tempat aku berdiri ni, perhentian teksi. Tak ada pun papan tanda 'bus stop'!

           “Kat sini susah dapat teksi. Marilah saya hantar awak balik. Kebetulan kawan saya tak jadi balik dengan saya hari ni.” Helmi hulurkan satu lagi full-face helmet yang terletak di lengannya. Aku menggeleng. Kalaulah aku terima pelawaannya, semestinya aku kena peluk pinggang Helmi. Huh... jangan harap!

          “Terima kasih saja. Saya tak biasa naik motor besar. Lagipun saya pakai baju kurung.”

          “Alah… saya ikhlas ni. Awak tak payah takut dengan saya.” Dia senyum pamerkan gigi yang putih tersusun rapi. Kacak... memanglah dia kacak, tapi... entahlah! Aku bukannya suka pada Mat Rempit!

           “Maaf, saya memang tak berani. Lain kali kalau awak bawak kereta, mungkin saya sudi terima ajakan awak.” Aku hulur senyuman seikhlas hati. Berkata benar lebih baik daripada aku mencipta pelbagai alasan yang tidak munasabah.

           “Kalau macam tu, saya temankan awak sampai dapat teksi.”

           “Eh, eh… tak payahlah. Masih awal lagi. Awak baliklah  dulu kalau awak nak balik. Tak payah susah-susah pasal saya.” Belum habis aku berdolak-dalik dengan Helmi, bunyi hon yang nyaring mengejutkan kami berdua. Segera kepalaku berkalih pada kereta tersebut. Mercedez CLK milik Encik Zafrul. Aku lepaskan keluhan berat.

          “Darwiesha... naik kereta saya, sekarang!!!” Alamak! Arahan Encik Zafrul kuat kedengaran sebaik sahaja cermin gelap di sebelah penumpang diturunkan. Aku pandang wajah Helmi semula.

           “Encik Zafrul panggil awak tu, pergilah!” Kedengaran lemah suara Helmi. Kecewa bunyinya.

            “Maafkan saya.” Kumat-kamit bibirku mahu mengucapkan sesuatu tetapi apabila mengenangkan Encik Zafrul sedang menunggu, pantas aku menapak ke pintu kereta yang berkilat disirami rembang petang.

 SUDAH dapat aku agak, tidak perlu menunggu lama Encik Zafrul terus sahaja bertanyakan lelaki yang bersamaku tadi sebaik sahaja pintu keretanya aku tutup.

         “Siapa tadi tu?”

         “Helmi, engineer kat floor atas.”

        “Dia ganggu awak ke?”

          “Taker... tak adalah! Dia nak hantar saya balik tadi”

        “Habis tu, awak setujulah nak naik motor besar dia? Dan sukalah kalau awak dapat peluk-peluk pinggang dia?” Aku mengerlingnya geram.

           “Encik jangan nak main tuduh-tuduh. Saya tak semurah tu!” Serta-merta wajahku bertukar kelat. Senang aje dia membuat andaian. Aku tahulah dia bos. Tambah lagi, sesuka hati saja arahkan aku masuk ke keretanya. Kenapalah tadi susah sangat untuk aku dapatkan teksi?

         “I’m sorry…” ujarnya tiba-tiba.

           “Apa?” Herdikku. Aku yang tadi pandang ke luar cermin berpaling kepada Encik Zafrul. Walaupun dia tenang memandu tapi aku tahu ekor matanya sedang mengawasi gerak-geriku.

         “I said I’m sorry… Saya... sayacemburu kalau ada lelaki lain yang mahu kacau awak. Saya nak awak jadi milik saya seorang.”

           “Encik Zafrul cakap apa ni?”

            “Darwiesha… dah berapa kali saya beritahu, panggil saya Zafrul. Bukannya Encik Zafrul.”

             “Kalau saya tak nak?”

             “Kalau awak tak nak, saya batalkan niat saya nak hantar awak balik. Saya terus bawa awak balik dan kenalkan pada mama saya yang awak bakal isteri saya.”

            “Apa? Encik jangan nak buat kerja gila. Saya tak pernah teringin dan bermimpi nak jadi isteri encik.”

           “Okay… will see!”

          Bibir aku ketap sekuat hati. Geram dengan omongan kosong Encik Zafrul. Hei, aku ni siapa? Dia siapa? Kalau setakat hari-hari belanja aku makan tengah hari, ingat aku boleh tergoda dan terus jatuh cinta pada dia? Huh… tak kuasa aku nak layan! Sedar tak sedar, kereta Encik Zafrul sudah pun berhenti di depan pondok keselamatan Vista Harmoni tanpa perlu bertanya di mana aku tinggal dan jalan mana yang harus diambil. Musykil sungguh aku...

          “Macam mana Encik Zafrul tahu saya tinggal kat sini?”

         “Saya ni bos awak. Rekod peribadi awak bila-bila masa  sahaja saya boleh teliti. Lagipun dulu saya pernah beli rumah kat sini juga, tapi saya dah jualkan.” Oh… aku terus terdiam.

           “Dah sampai ni. Awak tak nak turun ke? Atau awak nak saya bawa awak ke tempat lain? Kondo saya ke?”

          Hah! Buru-buru aku buka pintu kereta dan ucap terima kasih. Takut juga kalau Encik Zafrul buat betul-betul apa yang diucapkannya tadi. Mulanya mengugut mahu bawa aku berjumpa mamanya. Sekarang, ugut mahu bawa aku ke kondonya pula? Tak sanggup oooo… Arghhhhh!!! Aku menjerit sekuat hati. Geramnyageramnya! Nasib baiklah aku sudah jauh menapak dari pondok pengawal tadi. Kalau ada sesiapa dapat dengar aku menjerit, mesti orang fikir yang aku ni tak siuman. Gila ke apa?

No comments:

Post a Comment