“TAPI perempuan tadi cantik, kan? Sesuai dengan abang!” kata Allison
sesudah turun dari kereta. Pintu ditutup rapat.
Ben
menggeleng-geleng. “Not my type.”
“Oh
lupa, abang kan nak kahwin dengan ustazah.” Allison tergelak-gelak mengusik.
Ben
buat muka. Bahu Allison dipaut rapat lalu mereka jalan beriringan masuk ke
dalam rumah. Mummy dan papa sedang duduk di ruang tamu sambil menonton
TV. Nampak kelibat mereka berdua, papa menggamit supaya mendekat. Ben dan
Allison turutkan saja.
“Dari
mana ni?” tanya Datuk Jaini.
Ben
duduk di sebelah Allison melepaskan penat.
“Ally
ajak keluar jalan-jalan tadi. Ben ikutkan ajelah,” jawabnya. Dia pun bukan
selalu keluar malam. Kalau keluar pun, mesti dengan Allison.
“Ni...
mummy ada benda nak cakap dengan Ben,” ujar Datuk Jaini sambil
mengerling ke arah isterinya di sebelah.
“Apa
dia, mummy?”
Datin
Hazleena tersenyum.
“Esok
calon PA yang nak datang temu duga tu akan pergi jumpa Ben kat ofis.”
“Oh...”
Ben terangguk-angguk. Dia pun pelik juga sebenarnya kenapa mummynya
macam cari calon isteri. Hesy, tak mahulah kalau macam tu. Kalau dia nak
kahwin, biar dia sendiri yang tentukan calonnya.
“Ben
tak perlulah tanya dia soalan macam-macam. Percaya aje dengan pilihan mummy
tu, dia memang bagus budaknya walaupun cuma lepasan STPM aje,” ujar Datin
Hazleena lagi. Semuanya sudah dijelaskan kepada Ben dan dia yakin anak tirinya
itu tidak akan membantah arahannya. Bukan ke Ben memang seorang anak yang taat?
Allison
menoleh ke wajah abangnya. Nampak macam terpaksa pun ada juga. Maklumlah, nak
hormatkan mummy punya pasal.
Ben
mengangguk-angguk.
“Okey,
mummy. Hmm... Ben naik atas dulu ya.” Ben meminta diri untuk naik
ke bilik.
“Ally
pun.” Allison buru-buru mengikut langkah Ben. Sampai di tangga, bahu Ben
dicuit.
Ben
berpaling.
“Kenapa
abang ikut sangat mummy tu? Kan tu pekerja abang, suka hatilah abang nak
pilih siapa pun,” bebel Allison. Bukan dia tak suka mummy, cuma dia
kurang setuju dengan keputusan abangnya yang cuma ikut saja kata mummynya
tanpa fikir panjang.
Ben
jongket bahu.
“Abang
malas fikir panjang-panjang. Kalau calon mummy tu boleh buat kerja, kira
okeylah.”
Allison
buat muka. Kalau dah itu kata Ben, dia pun tiada kuasa nak membantah lagi.
SYARIZAD
melilaukan mata ke sekitar Hentian Duta itu. Boleh tahan ramai juga orang di
situ memandangkan masing-masing baru tiba dengan bas yang dinaiki. Syarizad
berjalan perlahan-lahan mengikut arah yang dituju orang ramai.
Nun
di seberang jalan, dia terpandangkan Pak Ali yang sedang bersandar di tepi
keretanya. Nampak saja dirinya, Pak Ali segera memberi isyarat supaya dia
menunggu di situ. Syarizad tercegat berdiri sehingga Pak Ali datang dekat
dengannya.
“Assalamualaikum,
pak cik,” ucap Syarizad sambil mengukir senyum.
“Waalaikumussalam,
Syarizad. Sini beg tu Pak Ali bawakkan.” Pak Ali sudah pun menghulurkan
tangannya.
“Eh,
tak payahlah, pak cik. Beg ni bukan berat pun. Lagipun saya kuat lagi,” jawab
Syarizad. Entah kenapa dengan Pak Ali, cepat benar kemesraan itu terjalin.
Mungkin kerana sifat kebapaan Pak Ali yang mengingatkannya kepada arwah abah.
“Panggil
Pak Ali, kan ke mesra sikit bunyinya tu,” tegur Pak Ali sambil tersenyum.
“Ohh...”
Syarizad mengangguk. “Okey.”
“Jom,
ikut Pak Ali pergi dekat kereta.”
Syarizad
mengikut langkah Pak Ali menghampiri Honda Accord yang terparkir di seberang
jalan. Hmm... orang kaya, tak peliklah kalau pakai kereta sepuluh buah
pun. Sempat lagi hatinya berkata-kata.
“Saya
kena duduk kat mana, Pak Ali?” Syarizad bertanya ketika kereta sudah mula
bergerak. Tadinya dia mahu duduk di depan tetapi Pak Ali tidak mengizinkan.
Terpaksalah dia mengalah juga dan duduk di belakang macam mem besar.
“Datin
dah sediakan sebuah rumah untuk Syarizad. Kejap lagi sampailah ni,” jawab Pak
Ali sambil sesekali memandang gadis itu melalui cermin pandang belakang.
Syarizad
mengangguk-angguk.
“Tak
payahlah panggil Syarizad. Macam feminin sangat bunyinya.”
Pak
Ali spontan ketawa mendengar kata-kata itu.
“Habis
tu Pak Ali nak panggil apa?”
“Panggil
Ijad aje dah cukup,” ujar Syarizad lalu tersenyum.
“Ijad...”
Pak Ali mengangguk-angguk sebelum membalas senyuman Syarizad.
Mereka
tiba di sebuah kawasan pangsapuri setelah hampir setengah jam menaiki kereta.
Syarizad hanya mengikuti langkah Pak Ali naik ke tingkat lima. Kemudian dia
dibawa menuju ke arah sebuah pangsapuri yang sederhana besar, lengkap dengan
perabot di dalamnya. Syarizad terpaku kagum.
“Ijad
duduk sini ya. Datin dah siapkan semuanya untuk Ijad,” ujar Pak Ali sambil
meletakkan beg Syarizad di depan pintu rumah.
Syarizad
menoleh ke arah Pak Ali yang hanya berdiri di tepi pintu.
“Ni
kuncinya,” hulur Pak Ali.
Syarizad
mengambil kunci itu.
“Terima
kasih, Pak Ali.”
“Kalau
Ijad nak apa-apa, Ijad boleh telefon Pak Ali. Kalau Pak Ali boleh tolong, Pak
Ali tolong.” Lembut Pak Ali berpesan.
Dia
tidak tahu pekerjaan apa sebenarnya yang ditawarkan kepada Syarizad, cuma dia
berharap pekerjaan itu bukanlah pekerjaan yang tidak elok. Mengenali Syarizad,
dia yakin gadis itu gadis yang baik-baik. Tak mungkin Syarizad sanggup
melakukan kerja yang tidak baik.
Syarizad
mengangguk. “Terima kasih, Pak Ali.”
“Pak
Ali balik dulu.” Pak Ali meminta diri.
Syarizad
mengunci pintu rumah sebelum bergerak ke arah ruang tamu. Matanya melilau ke
kiri dan kanan memerhatikan pangsapuri mewah itu. Tak payah tanya, tengok
perabot dan segala jenis barang dalam rumah tu pun sudah cukup. Syarizad telan
liur. Sungguh dia tak pernah mimpi pun nak duduk dalam rumah semewah ini.
Syarizad
membaringkan tubuh di atas sofa empuk di situ sebelum memejamkan mata. Baru
saja lena datang menjelma, bayangan silam yang telah lama dilupakan kembali
mengisi ruang fikiran. Suasana yang gelap, jeritannya yang bergema seluruh
ruang, dan air mata yang tidak henti-henti mengalir ke pipi.
Sepantas
kilat Syarizad membuka mata dan bangkit dari perbaringannya. Nafas yang
dihembus terasa berat. Syarizad menekup muka dengan kedua-dua belah tapak
tangannya.
Tak
apa, Ijad. Tak lama lagi, dendam kau akan terbalas. Kau akan tengok seorang
lelaki tersungkur di kaki kau sendiri. Walaupun bukan lelaki yang telah
merosakkan hidup kau dulu, dendam kau tetap akan terbalas.
ALMARI kayu besar yang berukir cantik itu dihampiri. Daun pintu ditarik,
menyerlahkan semua pakaian yang tergantung di dalamnya. Tengok daripada corak
dan designnya sahaja, Syarizad yakin semua baju itu mahal harganya.
Dicapai sehelai kemeja dengan potongan mengikut bentuk badan lalu diacukan pada
tubuhnya sendiri sambil memandang cermin.
Isy,
takkanlah dia nak pakai baju macam ni? Gelilah! Selama ni dia cuma tahu pakai
kemeja longgar dengan t-shirt lusuh aje. Tapi... takkanlah nak pakai
macam tu pergi kerja kut? Belum sempat ditemu duga, dah sah kena reject
dulu. Syarizad mengeluh sendiri.
Sedang
dia berkira-kira apa yang perlu dipakai, terdengar bunyi loceng pintu dari
luar. Dengan kerut di dahi, Syarizad keluar dari bilik mendapatkan pintu. Dia
mengintai dari lubang kecil pada pintu itu. Seorang wanita cantik dengan rambut
blonde dan baju bergaya sedang tercegat di luar. Syarizad menarik daun
pintu.
“Ya?”
“Syarizad?”
tanya gadis cantik itu.
Syarizad
mengangguk.
“I
Marlyn, call me Lyn. Datin Hazleena yang upah I datang sini untuk jadi
jurudandan you.” Marlyn tersenyum manis.
“Ohhh...
err...” Syarizad kematian kata. Terkejut sebenarnya. Siap ada
jurudandan?
“May
I come in?” Marlyn bertanya lagi.
“Ohh...
okey.” Syarizad membuka gril untuk Marlyn masuk. Kemudian gadis itu dibawa ke
bilik.
“Okey...”
Marlyn meletakkan begnya di atas katil. “Sebagai permulaan...” Tangannya
mengetuk-ngetuk dagu sambil mata memerhati semua pakaian yang tergantung di
dalam almari.
Syarizad
hanya diam menunggu Marlyn memilihkan pakaian untuknya.
“Cuba
pakai ni.” Marlyn menghulurkan pakaian yang dikeluarkan dari almari kepada
Syarizad.
“Ni?”
Syarizad kerutkan dahi dengan muka tidak percaya.
“Yes.”
Marlyn mengangguk. Melihat Syarizad masih tercegat di situ, dia mengeluh. “Come
on, hurry up! I need to get you 100 percent ready before eight.”
Syarizad
tiada pilihan selain menurut saja. Baju yang dipilih Marlyn disarungkan ke
tubuh. Sehelai kemeja yang agak singkat dan agak ketat hingga menampakkan
bentuk tubuhnya dipadankan dengan skirt separas lutut.
“Good!
Sekarang duduk.” Marlyn menolak bahu Syarizad supaya duduk di atas kerusi di
depan meja solek.
Dengan
muka berkerut, Syarizad terpaksa menurut semuanya. Apatah lagi apabila tangan
Marlyn lincah menconteng segala jenis alat mekap ke mukanya.
Sabar,
Ijad... Kau ada misi yang perlu diselesaikan. Tepis segala rasa tak selesa kau
tu. Semua ni hanya sementara. Kalau kau nak misi kau berjaya, kau perlu kuat
hadapi semua ini. Pujuk hatinya.
“Done!”
Marlyn tersenyum gembira. Dia meminta Syarizad berdiri dan melihat wajahnya
sendiri di cermin.
Syarizad
menurut. Tidak berkelip matanya merenung mukanya yang sudah disolek cantik
dengan penampilan yang boleh tahan seksi. Rambutnya juga sudah didandan cantik.
Tiada lagi imej tomboi seorang Syarizad. Tiada topi yang selalu menutup kepala
dan pastinya tiada kemeja longgar dengan t-shirt lusuh yang selalu
dipakai.
Sebaliknya
Syarizad yang sedang membalas renungannya dari dalam cermin ialah seorang
Syarizad yang baharu. Yang cantik, yang seksi, yang berani, dan seharusnya yang
berkeyakinan tinggi.
“So...
are you ready for your interview?” Marlyn bertanya sambil tersenyum.
Syarizad
berpaling memandang Marlyn.
Ya,
Ijad. Sedia! Desis hatinya.
KASUT tumit tinggi yang dipakai benar-benar membataskan pergerakannya.
Berkali-kali dia hampir jatuh tersungkur disebabkan kasut itu. Kalau tidak
memikirkan misi yang menanti, dah lama dia keluarkan Conversenya semula. Tapi
macam pelik pulak pakai skirt singkat dengan Converse, kan? Dah tak ada
rupa orang nak pergi ke pejabat pulak.
“Ijad
okey?” Pak Ali bertanya setelah mereka sama-sama turun dari kereta.
Syarizad
mengangguk. Hujung skirt yang dipakai ditarik sedikit. Begitu juga dengan
kemeja singkat yang tersarung di tubuhnya.
“Okey.”
“Nampak
macam tak selesa aje,” tegur Pak Ali. Sejujurnya, dia sendiri terkejut melihat
penampilan Syarizad ketika menjemput gadis itu di rumahnya pagi tadi. Tidak
tahulah kenapa, tetapi hati Pak Ali benar-benar rasa tidak sedap. Hendak
menegur, dia tiada hak. Jadi terpaksalah dia berdiam diri sahaja.
“Tak
ada apalah, Pak Ali. Hmm... Ijad masuk dulu ya.” Syarizad meminta diri.
“Err... ini kan ofisnya?” Syarizad menuding jari ke arah pintu masuk
syarikat JAB Holdings itu.
“Haah,
betullah tu,” jawab Pak Ali. “Oh ya, ini Datin suruh Pak Ali bagi kat Ijad.”
Pak Ali menghulurkan sebuah fail kepada Syarizad.
Syarizad
mengambil fail itu tanpa bertanya apa-apa. Dia yakin Datin Hazleena sudah
menyiapkan segala dokumen untuknya. Hebat, dia tak perlu bawa apa-apa pun,
semuanya sudah tersedia.
“Dan
ni lagi satu.” Telefon pintar berjenama Samsung dihulurkan kepada Syarizad.
Syarizad
tidak terkata apa.
“Nombornya
ada tersimpan kat dalam telefon tu.”
“Terima
kasih, Pak Ali.” Hanya itu yang mampu diucapkan Syarizad ketika itu.
“Elok-elok
ya, Ijad.” Lagak seorang bapa Pak Ali berpesan. Hatinya benar-benar berharap
moga-moga tiada yang buruk bakal berlaku kepada gadis itu.
Syarizad
mengangguk. Setelah mengucapkan terima kasih, dia segera mengheret kaki yang
tidak stabil dengan kasut setinggi tiga inci itu masuk ke dalam ruangan pejabat.
Kalau
ikut kata Datin Hazleena, pejabat anak tirinya itu berada di tingkat enam.
Syarizad masuk ke dalam lif lalu terus menekan nombor enam pada punat di tepi
pintu. Ramai juga pekerja-pekerja yang turut menaiki lif yang sama membuatkan
masing-masing saling berhimpit.
Hesy,
nasib baik tak tersungkur dengan kasut tinggi ni. Sempat lagi dia membebel
dalam hati.
Sebaik
saja lif berhenti di tingkat enam, Syarizad segera keluar. Ketika itulah
jantungnya mula berdegup laju. Perasaan bimbang semakin terasa. Berkali-kali
dia menarik nafas sambil membisikkan kata-kata semangat kepada diri sendiri.
“Selamat
pagi.” Syarizad menuturkan ucapan itu setelah menghampiri sebuah meja yang
terletak di bahagian depan.
Gadis
yang duduk di meja itu mengangkat kepalanya.
“Selamat
pagi. Yes... may I help you, miss?”
“Err...”
Syarizad mengetap bibir. Cakap Melayu tak boleh ke? Dia ni mana pandai nak
cakap Bahasa Inggeris. Setakat sikit-sikit tu bolehlah, itu pun tergeliat
lidah. Alahai...
“Cik?”
Gadis yang memakai tanda nama Aiza itu memanggil hairan. Dahinya berkerut.
“Ehem...”
Syarizad menarik nafas. “Saya sebenarnya datang ni untuk temu duga jawatan PA
untuk...”
“Oh
ya, ya. Baru saya ingat pasal tu. Cik... Syarizad, kan?” Aiza bertanya ramah.
“Haah,
ya saya.” Syarizad mengangguk laju. Fuh, nasib baik.
Aiza
bangkit dari kerusinya.
“Saya
Aiza, boleh panggil Kak Aiza.” Tangan dihulurkan untuk bersalam dengan
Syarizad.
Syarizad
memaksa bibir untuk senyum. Salam yang dihulurkan disambut. Lega kerana wanita
itu sudi memperkenalkan diri. Tak adalah dia terkebil-kebil di situ macam orang
asing.
“Sebenarnya
Encik Ben tak sampai lagi. Jadi akak rasa baik awak duduk dulu sementara dia
sampai ya.” Lembut Aiza menjelaskan.
“Oh...
okey...” Syarizad mengangguk. Dia kemudian duduk di atas sofa yang disediakan
di situ. Nasiblah... bos, boleh datang lambat bila-bila masa aje. Bebel hatinya
lagi.
Sambil
menunggu, matanya melilau ke sekitar ruang pejabat. Suasana di situ sangat
tenang, masing-masing sibuk buat kerja. Kalau ada yang berbual pun masih lagi
terkawal dan tidak kecoh.
Tiba-tiba
ada seorang lelaki melintas di depan. Syarizad panggung kepala. Tengok dari
tepi, macam nak sama aje dengan muka lelaki dalam gambar yang Datin Hazleena
tunjuk hari tu. Anak matanya dikecilkan, memerhati lelaki itu bercakap dengan
Kak Aiza.
“Calon
PA encik yang nak datang temu duga tu... dia dah sampai,” beritahu Aiza.
“Oh...
mana dia?” Ben melilaukan mata ke sekeliling.
Aiza
menuding jarinya ke arah Syarizad. Sedar dirinya menjadi bahan perbualan,
cepat-cepat Syarizad bangkit berdiri. Terhuyung-hayang sekejap badannya dek
kerana bangun mengejut, lupa yang kakinya masih lagi tersarung kasut tumit
tinggi. Hesy, buat malu ajelah!
Ben
menyimpan senyum. Jadi... inilah gadis yang mummynya cerita tu? Hmm...
cantik! Wajahnya nampak macam orang Arab. Renungan matanya nampak garang dan
menyimpan seribu cerita. Ben terangguk sendiri tanpa sedar. First impression
tu sangat penting, kan?
Sama
seperti Ben, Syarizad turut memerhatikan lelaki itu dalam diam. Orangnya
tinggi, berkulit putih memang macam muka mat salih, rambutnya yang sedikit
mengeriting disisir rapi, sepasang anak mata yang berwarna kelabu kehijauan,
dan dia nampak sangat segak dengan kemeja biru lembut yang dipadankan dengan
tali leher biru tua berjalur putih. Kot hitam
yang dipakai itu menambahkan lagi kekacakannya.
“Come...
ikut saya,” ujar Ben kepada Syarizad lalu terus berlalu masuk ke biliknya.
Buru-buru
Syarizad mengejar. Kasut tumit tinggi ni memanglah kan, saja nak halang
pergerakan laju dia. Kalau pakai sneakers, kan senang?
“Good
luck.” Sempat lagi Aiza berpesan perlahan.
Syarizad
membalas dengan senyuman janggal. Ketika melepasi pintu bilik lelaki yang bakal
menjadi bosnya itu, matanya sempat menangkap nama yang melekat di depan pintu.
Ben Ikhzal Bin Datuk Jaini. Macam pelik aje nama dia ni?
“Ehem!”
Syarizad
tersentak apabila terdengar dehaman Ben. Cepat-cepat dia masuk ke dalam setelah
menutup pintu.
“Duduklah,”
pelawa Ben. Dia sendiri pun sudah mengambil tempat di atas kerusi empuknya.
Komputer dihidupkan tanpa memandang ke arah Syarizad.
Syarizad
mengambil tempat di salah satu kerusi. Skirt yang dipakai spontan jadi semakin
singkat. Mulalah dia tidak tentu arah jadinya. Duduk pun tidak selesa sambil
tangan menarik-narik skirt. Kononnya dengan cara itu hujung skirtnya akan
memanjang sampai menutup seluruh kaki. Walhal bukannya lelaki itu nampak pun
kakinya yang jelas-jelas berada di bawah meja.
“So...
hmm...” Ben mengalih muka ke arah Syarizad. Ketika itulah dia perasan
tingkah Syarizad. Dahinya berkerut sedikit. Pelik, pakai skirt singkat tapi
tarik-tarik pula. Kalau memang tidak mahu skirt itu jadi singkat, pakailah yang
labuh sedikit. Namun soalan itu tidak terluahkan di mulutnya.
“Boleh
saya tengok resume awak?”
“Boleh,
boleh.” Kalut Syarizad menghulurkan fail kepada Ben.
Ben
membelek-belek isi kandungan fail itu. Pesanan mummynya malam tadi
kembali mengisi fikiran.
“So...
Syarizad Sabri...”
Syarizad
menelan liur. Aduh Ijad, kau ni kenapa? Bertenang boleh tak? Baru sikit, dah
menggelabah macam ni, macam mana nak jalankan misi? Bawa bertenang, yakin yang
kau boleh buat. Nafas dihembus panjang.
“Boleh
saya panggil... Syari?”
Syarizad
terdiam. Apa? Syari? Apa pelik sangat nama panggilan tu? Hesy, suka-suka hati
dia aje nak panggil, kan? Tapi entah kenapa, mulut terasa berat nak membantah.
“Saya
sebenarnya tak nak terlalu formal sebab my mum dah cerita semuanya
tentang awak. Dia percaya, awak yang terbaik untuk jadi PA saya dan
memandangkan sekarang ni saya memang memerlukan PA, jadi...” Ben
berhenti seketika di situ. Wajah Syarizad menjadi mangsa renungan matanya.
“Bila
awak boleh mula kerja?”
Syarizad
tersentak. Erk, semudah itu? Tak perlu tanya apa-apa? Serius?
“Syari?”
Ben memanggil hairan. Biar betul mummy ni? Boleh ke dia ni nak jadi PA
aku? Blur semacam aje kenapa?
“Ya...
err...” Syarizad menarik nafas panjang-panjang. “Bila-bila pun okey,
Encik Ben.... saya tak kisah.”
Ben
angkat kening. Bibirnya menguntum senyuman nipis.
“Okay
then, awak boleh mula kerja esok.”
Syarizad
mengangguk.
“Okey.”
Ben
menghulur semula fail kepada Syarizad.
“Terima
kasih,” ucap Syarizad. Kemudian dia terus berlalu keluar dari bilik pejabat
itu. Nafas panjang terlepas.
Tak
apa Ijad, ini baru permulaan. Kau boleh buat lagi baik lepas ni. Semangat!
Baru
setapak melangkah, telefon pintar yang diberikan Pak Ali pagi tadi tiba-tiba
berbunyi. Dengan kerut di dahi, Syarizad menjawab panggilan itu.
“He...
helo...”
“Helo,
Syarizad. So, macam mana interview kau tadi?”
Datin!
Syarizad terus tertelan liur.
“Hmm...
okey. Semua okey. Esok saya dah boleh mula kerja.”
“Bagus.
Ingat tujuan utama kau kerja kat situ. Aku tak nak kau leka.” Hanya itu dipesan
kemudian talian terus dimatikan.
Syarizad
terkebil-kebil sendiri. Leka? Apa maksud leka? Leka dengan Ben Ikhzal tu? Tak
apa, datin. Jangan risau, saya tak akan kecewakan datin. Tekadnya dalam hati.
No comments:
Post a Comment