“KENAPA ni, Adel?” tanya Karina dengan suara berbisik sewaktu mereka menghabiskan masa di perpustakaan sekolah. Adelia hanya tersenyum nipis sambil menggelengkan kepala. Sebenarnya, fikirannya menerawang ke arah lelaki bernama Nik Pasha. Lelaki yang egois, sombong, berlagak, dingin dan yang paling teruk mulutnya yang laser. Cukup sebagai lelaki yang jerk! Tetapi, kenapa jantung ini berdebar bagai nak rak apabila mereka hampir nak bercium semalam? Teringat kembali peristiwa di mana mereka jatuh bersama dan mata mereka saling bertemu.
Wajah mereka terlalu rapat sehinggakan desah nafas Nik Pasha dapat dirasai. Hangat! Paling meresahkan Adelia apabila kejernihan anak mata lelaki itu terlalu lembut menikam pandangan matanya. Tidak seperti ketajaman kata-kata dari mulut lelaki itu. Keadaan itu meresahkan hati Adelia. Fikiran melayang Adelia berlanjutan sehingga ke rumah.
Sampai di rumah, dia bertembung pula dengan Nik Pasha yang juga baru pulang dari sekolah. Pandangan mereka bertemu. Buat pertama kali Nik Pasha membiarkan Adelia berlalu tanpa kata-kata ejekan. Adelia naik hairan melihat Nik Pasha tidak mengutuknya seperti biasa. Mungkin tersalah makan ubat agaknya? Tak pun kepalanya ada terhantuk di mana-mana? Pelik pula Adelia rasakan. Laju Adelia naik ke biliknya. Hatinya berdebar semacam apabila melihat Nik Pasha hanya menyorot pandangan ke arahnya tanpa kata-kata mengejek atau menghinanya. Kacak pula matanya melihat Nik Pasha berada di sisi motosikal motorcrossnya yang berwarna merah hitam itu. Dan, Nik Pasha kelihatan tersangat macho apabila mengenakan jaket kulit berwarna coklat gelap. Helmet jenama Arai yang menutupi keseluruhan wajah kecuali di bahagian mata lelaki itu pula membuatkan mata lelaki itu kelihatan amat menggoda apabila menyorot pandangan ke arahnya. Nasib baik Adelia masih sedar diri. Kalaulah dia terleka dengan panahan arjuna Nik Pasha, mahu dia tersalah langkah tersembam di muka pintu. Tidakkah dia akan malu besar nanti? Oh, tidak! Adelia tidak sanggup.
SPM semakin hampir..
Walaupun Adelia belajar bersungguh-sungguh tetapi keupayaan mindanya perlahan. Tidak cukup belajar di sekolah dia pergi ke kelas tusyen. Dua puluh empat jam baginya terlalu singkat. Soal makan minumnya pula banyak yang terabai. Kalau tidak kerana Auntie Maria yang membebel, jangan harap dia nak makan mengikut masa. Auntie Maria seorang sahaja yang perasan dia sudah semakin kurus sekarang. Kalau tidak kerana bajunya yang besar gedoboh mungkin orang akan perasan juga Adelia semakin kurus sekarang. Dirinya langsung tidak terjaga, betul-betul serabai! Adelia begitu struggle untuk berjaya di dalam SPM. Walaupun peluang untuk mendapat straight A seperti mimpi menang loteri. Siapa tahu rezekinya dan usaha gigihnya dia berjaya sekurang-kurangnya mendapat A dalam dua atau tiga subjek. Adelia bulatkan azam.
Adelia sedang cuba menyelesaikan soalan Matematik di dalam bilik. Kepala otaknya tidak dapat mencari formula yang tepat walaupun sudah berkali-kali dia cuba menjawabnya. Adelia kelihatan tersangat lucu mengenakan pijama kartun Garfield dan mengikat kemas kain tuala berwarna biru gelap di atas kepala. Pensel pula diselitkan di celah telinga. Mulut pula comel, dimuncung dan diherot ke kiri dan ke kanan. Adelia berusaha mencari jalan penyelesaian permasalahan subjek Matematiknya tetapi gagal. Kepalanya sudah berserabut.
Aduh! Payah betul soalan ni! rungut Adelia sambil meletakkan kedua-dua belah tangannya di tepi kepala dan menekan kuat-kuat. Susahnya!
Pintu bilik Adelia terbuka luas dan Adelia membiarkan saja. Adelia malas nak menutupnya kembali selepas Auntie Maria datang membawa air Neslo untuknya tadi. Adelia betul-betul serabut dengan soalan Matematik yang susah. Nik Pasha yang kebetulan melalui bilik Adelia
berpaling ke arah bilik gadis itu dan melihat Adelia sedang tekun belajar. Nik Pasha tersengih melihat gadis itu pada pandangan matanya kelihatan tersangat lucu. Kenapa teruk
sangat rupa budak ni? Comot betul!
“Belajar bersungguh-sungguh, result macam tu juga!” Terkejut Adelia apabila terdengar suara Nik Pasha. Pantas kepalanya dipalingkan. Aduh, kepalanya sudahlah berserabut mangkuk ayun ini pula muncul, keluh Adelia sambil menggelengkan kepalanya. Adelia membiarkan saja kehadiran Nik Pasha. Dia tak peduli. Malas nak melayan. Menyakitkan hati dia saja nanti. Nik Pasha pula tidak puas hati kerana tidak mendapat respons daripada Adelia. Masih mencuba mencari akal untuk mengenakan Adelia. Dia menghampiri Adelia dan dengan sengaja meletakkan kedua-dua belah tangannya dari belakang Adelia dan melekapkan tapak tangan ke atas meja studi Adelia. Perbuatan Nik Pasha seakan-akan sedang memeluk gadis itu dari belakang. Adelia lantas mendongak, mata mereka bertentangan. Sakit tengkuk Adelia melihat Nik Pasha dari sudut menegak seperti itu.
“Nak apa?” soal Adelia geram. Kepalanya masih mendongak memandang lelaki itu. Nik Pasha hanya tersenyum sinis. Tetapi, pada pandangan Adelia senyuman Nik Pasha kelihatan amat romantis. Adelia terkaku. Mana tak kaku memang dah kaku pun kerana lehernya asyik mendongak menegak sedari tadi. Adelia tunduk. Lenguh betul lehernya! Tangannya mengurut lehernya yang sedikit sakit. Matanya disorot ke atas kertas soalan Matematik. Tangan Nik Pasha masih belum beralih. Bau wangian perfume Georgio Armani dari badan Nik Pasha menyesakkan rongga hidung Adelia. Hormon adrenalin menyerbu laju sehingga ke jantung membuatkan jantungnya berdegup laju. Macam nak berlumba pula jantungnya. Adelia cuba berlagak tenang. Kontrol, Yaya! Kontrol! Jangan bagi si badigol ni nampak kau cemas. Adelia tarik nafas dalam-dalam dan berlagak tenang. Walaupun jiwanya dah kelam-kabut dah ni.
“Dari tadi jawab soalan math tak sudah-sudah? Ini baru soalan nombor dua?” sakat Nik Pasha. Nak tergelak pun ada melihat Adelia yang kelihatan amat bersungguh-sungguh tetapi baru saja menghabiskan satu soalan. Tangan Nik Pasha dengan selamba menggosok kepala Adelia berkali-kali. Tuala yang berada di atas kepala Adelia tercabut. Adelia cukup tidak selesa dengan kelakuan Nik Pasha yang berani menyentuhnya sesuka hati. Habis rambutnya berserabai. Nik Pasha ketawa dengan wajah lucu gadis itu. Adelia mencebik geram.
“Apa ni? Tak sukalah!” Tangan Adelia menepis-nepis tangan Nik Pasha daripada menggosok kepalanya lagi. Nik Pasha berdegil masih meneruskan perbuatannya sambil tergelak-gelak. Adelia yang berasa geram terus bangun dari kerusi dengan tiba-tiba. Dengan sekuat hati Adelia menolak dada Nik Pasha jauh-jauh dari dirinya sehingga Nik Pasha terpaksa berganjak jauh dari Adelia.
“Eh, apa ni? Sakitlah Hippo!” Boleh tahan kuat juga budak Hippo ni! Sakit dadanya.
“Keluarlah!” Adelia menolak lagi badan Nik Pasha supaya keluar dari biliknya. Dia tidak sanggup bertekak lagi dengan Nik Pasha yang benar-benar menguji kesabarannya. Geram betul! Tak habis-habis nak menyakat. Dapat piala besar gajah agaknya kalau dapat menyakat dia! Adelia merengus.
“Kau yang tak dapat jawab soalan math yang senang tu, nak marah aku pula! Bodoh betul!” Bersahaja kata-kata Nik Pasha seolah-olah tiada perasaan bersalah mengutuk Adelia yang lembab dalam pelajaran. Tidak pernah seumur hidupnya melihat orang yang sebegitu lembab.
“Aku sedar aku tak bijak! Kau tak perlu nak ingatkan aku!” ujar Adelia dengan suara terketar-ketar menahan marah. Hati Adelia terasa nak meletup pun ada apabila mendengar kata-kata Nik Pasha yang suka memperendahkan dirinya. Adelia benar-benar sakit hati.
“Sedar pun diri!” balas Nik Pasha dengan senyuman sinis. Wajah kacak Nik Pasha tidak bisa menyejukkan hatinya yang panas. Kacak, kalau mulut macam puaka tak guna juga. Adelia menyampah tahap gaban dengan sikap Nik Pasha yang tidak pernah berlembut dan menyenangkan hatinya. Entah kenapa atau sebab apa Nik Pasha memusuhinya? Adakah kerana luarannya yang tidak cantik dan lembab? Adakah kerana itu? Adelia menjerit. Dia telah hilang kesabaran sepenuhnya. Dengan kasar Adelia menolak badan Nik Pasha ke arah pintu.
Nik Pasha pula dengan sengaja mengeraskan badannya menyukarkan Adelia menolak. Sedaya upaya Adelia menolak lagi. Nik Pasha tergelak-gelak membuatkan Adelia semakin sakit hati. Tolakan daripada Adelia tidak menggerakkan badan Nik Pasha walau sedikit pun. Nik Pasha berpaling dengan tiba-tiba menyebabkan Adelia tidak bersedia dan terpeluk Nik Pasha dari depan. Yang lebih memanaskan hati Adelia apabila lelaki itu dengan selamba membalas pelukannya dengan kuat-kuat.
“Eh! Eh! Dia ni tak tahu halal haramkah? Sesuka hati peluk anak dara orang!” maki Adelia dalam hati. Adelia meronta-ronta cuba mengeluarkan dirinya daripada pelukan sasa Nik Pasha.
“Weh, aku bukan bini kaulah, nak peluk-peluk aku macam ni!” jerit Adelia geram, masih berusaha melepaskan diri. Apa kes ni? Jangan buat dia terperasan pula. Hatinya bercelaru. Macam-macam fikiran mengarut berlumba-lumba menyesakkan kepala otaknya. Ditambah jantungnya yang agaknya dah terjatuh di buah pinggang agaknya. Mana taknya, melantun deras macam orang kena kejar dek hantu. Berpeluh satu badan!
“Listen, Hippo! Aku tau kau sukakan aku tapi aku takkan pernah sukakan kau. Sampai bila-bila pun aku takkan sukakan kau. Jadi, jangan perasan dengan pelukan aku ni dan kalau pun kau perempuan terakhir dalam dunia ni jangan harap aku akan sukakan kau!” Apabila Nik Pasha menyembur dengan kata-kata nista sebegitu membuatkan Adelia lagi seperti terkena renjatan elektrik. Adelia terdiam tidak lagi meronta apabila mendengar Nik Pasha mengutuk dan mengejinya tanpa belas.
“Tolonglah.. cermin muka kau dulu yang dah macam ikan buntal aku tengok!” sambung Nik Pasha mencemuh tanpa rasa bersalah sedikit pun. Telinga Adelia merah menyala menadah hinaan Nik Pasha. Maruahnya tercabar.
“Apa yang kau merepek ni? Aku tak suka kaulah!” Adelia tidak mahu Nik Pasha memperlekehkan dirinya lagi. Walaupun dalam hatinya ada juga tercuit sesuatu tetapi dia cepat sedar diri. Tidak sepadan. Dia cuma pipit.
“Baguslah, mama seboleh-boleh nak padankan aku dengan kau. Jadi, jangan sesekali fikir yang aku akan sukakan kau. Dan, kau jangan sukakan aku! Faham!” Nik Pasha berkata tegas. Dia bengang betul dengan mama yang tidak sudah-sudah nak menyatukan dia dengan budak poyo itu. Apa yang dilihat oleh mama pada budak perempuan ni? Yang dia nampak gemuk, bulat dan bodoh pula. Soalan Matematik yang senang macam tu pun tak dapat nak diselesaikan. Berjam-jam mengadap soalan yang sama. Bengap betul! Formula dah diberi pun masih tidak tahu menggunakannya. Dasar bengap! cemuh Nik Pasha dalam hati.
Adelia terkulat-kulat mendengar kata-kata Nik Pasha. Mati akal nak membalas. Sudahnya...
“Okey, aku faham! Sila keluar!” Adelia menunjukkan pintu. Dia sudah kehabisan tenaga nak
bertekak dengan manusia badigol macam Nik Pasha. Hati sakit, soalan Matematik tidak dapat dijawab dan akhirnya dia stres sendiri.
Nik Pasha tersengih sinis menapak keluar. Kemenangan di pihaknya. Suka hatinya dapat menyakiti hati Adelia. Tiada perasaan langsung. Kejam!
“Pasha!” panggil Adelia sebelum lelaki itu hampir keluar dari biliknya. Nik Pasha berpaling. Serentak itu Adelia dengan sekuat hati menendang punggung Nik Pasha sampai tertungging di hadapan biliknya. Secepat mungkin Adelia menutup pintu bilik tetapi sempat pula dia menjelir lidahnya ke arah Nik Pasha sebelum menutup pintu dan mengunci rapat. Kerusi dan meja di sisi katil ditolak ke arah pintu supaya Nik Pasha tidak dapat membuka biliknya dengan mudah.
Nik Pasha yang berada di luar terjerit-jerit marah kerana ditendang.
Adelia terkekeh-kekeh ketawa. Puas hatinya kerana dapat menendang lelaki itu tadi.
“Padan muka! Itulah suka sangat hina aku. Ingat dia bagus sangat? Ingat aku hairan! Tak inginlah perangai macam setan!” kutuk Adelia kaw-kaw. Baru sakit hatinya terbalas. Ketukan bertalu-talu di pintu.
“Ketuklah sampai lebam!” Adelia tidak akan sesekali membuka pintu. Never!
Nik Pasha menahan rasa marah yang mendalam. Ingat nak kenakan budak lembab itu cukup-cukup tetapi dia pula ditendang sampai tertungging siap tersungkur hampir terkena pagar di hadapan bilik. Sakit dadanya terkena lantai akibat terseret ke hadapan.
“Boleh tahan juga tendangan Hippo ni! Marah betul! Adoi..” Nik Pasha menggosok punggungnya yang sengal.
No comments:
Post a Comment