DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 29 February 2016

BUNGA DI TAMAN LARANGAN - BAB 12



SATU hal yang sangat diimpikan Syarizad sejak sampai di Kuala Lumpur, adalah untuk ke kelab malam. Marlyn pun tidak keberatan untuk membawanya ke tempat melepaskan tekanan bagi sesetengah orang, malam itu. Masuk-masuk saja, telinga rasa bingit dek kerana bunyi muzik yang sangat kuat.
Marlyn memaut bahu Syarizad.
“Kat sini you boleh buat apa saja yang you suka. You can dance, you can drink and...” Marlyn tersenyum memandang seorang lelaki yang sedang berjalan mendekatinya.
Syarizad ikut menoleh. Selamba saja lelaki itu memeluk tubuh Marlyn rapat dengannya.
I miss you,” bisik lelaki itu seraya memberi satu ciuman pada pipi Marlyn.
I miss you too.” Marlyn memaut pinggang lelaki itu.
Syarizad hanya diam memerhati. Terpegun. Semudah itu?
Come.” Lelaki itu menarik tangan Marlyn untuk ke lantai tari yang sesak dengan orang ramai.
Marlyn sempat mengenyitkan matanya ke arah Syarizad sebelum terus mengikut lelaki itu. Syarizad tidak tahu apa yang harus dilakukan. Nak menari pun rasa semacam. Maklumlah, pertama kali. Sudahnya dia duduk di atas kerusi sambil memerhati gelagat semua orang yang ada di situ.
“Hai...”
Satu suara menegur. Syarizad berpaling.
“I Karl.” Lelaki itu menghulur tangan.
Syarizad menyambut huluran tangan itu.
“Syari.”
Nice name,” puji Karl sebelum terus duduk di sebelah Syarizad. “I tak pernah nampak pun you sebelum ni.”
“Ohh... ini kali pertama I datang sini,” akui Syarizad sambil ketawa kecil. Lega kerana ada yang sudi menegur. Nampaknya, dia tak adalah kalah dengan gadis-gadis lain yang ada di situ. Kalau tak, takkan dia mampu tarik perhatian lelaki kacak di depannya itu.
“Patutlah...” Karl senyum. “So, a drink?”
Syarizad mengangguk. Minum apa pun tak kisah, janji Karl belanja. Seronok juga dapat buat kerja macam ni sekali-sekala.
“You datang dengan siapa?” tanya Karl.
“Dengan kawan I, Marlyn. You kenal dia?” Syarizad menuding jarinya ke arah Marlyn yang asyik menari bersama lelaki yang tidak diketahui namanya itu.
Karl mengangguk.
“Mestilah I kenal. You sebut aje mana-mana nama perempuan kat sini. Semua I kenal.”
“Kasanovalah you ni,” kata Syarizad lalu ketawa kecil. Satu lagi lelaki yang hanya tahu merosakkan orang perempuan! getus hatinya.
Karl tersenyum penuh makna. Tangannya dihulurkan ke arah Syarizad.
A dance?”
Syarizad angkat kening. Tangannya diletakkan di atas tangan Karl tanpa berfikir panjang.
Sure.”
Syarizad dibawa ke lantai tari. Walaupun mula-mula terasa janggal, tetapi semakin lama Syarizad semakin berani. Tidak cukup dengan Karl, lelaki-lelaki lain juga turut sama menempel. Tangan-tangan liar yang menyentuh tubuhnya langsung tidak dipedulikan. Dia hanyut menari, menikmati keseronokan yang selama ini dicari.
Here, drink this.” Karl menghulurkan segelas minuman kepada Syarizad.
Syarizad menyambut tanpa bertanya apa-apa. Pertama kali menjamah air itu, sudah cukup untuk membuat kepalanya rasa berpusing. Alkohol mengalir dan menjalar ke seluruh tubuh, menjadikan dirinya terasa di awang-awangan. Mabuk. Karl tersenyum.
Telefon pintar yang bergetar dalam poket seluar tidak dihiraukan. Namun semakin lama getaran itu semakin merimaskan. Syarizad berjalan menjauhi lantai tari sambil mengeluarkan telefon itu. Ben? Butang hijau ditekan lalu telefon itu ditekapkan di telinganya.
“Encik Ben?”
Diam seketika sebelum suara Ben kedengaran.
“Awak kat mana tu?”
“Apa?” Syarizad menutup sebelah telinga. Suasana bingit di situ menghalangnya untuk mendengar dengan baik. “Tak dengarlah, Encik Ben.”
“Awak kat mana, Syari?” Ben menguatkan suara.
“Dekat... kelab.” Selamba Syarizad menjawab.
Ben melepaskan nafas panjang.
“Kelab mana?”
Hmm...” Syarizad melilaukan matanya ke sekeliling. Pandangan terasa berbalam-balam untuk seketika. Terpandangkan tulisan yang tertulis pada dinding, dia segera menyebut nama kelab itu. “Zouk...”
Ben tidak membalas apa-apa sebaliknya terus mematikan talian.
Syarizad kerut dahi. Telefon nak tanya tu aje? Telefon pintar dimasukkan semula ke dalam poket seluar. Ketika berpaling, dia terkejut melihat Karl tercegat di belakangnya.
“Kenapa? Ada masalah?” tanya Karl.
Hmm... no. Nothing.” Syarizad tersenyum.
Karl mengangguk. Segelas lagi minuman dihulurkan kepada Syarizad. Syarizad segera menyambut. Sekali teguk, habis satu gelas itu. Karl menarik tangannya untuk kembali ke lantai tari semula. Mana puas menari sekejap aje!



BEN menutup sebelah telinganya. Kepalanya tergeleng sendiri. Macam manalah diaorang ni semua boleh tahan dengan muzik kuat bergema ni? Dia yang baru masuk tidak sampai lima saat pun sudah rasa bergegar gegendang telinga.
Ben melilaukan matanya mencari kelibat Syarizad. Dia pun tidak tahu kenapa dia perlu datang. Yang pasti selepas menghubungi Syarizad tadi, otaknya segera menerima mesej supaya dia datang ke situ untuk membawa Syarizad pulang.
Ouch!”
Sorry.” Ben segera memohon maaf. Gadis yang dilanggar tadi mengangkat mukanya.
“Ben?” Marlyn mengerutkan muka. Antara terkejut dan gembira, semuanya bercampur. Terkejut sebab Ben datang ke tempat-tempat begitu. Gembira kerana sudah lama mereka tidak bersua muka. Bukan ke Ben tu jenis stok alim-alim? Buat apa pula kat sini?
“Lyn...” Perlahan Ben menyebut nama itu. Dia kenal Marlyn sebab gadis itu pernah datang ke rumahnya atas jemputan mummynya. Apa hubungan sebenar mereka, tak pernah pula dia tanya.
“You buat apa kat sini?” tanya Marlyn. Lelaki di sebelahnya cuma diam memerhati.
“I... I datang cari kawan I,” jawab Ben. Malas nak cerita lebih, cukuplah menggelar Syarizad sebagai kawannya.
“Oh... maksud you, Syari?” teka Marlyn.
Kening Ben berkerut.
“You kenal Syari?”
Marlyn ketawa kecil.
“I yang bawak dia datang sini tadi. Dia ada kat sana.” Jari telunjuknya dituding ke satu arah.
Ben ikut menoleh. Hampir nak terkeluar biji mata melihat gelagat Syarizad di sisi seorang lelaki yang langsung tidak dikenali. Tengok daripada cara gadis itu menari, dia tahu Syarizad mabuk.
Thanks.” Perlahan Ben mengucapkannya lalu berjalan menghampiri Syarizad.
“Syari!” Kuat Ben memanggil untuk mengalih perhatian gadis itu.
Syarizad yang masih ralit menari terus menoleh. Terpandangkan Ben, terus wajah yang sudah sedia ceria tambah gembira.
“Encik Ben!” Dengan selamba lengan lelaki itu dipeluk mesra.
Karl yang terkejut hanya mampu memandang. Ni siapa pula yang datang jadi hero tiba-tiba ni?
“Ikut saya balik sekarang,” arah Ben keras.
“Alah... Encik Ben, tunggulah kejap. Saya tak puas lagi nak menari. Encik Ben temankan saya ya? Jomlah!” Syarizad sudah memeluk leher Ben. Kepalanya terasa ringan, meliuk lentok ke kiri dan kanan.
Ben pantas menarik tangan gadis itu. Sahlah, memang Syarizad mabuk.
You are drunk! Let me take you home.”
Woo woo, bro...” Karl mencelah. Kedua-dua tangannya diangkat tinggi, menahan Ben daripada pergi begitu saja.
Ben berpaling ke arah Karl sementara Syarizad pula semakin hanyut dalam keadaannya yang bagaikan separuh sedar.
“Apa ni? Datang-datang aje terus nak tarik orang?” Karl bersuara tidak puas hati. Bukan main lagi dia bagi Syarizad minum banyak-banyak, sekarang senang-senang lelaki itu nak tarik Syarizad pergi. Sorry, man!
Ben memandang Syarizad.
Either you stay here or you're coming with me. Choose!”
Syarizad tersenyum-senyum dengan matanya yang separuh pejam.
“Encik Ben nak bawak saya pergi mana? Pergi hotel ya? Kalau macam tu, saya naklah...” Kemudian dia ketawa kecil pula. Langsung tidak sedar suasana sekeliling. Terasa ada bintang-bintang berapungan di sekitarnya.
Ben memandang Karl pula. Jelas lelaki itu tidak puas hati. Tanpa berkata apa-apa, Ben terus menarik kuat tangan Syarizad supaya mengikutnya keluar dari tempat penuh maksiat itu.
“Masuk!” Tubuh Syarizad ditolak masuk ke kereta setelah membuka pintu.
Syarizad menyandarkan kepalanya di kusyen kereta. Badannya terasa longlai dengan pandangan yang semakin kabur.
Ben menghidupkan enjin dan mula memandu. Sungguh dia kesal melihat keadaan Syarizad. Entah sejak bila gadis itu pandai menjejakkan kaki ke tempat-tempat seperti itu. Paling penting, macam mana Syarizad boleh kenal Marlyn? Takkanlah Datin Hazleena yang kenalkan Marlyn kepada Syarizad? Bermacam-macam persoalan bermain dalam kepalanya ketika itu.
“Encik Ben...” Syarizad memanggil perlahan. Matanya semakin terkatup rapat. Tangannya menggagau-gagau memeluk leher Ben. “Encik Ben nak bawak saya pergi mana ni? Encik Ben rindu saya eh?” Ketawa kecilnya meletus.
Ben menepis dengan tangan kiri Syarizad.
Stop it, Syari!”
Syarizad ketawa lagi. Kepalanya terasa semakin pening. Entah bila matanya terkatup rapat dia sendiri tidak tahu. Sedar-sedar saja, Ben sudah menarik tangannya untuk keluar dari kereta.
“Saya tak boleh jalanlah, Encik Ben... Encik Ben dukung saya boleh tak?” Syarizad bersuara manja. Leher Ben dipeluk lagi.
Ben berdecit. Berkali-kali dia beristighfar dalam hati untuk menguatkan iman sendiri. Makin dia menepis, makin Syarizad bertindak berani. Terus dipapah tubuh longlai gadis itu menuju ke arah lif.
“Rumah awak tingkat berapa?” tanya Ben. Memang dia selalu hantar Syarizad pulang, tapi tak pernah pula naik sampai ke atas.
Syarizad mengangkat lima jarinya sebagai jawapan.
Ben terus menekan butang yang tersedia di tepi pintu lif. Asalnya dia cuma memegang bahu Syarizad, tetapi apabila tubuh gadis itu hampir rebah mencecah lantai, tangannya memaut pinggang gadis itu pula. Keluhan terlepas panjang. Ya Allah, ampunkan aku...
Pintu lif terbuka. Ben terus memapah tubuh Syarizad keluar dari lif itu.
“Rumah awak nombor berapa, Syari?”
“Kat sana...” Syarizad menuding jarinya dengan mata separuh pejam. “Nombor... 5... 0... 6...”
Ben melangkah menghampiri rumah yang dimaksudkan. Tubuh Syarizad diletakkan di tepi pintu sebelum mencari kunci dari dalam beg Syarizad dan membuka pintu itu. Kemudian barulah tubuh gadis itu dibawa masuk ke dalam bilik.
Perlahan Syarizad diletakkan di atas katil. Mata gadis itu sudah terpejam rapat namun mulutnya masih meracau-racau entah apa. Ben menghela nafas panjang. Tadinya dia menelefon cuma untuk berbual kosong dengan gadis itu, namun bunyi bingit dari talian mengejutkannya. Terus ditanya di mana Syarizad berada. Tak sangka, sudahnya dia pula yang pergi menemui Syarizad dan membawa gadis itu pulang ke rumah.
“Encik Ben...”
Ben yang sudah sampai di muka pintu bilik kembali menoleh.
“Kenapa Encik Ben baik sangat dengan saya?”
Ben terdiam.
“Saya ni jahat tau... nanti kalau saya lukakan Encik Ben... mesti Encik Ben...”
“Syari... Syari...” Ben kembali menghampiri katil. “Hey... just... sleep okay?” perlahan suaranya berbisik di telinga Syarizad.
Barulah Syarizad diam. Hembusan nafasnya kedengaran perlahan.
Ben meraup wajahnya. Sejujurnya, hatinya sedih mengenangkan apa yang terjadi kepada Syarizad. Sewaktu kali pertama bertemu gadis itu, langsung tiada dalam fikirannya yang dia akan jatuh cinta. Tetapi semakin mengenali Syarizad, perasaan itu terasa semakin mendalam. Bukan tidak cuba dia nafikan, tetapi ternyata dia gagal.
Walaupun Syarizad bukan macam gadis lain, itu bukan halangan untuk membuatkan perasaan cinta itu semakin memekar di hatinya. Semakin hati rasa sayang, semakin dia rasa sedih mengenangkan sikap Syarizad. Bukan ini yang dia impikan untuk seorang gadis yang bakal dinikahi satu hari nanti.
Dia impikan seorang gadis bertudung, yang tidak meninggalkan solat dan segala perkara wajib yang tersenarai dalam fardu ain. Pendek kata, dia mahukan seorang gadis yang solehah. Bukan yang hanyut seperti Syarizad. Tetapi kalau dia cuba menafikan perasaan itu, dia diibaratkan menolak takdir. Dan itulah yang kian membuatkan hati Ben terasa berat.
Ben duduk di atas sofa di ruang tamu. Lama dia termenung di situ, mencongak-congak sendiri apa yang bakal dilakukan selepas ini hingga dia tidak sedar bila masanya dia terlelap di situ.



SYARIZAD terjaga apabila terasa silau cahaya mentari memancar dari cermin tingkap biliknya. Lambat-lambat kelopak matanya diangkat. Eh, matahari? Alamak! Kalut Syarizad bangkit dari perbaringannya. Jam loceng yang terletak di atas meja di sisi katil ditoleh. Pukul 11.00 pagi? Oh my God!
Terburu-buru dia melompat turun dari katil. Namun kepala yang tiba-tiba terasa pening menghalang langkahnya. Dia kembali duduk semula sambil memicit kepala. Apa yang jadi malam tadi? Siapa yang bawa dia balik? Marlyn? Habis tu, siapa yang bawa dia masuk bilik ni? Karl? Macam-macam perkara bermain dalam fikirannya ketika itu.
Matanya tiba-tiba terpandangkan sehelai kertas yang diletakkan di bawah jam loceng. Tangannya mencapai kertas itu. Terkelip-kelip matanya membaca apa yang tertulis di situ.




Ben? Oh my God! Syarizad terbangun dari duduknya. Ben? Ben hantar dia malam tadi? Oh, no!
Syarizad mundar-mandir di dalam bilik itu dengan hati yang resah gelisah. Segala peristiwa yang berlaku malam tadi perlahan-lahan berputar semula dalam ingatan.
Wait! Wait!” Syarizad mengangkat tangannya sendiri. “Aku ada cakap apa-apa ke kat dia?” soalnya kepada diri sendiri. “Macam mana kalau ada? Oh my God! Matilah macam ni! Matilah! Matilah!”
Rasa macam nak hantuk kepala sendiri kat dinding. Entah apa yang difikirkan Ben tentangnya malam tadi. Risaunya! Tapi... kenapa dia perlu risau pula? Risau kalau-kalau Ben akan membencinya selepas ini? Kenapa? Sebab dia sendiri sudah semakin sayangkan Ben?
Syarizad memejamkan matanya sambil tersandar pada dinding. Tak, tak. Itu tak boleh berlaku. Impossible. Never!
Telefon pintar yang berdering mengejutkan Syarizad. Menyangkakan Ben yang menelefon, dia segera menerpa ke arah beg tangannya di tepi katil. Namun, nama Liyana pula yang muncul di skrin. Syarizad merengus. Buat suspens aje!
“Helo.” Panggilan itu dijawab juga.
“Helo, Ijad.” Suara Liyana kedengaran serak.
Syarizad kerut dahi. Dah kenapa pulak ni? Gaduh dengan Herdy? Ah, sekarang bukan masa untuk fikir hal Liyana dengan Herdy!
“Kenapa, Yana?” Syarizad mengawal nada suaranya. Tak mahu Liyana fikir yang bukan-bukan kalau gadis itu perasan nada suaranya yang jelas malas melayan.
“Kau free tak nanti masa lunch?” tanya Liyana. Sesekali terdengar esakan kecilnya.
Hmm... free. Kenapa?”
“Kita lunch sama? Aku ambik kau kat ofis,” pelawa Liyana.
Hmm... tak, kau ambik aku kat rumah. Aku tak kerja hari ni,” ujar Syarizad.
“Oh... Okey.”
“Okey.”
Talian terus dimatikan. Syarizad memicit kepalanya lagi. Ketika itu baru dia perasan ada banyak panggilan tidak dijawab daripada Pak Ali. Mesti banyak kali Pak Ali telefon untuk menghantarnya ke pejabat pagi tadi. Tapi sebab dia tak jawab-jawab, akhirnya Pak Ali memutuskan untuk balik saja.



SEJAK setengah jam yang lalu, Syarizad cuma mendengar cerita Liyana tentang Herdy. Tidak cukup dengan itu, gadis itu tidak henti-henti menangis. Sudahnya Syarizad hanya duduk di situ memasang telinga. Nak memujuk lebih-lebih pun bukannya dia reti. Paling penting, dia tidak tahu kenapa mesti Liyana ceritakan semua itu kepadanya.
“Kau memang syak dia ada orang lain?” tanya Syarizad. Baru dapat peluang untuk bersuara.
Liyana mengesat mata yang basah dengan tisu di tangannya. Nafas ditarik dalam-dalam untuk menenangkan diri sendiri.
“Aku tak tahu. Tapi dia memang dah jauh berubah. Kalau bukan sebab perempuan lain, apa lagi?”
Syarizad menggaru-garu kepalanya. Memang Herdy ada orang lain, dan orang lain yang dimaksudkan itu ialah dirinya sendiri. Tapi kenapa sikit pun dia tidak berasa kesian kepada Liyana? Entahlah. Mungkin sebab rasa gembira dan puas yang ada menutup segala rasa simpati yang dulu pernah wujud dalam hatinya.
“Apa kata kau tanya dia betul-betul. Berdepan dengan dia, selesaikan masalah cara baik. Aku yakin, dia sebenarnya sayangkan kau lagi. Takkanlah dia nak biarkan tempoh lima tahun kau orang bercinta sia-sia macam tu aje?” Syarizad sengaja bersikap relevan, biar Liyana nampak jalan untuk kembali meraih cinta Herdy walaupun dia sendiri tahu semua itu agak mustahil. Macam mana nak pikat balik kalau Herdy sudah betul-betul jatuh ke tangannya sendiri?
Liyana merenung Syarizad.
“Kau rasa cara tu okey ke?”
Syarizad angkat bahu. “Belum cuba belum tahu.”
Liyana mengangguk. Dia sendiri pun tidak tahu kenapa dia mesti meluahkan semua itu kepada Syarizad. Yang pasti, dia mahukan seseorang yang sudi mendengar segala ceritanya dan dia yakin, Syarizad orang yang tepat. Kenapa? Kerana Syarizad sudah mendengar semua ceritanya sejak mereka masih kecil lagi.

No comments:

Post a Comment