HAYYAN
masuk ke pejabat pagi itu siap menyanyi-nyanyi kecil. Safwan yang dilintasi di
depan pintu bilik pejabat lelaki itu pun dibuat tidak endah. Safwan kerut muka.
Apahal pulak pagi ni tiba-tiba ceria semacam? Malas berteka-teki, Safwan terus
meredah masuk ke bilik Hayyan.
“Assalamualaikum,” ucap Safwan
sambil memerhati riak wajah Hayyan ketika itu.
“Waalaikumussalam.” Hayyan yang baru
melabuhkan duduk segera menjawab salam.
“Alhamdulillah... waras lagi,” kata
Safwan selamba sambil tersengih. Dia menarik kerusi lalu duduk di depan Hayyan.
“So, apa cerita?”
Hayyan angkat kening. Buat-buat tak
faham maksud Safwan.
“Pencarian cinta kau di Port
Dickson.” Penuh perasaan Safwan menjawab.
Ceh, ayat tak menahan betul. Hayyan
ketawa. “I can assure you that she still
loves me.”
“Confidentnya
kau...” Safwan tersandar dengan kepala tergeleng-geleng. Ketika Hayyan
bercerita tentang Zenia yang punya anak bersama Azfar, dia hampir putus nyawa
dek kerana terkejut. Tetapi di sebalik itu, dia tetap kagum dengan cinta Hayyan
yang tak pernah goyah walaupun Zenia pernah melukakan hatinya dulu.
“Habis, apa kau nak buat lepas ni?”
tanya Safwan kemudiannya.
Hayyan menyandar tenang di kerusi
sambil membuang pandang ke sekitar bilik pejabatnya. Baru beberapa bulan
syarikat itu ditubuhkan. Walaupun bermula dengan bisnes kecil-kecilan, Hayyan
tetap puas hati. Sekurang-kurangnya, dia tidak perlu menggunakan duit papanya
untuk berjaya. Mujur juga Safwan datang dari keluarga berada. Jadi sebaik saja
mereka pulang ke Malaysia setahun yang lepas, masing-masing berusaha mengumpul
modal untuk membangunkan syarikat mereka sendiri.
“Aku takkan berhenti selagi aku tak
dapat dia balik,” tekad Hayyan dengan suara yang perlahan. Biar Safwan tahu
perasaannya bukan palsu, apatah lagi main-main.
“Riz, kau dah lupa ke status kau
sekarang? Tak fikir ke apa akan jadi kalau kau tetap nak baik balik dengan
Zenia tu? Apa pulak kata family kau
nanti?”
Soalan-soalan itu membuatkan Hayyan
terdiam. Sesungguhnya, semua itu memang tak pernah ada dalam kepalanya sebelum
ini. Mungkin betul dia terlalu ikutkan perasaan sampai dia lupa ada banyak hati
yang perlu dijaga, terutama sekali keluarganya sendiri.
Safwan menghela nafas panjang sambil
bangkit berdiri. Apabila Hayyan dah diam, tak ada apa lagi yang boleh dikatakannya.
Biarlah lelaki itu fikir sendiri apa yang terbaik untuk dirinya.
Sesudah Safwan keluar dari biliknya,
Hayyan tiba-tiba teringatkan sesuatu. Terus tangannya mencapai kalendar di
hujung meja. Dibelek-belek helaian kalendar itu sambil otak berfikir tentang
Zenia. Sesaat kemudian, bibirnya menguntum senyuman manis. Telefon pintar dari
poket seluar dikeluarkan untuk menghubungi si buah hati.
BARU
sahaja melabuhkan duduk di atas kerusi, telefon bimbitnya berdering. Zenia
pantas mengeluarkan gajet itu dari beg tangannya. Nama Hayyan muncul di skrin.
Sambil memerhati sekeliling seolah-olah semua orang di situ memerhatikannya,
hujung ibu jari menekan punat hijau.
“Helo...” Perlahan suaranya menyapa.
“Good
morning, sweetheart,” balas Hayyan ceria.
Zenia menghembus nafas panjang.
Panggilan Hayyan itu membuatkan hatinya bergetar. “Ada apa awak call ni? Saya baru aje nak mula kerja.”
“Rindu nak dengar suara awak
pagi-pagi ni,” jawab Hayyan.
Zenia mengetap bibir. Kepalanya
digaru-garu. Sebuah fail di atas meja dicapai. Tak adalah nampak macam sibuk
bersembang pada waktu kerja sangat walau hakikatnya satu apa pun dia tak dapat
nak fokus.
“Kalau awak ada apa-apa nak cakap,
cakap ajelah. Saya banyak kerja,” jawab Zenia sengaja mengelak. Dia belum
bersedia untuk berbicara soal hati dengan Hayyan.
“Baguslah. Boleh awak buat bekal
suara saya masa kerja nanti.” Itu pula jawapan Hayyan.
Zenia mengeluh. “Hayyan, awak memang
takkan putus asa walau apa pun yang saya cakap, kan?”
Soalan itu membuatkan Hayyan tertawa
kecil. “You know me, sayang.”
“Memang saya kenal awak dan saya tak
sangka awak masih tak berubah lagi sampai sekarang walaupun lepas...”
“Nanti lunch sama?” Cepat Hayyan memotong.
Zenia mengetap bibirnya lagi. Memang
Hayyan sengaja nak buat dia geram. “Dah janji nak makan dengan kawan.”
“I’ll
fetch you at 1.00. See you.”
Kemudian talian mati. Zenia tekupkan
mukanya ke meja. Hayyan...
“KALAU
tujuan awak bawak saya datang sini sebab nak buat saya mengimbau kenangan lama
kita, baik awak lupakan ajelah.” Zenia mengeluh memandang suasana di dalam
restoran itu. Walaupun sudah empat tahun berlalu, dia masih lagi ingat semua
kenangan mereka, termasuk restoran itu.
Hayyan jongket sebelah kening. “Kita
pernah datang sini ke dulu?”
Soalan Hayyan itu membuatkan Zenia
terdiam. Bibirnya diketap. Hayyan tak ingat atau sengaja buat-buat tak ingat?
Tiba-tiba rasa merah muka. Macam nak menyorok bawah meja pun ada. Tapi bila
terdengar tawa Hayyan, dia rasa macam nak tendang kaki lelaki itu kuat-kuat.
Main-main nampak!
“It’s
good to know that you remember everything about us,” kata Hayyan dengan
nada yang sedikit berbisik. Sengaja. Kemudian dia menggamit seorang pelayan
untuk datang mengambil pesanan.
Mulalah Zenia merasakan jantungnya
tak keruan. Dia yang tak mahu Hayyan mengheret mereka untuk kembali kepada
kenangan lama mereka, sudahnya dia juga yang membuka jalan itu. Rasa macam nak
hempuk kepala sendiri. Mukanya ditundukkan sambil bermain-main dengan jemari
sendiri hingga tidak sedar pelayan yang mengambil pesanan tadi sudah berlalu
pergi.
“Awak order apa?”
“Your
favourite.” Hayyan senyum.
Zenia kecilkan anak mata.
“Mi kari dan apple juice. Kan?”
Sudahnya Zenia mengunci mulut terus.
Buatlah apa saja, dia tahu dia tetap tak akan mampu mengelak. Inilah susahnya
kalau berkawan semula dengan bekas kekasih. Tiba-tiba Zenia teringat satu
kata-kata yang pernah dibaca tapi sudah lupa di mana, don’t be friend with your exes because they know too much. Sekarang
Zenia benar-benar sedar kesahihan kata-kata itu.
“Macam mana awak boleh end up kerja dengan Khairil?” Hayyan
bertanya sesudah makanan yang dipesan tiba. Dia tidak mahu Zenia rasa tidak
selesa apabila bersama dengannya. Biarlah semuanya bermula dengan
perlahan-lahan, seperti sewaktu dia dan Zenia berkenalan dahulu.
Mendengar soalan itu, Zenia teringat
kenangan lama. Bagaimana dia dengan tabahnya melalui hidup walaupun terkadang
rasa hampir tersungkur dan akhirnya ditemukan dengan Zatie yang banyak
membantunya.
“Zatie yang tolong.” Ringkas dia
menjawab.
“How?
I mean, macam mana awak kenal Zatie?”
“Why
are you asking?” Zenia pandang tepat ke muka Hayyan. Dia tak nampak atas
sebab apa Hayyan perlu tahu semua itu.
Hayyan simpan senyum. “Sebab saya
nak tahu semua pasal awak.”
“Jadi awak nak catch up semula apa yang awak dah tertinggal, macam tu?”
Hayyan mengangguk-angguk.
Renungannya tepat ke muka Zenia.
Zenia menggeleng-geleng. “Sudahlah
tu, Hayyan. Kalau awak tahu semua pun, langsung tak merubah apa-apa.”
Hayyan tersenyum tawar. “Awak yang
tak nak bagi peluang pada saya, Nia...” Ada keluhan pasrah di hujung ayatnya.
Zenia tak jadi menyuap mi kari ke
dalam mulutnya. Perutnya terasa sebu tiba-tiba. Berdepan dengan Hayyan untuk
tempoh yang lama hanya akan membuatkannya hilang kawalan diri.
“Saya nak balik,” kata Zenia. Beg
tangannya sudah sedia digalas.
“Nia...”
Panggilan lembut itu membuatkan
Zenia tak jadi bangun. Namun kepalanya tetap dialihkan ke arah lain, tak mahu
menatap wajah Hayyan.
“Fine.
I won’t talk about us anymore. But please... just stay with me here.
Sekejap aje, lepas makan nanti saya hantar awak balik.” Suara Hayyan lembut,
atau lebih tepat lagi bernada merayu.
Zenia menarik nafas dalam-dalam.
Apabila Hayyan dah merayu, dia tahu dia tak akan mampu menolak. Sudahnya dia
paksa diri untuk menelan semangkuk mi kari itu dan duduk menunggu di depan
Hayyan sehingga lelaki itu selesai makan.
“Saya mintak maaf kalau saya ada
buat awak marah. Saya tahu saya terlalu mendesak,” ucap Hayyan sesudah
keretanya berhenti di depan kawasan pejabat Zenia. Renungannya lurus ke cermin
depan kereta.
Zenia menanggalkan tali pinggang
keledar. Sebak tiba-tiba menghurung hati. Kenapa perlu minta maaf, Hayyan? Awak
tak salah. Tolonglah, jangan minta maaf dengan saya lagi.
“Saya cuma nak awak tahu yang saya
cintakan awak, dan perasaan tu tak pernah berubah walau apa pun yang berlaku.”
Kali ini Hayyan merenung dalam ke wajah Zenia.
Zenia tidak sanggup menunggu lagi.
Dia terus menolak daun pintu dan turun dari kereta sebelum Hayyan nampak air
mata yang sudah basah di pipinya.
LOKET
bunga zinnia yang tergantung pada rantai emas putih itu direnung dengan
sepasang mata yang berkaca-kaca. Kalau betul hati dah tiada rasa cinta, kenapa
rantai itu masih disimpan sampai sekarang? Kalau benar jiwa tak lagi merindu,
kenapa dia tetap tak tergamak untuk membuang rantai itu jauh dari hidupnya?
Seraut wajah Hayyan bermain-main di
ruang ingatan, membawa fikirannya kepada kenangan yang telah jauh ditinggalkan
dalam kotak memorinya.
“Nia! Telefon kau memekak tu!
Cepatlah angkat!” Suara Eton kuat bergema seluruh bilik.
Zenia yang baru saja selesai mandi
buru-buru mencapai telefon bimbitnya. Kalau dah lagu You Took My Heart Away
yang berkumandang, dah sah-sah Hayyan yang telefon. Cepat-cepat Zenia menjawab
panggilan itu sebelum Eton berbunyi lagi. Biasalah tu kalau dah menghadap buku,
otak boleh jadi stress, apa pun tak
boleh ganggu.
“Helo, Hayyan. Sorry, saya baru aje lepas mandi ni,” ujar Zenia sambil duduk di
birai katil.
“Baru mandi? Dah pukul berapa dah ni
sayang oi?” Hayyan dah mula nak membebel.
Zenia tersengih kelat. Tangan
kirinya mengesat-ngesat rambut dengan tuala. Baju pun tak sempat nak pakai
lagi, cuma berkemban dengan kain batik aje. “Tadi syok sangat buat assignment, tak perasan dah lewat.
Hehe...”
Hayyan mengeluh panjang. “Okey,
disebabkan today is your birthday
jadi tak bolehlah nak marah...”
“Wwwait...
apa?”
“Happy
birthday, Nur Iris Zenia. Kalau nak hadiah, mintak esok eh sebab sekarang
saya tengah sibuk buat kerja dengan kawan-kawan. Ni break kejap sebab nak call
awak.”
Zenia terdiam dengan bibir yang
dikebam. Rasa nak menangis guling-guling. Biasanya Hayyan kalau dah berjumpa
dengan kawan-kawan, memang langsung tak akan ingat padanya lagi. Tapi
disebabkan hari ini hari jadinya, sanggup tinggalkan kerjanya sekejap
semata-mata untuk menelefonnya. Sempat dia menoleh jam di atas meja studi.
Pukul 12.08 malam.
“Thanks.”
Hanya itu yang mampu terluah dari mulutnya.
“Thanks
aje?” Hayyan sengaja mengusik.
Zenia tertawa kecil. Sepasang
matanya bergenang tak semena-mena. “Hayyan, awak buat saya nak nangis tau.”
Perlahan nada suaranya, tak mahu Eton dengar. Dari posisi duduk, dia sekarang
sudah berbaring menghadap dinding bilik. Kepala pula ditutup dengan tuala.
“Lah... kenapa nak nangis pulak?
Saya salah tarikh ke?” Hayyan pelik.
“Bukan salah tarikhlah. Saya nak
nangis sebab terharu. Hisy awak ni!” Zenia berdecit. Orang baru nak feeling-feeling, Hayyan dah potong.
Geram.
Hayyan terus bantai gelak. Zenia
mengetap bibir.
“Okay, birthday girl. Esok kita jumpa okey?”
“Don’t
forget my present.” Sempat Zenia mengingatkan.
“Baiklah, love. Good night.”
Zenia menyimpul senyuman.
Macam-macam panggilan Hayyan panggil dia, tapi semua dia suka.
Zenia meletakkan kepala ke bantal.
Sampai ke saat ini pun, kenangan itu masih jelas dalam ingatannya. Hayyan Rizqi
yang sangat penyayang, Hayyan Rizqi yang prihatin, Hayyan Rizqi yang sangat
sempurna di matanya. Andai masa dapat diputar semula...
No comments:
Post a Comment