Wednesday, 12 August 2015

Akad Kedua - Bab 2





S
EBUAH kereta Mini Cooper S memasuki halaman rumah Haji Rahman. Keluar seorang gadis yang manis bertudung itu dengan senyuman. Sempat juga dia menjeling melihat sebuah kereta mewah yang terpakir di hadapan rumahnya. Tanpa memikirkan pemilik kereta tersebut. Terkedek-kedek dia berjalan masuk ke dalam rumah.
“Terima kasih la Haji, sebab sudi mempertimbangkan hajat saya ni,” ucap lelaki yang sedang berjalan dengan tongkat itu.
“InsyaAllah, Tan Sri…” balas Haji Rahman. Hajah Sakinah tersenyum bersama suaminya sambil mengiringi Tan Sri Junaidi keluar.
“Mak! Ayah!” jerit Dhia sebaik sahaja melihat kedua ibu bapanya itu. Tangan mereka pantas disalam dan dicium. Tak lepas juga kedua pipi milik orang tuanya juga dicium. Memang sudah menjadi kebiasaan buat dirinya. Tanpa dia sedari, perbuatannya itu diperhatikan oleh Tan Sri Junaidi.
“Apa ni Dhia, terjerit-jerit? Tak nampak kita ada tetamu ni?” tanya Hajah Sakinah separuh berbisik.
Dhia Irdina tiba-tiba menjadi malu dengan sikapnya yang melulu tadi. Dia pandang wajah lelaki yang kelihatan sebaya dengan ayahnya, lalu sebuah senyuman manis diberikan. “Minta maaf ye, Pak Cik?” kata Dhia kepada lelaki yang tidak dikenalinya itu.
Hajah Sakinah dan Haji Rahman saling berpandangan mendengar panggilan ‘Pak Cik’ yang keluar dari mulut anak gadisnya itu.
“Tak apa, Pak Cik tak kisah…” balas Tan Sri Junaidi lalu meneruskan langkahnya yang perlahan itu untuk keluar. Haji Rahman segera mengikut dari belakang.
Satu tamparan melekat di lengan Dhia. Segera dia mengadu sakit. Lengannya digosok laju. Boleh tahan pedih tamparan maknya ni!
“Apesal ni mak? Dhia baru aje sampai dah kena dera,” ujar Dhia sedih dan terpinga-pinga.
Sambil menatang talam yang berisi gelas dan kuih, Hajah Sakinah menjawab. “Dhia panggil ‘Pak Cik’ pada orang tadi tu kenapa?” soal Hajah Sakinah bernada kecewa.
Dari belakang, Dhia mengikuti langkah maknya sampai ke ruangan dapur. “Yelah… Dhia tak kenal pun siapa dia. Takkan la Dhia nak panggil ‘abang’ kut? Ew… Geli tengkuklah!”
Dhia memegang tengkuknya. Meremang sekejap bulu romanya jika itu yang sepatutnya dia panggil pada lelaki tadi. Mati hidup balik pun dia takkan panggil ‘abang’ pada lelaki tua seperti itu. “Lagipun, mak sendiri dengar yang dia sendiri gelar diri dia ‘Pak Cik’? Jadi, apa masalahnya?” tanya Dhia.
“Orang yang Dhia panggil ‘Pak Cik’ tu sebenarnya berpangkat Tan Sri. Dah tentulah kita kena panggil ‘Tan Sri’,” kata Hajah Sakinah.
“Nak buat macam mana, dah Dhia tak tahu. Panggilan ‘Pak Cik’ tu pun dikira baguslah. Tengok Tan Sri tadi pun tak kisah, yang mak pulak terlebih kisah.”
Dhia duduk di meja makan. Rasa tidak adil kerana dia dihukum gara-gara memanggil lelaki yang dikatakan berpangkat Datuk tadi dengan panggilan ‘Pak Cik’.
“Kenapa muka anak ayah yang cantik tiba-tiba bertukar jadi itik ni. Muncung bukan main panjang lagi,” tegur Haji Rahman yang tiba-tiba muncul di dapur.
“Mak ni ha tampar Dhia, sebab panggil Tan Sri tadi tu ‘Pak Cik’.” Dhia mengadu. Haji Rahman memandang isterinya.
Hajah Sakinah sudah dapat menangkap maksud pandangan mata suaminya. “Yelah… Mak mintak maaf. Takkan itu pun nak merajuk? Dah boleh jadi mak budak pun nak mengadu lagi. Macam mana nak kahwin ni?” ujar Hajah Sakinah sambil meletakkan sepiring karipap di atas meja untuk anaknya.
“Ayah… tengok la mak tu! Cari pasal lagi…” sekali lagi Dhia mengadu.
“Sudah-sudah la tu,” tegur Haji Rahman kepada isterinya yang sudah duduk di sebelah.
Anak sulungnya ini memang manja dengannya sejak kecil. Biarpun diluar dilihat matang dan cekal dalam menghadapi sesuatu perkara, siapa tahu hati Dhia Irdina ini lembut seperti agar-agar. Mudah terasa dan berkecai.
“Dhia tak kenal dengan Tan Sri Junaidi?” tanya Haji Rahman.
Dhia pantas menggelengkan kepala. “Dalam Malaysia ni banyak lagi yang berpangkat Tan Sri la, ayah. Tan Sri Junaidi tu, entah berpuluh-puluh orang nama macam dia,” jawab Dhia sambil mengunyah karipap buatan maknya itu. Memang tersedap di dunia!
“Setahu ayah, Tan Sri Junaidi tu salah seorang jutawan kat Malaysia ni. Ada bisnes bukan main besar, tapi sekarang anak dia yang ambil alih bisnes tu,” cerita Haji Rahman.
“Patut kereta dia bukan main besar lagi kan, ayah?”
Haji Rahman mengangguk.
“Siap dengan driver lagi,” tambah Hajah Sakinah.
“Ha! Kenapa Tan Sri Junaidi tu boleh datang ke rumah kita. Ayah dengan mak ada buat bisnes dengan dia ke?” soal Dhia. Hairan juga dia jika lelaki yang dikatakan jutawan itu boleh datang ke rumahnya. Sudi jugak dia jejakkan kaki di kampung ni.
“Boleh dikatakan besar jugak bisnes kita tu kan, bang? Beratus-ratus ribu!” ujar Hajah Sakinah sambil menjeling melihat Dhia Irdina yang sudah terlopong mulut mendengarnya. Sengaja mahu kenakan anaknya.
“Betul ke, ayah?” Dhia begitu teruja.
Tiba-tiba riak wajahnya berubah.
“Tunggup sekejap! Bisnes apa sebenarnya ni? Jangan-jangan dia penipu. Kaki kikis duit orang-orang kampung yang tak tahu apa-apa. Mak dengan ayah jangan risau, lepas ni biar Dhia sendiri yang siasat. Kalau Dhia dapat tahu, orang tua tak sedar diri tu penipu dan kaki kelentong. Dhia robek-robek bijik mata dia!” ujar Dhia. Gayanya sudah seperti perwira yang berjanji akan membawa keamanan kepada negara.
“Dhia… Tak baik, belum apa-apa dah menuduh orang yang bukan-bukan. Ayah kenal siapa Tan Sri Junaidi tu. Dah banyak kali dia datang sini jumpa ayah. Dia ke sini, sebab ada urusan. Dia berhajat nak beli tanah pusaka milik keluarga ayah yang dekat Ipoh tu,” beritahu Haji Rahman.
Dhia tersenyum. Sekali lagi dia malu, tapi kali ini kerana tuduhannya yang melulu. Astafirullahal’azim. Ampunkan aku, Ya Allah!
“Owh... Jadi, ayah setuju nak jualkan ke?” tanya Dhia sekadar ingin tahu.
“Ayah mintak waktu. Tanah tu… tanah pusaka. Tak boleh la ayah yang buat keputusan sendiri. Kena la tanya pada waris yang lain jugak sama ada setuju atau tidak,” balas Haji Rahman.
Dhia Irdina diam tanda mengerti. Karipap ditangan dihalakan ke mulut. Masuk ini, sudah tiga biji dia telan.
“Kak Dhia!!!” jeritan Wana sudah di ruang tamu sudah dapat didengar kuat oleh mereka tiga beranak yang berada di dapur. Hampir tersedak Dhia dibuatnya.
“Apa ni, Wana… Masuk rumah aje menjerit? Bagilah salam dulu. Elok la dua beradik, sama aje perangai. Pening kepala mak fikirkan anak dara dua orang ni,” ujar Hajah Sakinah sejurus anak keduanya itu masuk ke dapur.
“Maaf ye semua? Assalammualaikum?” ucap Wana sebelum mengambil tempat di sebelah kakaknya.
“Waalaikumussalam…” segera mereka bertiga menjawab.
“Kak Dhia balik kenapa tak bagitahu?” Muncung saja bibir Wana semasa mengajukan solan itu. Sama seperti muncung yang kakanya selalu buat.
“Malaslah nak bagitahu. Nanti adalah budak tu nak menghabiskan duit orang kirim itu dan ini,” perli Dhia.
Wana menarik muka. “Ish, kedekut punya orang...”
Haji Rahman tersenyum melihat kedua anak gadisnya itu. Hajah Sakinah pula menggelengkan kepala.
“Abang nak kopi? Kinah buatkan…” tanya Hajah Sakinah.
“Abang dah kenyang minum dengan Tan Sri, tadi. Abang ingat nak ke rumah Kak Kiah ni. Ada nak kirim apa-apa tak?”
“Ha, elok sangatlah tu. Boleh la Kinah bekalkan karipap ni. Rumah Kak Kiah tu ramai, sebab tu sengaja Kinah buat banyak karipap ni. Ingat nak suruh abang hantarkan la,” ujar Hajah Sakinah.
Pantas dia bangun dan memasukkan karipap-karipap ke dalam sebuah bekas. Setelah siap, diberikan bekas itu kepada suaminya.
“Hati-hati bawak motor tu abang,” pesan Hajah Sakinah.
“Yelah…” balas Haji Rahman.
Sampai di pintu rumah, kelihatan Saiful sedang menunggang motosikal masuk ke halaman rumahnya.
“Assalammualaikum…” laung Saiful setelah enjin moto kapcai peninggalan arwah ayahnya itu dimatikan.
“Waalaikumussalam. Ha, Epol… Bila kamu balik?” Tanya Haji Rahman.
“Tengahari tadi sampainya, Pak Ngah. Saya nak ke kedai, tapi ternampak pulak kereta Dhia. Itu yang saya singgah ni,” ujar Saiful. Senyuman di bibirkan sentiasa terukir.
“Dhia! Epol datang ni!” beritahu Haji Rahman. Suaranya kuat melaung. “Pak Ngah nak ke rumah kamu sebenarnya. Tak apalah, kamu masuk aje. Dhia ada kat dalam tu. Di dapur,” suruhnya pula.
Perlahan Saiful masuk ke dalam. Dia sudah biasa dengan rumah ini. Rumah nombor dua selepas rumah maknya yang hanya selang beberapa buah rumah dari sini.
“La…, bila Abang Epol balik?” Tanya Wana bila dia ternampak Saiful di ruang tamu. “Wana ingatkan apalah yang ayah terjerit-jerit tadi.”
“Tengahari tadi. Erm… Kak Dhia mana?”
Wana tersenyum mengusik. “Abang Epol memang pantang dapat tahu Kak Dhia balik, kan? Asyik nak berkepit aje kerjanya. Jangan tak jadi majlis esok sudahlah, ye?”
Saiful tersenyum. Dia faham makna tersirat yang terkandung di sebalik kata-kata sepupunya yang baru menjangkau usia 21 tahun itu. “Kalau tak jadi, kira ada harapan la Wana nak jadi adik ipar Abang Epol…” Saiful seolah masih mengharap.
“Uish… kelam kabut la Mak Long nanti kalau mulut Abang Epol tu betul-betul masin,” balas Wana.
“Abang Epol duduk dulu… Wana ke dapur panggil Kak Dhia.”
“Yelah… terima kasih,” ucap Saiful sebelum Wana pergi.
“Sama-sama…” balas Wana dari jauh.
Sampai Dapur, Wana melulu ke arah kakanya. “Kak Dhia…” panggilnya. Namun, kakaknya itu diam saja tidak menyahut.
Ish! Pekak ke apa dia ni? Gumam Wana dalam hati. “Kak Dhia!!!” jerit Wana dekat dengan telinga kakaknya.
“Oitt… Gajah terbang!” Dhia melatah. Cawan yang sedang dicuci terus dilepaskan semula ke dalam sinki.
Wana ketawa seperti mahu pecah perut. Entah zaman bila kakaknya ini pandai melatah.
Dhia mengetap bibir. Geram melihat adiknya yang sedang ketawa suka itu. “Ha! Seronok buat akak terkejut? Bersyukur ajelah akak tak hempap cawan kaca tu atas kepala adik!” marah Dhia lalu menyambung mencuci pinggan mangkuk yang penuh di dalam sinki itu.
“Eleh… Itu pun nak marah. Dia tu yang pekak. Tahu la akak tu seorang yang fokus apabila melakukan sesuatu kerja. Tapi, jangan la sampai orang panggil pun tak dengar. Cuci pinggan, fokusnya tu mengalahkan orang yang tengah buat eksperimen belah katak,” kata Wana sambil memeluk tubuh. Belakangnya pula disandarkan di kabinet dapur.
“Akak tak marah la… Akak sayang. Tapi, lain kali jangan la buat macam tu. Buatnya masa tu akak tengah pegang pisau ke apa maca mana? Akak boleh jadi anak tunggal tau!” balas Dhia.
Wana diam. Faham makna tersirat di sebalik kata kakaknya itu. “Erm, yelah… Sorry,” ucap Wana. Dhia pula hanya tersenyum.
“Tak nak tanya ke kenapa Wana panggil akak ni?” soal Wana.
“Kenapa?” tanya Dhia.
“Abang Epol… Dia ada kat ruang tamu tu. Pergi la… dia nak jumpa dengan akak.”
Dhia terus berhenti mencuci. Paip air segera ditutup. “Serius?!” tanya Dhia seakan tidak percaya.
“Yelah…” jawab Wana sepatah.
Dhia segera mencabut apron yang dipakainya keluar dan disarungkan kepada tubuh Wana. Terperanjat Wana dengan kelakuan kakaknya.
Dhia tersenyum. “Tolong sambung cuci pinggan mangkuk ye?” kata Dhia kepada adiknya lalu keluar dari ruangan dapur dengan memakai selendang.
Aiseh… Apalah nasib aku?” Wana membuka paip air. Satu pinggan di dalam sinki diambil.
 “Beginilah nasib, diriku yang malang… Oh, Tuhan…” Sempat Wana menyanyikan satu lirik lagu nyanyian arwah P. Ramlee sambil menyambung mencuci sisa pinggan mangkuk yang ditinggalkan oleh kakaknya.
*****
DHIA menghayun perlahan buaian kayu yang dibuat oleh ayahnya di pokok mangga yang terletak di sebelah rumah. Dhia tersenyum-senyum sambil memandang Saiful yang duduk di atas batang pokok kelapa yang sudah rebah ditebang beberapa minggu yang lalu.
Sekali sekala dapat melepak dan berbual di sini sangat menyeronokkan. Tempat ini sudah seperti menjadi port wajib untuk mereka kunjungi jika sama-sama balik ke kampung.
“Kukuh lagi buaian ni ye? Tak bahaya ke?” soal Saiful sambil mengoyang-goyang tali buaian itu. Terkejut Dhia dibuatnya.
“Eh, mesti la kukuh… biarpun dah bertahun,” jawab Dhia. Dia menghayunkan semula buaian menggunakan kakinya.
“Bukan apa… dah nama pun sudah bertahun, orang yang duduk tu pun mesti la semakin berat,” ujar Saiful.
Dhia mengetap bibir. Terasa sangat mendengar perkataan ‘berat’ itu. “Kau perli aku ek?” Dia tunduk melihat badannya. Tak ada la besar pun. Rasanya, dari sekolah menengah sampai la sekarang… badannya tak besar-besar jugak. Pembesaran di tempat lain tu ada la. Hehehe.
Saiful tersengih. Sebatang ranting yang dipegangnya itu dikais-kais di atas tanah. Seperti menulis sesuatu, tapi tak nampak muncul apa-apa perkataan pun.
“Kau mesej, kata nak balik minggu depan. Ke… aku yang tersalah baca mesej kau?” tanya Dhia yang lebih selesa membahasakan diri mereka sebagai ‘aku’ dan ‘kau’ kerana usia mereka hanyalah berbeza setahun. Saiful 30 tahun, manakala Dhia 29 tahun.
“Betul la… memang kalau ikut perancangan minggu depan. Tapi, banyak pulak hal yang aku nak uruskan di kolej tu. Dengan pelajar-pelajar nak final exam lagi. So, terpaksalah dipercepatkan pertunangan. Lepas ni, memang susah la aku nak dapat cuti,” cerita Saiful.
Kerjayanya sebagai seorang pensyarah di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur. Jika dilihat cara dia berpakaian sekarang ni ditambah pulak tunggang moto kapcai buruk tu, memang susah orang nak percaya dia ni seorang yang berpendidikan dan mempunyai kerjaya yang baik.
Kata Saiful, inilah gaya dia apabila dia di kampung. Dia pun dah penat setiap hari memakai kemeja dan tali leher. Di kolej, dia adalah di dalam senarai pensyarah yang paling handsome dan cool. Dhia juga tidak terlepas. Apabila di kampung dia akan sentiasa berkain batik, tapi itu hanyalah apabila dia berada di sekitar rumahnya. Keluar sahaja dari border rumah, automatik dia akan menukar.
“Bertunang?!” Dhia terperanjat. Hayunan buaian pantas dihentikan. Adakah dia salah dengar? Kenapa mak, ayah dan Wana tak beritahu dia apa-apa pun?
“Yelah, bertunang. Kau tak tahu ke? Bukan ke hari tu aku ada call kau beritahu.” Saiful memandang Dhia penuh kehairanan.
Dhia diam sejenak. Cuba mengingati kembali panggilan telefon yang dikatakan oleh Saiful itu. Beberapa saat kemudian…
“Ha! aku ingat, tapi ingat-ingat lupa apa yang kau cakap dalam telefon tempoh hari, aku mengantuk sangat la masa tu…” ujar Dhia.
Dia ingat lagi, masa itu dia baru balik dari berjoging pada waktu petang. Entah macam mana dia tertidur di ruang tamu rumah sewanya. Pada masa itulah, dia rasa seperti separuh sedar sahaja menjawab panggilan daripada Saiful. “Dengan siapa kau nak bertunang? Setahu aku… kau tak pernah bercinta pun.”
“Dengan kawan lama aku semasa di USM dulu, Nadia. Kami terjumpa semula semasa hadiri satu kursus tiga bulan lepas di Kelantan,” beritahu Saiful.
Dhia mengambil seketul batu kecil di bawah, lalu dibaling kepada Saiful. “Ish! Bagusnya kau.... Bercinta. Lepas tu, tup-tup dengar nak bertunang pulak? Sikit pun kau tak cerita kat aku kan?” Dhia memerli.
Bibirnya dimuncungkan. Entah kenapa Dia rasa dipinggirkan. Selama ini, Saiful tidak pernah merahsiakan apa-apa dari pengetahuan dirinya. Tidak ditanya pun, pasti dengan sendiri Saiful akan bercerita biarpun kadang-kadang tu, Dhia sendiri rasa malas nak dengar.
“Ala… Aku tengah nak cerita la ni. Jangan la merajuk. Cair betul la hati aku tengok muka monyok kau tu. Comel semacam aje. Geramlah aku tengok!” ujar Saiful sambil cuba memujuk gadis di sebelahnya ini.
“Aku tak merajuk la… Aku cuma terkilan, sebab jadi orang terakhir yang tahu pasal hal ni,” kata Dhia sambil memeluk tubuh.
“Mana ada… Apa-apa pun kau orang pertama yang aku cerita tau. Kau juga orang pertama yang aku lamar dan orang pertama yang tolak lamaran aku.” Saiful mengingatkan kembali.
Dhia memandang Saiful penuh simpati. Ada rasa bersalah yang dia rasakan apabila melihat wajah yang berada di sebelahnya ini. Tapi, dia yakin bahawa Saiful seorang yang memahami.
“Yelah… Waktu tu aku terlalu sibuk dengan kerjaya aku yang masih tak tetap tu, dan aku belum bersedia nak pikul tanggungjawab yang lain. Kau tahu, kan? Aku kalau boleh nak jadi seorang isteri yang baik dan solehah buat suami aku nanti,” ujar Dhia yang sudah lama memasang matlamatnya.
“Tapi kan… Kalau kau lamar sekarang mesti aku terima,” tambah Dhia lagi.
Saiful mendongak memandang Dhia. “Kalau macam tu… aku masuk meminang kau ajelah esok!”
            Tersembur ketawa Dhia mendengar rancangan yang boleh dikatakan gila tu. Sebenarnya dia hanya bergurau. Sengaja mahu melihat reaksi Saiful. Tidak sangka pula itu yang dibalas oleh Saiful. Jika betul Saiful serius, memang masak la dia!
            “Kau nak kena ganyang dengan mak kau? Kalau berani, kau buatlah!” Dhia memberi peringatan.
            “Ish, tak nak la aku! Mak aku kalau dia dah naik angin monsun, sekali dengan aku terbang campak kat laut.” Saiful menggelengkan kepala. Gerun pula memikirkannya.
 Jauh di sudut hatinya, dia masih ada keinginan untuk memiliki gadis yang bernama Dhia ini. Tetapi, semuanya sudah terlambat. Dia harus kuburkan perasaan itu dalam-dalam. Mungkin memang tiada jodoh diantara mereka.
“Eh, kali ni kau balik sekejap ke lama?” soal Saiful.
“Lama jugak… Aku dah berhenti kerja kat Penang tu. Pelan-pelan aku angkut barang-barang bawak balik sini,” beritahu Dhia.
Bukan dia tidak betah bekerja dan tinggal di sana, cuma apa yang ditawarkan ini lebih baik dari kerja yang sebelumnya. Dhia juga bersyukur kerana selepas tamat sahaja buat master di Universiti Malaya, banyak sekali tawaran temuduga yang dia dapat.
“Habis tu lepas ni, kau nak buat apa?” tanya Saiful. Sebenarnya dia sudah tahu bahawa Dhia mahu berhenti kerja. Tapi, tidak sangka pula dalam masa terdekat ini.
“Aku pergi KL la. Aku kan dapat tawaran kerja sebagai setiausaha kat sebuah syarikat di sana.”
“Wah… Lepas ni, selalu la kita jumpa. Urm, bila kau nak pergi sana?” tanya Saiful lagi. Gembira dia setelah dapat tahu Dhia akan ke Kuala Lumpur.
“Awal bulan depan. Sekarang aku nak rilek-rilek dulu kat kampung, hirup udara segar lagi nyaman seperti sekarang ni sebelum balik semula ke tempat yang penuh dengan kesesakan tu!” kata Dhia. Dia sudah dapat rasakan suasana kesibukan di kota, terutama sekali di ibu negara seperti bandar Kuala Lumpur itu.
“Nanti di sana kau nak tinggal mana? Susah tau kalau last minutes baru kau nak cari rumah sewa. Kalau kau nak, hari rabu ni aku balik sana, aku tolong carikan rumah yang sesuai untuk kau sewa.” Saiful menawarkan pertolongan memandangkan dia mempunyai ramai kenalan di sana.
“Terima kasih la, Epol… Soal di mana aku nak tinggal tu, kau jangan risau. Aku ada kawan kat sana. Aku dah telefon beritahu dia pasal hal ni. Dia pulak, ajak aku tinggal dengan dia,” ujar Dhia sambil tersenyum. Saiful juga tersenyum lega mendengarnya.
            Bunyi menandakan ada mesej yang baru sampai membuatkan Saiful terus mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket seluar. “Aduh!” Saiful menampar dahinya selepas membaca mesej tersebut.
            Dhia menjongketkan keningnya. Hairan melihat kelakuan Saiful. “Kau dah kenapa?”
            “Aku lupa yang aku nak ke kedai beli barang-barang yang diorang pesan tadi. Nasib baik Kak Anis mesej,” beritahu Saiful yang sudah bangun dari situ. “Aku pergi dululah… Kang nanti, mengamuk pulak Kak Anis tu.”
            “Yelah… pergilah cepat!” balas Dhia.
Saiful terus melangkah pergi. Baru sahaja beberapa langkah, Saiful berhenti dan menoleh ke arah Dhia. “Dhia… Esok, kau jangan lupa datang rumah aku tau,” pesannya.
            “Jangan risau… Esok pagi-pagi buta lagi aku terpacak dalam rumah kau macam tiang bendera Malaysia,” ujar Dhia lantang. Saiful mengangkat ibu jarinya tanda suka dengan jawapan Dhia.
            “Eloklah tu… Jangan kau pulak yang membuta,” sindir Saiful sebelum meneruskan langkahnya.
            Dhia mencebik bibir sambil menayang satu penumbuk kepada Saiful. Dia dengar apa yang dikatakan oleh Saiful tadi. Sempat lagi nak cari pasal! Dari jauh dia lihat Saiful tersenyum suka.
            Setelah lelaki itu hilang dari pandangan bersama moto kapcai itu, Dhia tersenyum sendiri, lalu menggelengkan kepala. Nama saja mereka berdua ni dah dewasa, tetapi bila berjumpa perangai kebudak-budakan masih tidak hilang.
            Dhia memandang tempat Saiful melabuhkan punggungnya tadi. Tiba-tiba, dia terperasankan sesuatu yang tidak berapa jelas jika dilihat dari sini. Pantas dia bangun dari buaian dan melihat dekat-dekat permukaan tanah itu.
            “Dhia…” sebut Dhia setelah melihat perkataan yang terlakar di atas tanah itu. Dia yakin, pasti Saiful yang melakarkannya menggunakan ranting yang dipegangnya tadi.
Tapi, kenapa nama aku? Dhia tertanya, meskipun jawapannya dia sendiri sudah tahu bahawa Saiful pernah menyanyangi lebih dari seorang sepupu.



No comments:

Post a Comment