Thursday, 19 March 2015

Ceritera Cinta Darwiesha - Bab 4

AKU yang baru tiba beberapa saat di pintu pantri terdengar suara orang sedang marah-marah. Tak jadi aku melangkah masuk. Kaku aku di tepi pintu apabila mendapati namaku dijadikan topik perbincangan.

 “Sial betul si Darwiesha tu. Perasan lawa, geram sungguh aku dibuatnya!”

“Apa pulak dia dah buat kali ni? Pasal Encik Zafrul lagi ke?” Suara yang lain bertanya.

 Aku terpinga-pinga. Kenapa aku dituduh sial? Aku ada buat perkara yang tidak elok ke?

“Bukan pasal Encik Zafrul. Yang tu, aku tak kisah dah. Dari dulu aku cuba tackle Encik Zafrul, tapi dah terang-terang dia tak suka kat aku. Ni pasal Helmi, engineer baru tu. Aku baru saja dapat goda dia. Nampak gayanya dia juga dah terpikat kat aku. Alih-alih petang semalam, aku nampak dengan kepala aku sendiri Helmi hulur helmet ajak minah tu naik motor besar dia. Aku ni, sekali pun dia tak pernah pelawa. Bengang, tau tak?”

“La… Berani sungguh si Helmi tu nak mengayat girl idaman Encik Zafrul tu.”

 Girl idaman? Encik Zafrul betul-betul suka kat aku ke? Eh… dah jadi gosip panas ke kisah aku dengan Encik Zafrul?

“Tapi aku lega jugak. Kau tau... pagi-pagi tadi aku sergah Helmi tanya pasal hubungan dia dengan Wiesha. Mati-mati dia mengaku dia tak suka minah tu, saja je nak tackle buat habuan. Maklumlah anak dara bergetah. Hahahaha… puas hati aku!”

 “Habis kau dengan Helmi dah pernah buat apa-apa ke?” Suara ketiga pula kedengaran. Oh… tiga orang yang berada di dalam sana rupanya. Tapi, siapa mereka?

“Eh! Dia cintakan aku, tak kisahlah aku nak menyerah pun.”

Dengan bangganya perempuan mulut celopar tadi berkata-kata. Ternganga mulutku. Bahuku ditepuk kuat. Punyalah terkejut aku, mujur saja aku tak termelatah. Aku cepat-cepat letakkan jari di bibir minta Amy diam. Muka blank saja si Amy, memberi isyarat bertanya kenapa aku buat begitu. Rasa biasa dengar saja suara minah celopar tu, tapi… aku tak pasti siapakah gerangannya. Melalui isyarat jari juga, aku mengajak Amy masuk ke pantri dan serta-merta tiga orang minah tadi membisu. Tiga pasang mata menjelingku dengan tajam. Okey... sekarang baru aku tahu, siapakah yang sedang mengumpat aku kaw-kaw tadi. Benar telahanku, minah celopar yang sangat berbangga menyerahkan tubuh kepada Helmi ialah Puteri Natasya. Patutlah suaranya familiar aje. Dengan lagak bersahaja dan wajah yang selamba seolah-olah aku tidak tahu apa-apa, butang air panas di cafĂ© bar aku tekan. Niat di hati mahu membancuh secawan Milo untukku.

Auchhh!!!”

 Aku terjerit halus. Tidak aku duga sama sekali yang Puteri Natasya sanggup melanggar bahuku. Sama ada dia sengaja ataupun sebaliknya aku pun tak pasti. Tanganku yang sedang menadah mug teralih ke tepi. Berkocak air di dalamnya dan tumpah menyirami tanganku. Serentak itu juga, mug di tanganku terlepas.

Prang!!!

Berderai mug porselin terhempas ke lantai. Terburu-buru Puteri Natasha angkat kaki meninggalkan pantri.

“Kenapa Wiesha?” Amy yang berada tidak jauh daripadaku juga turut tersentak.

Tangan aku. Panas!!!”

“Ya Allah… kau tunggu sekejap. Aku nak cari Kak Lela.”

 Dua orang kawan baik Puteri Natasha terkaku melihat aku yang sedang menahan sakit. Merah sudah tanganku. Mana Kak Lela ni? Selalunya setiap pagi dia berada di pantri ini.

Darwiesha… what happened?”

 Dalam wajah yang berkeriut, sempat aku menjeling kepada Amy. Rasa geram pula. Tadi katanya mahu memanggil Kak Lela, tapi kenapa Encik Zafrul pula yang muncul?

Tangan saya kena air panas.”

 Rasa pedih dan pijar buat kolam mataku bergenang. Sama ada aku sedih disebabkan Puteri Natasha sanggup cederakan aku atau rasa terharu apabila Encik Zafrul muncul bersama kotak first aid. Tanganku yang pijar terus disambarnya.

“Eh, teruk tangan awak ni. Saya hantar awak ke klinik sekarang.”

“Tak apa Encik Zafrul, sikit aje ni. Tak payahlah ke klinik.”

 “Jangan degil! Awak kena jumpa doktor juga.”

Encik Zafrul bertegas bila aku menolak. Dalam kepalaku berfikir macam-macam. Mesti kecoh aras satu ni kalau mereka nampak aku keluar bersama Encik Zafrul yang masih memegang lenganku.

“Encik Zafrul, saya boleh tahan lagi…”

 “Awak jangan nak tipu saya. Tu... air mata dah meleleh. Amy... ikut saya ke klinik.”

Nasib baik tanganku dilepaskan tidak lama kemudian. Kan dah kata! Ramai kakitangan yang tertinjau-tinjau kepada kami bertiga. Mana aku mahu menahan pedih di tangan, mana lagi mahu aku sorokkan muka yang sudah tebal berlapis-lapis.

 SETELAH menerima rawatan, doktor memberikan aku cuti sakit selama tiga hari. Tangan sebelah kiriku berbalut. Aku berehat sahaja di rumah sementara Haslina berkali-kali meminta maaf kerana tidak dapat menemaniku.

“Sorry Wiesha… aku tak dapat temankan kau hari ni. Tempahan pelanggan banyak yang aku kena siapkan sebelum hujung minggu ni.”

“Tak apa… semalam kau dah balik awal temankan aku. Aku okey hari ni. Tangan kiri aje yang berbalut, tangan kanan masih boleh guna. Tak payahlah kau risaukan aku.”

 “Kalau ada apa-apa, cepat-cepat call aku ya. Aku terus terbang balik dapatkan kau.”

“Sejak bila pulak kau jadi superman?” Haslina tergelak.

“Apa pulak superman. Aku perempuanlah. Wonder woman!”

Yalah tu. Dah… pergilah cepat, nanti jalan sesak. Lambat pulak kau sampai kat butik.”

 Aku tolak tangan Haslina di sisiku memaksa dia keluar ke tempat kerja. Encik Zafrul pula betul-betul buat aku gila. Selang dua jam, Encik Zafrul mesti hubungi aku bertanya tentang keadaanku sehinggakan aku naik rimas.

“Encik Zafrul tak payahlah call saya, kalau encik sibuk. I’m okay.”

“Saya tak sibuk hari ni. Saya nak pastikan yang awak dah makan ubat petang ni.”

Dahdah... saya dah makan ubat. Baru aje tadi.”

Tak ada kerja betul bos aku ni! Eiiii... aku herotkan bibir tanda geram teramat sangat. Kalaulah dia boleh nampak wajahku sekarang yang seperti mak gorila sedang marah… hesy! Baru sahaja aku mahu lelapkan mata malam itu, telefon bimbitku menjerit nyaring sekali lagi. Mesti Encik Zafrul. Dah tak ada kerja lain ke dia nak buat hari ni? Dah lewat malam pun masih nak ganggu aku.

Helo Encik Zafrul. Saya sihat. Encik tak payahlah call saya lagi!”

Tanpa memandang nombor yang tertera di skrin, laju sahaja aku hamburkan rasa geramku, memarahinya.

 “Darwiesha. Saya ni… Helmi.”

Hah! Aku terkejut dan serta-merta tapak tanganku menekup mulut.

“Helmi… err... sorry. Saya ingat Encik Zafrul yang telefon.”

 “Tangan awak dah okey? Saya ambil nombor handphone awak daripada Amy. Amy marahkan saya atas apa yang terjadi kat pantri semalam. Saya nak minta maaf. Di sebabkan saya, tangan awak cedera.”

 Aku mengeluh. Amy... Amy... Pantas sungguh dia menyebarkan cerita.

“Tak mengapalah Helmi, tangan saya melecur sikit aje. Walaupun pedih dan perit tangan saya ni, tapi tak seperit kata-kata Puteri pada saya. Awak dah ada Puteri, kenapa awak nak dekat dengan saya? Dia nampak awak dan saya kat tepi jalan Jumaat lepas.”

“Apa yang dia dah beritahu awak? Awak jangan percaya sangat dengan si mulut celopar tu.”

 “Tapi mulut celopar tu jugak yang awak nak. Ya, tak?”

 “Darwiesha, saya lelaki normal. Kalau ikan dah datang menyerah, takkan kucing nak pandang terkulat-kulat saja?”

“Habis tu, sanggup awak reka alasan pada Puteri yang awak pikat saya untuk habuan awak yang ke berapa pulak?”

“What??? Puteri cerita macam tu ke?”

Dia tak cakap. Tapi saya terdengar dia mengumpat saya sebelum dia langgar bahu saya dan air panas tu tertumpah kat atas tangan saya. Awak jangan ingat saya murah macam Puteri tu!”

“That girl…” Helmi mendengus.

Sudahlah Helmi. Saya mintak tolong sangat kat awak, tolong jangan ganggu saya lagi. Kita tak pernah kenal rapat pun sebelum ni. Dan awak jagalah Puteri baik-baik. Saya tak nak ada orang lain pula yang cedera.”

“Tapi Darwiesha, Encik Zafrul boleh pula awak layan?”

“Itu antara saya dan Encik Zafrul. Buat masa ni, saya masih belum ada simpan perasaan pada mana-mana lelaki. Dia bos dan saya pekerja. Biarlah takdir menentukannya. Saya minta maaf, saya nak berehat. Assalamualaikum.”

Talian aku putuskan dan tanpa berlengah telefon bimbit aku matikan dengan hati yang pedih. Biarlah jika Encik Zafrul gagal menelefonku berkali-kali pun selepas ini.

 DATANG ke pejabat semula setelah bercuti sakit selama 3 hari, seperti kebiasaan di pagi hari aku ketuk pintu bilik Encik Zafrul membawa mug Nescafe panas.

“Tutup pintu rapat-rapat.”

Arahnya. Disuruhnya aku tutup rapat-rapat? Selama ini pintu biliknya selalu terbuka ke? Yang aku tahu, tak pernah lagi pintu biliknya dibiarkan ternganga jika dia ada kat dalam ni. Nescafenya aku letakkan di tempat biasa. Di atas alas mug berbentuk bulat yang ada tertera pemandangan bangunan Opera Sydney.

 “Tangan awak macam mana? Ada menggelembung tak?”

Tersentak aku dengan suaranya yang betul-betul rapat di sebelah. Entah bila masanya dia bangun dari kerusi dan sekarang bertenggek di hujung mejanya dengan gaya santai.

 “Bak sini tangan awak.”

Tanpa sempat aku menegah, tanganku ditarik dan Encik Zafrul membelek-belek sebentar depan dan belakang. Memang masih ada kelihatan di belakang tapak tanganku, kulit yang keperangan seolah-olah mahu menggelupas.

Sakit lagi ke?”

Aku geleng. Kalau sakit, sudah tentu aku tak tercongok kat depan dia sekarang.

Sikit saja encik. Insya-Allah… Dua tiga hari lagi, baiklah.” Dengan perlahan, aku tarik kembali tanganku yang berada di dalam genggamannya. Takkanlah mahu main rentap-rentap sahaja. Dia kan bos aku.

“Kalau awak rasa tak boleh buat kerja, awak tak perlu buat apa-apa.”

 Berkerut dahiku. “Habis… takkanlah saya nak melepak aje kat meja saya.  Doktor hanya bagi saya M.C. dua hari. Encik nak suruh saya pergi jumpa doktor sekali lagi ke?”

“Saya beri awak dua pilihan. Yang pertama, awak duduk berehat saja kat sofa tu sampailah waktu kerja habis.”

Apa encik? Mana boleh macam tu?” Aku membantah. Apa kata staf lain jika sehari suntuk aku berkurung dalam pejabatnya?

 “Saya belum habis lagi. Kalau awak tak setuju dengan  cadangan yang pertama tadi, sekarang awak pergi tempat awak. Ambil beg tangan awak dan ikut saya keluar.” Aku terkejut.

“Encik nak bawak saya pergi mana?”

“Kalau awak tak mahu duduk kat bilik ni sampai petang, jangan nak banyak tanya. Now… move!” Arahnya tegas dan dia turun dari meja. Bersedia bergerak ke kerusinya. Aku mendecit.

“Mengada-ada betullah dia ni!” Bebelku kepada diri sendiri.

“Saya dengar tu!”

 Hah! Aku pula yang terkejut. Kuat sangat ke omelanku tadi?”

 “Kenapa kau berkemas ni, Wiesha? Kan baru pukul 9.30 pagi?” Suraya di sebelah mengintai dari kubikel sebelah.

“Encik Zafrul ajak aku keluar.”

Apa? Keluar dating ke? Wah, wah, wah kau… tak sangka aku. Dalam diam kau bercinta ya.” Suraya suka sangat menggiatkan aku dengan Encik Zafrul.

“Ada aku cakap nak dating ke?” Marah juga aku. Siapa yang nak bercinta dengan bos yang banyak songeh macam tu?

 “La… itu pun nak marah? Aku ingat kau suka. Sapa tak nak keluar dengan bos handsome gitu. Kalau aku, bangga beb…”

Bangga la sangat!!! Aku…”

 “Darwiesha… dah siap ke?” Muncul Encik Zafrul di tepi kubikelku.

Suraya menikus terus diam dan menyambung kerjanya.

“Haah… dah!” Aku berdiri dan sangkutkan beg tangan ke bahu. Encik Zafrul berjalan mendahuluiku dan lambat-lambat aku mengikutnya dari belakang.  Aku tidak tahu apa akan jadi selepas ini. Kali pertama aku dipaksa keluar dari pejabat bersamanya pada waktu bekerja. Agaknya berguni-gunilah gosip bertiup mengenai aku dan Encik Zafrul.

“Encik ni suka sangat nak jadikan saya isu gosip hangat kat opis kita.” Encik Zafrul baru menghidupkan enjin, aku sudah memijar marah.

Gosip? Kenapa mereka nak gosip pasal awak?”

“Bukan gosip pasal saya. Mereka bergosip tentang kita. Hari-hari ada yang bertanya, betul ke saya dengan encik sedang bercinta?”

 “Awak tak suka?” Encik Zafrul senyum dan menyoal balik. Tidak pula dia berikan sebarang komen.

Saya rimas! Sepatutnya mereka faham dan tahu nak bezakan antara arahan kerja dan juga hubungan peribadi.”

 “Tapi saya suka.” Sengihnya tanpa rasa bersalah. Aku menjeling geram.

 “Kita nak ke mana sekarang ni?” Aku mula resah apabila menyedari Encik Zafrul sudah memandu keluar dari Kuala Lumpur. Hendak ke mana dibawanya aku hari ini dengan pakaian pejabat lengkap di tubuh masing-masing?

“Ke hujung dunia…” Encik Zafrul kulum senyum. Suka agaknya melihat aku yang menggelabah.

“Encik jangan nak bergurau. Baik beritahu saya, kita nak ke mana. Kalau tak…”

 “Kalau tak, apa awak nak buat? Nak terjun dari kereta? Buatlah kalau berani.” Aku telan liur. Di tengah-tengah lebuh raya ini, kelajuan CLKnya sudah mencecah 125km/j. Berani ke aku buka pintu dan terjun keluar? Lebih baik aku diam. Malas nak bertanya lanjut. Makin banyak bertanya, aku rasa makin mengarut jawapan Encik Zafrul. Jadi lebih baik aku melayan perasaan sendiri.

 “Darwiesha!”

Terasa pipiku ditepuk perlahan. Ya Allah! Aku tertidur ke tadi? Nyaman sangat agaknya penghawa dingin yang dihalakan ke muka sampai aku boleh terlelap? Pantang sungguh dapat peluang, mudah sahaja aku hanyut dibuai mimpi.

 “Hah???” Terpinga-pinga aku.

“Sedapnya tidur. Awak ada niat nak upah saya sebagai driver awak ke?” Encik Zafrul memerli. Aku mencebik.

Dah tu... saya banyak cakap, encik suruh saya diam. Tapi... eh kita kat mana ni?” Mengapa aku rasa tempat ni begitu asing sekali? Aku kerling jam di dashboard kereta. Oh... hampir dua jam juga Encik Zafrul memandu hingga sampai ke sini. Aku renung laut yang terbentang luas di depan mata. Aku kat mana sekarang?

“Sekarang kita kat pantai Bagan Lalang. Tengok sana tu. Cantik tak Palm Tree Resort?”

 “Encik bawak saya kat tepi pantai? Tengah hari panas macam ni?” Aku pelik. Sudahlah kami datang ke sini sehelai pinggang, dengan pakaian pejabat pula tu! Aku kerling Encik Zafrul yang masih lengkap dengan tali leher di lehernya. Seperti faham dengan kerlinganku, Encik Zafrul rungkaikan tali leher dan dicampakkan ke atas pahaku. Eh???

“Tolong gulung elok-elok dan letak dalam laci depan awak tu.” Arahan bos seperti selalunya. Dia fikir, aku ni isteri dia ke? Lengan kemejanya dilipat hingga ke siku satu per satu dan akhir sekali dua butang paling atas kemejanya dibuka.

 “Awak lapar tak?”

Tak sangat. Pagi tadi housemate saya masak nasi goreng.”

“Housemate yang masak. Awak pandai masak tak?”

Aku mencerlung. Ingat aku apa? Tengok kaki la...

“Boleh la kalau setakat nak makan sendiri atau berdua dengan housemate saya tu. Kenapa encik tanya?”

Saja... senang saya nanti kalau dapat isteri yang pandai masak.”

“Siapa nak kahwin dengan encik?” Aku tarik muka.

Awaklah! Siapa lagi?”

 “Mengarut sungguh! Kesian pada awek-awek kat opis tu yang duk gilakan encik.” Aku membalas.

“Biarlah dia orang jadi gila, sebab saya suka pada gadis yang tak gila macam awak!” Itu pula jawapannya? Pandai dia pusing ayat aku.

“Saya cukup sukakan laut. Kalau saya stres atau banyak masalah, selalunya saya bawak diri ke sini. Kalau datang waktu malam, lagi tenang. Tapi... saya tak boleh ajak awak sekali. Takut kena cekup.”

Eleh, aku pun tak teringin nak datang sini malam-malam. Buat apa?

 “Saya tak tanya pun?” Sinis aku membidas.

 “Awak kena juga ambil tahu pasal saya. Suatu hari nanti, awak akan faham.”

“Kenapa saya perlu faham?” Masih mahu bertelagah. Encik Zafrul ni, suka sangat buat aku tertanya-tanya.

“Sebab awak bakal isteri saya.”

“Hah???

No comments:

Post a Comment