KEPALA dijengulkan ke luar bilik. Kelibat mak ngah tiada di ruang tamu.
Kat dapur kut, fikir Syarizad. Terus dia keluar dari bilik lalu mengatur
langkah menuju ke dapur. Dari arah pintu, dia nampak mak ngah sedang membancuh
minuman. Sarapan pagi sudah terhidang lengkap di atas meja makan. Syarizad
menapak masuk.
“Sini,
Ijad buatkan.” Teko dari tangan mak ngah diambil. Setakat bancuh air teh O, tak
jadi masalah punya.
Rosni
hanya membiarkan. Tengok dari muka, dia yakin mood Syarizad sudah baik.
Begitulah selalunya, hampir hari-hari perang mulut tapi esoknya berbaik semula.
Walaupun Syarizad degil dan sering buatkan darah tingginya naik, gadis itu
tetap anak saudaranya yang paling dia sayang.
“Mak
ngah masak nasi goreng tomyam,” beritahu Rosni dengan suara ceria. Dia tahu
Syarizad memang suka makan nasi goreng tomyam. Dulu masa arwah ibunya masih
ada, itulah masakan ibunya yang paling dia suka.
Syarizad
tersenyum lebar. “Bestnya! Saaaaayang mak ngah!” Dia tersengih sambil
menarik kerusi setelah meletakkan seteko teh O panas di atas meja.
“Yalah...
kalau sayang mak ngah, ikut cakap mak ngah. Boleh?” balas Rosni lalu duduk di
depan Syarizad. Nasi goreng disenduk ke dalam pinggan untuk Syarizad.
“Ijad
bukan tak nak dengar cakap mak ngah, Ijad cuma buat apa yang Ijad suka.”
Syarizad bersuara perlahan. Dia sayangkan mak ngah, tapi kadang-kadang keadaan
memaksanya untuk bersikap kurang ajar.
“Dah,
makan banyak-banyak. Ijad nak makan satu bekas ni pun tak apa,” guraunya
membuatkan gadis itu tertawa. Pinggan diletakkan di depan Syarizad. Tenang rasa
hati melihat wajah itu tersenyum ceria. Memang itulah yang pernah dijanjikan
kepada diri sendiri sejak Syarizad tinggal di bawah jagaannya, untuk membuat
Syarizad terus gembira biarpun dia tahu masih ada sesuatu yang seakan-akan
menghalang kebahagiaan gadis itu.
“Hmm...
mak ngah, kalau Ijad nak kerja boleh tak?” Syarizad bersuara tiba-tiba. Nasi
goreng dalam pinggan sudah habis separuh dimakan.
“Ijad
nak kerja? Nak kerja kat mana?” Rosni kerutkan dahi. Sejak tamat STPM, tak
pernah dia dengar Syarizad nak kerja. Tiba-tiba saja hari ni suarakan hasrat
nak kerja. Tentulah dia rasa pelik.
“Ijad
ada dapat tawaran,” cerita Syarizad. Bibirnya diketap apabila teringatkan
perempuan berlagak yang hampir melanggarnya semalam. Dia dah fikir masak-masak
sebelum tidur malam tadi dan dia yakin dengan keputusannya. Kalau tak,
takkanlah dia keluar bilik pagi ini dengan senyuman.
“Tawaran
apa, Ijad?”
“Tawaran
kerja...”
“Siapa
yang tawarkan?”
“Err...”
Syarizad tercari-cari jawapan. “Hmm... ada la, mak ngah. Ijad cuma nak
izin mak ngah aje. Kalau mak ngah izinkan, hari ni jugak Ijad telefon
orang tu. Nanti kalau Ijad dapat kerja tu, baru Ijad beritahu mak ngah ya?”
Rosni
terdiam merenung Syarizad. Dia boleh nampak kesungguhan pada riak wajah gadis
itu. Kalau dengan bekerja boleh merubah diri Syarizad menjadi lebih baik,
kenapa perlu dia menghalang?
“Hmm...
yalah, mak ngah izinkan,” jawabnya.
Syarizad
tersenyum lebar.
“Tapi
ingat, mak ngah tak nak Ijad buat kerja tak elok,” pesan Rosni lagi.
Syarizad
mengangguk-angguk. Walaupun dia belum tahu tawaran kerja apa yang dimaksudkan,
dia tetap tidak keberatan untuk tunaikan permintaan mak ngah itu.
“Ijad
nak keluar kejap...” Syarizad bangun berdiri.
Rosni
memandang wajah Syarizad lama.
“Kejap
aje, ya?”
Syarizad
angguk laju-laju.
“Janji.”
Kemudian
tangan Rosni dicapai untuk bersalam. Topi di kepala dibetulkan lalu dia
berjalan mendapatkan pintu rumah. Macam biasa, kasut Conversenya tidak lupa
dipakai. Barang paling berharga sepanjang 20 tahun dia hidup.
Ketika
duduk di depan pintu, sepasang matanya menangkap bayang kereta Mercedes
terparkir tidak jauh dari rumah. Eh, itu bukan ke kereta yang hampir langgar
aku semalam? Kereta... datin tu...
Rosni
menjenguk ke luar melalui tingkap.
“Hazleena
balik rupanya...”
Syarizad
terkejut. Spontan kepalanya tertoleh ke belakang. Melihat mak ngah, dia segera
bangkit berdiri.
“Apa,
mak ngah?”
“Itu...
kereta Hazleena la tu. Dah lama dia tak balik. Ini mesti ada apa-apa sampai
balik ke sini,” rumus Rosni sambil kepalanya tertinjau-tinjau memerhati. Entah
apa yang Datin Hazleena tu buat dekat kawasan rumahnya ini. Pelik betul.
Syarizad
berpaling semula ke arah kereta yang sudah mula bergerak pergi.
“Mak
ngah kenal ke dia?” Mulut bertanya, tetapi mata masih melekat pada bayang
kereta yang semakin menghilang itu.
“Mana
boleh tak kenal? Hazleena tu orang sini jugak. Dah lama dia tak balik
sejak kahwin dengan orang kaya kat KL tu. Yalah, nak balik pun bukannya ada
apa-apa kat sini. Mak ayah dia pun dah lama meninggal. Adik-beradik pulak
dah bawak haluan masing-masing,” cerita Rosni sambil berlalu ke ruang
tamu untuk menonton drama di TV.
Syarizad
menyandar pada pintu sambil memandang ke arah mak ngah.
“Kenapa
Ijad tak pernah kenal dia pun?”
“Masa
dia kahwin dengan datuk tu, Ijad sekolah lagi. Manalah nak ambik tahu
hal-hal orang kampung ni. Jiran sebelah rumah pun tak kenal,” jawab Rosni
sambil mata fokus ke skrin TV. Syarizad dah janji nak balik awal pun dah cukup
buat dia rasa lega walaupun entah janjinya itu boleh dipercayai atau tidak.
Syarizad
tersengih dengan jawapan mak ngahnya itu.
“Okeylah,
Ijad pergi dulu. Bye, mak ngah!”
“Balik
awal, Ijad!”
“Ya!”
HUJUNG jari telunjuk menekan-nekan nombor satu per satu sambil mata tertancap
pada kad yang dipegang dengan tangan kiri. Kemudian gagang telefon awam itu
ditekapkan di telinga. Lama menunggu, barulah talian berjawab.
“Helo...”
“Helo...
err... Datin Hazleena?” teragak-agak Syarizad bertanya. Manalah tahu
kalau-kalau salah nombor ke. Berdebar-debar juga hatinya.
“Ya.
Siapa ni?” tanya Datin Hazleena dengan nada hairan.
“Saya...
ehem...” Syarizad berdeham dua kali. “Saya Syarizad. Ingat lagi tak yang datin
hampir langgar semalam?”
Senyap
seketika. “Ohhh... that poor girl...”
Syarizad
julingkan mata ke atas. Rasa nak campak aje gagang telefon kat tangan.
Suka-suka aje nak gelarkan dia macam tu.
“Pasal
tawaran datin tu...”
“Kenapa?
Awak nak terima?”
“Sebelum
saya terima, saya nak tahu dulu apa kerja yang datin tawarkan untuk saya.”
Senafas Syarizad menuturkan baris ayat itu.
“Okay,
meet me then...”
Syarizad
diam mendengar pertemuan yang diatur oleh Datin Hazleena. Keputusan sudah
dibuat. Kalau pun tawaran itu diterima, dia tetap mahu tahu pekerjaan apa yang
dimaksudkan. Kemudian gagang kembali diletakkan pada tempatnya.
Basikal
yang disandarkan di tepi dicapai. Sambil mengayuh, sambil fikiran melayang lagi
hingga tidak sedar basikalnya berhenti di satu kawasan. Kepalanya terdongak
memandang sepohon pokok besar di depan mata.
Syarizad
turun dari basikal. Setelah menongkat basikalnya, dia menghampiri pokok besar
itu. Lengan baju kemejanya disingsing hingga ke siku. Kemudian perlahan-lahan
pokok itu dipanjat. Dari satu dahan ke satu dahan, hingga berhenti pada dahan
besar di bahagian paling atas. Dia duduk di situ sambil menjulurkan kaki ke
bawah. Pada batang pokok itu, terukir elok satu sama. IJADABAH. Itulah nama
yang diberi kepada pokok itu selama ini.
Sejak
umurnya lima tahun, abah sudah mengajarnya memanjat pokok. Walaupun ibu selalu
marah-marah, abah tetap tak peduli. Di atas pokok itulah mereka berdua
menghabiskan masa bersama, berbual dan bercerita tentang impian. Perlahan
jemari Syarizad menyentuh ukiran nama itu. Titis air matanya gugur ke pipi.
“Abah...
Ijad rindu abah...” sayu luahan itu meniti keluar dari bibir Syarizad. Dia
menyandarkan kepala pada batang pokok itu sambil memejamkan mata, mengimbau
kembali kenangan-kenangan yang pernah terukir bersama abahnya.
Masih
dia ingat malam sewaktu kejadian itu berlaku. Dia di rumah seorang diri
menunggu kepulangan abah, ibu dan juga dua orang adik perempuannya. Namun,
bukan mereka bertiga yang pulang ke rumah. Sebaliknya satu berita yang
meretakkan seluruh hatinya. Abah, ibu, Syafiza dan Syarlina terlibat dalam
kemalangan dan tiada seorang pun yang dapat diselamatkan.
Sejak
itu, Syarizad terasa hidupnya sudah tiada erti lagi. Dia tidak mendapat tempat
di universiti dan terpaksa melihat rakan-rakan lain meneruskan hidup dengan
lebih baik. Atas pujukan Rosni, dia bersetuju untuk mendaftar sebagai pelajar
tingkatan enam tapi semuanya bagai tiada makna. Keputusan peperiksaan STPM yang
sangat teruk menghalang langkah Syarizad untuk menyambung pelajaran ke
peringkat yang lebih tinggi.
Syarizad
mengesat pipi yang basah. Sekali lagi ukiran nama itu direnung sebelum turun
dari pokok itu.
“Ijad
pergi dulu, abah. Nanti ada masa, Ijad datang lagi,” janjinya perlahan bersama
sepasang mata yang masih lagi basah.
“SYARIZAD
SABRI...” Datin Hazleena menyebut nama itu sambil merenung wajah gadis di
depannya.
Syarizad
mengangguk kecil dengan wajah menunduk. Demi pekerjaan, dia sanggup datang ke
restoran mahal di kawasan bandar itu. Nasib baiklah Idlan sudi meminjamkan
motosikal kepadanya. Tak adalah berpeluh nak mengayuh basikal berkilometer
jauhnya.
“So...
dah ready dengan tawaran kerja tu?” Datin Hazleena bertanya lagi.
Syarizad
mengangkat muka. “Boleh saya tahu kerja tu, kerja apa?”
Datin
Hazleena tersenyum. Sekeping gambar dikeluarkan dari beg tangannya dan
diletakkan di atas meja di depan Syarizad.
Syarizad
tunduk. Gambar seorang lelaki muda berwajah keinggerisan yang sedang tersenyum
manis. Rambutnya sedikit mengeriting tapi tersisir rapi. Sepasang matanya
berwarna kelabu kehijauan. Penampilannya pula nampak kemas dan segak dengan sut
hitam yang tersarung di tubuhnya. Kacak... macam muka mat salih. Sempat lagi
Syarizad memuji dalam hati. Kemudian wajah Datin Hazleena dipandang semula.
“Siapa
ni?”
“Anak
aku.” Tenang Datin Hazleena menjawab.
“Anak?”
Dahi Syarizad berkerut seribu. Cup! Bukan ke Datin Hazleena ni umurnya baru
30-an? Takkan dah ada anak sebesar ni kut? Muka mat salih pulak tu.
Kalau tengok luaran, agak-agak lelaki ni umur dalam lingkungan 26 hingga 28
tahun. Biar betul anak dia?
Datin
Hazleena berdeham sebelum kembali bersuara.
“Anak
tiri aku.”
“Ohh!”
Bibir Syarizad muncung ke depan membentuk huruf ‘O’. Anak tiri rupanya...
Mungkin anak suami dia dengan isteri pertama. Isteri pertama dia tu memang
orang putih kut. Syarizad membuat rumusan sendiri dalam hati.
“Jadi...
apa kerja saya?” Dia masih belum faham.
Datin
Hazleena membetulkan duduknya. “Minggu depan ada temu duga untuk jawatan PA
untuk Ben. Aku nak kau pergi temu duga tu dan pastikan kau dapat jawatan tu.”
Syarizad
terlopong. Tawaran apa macam ni? Pelik betullah perempuan ni. Topi di kepala
ditanggalkan sebelum kepala yang tidak gatal digaru-garu. Kemudian topi itu
diletakkan semula di atas kepala.
“Datin,
saya ni kelulusan takat STPM aje. Manalah mampu nak apply jawatan tu. PA
pun sekarang pakai ijazah tau?” Ewah kau Ijad, memandai aje kan?
Datin
Hazleena mengeluh dengan muka bosan. Lembab betullah! “Kau cuma perlu pergi
temu duga dan yang lain-lainnya, aku akan uruskan. Faham?”
Syarizad
terdiam. Tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan. Dia pelik sebenarnya.
Kenapa Datin Hazleena beria-ia nak dia pergi temu duga itu? Siap janji akan
uruskan semua benda lagi tu. Tidak dapat tidak, melintas juga rasa ragu di hati
Syarizad.
“Tapi
kalau saya tak lulus temu duga tu?”
“Kan
aku dah cakap, aku akan uruskan semuanya. Kau cuma perlu tunjuk muka sebagai
cukup syarat temu duga.”
“Itu
aje?” tanya Syarizad hairan.
Datin
Hazleena mengukir senyuman. Senyuman yang tidak mampu Syarizad tafsirkan apa
maknanya.
“Lepas
kau dapatkan kerja tu, tugas seterusnya...”
Syarizad
memasang telinga baik-baik.
“Aku
nak kau pikat hati Ben sampai dia jatuh cinta pada kau.”
Sekali
lagi Syarizad terlopong. Bukan mulut saja yang ternganga, matanya juga
terbuntang luas.
“Err...
pikat dia?”
Datin
Hazleena mengangguk.
“Tapi...”
Syarizad kematian kata.
“Aku
nak kau pikat dia sampai dia betul-betul jatuh cinta pada kau. Buat sampai dia
gilakan kau dan nak kahwin dengan kau. Lepas tu, kau boleh tinggalkan dia.
Senang, kan?”
“Habis,
apa tujuan saya kena buat dia jatuh cinta dengan saya?”
“Aku
nak kau bolot semua harta dia. Lepas tu, aku nak semua harta tu jatuh ke tangan
aku.”
Syarizad
terkunci mulut. Dia tersandar di kerusi tanpa suara. Benarkah apa yang dia
dengar tadi? Benarkah sekarang dia sedang berada dalam situasi ini? Situasi
gila ini? Benarkah?
“Setuju
atau tak?” Datin Hazleena menagih jawapan. Raut wajah Syarizad yang masih
terkejut diperhati dalam diam. Dari pandangan matanya, Syarizad sebenarnya
punya raut wajah yang sangat cantik. Kulitnya putih, hidungnya mancung, rupanya
seolah-olah ada iras-iras gadis Arab. Cuma kecantikan itu tersembunyi di
sebalik topi yang tak pernah lekang di kepalanya. Sifatnya yang kasar
seolah-olah menutup semua yang cantik untuk dipandang.
Syarizad
masih lagi diam. Kalau dia setuju, itu bermakna dia bersetuju untuk
mempermainkan hati seorang lelaki. Bukan ke itu tak elok? Mempermainkan
perasaan orang lain itu merupakan satu dosa. Sanggup ke dia buat semua tu?
Datin
Hazleena mengangkat kening. Diam Syarizad bagai memberi jawapan bahawa gadis
itu tidak setuju dengan tawarannya.
“Kalau
tak nak tak apa. Tapi ingat, tawaran ni lumayan. RM 50,000 akan jadi milik kau
dalam sekelip mata.”
Syarizad
masih lagi diam dengan mata yang tidak berkelip. Otak laju berfikir keputusan
yang harus diambil. Saat itu, bermacam-macam senario yang cuba dilupakan
bermain-main dalam fikiran.
Datin
Hazleena bangkit dari kerusi sambil menggalas beg di bahu. “Kau boleh fikir
dulu. Kalau kau ubah fikiran, kau boleh contact aku. Tapi... kalau boleh
secepat yang mungkin, sebab aku pun dah nak balik KL.”
Syarizad
tetap diam di tempatnya. Datin Hazleena sudah mula membuka langkah, sementara
otak Syarizad masih bekerja keras. Bukan tawaran RM 50,000 itu yang menarik
minatnya. Tetapi...
Tak,
tak. Aku tak boleh buat kerja gila ni. Nak permainkan hati orang? Kau gila ke,
Ijad? Dah hilang akal? Tak, tak. Aku tak boleh buat semua ni. Aku tak boleh
buat.
Sementara
akalnya sibuk memujuk hati, muncul pula suara lain yang seakan-akan menghasut.
Ijad,
kau lupa apa yang jadi tiga tahun lepas? Kau lupa macam mana kau diperlakukan
macam sampah oleh seseorang yang bernama lelaki? Kau lupa macam mana peritnya
kau tanggung semuanya selepas tu? Kau lupa ke, Ijad? Lupa!
“Datin!”
Syarizad bingkas mengejar Datin Hazleena sebelum sempat wanita itu keluar dari
restoran.
Datin
Hazleena berpaling semula. “Ya?”
Syarizad
menarik nafas dalam-dalam. “Saya setuju.”
Kening
Datin Hazleena terangkat tinggi. Dan tiba-tiba, bibirnya tersenyum penuh
misteri.
JAM tangan dipandang. Pukul 6.05 petang. Fuh, nasib baik sempat balik
sebelum maghrib. Syarizad terus berlalu masuk ke dalam rumah sambil melaungkan
salam.
“Waalaikumussalam.
Hah, kan bagus balik awal macam ni selalu. Ini tak, selagi tak tengah malam,
memang tak nampak muka tu,” tegur Rosni yang sedang menonton TV di ruang tamu.
Syarizad
menanggalkan topinya. Rambut yang diikat sejak pagi dilepaskan. Panjang
melepasi bahu. Kemudian dia duduk di kerusi kayu di depan Rosni.
“Ijad
dah dapat kerja. Kalau tak ada hal, lusa Ijad dah boleh pergi KL.”
Rosni
spontan mengalih muka ke arah Syarizad. “KL?”
Syarizad
mengangguk. Tangannya bermain-main dengan topi di tangan.
“Kenapa
nak kena pergi jauh sangat? Mengejut pulak tu...”
“Nak
buat macam mana, mak ngah? Dah memang tempat kerja tu kat KL. Ijad tak boleh
nak bantah,” jelas Syarizad.
Rosni
terdiam seketika. Wajah Syarizad diperhati dalam-dalam.
“Ijad
nak kerja apa sebenarnya ni?”
Giliran
Syarizad pula yang mengunci mulut. Teringat pesanan mak ngah pagi tadi. Maaf
mak ngah, Ijad tak boleh ikut cakap mak ngah. Dah sampai masanya untuk Ijad
buat keputusan sendiri. Biar Ijad yang tentukan yang mana baik untuk diri Ijad.
“Ijad?”
“Kerja...
PA.” Syarizad palsukan seulas senyuman.
Rosni
mengerut muka. Hati rasa tak sedap. PA? Entah kenapa sebaris perkataan
itu macam tidak berapa logik di pendengarannya.
“Dia
memang tengah nak pakai orang, mak ngah. Walaupun Ijad belajar tak tinggi, tapi
Ijad yakin Ijad boleh buat kerja tu. Mungkin dah memang rezeki Ijad,” jelas
Syarizad lagi. Dalam hati berharap sangat-sangat moga mak ngah tak ada
bantahan. Kalau pun mak ngah bantah, dia tetap akan teruskan.
“Siapa
dia yang Ijad maksudkan ni?” tanya Rosni.
“Hmm...
Datin Hazleena.” Syarizad menjeling wajah mak ngah mencari reaksi. Jelas wajah
itu terkejut.
“Datin
Hazleena?”
“Err...
maksud Ijad, Datin Hazleena cari calon PA untuk anak tiri dia. Jadi
nanti Ijad akan kerja dengan anak tiri dia itulah,” jelas Syarizad lagi.
Setakat itu saja mak ngah perlu tahu. Selebihnya, biarlah dia simpan sendiri.
Rosni
mengeluh panjang. Kalau itu kemahuan Syarizad, dia tiada daya nak menghalang.
“Yalah kalau macam tu...”
Barulah
bibir Syarizad dihiasi senyuman. Lega.
“Nanti
Ijad telefonlah Yana, mana tahu nanti Ijad boleh duduk dengan dia kat sana. Tak
payah susah-susah nak cari tempat tinggal lain,” cadang Rosni. Dia yakin
anaknya yang tinggal di KL itu tidak akan keberatan menghulur bantuan kepada
Syarizad.
Terus
senyuman di bibir Syarizad berubah kelat. Kalau dia nak kerja dengan Datin
Hazleena, dia perlu jauhkan diri daripada semua orang, termasuk ahli keluarga
sendiri.
“Tak
payah kut, mak ngah. Sebab... orang tu dia dah sediakan tempat tinggal untuk
Ijad kat sana nanti.”
“Ijad
ni betul ke? Yakin?” Rosni masih lagi ragu.
Syarizad
mengangguk laju-laju. “Ijad masuk dalam dulu, mak ngah...”
“Solat
asar jangan lupa...”
Pesanan
itu seolah-olah hanya berlalu sepi di telinga Syarizad. Dia berjalan masuk ke
bilik sambil otak terus bekerja keras memikirkan apa yang bakal berlaku selepas
ini.
No comments:
Post a Comment