Wednesday, 4 March 2015

Si Pencuri Hati - Bab 6

DAMIA mengabaikan keadaan badannya yang tidak berapa sihat sejak semalam. Dia tidak mahu Pak Long Kamal dan Mak Long Anisah berasa bimbang akan dirinya. Sejak papanya tiada, Pak Long Kamallah tempat dia menumpang kasih. Pak Ucunya pula tempat dia bermanja kerana dia tidak mempunyai saudara kandung yang lain. Kasih sayang kedua-dua bapa saudaranya itu membuatkan Damia berasa bahagia dan gembira.

Selepas bertemu dengan Fauzan Taufiq dan Benjamin Asyraf semalam, Damia terus pergi ke rumah Pak Long Kamalnya. Dia sekadar menelefon mamanya memberitahu ke mana dia pergi supaya mamanya tidak berasa bimbang. Walaupun berkecil hati dengan tindakan  mamanya, namun Damia tidak mahu mamanya menjadi runsing dan bimbang memikirkan ke mana dia menghilangkan diri.

Damia merenung lautan luas yang terbentang di laman matanya. Sebak hatinya mengenangkan nasib diri. Kadangkala terfikir jua oleh Damia sama ada dirinya ini ialah anak yang mamanya kandung sembilan bulan sepuluh hari atau hanya sekadar anak angkat. Dia bukannya robot atau mesin yang tidak punya hati dan perasaan hingga mamanya sanggup memperlakukan sedemikian. Dia punya naluri rasa seperti insan lain. Ingin bercinta dan dicintai. 

Ikutkan hatinya yang kecewa, ingin sahaja dia menetap di UK selepas tamat belajar kelak. Pulang ke Malaysia pun bukannya ada keseronokan yang menanti. Lelah melayan kerenah mamanya adalah. Tapi apabila memikirkan kasih neneknya, dia jadi tidak sampai hati  hendak berbuat demikian. Kasih sayang neneknya yang tidak berbelah-bahagi membuatkan dia berfikir berjuta kali untuk mengambil tindakan sedrastik itu. Pasti neneknya bersedih dengan sikapnya yang sedemikian.

Kepala Damia semakin memberat dan peningnya sudah tidak tertahan lagi. Bintik-bintik merah di mukanya juga masih belum hilang gara-gara solekan hodoh itu. Terasa menyesal pula mencuba idea bodoh yang datang dari kepala otaknya itu. Damia berjalan pantas menuju ke kafe milik pak longnya namun di hadapan salah sebuah chalet milik pak longnya, dia terkulai layu.

DARWISY yang baru tiba dari Kuala Lumpur terkejut besar melihat sekujur tubuh di hadapan chaletnya. Dia memerhati keadaan gadis yang sedang tertiarap itu. Timbul rasa  kasihan dalam dirinya. Namun perasaan bimbang dan curiga juga turut bermain dalam benaknya. Manalah tahu jika gadis tersebut cuba memerangkapnya. Tetapi melihat daripada pakaian gadis tersebut, mungkin sudah lama gadis itu terbaring di situ. Sewaktu menguruskan pendaftaran chalet tadi, hujan turun dengan lebatnya. Dirinya juga terpaksa menunggu hampir setengah jam sebelum menuju ke chalet yang ditempahnya. Belas dia melihat gadis yang masih tidak sedarkan diri dan kebasahan itu. Tanpa berlengah, dia mencempung gadis tersebut masuk ke dalam chaletnya.

“Panasnya badan dia.” Darwisy bersuara. Dia dapat merasakan bahang dari tubuh gadis itu sewaktu mengangkatnya tadi. Darwisy turut memeriksa poket seluar gadis misteri tersebut. Manalah tahu terdapat dokumen peribadi gadis itu di dalamnya. Malangnya tiada satu pun maklumat diri gadis itu ditemuinya. 

Dalam keadaan keterpaksaan, Darwisy memberanikan diri menukar pakaian gadis malang itu. Tak sampai pula hatinya melihat gadis itu kebasahan dan kesejukan.

“Aduh, macam mana aku nak buat ni? Nak tanggal bahagian mana dulu ni?” Darwisy mengomel sendirian. Wajah gadis yang masih tidak sedarkan diri itu dipandang. 

“Kenapalah kau pengsan depan chalet aku? Cubalah kau pengsan depan klinik atau hospital, tak pun depan balai polis, bukan ke lebih mudah?” bebel Darwisy sambil membuka pakaian Damia. Pandangannya di tala ke lain. Matanya juga turut dipejamkan tatkala menanggalkan
pakaian Damia. Bimbang terpandang atau ternampak sesuatu yang boleh membuatkannya pengsan atau terkena serangan jantung. Hanya Tuhan sahaja yang tahu keadaannya ketika itu. Berpeluh satu badan, tak usah ceritalah. Itu belum lagi dengan jantungnya yang mengada-ada mengalunkan irama heavy metal. Hendak tercabut nyawa dirasakannya ketika ini.

Selesai menyarungkan pakaiannya ke tubuh Damia, Darwisy segera mencuci pakaian milik Damia. Pakaian yang boleh dianggap ‘secret and confidential’ disidainya di dalam bilik mandi manakala pakaian lain disidai di beranda chalet supaya cepat kering. Mujurlah di chalet tersebut ada menyediakan kemudahan mesin basuh, jadi tidaklah terlalu sukar untuknya mencuci pakaian.

Darwisy bercadang tinggal di Chalet Bonda, Mersing selama dua atau tiga hari. Selepas itu, dia berhasrat menghabiskan cutinya selama beberapa hari di Pulau Tioman. Tidak lama lagi dia akan bergabung dengan abangnya Danish untuk membantu bapanya Tengku Dzulkarnain menguruskan perniagaan mereka di TDF. 

Danish tidak berminat mengikutnya bercuti memandangkan selepas ini Danish pula yang akan bercuti panjang. Abangnya itu akan mengakhiri zaman bujangnya tidak lama lagi. Tinggallah dia keseorangan yang belum mempunyai idaman hati. Bukan tidak ada yang berkenan. Cuma hatinya sahaja belum berdebar dan jantungnya belum berdegup kencang tika bermain mata dengan gadis-gadis yang cuba mencuri hatinya.

“Berdebar-debar?”

Darwisy menekap dadanya merasakan debaran yang hadir. Ini debaran kerana takut semasa membuka pakaian gadis itu atau debaran akibat panahan cinta pandang pertama? bisik hati kecil Darwisy. Cinta pandang pertama? Hisy... mustahillah! Tersangatlah mengarutnya tekaan hati aku ini.

Setelah siap menyidai pakaian, Darwisy menghampiri gadis tersebut. Masih panas lagi badan dia. Nak bawa ke klinik tiada dokumen peribadi pula. Nanti tak pasalpasal dia dituduh melindungi pendatang tanpa izin, getus Darwisy. 

Darwisy menghubungi kafe Bonda supaya menyediakan makan malam untuk dirinya dan semangkuk bubur untuk gadis misteri yang menumpang di chaletnya. Dia akan mengambil makanan tersebut selepas solat maghrib. 

“Cik... cik... bangun makan bubur ni dan lepas tu makan ubat,” pinta Darwisy lembut. Ketika membeli makan malam tadi, dia sempat membeli sepapan Panadol. 

Damia yang masih tidak berdaya hanya menurut arahan sahaja. Matanya langsung tidak mampu dibuka. 

Darwisy memangku tubuh Damia dan menyuap bubur nasi perlahan-lahan. Masuk sahaja suapan keempat, Damia menggelengkan kepalanya tanda tidak mahu. 

“Ucu... tak nak.” Damia menolak. Badannya terasa sungguh tidak bermaya dan denyutan di kepalanya dirasakan semakin mengganas. Dia hanya ingin tidur dan rehat secukupnya ketika ini. 

Darwisy meletakkan kembali sudu ke dalam mangkuk dan membaringkan Damia.

“Ucu?” Berkerut-kerut Darwisy menafsir nama yang baru terbit dari mulut Damia. “Makan ubat dulu. Lepas tu baru tidur,” arah Darwisy.

Damia yang menyangkakan itu merupakan arahan daripada Ucunya hanya menurut perintah sahaja. Seandainya dia membangkang pasti panjang Ucunya berceramah, sedangkan dia tersangat tidak larat. Selepas menelan ubat, Damia kembali ke alam lenanya.
 

Darwisy memerhati gadis yang sedang terlena itu. Dia teringat permintaan bondanya supaya menemui gadis yang bakal menjadi calon isterinya tempoh hari. Dibandingkan dengan gadis itu, gadis ini agak cantik sedikit. Wajah gadis tempoh hari agak menyeramkan dirinya. Lihat gambar yang diberikan, bukan main lagi aksi dan raut wajahnya. Tetapi apabila bertemu empat mata, hampir pengsan dibuatnya. Nasib baik dia bersetuju mengikut
cadangan bondanya berjumpa terlebih dahulu. Buatnya dia terus setuju untuk berkahwin, tak ke menyesal tak sudah kemudian hari?

Darwisy ingat lagi, ketika dia berkira-kira hendak mencari tempat duduk untuk bertemu dengan gadis yang menjadi pilihan bondanya, dia terdengar perbualan antara seorang gadis dan seorang jejaka yang hendak berkenalan. Hampir pengsan dia melihat wajah hodoh yang berparut serta gigi yang kehitaman. Cermin mata yang tebal berinci-inci juga membuatkan dia berfikir sejuta kali untuk memilih gadis itu menjadi teman hidupnya. Setelah mendengar gadis itu memperkenalkan dirinya, Darwisy yakin gadis itu juga yang telah bondanya pilih untuk diperkenalkan dengan dirinya. Mujurlah dia tiba lebih awal menanti kedatangan gadis tersebut. Barangkali dia juga akan terperangkap dalam rancangan bondanya itu. Tanpa menunggu lama, dia terus beredar.


DAMIA menggeliat kemalasan di atas katil. Bulat matanya melihat sekujur tubuh yang meringkuk kesejukan tanpa sehelai selimut membaluti tubuhnya sedang tidur di atas lantai. Kesiannya orang tu! Tapi siapa? Eh... aku kat mana ni? gumam Damia. Berkerut-kerut dahinya mengingatkan peristiwa yang berlaku semalam. Dia sudah ketakutan. 

Damia menolak selimut yang membaluti tubuhnya. Melihat badannya yang hanya tersarung sehelai t-shirt separas paha, Damia membaluti kembali tubuhnya dengan kain selimut. Dia ingin menjerit tapi hanya lekat di kerongkong sahaja. Air matanya mula bercucuran. Dia bimbang jika lelaki asing itu telah mengambil kesempatan ke atas dirinya.

Terpisat-pisat Darwisy apabila mendengar suara tangisan. Antara mimpi dan realiti, Darwisy membuka matanya yang masih terasa kelat. Kantuknya masih belum hilang lagi. Darwisy meneliti telefon bimbitnya. Pukul enam pagi, getusnya. Dia ingin menyambung kembali lenanya barang seminit dua namun bunyi sedu-sedan yang menampar cuping telinganya membuatkan matanya terbuka luas. Macam mana dia boleh terlupa ada makhluk asing dalam biliknya ini. Eh... bukan makhluk asing tapi gadis misteri! Darwisy bingkas bangun, wajahnya diraup. Setelah itu dia menatap gadis yang sedang menangis itu.

“Awak duduk diam-diam kat sini, saya nak solat sekejap. Lepas ni saya akan hantar awak balik. Sebelum tu awak fikirkan jawapan, sebab saya nak tahu macam mana awak boleh pengsan kat depan tangga chalet saya menginap ni?” jelas Darwisy tegas. Dia kemudiannya beredar membersihkan diri.

Usai solat, Darwisy duduk tercongok di hadapan Damia. Dia mahukan jawapan. Dia tidak mahu menanggung sebarang risiko. Dia perlu tahu siapa gadis itu dan kenapa gadis itu boleh berada di hadapan chaletnya? Sudahlah muka tak berapa nak lawa. Nanti kena tangkap khalwat, tak ke kes aniaya, bisik hati Darwisy.

Tapi... kenapalah jantung aku bagai nak melantun keluar apabila duduk dekat budak ni? Bukannya cantik pun! Muka perempuan ni lawa sikit daripada muka perempuan yang dia temui dekat hotel tempoh hari. Jauhkanlah perempuan ni daripada menjadi bini aku! getus Darwisy. 

Tiba-tiba Darwisy teringat akan seseorang... 

Kalau muka macam gadis kat stesen minyak hari tu, okeylah juga! Seandainya gadis di stesen minyak hari tu, kecil tapak tangan, stadium Bukit Jalil hamba tadahkan! Angan Darwisy. Sebenarnya Darwisy sendiri sudah tidak berapa ingat raut wajah gadis di stesen minyak tempoh hari. Dia berkata begitu sekadar ingin menyedapkan hatinya sahaja.

Darwisy mengeluh memikirkan nasib dirinya. Apakah jodoh aku memang sudah ditetapkan dengan orang yang tiada rupa seperti perempuan yang bonda pilihkan tempoh hari? Aduhai... malangnya nasib! Dia merenung tajam wajah Damia.

“Hah... tunggu apa lagi? Ceritalah, saya nak dengar,” sergah Darwisy. 

“Sebelum itu kesat air mata awak dan berhenti menangis,” tegas Darwisy. 

Terangkat bahu Damia mendengar suara Darwisy yang sedikit keras.

“Errr...” Damia bersuara. Wajah Darwisy yang sedang merenungnya dipandang. Darwisy membulatkan matanya.

“Hah! Tunggu apa lagi? Cakaplah.”

Pandangan Darwisy dibalas dengan takut-takut. Dia ni nak ‘telan’ aku ke? Lain macam aje pandangannya. Bagai  nak tembus anak mata aku direnungnya, umpat Damia dalam hati.

“Semalam saya keluar berjalan-jalan di tepi pantai, semasa hendak pulang ke kafe pak long, kepala saya tiba-tiba sahaja menjadi pening. Lepas tu saya tak sedar apa yang berlaku,” terang Damia. Tangisannya walaupun tidak berlagu pilu seperti mula tadi tapi sebaknya tetap ada. 

“Dah tahu pening, kenapa tak pergi ke tempat lain nak pengsan? Kenapa mesti pilih depan chalet yang saya duduk?” soal Darwisy tidak berpuas hati. “Jangan-jangan awak memang sengaja nak perangkap saya tak? Sebab itu awak pengsan kat depan chalet saya.” Terkedu Damia mendengar kata-kata Darwisy.

Hilang terus rasa pilu dalam hatinya. Tak jadi nak ucapkan terima kasih atas kebaikan lelaki itu membantunya. Yang timbul kini adalah rasa menyampah dan impian hendak membunuh orang sahaja.

“Encik ni gila ke bodoh?” tanya Damia geram.

“Macamlah saya kenal siapa encik dan tahu encik hendak menginap di sini sampai pasang perangkap berbagai?” Serang Damia. “Lagipun mana ada orang nak pengsan boleh pilih-pilih  tempat? Encik ingat saya teringin sangat ke... nak pengsan kat depan chalet encik ni? Tak mainlah! Bukannya syok pun! Tak standard langsung. Bukannya beralaskan karpet setebal 10 inci pun kat atas tanah tu. Sakit badan lagi adalah. Itu pun tak boleh fikir ke?” sindir Damia. 

Darwisy tidak terkata bila Damia sudah membuka mulutnya.

“Saya... kalau buat-buat pengsan, baik saya pilih bilik hotel bertaraf lima bintang ke atas, barulah best! Tak pun kat dalam istana. Barulah nyaman, selesa dan menyegarkan. Badan tak terasa sengal sebab dapat pengsan atas tilam empuk,” tempelak Damia lagi. Ada juga orang yang otak singkat macam mamat ni? Buat aku sakit jiwa aje... 

Darwisy menggaru kepalanya yang tidak gatal. Betul juga! Mana ada orang boleh suka-suka pilih tempat kat mana dia nak pengsan. Jika begitu, semua orang nak pilih tempat yang selesa. Tapi kenyataan perempuan ni, mak aii...! Mengalahkan anak-anak orang kenamaan pula. Berlagak nak mampus! Sedarlah diri tu sikit! kutuk Darwisy.

“Kalau encik tak suka saya pengsan kat depan chalet encik, kenapa encik bawa saya masuk sampai ke dalam bilik? Kenapa encik tak tinggalkan sahaja saya di luar? Dan kenapa encik tak minta tolong dengan tuan punya chalet ini supaya bawa saya ke klinik?” soal Damia bertubi-tubi dengan nada yang agak tinggi.

Dia ni kalau dah bercakap macam ayam betina baru lepas bertelur rupanya. Tak henti-henti pok... pek... pok... pek. Mujur sangatlah muka kau tak cun dan iman aku agak kental. Kalau tak, memang mulut kau dah jadi habuan terkaman aku, bisik hati Darwisy bengang. Tapi tadi bukan ke aku juga yang suruh dia bercakap? Aiseyman Darwisy... nampak gayanya kau dah bertemu buku dengan ruas! Samasama jenis nak menang. 

Damia merenung geram wajah Darwisy. Sakit pula hatinya apabila melihat Darwisy diam seribu bahasa. Dia punyalah banyak menyoal, tapi Darwisy buat selamba aje. Dah gaya bercakap dengan tiang lampu sahaja Damia rasakan.

“Ni... kenapa encik suka-suki aje tukar pakaian saya?” Damia menunjukkan pakaian yang tersarung di tubuhnya. “Encik tahu kan batasan aurat antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya?” soal Damia kembali. Mukanya juga merah menahan marah dan malu. Belum ada lagi orang lelaki yang membuka pakaiannya hingga ke zon ‘no entry’ itu!  

Berapa banyak ‘kenapa’ daaa... gumam Darwisy. Tak padan dengan muka hodoh! Ek! kutuk Darwisy geram.

“Habis tu, tak akan saya nak biarkan awak mati kesejukan di luar sana? Nanti tak pasal-pasal, saya pula dituduh cuba membunuh awak,” hujah Darwisy pula. “Sekiranya saya tak tukar pakaian awak, tak akanlah awak nak pakai baju yang sudah lencun sepanjang malam? Tentu seluruh badan awak akan kecut dan kesejukan,” terang Darwisy kembali. Kenapalah aku tak terfikir nak panggil tuan punya chalet ni semalam? Cerdik betul! 

Ada benarnya juga kata lelaki ini. Kalau dia tak tukar baju aku semalam, mahu kecut semua urat dalam tubuh aku ni, getus Damia.

“Encik tak ada buat perkara yang tak senonoh kepada saya, kan?” tanya Damia inginkan kepastian. 

“Kalau ada kenapa?” soal Darwisy sambil tertawa sinis.

Buntang mata Damia memandang Darwisy.

“Awak ingat saya ni apa? Saya pun tahulah mana yang halal dan mana yang haram! Lagipun... tak adanya saya terliur dengan muka awak yang hodoh tu!” bidas Darwisy tegas.  “Kalau muka awak tu cantik macam ratu dunia, nak juga saya ‘test’! Ini muka entah macam apa, ada hati nak tuduh saya cuba ambil kesempatan. Sebelum bercakap... cermin dulu muka awak!” sindir Darwisy. Dia sedikit sebal apabila dituduh sebegitu.

Damia mengetap bibir menahan rasa. Aku tanya dia elok-elok, dia boleh perli aku balik? gerutu Damia. Huh! Macamlah muka dia kacak sangat. Perasan!

“Sepatutnya awak berterima kasih kepada saya sebab selamatkan awak dan rawat awak malam tadi. Bukannya buat tuduhan sembarangan,” tempelak Darwisy. 

“Ada saya suruh encik ambil berat pasal saya? Tak ada, kan?” Damia juga tidak mahu kalah dalam perdebatan itu.

Eh... eh... perempuan ni! Aku dah tolong dia pun dah cukup baik. Bukannya nak berterima kasih dengan bantuan yang diberikan. Berlagak lagi adalah! Patutnya semalam aku biarkan sahaja dia mati kesejukan kat luar sana tu, biar padan muka dia! gerutu Darwisy. Dalam pada itu bibirnya sempat menguntum senyuman nakal pabila teringat peristiwa menukarkan pakaian gadis sombong dan berlagak itu. Terasa menyesal pula dia menutup mata. 

Ini kalau tersenyum-senyum macam orang tiga suku mesti ada benda kotor yang dia teringat di dalam kepala, bisik hati Damia. Jangan-jangan dia teringat... Damia menelan air liurnya berulang kali sambil melihat pakaian yang tersarung di tubuhnya.

“Argh...” Damia menjerit sekuat hati. Darwisy segera menekup mulut Damia. Haru seandainya ada orang yang mendengarnya nanti.

“Yang awak menjerit macam orang kena sampuk ni kenapa? Awak nak suruh orang kampung datang serbu sini?” Marah Darwisy.

Damia menggeleng kepalanya berulang kali tanda tidak mahu.

“Tadi tu kenapa encik tersenyum maut macam tu sekali? Encik tentu ada terfikir atau teringat perkara yang bukan-bukan dalam kepala otak encik yang sengal ni, kan? Dasar otak kuning!” Sinis Damia. 

Membuntang biji mata Darwisy memandang Damia. Dia tidak percaya yang Damia mampu membaca apa yang tersirat dalam kepala otaknya. 

“Hisy... awak ni, suka fikir yang bukan-bukan. Tak baik tahu awak menfitnah saya. Dalam dunia ni dah susah dah awak nak jumpa lelaki sebaik dan kuat imannya seperti saya,” ujar Darwisy bersahaja. 

Damia mencemikkan mukanya tanda tidak bersetuju. Yalah tuuu... 

Mata Damia tertancap pada jam di dinding chalet. Alamak! Dah enam empat puluh lima minit pagi. Dia masih belum menunaikan solat subuh lagi. Solat maghrib dan isyak memang sudah hangus gara-gara dia tidak sedarkan diri semalam. Macam mana nak balik ni? Tak akan dia hendak  pulang dengan pakai yang seksi sebegini? Mahu pengsan orang kampung bila terlihat akan dirinya nanti. Tak pasal-pasal dia dikatakan gila. Jawabnya terpaksalah dia menyarung kembali pakaiannya yang basah untuk pulang ke rumah. Tak akan dia nak pinjam pakaian lelaki ini pula. Mahu terkejut besar pak long dan mak longnya nanti. 

Dalam pada Darwisy dan Damia berperang mulut, terdengar suara orang memberi salam. Darwisy sudah keresahan. Bala apakah yang bakal menimpanya seketika nanti? 

Damia juga sudah tidak senang duduk. Janganlah orang kampung pak longnya datang membuat  serbuan. Tentu malu besar pak longnya nanti. 

Darwisy membuat isyarat supaya Damia diam. 

Damia angguk kepala. Dia sudah keresahan. Air matanya juga mula berguguran kembali. 

Dengan berat hati, Darwisy membuka pintu. Pucat mukanya saat melihat seorang lelaki berkopiah putih sedang berdiri tegak di depan pintu chaletnya. 

Tanpa menunggu pelawaan, lelaki yang berkopiah putih itu menerpa masuk. Terkejut bukan kepalang dia apabila melihat muka anak saudaranya yang sembap dan bercucuran air mata serta dalam keadaan yang mencurigakan. Kamal meneliti raut wajah anak muda yang berada di hadapannya kala ini. 

Sewaktu dia pulang ke rumah malam tadi, sangkanya Damia sedang tidur. Seawal jam lima pagi, isterinya Anisah memberitahu dia bahawa Damia tiada di dalam biliknya. Hatinya bimbang dan runsing bukan kepalang. Selesai solat subuh, dia keluar mencari anak saudaranya di sekitar pantai. Kamal bimbang jika berlaku sesuatu yang tidak diingini ke atas anak saudaranya itu.  Setibanya dia di hadapan sebuah chalet, jantungnya bagaikan hendak gugur tatkala melihat selipar dan pakaian anak saudaranya bersidai di beranda chalet tersebut. 

Kamal merangkul bahu Damia. Kasihan dia melihat riak sedih yang jelas terpancar di wajah anak saudaranya itu. Nasib anak saudaranya bertambah malang selepas adiknya  Dasuki Aqtar meninggal dunia. Adik iparnya Karina langsung tidak mengambil berat tentang Damia. Dunianya hanya bekerja dan memperkukuhkan lagi kerjayanya. Anaknya yang seorang ini langsung tidak diambil peduli. Dia perlu bertindak. Sekiranya berlaku sesuatu ke atasnya, sekurangkurangnya ada orang yang akan menjaga anak saudaranya kelak.

“Pak cik hendak kamu bertanggungjawab terhadap anak saudara pak cik ini,” tegas Kamal sambil memandang wajah Darwisy.

Buntang mata Darwisy memandang lelaki yang berada di hadapannya saat ini. Mana mungkin dia sanggup bernikah dengan perempuan yang tidak dikenalinya. Mahu kena serangan jantung bonda dan ayahnya nanti.

“Maaf pak cik, saya tak mampu melaksanakannya. Lagipun saya tidak berbuat apa-apa ke atas anak saudara pak cik. Saya hanya membantunya semalam. Itu pun sebab dia pengsan di hadapan chalet saya,” terang Darwisy sopan. Dia masih mampu mengawal perasaan marahnya.

“Mia juga tak bersetuju dengan cadangan Pak long. Mia masih muda dan tak kenal langsung dengan lelaki ini,” terang Damia dengan linangan air mata.

“Pak long tak kira. Kamu berdua mesti bernikah hari ini juga. Keputusan pak long adalah muktamad.” Tekan Kamal sambil memandang wajah suram anak saudaranya. 

“Dan kamu anak muda, jangan cuba hendak melarikan diri! Kamu harus bertanggungjawab.” Lantas Kamal menelefon pekerjanya supaya datang ke chalet Kenanga 2. Tujuannya adalah untuk menghalang Darwisy daripada cubaan melarikan diri.

Darwisy melepaskan keluhan berat. Sukarnya perjalanan hidup yang terpaksa dia lalui. Berkahwin dengan perempuan yang tidak dia kenal dan cintai adalah satu bala bagi dirinya.
 
Damia yang pada mulanya ingin membantah lagi tidak jadi berbuat demikian setelah melihat wajah tegas Pak Long Kamalnya.

No comments:

Post a Comment