“KAU
pergi tak jumpa Hayyan semalam?” Eton bertanya sambil menyumbat roti ke dalam
mulutnya. Semalam lupa nak tanya, hari ini baru soal itu kembali mengisi
benaknya. Dipandang muka innocent
Zenia.
“Tak.” Zenia menggeleng sebelum
menyedut minuman dari kotak yang dipegangnya.
“Tak? Habis, kau biar ajelah dia
tunggu?” Terkelip-kelip mata Eton bagai tidak percaya.
Zenia mengangguk pula dengan
sengihan.
“Serius?” Mata yang tadinya
terkelip-kelip kini terbuka luas.
Zenia mengangguk lagi.
Eton menepuk dahinya. “Ya Allah...
Kau ni, Nia!” Tergeleng-geleng kepalanya mengenangkan tindakan Zenia itu.
Bagaikan terbayang-bayang kelibat Hayyan sedang menunggu di tepi keretanya di
depan bangunan fakulti, tetapi gadis yang ditunggu tetap tidak muncul. “Tapi
kenapa?”
Kotak minuman di tangan diletakkan
Zenia di atas meja. “Entah.”
“Entah?” Eton tunjuk muka tak puas
hati.
“Aku takutlah nak jumpa dia...”
Zenia mengeluh. Badan disandarkan ke kerusi.
“Takut kenapa? Takut dia buat benda
tak elok dekat kau ke?”
“Bukan.”
“Dah tu?”
“Eton, dia tu top student kat sini tau? Semua orang kenal dia. Pelajar dari
fakulti lain pun kenal dia jugak. Kalau aku keluar dengan dia, aku tak naklah
orang mengata aku macam-macam. Kononnya aku ni gatal sangat nak keluar dengan
orang hensem macam Hayyan tu,” ujar Zenia dengan bibir yang termuncung ke
depan.
“Kau nak kisah pasal orang lain buat
apa? Dia yang ajak kau keluar dengan dia. Lantaklah yang lain-lain tu. Dengki
aje semua tu,” bebel Eton tidak puas hati.
“Memanglah... tapi aku rasa tak
selamat. Boleh percaya ke Hayyan tu?” Lain pula tanggapan yang keluar dari
mulut Zenia.
Kalau tak kerana muka innocent Zenia tu, memang dah lama Eton
‘sembur’ minah ni. Mujurlah kawan baik. Hmm...
“Kau yang minat dia selama ni.
Sekarang ni tak percaya pulak dah?”
“Minat dengan percaya tu dua perkara
yang berbeza.” Bijak Zenia meningkah.
“Teori?” Eton angkat kening.
“Memang aku minat dia tapi tu tak
menjamin yang dia tu baik. Berapa ramai orang perempuan yang kena tipu sebab
percaya sangat dengan orang lelaki?” Zenia ikut sama angkat kening.
Eton mencebik. “Suka hatilah.”
Zenia ketawa kecil. Nampak aje muka innocent minah ni, tapi kalau bercakap
pandai jugak. Siap dengan hujahnya sekali.
“Tapi aku macam pelik jugak.” Zenia
bersuara lagi.
“Pelik apa?” tanya Eton.
Pandangannya kini terarah kepada seorang lelaki yang berdiri tidak jauh di
belakang Zenia.
“Tak sangka lelaki yang aku minat
selama ni boleh ajak aku keluar sama. Kalau fikir balik, macam kelakar, kan?”
Zenia tergelak sendiri dengan kata-katanya.
“Kelakar sebab sepatutnya kau yang
ajak dia keluar, kan? Ini terbalik pulak,” balas Eton. Pandangan masih lagi
terpaku ke arah lelaki itu.
Zenia mengangguk. “Entah-entah dia
pun suka aku tak?”
Eton angkat kening.
“Memang suka pun.”
Tersentak. Serentak itu Zenia
berpaling ke belakang. Seakan-akan kering darah dalam tubuhnya memandang Hayyan
sedang berdiri di situ dengan senyuman manis di bibir. Zenia kaku di situ.
Sekali pun matanya tidak berkelip.
Eton tahan gelak. “Hmm... Nia, kejap
lagi aku ada kelas ni. So aku pergi
dululah ya? Chow!” Beg diangkat dan
sekejap sahaja, dia sudah menghilangkan diri.
Hayyan menghampiri Zenia yang masih
kaku di tempatnya. “Boleh saya duduk?”
Zenia tidak menjawab. Mulutnya bagai
terkunci rapat.
Hayyan menarik kerusi lalu duduk
dekat dengan Zenia. “Kenapa? Terkejut tengok saya tiba-tiba ada kat sini?”
Zenia masih tetap diam. Kepalanya
ditundukkan dengan jari bermain-main dengan hujung straw dalam kotak minumannya tadi.
“Itulah orang kata... cakap siang
pandang-pandang,” kata Hayyan sambil menahan senyum. Entah betul entah tidak
pepatahnya itu. Main belasah aje. Kedua-dua belah pipi Zenia sudah mula
memerah, makin membuatkan dia seronok nak mengusik.
“Kenapa tak datang jumpa saya
semalam?” Hayyan menyandar di kerusi dengan riak tenang. Sengaja bertanya
walhal tadi dia sudah dengar perbualan gadis itu dengan rakannya.
“Err...” Kelu lidah Zenia untuk
menjawab. Padahal tadi bukan main rancak lagi bersembang dengan Eton. Sekarang
dah jadi patung pula.
“Kenapalah nak kisah apa orang
cakap. Saya yang nak keluar dengan awak, bukan dia orang,” kata Hayyan.
Lambat-lambat Zenia mengangkat muka
memandang Hayyan. “Awak jangan salah faham. Saya bukan tak sudi nak keluar
dengan awak cuma...”
“Jadi saya masih ada peluanglah,
kan?” Hayyan memintas laju.
Zenia terdiam. Bibirnya bergerak
bagai mahu mengatakan sesuatu tetapi
sudahnya, tiada sepatah kata pun yang keluar. Riaknya penuh kekeliruan.
Topik apa yang sedang dibualkan ni sebenarnya?
“Kenapa awak beria sangat nak ajak
saya keluar?” Zenia memberanikan diri bertanya.
Hayyan bangkit berdiri dengan
senyuman yang masih tak lekang dari bibirnya. “Saya akan jawab soalan tu kalau
awak sudi keluar dengan saya.”
“Err...”
“Text
me,” ujar Hayyan. Sempat tersenyum manis sebelum berlalu pergi.
Zenia masih tercengang-cengang di
situ. Itukah Hayyan Rizqi yang diminati selama ini? Ohh... dia rasa macam nak
pitam!
“DIA
cakap macam tu?” Eton bersuara teruja.
Zenia mengangguk.
“Great!”
Eton memetik jarinya sebelum ketawa suka.
“Great?”
Zenia kerut kening. Eton ni suka buat kepala dia berpusing 360 darjah sebab
istilah dia yang pelik-pelik tu.
“Kau text ajelah dia, ajak dia keluar. Habis cerita.” Mudah Eton
membalas.
Zenia menggeleng tidak setuju.
“Cerita takkan habis. Lepas ni cerita lain pulak yang akan ada.”
“Cerita cinta kau dengan Hayyan?”
Eton sengih mengada.
Zenia mengetap gigi dengan mata yang
mencerlung. Eton ketawa.
“Opps! Tengok siapa di sana.” Eton
menuding jarinya ke arah hujung kaki lima bangunan fakulti.
Zenia berpaling ke arah yang
ditunjukkan. Alamak! Jelas di situ Hayyan sedang melepak bersama
rakan-rakannya. Untuk pulang ke kolej, dia perlu melalui kawasan itu dan Hayyan
akan nampak dirinya. Entah apa lagi yang akan lelaki itu lakukan selepas ini.
“Eton!” Zenia menarik lengan Eton
sekali gus membuatkan langkah gadis itu terhenti.
“Apa?” Terkejut Eton dibuatnya.
“Aku nak guna jalan belakang library,” beritahu Zenia. Hanya itu yang
dapat difikirkannya sekarang.
Eton ternganga. “Jauhlah, mak cik!”
“Tak apalah jauh pun. Yang penting
selamat.”
“Kat sini tak selamat ke?”
“Tak. Kau nak ikut tak?”
“Malas aku. Jalan dekat ada yang nak
pergi guna jalan jauh tu apahal?” Eton membebel tak puas hati.
“Fine.
Jumpa kat bilik.” Tanpa menunggu lagi, Zenia terus berpusing dan berjalan laju
meninggalkan Eton. Yakin dirinya selamat daripada kelibat Hayyan, barulah nafas
lega terhembus keluar dari mulutnya. Kalau difikirkan semula, macam kelakar
pula. Dahulu dia yang sering mencari jalan untuk bertemu Hayyan, sekarang dia
pula yang melarikan diri. Tanpa sedar, terlepas gelak kecil dari hujung
bibirnya.
No comments:
Post a Comment