Thursday, 30 July 2015

PERMAISURI HATI - BAB 4

PERMAISURI HATI - BAB 4



BERSAMA gelaran baru ini, aku gagahkan hati bekerja, menyara Haikal sendiri. Sekalipun terasa benar lainnya. Kerana jika dulu, kelam kabut aku bangun pagi-pagi menyiapkan keperluan Nizam dan Haikal, sekarang semua itu sudah tiada. Ringan juga bebanku sebenarnya.
Aku menilik diriku di cermin. Hari ini aku memakai baju kurung warna merah hati dan tudung hitam di kepala. Aku solekkan diriku ala kadar sahaja, nanti tak pasal-pasal ada jugak mulut yang mengata. Belum habis edah sudah menggatal tak tentu hala. Aku tersenyum hambar. Begitulah yang sering aku dengar tentang nasib seorang janda. Apakah nasibku juga serupa?
Aku tahu aku harus kuat menempuh hidup ini. Aku perlu buktikan pada Nizam aku bukan wanita yang lemah, yang mudah diperkotak-kotikkan. Aku punya harga diri. Aku bukan seperti dia yang tidak bermaruah, melakukan kerja terkutuk yang dilaknat Allah.
Aku akan tunjukkan kepadanya bahawa aku masih boleh berjalan bebas di bumi Allah ini tanpa ada rasa takut kerana tiada suami yang melindungi di sebelah. Aku masih mampu bergelak ketawa tanpa dia di sisi.
“Mama…”. Haikal menarik hujung lenganku. Aku pandang Haikal yang langsung tidak bersemangat. Maklumlah sekolah baru.. atau mungkin juga kerana tempias demam selama seminggu yang dialaminya.
Aku masih ingat lagi hari pertama aku berpindah masuk ke rumah ini. Pagi itu, Haikal meracau-racau dalam tidurnya. Seperti yang aku jangka, dia demam panas. Terpaksa aku ke klinik berdekatan untuk merawat Haikal.
Haikal rindu ayahnya. Aku yakin itu. Buktinya, sepanjang demam seminggu itu, Haikal meracau-racau memanggil Nizam. Kesian aku melihat anakku itu. Begitu kuat rupanya ikatan kasih antara ayah dan anak sehingga Haikal seakan-akan turut jua merasai perpisahan di antara kami.
“Kenapa dengan anak mama ni, sayang?’”. Aku menyentuh lembut dahinya.
“Ekal tak nak pergi sekolah baru. Ekal nak kawan lama Ekal…nak ayah..”. Kulihat Haikal menahan tangis. Air mataku bergenang. Maafkan mama sayang. Aku tidah mampu berbuat apa-apa.
“Dah, Ekal jangan nangis lagi. Ekal pergi sekolah..nanti dapat kawan baru..kan best. Nanti cerita kat mama tentang kawan Ekal ye”.
Haikal kulihat mengunci mulut.
“Nanti Mak cik ambil Haikal kat sekolah ye. Mama balik petang”. Ujarku merujuk kepada pengasuh barunya, Aunty Zu yang turut tinggal di kawasan perumahan ini.
“Ekal nak ayah..”.
Aku terkedu mendengar permintaannya itu. Buat sekalian kali, aku melepaskan keluhan hiba.

DI pejabat, aku sibukkan diri di bilik. Kerjaku banyak juga tertangguh lantaran aku kerap meminta cuti sejak kebelakangan ini. Aku mahu hidup bahagia dengan kerja-kerjaku ini, tidak mahu fikir apa-apa lagi.
Datuk Razif memintaku ke biliknya tadi. Kusangka apa, rupanya dia mahu mengatakan bahawa dia baru mengetahui apa yang menimpaku. Katanya dia tumpang simpati dan berdoa semoga aku akan sentiasa kuat. Lelaki itu juga memberitahuku supaya  tidak segan meminta pertolongannya jika aku memerlukan sebarang bantuan. Saat aku mendengar nasihatnya, aku merasakan dia seperti seorang ayah yang sedang menasihati anaknya. Sungguh, aku terharu. Dan dalam diam aku tersenyum, dulu aku berdoa supaya dia cepat-cepat bersara, kini hatiku nakal lagi, berdoa pula supaya lambat lagi dia bersara.
“Aku dengar suami dia ada perempuan lain”. Aku yang ketika itu berada di dalam tandas tersentak mendengar perbualan seseorang.
“Ye la…kasihan Puan  Amalinakan”. Allah..! Mereka sedang berbual mengenaiku.
“Ehmm..tapi aku rasa ni mesti salah dia jugak ni”.
“Maksud kau?”.
“Puan Amalina tu kuat sangat kerja, mesti suami dia bosan. Lagipun muka bukan main serius 24 jam..takut aku. Kalau aku pun tak nak jadi suami dia”. Kedengaran ketawa yang sangat menyakitkan hati. Ikutkan hati marah, mahu sahaja aku keluar dan menengking kedua-duanya namun kakiku bagaikan dipaku di lantai. Aku menahan sabar.
Benar kata Abang Hasif, hidup dengan status janda banyak cabaran. Kerana kalau tidak banyak, sikit pun pasti ada yang menuding jari kepada kita. Itu adalah lumrah kehidupan. Tidak guna marah untuk menutup mulut mereka kerana jika tidak di sini, mulut itu akan sedia terbuka untuk mengata di mana-mana sahaja.
Mereka tidak tahu apa-apa tetapi sesedap hati sahaja mahu menuduhku. Aku biarkan air mata laju mengalir di pipi.

No comments:

Post a Comment