Friday, 4 September 2015

DEMI BAHAGIA INI - BAB 6

DEMI BAHAGIA INI - BAB 6



Qistina turun lebih awal daripada sepatutnya. Di tingkat bawah, kelibat Ian Iskandar masih belum kelihatan. Dia melangkah menuju ke dapur. “Good morning, Naseem!”

Naseem sedikit terkejut apabila disapa begitu oleh Qistina. Naseem berpaling lalu tersenyum melihat gadis itu kelihatan girang dan lebih bermaya daripada semalam. “Good morning, love. You’re up early?”

I’m used to it…” Mana tidaknya. Pada musim panas, subuh di akhir bulan Julai dalam pukul 4.00 pagi. Seusai solat subuh dan mengaji, Qistina sempat menyambung tidurnya semula. Jadi pagi ini, dia terasa segar dan bertenaga. “Can I help, Naseem?”

No, no…there’s no need. Why don’t you go and wait for the boss in the living room?” cadang Naseem.

Oh no. I think I should stay here. Let me clean this up for you.” Qistina menunjukkan pinggan mangkuk yang belum berbasuh di dalam sinki.

Naseem beralah. “Well, alright if you insist, love.” Naseem memandang Qistina yang sudah pun mula mencuci. “You know, you speak with a perfect English accent. Better than mine even…

Qistina terkedu. Pinggan di tangan hampir sahaja terlepas. “Really? I don’t think so.”

“Hmmmm…” itu sahaja balasan daripada Naseem sebelum dia keluar dari dapur bersama pinggan di tangan. ‘Ya Allah. Aku mesti lebih berhati-hati. Kalau rahsia terbongkar, matilah aku...’

Tidak lama kemudian, Naseem kembali ke dapur. “The boss wants you. He’s in the living room. I’ll bring your breakfast into madam’s room.”

Qistina mengambil nafas dalam-dalam. ‘Ya Allah. Biarlah ibu Ian menyukaiku. Aku tidak mahu diberhentikan sebelum tamat tempoh satu tahun ini, ya Allah!’ Setelah doa habis dibaca, Qistina mengatur langkah menuju ke ruang tamu. Ian Iskandar yang lengkap berkemeja biru, bertali leher dan berjaket hitam sedang membelek surat khabar di tangan. Segak menawan. “Selamat pagi, Encik.”

Ian Iskandar mendongak. Wajah gadis itu dilihatnya sedikit berseri. Nampak ceria, walaupun ada garis-garis kerisauan di situ.  Ian Iskandar tidak menjawab ucapan selamat pagi Qistina. Hanya mengangguk kecil. “Come, I’ll introduce you to my mother.” Ian Iskandar yang telah mula melangkah tiba-tiba berhenti. Dia memalingkan tubuhnya untuk menghadap Qistina. Suatu senyuman nakal terukir di bibir. “Bunyi macam nak kenalkan calon isteri kepada bakal mak mentua pulak, kan?”

Membulat mata Qistina. ‘Hish dia ni! Aku dahlah nervous. Lagi nak buat lawak bodoh pagi-pagi ni!’ Qistina hanya diam. Tidak tahu bagaimana untuk menjawab. Ian Iskandar ketawa sendirian. Qistina sempat mencebik dan menjeling di belakang Ian Iskandar. Geram!

Ian Iskandar mengetuk pintu bilik ibunya. Perlahan. Ketika pintu dikuakkan, Ian Iskandar melangkah masuk diikuti Qistina. Jururawat peribadi Puan Mariam kelihatan sedang mengemaskan tuala dan perkakas mandian dari atas katil. Puan Mariam sedang duduk bersandar di katilnya. Katil yang seperti di hospital. Yang boleh ditegakkan dan dibaringkan, walaupun nampak lebih selesa daripada yang biasa dilihat di hospital. Sehelai selimut nipis meliputi seluruh kakinya hingga ke bahagian pinggang.

Mummy, this is Qistina. She will be your companion.”

Sungguh lebar Puan Mariam mengukirkan senyuman membuatkan Qistina rasa kehadirannya disambut mesra. Qistina membalas senyuman Puan Mariam, wanita berbangsa Inggeris yang masih jelita di matanya. Rambutnya perang dan sedikit beruban di ubun-ubunnya. Matanya juga berwarna biru. Sebiru mata Ian Iskandar.

How lovely! Come closer, dear. Let me have a look at you.”

Qistina merapati katil Puan Mariam. Dia menghulurkan tangannya dan disambut Puan Mariam. Seperti kebiasaannya ketika bersalam dengan orang yang lebih berumur seperti ibunya, Qistina tunduk dan mencium tangan Puan Mariam. “Good morning, madam. Nice to meet you.” Qistina berhati-hati dalam pertuturannya.

Sejuk hati Puan Mariam ketika tangannya dikucup gadis ayu itu. Rindu dia kepada budaya Melayu itu. “Oh, this is Natalie Brown, my nurse.” Puan Mariam menunjuk ke arah jururawat tadi. Qistina menyambut tangan yang dihulurkan dengan sekuntum senyuman.

Kata-kata ucapan perkenalan berbalas sudah. Kini masa untuk Natalie Brown beredar kerana tugasannya untuk pagi itu sudah pun selesai. Dia akan kembali menjenguk Puan Mariam dua jam dari sekarang.

Natalie Brown sempat mengerling ke arah Ian Iskandar sebelum berlalu. Ian Iskandar langsung tidak menyedari lirikan menggoda jururawat tadi, namun dapat ditangkap Qistina.

Sit, my dear,” pelawa Puan Mariam sambil menepuk-nepuk kerusi di sebelah kiri katilnya. Qistina mengambil tempatnya. I’m sure we’re going to get on splendidly together. Ian you may leave us now.”

Ian Iskandar masih tidak berganjak. Matanya redup melihatkan kemesraan ibunya terhadap Qistina. Hatinya puas. Kini ibunya tidak akan berasa sunyi lagi.

Puan Mariam menyedari mata anaknya yang seakan tidak berkelip memandang Qistina. Qistina pula memandang ke wajah Puan Mariam, membelakangi Ian Iskandar tanpa menyedari mata Ian Iskandar yang seakan terpaku kepadanya. Puan Mariam tersenyum di dalam hati. Renungan Ian Iskandar itu memberi seribu maksud tersirat. ‘Apalah anak teruna aku ni tenung-tenung anak dara orang pulak ni…’

Ian? Did you want anything else?” tegur Puan Mariam.

Ian tersedar. “What, mummy?”

Kali ini Puan Mariam benar-benar mengukirkan senyuman. “Won’t you be late for the office, dear?”

“Oh! YesrightI’ll see you later, mummy.” Ian Iskandar mengucup dahi ibunya dan berlalu. Wajah gadis itu dipandangnya sekilas. Hati Puan Mariam bertambah girang. Qistina langsung tidak perasan kerlingan Ian Iskandar tadi.

Now, tell me all about yourself. In Bahasa, please. I want to brush up on my Malay language. It has been a long time!”

Qistina terkejut mendengar permintaan Puan Mariam. “Madam boleh berbahasa Melayu?”

Puan Mariam mengangguk.

“Kenapa tak cakap bahasa Melayu dengan Encik Ian?” Qistina bertanya lagi.

“Sebab, rasa kekok. Tak biasa cakap bahasa Melayu dengan Ian.”

Qistina tersenyum. Puan Mariam memang boleh berbahasa Melayu walaupun pelat orang putihnya masih ada. Sebiji-biji perkataan disebutnya dengan penuh hati-hati. Kelakar juga bunyinya. Mungkin dia akan kembali fasih bertutur dalam Bahasa Melayu sekiranya kerap menggunakan bahasa itu semula setelah lama meninggalkannya.

Qistina sudah pun bersedia dari semalam bahawa soalan mengenai dirinya akan menjadi soalan pertama yang akan diutarakan Puan Mariam, sebagai langkah permulaan untuk mengenali dirinya. Qistina menceritakan serba ringkas mengenai dirinya yang berasal dari Kuala Lumpur. Merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik beradik. Mempunyai seorang abang dan seorang kakak yang sudah berumah tangga.

That’s all?” Tanya Puan Mariam. Ringkas benar gadis ini menceritakan perihal dirinya. “Sudah kahwin?”

“Belum madam. Tak fikir lagi pasal kahwin…” ujar Qistina sambil tersenyum.

Puan Mariam ingin bertanya lagi tetapi pintu biliknya diketuk perlahan sebelum Naseem membukanya dengan dulang di tangan. Qistina pantas bangun untuk membantu Naseem. Dulang diletakkan di atas riba Puan Mariam. Naseem keluar semula untuk mengambil dulang sarapan untuk Qistina pula. Selepas semuanya selesai, mereka menikmati sarapan sambil berbual mesra.

Puan Mariam amat senang sekali dengan kehadiran Qistina. Sejak matanya jatuh pada raut wajah Qistina awal tadi, hatinya terasa sejuk sekali. Kejernihan dan kesucian yang terpancar dari wajah Qistina menambat hatinya. Sikap Qistina yang menghormati dirinya sebagai orang yang lebih berusia daripadanya menggambarkan peribadi gadis itu yang dibesarkan dengan cukup sempurna. Lembut tutur kata yang keluar dari bibir merah gadis itu. Tidak hairan mengapa anak lelakinya tadi asyik merenung seraut wajah gadis di hadapannya ini.

Why did you take up this position, dear?” soal Puan Mariam sambil menggigit roti bakar di tangan.

Qistina meletakkan cawan kembali ke atas piring. “Sebab saya tengah desperate nak cari kerja, madam. Saya ternampak iklan untuk peluang pekerjaan ni dalam surat khabar, jadi saya terus apply.”

Puan Mariam mengangguk perlahan.

“Madam, berapa lama Madam tinggal di Malaysia?”

Close to thirty years!”

Qistina terkejut. Lamanya! Puan Mariam perasan riak terkejut Qistina. “Saya kerja di British Embassy di KL masa umur saya dua puluh tiga tahun. Kahwin dengan papa Ian masa saya dua puluh empat tahun. Ian lahir masa umur saya dua puluh lima tahun.”

“Bila madam pulang ke London?”

A few years ago. Tak lama lepas accident…”

“Maafkan saya, madam. Madam terlibat dalam kemalangan? Sebab tu ke kaki madam jadi macam ni?”

Puan Mariam mengangguk. Tiada riak kesedihan di wajahnya. “Lepas accident, tiga bulan saya di hospital. Lepas keluar, kakak saya ajak saya balik London. She wanted to take care of me. Dia pun sunyi lepas suami dia meninggal. Ian pulak sibuk kerja and my other daughter Iman tak tinggal di Malaysia. Tapi tak sampai setahun saya balik London, kakak saya meninggal. Tapi saya dah tak larat nak balik semula ke Malaysia…saya terus tinggal di sini. Ian pun decided to move his business here from Malaysia, untuk temankan saya.”

Terkejut Qistina mendengarkan Puan Mariam mempunyai seorang anak perempuan, bernama Iman. Ian Iskandar tidak pernah menceritakan tentang perkaran ini. “Madam ada anak perempuan?”

Yes. Dia dah berkahwin dan ada family dia sendiri. Dia tinggal di Paris.”

Bestnya! Dia selalu ziarah madam?”

“Adalah dalam dua-tiga bulan sekali…Did you know she is Ian’s twin sister?”

Ian Iskandar ada saudara kembar? Menarik! Mesti mata biru juga macam Ian Iskandar dan ibunya.

“Tak, madam. Saya tak tau.”

She looks nothing like me or Ian! Dia lebih kepada muka Melayu. She looks like her father…”

Walaupun hati Qistina ingin tahu ke mana perginya bapa Ian Iskandar, namun dia merasakan soalan itu berbentuk terlalu peribadi. Memandangkan ibu Ian Iskandar pulang ke London untuk dijaga kakaknya, ini bermaksud bapa Ian Iskandar tiada untuk menjaga isterinya sendiri.

I’m sure you’ll meet her the next time she comes down to visit me…”

“Saya tak sabar nak jumpa dengan Puan Iman. Madam ada cucu?”

Just one. Lelaki, tiga tahun. Lasak betul!”

Qistina tergelak. Dia tiada anak saudara. Abang dan kakaknya masih belum bersedia untuk berkeluarga. Masih tidak puas berseronok dengan kehidupan duniawi agaknya.

“Mesti comel, kan madam?”

Puan Mariam tersenyum. Dia terus teringatkan cucu yang seorang itu. Rindu dia kepada Daniel. Ingatan Puan Mariam kepada Daniel terganggu apabila Naseem kembali masuk ke dalam bilik untuk mengambil kembali dulang sarapan. Qistina juga membantu. Seusai berkemas, Qistina mencapai surat khabar yang sudah sedia terlipat di atas meja kecil bersebelahan dengan katil Puan Mariam.

“Saya bacakan surat khabar sekarang, ke madam?”

Puan Mariam mengangguk. “Mesti Qistina tertanya-tanya kenapa saya tak boleh baca sendiri kan? Sebenarnya, saya boleh baca sendiri, tapi rumah ni sunyi sangat. Saya saja nak dengar suara orang lain dalam rumah ni.”

“Sebelum ni tak pernah ada peneman ke, madam?”

“Hanya kakak saya. Bila saya complain pada Ian saya sunyi, dia yang mencadangkan saya mengambil seorang companion. Saya sebenarnya dah tak tau macam mana lagi nak bagi tau pada Ian yang saya sebenarnya nakkan menantu untuk menemani saya…tapi Ian ni terlampau sibuk dengan kerja dia. Sekejap sini, sekejap KL. Tak pernah nak bagi saya seorang menantu…” Semakin lancar Puan Mariam bertutur dalam Bahasa Melayu. Semakin berkeyakinan.

Qistina hanya diam. “Tapi sekarang Qistina ada menemani saya. Saya suka!” Qistina membalas senyuman ikhlas Puan Mariam. Gembira hatinya diterima sedemikian rupa.

Seperti yang diarahkan Ian Iskandar, Qistina mula membaca surat khabar kepada Puan Mariam. Pelbagai berita di dalam negara dan juga berita dunia. Puan Mariam tekun mendengar. Kekadang dia menggelengkan kepala apabila mendengar berita mengenai peperangan dan kematian.

Sedang Qistina membaca, Puan Mariam dapat meneka sesuatu. Gadis di hadapannya membaca surat khabar berbahasa Inggeris dengan begitu lancar sekali. Terkadang, tanpa sedarnya, intonasi dan cara sebutan sesuatu perkataan itu menyamai intonasi dan sebutan lidah warga British sendiri. Selama lebih satu jam, Qistina membaca surat khabar kepada Puan Mariam dan sambil-sambil itu, mereka membincangkan isu-isu berita yang dibaca. Pendapat Qistina ditanya dan didengar. Ternyata gadis ini begitu bijak di matanya. Memberikan pendapat-pendapat yang bernas lagi logik. Memberikan ulasan-ulasan yang mencabar mindanya.

Dengan kelancaran membaca dan bertutur dalam bahasa Inggeris, berserta ulasan-ulasan bernas daripada gadis itu, Puan Mariam pasti yang Qistina adalah seorang yang berpelajaran. Mustahil dia belajar setakat sekolah menengah sahaja. Cuma mengapa gadis itu mengambil keputusan untuk bekerja sebagai seorang peneman?

Gadis itu begitu ringkas menceritakan hal peribadi serta ahli keluarganya. Tidak jelas siapa ibu dan bapanya. Mungkin dia menyimpan rahsia. Namun Puan Mariam tidak bersangka buruk dengan Qistina. Hatinya mengatakan gadis di hadapannya seorang gadis yang baik. Sangat baik. Sebaik untuk dijadikan menantunya, mungkin?

Gadis penuh rahsia seperti Qistina haruslah ditangani dengan cara lain. Satu daripada cara yang dapat difikirkan adalah dengan membuatkan dirinya rasa terperangkap dan akhirnya terpaksa berterus-terang. Namun, dia tidak bercadang untuk memerangkap Qistina sekarang. Dia punyai banyak waktu lagi untuk meluangkan masa bersama Qistina. Mungkin juga Qistina sendiri akan berterus-terang dengannya apabila hubungan mereka menjadi lebih rapat suatu hari nanti.

Rutin harian Puan Mariam tidak banyak berbeza. Natalie Brown akan masuk selang dua jam untuk membantu Puan Mariam membuang air dan sebagainya. Puan Mariam dimandikan pada waktu pagi sebelum sarapan, dan pada waktu petang. Selepas minum teh pada jam 11.00 pagi, Puan Mariam akan berehat dan tidur sebentar sebelum makan tengah hari. Ketika itu, Qistina akan meninggalkan Puan Mariam bersendirian dan membuat halnya sendiri. Kadang-kadang dia memerap di dalam biliknya. Kadang-kadang dia akan ke dapur membantu Naseem. Natalie Brown pula tidak begitu mesra untuk dijadikan teman berbicara.

Salah satu tugas Natalie Brown adalah untuk membantu Puan Mariam melakukan senaman untuk kakinya. Puan Mariam jarang mahu menonton televisyen yang ada di dalam biliknya, melainkan untuk menonton berita. Qistina setia menemani sekiranya ada rancangan yang ingin ditontonnya.

Namun ada satu permintaan Puan Mariam yang tidak disangkanya. Setelah makan tengah hari bersama di dalam bilik Puan Mariam, Puan Mariam telah memintanya untuk mengambilkan wuduk untuknya agar dia boleh mengerjakan solat Zuhur. Rupanya, sebelum ini, Naseem atau Ian Iskandarlah yang akan mengambilkan wuduk untuk Puan Mariam. Terharu Qistina melihatkan Puan Mariam masih tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim, walaupun dia difahamkan bahawa Puan Mariam hanya memeluk agama Islam ketika ingin berkahwin dengan bapa Ian Iskandar. Fahamlah dia kini syarat yang dikenakan untuk calon yang dicari untuk menjadi peneman Puan Mariam dahulu mestilah beragama Islam.

Qistina selesai dengan tugasnya pada pukul 5.30 petang. Sebelum dia keluar dari bilik Puan Mariam, dia akan menyalami dan mengucup tangan Puan Mariam. Puan Mariam hanya mampu tersenyum. Senyuman penuh dengan rasa terharu.

Natalie Brown juga akan meninggalkan rumah keluarga Puan Mariam pada jam 5.30 petang dan akan kembali keesokan paginya. Keperluan Puan Mariam sepeninggalan Natalie Brown akan dijaga oleh Naseem. Hari Sabtu dan Ahad pula, tugas-tugas Natalie Brown akan dilakukan oleh jururawat gantian.

Selepas tugasnya selesai, Qistina akan menggunakan masa yang terluang sementara menunggu makan malam untuk menyelesaikan hal-hal peribadi, seperti mencuci pakaian, menggosok dan sebagainya. Teringin sangat untuk mendengar suara Timah, namun dia harus bersabar. Hari Sabtu nanti, selepas tamat waktu kerjanya, dia bercadang untuk keluar bagi mendapatkan sim kad yang baharu untuk telefon bimbitnya. Kemudian bolehlah dia berhubung dengan sahabatnya itu.

Hendak menulis surat pun, dia masih tidak tahu alamat rumah Puan Mariam ini. Qistina mengeluh. Mungkin soalan itu boleh ditanya secara terus kepada Ian Iskandar malam nanti. Memikirkan makan malam bersama Ian Iskandar nanti, wajah Qistina terus berubah menjadi suram. Kenapalah dia perlu makan malam dengan lelaki itu? Tidak selesa langsung!

Seperti malam pertama, Ian Iskandar banyak merenung gadis yang hanya tunduk sambil menikmati makan malamnya. Kalau Ian Iskandar tidak memulakan perbualan, Qistina akan kekal menyepi. Dia hanya akan menjawab sekiranya Ian Iskandar bertanyakan soalan kepadanya.

Pulang dari pejabat tadi, Ian Iskandar terus mendapatkan ibunya. Tidak sabar dia ingin mengetahui pendapat ibunya tentang gadis itu. Ternyata ibunya amat menyenangi gadis itu. Ian Iskandar mendapat pujian daripada ibunya kerana telah membuat pilihan yang tepat. Cuma dia pelik dengan cara ibunya mengukirkan senyuman kepadanya apabila mengatakan Ian Iskandar ‘telah membuat pilihan yang tepat.’ Seolah-olah ada maksud tersirat di situ.

So how was your first day?”

Qistina melangut. Sepasang mata biru itu mula membuatkan dia tidak tenteram.

“Okey, Encik. Tak ada apa-apa masalah.” Qistina menjawab perlahan. Dia tunduk kembali.

Ian Iskandar mengeluh perlahan. Susah betul hendak mendengar suara gadis itu.

“Awak ni memang macam ni, ke?”

Qistina hairan. Wajahnya didongakkan sekali lagi. “Macam ni macam mana, Encik?

“Suara awak mahal sangat ke? Awak tak boleh nak elaborate ke setiap balasan awak tu?”

“Maaf, Encik. Errr…mungkin saya jetlag…” Qistina beralasan. Panahan mata Ian Iskandar membuat Qistina tidak senang duduk. Menerbitkan debaran di dada. Reaksi yang tidak difahaminya.

“Alasan! Awak kalau keluar dating, takkan senyap macam ni?” Ian Iskandar cuba mengorek rahsia hati Qistina.

Seumur hidup Qistina, dia hanya pernah keluar berdua dengan Remy sahaja. Sebelum ini, dia akan pastikan yang dia akan keluar beramai-ramai, walaupun pada asalnya dia dijemput untuk keluar bertemu janji oleh mana-mana pelajar lelaki yang berminat dengannya. Namun, kerana dia tidak mahu memberi harapan palsu kepada mereka, dia akan mengajak rakan-rakan yang lain untuk turut serta, sama ada untuk menonton wayang, menjamu selera atau sebagainya.

“Saya…saya sebenarnya tak biasa pergi dating Encik. Saya tak biasa keluar berdua dengan lelaki…” Qistina merasa segan.

Entah mengapa Ian Iskandar merasa amat senang hati mendengar balasan Qistina itu. Lega! “Awak ni memang pendiam ke?”

“Tak jugak, Encik. Saya cuma rasa kekok dengan orang yang saya tak kenal…” jelas Qistina.

“Awak suka ibu saya?” Ian Iskandar masih menyoal.

“Suka, Encik. Saya senang menemani ibu Encik.” Ian Iskandar dapat melihat keikhlasan di wajah gadis itu.

“Saya nak mintak tolong dengan awak, Qistina…” pinta Ian Iskandar.

Qistina meletakkan sudu yang berada di tangan di atas pinggan. Dia memandang ke wajah Ian Iskandar. Permintaan Ian Iskandar tadi dibuat dengan suara separuh merayu. Qistina tertanya-tanya apakah pertolongan yang dimaksudkan Ian Iskandar tadi.

“Ada apa, Encik?”

“Seperti yang awak tau, Natalie adalah jurururawat peribadi ibu saya. Kalau tak de Natalie, mummy tak akan nak buat senaman untuk kakinya seperti yang diarahkan doktor. Dia langsung tak kisah. Doktor peribadi mummy pulak akan datang melawatnya dua kali seminggu. Hari Jumaat dan hari Selasa. Doktor ada menasihatkan agar ibu saya membuat satu lagi operation di kakinya, tapi dia berkeras tak mau. Ada mummy cerita pasal kenapa dia tak boleh berjalan pada awak?”

“Ada, Encik. Accident katanya.”

“Memang accident. Mummy yang bawak kereta. Kaki dia tersepit teruk. Mummy jadi lumpuh. Masa kat hospital pun, operation kaki je dua kali. Sebelum operation yang ketiga dibuat, mummy balik ke London. Puas saya dah pujuk dia, namun dia berdegil. Dia tak mahu operate lagi. Saya pun tak tau kenapa…”

“Jadi, Encik nak saya buat apa?”

“Saya nak awak cuba pujuk ibu saya untuk melakukan operation tu. Harapan untuk dia berjalan kembali lebih cerah…” Wajah Ian Iskandar berubah keruh. Pasti sedih mengenangkan nasib ibunya.

Qistina diam. Dia cuba memikirkan mengapa Puan Mariam nekad untuk tidak mahu dibedah lagi. Mesti dia ada sebab-sebabnya sendiri. Mustahil Puan Mariam tidak mahu berjalan lagi, seandainya pembedahan ketiga membolehkan dia berjalan semula.

“Encik, selepas dua kali operation tu, macam mana keadaan ibu Encik?”

Ian Iskandar mengeluh. Masih teringat bagaimana peritnya si ibu menanggung kesakitan ekoran kesan pembedahan. Segala pergerakan begitu menyeksakan. Ketika melalui pembedahan kedua pula, ibunya mengalami komplikasi tekanan darah tinggi. Hampir sahaja Ian Iskandar kehilangan ibunya. Mungkin disebabkan itu ibunya tidak mahu dibedah lagi.

Not good, especially during the second operation. We almost lost her…”

Qistina melihat garis-garis kesedihan di wajah Ian Iskandar. Hatinya tersentuh. Dia seolah-olah dapat merasakan kesedihan yang dirasakan lelaki itu. Pelik!

“Mungkin sebab tu ibu Encik tak mau dibedah lagi. Saya cuba, Encik. Tapi berilah saya sedikit masa untuk lebih mengenali ibu Encik dulu. Nampak pelik pulak kalau baru je mula bekerja, saya dah mula ungkitkan isu pasal pembedahan kaki dia…”

Ian Iskandar mempertimbangkan cadangan Qistina. Dia memahami logik di sebalik cadangan itu lalu bersetuju. “Baik…saya faham. Manalah tau ibu saya akan mengikut cakap awak pulak, kan? Cakap saya dia tak nak dengar dah…” Ian Iskandar tersenyum. Dada Qistina kembali berdebar melihat senyuman Ian Iskandar…‘Kenapa dengan aku ni?’

Qistina pantas bangun dan mengangkat pinggannya. “Encik, saya ambilkan kopi Encik kejap…” dan terus berlalu meninggalkan Ian Iskandar terpinga-pinga di tempat duduknya.

‘Kenapa pulak dengan dia ni? Tiba-tiba je dia lari?’

Apabila ditinggalkan berseorangan dengan secawan kopinya, Ian teringat kembali kata-kata ibunya petang tadi. “She’s a very intelligent girl, Ian. She reads the paper better than some of the newscasters I’ve seen on TV. She has her own opinions. She speaks her mind. What else do you know about her?”

Not much mummy. She is a very private person. She won’t volunteer any information unless I ask...

“Hmmmm…it’s okay, Ianwe have to respect her privacy, right? But I’m sure in time, I will get to know her a litlle better…”

Sejak pertama kali Qistina bertutur bahasa Inggeris ketika sesi temubual di pejabatnya di Kuala Lumpur lagi, Ian Iskandar sudah mengesyaki Qistina bukan seorang yang cuba digambarkannya. Detik hatinya tidak pernah salah. Kini ibunya pula mempunyai perasaan yang sama.

Yang pasti, Ian Iskandar tidak dapat melupakan gadis itu walaupun sesaat, sejak dia melangkahkan kaki keluar dari rumah ibunya untuk ke pejabat pagi tadi. Ingatannya akan tertaup kepada wajah gadis itu, senyumannya, kegelisahannya dan kesedihan melalui pancaran matanya. Mengapa dia tidak tentu arah sejak bertemu gadis itu? Apakah kuasa sakti yang ditaburkan gadis itu kepadanya. Lenakah tidurnya malam nanti? Ah, perasaan yang datang itu sungguh asing baginya. Tidak dipinta namun tidak terhalang. Haruskah dibiarkan sahaja perasaan itu menular tanpa batasan? Ian Iskandar tidak tahu…

No comments:

Post a Comment