Arief Rachman Haqeem! Entah bagaimanalah
aku boleh terserempak pula dengan dia sewaktu meronda-ronda
di kompleks membeli-belah ternama ni. Niatku mahu menonton
wayang bersama Haslina sebentar lagi. Apabila Arief Rachman
dapat menangkap kelibatku, aku tak dapat lagi melarikan diri.
“Wiesha!” Laungnya kuat.
Haslina di sebelahku
tersentak dan terus berpaling kepadaku.
“Kau kenal ke mamat tu, Wiesha?”
“A… haah. Baru je kenal. Pegawai Bank CIMB.”
“Kau tak pernah cerita pun.”
Senyuman senget aku lemparkan kepada Haslina.
Lupa sebenarnya mahu bercerita kisahku hampir dilanggar
kereta di depan CIMB tempoh hari. Berderau darahku apabila
Arief Rachman mendekati kami.
“Hai…”
“Hai Arief, sorang saja?”
“Tak… berdua. Bersama wanita kesayangan saya.”
Aku menelan liur. Arief Rachman bersama wanita lain? Habis,
untuk apa dia mahu berkawan rapat denganku kalau dia sudah
berpunya?
“Eh... hmm, kenalkan. Ini housemate saya, Haslina.
Has... ini Arief Rachman.” Mereka berdua berjabat tangan dan
mataku melingas ke sekeliling mahu mengintai kalau-kalau
wanita kesayangan Arief Rachman ada berdekatan. Sedikit
perasaan yang timbul di hati buat aku gelisah. Cemburukah
aku?
“Arief!” Seorang wanita berkebaya Indonesia dan
bertudung lilit yang berada di depan butik pakaian wanita
melambai kepadanya.
“Mari Wiesha. Saya kenalkan Wiesha pada ibu saya.”
Hah? Wanita yang kusangkakan kekasihnya, berusia dalam
lingkungan awal tiga puluhan itu, ibu Arief? Mudanya!!!
“Ibu?”
“Ya, ibu saya…”
Sedar aku masih kaku di tempatku, Arief Rachman
memberi isyarat agar aku menunggunya di sini. Dia melangkah
meninggalkan kami dan mendapatkan ibunya. Aku dan Haslina
saling berpandangan. Seolah-olah sama sahaja pemikiran kami.
Wanita yang nampak begitu muda itu, ibu Arief? Jamu apa yang
dia makan agaknya?
“Wiesha, tu mak tiri dia ke?” Sempat pula Haslina
berbisik di telingaku. Aku tergelak kerana aku sendiri tidak
pernah tahu dan tidak pernah berjumpa dengan ibu Arief
Rachman.
Terpaku mataku menyoroti bunyi kasut tumit tinggi
ibu Arief Rachman yang sedang mara ke arah kami. Berdebar
juga hati ini, bimbang dengan penerimaan ibunya. Wajahnya
jelita tapi punya aura yang begitu lembut.
“Ibu, kenalkan… Ini Wiesha… Dan di sebelah,
kawannya Haslina. Ini ibu saya… Arina Dewi.” Sungguh cantik
nama ibu Arief Rachman. Sepadan dengan raut wajahnya yang
jelita. Sekali pandang ada iras-iras Rossa penyanyi kegemaranku.
Isy… tak habis-habis menilai mereka dengan artis
seberang. Ari Wibowolah... Rossalah! Kalau Arief ada adik
perempuan atau adik lelaki siapa pula aku nak samakan? Nikita
Willy, Randy Pangalila atau Nicholas Saputra?
Khayalanku tercantas dan aku cepat-cepat hulur
tangan kepada wanita anggun di depanku. Itu pun Haslina
yang terlebih cepat daripadaku bersalaman dengan ibu Arief
Rachman. Aduh, malunya aku!
“Apa khabar, puan…” Aku tunduk hormat dan
hulurkan tanganku. Dia menyambutnya bersama senyuman
mekar. Bertambah cantik dengan lesung pipit kecil di hujung
bibirnya.
“Aunty sihat. Oh… inilah Wiesha yang sering Arief
ceritakan pada aunty?”
Aku tersipu-sipu. Apalah agaknya Arief Rachman
melobi namaku kepada ibunya.
“Aunty cantik… sangat-sangat cantik! Kalau Arief tak
kenalkan aunty sebagai ibu, tentu saja saya fikir yang aunty ni
teman wanitanya.”
Ibu Arief Rachman ketawa kecil dengan omongan
kosongku.
“Aunty biasa-biasa aje, sayang! Wiesha juga apa
kurangnya. Mata yang cantik, pipinya montok dan gebu. Aunty
tak salahkan Arief kalau anak bujang aunty terus jatuh cinta
pada pandangan pertama.” Puan Arina Dewi memuji dalam
bahasa Melayu yang begitu fasih walaupun lenggoknya ada
sedikit keIndonesiaan.
“Wiesha... Kita dah lambat ni.” Haslina menegurku
sambil menunjukkan isyarat jam di pergelangan tangan. Hampir
terlupa sudah yang kami akan menonton wayang sebentar lagi.
“Maaf aunty, Arief. Saya mintak diri dulu. Kami mahu
menonton wayang. Nice to meet you and your lovely mom,
Arief. Jumpa lagi.”
“Nice to meet you too, Wiesha. Kalau ada masa,
datanglah ke teratak aunty. Arief boleh bawa Wiesha ke pondok
ibu, kan?”
“Tentu saja boleh, ibu. Dengan berbesar hati. Itu pun
kalau Wiesha sudi bertandang.”
“Insya-Allah, aunty. Terima kasih atas jemputan.” Aku
tunduk menyalami Puan Arina Dewi sekali lagi. Tak kuduga,
dia menarik tubuhku ke dalam dakapannya. Aku terkesima.
Aura seorang ibu meresap terus ke dalam hatiku. Tiba-tiba aku
teringatkan mak.
“Terima kasih kerana membahagiakan anak ibu.”
Bisik ibu Arief di tepi telingaku. Aku terpempan. Aku? Telah
membahagiakan Arief Rachman? Apa yang sudah aku buat?
Dan… dia membahasakan dirinya ibu kepadaku? Eh! Apakah?
Apakah???
Sebelum aku menyaingi langkah Haslina, sempat aku
menoleh ke belakang dan menentang mata Arief Rachman.
Satu renungan tajam aku sampaikan kepadanya. Bermaksud,
aku inginkan kepastian atas perilaku ibunya terhadapku. Arief
Rachman tersenyum manis dan memberi isyarat ibu jari dan
jari kelengkengnya terbuka di tepi telinga. Bermakna dia akan
menghubungiku malam nanti seperti kebiasaannya.
BURU-BURU aku menyambut panggilan telefon. Malam
ini aku lebih teruja menunggu telefon bimbitku berdering.
Walaupun penat menonton bersama Haslina siang tadi, tidak
aku hiraukan. Aku kerling Haslina yang masih leka memandang
skrin televisyen, sedang menghayati rancangan kegemarannya.
Perlahan-lahan aku selak langsir tebal menutupi balkoni dan
keluar mengambil angin malam.
“You owed me some explanation, Mister Arief Rachman
Haqeem!”
“Assalamualaikum Wiesha. Wah! Nampaknya Wiesha
marah benar pada saya hingga nama penuh saya disebut.” Suara
garau Arief Rachman menerpa apabila aku terus mengasaknya
tanpa salam, tanpa ungkapan ‘helo’ seperti selalunya.
“Maaf... waalaikumussalam. Memang saya tengah
geram. Apa yang awak merapu pada ibu awak, sampai dia
berbisik sesuatu pada saya?”
“Saya nampak, tapi… apa yang telah ibu saya bisikkan
pada Wiesha?”
“Ibu awak ucap terima kasih pada saya sebab
membahagiakan awak, Arief. Apa yang saya dah buat? Hubungan
kita baru saja bermula.”
“Permulaan yang begitu indah buat saya, Wiesha. Dan
saya sungguh bahagia dengan Wiesha. Seterusnya saya rasa
telah dilamun cinta. Tak salah rasanya kalau saya ceritakan pada
ibu tentang seorang gadis yang telah buat hidup saya jadi tak
tentu arah. Yang bisa buat jantung saya berdetak begitu hebat.”
“Arief… Awak jangan melampau. Saya… saya tak…”
“Wiesha… saya mohon pada Wiesha. Cubalah mengerti
hati saya dan juga perasaan saya pada Wiesha. Saya ikhlas
mencintai Wiesha. Dan saya ingin Wiesha jadi teman hidup
saya. Itu juga saya ajukan pada ibu. Wieshalah bakal suri dalam
hidup saya.”
Ya Allah! Aku kehilangan kata-kata. Terduduk aku di
lantai balkoni. Sungguh luhur kata-katanya. Sungguh tinggi
pengharapannya. Hatiku mula terusik, tapi aku tetap bimbang
jika aku membuat pilihan yang salah.
“Helo Wiesha…”
“Ya... ya… saya.” Suaraku yang serak dan esakan
kecilku tidak dapat aku selindungkan.
“Saya buat Wiesha menangis? Maafkan saya. Saya tak
berniat mahu…”
“Jangan mintak maaf pada saya. Saya yang patut minta
maaf dengan awak. Saya rasa semua ni terlalu cepat. Jangan
terlalu mengharap pada saya, Arief. Saya bimbang jika suatu
hari nanti awak akan kecewa.”
“Hati saya tetap utuh hanya pada Wiesha. Hanya
Wiesha yang saya mahu.”
“Arief... ramai lagi perempuan lebih cantik, lebih baik
daripada saya. Saya rasa, saya tak layak untuk awak.”
“Kenapa Wiesha? Wiesha bukan isteri orang, bukan?”
“Bukan...”
“Bukan juga tunangan sesiapa?”
“Juga bukan.” Aku menarik nafas.
“Atau Wiesha malu mahu memberitahu yang Wiesha
punya sejarah hitam? Maaf… kalau saya salah meneka.”
“Tak ada… bukan begitu. Saya tak ada apa-apa rahsia
yang saya sembunyikan. Cuma saya rasa, semua ni terlalu cepat.
Kita baru saja berkenalan. Saya pelik kenapa awak mudah
sangat jatuh cinta pada saya padahal awak belum kenal siapa
saya yang sebenarnya.”
“Kalau Wiesha rasa begitu, apa kata Wiesha bawa saya
balik ke kampung jumpa orang tua Wiesha.”
Hah? Arief nak jumpa abah dan mak?
“Arief… jangan terburu-buru. Awak ingat tak, kita
pernah berjanji yang kita akan berkawan dulu, saling mengenali.
Hati dan perasaan, bukan boleh dipaksa-paksa. Jangan sampai
saya menghindar diri daripada awak, Arief.”
Lama Arief Rachman terdiam selepas itu.
“Baiklah. Saya tak akan paksa Wiesha lagi. Tapi saya
mohon… tolong mengerti akan perasaan saya pada Wiesha.”
“Saya akan cuba, Arief. Biarlah masa yang menentukan.
Bagi saya, terlalu banyak yang harus saya kejar sebelum saya
fikir untuk terikat dengan mana-mana lelaki. Saya belum
bersedia dan belum sempurna untuk menjadi pasangan hidup
sesiapa. Insya-Allah, kalau ada jodoh, tak akan ke mana.”
“Ya... saya faham, Wiesha. Terima kasih kerana
menyedarkan saya.”
Aku buka semula pintu gelangsar selepas mengucapkan
salam kepada Arief Rachman. Terkejut, Haslina sedang berdiri
di tepi dinding. Rupanya dalam diam-diam dia pasang telinga
mendengar perbualanku.
“Kau buat apa kat sini?” Aku sergah Haslina yang
sedang menggelabah. Serba tak kena dia. Mahu ke kanan salah,
ke kiri pun salah. Aku menahan tawa daripada meletus.
“Aku... aku... er… nak tutup lampu balkoni. Ingatkan
tak ada orang.”
Pelepap! Aku tampar bahunya kuat. Serentak dia
mengaduh dan memegang bahunya.
“Sakitlah!” Marah Haslina.
“Kau… kalau tak reti nak berlakon, jangan nak
menipu! Kau skodeng aku, eh?”
Haslina tergelak. Sedar diri yang lakonannya tak
menjadi.
“Arief Rachman nak apa daripada kau?”
“Dia nak jadikan aku special girlfriend dia. Ibu dia dah
berkenan pada aku. Aduh… Payahlah macam ni!”
“Hah! Biar betul? Mamat hensem tu nak bercinta
dengan kau. Buta kayu ke dia? Orang macam kau ni yang dia
nak?”
“Amboi. Kutuk melampau nampak? Kau nak aku suruh
kau cari rumah sewa lain?” Aku mengugutnya.
“Eh... Eh... tak adalah... Aku gurau je. Kau tak kejam
sampai nak halau aku, kan? Aku tarik balik kata-kata aku. Kau
cantik! Tadi tu, aku main-main aje. Kalau tak cantik, macam
mana ibu Arief Rachman yang jelita macam Rossa tu puji kau
melambung-lambung. Jadi... kau bakal jadi menantu orang
seberanglah ya?”
“Erk! Kau ni… awal lagilah. Kami baru je kenal. Aku
tak terfikir pun nak pergi sampai begitu jauh.”
“Encik Zafrul kau, macam mana?”
“Encik Zafrul?”Aku bertanya Haslina kembali.
“Ya… Encik Zafrul. Dia pun aku tengok macam nak
kontrol kau aje.”
“Hah! Yang tu lagi sorang buat aku pening. Entah
apa-apa!”
“Antara Encik Zafrul dan Arief Rachman… yang mana
satu kau rasa kena dengan jiwa kau?” Aku terdiam dengan
pertanyaan Haslina. Encik Zafrul dan Arief Rachman? Aku lebih
sukakan siapa? Er…
“Entah! Dua-dua pun masih belum dapat buat jiwa aku
bergetar. Aku rasa belum masanya aku nak bercinta.”
“Huh… dah lama kau cakap macam tu. Dari mula grad
hari tu. Masa kau tengah belajar... ada lelaki nak berkawan, kau
tolak. Konon tak nak campur adukkan study dengan cinta. Ni...
dah kerja apa halnya pulak? Takkan kau nak jadi awek kertu?
“Isyy... mulut! Jangan nak cabul, boleh? Aku taulah
kau dah ada tunang!”
“Tau tak apa. Aku takut, kalau kau terlalu memilih.
Lama-lama nanti tersalah pilih. Kut esok-esoknya, kau yang
merana. Aku jugak yang jadi mangsa tempat kau mengadu.”
“Yalah... nanti aku fikirkan siapa aku harus terima.
Aku nak doa banyak-banyak pada Tuhan. Moga-moga aku tak
tersalah dalam membuat pilihan.”
“Macam tulah kawan aku. Aku tahu hati keras lagi liat
kau tu, lama-lama cair jugak. Encik Zafrul dan Arief Rachman.
Dua-dua hensem ooooo... Rugi kalau kau tolak.”
Habis saja bertikam lidah dengan Haslina, ada bunyi
'beep' di telefonku. SMS daripada siapa lagi kalau bukan daripada
Encik Zafrul. Adalah tu, arahan daripadanya untuk esok pagi.
Wiesha... Esok pagi saya jemput depan
pondok Pak Guard. Ikut saya ke Kuantan.
Bawak baju spare. Mungkin balik KL
malam.
Hah? Aku garu kepala. Ni... apa kes pulak sampai nak
kena ikut dia outstation? Aku ni P.A. dia ke? Arggggghhh!!!
EMPAT bulan berlalu tanpa sebarang masalah di tempat
kerjaku. Alhamdulillah! Gaji pun sudah bertambah setelah
tempoh percubaan tamat. Terima kasih Tuhan pada rezeki yang
kau limpahkan. Syukur Alhamdulillah...
Rutin setiap pagi tetap seperti biasa walaupun kini aku
sudah bergelar pekerja tetap. Encik Zafrul masih lagi mahu aku
menyediakan minumannya walaupun tea lady kami, Kak Lela
ada. Aku sendiri pun minum Milo yang disediakan aje oleh Kak
Lela. Nasib, nasib!
Kedengaran juga gosip tentang hubunganku dengan
Encik Zafrul. Tapi dari awal aku sudah mendakwa yang Encik
Zafrul kawan baik along. Apa salahnya kalau dia beri lebih
perhatian pada aku, kan?
Ada juga suara-suara sumbang mengatakan aku rapat
dengan Encik Zafrul dan cuba menggoda Encik Zafrul kerana
harta. Ikutkan hati, mahu saja aku sembur mereka. Setakat
harta dan kekayaan, aku sedikit pun tak pandang semua tu.
Walaupun kedua orang tuaku tinggal di kampung, sebenarnya
abah merupakan pemilik sebuah syarikat terkemuka di Kuala
Lumpur. Malah sudah tersenarai dalam Bursa Saham Malaysia.
Kini, syarikat abah diuruskan along dan juga beberapa pengarah
urusan lain.
Harta dan tanah arwah datuk yang berekar-ekar di
kampung abah, tak habis kami makan sekeluarga. Bukan
mahu berbangga, tapi kalau aku tak bekerja pun, aku masih
boleh hidup bergantung pada harta dan duit yang nenek sudah
agihkan kepada kami adik-beradik. Cuma prinsip hidupku, aku
suka menjalani hidup yang lebih sederhana.
Aku dan Arief Rachman? Kami masih lagi berkawan.
Masih dalam proses mengenali hati budi di antara satu sama
lain. Setiap minggu, ada sahaja perancangannya mahu
mengajakku keluar.
Benar kata Haslina. Jika seseorang lelaki itu begitu
mengambil berat dan pandai menjaga hati, lama-kelamaan
gadis polos sepertiku akan mula jatuh kasih. Yang susahnya…
hati ini masih berat mahu mengakui yang aku mula sukakan
Arief Rachman. Malah, sudah terbit bunga-bunga sayang
dan putik-putik cinta juga baru saja bertunas. Aku harap dan
berdoa, semoga perasaan yang mula tumbuh ini akan terus
mekar mewangi.
“Hari ni, kau ada dating lagi dengan Arief Rachman
ke?” Haslina duduk di birai katilku yang sedang menyapu bedak
nipis ke wajah.
“Haah… ada birthday party anak saudara dia. Kau nak
ikut tak?” Aku berpaling sebentar ke arahnya sebelum mencapai
sebatang lipstik berwarna merah jambu. Sepadan dengan blaus
kosong berwarna merah muda di tubuhku.
“Aku dah janji dengan Aizam. Aku nak balik kampung
nak uruskan pasal permohonan nikah kami. Kau tu… dah lama
tak balik. Nanti mak dan abah kau asyik tanya aku aje.” Haslina
mula membebel. Aku tersenyum kelat.
Ya! Aku semakin terleka dengan Arief Rachman hingga
aku terlupa kepada keluarga di kampung. Baru semalam along
mengajakku balik ke Tanjung Malim minggu ini, tapi aku
menolak.
“Minggu depanlah aku balik. Hari ni dah janji dengan
Arief.”
“Yalah... orang dah ada buah hati. Jangan kau lupa diri
sudahlah!”
“Hei… aku dengan dia kawan ajelah!”
“Kalau dah sampai tahap kenal famili dia tu, bukan lagi
berkawan, Wiesha. Tu dah lebih daripada kawan! Dah masuk
second step.”
Aku mencemik. Solekan di wajah, aku rapikan.
Sebentar lagi Arief Rachman akan menjemputku.
“Kirim salam pada keluarga kau.”
“Insya-Allah!”
SELEPAS Haslina berlalu dari bilikku, aku termenung di
depan cermin. Ketara sangatkah perubahanku sekarang? Dalam
hati mula tertanya-tanya. Adakah Arief Rachman pilihan yang
tepat untukku?
Mendengar deruman enjin kereta, aku tahu Haslina
Adzra Sue
63
sudah pun keluar untuk menjemput tunangnya. Nasib badan,
tunangnya hanya suka bermotosikal. Yang Haslina pula tidak
suka membonceng motor kepunyaan Aizam. Lagilah dengan
perangai Aizam suka merempit di jalan raya. Itu yang selalu
Haslina bebelkan kepadaku mengenai tunangnya.
Tak sampai lima belas minit selepas itu, telefon
bimbitku berbunyi. Arief Rachman sudah sampai dan
menungguku di pondok pengawal. Bergegas aku kunci pintu
dan grilnya sekali.
Dari luar cermin keretanya, aku nampak Arief Rachman
menunggu dengan santai. Matanya mengawasi langkahku
hingga ke tepi keretanya. Pintu kereta terbuka dari dalam dan
dia mempersilakan aku masuk.
“Hai… Assalamualaikum Wiesha!”
“Waalaikumussalam. Hai Arief. Maaf, kalau saya buat
awak tunggu lama.”
“Tak perlu minta maaf. Tiada apa yang mahu dikejar.
Kita hanya mahu ke rumah kakak saya. Tapi sebelum itu, kita
ke mall dulu, cari hadiah untuk Andy.”
“Andy?”
“Ya... namanya Andy. Andy Hariyanto Zulkarnain.
Gabungan nama Melayu dan juga Indonesia.”
“Sama seperti nama awak?”
“Ya. Nanti kalau saya sudah punya anak, saya pun
mahu namakannya begitu. Unik bukan?” Aku mengangguk.
Wah! Belum apa-apa sudah berangan. Belum lagi bernikah,
sudah fikirkan nama anak.
“Er… Arief, next week kita tak payah jumpa, boleh?”
“Kenapa?”
“Saya nak balik kampung. Dah lama rasanya saya tak
balik jumpa mak dan abah.”
Ceritera Cinta Darwiesha
64
“Boleh saya ikut Wiesha?”
“Awak nak ikut saya?”
“Jika Wiesha tak keberatan. Saya fikir, sudah sampai
masanya saya ambil langkah seterusnya dalam hubungan kita.”
“Tapi Arief, saya…” Aku tak sempat menghabiskan
ayatku dan tiba-tiba tanganku diraih ke dalam genggamannya.
Sebelah tangannya masih lagi cekap memegang stereng.
Aku terkesima sebentar. Inilah kali pertama, dia menyentuh
tanganku selain dari hari pertama kami berkenalan. Tapi
itu secara tidak sengaja kerana dia mahu menyelamatkanku
daripada dirempuh kereta.
Di persimpangan lampu merah, Arief Rachman
melepaskan tanganku kembali. Masing-masing membisu.
Sentuhannya menghantar getaran rasa kepadaku. Eh! Kenapa
aku ni? Apakah ini dinamakan cinta? Adakah sudah tumbuh
bait-bait asmara di jiwaku kepada lelaki yang begitu lembut
melayaniku ini?
“Wiesha… jom turun.” Aku tersentak daripada
lamunan. Rupa-rupanya Mazda3nya sudah berlabuh di hadapan
pasar raya Tesco.
Sambil menyusuri setiap lot-lot kedai menjual pelbagai
barangan, aku mula berfikir tentang permintaan Arief Rachman.
Beranikah aku mahu membawa Arief Rachman pulang bersama
ke kampung dan seterusnya memperkenalkannya kepada mak
dan abah?
“Wiesha... awak diam saja, kenapa? Wiesha masih
fikirkan permintaan saya? Kalau Wiesha belum bersedia lagi,
lupakan saja.”
“Erm… Is not that. Lain kali saja awak ikut, ya. Er...
kita nak beli apa untuk Andy?” Aku pura-pura berselindung
dengan membuat pertanyaan lain.
“Wiesha fikir, apa yang sesuai?”
Adzra Sue
65
“Berapa umur Andy?”
“Enam tahun.” Enam tahun? Erm... bagi budak lelaki
seumur itu, apa lagi yang paling sesuai kalau bukan mainan?
Elok pula, kami baru saja melintasi sebuah kedai menjual
alat-alat permainan elektronik. Terus sahaja langkahku
terhenti. Arief Rachman juga turut berhenti dan menoleh
kepadaku dengan hairan.
“Er... kalau saya cadangkan kita ke kedai tadi?” Aku
menarik tangan Arief Rachman tanpa sedar. Yang Arief pula
seakan merelakan aku berbuat begitu. Menonong saja mengikut
langkahku masuk ke kedai permainan itu.
“Wiesha!” Aku tercengang apabila Arief Rachman
memanggil. Matanya melurut jatuh pada tangannya yang
aku genggam erat. Erk! Aku tersipu-sipu seraya melepaskan
tanganku serta-merta.
“Maaf… saya excited pula nak bawa awak ke sini.”
Arief Rachman tersenyum lebar melihat aku yang
serba salah.
“Tangan kita macam ada magnet. Tadi... saya pegang
tangan Wiesha… sekarang, Wiesha pula yang tarik tangan saya.
Tapi... saya suka.”
Wajahku bertambah membahang. Ya Allah! Malunya
aku.
“Er… Apa kata kita belikan Andy PSP, mahu?” Aku
meninjau rak kaca di hadapan kami. PSP yang pelbagai warna
aku teliti satu per satu.
“Kanak-kanak sekarang sudah ada tabnya sendiri
Wiesha.”
“Oh… maaf. Tak apalah... kita cari kat kedai lain.”
Sedikit kecewa. Tapi, ada betulnya kata-kata Arief Rachman.
Permainan 2D di PSP sekarang sudah kurang mendapat
sambutan. Rata-rata ibu bapa sudah mampu membelikan anak
Ceritera Cinta Darwiesha
66
mereka iPad ataupun Samsung Tablet.
“Ha! Saya rasa yang ini sesuai. Andy pernah minta
daripada abang saya yang dia mahukan Xbox.”
Hah? X-Box berserta Kinect sekali? Mahal tu!!!
Terkulat-kulat aku memandang Arief tekun mendengar
penerangan tentang permainan mahal yang menjadi kegilaan
kanak-kanak sekarang. Harganya, mak aih! Pakej lengkap
bersama DVD kinect, tambah lagi extra controller mencecah
dua ribu ringgit. Betapa beruntungnya kanak-kanak sekarang!
Terpaksa pula kami menunggu setengah jam lagi
sementara menunggu mereka set up Xbox berkenaan.
Sementara menunggu ia siap, Arief mengambil keputusan
untuk berjalan-jalan di sekitar mall. Mujurlah majlisnya
bermula lambat lagi. Agaknya inilah sebabnya Arief Rachman
menjemputku awal di rumah tadi.
GIRANG sekali Andy menyambut kedatangan kami. Wajah
kanak-kanak comel itu saling tak tumpah seperti wajah Arief
Rachman. Eh! dia ni anak kakak Arief atau anak Arief? Keliru
aku sebentar.
Arief Rachman terus mendukung Andy dan leher Arief
Rachman dipeluk kejap. Nampak benar Andy rindukan bapa
saudaranya.
“Andy… turun! Kasihan Uncle Arief. Oh! Arief datang
bersama temannya? Ini Wiesha?”
Terjongket keningku. Hai... belum apa-apa lagi, kakak
Arief Rachman sudah tahu namaku. Nampak gayanya namaku
sudah dijual sepenuhnya pada seluruh ahli keluarga Arief
Rachman. Aku mengeluh di dalam hati.
“Hye Sis… Wiesha, ini kakak saya. Arissa Dewi
Adzra Sue
67
Kartika.” Mak aih nama...
“Aduh, cantik sekali pacarnya.” Selepas bersalaman,
berlaga pipi kiri dan kanan, Arissa Dewi memujiku dalam
lenggok bahasa ibunda mereka dan ketawa galak. Aku
tersenyum. Jika dibandingkan, aku rasa Arissa Dewi jauh lebih
cantik. Wajahnya seiras ibu mereka, Arina Dewi.
Beg plastik besar yang mengandungi hadiah yang kami
beli tadi, Arief hulurkan kepada Andy.
“Here my boy. This is for you!” Andy menjerit girang
dan terlonjak-lonjak. Kesian pula melihat dia mahu mengangkat
kotak berat Xbox di tangannya. Andy melaung memanggil
papanya, mahu dibawa masuk hadiahnya terus ke dalam rumah.
“Arief, kenapa dimanjakan sangat Andy tu?” tegur
Arissa Dewi.
“Hanya Andy yang aku punyai, Riss. Siapa lagi yang
aku mahu manjakan?”
“Cepat menikah, nanti kamu lagi senang punya anak
sendiri.”
“Jika bisa, aku mahu nikah sekarang sama Wiesha…
tapi Wiesha masih main tarik tali sama aku.”
Ya Allah! Selamba sahaja Arief Rachman mengenakan
aku di depan kakaknya.
“Udah… yok kita makan dulu.”
Mujurlah Arissa Dewi menyedari wajahku yang sudah
bertukar rona. Sementara menunggu tetamu kanak-kanak
lain sampai, kami menjamu selera dulu dengan hidangan
nasi beriani. Untuk tetamu kanak-kanak dari sekolah tadika
Rinai, akan ada menu istimewa untuk mereka. Katering dari
McDonalds bersama maskot Ronald McDonald akan tiba sekejap
lagi.
Aku tinggalkan Arief Rachman bersama abang iparnya
di ruang tamu. Aku menjenguk ke dapur. Niat di hati mahu
Ceritera Cinta Darwiesha
68
membantu Arissa Dewi apa yang patut. Kesian melihatnya tidak
duduk diam berjalan ke sana ke mari melayan tetamu yang baru
tiba.
“Wiesha... sudah sampai kamu?”
Aku terkejut apabila Puan Arina Dewi menegur. Dia
sedang menuruni anak tangga ketika itu.
“Baru saja sampai, aunty sihat?”
“Sihat. Bertambah sihat dengan kemunculan kamu.
Ibu pasti, Arief juga berbahagia saat ini.”
Aku terkesima seketika. Seterusnya kami rancak
bersembang di dapur. Orang gaji Arissa Dewi yang berketurunan
Indonesia juga sesekali menyampuk. Sangat mesra dengan ibu
Arief Rachman. Apa yang nak dihairankan, mereka dari rumpun
yang sama.
“Oh ya! Ibu ada sesuatu untuk Wiesha. Wiesha tunggu
di sini, ya.” Ibu Arief Rachman bangun dari kerusi. Lama juga
dia menghilang tinggalkan aku keseorangan di ceruk dapur ini.
“Wiesha sedang buat apa di sini?” Arief Rachman
datang menyertaiku bersama gelas kaca tinggi di tangan.
“Berbual dengan ibu awak. Sekejap tadi dia suruh saya
tunggu di sini. Saya tunggu sajalah.” Senyuman lebar terukir di
bibir Arief Rachman.
“Alhamdulillah. Wiesha serasi dengan ibu saya. Tak
mungkin saya akan lepaskan Wiesha. Harap Wiesha sudi
menjadi suri hidup saya.”
Aku pandang ke hadapan apabila menyedari ibu Arief
Rachman datang ke arah kami.
“Di sini kamu rupanya, Arief. Puas ibu cari di depan.
Ini… ibu mahu sampaikan pada Arief. Arief sudah tahu apa
yang perlu Arief buat, bukan?”
“Arief faham ibu, terima kasih.”
Adzra Sue
69
Aku terpinga-pinga dengan perbualan dua beranak di
depanku ini. Kotak kayu berukiran kerawang dari Indonesia
menarik perhatianku. Dadaku mula berdebar-debar.
“Wiesha... ini hadiah daripada saya.”
Aku mengerdipkan mata. Seutas rantai tangan emas
berukiran cantik menyerlah setelah kotak kayu dibuka oleh
Arief Rachman.
“Arief, untuk apa awak hadiahkan saya gelang mahal
ni? Saya…” Gugup aku disuakan hadiah mahal.
“Wiesha... dengar cakap ibu. Rantai tangan ini diwarisi
turun-temurun dari keluarga arwah papanya, Arief. Ia khas
untuk bakal menantu perempuan keluarga kami. Sementelah
hanya Arief anak lelaki ibu… maka gelang ini akan jadi milik
Wiesha dan jika ditakdirkan Wiesha berjodoh dengan Arief,
suatu hari nanti Wiesha akan laksanakan tugas yang sama.
Gelang ini akan dihadiahkan pada bakal menantu perempuan
kalian yang pertama.” Panjang lebar penerangan ibu Arief
Rachman. Dadaku dilanda getar. Bersediakah aku untuk
menjadi sebahagian daripada keluarga ini?
“Arief… saya berbesar hati dengan hadiah ini. Tapi
buat masa sekarang…”
“Ibu berharap benar yang Wiesha tidak akan menolak.
Wiesha dan Arief sangat secocok. Dan ibu sudah menemui
orang-orang yang arif tentang tarikh kelahiran kamu berdua.
Andai kamu bernikah, jodoh kamu panjang dan dilimpahi
kurnia serta kebahagiaan. Insya-Allah!”
Aku kehilangan kata-kata. Sampai begitu sekali
ibu Arief Rachman lakukan untuk memastikan pilihan anak
lelakinya itu sesuai ataupun tidak. Akhirnya aku hanya
membiarkan pergelangan tanganku diraih Arief Rachman dan
dia memakaikan aku rantai tangan pusaka keluarga mereka.
Aku memejamkan mata seketika, cuba mencari kekuatan.
“Saya takut nak berjanji apa-apa pada Arief dan juga
Ceritera Cinta Darwiesha
70
aunty. Insya-Allah, saya terima Arief jika dia benar-benar
sayangkan saya, mahu menjaga maruah saya dan mahu
melindungi saya hingga akhir hayat saya.” Aku sebak dengan
kata-kata sendiri. Dan tak semena-mena Puan Arina Dewi
memelukku erat. Mataku bertembung dengan mata Arief
Rachman. Dia tersenyum dan mengangguk bersama riak wajah
yang sungguh lega. Gembira dengan persetujuanku.
“Saya ada keluarga. Masih punya mak dan abah. Saya
mahu Arief minta izin dan melamar saya dengan cara baik.”
Pintaku di hujung bicara.
“Sudah tentu saya akan minta izin daripada kedua
orang tua awak, Wiesha. Jangan bimbang.”
KEDENGARAN riuh di halaman. Rupanya para kanak-kanak
menjerit kegirangan apabila lori kecil McDonalds sudah
masuk ke halaman banglo ini. Arief Rachman hulur tangannya
mengajak aku keluar bergembira bersama anak-anak kecil itu.
Kami beramai-ramai menyanyikan lagu 'Selamat Hari
Jadi' untuk Andy. Kek besar tajaan McDonalds menjadi rebutan
setelah dipotong kecil-kecil dan diagihkan satu per satu. Tak
kering gusi melihat telatah kawan-kawan Andy dengan acara
permainan yang diselenggarakan oleh petugas McDonald.
Belon bertaburan di sana sini. Ada yang meletup
terkena hujung rumput yang tajam, menambahkan keriuhan
halaman rumah Puan Arissa Dewi. Tiba ke acara permainan
merebut kerusi, ibu dan bapa kanak-kanak juga dipanggil sekali
untuk menyertainya. Apa lagi, Arief Rachman tarik tanganku
bersama.
Lagu dimulakan. Kami mula berjalan mengelilingi
bulatan kerusi yang disusun rapat-rapat. Tiba-tiba muzik
Adzra Sue
71
berhenti. Berebut pula untuk duduk. Nasib baik aku dapat
menyelit dan dapat kerusi di sebelah Arief Rachman. Meletus
tawa kami.
Pusingan kedua. Banyak juga kerusi dikeluarkan.
Hampir separuh daripada bilangan sebentar tadi. Berdebar-debar
juga hatiku bimbang jika tersingkir awal. Lagu dimainkan
semula.
Pusing, pusing, pusing dan pusing! Sudah empat kali
pusing. Eh, lamanya lagu nak berhenti? Penat pula berjaga-jaga
takut-takut kalau keciciran.
Oopss!!! Muzik terhenti. Bertempik semua yang ada
mahu merebut kerusi yang tinggal. Berebut pula dengan Arief
Rachman. Entah macam mana aku tersilap langkah, terduduk di
atas ribanya hingga sedikit lagi aku mahu terjatuh. Cepat-cepat
Arief Rachman tarik pinggangku.
Tetamu bersorak riuh menonton aksi kami. Aku… apa
lagi! Seluruh wajahku membahang. Aku rungkaikan lengan
sasa yang memeluk kejap pinggangku. Cepat-cepat berdiri dan
bergegas menjauhkan jarak dari kerusi. Arief Rachman ketawa
tak sudah-sudah. Sukalah tu dapat meribaku dan memelukku
dengan tak sengaja!
Yang hairannya Arief Rachman susah pula mahu kalah.
Satu demi satu pusingan lagi, dia masih dapat merebut kerusi
yang tinggal. Dan akhirnya, dia yang menang! Hadiahnya…
seekor anak patung beruang yang sangat besar dihulurkan
kepada Arief Rachman. Aku tergelak melihat seorang lelaki
kacak lagi gagah sedang memeluk seekor patung beruang yang
comel. Tak sesuai langsung, hokey!!!
Tapi… eh... eh! Kenapa dia datang ke mari? Aku serba
salah. Aish… apa yang hendak dibuat si Arief Rachman ni?
“Untuk Wiesha...”
Aku tergamam dengan patung besar di depan mataku.
Semenjak meninggalkan sekolah rendah, tak pernah sekali pun
Ceritera Cinta Darwiesha
72
aku mempunyai seekor patung beruang sebesar ini.
“Terima kasih...”
“Kasih Wiesha dah lama saya terima dan saya sematkan
dalam hati.” Waduh! Ayat Arief Rachman. Boleh buat aku jatuh
tergolek ke rumput karpet tebal ini bersama teddy bear!
Dengan teddy bear sebesar pemeluk, Arief Rachman
memimpin tanganku ke sebuah pondok rehat di hujung
halaman. Agak jauh daripada tetamu yang masih lagi berbual
sesama mereka dan melayan anak masing-masing. Gazebo ini
mempunyai lantai kayu yang rendah dengan langsir jarang
terbuai-buai di tiup angin petang. Sungguh nyaman, apatah
lagi banglo ini terletak di lereng bukit. Aku sandarkan patung
beruang berbulu tebal ke tepi dinding.
“Terima kasih Arief sebab bawak saya ke mari. Saya
seronok sangat hari ni. Dengan budak-budak tu… “
“Wiesha suka kanak-kanak?”
“Suka... saya pun tak ada adik. Anak buah, entah bilalah
nak dapat. Abang saya sampai sekarang masih honeymoon
dengan isterinya.”
“Oh… Saya pun berasa sangat gembira hari ni.
Sebabnya Wiesha ada bersama saya. Saya mahu nyanyikan satu
lagu untuk Wiesha. Make yourself comfortable...”
Aku angkat kening. Arief Rachman nak menyanyi?
Jangan angin bertiup nyaman ini bertukar menjadi guruh
sudahlah!
Gitar tong yang sememangnya ada di lantai gazebo
ini diraih dan dia mula membetulkan kedudukan talinya. Aku
bersandar di kusyen segi tiga dari Vietnam dan tarik kedua-dua
kakiku ke atas dan memeluk lutut sendiri. Bersedia untuk
mendengar dia menyanyi. Lagu apakah agaknya?
“Dengar ya?”
Adzra Sue
73
Aku menyedari telah jatuh cinta
Tapi aku tak bisa mengungkapkan
Terasa bahagia kumencintaimu
Walaupun kau belum mencintaiku
Aku di sini kan selalu menunggu
Yang selalu ada di setiap waktumu
Selalu menanti jawapanmu
Untuk cinta yang terakhir
Semakin ku bisa untuk menyayangi
Semakin ku bisa untuk mengerti
Dari semua hidupmu yang ku mimpikan
Kan ku hapus semua menjadi indah
Tak akan pernah hilang rasaku
Cinta yang membawa dalam hatiku
Bagai mata yang tak terpejam
Aku tetap menantimu
Aku di sini kan selalu menunggu
Yang selalu ada di setiap waktumu
Selalu menanti jawapanmu
Untuk cintamu
Tak akan pernah hilang rasaku
Cinta yang membawa dalam hatiku
Bagai mata yang tak terpejam
Aku tetap menantimu
Aku kan tetap menantimu…
Aku kan tetap menantimu…
Tetap Menantimu - Nomad
Ceritera Cinta Darwiesha
74
Aku terpegun. Sebuah lagu daripada artis baru
tempatan didendangkannya dengan asyik sekali. Aku khayal
dalam bait-bait liriknya yang begitu puitis.
“Wiesha…” Arief Rachman melambai tangannya di
hadapan mataku.
“Hah… ya saya...”
“Awak mengelamun udah sampai ke mana? Bulan atau
ke bintang? Hari masih siang, belum ada tanda-tanda bulan
atau bintang akan muncul.”
Tersipu-sipu aku. Malu!
“Terima kasih Arief. Saya suka lagu tu dan saya tak
tahu awak pandai menyanyi.”
“Banyak lagi yang Wiesha belum tahu mengenai saya.
Jadilah sebahagian hati saya, Wiesha. Kelak, Wiesha akan tahu
banyak tentang saya.”
Lagi sekali aku terpukau dengan kata-katanya. Semakin
hari semakin kuat hatiku mahu mendekatkan diri kepada Arief
Rachman. Sabarlah wahai lelaki, penantianmu akan berakhir
tak lama lagi, Arief Rachman. Aku yakin dengan hatiku kini.
Dan terlakar sejarah buatku. Dua hadiah kuterima hari
ini. Satu, seutas rantai tangan emas daripada ibunya dan satu
lagi daripada Arief Rachman sendiri. Seekor patung beruang,
berikat reben besar di leher dan di dada beruang itu tertulis...
LOVE ME,
HUG ME!
Erkk!!!
No comments:
Post a Comment