“Saya dah cuba
beritahu dia…tapi dia tak percaya” terang Hanis apabila didesak oleh Taufik
tentang reaksi Ayuni terhadapnya.
“Apa yang awak
beritahu dia sampai dia tak percaya pula?” bentak Taufik.
“Hishh…Encik Taufik ni…sabarlah sikit. Janganlah gelojoh sangat. Kalau nak mengurat perempuan ni, kenalah slow and steady…..ini tak…apa Encik
Taufik ingat, nak tackle perempuan ni
macam nak panggil kucing makan…bunyikan ‘citcit’ terus berebut-rebut datang?’
jawab Hanis jengkel.
Sakit hatinya bila dijerkah begitu. Dahlah minta tolong secara percuma, kita
pulak nak ditengkingnya. Getus Hanis
dalam hati!
Hishh!!! Geramnya.
Kalau tidak kerana Taufik adalah assistant
bosnya, memang sudah lama tidak dilayannya hasrat hati lelaki itu yang
hendak sangat mengenali Ayuni dengan lebih rapat lagi.
“Ok…ok…saya minta maaf ye Hanis…teremo pulak saya ni…saya bukan apa Hanis,
otak saya dah macam nak gila sebab asyik memikirkan tentang kawan baik awak tu. Tidur ingat dia, jaga ingat dia, makan ingat
dia, mandi ingat dia…aduh, boleh gila saya dibuatnya. Tolonglah saya Hanis…’ rayu Taufik dengan
bersungguh-sungguh bila disedari Hanis terasa hati dengan kelakuannya
tadi.
Hilang sudah rasa malunya pada Hanis. Taufik sudah nanar! Dia sendiri tidak percaya akan perasaannya
terhadap Ayuni.
Memang benar, secara logiknya dia tidak mungkin boleh
jatuh hati dengan Ayuni kerana mereka memang saling tidak mengenali lebih-lebih
lagi Ayuni. Tambahan lagi, dia mula
jatuh hati terhadap Ayuni hanya dari sekeping gambar yang dia sendiri tidak
sengaja terlihat semasa menguruskan satu kerja di meja Hanis. Hatinya tiba-tiba sahaja berdebar-debar bila
menatap wajah Ayuni yang tersenyum manja di samping Hanis. Keayuan wajah gadis bertudung itu benar-benar
menyentuh naluri lelakinya.
Pada mulanya, dipendamkan sahaja perasaannya terhadap
Ayuni kerana dia pasti Ayuni sudah mempunyai seseorang yang istimewa. Maklumlah gadis semanis Ayuni pasti ramai
peminat, tetapi bila Hanis sendiri pun perasan akan perubahan air muka Taufik
sebaik sahaja terlihat foto itu, kata-kata Hanis ketika itu seolah-olah membuka
ruang dan peluang untuknya mengenali Ayuni dengan lebih dekat.
Menurut Hanis, Ayuni memang belum ada teman istimewa
semenjak dikecewakan. Nampaknya Taufik
memang langkah kanan. Namun, Taufik
sedar. Bukan mudah untuk mendekati
Ayuni. Dari reaksi Ayuni semasa mereka makan
tengahari bertiga selepas sesi temuduga tempohari, ternyata Ayuni seorang yang
‘liat’ dan sukar untuk didekati.
Telahannya, mungkin kerana pengalamannya yang pernah
dikecewakan, menyebabkan Ayuni lebih berhati-hati. Sikap endah tidak endah Ayuni sangat memikat
hatinya. Tidak seperti gadis-gadis lain
yang pernah ditemuinya, kebanyakannya mereka yang akan cuba untuk memikatnya. Bukanlah dia perasan, tetapi pepatah ada
mengatakan, sekilas ikan di laut, sudah diketahui sama ada jantan atau
betina. Gadis-gadis seperti itu bukanlah
taste Taufik. Tastenya
adalah gadis seperti Ayuni yang sukar didekati, menyebabkan dia akan rasa lebih
tercabar untuk memilikinya.
Taufik akui, bahawa dia masih lagi bersikap konservatif dalam bab-bab pemilihan
teman hidup. Mungkin dia telah banyak
belajar dari kegagalan rumahtangganya. Mahligai
yang dibina atas rasa cinta dan kasih sayang, akhirnya musnah biar pun usia
perkahwinannya baru setahun jagung.
Rasanya tidak berbaloi menghabiskan masa bercinta bertahun-tahun,
meleburkan wang ringgitnya yang bukan sedikit walaupun suatu masa dulu dia
tidak pernah berkira tentang wang ringgit kerana cinta telah membutakan mata
hatinya.
Mengingatkan perbuatan bekas isterinya yang curang di
depan matanya sendiri, menjadikan dia lebih berhati-hati. Hati suami mana yang tidak hancur luluh
apabila terpaksa melihat si isteri melakukan maksiat dengan lelaki lain di atas
ranjang di biliknya sendiri. Hampir separuh mati lelaki itu dibelasahnya. Kalau tidak disabarkan oleh kawannya yang
kebetulan ada bersamanya ketika itu, mungkin lelaki itu sudah mati. Dia benar-benar sudah hilang pertimbangan dan
kewarasannya ketika itu. Talak tiga terus sahaja dilafazkan selepas menampar
pipi gebu isterinya, Farah.
Dia terpaksa
mengambil masa yang sangat lama untuk memulihkan perasaannya dan menyingkirkan
perasaan dendamnya terhadap golongan hawa.
Dalam tempoh itu, pelbagai jenis wanita datang dan pergi dalam hidupnya. Semuanya hanya sekadar untuk bersuka-suka
bagi menghilangkan lara hatinya.
Namun, semenjak terpandang foto Ayuni, dan melihatnya
sendiri secara dekat sewaktu makan tengahari tempoh hari, dia seolah-olah telah
lupa akan kesakitan yang ditanggungnya sekian lama dan dendamnya terhadap
golongan itu tiba-tiba terlerai.
Ajaibnya cinta!
Adakah dia ditakdirkan untukku?
Adakah dia yang akan mengubat lara hatiku? Ayuni, kau pasti akan jadi milikku jua! Tetapi melihat kepada reaksi Ayuni semalam,
dia tahu kerjanya bukan mudah.
Nampaknya, Ayuni bukan jenis yang mudah didekati, tetapi
entah kenapa, hatinya semakin nekad untuk mendapatkan gadis itu kerana dia amat
yakin Ayuni belum berpunya. Dia amat
yakin dengan rasa hatinya. Nalurinya
tidak pernah silap.
No comments:
Post a Comment