Thursday, 30 July 2015

PERMAISURI HATI - BAB 13

PERMAISURI HATI - BAB 13



Aku termenung di pangkin di laman rumah. Boleh gila aku kalau berterusan begini. Sudah sehari aku bertapa di Johor ini, dan semalaman juga aku tidak mampu melelapkan mata angkara Datuk Rafael. Masih terngiang-ngiang lamarannya di telingaku. Aku rasa dia tidak cukup sihat kelmarin, sebab itulah dia tiba-tiba mengeluarkan permintaan tak berasas itu.
Aku masih ingat riak mukaku yang kebingungan setelah mendengar lamarannya. Aku hanya membisu sebelum mengambil handbag dan keluar dari bilikku. Datuk Rafael pula terpacak di bilikku sehingga aku hilang dari pandangannya. Mungkin dia juga pelik kerana aku bertindak sedemikian. Tidak sepatah pun kata-kata keluar dari dua ulas bibirku.
Kurasakan Datuk Rafael  mungkin kasihan padaku dan tiba-tiba sahaja ayat itu meluncur keluar darinya.
“Lina…apa yang termenung kat situ. Tunggu orang datang meminang ke?”. Emak sudah menyarung selipar dan melabuhkan punggung di sebelahku. Kukir senyum buat dirinya.
‘Tak adalah mak…Lina tak buat apa-apa pun”.
“Mak nak cakap sikit dengan Lina”.
Muka serius Emak buat hatiku resah. “Pasal apa mak?”.
“Jenab, kawan mak di Pontian tu bertanyakan Lina”.
“Hah..tanya kenapa?”. Aku terkejut.
“Dia mahu masuk meminang Lina untuk anak lelakinya”.
Aku bungkam. Mak cik Jenabkah? Kawan baik emak yang selalu datang beraya. Kenapa dia mahu melamar aku untuk anaknya pula? Tidak ada perempuan lainkah yang mahu dibuat menantu. Aku ini janda. Dan aku punya kekurangan yang akan membuatkan kaum Adam bosan padaku.
“Mak..mak faham masalah Linakan. Lina dah malas nak fikir pasal semua benda ni. Biarlah Lina hidup sendiri dulu”.
Emak mengusap lembut bahuku. Rasa sedih bertamu di hati. Kasih sayangnya membuatkan aku berasa diri begitu dihargai. “Mak faham Lina..dan mak pun sudah tolak secara baik lamarannya”.
Kuukir senyum hambar. Tanpa aku khabarkan pun, emak sudah mengerti  perasaan anaknya yang seorang ini.
“Haikal ke mana Lina?”.
“Oh…Along bawa budak-budak tu berkelah. Malas Lina nak ikut”.
“Nizam ada lawat Haikal?”.
Soalan Emak menyentakkanku. “Ehmm..katanya ada pergi sekolah Haikal hari tu tapi tak jumpa pulak Haikal”.
“Jangan berdendam dengan dia, Lina..Apa pun yang berlaku, Haikal tetap anak Nizam”.
“Lina tak berdendam mak, tapi masih susah Lina nak buang rasa sengsara ni”.
“Mak tahu, sekali terluka, susah hendak sembuh Lina..tapi tak semestinya tidak berjaya. Satu masa nanti, parut tu, Insyallah akan terhapus sendiri”.
“Lina cuba mak!!”.
“Ehmm…mak naik atas dulu la..”.
Sejurus Emak menghilang, telefonku berbunyi. Nama Abang Hasif tertera di telefon bimbitku.
“Lina…apahal Nizam telefon Alang nak jumpa Haikal pulak ni?”.
Aku tersentak. Baru sekejap tadi Emak menyebut nama Nizam, kali ini aku terpaksa menadah telinga mendangar namanya lagi dari mulut Abang Hasif.
“Bila dia telefon Alang?”.
“5 minutes ago”.
“Lina bagi alamat apartment Alang pada dia sebab dia desak Lina nak jumpa Haikal. Kalau dia nak jumpa Haikal, Lina bawa Haikal ke apartment Alang. Lina tak nak dia tahu rumah Lina. Nanti karang menyemak sahaja di rumah Lina tu”.
“Habis tu macam mana ni? Dia kata nak Haikal hari ni juga”.
“Macam mana apa lagi? Linakan  dekat rumah Mak ni. Alang suruh dia call lain kali”. Balasku sedikit bengang.
Okay..okaylah! Aduh! Kenapa Alang kena masuk campur urusan Lina dengan Nizam ni? Kalau tau dek Along, mengamuk punya”.
Aku hanya membisu. Talian ditamatkan beberapa minit selepas itu.
Aku menarik nafas panjang. Kurasakan kepalaku makin berserabut.Datuk Rafael dan Nizam. Kedua-dua lelaki ini benar-benar menyesakkan keamanan hidupku.

SUARA Abang Rehan, anak-anaknya serta Haikal kedengaran kecoh di ruang tamu. Aku sedang membasuh pinggan, mengambil tugas selepas selesai makan malam. Ayah dan emak pula berada di luar rumah. Entah apa yang dilakukan.
 Kak Zaleha berkursus di Pahang selama dua hari,esok baru pulang. Kak Zalehaku itu seorang guru disiplin. Kali pertama Abang Rehan mengkhabarkan pada kami adik beradik tentang tugas kakakku sebagai guru, kami tergelak. Masakan tidak, wajah lembut dan keibuan  kak Zaleha langsung tidak kena dengan tugasnya.
“Mak Su…jomla main dengan kami”. Mior, anak sulung Abang Rehan memanggilku. Haikal turut mengangguk. Abang Rehan tersengih memandangku
“Mak Su mana main benda ni. Dah, anak-anak papa main dulu okey...Papa nak cakap dengan Mak  Su dulu”.
Abang Rehan duduk di meja makan manakala aku menarik kerusi di sebelahnya. “Along nak cakap apa?”.
“Lina okay ke ni? Abang tengok berangan je sejak semalam”.
Aku menggaru kepala. Terlalu menonjolkah sikapku?  “Lina okay je.. Along jangan risau”.
“Nizam ada ganggu Lina tak?”.
Aku menggeleng. Kalau aku bercerita padanya, mahu Abang Rehan menelefon dan menjerkah Nizam malam ini juga.
“Lina jangan risau.. Along, Angah, Alang…kami selalu ada untuk Lina. Tak kiralah  apa yang orang lain hendak kata tentang Lina.. kami adik beradik tak pernah abaikan Lina. Everytime you need to share something, just give us a call”.
Hatiku jadi rapuh. Sunggguh…sekalipun Abang Rehan agak panas baran orangnya, dialah abang yang paling memahami diriku. Nasihatnya membuatkan aku tahu betapa dia mengambil berat. Betapa walaupun sudah berkeluarga, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai abang sulung.
Air mataku bergenang. Kupeluk Abang Rehan erat. Aku sangat menyayanginya. Abang Rehan mengusap kepalaku. Seakan memberi semangat kepadaku. “Along…ada orang lamar Lina..”. Ujarku melepaskan pelukan.
Abang Rehan mengerutkan dahi. “Anak Mak Cik Jenab..?”.
Aku geleng. “Bukan..Bos Lina!!”.
Abang Rehan terus terlopong memandangku. Dia bagaikan terkejut dengan berita itu.
Are you sure!!?”.
“Bos Lina dah beristerikan.?.Dah tua!”.
“Tak…bos Lina dah bertukar!!”. Aku tahu dia tentu menyangka Datuk Razif yang aku maksudkan.
Abang Rehan menarik nafas lega. “Lina setuju?”
“Tak tahu…Lina keliru.. Kami baru kenal.. Lina belum cakap apa-apa lagi pada dia”.
Abang Rehan membisu.
“Tak ada orang lain tahu pasal ni. Along jangan cakap dengan sesiapa tahu terutamanya Alang. Bos Lina tu kawan Alang!!”.
“Kawan Alang? Siapa?”.
“Datuk Rafael!”.
Kening Abangku bercantum dua. “Did you mean Rafael Hamdani Musa?”.
Aku tersentak. Kali ini aku pula yang terlopong dan baru aku ingat Abang Rehan juga berkawan dengan Datuk Rafael. Astagfirullah.. Aku tidak memberitahu Abang Hasif kerana dia adalah kawan Datuk Rafael dan kini nampaknya aku tersilap kata.
 “Rafaelkan? The one who has a daughter named Shahera”. Gesanya.
Aku angguk.
“Along tak tahu nak cakap apa”.
“Lina pun tak tahu, Along. Lina tak sanggup nak tengok muka dia lagi. Lina rasa macam nak berhenti kerja”.
“Lina..jangan campuradukkan kerja dengan urusan peribadi. Be professional”.
“Along tahu Lina masih terluka dengan apa yang Nizam dah buat tapi Lina juga kena faham, Lina perlu cari teman hidup Lina sendiri. Suatu masa nanti, Lina juga perlukan seseorang yang boleh jaga Lina”.
“Lina mandul, long”. Suaraku bertukar sayu. Setitik air mataku jatuh.
Abang Rehan terkedu. Agaknya dia sudah lupa tentang kekuranganku yang satu itu. Tapi tidak bagiku, setiap saat, kurasa ‘kecacatan’ itulah yang memburuku, menghalang kebahagiaan yang ingin aku kecapi. Kerana sewaktu orang lain boleh merasai indahnya membawa nyawa lain, peluang untukku merasai kemanisan itu sudah lama tertutup. Alangkah hibanya hati.
Aku menangis perlahan. Abang Rehan menarik aku ke dalam dakapannya.







No comments:

Post a Comment