Monday, 29 February 2016

BUNGA DI TAMAN LARANGAN - BAB 6



RAMBANG mata Syarizad sebaik saja menjejakkan kaki masuk ke dalam pusat membeli-belah Pavilion itu. Harga mesti mahal punya. Aduh! Dia mana ada duit. Pagi tadi, masa datang kerja adalah sikit Pak Ali bagi duit, itu pun Datin Hazleena yang suruh. Ini pula nak beli skirt tempat mewah macam ni? Mimpi ngeri juga dia dibuatnya malam ni.
“Skirt macam mana yang awak nak?” Ben bertanya sambil menoleh ke arah Syarizad.
Err... saya...” Syarizad menggaru-garu kepalanya. Wajahnya pula dikerutkan dengan senyuman teragak-agak memandang Ben.
Ben angkat kedua-dua belah kening. Agak lama berbalas pandang sebelum akhirnya dia hembus nafas. Faham.
Fine. Saya bayarkan.”
Dengar saja ayat tu, terus senyuman Syarizad melebar. Kalau macam inilah, dapat kahwin dengan Ben seumur hidup pun dia sanggup! Sempat lagi otak berangan-angan.
Dari satu butik ke satu butik, semua skirt dicubanya. Siap buat pertunjukan catwalk di depan Ben lagi. Kalau setakat itu Ben masih mampu tahan, tapi apabila dah setiap kali catwalk siap dengan lenggok dan gaya menggoda, siapa yang tahan? Tok imam pun boleh berpeluh dahi.
“Cantik tak, Encik Ben?” Syarizad menggayakan skirt yang dipakai di depan Ben. Tak cukup dengan catwalk, siap berpusing-pusing gaya pakai gaun princess. Senyumannya diukir manis.
Ben telan liur. Wajahnya dipalingkan ke arah lain, buat-buat tidak nampak lenggok tubuh Syarizad yang jelas seperti sengaja menggoda. Hanya anggukan yang diberikan sebagai menjawab pertanyaan gadis itu.
“Angguk aje?” Syarizad tak puas hati. Nada suara manja semacam.
“Cantik.” Ben terus menjawab laju. Bukan apa, makin lama mereka di situ, makin dia rasa macam nak jerut leher sendiri.
Inilah jadinya apabila orang tak pernah berkawan rapat dengan perempuan keluar shopping dengan perempuan. Memanglah sebelum ni dia pernah ada PA, tapi tak pernah lagi ada PA macam Syarizad. Perempuan ni memang... something!
“Jadi... saya ambik yang inilah ya?” Syarizad senyum lagi.
“Ya, ambiklah mana-mana yang awak nak. Lagi cepat beli, lagi bagus,” ujar Ben.
“Alah, Encik Ben ni...”
“Dah, pergi tukar skirt tu. Saya nak pergi bayar,” arah Ben malas menunggu lagi.
“Okey...” Syarizad kembali semula ke arah bilik persalinan. Namun bibir masih lagi tersenyum mekar. Dia tahu Ben sudah mula tergoda. Tak susah pun, kan? Pakai seksi sikit, buat gaya manja sikit, terus goyah sang hati.
Tapi yang hairannya, kenapa dia rasa tak selesa kalau dipandang lelaki lain? Contohnya tadi, dia rasa macam nak cungkil biji mata Datuk Haslam yang tak habis-habis perhatikan tubuhnya. Tapi kalau Ben yang pandang, dia rasa gembira sampai nak berguling-guling. Memanglah kau dah gila, Ijad!
Disangkakan kalau Syarizad tukar balik skirtnya tadi, hilanglah seksa. Rupa-rupanya makin seksa disebabkan skirt yang Syarizad pakai sudah semakin pendek hingga menampakkan paha gebunya.
Aduhai hati, bersabarlah. Wahai iman, bertahanlah. Ben membisikkan kata-kata kekuatan kepada dirinya sendiri.
“Dah dekat maghrib ni. Saya nak pergi solat dulu. Awak?” tanya Ben sambil memandang Syarizad. Cuba sedaya upaya untuk tidak pandang ke arah bahagian kaki Syarizad. Dia pun manusia biasa, lelaki normal yang ada nafsu. Tipulah kalau tak goyah langsung. Tambahan lagi, apabila Syarizad sendiri yang macam sengaja nak dedahkan tubuhnya begitu.
Hmm... saya cuti.” Syarizad menjawab perlahan. Riak wajahnya berubah tiba-tiba. Muka Ben tidak lagi dipandang sebaliknya dia menoleh ke arah orang ramai yang masih memenuhi pusat membeli-belah itu.
Bukan Ben tak perasan reaksi itu, tapi dia malas nak tanya. Tak tahu kenapa, tapi dia rasa Syarizad berbohong. Dia bukannya bodoh sampai tak boleh baca air muka orang. Tapi biarlah, apa haknya nak bertanya? Dibuatnya Syarizad betul-betul dalam uzur syarie, tak ke buat malu?
“Awak tunggu kat restoran depan tu, kejap lagi saya pergi sana,” arah Ben sebelum terus menghilang.
Syarizad mengetap bibirnya memerhatikan langkah Ben. Biarlah, Ben tak perlu tahu apa-apa. Tugasnya, menggoda Ben. Lain daripada itu biarlah tersimpan kemas.



“SAYA dah orderkan untuk Encik Ben. Tak tahulah Encik Ben suka ke tak,” kata Syarizad sesudah Ben muncul dan duduk di depannya.
Thanks.” Ben ukir senyum nipis.
Syarizad mengangguk. Nasib baiklah Restoran Grandmama Cafe & Cuisine itu turut menghidangkan makanan-makanan Melayu. Kalau ada western aje, entah macam mana dia nak order. Tergeliat lidah hendak menyebutnya.
Syarizad menyanggul kemas rambut panjangnya. Kemudian dua butang kemeja yang paling atas dibuka.
Ben yang perasan tingkah itu terus menarik nafas panjang. Syarizad... Syarizad... Lepas ni entah apa lagi yang hendak ditayangnya. Keluhan terlepas lemah. Bukan tidak pernah dia berhadapan dengan gadis seksi sebegitu, malah setiap kali pulang ke London, lebih daripada itu pun dia pernah tengok. Tetapi berhadapan dengan Syarizad, benar-benar memberi satu perasaan aneh dalam dirinya.
“Lepas ni saya hantar awak balik terus. Awak stay mana?” Ben bertanya, sekadar membuang rasa tidak enak di sudut hati.
Hmm... tak menyusahkan Encik Ben ke?” Syarizad mengerling wajah Ben yang nampak tenang.
I brought you here, so I need to take you home.
Syarizad mengangguk seraya tersenyum. Gentleman! Satu markah untuk Ben. Nantilah dia SMS Pak Ali beritahu. Sambil makan, sempat lagi dia memerhatikan Ben dalam diam. Jauh di sudut hati, dia sebenarnya sangat-sangat menyenangi Ben. Walaupun dia bos dan memegang jawatan tinggi di syarikat, tapi dia langsung tidak sombong.
Betullah kata Kak Aiza, Ben Ikhzal Bin Datuk Jaini memang sangat baik orangnya. Tapi kenapa Datin Hazleena sanggup nak lukakan hati anak tirinya sendiri? Hmm... manusia kalau mata sudah dikaburi dengan wang ringgit, apa pun sanggup. Dan dia cuma muncul sebagai watak tambahan yang menambahkan ‘perasa’ dalam jalan cerita yang sudah tersusun cantik.
Kereta Audi A6 Ben mula bergerak pulang. Berkali-kali Ben mencuri pandang ke arah Syarizad yang duduk tenang di sebelahnya. Memanglah Syarizad tenang, tapi jantung Ben sekarang yang tengah tak tenang. Kepalanya tergeleng-geleng sendiri. Entah-entah Syarizad tahu tak yang dia tak pernah berkawan rapat dengan perempuan selama ini? Itu yang makin seronok dia buka sana, buka sini.
“Kenapa, Encik Ben?” tanya Syarizad hairan.
“Syari... boleh tak awak butangkan balik baju awak tu?” pinta Ben tanpa memandang Syarizad.
Syarizad spontan tunduk memandang bahagian dadanya. Bibir tersenyum lagi.
“Kenapa, Encik Ben? Saya mengganggu Encik Ben ke?”
“Syari... sekarang ni, dalam kereta ni, cuma ada awak dengan saya. Tak takut ke kalau apa-apa jadi?” Ben seolah-olah mengugut.
Syarizad tertawa kecil.
“Saya tahu Encik Ben baik. Kan? Lagipun apalah sangat... saya cuma buka butang ni sikit aje...”
Ben tergeleng-geleng lagi. Berani betul perempuan ni. Nasib baik iman aku ada lagi. Kalau orang lain, tak tahulah macam mana.
“Lagipun panaslah, Encik Ben...” Syarizad bermain-main dengan rambutnya pula. Sengaja nak menggoda.
Ben spontan menaikkan suhu air-cond dalam keretanya itu.
“Dah cukup sejuk?”
Syarizad mengetap bibir. Taktik tak menjadi nampaknya.
Ben mencapai pula kotnya yang tergantung pada kusyen yang diduduki. Kemudian kod itu diletakkan di atas riba Syarizad, sekali gus menutup paha gadis itu yang terdedah.
Syarizad makin sakit hati. Eii, mahu tapi malu konon! Geram pulak aku. Bebelnya dalam hati. Terus dia mengunci mulut sampailah kereta Ben berhenti di kawasan rumahnya.
“Terima kasih hantar saya balik,” ucap Syarizad dengan suara tanpa nada.
Ben mengangguk.
“Tidur nanti jangan lupa baca doa, baca tiga kul, baca surah Al-Mulk. Jangan lupa jugak zikir...”
“Okey, okey. Saya tahu macam mana nak tidur.” Cepat-cepat Syarizad memotong kata-kata Ben. Panas hati dengan pesanan Ben. Ustaz betul dia ni, bebel hatinya.
Ben cuma angkat kening. Dia cuma mengingatkan. Kalau Syarizad dah tahu, baguslah.
“Jumpa esok,” tambah Ben lagi sebelum Syarizad keluar dari keretanya.
Syarizad sekadar mengangguk. Kalau pesanan ‘jumpa esok’ itu membawa maksud ‘esok kita keluar sama-sama lagi’ tak apalah juga. Ini maksudnya ‘esok jangan lupa masuk kerja’.
Pintu kereta ditutup semula. Sekejap saja, Ben sudah memecut pergi. Nafasnya dihembus panjang. Bukan main lagi dia menggoda, sudahnya dia kalah juga dengan pesanan Ben yang berbentuk tazkirah.
Mungkin salah dia juga, terlalu memandang rendah terhadap Ben. Entah-entah Ben tu memang kuat agama orangnya. Hah, sekarang siapa yang dah surrender?



BEN sampai di rumah ketika jam sudah hampir ke pukul 10.00 malam. Papa dan mummynya sedang menonton TV di ruang tamu utama rumah sambil berbual-bual. Ben terus menghulur tangan kepada papanya.
“Dari mana, Ben? Tadi papa call ofis, Aiza cakap Ben dah keluar sejak petang tadi,” tanya Datuk Jaini. Walaupun dia sudah jarang ke pejabat, semua urusan masih lagi dalam pengetahuannya.
Ben mengambil tempat di sebuah sofa.
“Keluar kejap dengan kawan tadi, pa...”
“Dengan kawan ke, dengan PA baru?” Datin Hazleena bersuara mengusik. Senyumannya penuh makna. Dia tahu pun sebab tadi Syarizad ada hantar SMS kepadanya. Dia yang sememangnya sedang menunggu berita itu terus tersenyum lebar.
Ben terdiam dengan muka kelat. Apatah lagi apabila melihat riak ingin tahu yang terpeta pada wajah papanya.
PA baru?”
“Abang tak ingat ke PA baru Ben yang Leen carikan tu? Cantik orangnya bang,” sampuk Datin Hazleena sambil mengerling penuh erti ke arah Ben.
“Ohh... yang tu.” Datuk Jaini terangguk-angguk. “Hai, takkanlah baru berapa hari kerja dah ajak pergi dating kut?” guraunya sambil tergelak-gelak.
Datin Hazleena pula tidak lekang dengan senyuman. Nampaknya, Syarizad memang boleh diharapkan. Gembira hatinya usah diceritakan.
Ben menggaru-garu kepalanya. Nampaknya papa dan mummy sudah salah faham. Dia bukannya sengaja ajak Syarizad keluar dating, tapi sebab nak belikan Syarizad skirt baru sebagai ganti yang sudah koyak. Tapi kalau difikirkan logik akal, bos mana yang bawa PAnya pergi beli skirt di tempat mahal macam tu?
“Tak ada apalah, pa. Ben bawa dia keluar sebab ada hal kejap tadi...” dalih Ben walau hati sendiri sudah mula ragu.
“Tak apa, Ben. Papa dengan mummy faham,” balas Datin Hazleena sambil terangguk-angguk. Matanya dikelipkan ke arah Ben dengan mesej, ‘tak apa Ben, mummy dan papa takkan halang hubungan Ben dengan dia’.
“Betul tu, Ben. Papa okey aje...” kata Datuk Jaini pula sambil tersenyum. Memang selama ini pun, dia tidak pernah menghalang dengan siapa Ben berkawan, termasuklah dalam urusan jodoh anaknya itu. Siapa pun yang bakal Ben kahwini, dia tidak kisah asalkan orang itu boleh menerima dan menjaga Ben sebaik mungkin.
Ben tersenyum segan. Dia baru kenal dengan Syarizad tapi papa dan mummynya sudah fikir sejauh itu.  Pekerja dia pula tu. Tidak mahu terus menghangatkan gosip yang baru bertiup, dia meminta diri untuk naik ke bilik.
Syarizad? Hmm... Dia memang cantik. Tapi untuk jatuh cinta, masih belum ada dalam agenda fikiran Ben.

No comments:

Post a Comment