DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 29 February 2016

LOKET ZINNIA - BAB 9



HAYYAN masuk ke pejabat pagi itu siap menyanyi-nyanyi kecil. Safwan yang dilintasi di depan pintu bilik pejabat lelaki itu pun dibuat tidak endah. Safwan kerut muka. Apahal pulak pagi ni tiba-tiba ceria semacam? Malas berteka-teki, Safwan terus meredah masuk ke bilik Hayyan.
            “Assalamualaikum,” ucap Safwan sambil memerhati riak wajah Hayyan ketika itu.
            “Waalaikumussalam.” Hayyan yang baru melabuhkan duduk segera menjawab salam.
            “Alhamdulillah... waras lagi,” kata Safwan selamba sambil tersengih. Dia menarik kerusi lalu duduk di depan Hayyan. “So, apa cerita?”
            Hayyan angkat kening. Buat-buat tak faham maksud Safwan.
            “Pencarian cinta kau di Port Dickson.” Penuh perasaan Safwan menjawab.
            Ceh, ayat tak menahan betul. Hayyan ketawa. “I can assure you that she still loves me.”
            Confidentnya kau...” Safwan tersandar dengan kepala tergeleng-geleng. Ketika Hayyan bercerita tentang Zenia yang punya anak bersama Azfar, dia hampir putus nyawa dek kerana terkejut. Tetapi di sebalik itu, dia tetap kagum dengan cinta Hayyan yang tak pernah goyah walaupun Zenia pernah melukakan hatinya dulu.
            “Habis, apa kau nak buat lepas ni?” tanya Safwan kemudiannya.
            Hayyan menyandar tenang di kerusi sambil membuang pandang ke sekitar bilik pejabatnya. Baru beberapa bulan syarikat itu ditubuhkan. Walaupun bermula dengan bisnes kecil-kecilan, Hayyan tetap puas hati. Sekurang-kurangnya, dia tidak perlu menggunakan duit papanya untuk berjaya. Mujur juga Safwan datang dari keluarga berada. Jadi sebaik saja mereka pulang ke Malaysia setahun yang lepas, masing-masing berusaha mengumpul modal untuk membangunkan syarikat mereka sendiri.
            “Aku takkan berhenti selagi aku tak dapat dia balik,” tekad Hayyan dengan suara yang perlahan. Biar Safwan tahu perasaannya bukan palsu, apatah lagi main-main.
            “Riz, kau dah lupa ke status kau sekarang? Tak fikir ke apa akan jadi kalau kau tetap nak baik balik dengan Zenia tu? Apa pulak kata family kau nanti?”
            Soalan-soalan itu membuatkan Hayyan terdiam. Sesungguhnya, semua itu memang tak pernah ada dalam kepalanya sebelum ini. Mungkin betul dia terlalu ikutkan perasaan sampai dia lupa ada banyak hati yang perlu dijaga, terutama sekali keluarganya sendiri.
            Safwan menghela nafas panjang sambil bangkit berdiri. Apabila Hayyan dah diam, tak ada apa lagi yang boleh dikatakannya. Biarlah lelaki itu fikir sendiri apa yang terbaik untuk dirinya.
            Sesudah Safwan keluar dari biliknya, Hayyan tiba-tiba teringatkan sesuatu. Terus tangannya mencapai kalendar di hujung meja. Dibelek-belek helaian kalendar itu sambil otak berfikir tentang Zenia. Sesaat kemudian, bibirnya menguntum senyuman manis. Telefon pintar dari poket seluar dikeluarkan untuk menghubungi si buah hati.


BARU sahaja melabuhkan duduk di atas kerusi, telefon bimbitnya berdering. Zenia pantas mengeluarkan gajet itu dari beg tangannya. Nama Hayyan muncul di skrin. Sambil memerhati sekeliling seolah-olah semua orang di situ memerhatikannya, hujung ibu jari menekan punat hijau.
            “Helo...” Perlahan suaranya menyapa.
            Good morning, sweetheart,” balas Hayyan ceria.
            Zenia menghembus nafas panjang. Panggilan Hayyan itu membuatkan hatinya bergetar. “Ada apa awak call ni? Saya baru aje nak mula kerja.”
            “Rindu nak dengar suara awak pagi-pagi ni,” jawab Hayyan.
            Zenia mengetap bibir. Kepalanya digaru-garu. Sebuah fail di atas meja dicapai. Tak adalah nampak macam sibuk bersembang pada waktu kerja sangat walau hakikatnya satu apa pun dia tak dapat nak fokus.
            “Kalau awak ada apa-apa nak cakap, cakap ajelah. Saya banyak kerja,” jawab Zenia sengaja mengelak. Dia belum bersedia untuk berbicara soal hati dengan Hayyan.
            “Baguslah. Boleh awak buat bekal suara saya masa kerja nanti.” Itu pula jawapan Hayyan.
            Zenia mengeluh. “Hayyan, awak memang takkan putus asa walau apa pun yang saya cakap, kan?”
            Soalan itu membuatkan Hayyan tertawa kecil. “You know me, sayang.”
            “Memang saya kenal awak dan saya tak sangka awak masih tak berubah lagi sampai sekarang walaupun lepas...”
            “Nanti lunch sama?” Cepat Hayyan memotong.
            Zenia mengetap bibirnya lagi. Memang Hayyan sengaja nak buat dia geram. “Dah janji nak makan dengan kawan.”
            I’ll fetch you at 1.00. See you.”
            Kemudian talian mati. Zenia tekupkan mukanya ke meja. Hayyan...


“KALAU tujuan awak bawak saya datang sini sebab nak buat saya mengimbau kenangan lama kita, baik awak lupakan ajelah.” Zenia mengeluh memandang suasana di dalam restoran itu. Walaupun sudah empat tahun berlalu, dia masih lagi ingat semua kenangan mereka, termasuk restoran itu.
            Hayyan jongket sebelah kening. “Kita pernah datang sini ke dulu?”
            Soalan Hayyan itu membuatkan Zenia terdiam. Bibirnya diketap. Hayyan tak ingat atau sengaja buat-buat tak ingat? Tiba-tiba rasa merah muka. Macam nak menyorok bawah meja pun ada. Tapi bila terdengar tawa Hayyan, dia rasa macam nak tendang kaki lelaki itu kuat-kuat. Main-main nampak!
            It’s good to know that you remember everything about us,” kata Hayyan dengan nada yang sedikit berbisik. Sengaja. Kemudian dia menggamit seorang pelayan untuk datang mengambil pesanan.
            Mulalah Zenia merasakan jantungnya tak keruan. Dia yang tak mahu Hayyan mengheret mereka untuk kembali kepada kenangan lama mereka, sudahnya dia juga yang membuka jalan itu. Rasa macam nak hempuk kepala sendiri. Mukanya ditundukkan sambil bermain-main dengan jemari sendiri hingga tidak sedar pelayan yang mengambil pesanan tadi sudah berlalu pergi.
            “Awak order apa?”
            Your favourite.” Hayyan senyum.
            Zenia kecilkan anak mata.
            “Mi kari dan apple juice. Kan?”
            Sudahnya Zenia mengunci mulut terus. Buatlah apa saja, dia tahu dia tetap tak akan mampu mengelak. Inilah susahnya kalau berkawan semula dengan bekas kekasih. Tiba-tiba Zenia teringat satu kata-kata yang pernah dibaca tapi sudah lupa di mana, don’t be friend with your exes because they know too much. Sekarang Zenia benar-benar sedar kesahihan kata-kata itu.
            “Macam mana awak boleh end up kerja dengan Khairil?” Hayyan bertanya sesudah makanan yang dipesan tiba. Dia tidak mahu Zenia rasa tidak selesa apabila bersama dengannya. Biarlah semuanya bermula dengan perlahan-lahan, seperti sewaktu dia dan Zenia berkenalan dahulu.
            Mendengar soalan itu, Zenia teringat kenangan lama. Bagaimana dia dengan tabahnya melalui hidup walaupun terkadang rasa hampir tersungkur dan akhirnya ditemukan dengan Zatie yang banyak membantunya.
            “Zatie yang tolong.” Ringkas dia menjawab.
            How? I mean, macam mana awak kenal Zatie?”
            Why are you asking?” Zenia pandang tepat ke muka Hayyan. Dia tak nampak atas sebab apa Hayyan perlu tahu semua itu.
            Hayyan simpan senyum. “Sebab saya nak tahu semua pasal awak.”
            “Jadi awak nak catch up semula apa yang awak dah tertinggal, macam tu?”
            Hayyan mengangguk-angguk. Renungannya tepat ke muka Zenia.
            Zenia menggeleng-geleng. “Sudahlah tu, Hayyan. Kalau awak tahu semua pun, langsung tak merubah apa-apa.”
            Hayyan tersenyum tawar. “Awak yang tak nak bagi peluang pada saya, Nia...” Ada keluhan pasrah di hujung ayatnya.
            Zenia tak jadi menyuap mi kari ke dalam mulutnya. Perutnya terasa sebu tiba-tiba. Berdepan dengan Hayyan untuk tempoh yang lama hanya akan membuatkannya hilang kawalan diri.
            “Saya nak balik,” kata Zenia. Beg tangannya sudah sedia digalas.
            “Nia...”
            Panggilan lembut itu membuatkan Zenia tak jadi bangun. Namun kepalanya tetap dialihkan ke arah lain, tak mahu menatap wajah Hayyan.
            Fine. I won’t talk about us anymore. But please... just stay with me here. Sekejap aje, lepas makan nanti saya hantar awak balik.” Suara Hayyan lembut, atau lebih tepat lagi bernada merayu.
            Zenia menarik nafas dalam-dalam. Apabila Hayyan dah merayu, dia tahu dia tak akan mampu menolak. Sudahnya dia paksa diri untuk menelan semangkuk mi kari itu dan duduk menunggu di depan Hayyan sehingga lelaki itu selesai makan.
            “Saya mintak maaf kalau saya ada buat awak marah. Saya tahu saya terlalu mendesak,” ucap Hayyan sesudah keretanya berhenti di depan kawasan pejabat Zenia. Renungannya lurus ke cermin depan kereta.
            Zenia menanggalkan tali pinggang keledar. Sebak tiba-tiba menghurung hati. Kenapa perlu minta maaf, Hayyan? Awak tak salah. Tolonglah, jangan minta maaf dengan saya lagi.
            “Saya cuma nak awak tahu yang saya cintakan awak, dan perasaan tu tak pernah berubah walau apa pun yang berlaku.” Kali ini Hayyan merenung dalam ke wajah Zenia.
            Zenia tidak sanggup menunggu lagi. Dia terus menolak daun pintu dan turun dari kereta sebelum Hayyan nampak air mata yang sudah basah di pipinya.


LOKET bunga zinnia yang tergantung pada rantai emas putih itu direnung dengan sepasang mata yang berkaca-kaca. Kalau betul hati dah tiada rasa cinta, kenapa rantai itu masih disimpan sampai sekarang? Kalau benar jiwa tak lagi merindu, kenapa dia tetap tak tergamak untuk membuang rantai itu jauh dari hidupnya?
            Seraut wajah Hayyan bermain-main di ruang ingatan, membawa fikirannya kepada kenangan yang telah jauh ditinggalkan dalam kotak memorinya.
            “Nia! Telefon kau memekak tu! Cepatlah angkat!” Suara Eton kuat bergema seluruh bilik.
            Zenia yang baru saja selesai mandi buru-buru mencapai telefon bimbitnya. Kalau dah lagu You Took My Heart Away yang berkumandang, dah sah-sah Hayyan yang telefon. Cepat-cepat Zenia menjawab panggilan itu sebelum Eton berbunyi lagi. Biasalah tu kalau dah menghadap buku, otak boleh jadi stress, apa pun tak boleh ganggu.
            “Helo, Hayyan. Sorry, saya baru aje lepas mandi ni,” ujar Zenia sambil duduk di birai katil.
            “Baru mandi? Dah pukul berapa dah ni sayang oi?” Hayyan dah mula nak membebel.
            Zenia tersengih kelat. Tangan kirinya mengesat-ngesat rambut dengan tuala. Baju pun tak sempat nak pakai lagi, cuma berkemban dengan kain batik aje. “Tadi syok sangat buat assignment, tak perasan dah lewat. Hehe...”
            Hayyan mengeluh panjang. “Okey, disebabkan today is your birthday jadi tak bolehlah nak marah...”
            Wwwait... apa?”
            Happy birthday, Nur Iris Zenia. Kalau nak hadiah, mintak esok eh sebab sekarang saya tengah sibuk buat kerja dengan kawan-kawan. Ni break kejap sebab nak call awak.”
            Zenia terdiam dengan bibir yang dikebam. Rasa nak menangis guling-guling. Biasanya Hayyan kalau dah berjumpa dengan kawan-kawan, memang langsung tak akan ingat padanya lagi. Tapi disebabkan hari ini hari jadinya, sanggup tinggalkan kerjanya sekejap semata-mata untuk menelefonnya. Sempat dia menoleh jam di atas meja studi. Pukul 12.08 malam.
            Thanks.” Hanya itu yang mampu terluah dari mulutnya.
            Thanks aje?” Hayyan sengaja mengusik.
            Zenia tertawa kecil. Sepasang matanya bergenang tak semena-mena. “Hayyan, awak buat saya nak nangis tau.” Perlahan nada suaranya, tak mahu Eton dengar. Dari posisi duduk, dia sekarang sudah berbaring menghadap dinding bilik. Kepala pula ditutup dengan tuala.
            “Lah... kenapa nak nangis pulak? Saya salah tarikh ke?” Hayyan pelik.
            “Bukan salah tarikhlah. Saya nak nangis sebab terharu. Hisy awak ni!” Zenia berdecit. Orang baru nak feeling-feeling, Hayyan dah potong. Geram.
            Hayyan terus bantai gelak. Zenia mengetap bibir.
            “Okay, birthday girl. Esok kita jumpa okey?”
            Don’t forget my present.” Sempat Zenia mengingatkan.
            “Baiklah, love. Good night.”
            Zenia menyimpul senyuman. Macam-macam panggilan Hayyan panggil dia, tapi semua dia suka.
            Zenia meletakkan kepala ke bantal. Sampai ke saat ini pun, kenangan itu masih jelas dalam ingatannya. Hayyan Rizqi yang sangat penyayang, Hayyan Rizqi yang prihatin, Hayyan Rizqi yang sangat sempurna di matanya. Andai masa dapat diputar semula...



No comments:

Post a Comment