DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 29 February 2016

LOKET ZINNIA - BAB 14




TERASA getaran di poket seluar, Zenia pantas mengeluarkan telefon bimbitnya.
            Kau tunggu aku kat kafe. 15 minit lagi aku datang!
            Mesej daripada Eton. Lantas Zenia membalas laju.
            Roger and out!
            Tersengih baca SMS sendiri. Zenia berjalan mendekati pintu kafe. Pintu kaca kafe itu ditolak dari luar. Entah mana silapnya, tolakan pintu yang sememangnya tak kuat tu terkena bahu seorang gadis yang baru saja berjalan melintasi pintu itu. Gelas dalam pegangannya terlepas jatuh lalu airnya terpercik mengenai seluar yang dipakai. Zenia yang terkejut pantas menekup mulut. Ops!
            Karima memejam mata rapat-rapat. Dia paling pantang kalau orang berjalan tak pandang kiri kanan. Tajam jelingannya menghala ke wajah Zenia yang masih terkejut. Kedua-dua rakannya yang berdiri di sebelah hanya memandang sambil berpeluk tubuh.
            “Err... sorry, saya tak sengaja tertolak kuat pintu ni tadi...” ucap Zenia dengan muka selamba. Cukupkan syarat aje minta maaf tu sebenarnya.
            What?! Tak sengaja? You tak nampak ke I melintas kat sini tadi? Jalan pakai apa? Lutut?” Mencerlung anak mata Karima merenung Zenia.
            Zenia menggeleng kecil. “Tak, bukan macam tu. Saya...”
            “You ingat baju I ni murah macam baju you tu? Kalau I mintak ganti, you mampu ke?” Karima terus menyembur sesuka hatinya. Dialog cliché? Memang. Suka hati dialah nak cakap apa pun.
            “Orang macam perempuan ni mana mampu, Ima...” Yana yang berdiri di sebelah Karima menyampuk. Sengaja nak tambahkan bara di hati Karima. Yuni pula sekadar tersenyum mengejek.
            “Kan saya dah mintak maaf tadi? Apa lagi...” Zenia tidak jadi meneruskan ayat apabila seseorang sudah muncul di situ, sekali gus mengalih perhatian keempat-empat mereka. Hayyan Rizqi! Ni dah macam ala-ala dalam filem Hindustan aje ni. Hero datang selamatkan heroin!
            Eh, tapi betul ke Hayyan datang nak tolong dia?
            “Kenapa ni kecoh-kecoh? Malulah semua orang tengok.” Hayyan bersuara di tengah-tengah empat orang gadis itu.
            “Riz... you tengoklah apa perempuan ni dah buat. Dah kotor seluar I ni. Macam mana I nak masuk kelas nanti?” Karima mengadu manja, berharap agar Hayyan akan menyebelahinya.
            Hayyan melurutkan pandangan ke bawah. “Alah... sikit aje pun. Itu pun you nak kecoh? Hmm...” Hayyan tergeleng-geleng.
            Reaksi selamba badak Hayyan itu buatkan Karima terbuntang biji mata.
            Hayyan menoleh ke arah Zenia yang hanya diam di depan pintu kafe. Tangan gadis itu masih lagi memegang daun pintu. “Eh, awak...” tegur Hayyan dengan senyuman di bibir.
            Kening Zenia terangkat. ‘Eh, awak...’ Dialog Hayyan tadi diulang sebut dalam hati. Awak? Hayyan panggil dia ‘awak’? Ya ke? Ohh, hati rasa nak berguling atas rumput dalam taman!
            Hayyan mendekati Zenia. “Ikut saya.” Dia berbisik perlahan di telinga Zenia lalu dengan selamba menarik tangan gadis itu.
            Mata Karima yang terbuntang, hampir tersembur melihat dengan selamba Hayyan menarik tangan Zenia untuk keluar dari kafe. Yana dan Yuni pula merenung dengan mata yang tidak berkelip.
            Zenia mengikut langkah Hayyan dengan penuh tanda tanya di kepala. Ni dah kenapa tiba-tiba aje tarik tangan orang? Lepas tu selamba suruh ikut dia keluar kafe. Eh, awak... saya nak makanlah! Sempat lagi hati Zenia berkata-kata.
            Apabila sudah agak menjauh dari kawasan kafe, barulah Hayyan melepaskan tangan Zenia. Dia berpusing, berdiri menghadap gadis itu yang sedang merenungnya dengan mata yang bulat.
            Sorry... saya cuma nak tolong awak tadi. Bingitlah dengar suara mak cik tu,” ujar Hayyan. Ada gelak kecil di hujung ayatnya.
            Zenia terpegun seketika. Ohh, kacaknya! Adakah gelak itu diciptakan khas untuk dia seorang?
            Hayyan yang perasan dengan kebisuan Zenia macam tengah tengok artis terkenal depan mata itu terus mengerutkan dahi. Tangannya dilambai-lambaikan di depan Zenia. “Helo... awak okey ke ni?”
            Zenia tersedar. Pantas dia memaksa bibir untuk tersenyum. “Okey, okey... saya okey. Ohh, terima kasih pasal tadi tu ya. Saya memang tak tahu nak buat apa tadi,” ujarnya dengan suara yang sedikit tersekat. Kalau boleh, nak aje tambah ayat ‘nasib baik ada awak’ kat belakang tapi err... segan ahh...
            “Ohh, tak ada apalah. Karima tu memang macam tu. Suka sangat besarkan hal kecik. Dah kebetulan saya lalu kat situ tadi, tak salahkan kalau saya tolong?” Hayyan tersenyum manis.
            Zenia membalas senyuman itu dengan hati yang berbunga ceria. Indahnya perasaan apabila berhadapan dengan si jejaka pujaan hati. Rugilah kalau kau orang tak pernah rasa tau?
            “Oh yaa...” Hayyan tiba-tiba teringatkan sesuatu. Pantas dia mengeluarkan sebuah buku dari begnya lalu buku itu dihulurkan kepada Zenia. “Buku awak, kan? Sorrylah semalam saya terambil... tak sengaja...”
            ‘Sengaja pun tak apa...’
            Eh! Mengada-ngada pulak kau ni Zenia oii!
            “Tak apa, saya tak kisah. Saya nak ucap terima kasih kat awak sebab sudi jagakan buku saya ni kejap,” balas Zenia cuba berlagak tenang.
            Hayyan senyum lagi. “Sama-sama.”
            “Nia!”
            Panggilan itu menyentakkan Zenia. Gugur segala bunga-bunga indah yang baru mekar di sekeliling. Ish! Siapa ni kacau daun? Zenia menoleh. Terlihat kelibat Eton sedang melambai-lambai ke arahnya, barulah dia teringatkan rakannya itu. Aduh! Asyik sangat layan perasaan, langsung lupa terus kat minah tu sorang.
            “Err...” Zenia tidak tahu apa yang harus dipanggil. Nak kata tak tahu nama tu tipulah tapi...
            “Hayyan Rizqi. Panggil aje apa-apa, saya tak kisah.” Hayyan menjawab laju, seolah-olah faham apa yang sedang bermain di fikiran Zenia ketika itu.
            “Ohh... okey. Hayyan... saya kena pergi dulu.” Zenia tersenyum lagi. Terasa indah benar bunyi nama Hayyan apabila meniti keluar dari bibirnya.
            Hayyan mengangguk. “Okey. Jumpa lagi lain kali,” balasnya.
            Zenia memusingkan tubuh. Perlahan-lahan dia membuka langkah meninggalkan Hayyan. Kalau boleh, memang dia langsung tak nak pergi. Entah bila lagi nak dapat peluang berbual macam ni dengan lelaki itu. Tapi yang menyedihkan... kenapa Hayyan langsung tak tanya nama dia? Hayyan tak nak tahu nama dia ke? Langsung tak teringin?
            Sedih!


MENCERUN pandangan Eton ke wajah Zenia. Zenia pula buat muka selamba sambil makan kerepek di tangan.
            “Kau buat apa dengan dia tadi? Macam mana dia boleh ada dengan kau? Dan yang penting, macam mana kau boleh berdiri dekat dengan dia, siap borak-borak, sengih-sengih, senyum-senyum?” Eton bercekak pinggang di depan Zenia. Geram pula tengok aksi mengada-ngada Zenia tu.
            Zenia tersengih-sengih. “Panjang ceritanyaaaa...”
            “Kau jangan nak mengada-ngada sangat boleh tak? Cerita ajelah!” bentak Eton geram.
            Zenia ketawa. “Okey, okey aku cerita. Macam ni...” Lalu dia mula membuka cerita tentang apa yang terjadi tadi. Tentang Karima dan dua orang kawan gediknya dan bagaimana Hayyan Rizqi datang sebagai hero yang mahu menyelamatkan heroin. Epik, kan?
            Sesaat dua berlalu sepi sebelum akhirnya Eton terjerit kuat. Jeritan yang menarik pandangan beberapa pelajar yang lalu-lalang di kawasan itu. Terlompat-lompat dia di situ sambil memeluk Zenia dengan erat. Zenia pula yang terkejut melihat reaksi Eton. Tak sangka sampai macam tu sekali dia excited.
            “Tahniah, Nia! Aku tumpang gembira untuk kau!” ucap Eton sambil tergelak-gelak.
            “Kenapa nak tahniah pulak? Kau ni... macamlah dia ajak aku nikah ke apa.” Zenia buat muka tak puas hati.
            Eton ketawa lagi. Bahu Zenia dipaut erat. “Tahniahlah sebab kau akhirnya diberi peluang untuk berkomunikasi dengan jejaka idaman hati kau tu. Bukan semua orang dapat peluang macam kau ni tau?”
            “Eh?” Zenia bertanya lagi, sengaja mahukan kepastian.
            Eton angguk laju-laju. Zenia terdiam sesaat dua sebelum mereka akhirnya ketawa riang bersama.
            Hujung jari Zenia menyelak helaian buku di tangan. Membaca sebaris nama di situ bersama beberapa angka, senyuman di bibir makin melebar.
            Hayyan Rizqi, 012-XXXXXXX


TELEFON BIMBIT yang terdampar di atas katil dicapai. Sempat memandang jam yang tertera di skrin telefon. Pukul 11.36 malam. Dah tidur ke belum Hayyan tu? Ke tengah tunggu aku SMS dia? Tak pun tunggu aku call dia? Hmm... Hisy! Perasanlah kau, Nia. Entah-entah dia tak ingat langsung pun pasal kau. Tapi bukan ke dia yang bagi nombor telefon dia? Maknanya dia nak aku contact dialah tu, kan?
            “Kalau nak SMS tu, SMS ajelah. Tak payah fikir panjang-panjang.”
            Suara Eton itu mengejutkan Zenia. Senyuman mengusik terukir di bibir gadis itu.
            “Err... mana ada. Aku...” Zenia terkial-kial mencari ayat.
            Eton ketawa kecil. “Tak apa, aku faham.”
            Zenia mengetap bibir. Hisy Eton ni...
            “Nanti tutup lampu eh? Aku nak tidur. Good night and sweet dream!” Eton mengenyit sebelah matanya sebelum terus baring membelakangi Zenia.
            Zenia menghela nafas panjang. Nombor telefon Hayyan yang sudah selamat disimpan dalam memori telefon bimbitnya direnung kosong. SMS ke tak? SMS ke tak? SMS ke tak?
            Arh, tak payahlah! Tengoklah esok-esok macam mana. Lalu dia bingkas menutup suis lampu sebelum turut merebahkan badan di atas katil.



No comments:

Post a Comment