T
|
AN
SRI JUNAIDI melangkah keluar bersama
tongkatnya yang sentiasa diusung ke sana ke mari setelah pintu kereta belakang dibuka
oleh pemandunya. Dengan berhati-hati dia berjalan perlahan masuk ke dalam
rumah. Liar bebola matanya melihat sekitar dalam rumah yang luas itu. Gayanya
seperti mencari seseorang.
Tan Sri Junaidi menoleh memandang pembantu
rumahnya yang sedang menutup daun pintu. “Mak Som... Mana Khuz?” tanya Tan Sri
Junaidi. Melihat kereta Audi TTs yang terpakir di garaj tadi, dia tahu anak
lelaki tunggalnya itu ada di sini.
“Khuz di atas dalam
bilik, Tan Sri. Katanya nak mandi,” beritahu pembantu rumah wanita yang berusia
separuh abad itu yang senang dipanggil Mak Som.
“Abi…” tegur Khuz yang
tiba-tiba muncul. Tangan abinya diambil dan dikucup penuh hormat.
“Ha, Khuz… Dah lama ke
kamu sampai sini?” soal Tan Sri Junaidi.
Sambil mengekori
langkah perlahan abinya ke ruang tamu, dia menjawab. “Baru aje sampai, abi. Lebih
kurang tiga puluh minit. Balik dari pejabat, terus Khuz bertolak ke sini.”
Tempoh tiga jam untuk
dia sampai di Ipoh dari Kuala Lumpur tidak lagi terasa lama kerana dia sering
berulang alik ke sini. Dalam tidak sedar, sudah hampir dua tahun abinya menetap
di Ipoh.
Khuz duduk di sofa
menghadap abinya yang bercermin mata itu. “Khuz sampai sini aje tengok abi takde.
Mak Som cakap, abi ke Teluk Intan.” ujarnya.
“Memang abi ke sana…
Ada urusan yang abi perlu selesaikan,” jelas Tan Sri Junaidi yang sedang
bersandar di sofa.
Berkerut dahi Khuz
memikirkan urusan yang dikatakan oleh abinya. Mustahil ada kaitan dengan Green
Holdings kerana semuanya sudah diserahkan bulat-bulat kepada dirinya untuk
diuruskan.
“Urusan apa tu, abi?”
soal Khuz. “Sejak kebelakangan ni, Khuz rasa abi kerap sangat ke sana. Abi tu
kan tak sihat. Duduk ajelah di rumah, berehat. Semalam, Mak Som telefon Khuz beritahu
darah tinggi abi naik. Tak senang duduk Khuz kat KL tu fikir pasal abi.”
“Kamu tahu kan ada
tanah terbiar kat sebelah rumah kita ni?”
Khuz
mengangguk. “Tahu… Kenapa dengan tanah tu?” soalnya kehairanan.
“Abi nak beli… Jadi,
Abi ambil keputusan untuk berjumpa dengan pemilik tanah tu sendiri. Sebab
itulah abi kerap ke sana,” terang Tan Sri Junaidi lagi. Duit yang ada baginya
bagus jika digunakan untuk melabur dengan membeli aset, seperti tanah.
Bukan beerti dia tamak
mengumpul harta dunia. Harta untuk akhirat juga dia seimbangkan dengan
menggunakan kelebihan serta kemewahan yang dia miliki.
Setiap tahun dia akan
menaja tiga puluh orang yang tidak berkemampuan untuk menunaikan haji. Selain
itu, menjadi pemberi dana tetap kepada beberapa buah rumah anak yatim dan juga
warga emas di beberapa buah negeri di Malaysia ini.
Keikhlasan pemberiannya
itu dapat dilihat dengan tidak menghebohkan setiap amal kebajikan yang dibuat
kepada umum. Segalanya diberi secara peribadi tanpa balasan.
“Apa-apa pun, Abi
beritahu aje pada Khuz. Kalau tak mahu beritahu pun, abi upah la sesiapa
uruskan hal pembelian tanah tu. Tak payah la abi bersusah payah,” Khuz masih
lagi dengan kerisauannya terhadap kesihatan abinya itu. Hanya itulah
satu-satunya keluarga yang dia ada di dunia ini.
“Buat apa buang duit
nak bayar upah segala? Abi boleh uruskan sendiri. Lagipun, abi bosan duduk
rumah tak buat apa-apa. Kamu tak payah la risau. Duduk rumah 24 jam pun bukan
boleh baik. Tambah tekanan pada abi lagi, adalah.” Tan Sri Junaidi bangun
dengan bantuan tongkatnya.
“Abi nak pergi mana ni?”
tanya Khuz. Risau jika orang tuanya itu terasa hati dengan kata-katanya yang
sering melarang melakukan sesuatu yang dikira boleh saja diserahkan kepada sesiapa
yang mampu melakukannya.
“Dah nak masuk Maghrib.
Abi nak masuk mandi lepas tu solat. Nanti kita makan malam sama-sama,” ujarnya
sebelum berlalu pergi.
Khuz melepaskan keluhan
berat. Memandang sepi langkah abinya yang perlahan itu. Memang tidak ada sesiapa
dapat menghalang kemahuan abinya itu. Bukan dia tidak mahu faham, tapi dia
khuatir setiap kali memikirkan kesihatan abinya.
Dia tidak mahu kejadian
lima tahun dahulu berulang kembali, di mana abinya tiba-tiba diserang strok.
Sebelah badannya lumpuh dan bergerak hanya menggunakan kerusi roda. Mujurlah
keadaan selepas itu semakin baik. Perlahan-lahan, abinya dapat berjalan dan
bercakap seperti biasa. Cuma kakinya sahaja seperti lemah dan perlu menggunakan
bantuan daripada sebatang tongkat.
Semenjak dari itu jugalah,
dia membuat keputusan untuk mengambil alih Green Holdings dan memberi peluang
kepada abinya untuk berehat.
*****
MAK
SOM sibuk menuang air ke dalam gelas untuk
dua beranak yang sedang enak menjamu selera di meja makan. Satu gelas diletakkan
di atas meja berhadapan dengan Khuz dan kemudian satu lagi diletakkan di
hadapan Tan Sri Junaidi. Setelah selesai tugasnya, Mak Som kembali ke dapur.
“Macam
mana dengan Green Holdings sekarang ni? Hari tu Datin Azizah telefon dan dia ada
beritahu abi, kamu dapat projek besar di Indonesia. Betul ke?” Pertanyaan Datuk
Junaidi memecah kesunyian yang sementara itu.
“Abi…
tak payah la cakap pasal Green Holding kat sini. Dekat sana sibuk dengan Green
Holdings, balik sini abi pulak bertanya pasal Green Holdings. Bosan la, abi… Kita
lupakan sekejap pasal syarikat. Apa kata kita sembang pasal hal lain yang tak
ada kaitan langsung dengan Green Holdings, boleh?” pinta Khuz.
Sebolehnya,
dia tidak mahu berbicara soal Green Holdings apabila dia balik ke Ipoh. Jika
terdapat masalah sekalipun yang berkaitan dengan syarikat, dia akan sedaya
upaya selesaikannya sendiri. Dia sudah anggap itu semua sudah menjadi kewajipan
dirinya untuk mengekalkan kemajuan Green Holdings yang merupakan titik usaha
abinya selama ini.
“Kamu
ada jumpa Liya, kan?”
Tak
tertelan rasanya makanan yang sedang dikunyah itu apabila nama bekas isterinya
itu meniti keluar dari mulut abinya.
Biarpun
jauh di Ipoh. Semua perkara yang berlaku di Kuala Lumpur lebih-lebih lagi
tentang anaknya, pasti akan sampai di pengetahuannya. Ditambah pula isu-isu
panas dan kontroversi yang berkaitan dengan bekas menantunya yang popular itu
sering disiarkan di surat khabar dan juga kaca televisyen.
“Ada.
Tapi, bukan Khuz yang pergi jumpa dia. Dia sendiri yang datang cari Khuz.” Khuz
berterus-terang biarpun dia tahu abinya tidak menyukai Daliya.
“Abi
tak suka kamu berjumpa dengan Liya. Macam-macam cerita tak elok keluar pasal
bekas isteri kamu tu selepas kamu berdua bercerai, malah lebih teruk. Abi tak
mahu kamu terlibat sama. Kamu dah takde
kaitan lagi dengan dia,” ujar Tan Sri Junaidi sambil menikmati makan malamnya.
“Ye…
Khuz tahu abi. Tapi, Khuz memang tak boleh nak halang dia. Kalau kaki dia tu
Khuz boleh ikat, dah lama Khuz buat.” Khuz membalas. Memang bukan keinginan
dirinya untuk bersua muka dengan Daliya. Perempuan itu sahaja yang tak
reti-reti untuk pergi terus dari hidup dia.
“Kamu
tu, semakin hari bukan semakin muda. Dah 31 tahun. Kamu tak bercadang nak
kahwin lagi ke?” tanya Tan Sri Junaidi tiba-tiba. Satu lagi soalan yang
membuatkan makanan sekali lagi tersekat di tekak Khuz. Ha’ish, boleh mati
tercekik ni!
Sejujurnya
dia sudah serik untuk berumahtangga lagi setelah apa yang dia pernah alami. Dia
takut untuk menyesal buat kali yang kedua. Baginya, sendiri itu lebih baik.
“Khuz
malas nak fikir lagi la abi soal tu. Khuz rasa lebih selesa dengan kehidupan yang
sekarang ni. Bebas, tak payah nak bertikam lidah setiap masa. Tak payah
tanggung dosa isteri. Itu yang penting,” jawab Khuz yang sudah memasang tekad
untuk terus membujang.
Tan
Sri Junaidi meletakkan pandangannya kepada Khuz. Mahu disalahkan anaknya, tapi
semua itu sudah pun berlaku. Tidak guna jika dia membangkitkan kembali atas apa
yang pernah terjadi. Dia faham hati anaknya ini sudah terlalu terluka.
“Tapi,
abi tak selesa tengok kamu tak lengkap tanpa seorang isteri dan keluarga. Kamu
tu, anak abi satu-satunya. Penyambung warisan keluarga. Jadi, siapa lagi nak
berikan keturunan kalau bukan kamu? Abi ni dah tua, berpenyakit pulak tu.
Sebolehnya, abi nak tengok la kamu ni berkeluarga. Bahagia macam orang lain.”
Suapan
nasi ke mulut semakin perlahan. Khuz hanya mendiamkan diri tanpa membalas
pandangan mahupun kata-kata abinya. Kemahuan abinya untuk dia beristeri pernah
ditunaikan, tapi bukan kebahagiaan yang diperlihatkan. Mungkin silap dia kerana
salah memilih pasangan dan membuatkan semuanya hancur dalam tempoh dua tahun.
“Kalau
susah sangat untuk kamu cari calon isteri, biar abi saja yang carikan. Anak kawan-kawan
abi pun ramai. Semuanya cantik-cantik belaka,” sambung Datuk Junaidi dengan
memberi cadangan.
“Tak
payah la, abi. Abi tu kan tak sihat. Kalau ada lagi jodoh, Khuz kahwin la. Abi
tak payah la risau pasal hal tu...” Khuz bersuara. Di hatinya mula bimbang jika
apa yang dikatakan oleh abinya itu benar-benar dilakukan. Apa yang dia perlu
buat?
“Abi
ni bukan orang tua yang terlantar sampai tak boleh nak bergerak atau bercakap.
Penyakit ni bukannya setiap hari datang. Takpe
kalau kamu tak mahu abi carikan. Tapi, kamu sendiri yang kena cari. Abi mahu
secepat mungkin,” kata Tan Sri Junaidi. Kedengarannya begitu serius sekali.
“Yelah,
abi…” Khuz akur dengan arahan abinya. Malas mahu melawan. Dengan ini, boleh la
membuatkan abinya diam daripada membincangkan tentang hal yang baginya sangat
menyemakkan kepalanya.
Hati
abinya perlu dijaga sentiasa. Cukuplah dengan permasalahan rumahtangga dan
penceraian antara dia dan Daliya sebelum ini menjadi bebanan fikiran abinya
itu.
“Erm…
esok petang, Khuz dah nak balik KL. Hujung minggu ni kalau tak ada apa-apa Khuz
balik sini lagi,” beritahu Khuz.
“Elok
sangatlah tu. Tak payah la risau pasal abi kat sini. Mak Som kan ada? Doktor
Hadi pun, dua tiga kali dalam seminggu datang rumah ni periksa kesihatan abi,”
ujar Tan Sri Junaidi.
Khuz
diam tidak membalas.
Memang benar ada orang-orang
yang dia harapkan untuk memantau kesihatan abinya dari semasa ke semasa.
Sebagai seorang anak, dia rasa tidak puas jika tidak dilihat dengan mata
kepalanya sendiri keadaan abinya yang sebenar biarpun dia acapkali menghubungi
abi atau Mak Som di rumah ini. Dia takkan maafkan diri sendiri sekiranya
terjadi apa-apa kepada abi sepertimana dia tidak dapat memaafkan dirinya
setelah apa yang terjadi pada arwah uminya lima belas tahun dahulu.
No comments:
Post a Comment