Hari kedua menemani Puan Mariam, Qistina diperkenalkan
kepada doktor peribadi Puan Mariam, Dr. Ilyas Khan. Qistina tidak menyangkakan
bahawa doktor yang menziarahi Puan Mariam dua kali seminggu merupakan doktor
muda warganegara Britain berketurunan Pakistan. Orangnya tinggi, kacak dan
pemurah dengan senyuman. Terlintas di hati Qistina seketika bahawa sekiranya
pemuda ini tidak menjadi seorang doktor, pastinya dia akan disambar menjadi
model atau hero filem Bollywood. Begitu terserlah aura dan ketampanannya.
Dr. Ilyas Khan melangkah masuk ke dalam bilik Puan Mariam
tepat jam 9.00 pagi diiringi Ian Iskandar dan Natalie Brown. Qistina bersama
Puan Mariam baru selesai bersarapan pagi. Terpegun Qistina seketika memandang
wajah Dr. Ilyas Khan sebelum bangun untuk meninggalkan bilik Puan Mariam
memandangkan ini merupakan sesi rawatan yang tidak memerlukan kehadiran Qistina.
Dia juga merasakan terlalu ramai di dalam bilik itu dan tidak mahu berada dalam
ruang ‘sesak’ bersama Ian Iskandar. Cukuplah dia merasa sesak ketika makan
malam bersama lelaki itu.
Dr. Ilyas Khan perasan akan kehadiran Qistina sejak dia
masuk ke dalam bilik Puan Mariam lagi. Dia tidak pernah bertemu dengan gadis
itu dan dia tahu gadis itu bukanlah anak perempuan Puan Mariam. “Morning Mariam. How are you today?” Selepas Puan Mariam membalas sapaan Dr. Ilyas
Khan, Dr. Ilyas Khan menoleh ke arah Qistina yang baru melangkahkan kaki untuk
berlalu dari bilik Puan Mariam. “And who
is this lovely young lady?” Dr. Ilyas Khan bertanya lagi sambil tangannya
melambai ke arah Qistina.
Qistina berhenti melangkah. Semua mata bertumpu ke wajah
Qistina. “Oh doc, meet my companion
Qistina. She’s from Malaysia.
Qistina, meet Dr. Ilyas Khan…” Puan
Mariam bersuara.
Dr. Ilyas Khan menjungkitkan keningnya. “From Malaysia? That’s nice. Hi Qistina! Qistina? Hmmm…what a lovely name. Nice to meet you. Just call me Ilyas…”
Qistina mengukirkan senyuman manis menerima salam
perkenalan Dr. Ilyas Khan. Ian Iskandar mengerutkan dahinya. Mengapa Qistina
tidak pernah senyum sebegitu kepadanya sebelum ini? Dia turut perasan riak Qistina
ketika pertama kali melabuhkan pandangan ke wajah Dr. Ilyas Khan tadi.
Terpikatkah gadis itu kepada doktor ibunya? Hatinya diruntun rasa cemburu.
Cemburu? Biar betul!
“Nice to meet you
too, doc!” Qistina kurang selesa untuk memanggil doktor muda itu dengan
panggilan nama Ilyas seperti yang diminta. “Excuse
me…I’ll leave madam into your hands…”
Dr. Ilyas Khan membalas senyuman Qistina. Hati Ian
Iskandar semakin panas. Hati Puan Mariam pula tersenyum girang…suatu rancangan
mula berligar-ligar di kepalanya.
Pemeriksaan Dr. Ilyas Khan mengambil masa lebih kurang
setengah jam. Perbincangan mengenai prestasi Puan Mariam dibincang di antara
Puan Mariam, Dr. Ilyas Khan, Natalie Brown dan Ian Iskandar secara tertutup.
Qistina menunggu di ruang tamu.
Pintu bilik Puan Mariam dibuka. Jururawat berambut kuning
keluar ke ruang tamu dan memanggil Qistina masuk ke dalam. Natalie Brown pula
mengambil tempat Qistina di ruang tamu. ‘Hish, sombong betul minah ni. Tak reti
senyum ke?’ getus Qistina di dalam hati apabila ucapan terima kasih Qistina
tidak mendapat sebarang reaksi daripada jururawat itu.
Qistina mengetuk pintu bilik Puan Mariam dengan perlahan
dan terus membukanya. Dia tahu dia tidak perlu menunggu sebarang panggilan daripada
Puan Mariam untuk masuk. Hanya mengetuk sekadar untuk memenuhi adab masuk ke
dalam bilik.
“Madam panggil saya?” lembut Qistina bertanya. Dia
melihat Ian Iskandar dan Dr. Ilyas Khan masih berada di dalam bilik Puan
Mariam.
Puan Mariam mengangguk sambil tersenyum.
“Qistina, I have
been told that you are the reason why Mariam is feeling so cheerful today. You
have lifted her spirits and this is good for her.” Dr. Ilyas Khan memuji.
Qistina malu dipuji begitu sedangkan ini baru hari kedua dia menjadi peneman
Puan Mariam. Pipinya terasa hangat.
“I’m sure it’s not
me, doc. This is only my second day as her companion…” Qistina mengambil
sikap merendah diri. Renungan tajam daripada Ian Iskandar mendebarkan hatinya.
‘Kenapa pulak mamat ni tengok aku macam nak telan je? Apa salah aku? Takkan
marah kot doktor tu puji aku?’
“Well, don’t be so
modest! You know, now that the weather is good, Mariam could do with a stroll outside. Maybe you can accompany her to the park?”
Qistina teruja mendengar cadangan Dr. Ilyas Khan.
Tidaklah dia dan Puan Mariam asyik terkongkong di dalam bilik ini sahaja. Boleh
juga keluar mengambil angin, memandangkan cuaca sedang panas. “I’d love to! Madam, are you okay with this?”
Puan Mariam tersenyum. Dia pun sudah lama tidak keluar
dari biliknya. Dia tidak digalakkan keluar ketika cuaca sejuk. Tidak elok untuk
kaki dan kesihatannya. Dia teringin sangat hendak bersiar-siar di taman namun
Ian Iskandar terlalu sibuk untuk menemaninya.
“Yes, absolutely!
Maybe we can go this evening?”
Qistina mengangguk sambil tersenyum. ‘Cantiknya lesung
pipit dia ni!’ Ian Iskandar memuji. Geram!
“Good! I’ll be off now! I’ll see you beautiful ladies next Tuesday!” Dr. Ilyas Khan meminta
diri.
Ian Iskandar mengetap bibir melihat Qistina tersipu
mendengar ucapan selamat tinggal daripada Dr. Ilyas Khan. Ian Iskandar mengikut
Dr. Ilyas Khan keluar dari bilik Puan Mariam.
Puan Mariam menggenggam tangan Qistina. “I am looking forward to this evening!
Saya dah lama tak keluar bilik. Bosan sangat! Rindu nak tengok dunia luar…”
“Jangan risau, madam. Saya akan bawak madam keluar
jalan-jalan hari ni. Kita pergi taman, ya? Ambik angin!”
Puan Mariam mengangguk. Tidak sabar dia! “So, what do you think of my doctor?”
Puan Mariam cuba memancing. “Handsome
tak?”
Di hati Qistina, Ian Iskandar lebih kacak daripada Dr.
Ilyas Khan, namun pendapat itu sekadar dipendam di dalam diam. “Handsome, madam! Kenapa? Madam nak
mengorat ke?”
Tawa Puan Mariam terletus dengan kuat mendengar usikan
Qistina. Tiba-tiba Ian Iskandar masuk ke dalam bilik Puan Mariam. Tawa Puan
Mariam masih bersisa. Ian Iskandar memandang ibunya kehairanan. Jarang-jarang
sekali ibunya ketawa begitu sekali. Wajah ceria Qistina juga dipandang sekilas.
“What’s so funny, mummy?”
“Nothing, dear. It
was just something Qistina said…”
Puan Mariam sengaja membiarkan penjelasannya tergantung begitu sahaja. Ian
Iskandar memandang Qistina yang masih tersenyum.
“Said about what?”
Ian Iskandar bertanya tidak puas hati.
“About Dr. Ilyas…”
Puan Mariam mengamati riak wajah Ian Iskandar. Ia berubah tegang seperti yang
diharapkan. “Run along, dear. I know
you’re already late for work…” Puan Mariam ‘menghalau’ Ian Iskandar. Dia tidak
mahu anaknya bertanya dengan lebih lanjut lagi. Dia mahu Ian Iskandar
memikirkan tentang perkara ini di dalam kepalanya hingga ke petang.
Ian Iskandar mengeluh. Dia menghampiri Puan Mariam dan
mengucup dahinya. Tanpa berlengah, dia berlalu meninggalkan bilik Puan Mariam
tanpa mengerling ke arah Qistina. Marah agaknya, tapi mengapa, ya?
Qistina mencapai surat khabar dari atas meja dan mula
membeleknya. Dia mula membaca berita terkini yang terpapar di surat khabar dan
Puan Mariam antara mendengar dengan tidak. Puan Mariam tidak dapat menumpukan
sepenuh perhatiannya kepada berita yang dibacakan Qistina. Dia masih
teringatkan reaksi anaknya sebentar tadi apabila melihatkan Dr. Ilyas Khan
memberikan perhatiannya kepada Qistina. Dia tahu rancangannya pasti akan
berjaya.
************
Qistina duduk di atas bangku bersebelahan Puan Mariam
yang duduk di atas kerusi rodanya. Suasana taman yang ceria melahirkan senyuman
di bibir Puan Mariam. Kanak-kanak berlari berkejaran. Pengunjung taman Hyde
Park ada yang berkelah dan ada yang berbaringan dan bersantai di atas rumput.
Semua menikmati cuaca panas yang muncul begitu sekejap dalam masa setahun.
Qistina memerhatikan pasangan-pasangan yang berjalan
berduaan dan ada juga yang membawa anak-anak mereka bersantai bersama. Ketika
pandangan Qistina tertancap kepada sepasang orang tua yang kelihatan dalam
lingkungan usia Mak Esah dan Pak Atan, hatinya dibuai rasa sayu dan kerinduan
yang amat dalam.
“What’s the matter,
dear?” Qistina menoleh dan mendapati Puan Mariam sedang memandangnya. “You miss your parents back home?”
“Eh, taklah madam. Saja je tengok orang yang lalu-lalang
depan mata…errr..madam selesa?” Pantas Qistina mengalihkan topik perbualan.
“I’m okay.
Seronok dapat keluar petang ni jalan-jalan…” Qistina dan Puan Mariam saling
berbalas senyuman. “Qistina…kenapa saya rasa yang hati Qistina bukan di sini?”
Berkerut dahi Qistina memikirkan soalan Puan Mariam.
“Maksud madam?”
“Qistina suka kerja dengan saya?”
“Mestilah suka, madam. Saya bersyukur sangat dapat
menemani madam setiap hari…”
“Saya mengingatkan Qistina kepada ibu Qistina sendiri?”
Qistina melarikan pandangannya. Puan Mariam langsung
tidak menyerupai ibu Qistina. Walaupuan Puan Mariam seorang muallaf, namun
kepatuhannya terhadap suruhan Ilahi seharusnya membuat Puan Sri Ani Suraya
berasa malu. Sangat malu!
“Puan Mariam tak macam ibu saya…” perlahan Qistina
berbicara. “Ibu saya lain…”
“Lain macam mana?”
Qistina terdiam.
“Qistina, kalau awak tak mahu cerita pada saya, it’s okay. I don’t want to bring up
something you’re not comfortable with.”
“Terima kasih, madam. Saya belum bersedia menceritakan
hal peribadi saya pada madam. Tak menarik pun…” ujar Qistina sambil tersenyum.
Tawar.
“Madam, ceritalah pasal pengalaman madam bekerja di
KL dulu. Madam suka tinggal di Malaysia?”
“You are very good
at changing the topic, huh? Clever girl!”
Puan Mariam berseloroh. Kepalanya digelengkan sedikit. Sengehan di bibir
Qistina membuatnya tertawa kecil. “Okay,
fine! We’ll do it your way!”
Masa di taman dihabiskan mendengar Puan Mariam
menceritakan pengalamannya bekerja di British High Commission di ibu negara dan
bagaimana dia telah jatuh cinta dengan segala apa yang berkaitan dengan
Malaysia. Rakyatnya, makanannya, pantainya, cuacanya, sejarahnya…segalanya. Lama
Puan Mariam bercerita. Cuma Puan Mariam langsung tidak bercerita mengenai bapa
Ian Iskandar. Qistina pula tidak mahu bertanya. Seperti mana Puan Mariam tidak
memaksanya menceritakan kisah peribadinya sebentar tadi, Qistina juga akan
menghormati pendirian Puan Mariam jikalau dia tidak mahu menyentuh apa-apa
perkara berkenaan bapa Ian Iskandar.
Qistina tergelak mendengar Puan Mariam memaksa dirinya
membiasakan diri memakan buah durian, walaupun terlampau perit untuk ditelan
pada mulanya. Setelah mencuba beberapa kali, barulah rasa buah durian itu
selesa di tekaknya. Begitu juga dengan sambal belacan.
Hampir dua jam mereka berada di taman itu. Masa berlalu
dengan pantas sekali. Qistina senang bersama Puan Mariam dan begitu juga
sebaliknya. “Madam, we have to go home
now...hari Isnin depan kita datang lagi, InsyaAllah ya?” Memandangkan
Qistina hanya bekerja separuh hari pada hari Sabtu, cuaca yang terlampau panas pada
waktu pagi dan tengah hari, tidak berapa sesuai untuk membawa Puan Mariam ke
taman. Qistina bangun dari bangku dan mula menolak kerusi roda Puan Mariam
menuju ke rumah.
Setibanya di rumah, Natalie Brown sudah pun pulang. Jadi
Qistina menawarkan diri untuk membantu Naseem membersihkan tubuh Puan Mariam. Ian
Iskandar pulang ke rumah tidak lama selepas itu. Ketika dia masuk ke dalam
bilik Puan Mariam untuk bertemu ibunya, dia melihat Qistina sedang duduk di
atas katil ibunya sambil menyisir perlahan rambut ibunya. Sejuk hatinya melihat
gadis itu melayan ibunya dengan lembut. Qistina masih tidak menyedari kehadiran
Ian Iskandar di dalam bilik itu.
Qistina juga tidak menghiraukan waktu kerjanya yang sudah
lama tamat. Dia tidak mahu terlampau berkira dengan Puan Mariam, apatah lagi
Puan Mariam begitu baik terhadapnya. Dia melakukan segalanya dengan ikhlas.
Puan Mariam mendongak dan melihat anaknya di muka
pintu asyik memerhatikan Qistina. Dia biarkan sahaja. “Thanks, dear. Why don’t you take a break, hmm?”
Qistina bangun. Dia meletakkan sikat rambut di atas meja
dan menghulurkan tangan untuk menyalami Puan Mariam. Tangan Puan Mariam dikucup
lembut. “Saya masuk bilik dulu, madam. Esok pagi saya datang, InsyaAllah.”
Ketika Qistina memalingkan tubuhnya untuk keluar dari
bilik Puan Mariam, dia melihat Ian Iskandar tercegat di muka pintu. Terkejut
dia melihat Ian Iskandar yang memandangnya dengan pandangan yang redup. “Selamat
petang, Encik.” Itu sahaja yang mampu diucapkan Qistina. Tidak tahu bagaimana
hendak berlalu sahaja dari situ, sedangkan Puan Mariam masih di situ. Sedia
memerhati. Ian Iskandar mengangguk sebagai balasan kepada ucapan Qistina tadi.
“Qistina, don’t be
late for dinner. I’m hungry!” Ian Iskandar sempat berpesan.
“Baik, Encik.” Qistina terus meninggalkan Ian Iskandar
bersama ibunya. Pintu bilik Puan Mariam ditutup rapat.
************
“Ibu saya seronok dapat keluar hari ni.” Ian Iskandar bersuara
di antara mengunyah dan menelan daging stik.
Qistina mendongak sebentar. “Ya, Encik.”
“Saya terlampau sibuk. Tak dapat nak luangkan masa saya
untuk temankan mak saya macam tu…” Ada nada kesalan di suara Ian Iskandar. Sesungguhnya,
Qistina memahami apa maksud sibuk. Sangat-sangat memahami.
“Encik sibuk pun, Encik tak lupakan tanggungjawab Encik
sebagai anak. Tu pun penting jugak!”
“Maksud awak?”
“Encik masih sediakan semua keperluan ibu Encik.
Menggajikan jururawat untuk dia, doktor peribadi…semuanya cukup! Encik masih
menjaga ibu Encik walaupun Encik sibuk…Cuma kalau boleh, Encik luangkanlah
sedikit masa untuk madam…”
Ian Iskandar tidak berkelip memandang Qistina. Agaknya
ini kali pertama gadis itu bercakap lebih daripada sepuluh patah perkataan
kepadanya.
“Kenapa Encik pandang saya macam tu?” Qistina mula berasa
cuak.
Ian Iskandar segera melabuhkan pandangannya.
“Kalau mak awak sakit, awak akan jaga dia macam saya?”
Qistina tersentak dengan pertanyaan Ian Iskandar. Sudah
tentu Qistina ingin menjaga ibunya jikalau dia jatuh sakit tetapi sama ada dia berkesempatan
atau tidak, itu suatu perkara yang lain. “Mestilah, Encik…”
Ian Iskandar perasan perubahan ketara di wajah Qistina
sebentar tadi. Dia pasti ini ada kena mengena dengan ibu Qistina.
“Oh ya! Sejak awak sampai, awak tak de pun nak call ibu atau ayah awak untuk khabarkan
yang awak dah selamat sampai. Kenapa awak tak guna telefon rumah ni je? Mesti
mak atau bapak awak risau kalau awak tak call.”
Qistina menelan air liurnya. “Errr…saya baru cadang nak
beli sim kad untuk handphone saya
esok Encik. Nanti bolehlah saya call.”
“Tak payah! Tunggu kejap.” Ian bangun dan keluar
sebentar. Tidak sampai dua minit dia kembali duduk. Dia menghulurkan satu
plastik kepada Qistina. “Ambik ni. Saya dah belikan BlackBerry untuk awak. Sim
kadnya ada sekali. Nanti awak boleh call
atau e-mel pada famili awak.”
“Eh, kenapa pulak Encik yang belikan? Saya boleh beli
sendiri,” kata Qistina sebaik sahaja plastik berisi kotak BlackBerry disambut.
“Awak mana ada gaji lagi…tak pe. Habis kontrak setahun,
awak pulangkan balik pada saya.”
Walaupun Qistina masih belum dibayar gaji, namun duit
yang dibawa dari Malaysia lebih daripada mencukupi. Dia masih mampu membeli
barang keperluannya sendiri. Qistina masih teragak-agak.
“Kenapa? Kan saya kata pulangkan balik bila habis setahun
nanti. Jadi awak tak payah risau. Ni kira awak pinjam je daripada saya.” Ian
Iskandar terus bersuara pabila melihatkan Qistina yang masih ragu-ragu.
“Terima kasih, Encik. Mungkin lepas saya dapat gaji
nanti, saya boleh beli sendiri…”
“Tak payah! Berapa kali saya nak kata? Kenapa awak nak
bazir duit beli yang lain? Pakai je yang saya dah belikan tu…Awak boleh terus
guna. Saya dah caj dah pun BlackBerry tu…”
Qistina tidak berani membantah lagi. Fikirannya sudah
melayang kepada mesej yang bakal dihantar kepada Timah nanti. “Terima kasih,
Encik.” Qistina mengulangi ucapan terima kasihnya.
Ian Iskandar mengangguk. “So, bila awak nak call ibu awak?” Ian Iskandar masih
mendesak.
“Nanti-nantilah Encik. Saya tak pasti sama ada ibu saya
dah balik KL ke belum.”
“Takkan ibu awak tak de handphone? Kalau dia tak balik KL lagi pun, awak masih boleh cakap
dengan dia, kan?” Renungan Ian Iskandar semakin tajam. Dia tahu Qistina cuba
berdolak-dalih. Jelas di matanya keadaan Qistina yang langsung tidak selesa.
Qistina nyaris tersedak. Cebisan daging yang ditelan
tiba-tiba dirasakan liat dan pahit. “Betul, betul, Encik. Tapi sekarang dah
lewat sangat kat sana, Encik…”
Ian Iskandar ingin tahu sejauh mana Qistina ingin
mengelak daripada berlaku jujur dengannya. “Saya rasa, sebagai majikan awak,
saya bertanggungjawab untuk bercakap dengan ayah awak pasal hal kebajikan awak
di sini. Mesti ayah awak risau kan? Awak tu perempuan. Duduk pulak satu rumah
dengan saya…”
Qistina semakin cuak. Dia tidak dapat bertentang mata
dengan Ian Iskandar. “Tak perlu, Encik. Ayah saya okey…”
“No, I insist. Saya yang tak sedap hati. Kalau anak dara saya bekerja di luar
negara, lepas tu duduk serumah pulak dengan majikan dia, saya pun mesti akan
risau…” Mata Ian Iskandar tidak
berkalih dari wajah Qistina yang semakin kehilangan warna. “Bagi saya nombor
telefon ayah awak! Saya nak call.”
“Tak perlu, Encik. Betul!” Menggeletar sedikit suara
Qistina. Takut Ian Iskandar akan benar-benar menelefon papanya.
“Qistina look at me!”
tegas suara Ian Iskandar. Serius. Qistina menurut. Takut dia melihat wajah Ian
Iskandar begitu. “Jujur dengan saya! Parents
awak tau tak yang awak ada kat sini?”
Mata Qistina membulat. Nafasnya seakan tersekat-sekat.
Haruskah dia menipu untuk kali kedua? Qistina telah pun nekad sebelum ini untuk
mengira setiap pembohongan yang terpaksa dilakukannya. Pembohongan pertama
telah pun dilakukan ketika di dalam pesawat lagi. Adakah dia akan melakukan
pembohongan sekali lagi?
“Saya tunggu jawapan awak, Qistina!” bentak Ian Iskandar.
Kekerasan suara Ian Iskandar membuatkan Qistina pantas menggelengkan
kepalanya. Tidak sanggup berbohong. Renungan Ian Iskandar semakin tajam. Qistina
tunduk. Dadanya berdebar-debar. “Why?”
“Sa…saya…saya… tak bagi tau diaorang, Encik.”
“Why not? I’m not going to ask again, Qistina!” Keras
Ian Iskandar bersuara.
Qistina memberanikan dirinya untuk memandang Ian
Iskandar. “Encik, I didn’t know this job
required my parents’ prior approval?”
Ian Iskandar menjungkitkan keningnya. Tidak menyangka
Qistina masih mahu berahsia dan memilih untuk tidak menjawab pertanyaannya.
“Ini lain, Qistina. Awak memohon pekerjaan di London.
Memanglah mendapatkan kelulusan dari parents
awak bukan salah satu syarat untuk awak dapatkan pekerjaan ni. Tapi awak anak
perempuan, Qistina. Awak masih di dalam tanggungan ayah awak!”
“Encik, cukuplah kalau saya katakan yang saya tidak
berdosa dengan bapa saya dengan mengambil pekerjaan ini.”
Ian Iskandar berasa marah dengan sikap Qistina. Kejutan
pengakuan Qistina sebentar tadi masih terasa. Adakah Qistina melarikan diri
daripada keluarganya sendiri? Mengapa?
Ian Iskandar bersandar ke kerusinya. Wajah Qistina
dipandangnya. Lama. Qistina merenung lebihan daging stik di atas pinggannya.
Seleranya sudah mati. Ingin sahaja dia bangun dan meninggalkan Ian Iskandar
bersendirian tetapi dia pasti tindakannya itu akan dihalang lelaki itu.
“Qistina, kalau keluarga awak cari awak atau buat police report pasal kehilangan awak macam
mana? Awak tak fikir pasal tu?”
“Tu takkan terjadi, Encik. Saya jamin! Encik jangan
risau!” Qistina cuba meyakinkan Ian Iskandar namun riak wajah Ian Iskandar
masih tidak berubah.
“I hate puzzles,
Qistina. Awak tidak jujur dengan saya!”
Qistina pantas mendongak. “Encik tak boleh cakap macam
tu. Saya tak tipu Encik untuk dapatkan pekerjaan ini. Semua soalan Encik masa interview minggu lepas saya jawab.
Perkara lain yang peribadi pasal diri saya, Encik tak perlu tahu. Itu tak
melibatkan kerja saya.” Qistina tidak tahu di mana dia mendapat keberanian
untuk berkata sedemikian kepada Ian Iskandar. Yang pasti, dia tidak rela
dianggap telah menipu untuk mendapatkan pekerjaan ini.
Ian Iskandar menyilang tangan ke dadanya. Gadis itu
benar-benar menguji kesabarannya. Tidak pernah Ian Iskandar rasa tercabar
sedemikian rupa. Lebih-lebih lagi yang mencabarnya hanyalah seorang gadis yang telah
membuatnya tidak keruan sejak dua menjak ini.
“Minta maaf, Encik. Boleh tak saya naik sekarang?”
Qistina meminta kebenaran. Dia tidak mahu lagi duduk di meja makan asyik
menerima panahan mata biru lelaki itu.
Ian Iskandar tidak mahu membenarkan Qistina
meninggalkannya ketika banyak persoalan masih belum berjawab. Namun dia tidak
tahu lagi bagaimana untuk memaksa Qistina supaya lebih berterus-terang
dengannya. Adakah dia berhak memaksa gadis itu?
“Sebelum awak pergi, saya ada benda nak cakap dengan
awak.” Ada perubahan pada nada suara Ian Iskandar. Sedikit mengendur. “Kalau
sampai masa awak perlukan teman untuk berkongsi cerita awak, saya sedia
mendengarnya.”
Qistina diam. Hatinya sedikit terusik mendengar kata-kata
Ian Iskandar. Dia sekadar mengangguk kecil. Qistina bangun dan mengangkat
pinggannya. Di dapur, dia meminta Naseem menghidangkan kopi kepada Ian
Iskandar. Dia tidak mahu lagi bertentang mata dengan Ian Iskandar malam ini. Cukup-cukuplah.
No comments:
Post a Comment