Wednesday, 4 March 2015

Si Pencuri Hati - Bab 7

AKU terima nikahnya Sayang Damia binti Dasuki Aqtar dengan mas kahwin RM22.50 tunai.” Dalam keadaan bengang dan marah yang teramat sangat, Darwisy terpaksa menikahi Damia. Menyesal pula dia datang ke Mersing. Tidak pasal-pasal statusnya yang bujang sebelum ini sudah bertukar menjadi suami orang. Kalau perempuan yang dinikahinya itu cantik, tak apalah juga. Ini...?

Darwisy juga sudah pening kepala hendak menerangkan perkara sebenar kepada keluarganya. Buntu jadinya. Apa aku susah? Diam-diamkan sahaja sudahlah. Bukannya ada orang yang tahu melainkan keluarga pak long Damia sahaja, bisik hati Darwisy.

Eh? Nama perempuan yang aku nikah tadi sama seperti nama perempuan yang bonda ingin kenalkan kepada aku tempoh hari, bisik hatinya. Tapi... tak mungkinlah dia! 

Darwisy memandang Damia yang baru masuk ke kamar tidur. Dia meneliti untuk mencari keistimewaan gadis yang baru dinikahinya itu. Dalam pada tidak berkenan kepada Damia, jantung dan hatinya langsung tidak mahu berkompromi dengan otaknya. Debaran yang melanda begitu hebat sekali. Bagaikan ada tarikan menyuruhnya menyentuh dan membelai Damia.

Hisy... tak boleh jadi ni! Aku kena teguhkan keimanan aku. Aku harus pertahankan ego lelaki aku. Mana boleh cepat cair macam ni! Dia langsung tiada keistimewaan! 

Damia menyapu krim bagi mengurangkan kemerahan dan bengkak di wajahnya. Mujurlah bengkak di mukanya sudah susut sedikit. Malu dia jika wajahnya masih belum pulih ketika pulang ke UK nanti. Apa pula kata kawan-kawannya apabila melihat raut wajahnya yang sebegitu. Mungkin inilah balasan kerana mengecewakan hasrat mamanya.

Melalui cermin di hadapannya juga, Damia dapat melihat mata Darwisy sedang merenung tajam dirinya. Apa hal tengok orang macam nak telan aje? Tak pernah tengok orang ke sebelum ini? bisik hati Damia. Dia meneruskan kerja-kerja menyapu krim ke wajah. Matanya juga turut mengawasi gerak-geri Darwisy. Sekiranya lelaki itu buat hal, tahulah dia bagaimana hendak mengajarnya! 

Mata Damia melirik jam di dinding. Hampir sebelas malam. Matanya juga sudah mengantuk. 

Dia ni tak reti nak tidur-tidur ke? Aku dah mengantuk ni, gerutu Damia. Tapi di mana pula aku hendak tidur? bisik hati Damia. Darwisy buat katilnya seperti katil Darwisy sendiri. Suka-suka lelaki itu sahaja berbaring enak atas katilnya. Macamlah lelaki itu keluar duit beli tilam dan katil tersebut. Malas hendak bertekak, Damia menuju ke katil mengambil selimut dan sebiji bantal lalu merebahkan diri di atas lantai.

“Kenapa kau tidur kat bawah? Sepatutnya kau kena layan aku. Malam ini kan malam pertama kita?” sindir Darwisy dengan niat ingin menyakiti hati Damia. “Kau sepatutnya berterima kasih dengan aku, sebab aku sanggup terima kau sebagai isteri walaupun muka kau tak cantik. Lelaki lain belum tentu teringinkan kau yang muka hodoh tu!” cerca Darwisy. 

Panas hati Damia mendengar hinaan Darwisy. Dia bangkit dari baringannya dan duduk menghadap Darwisy. “Macamlah saya nak kahwin dengan awak?” tekan Damia. “Biar muka tak cantik asalkan hati cantik,” sinis Damia. Bosan sungguh dirinya melayan kerenah Darwisy yang tidak matang.

“Wah... menjawab! Kenapa masa depan tok kadi tadi kau tak bangkang kalau kau tak teringin nak kahwin dengan aku?” soal Darwisy yang sudah geram dengan lagak Damia. Huh... tak padan dengan muka buruk! Sombong! Nafas Damia sudah naik turun. Namun dia
menyabarkan dirinya apabila teringatkan siapa Darwisy kini.

“Aku tahulah kau memang dah tergoda dengan aku yang handsome ni. Tentu kau banggakan... sebab muka buruk dan hodoh macam kau dapat berkahwin dengan lelaki sekacak dan setampan aku,” luah Darwisy dengan bongkak. 

Kesabaran Damia menipis juga akhirnya mendengar hinaan dan cacian Darwisy.

“Kenapa awak sanggup menjabat tangan tok kadi jika awak tak rela nak kahwin dengan saya? Ada pak long saya letak pistol kat kepala awak supaya setuju?” Benci sungguh Damia dengan keegoan manusia yang bernama Darwisy ini. Damia merenung tajam wajah lelaki yang sudah bergelar suaminya itu.

“Awak dengar sini baik-baik! Walaupun muka saya buruk dan hodoh, tapi saya langsung tidak tertarik dan teringin hendak berkahwin dengan muka awak yang perasan kacak tu tahu tak? Jika tidak kerana pak long saya yang berkeras, saya lebih rela hidup sendiri daripada dapat suami yang sombong dan bongkak seperti awak.” Damia bingkas bangun lalu mengambil sekeping gambar dan dilemparkan kepada Darwisy.

“Awak ingat awak seorang sahaja yang kacak? Awak tengok gambar kekasih saya, dia pun tak kurang kacaknya, tahu.”

Reqza maafkan aku kerana babitkan kau dalam hal ini, gumam Damia. Mujurlah pak long dan mak longnya tidur di chalet malam ini. Malu rasanya jika mereka terdengar perang mulut antara dia dan Darwisy. Darwisy memandang sepintas lalu gambar yang jatuh di sisinya. Kelakiannya rasa tercabar. Dah ada kekasih rupa-rupanya. Jangan-jangan lelaki itu hanya ingin mengambil kesempatan ke atas dirinya, bisik hati Darwisy. Entah-entah dia sanggup menggadaikan maruah diri sematamata ingin berdampingan dengan lelaki yang digelar kekasihnya ini, bisik hati Darwisy lagi. Bisikan-bisikan jahat sudah mula kedengaran. Darwisy menghampiri Damia.

“Kau ni masih dara atau sudah kena tebuk?” soal Darwisy sinis.

Terpanar Damia mendengar kata-kata Darwisy. Mukanya sudah merah menahan marah.

“Kurang ajar! Awak ingat saya ni apa? Perempuan murahan ke... hah?” marah Damia. Tanpa sedar dia menampar muka Darwisy sekuat hatinya. Darwisy mengusap pipinya yang terasa perit sambil tersenyum sinis. Dia menghampiri Damia. Tangannya membelai wajah Damia. Matanya merenung mata Damia mencari kebenaran. Dirinya langsung tidak  mempercayai kata-kata Damia. Hatinya kuat menyatakan yang Damia bukan lagi gadis suci.

“Buktikan!” ujar Darwisy sepatah.

Terpinga-pinga Damia mendengar kata-kata Darwisy.

Buktikan? Bukti yang bagaimana? Dapatkan surat pengesahan daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja ke? Eh! Itu bukan untuk mengetahui bila puasa dan raya sahaja ke? Kenapalah bahlol sangat kau ni, Damia? Habis tu... surat pengesah daripada Ketua Polis Negara? Errr... aku bukannya penjenayah! Tak akan nak minta surat pengesahan daripada Ketua Pengarah Hospital kut? Hisy... aku bukannya ada penyakit misteri nusantara!

Melihat Darwisy asyik merenungnya, Damia mengundur setapak demi setapak ke belakang. Bimbang jika Darwisy berbuat sesuatu ke atasnya. Degupan jantungnya juga sudah berubah rentak saat Darwisy mengusap lembut pipinya seketika tadi.

Darwisy menghampiri Damia dengan senyuman. Seronok dia melihat kekalutan Damia. Damia menelan liurnya berulang kali. Perasaan gementar semakin mencengkam diri. Peluh dingin juga mula membasahi tubuhnya. Dia sudah tersepit. Tiada tempat untuk dia melarikan diri lagi. Saat Darwisy memeluk erat pinggangnya, jantung Damia mula berlari kencang. Haruman yang dipakai Darwisy membuatkan Damia sesak nafas dan hampir pengsan. Sebaik sahaja Darwisy memaut dagunya, jantung Damia terasa hendak tercabut dari tangkainya saat itu juga. Getaran semakin hebat melanda ketika Darwisy mula mengucupi wajah dan membelai tubuhnya. Damia sudah berperang dengan perasaannya ketika ini. Dia keliru akan dirinya sendiri.

Melihat tiada penolakan daripada Damia, Darwisy semakin berani bertindak. Kini bibir Damia menjadi sasarannya. Hanyut dibuai perasaan, Damia membalas setiap perbuatan Darwisy. Akhirnya... mereka tenggelam dalam gelombang asmara yang hangat lagi mengasyikkan.

MATA Darwisy masih tidak mahu lelap. Perasaan bersalah bersarang dalam hatinya. Perasaan malu juga amat menebal kala ini. Ternyata isterinya masih lagi suci dan menjaga kehormatannya dengan baik. 

Darwisy merenung wajah yang bergelar isterinya itu. Begitu lena sekali. Niatnya tadi hanya ingin menakutkan Damia sahaja tetapi sebaliknya pula yang berlaku. Dia pula yang hanyut dalam permainan ciptaannya. Masih terasa lagi hangatnya sentuhan dan belaian Damia. Sebuah senyuman terbentuk di bibirnya tatkala memikirkan apa yang telah berlaku dalam hidupnya kini. Bahagia! Itulah yang dirasakannya.

Tanpa sebarang paksaan, dia mengucup pipi isterinya itu. Terasa damai dan tenang hatinya. Tidaklah terasa panas dan terbakar seperti berada berdekatan dengan Natilia. Tangannya juga begitu ringan membelai rambut isterinya. Lembut dan wangi, getus Darwisy. Mungkin inilah jodoh yang sudah tertulis untukku. Siapalah dirinya yang mahu menghalang ketentuan dan kehendak Allah? Sebagai hamba yang beriman, dia harus reda dengan qadak dan qadar Allah.

Darwisy bangun mengambil album yang berada di atas meja solek. Sungguh comel! desis hati Darwisy. Mungkin gambar isterinya ketika bayi. Ketika dia ingin menyalak helaian berikutnya, telefon bimbitnya berbunyi. Lantas dia menutup kembali album tersebut.

“Assalamualaikum.” Darwisy memulakan perbualan. Dia menuju ke ruang tamu. Bimbang sekiranya perbualan dia dan Danish mengganggu tidur Damia. 

“Waalaikumussalam. Darwisy kat mana sekarang?” soal Danish segera.

“Kat Mersinglah. Abang kan tahu Darwisy sedang bercuti sekarang ni?”

“Itu abang tahu. Maksud abang, Darwisy dekat Pulau Tioman atau kat mana?”

“Kat area bandar Mersing. Ada apa abang telefon ni?” Risau juga dia menerima panggilan pukul dua pagi. 

“Balik segera, moyang sakit.”

“Emmm... baiklah. Darwisy balik sekarang.”

Melihat isterinya nyenyak tidur, tidak sampai hati pula Darwisy ingin mengejutnya. Tak apalah! Dua tiga hari lagi aku akan datang menjemputnya dan membawanya bertemu dengan keluargaku, getus Darwisy. 

Darwisy memasukkan pakaiannya ke dalam beg sandang. Tangannya juga begitu ringan memasukkan album milik Damia ke dalam begnya. Setelah mencoret sesuatu, dia meninggalkan rumah pak long Damia. Hiba perasaannya saat meninggalkan isterinya itu.

No comments:

Post a Comment