Monday, 29 February 2016

BUNGA DI TAMAN LARANGAN - BAB 3



“HEI, Mr. Amar Idlan...” Syarizad memanggil dengan nada suara yang mengada-ada. Melihat Idlan menjeling ke arahnya, dia ketawa sakan. “Kau sibuk ke?”
“Kau tak nampak ke aku tengah buat kerja ni? Dah dua hari kau tak datang, hari ni datang pulak. Ada hal apa?”
“Aku bosanlah asyik hadap muka kau aje.” Satu jawapan yang membuatkan spanar di tangan Idlan naik ke kepala Syarizad. Dia tidak mengaduh sakit sebaliknya menyambung tawa.
“Kau ni... buat baik sikitlah dengan aku. Nanti karang aku dah tak ada, kau rindu aku tak tahu...” Syarizad angkat bahu dengan riak muka selamba.
Idlan terhenti buat kerja. Kepala diangkat ke arah Syarizad.
“Apa kau cakap?”
Syarizad tersenyum nipis.
“Aku pergi KL malam ni. Bas aku pukul 10.00,” beritahunya.
Idlan masih terdiam di situ. Merenung Syarizad dengan muka terkejut.
“Kau tengok aku macam tu kenapa?” Syarizad masih ketawa-ketawa. Sengaja main-main walhal dia tahu Idlan terkejut beruk. Tengoklah sekejap lagi, mesti teruk kena soal.
“Ikut aku...” Idlan menarik lengan Syarizad supaya mengikutnya. Ke mana lagi yang dituju kalau bukan bangsal kecil di luar bengkel itu.
“Kau nak buat apa pergi KL?” Idlan bertanya serius.
“Kan aku dah cakap aku ada dapat offer kerja. Kau lupa ke?”
“Perempuan yang hampir langgar kau tu?”
Syarizad angguk.
“Oh, tak boleh, tak boleh, tak boleh...” Idlan menggeleng-geleng.
“Kenapa?”
“Kau gila, Jad? Kau tak kenal pun siapa perempuan tu, kan? Senang-senang aje nak terima tawaran dia?”
“Dia orang kampung ni la!” Syarizad mempertahankan keputusannya. Memang Idlan ada sebab yang kukuh untuk tidak percaya tetapi dia tetap mahu teruskan.
Idlan terdiam lama. Nafas dilepas panjang.
“Kerja apa?”
PA
“Tak payah interview, tak payah bagi resume, terus kerja?”
“Dah orang nak bagi kerja, aku okey ajelah...”
“Kau dah fikir masak-masak ke?”
“Habis hangus rentung dah aku fikir,” gurau Syarizad. Sengaja menceriakan suaranya. Namun melihat wajah Idlan masih tegang, senyumannya memudar. Kepala yang tidak gatal digaru-garu.
Idlan mengeluh lagi.
“Jadi... kau terima?” Wajah Syarizad direnung dalam.
Syarizad mengangguk. Soal apa yang perlu dilakukan selepas menjadi PA, tidak perlulah Idlan tahu.
Idlan masih merenung Syarizad, seolah-olah cuba mencari sesuatu yang tersirat di sebalik wajah gadis itu. Dia kenal Syarizad bukan setahun dua, tetapi sejak kecil lagi. Sejak kedua-dua orang tuanya masih ada, sejak Syarizad masih lagi anak gadis yang lembut tutur katanya, baik tingkah lakunya. Cuma selepas peristiwa hitam yang berlaku dan juga kemalangan yang meragut nyawa seluruh ahli keluarganya, Syarizad berubah seratus peratus, menjadi dirinya yang baharu.
“Kenapa?” Syarizad bertanya pelik. Dia tahu Idlan bagai dapat menghidu sesuatu yang cuba disembunyikan. Jantung mula berdebar-debar. Mak ngah mungkin dia boleh tipu, tapi bukan Idlan.
Idlan menggeleng lalu menjatuhkan pandangan.
“Aku harap kau tak ada buat apa-apa yang tak sepatutnya.”
Syarizad ketawa hambar.
“Kau ingat aku nak buat apa?”
“Aku ingat lagi apa yang kau cakap kat aku tiga tahun lepas, Jad...” ujar Idlan sambil menyandarkan badannya pada kerusi.
Senyuman di bibir Syarizad mati. Apabila kisah itu diungkit, jantungnya rasa bagaikan disentap kuat.
Idlan kembali menoleh ke wajah Syarizad. Wajah itu jelas menyimpan satu cerita yang tidak mungkin dapat dibaca oleh orang lain.
“Masih berdendam dengan orang lelaki?”
Syarizad tidak menjawab. Dia menanggalkan topinya dan berpura-pura bermain dengan topi itu.
“Hal yang lepas tu biarlah lepas, Jad,” ujar Idlan perlahan.
Dia tahu sejak peristiwa hitam itu, Syarizad menyimpan dendam terhadap kaum lelaki. Kalau tidak disebabkan mereka sudah bersahabat sejak kecil, dengan dia sekali bakal menjadi mangsa dendam Syarizad. Walaupun peristiwa itu berlaku lebih tiga tahun lalu, dia tahu Syarizad masih belum boleh melupakan semuanya.
“Kau ni...” Syarizad pura-pura ketawa walaupun jelas hambar bunyinya.
“Aku ada dengan kau masa tu, Jad. Aku ada masa kau cakap kau takkan lupakan apa yang jadi pada kau sampai mati.” Idlan mengingatkan hal itu. Dia masih ingat dengan jelas janji Syarizad dan tekad Syarizad bersama air mata yang berlinangan di pipinya.
Syarizad senyum pahit. Memang benar, hal yang lepas tu biarlah lepas. Hal yang lama itu biarkan berlalu. Tetapi disebabkan hal yang lama itulah, dia menjadi dirinya hari ini.
“Aku balik dulu.” Syarizad menukar topik. Topi kembali diletakkan di atas kepala sebelum membuka langkah menghampiri basikalnya.
Idlan menghembus nafas. Dia memang tidak betah tengok Syarizad masam muka begitu dengannya. Akalnya tiba-tiba mendapat idea.
“Jad.”
Panggilan itu membuatkan Syarizad berpaling semula.
“Bas kau malam ni, kan?”
Syarizad mengangguk.
“Jom, aku bawak kau pusing Alor Setar,” kata Idlan. Bibirnya tersenyum sambil kening diangkat tinggi.
Syarizad kerut dahi. “Kerja kau?”
Idlan angkat bahu. Sambil berjalan masuk ke bengkel, dia melaung, “Abang Bob! Hari ni saya minta cuti setengah hari!”
Hilang kepedihan yang dirasai tadi, Syarizad akhirnya tertawa kecil. Dia tahu walau apa pun yang berlaku, Idlan tetap sayangkannya.



“BARANG semua dah kemas? Ada apa-apa yang tertinggal lagi tak?”
Entah sudah kali ke berapa soalan itu ditanyakan Rosni. Syarizad menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepalanya. Teringat dulu sewaktu ibu masih ada, mesti tak menang tangan tolong dia kemas barang setiap kali dia menyertai kem di sekolah. Kenangan melintas lagi dalam fikiran. Syarizad hembus nafas panjang.
“Betul ni Ijad tak nak telefon Yana?” Rosni bertanya lagi soalan yang sama. Dah puas tanya, jawapan Syarizad tetap sama. Bukannya apa, dia risau kalau-kalau Syarizad ada masalah di sana nanti. Lagipun ini kali pertama Syarizad ke KL seorang diri.
“Betul, mak ngah. Mak ngah janganlah risau. Ini Ijad okey, siapa pun tak berani nak kacau.” Syarizad tersengih mengusik.
Rosni membalas dengan jelingan.
“Dahlah, cepat siap. Idlan dah tunggu kat luar.”
“Baik!” Syarizad mencapai begnya lalu digalas pada bahu. Topi setia menemani kepalanya.
Syarizad keluar dari bilik sejurus kemudian. Idlan sudah menunggu di ruang tamu. Tadi lepas dah puas jalan-jalan, dia terus balik ke rumah dan Idlan berjanji akan datang lagi untuk menghantarnya ke stesen bas malam ini.
“Cuba kau buka topi kau tu sekali-sekala. Rimas aku tengok,” komen Idlan selamba.
Syarizad tayang muka tak ada perasaan.
“Topi aku, suka hati akulah.”
“Memanglah topi kau, tapi mata aku yang tengok ni rimas tau! Lagipun dah malam kut.”
“Tak ada pun undang-undang kata tak boleh pakai topi waktu malam.”
“Hah dah, dah. Kalau dah bergaduh tu memang susah nak berhenti.” Rosni pantas meleraikan pertikaman lidah kedua-duanya. Dia tahu betapa rapatnya hubungan Syarizad dan Idlan.
Walaupun Idlan itu tua tiga tahun daripada Syarizad, itu tidak menghalangnya untuk berkawan rapat dengan Syarizad. Sewaktu Syarizad berdepan dengan kehilangan keluarganya yang sangat menyakitkan, Idlanlah antara orang yang banyak memberi semangat kepada Syarizad. Sementelah pula semenjak bersekolah, Syarizad tidak punya ramai kawan.
“Ijad pergi dulu, mak ngah.” Syarizad menghulur tangan untuk bersalam.
“Jaga diri baik-baik, Ijad. Sampai sana nanti rajin-rajinlah telefon mak ngah ya.” Rosni memeluk tubuh Syarizad dengan erat. Hanya satu doanya, semoga Syarizad tidak tersilap langkah dalam apa saja yang dia lakukan selepas ini.
“Nanti Ijad dah beli handphone, Ijad telefon mak ngah hari-hari okey?” gurau Syarizad membuatkan Rosni tertawa.
“Jom, Lan!” ajak Syarizad. Nampak jelas betapa dia teruja walaupun masih terselit rasa ragu untuk menjalankan kerja yang telah dipersetujui.
Idlan turut menyalami tangan Rosni lalu terus keluar dari rumah. Nasib baik dia pinjam kereta dengan ayahnya, jadi tak adalah susah payah nak angkut beg Syarizad dengan motosikal.
“Kau ingat tau, kat sana nanti telefon aku. Kalau kau senyap tak ada berita, aku buat iklan dalam surat khabar.” Dalam-dalam berpesan, sempat lagi Idlan mengugut.
Syarizad ketawa lepas. “Ya, ya... aku tahu kau sayang aku. Kan?” Dia buat muka mengada-ada.
Idlan mencebik. Sampai di stesen bas, dia mengangkat beg Syarizad lalu diletakkan di tempat menyimpan barang.
“Jaga diri.”
“Diri akan dijaga.” Syarizad tergelak-gelak.
“Aku serius ni.” Idlan tegangkan muka. Syarizad ni asyik main-main aje. Yang hairannya, Syarizad cuma banyak bergurau dengannya. Dengan orang lain, muka ketat 24 jam.
Syarizad ketawa lagi.
“Yaaaa... aku tahulah nak jaga diri aku nanti. Kau tu tengok-tengoklah mak ngah aku ya,” pesannya pula.
Idlan mengangguk.
Bye...”
Syarizad membalas dengan lambaian tinggi. Kemudian dia terus berlalu masuk ke dalam bas. Sambil merenung ke luar cermin tingkap, fikirannya melayang jauh memikirkan apa yang bakal terjadi dalam hidupnya selepas ini. Ya, segala-galanya akan berubah.

No comments:

Post a Comment