“SURPRISE!!!”
Ayat pertama yang Zenia dengar
sebaik saja melangkah masuk ke ruangan pejabat. Mulutnya ternganga luas. Muka
penuh dengan riak tak percaya. Terkejut dan terperanjat, dua-dua ada.
“Happy
29th birthday, Nur Iris Zenia!” Masing-masing mengucapkan
sebaris ayat itu sambil bertepuk tangan. Tak cukup dengan itu, Alief dan Arman
siap pecahkan belon dengan atas kepala masing-masing terletak elok topi hari
jadi.
Zatie meluru memeluk Zenia. “Happy birthday, Nia!”
Zenia ketawa dalam keharuan. “Ya
Allah... aku tak expect kau orang
akan buat surprise macam ni!”
“For
our special friend, apa-apa pun boleh! Kan kawan-kawan?” Arman menjawab
lalu disambut dengan suara yang lain-lain.
“Nampak tak betapa kita orang sayang
kau, Nia?” kata Amira memeriahkan lagi suasana.
“Bagi kiss kat Kak Milah sikit.” Kak Milah mendekati Zenia lalu memberi
kucupan ringkas pada pipi Zenia. “Selamat hari jadi, Nia. Akak doakan Nia terus
sihat, panjang umur, dimurahkan rezeki dan terus kuat lalui apa saja dugaan
dalam hidup Nia lepas ni.”
Zenia tersenyum. “Aminnnn. Terima
kasih, Kak Milah...” Terus dipeluk wanita yang sangat baik dengannya itu.
“Aku kau tak nak peluk ke, Nia?”
Alief menyampuk tiba-tiba.
“Kau jangan nak mengada-ngada!” Laju
saja Zatie menjawab bagi pihak Zenia.
“Eh, aku tak cakap dengan kau pun.”
Alief menjelir.
Zatie mencebik. Sakit hati.
Selebihnya, malu sebab laju sangat jawab.
“Nah! Hadiah.” Alief menghulurkan
beg plastik di tangan kepada Zenia.
“Kau beli aku hadiah?” Zenia buat
muka tak percaya.
“Mestilah, aku kan kawan yang
prihatin,” jawab Alief lalu dia dan Zenia sama-sama ketawa.
“Kau orang buat surprise siap gantung-gantung belon ni bos tahu tak?” soal Zenia
apabila teringatkan hal itu.
“Mestilah bos tahu. Kalau kau nak
tahu, ini semua idea bos,” jawab Amira ceria.
“Ohh...”
“Semangat tau dia suruh kita orang semua
datang awal daripada biasa sebab nak kena hias ofis ni. Bos cakap dia masuk
lambat sikit, tapi nanti dia bawak kek sekali.”
“Kan dah cakap kau memang pekerja
kesayangan bos!”
Dan Zenia cuma membalas dengan tawa
yang panjang. Tak sangka dapat dua kejutan hari ini. Pagi-pagi tadi lagi Adam
tiba-tiba memberi ciuman di pipi dengan ucapan selamat hari jadi, di pejabat
pula kawan-kawan siap hias seluruh ruang pejabat semata-mata untuk dia.
Tiba-tiba saja, Zenia terasa dirinya sangat disayangi.
DISANGKAKAN
dua kejutan, rupa-rupanya tiga apabila terpandangkan sejambak ros merah
diletakkan di atas bonet depan kereta bersama sekeping kad yang diselitkan pada
wiper. Zenia mencapai jambangan bunga
dan kad itu dengan tanda tanya besar dalam kepala. Tapi rasa-rasanya, dia boleh
agak siapa yang mengirim hadiah itu.
Nak
beli bunga Zinnia saya tak sempat nak cari. Hope roses would do. Happy
birthday, love. I won’t miss 15th October this year. –HR.
Tanpa sedar, bibir Zenia menguntum
senyuman manis. Hayyan Rizqi. Terharu. Itulah perasaan yang menyentuh hatinya
kala itu. Betapa setelah bertahun-tahun, Hayyan masih tak pernah gagal membuat
jantungnya berdegup laju. Hanya dengan patah kata-kata yang dilakar ikhlas,
sudah cukup untuk membuatkan Zenia rasa bahagia.
Namun, bukan semudah itu Zenia akan
menerima lelaki itu semula. Dia cuba untuk melupakan apa yang berlaku dulu,
tetapi semua itu tetap menghantuinya sehingga kini. Dia takut sekiranya dia
memulakan segalanya dari awal bersama Hayyan, dia akan melukakan lelaki itu
sekali lagi. Dia tak mahu semua itu terjadi. Cukuplah dulu Hayyan terluka
kerana dirinya. Jadi untuk tak mahu semua itu berulang lagi untuk kali kedua,
Zenia sedar dia harus mengundur diri sebelum perasaan yang kian disemai ini
semakin parah.
Zenia masuk ke kereta. Jambangan
bunga ros itu diletakkan di kerusi belakang. Baru saja menghidupkan enjin,
pintu sebelah pemandu dibuka. Hayyan muncul dengan senyuman manisnya lalu
dengan selamba lelaki itu masuk. Zenia tercengang-cengang.
“Hayyan...”
“Dah dapat bunga tu? Suka tak?”
Hayyan senyum lagi.
Zenia mengeluh lemah. “This shouldn’t be happening.”
“Kenapa?”
“Hayyan, saya tak boleh terima awak
lagi. Jadi tolonglah... jangan cari saya lagi, jangan datang dekat dengan saya
lagi,” pinta Zenia. Kepalanya menunduk dengan suara yang jelas bergetar menahan
sebak.
Hayyan terdiam. Sangkanya, Zenia
sudah semakin dapat menerima dirinya. Tetapi rupa-rupanya semakin dia mendekat,
semakin Zenia menjauh.
“Kenapa, Nia? Awak memang dah benci
sangat ke dengan saya?” Lirih Hayyan bertanya.
Zenia merenung lurus ke depan.
Benci? Sikit pun dia tak pernah membenci Hayyan. Malah, Hayyan yang sepatutnya
membenci dirinya.
“Saya cuma nak kita balik macam
dulu. Saya nak tunaikan janji-janji saya dengan awak dulu. Saya nak jadi suami
awak, saya nak jadi ayah pada Adam. Salah ke apa yang saya mintak ni, Nia? Is it too much?” Hayyan merenung tepat
ke wajah Zenia, mengharap jawapan.
Zenia mengawal sebak sekuat hati.
Tak, dia tak boleh menangis. Dia tak mahu menangis, lebih-lebih lagi di depan
Hayyan. Lelaki itu tak boleh tahu betapa dia pun menanggung derita yang amat
sangat kerana terpaksa menjauh.
“Awak lari dari kenyataan, Nia...”
“Kenyataan apa?” Dalam sebak Zenia
bertanya.
“Kenyataan yang awak pun masih
cintakan saya... macam dulu. I can see it
in your eyes.”
Zenia tersenyum pahit. “Awak silap.”
“Am
I?” Hayyan merenung wajah Zenia lagi.
Zenia tak menjawab. Bibirnya diketap
kuat.
“Nia...” Hayyan memanggil perlahan.
“Look me in the eye and tell me that you
don’t love me.”
“I
don’t love you...”
“Once
again...” pinta Hayyan lagi. “Look at
me, Nia. Look at me and say it once again.”
Zenia menunduk. Perlahan titis air
mata jatuh ke pipi. Mana mungkin dia ucapkan kata-kata itu dengan menatap wajah
Hayyan, sedangkan itu semua jelas bohong?
Nafas dihela panjang. Hayyan menguak
rambutnya ke belakang. “Happy birthday.”
Kemudian dia terus menolak daun pintu dan turun dari kereta itu.
Air mata Zenia menitis semakin laju.
Gear dimasukkan lalu kereta diundur keluar dari kotak parkir. Lagu Dan nyanyian
Sheila On7 tiba-tiba muncul dari corong radio. Mendengar lagu itu, semakin kuat
tangisan Zenia.
Dan, dan bila esok datang kembali
Seperti sedia kala di mana kau bisa
bercanda
Dan perlahan kau pun lupakan aku
Mimpimu dulu di mana telah
kutancapkan duri tajam
Kau pun menangis, menangis sepi
Maafkan aku
Dan, bukan maksudku, bukan inginku
melukaimu
Sedarkah kau di sini ku pun terluka
Melupakanmu, menepikanmu
Maafkan aku
Saat itu, kenangan silam yang sudah
sekian lama terkubur ditelan masa bagai kembali tertayang di ruangan mata.
Bermula dari hari perkenalan mereka sehingga pada hari cinta mereka diikat
dalam satu ikatan percintaan yang sangat bahagia. Sehinggalah dia dengan
kejamnya melukai hati lelaki itu demi insan lain.
Kenangan...
No comments:
Post a Comment