DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 29 February 2016

BUNGA DI TAMAN LARANGAN - PROLOG



Telefon bimbit berdering tiba-tiba. Syarizad yang sedang mengemaskan tudung di depan cermin tersentak. Sempat mengerling ke arah jam pada dinding yang menunjukkan pukul 7.30 pagi. Kemudian terus kakinya melangkah menghampiri katil. Telefon yang terdampar di situ dicapai. Membaca nama Idlan di skrin, bibir terbias senyuman nipis. Dia segera menjawab panggilan itu.
“Assalamualaikum,” ucap Idlan dengan suara yang lembut.
Syarizad melebarkan senyuman. Biasanya tidak pernah pun Idlan ucapkan salam setiap kali telefon, tetapi pagi ini terasa lain pula. Mungkin sebab sekejap lagi mereka akan diijabkabulkan bersama, sebab itulah Idlan sudah jadi lain seratus peratus. Lelaki itu bukan lagi sahabat baiknya, tetapi sudah layak digelar sebagai bakal suami. Dan gelaran ‘bakal’ itu akan gugur sebaik saja lelaki itu melafazkan akad tidak lama saja lagi.
Waalaikumussalam,” jawab Syarizad dalam nada suara yang sama.
“Ijad, nanti kau pergi masjid dengan mak ngah dulu tau. Aku mungkin pergi lambat sikit,” ujar Idlan.
Syarizad mengerutkan dahi. Rasa hairan mengetuk benaknya. “La... kenapa? Hari tu kau cakap nak pergi sekali.”
“Aku ada hal sikit pagi ni. Kau pergilah dulu. Lagipun tak syoklah tengok kau awal-awal. Tengok kau kat masjid nanti barulah surprise.” Idlan ketawa.
Syarizad mencebik. Tahu Idlan sengaja bergurau begitu sebab selama ini mana pernah dia pakai lawa-lawa dan mekap cantik-cantik.
“Itu pun kalau aku sempat pergilah,” tambah Idlan lalu ketawa lagi.
Jantung Syarizad mula berubah rentak. Senyumannya memudar. Ini kali kedua Idlan buat lawak begitu. Hatinya jadi makin tidak sedap.
“Kau janganlah cakap macam tu, Lan. Buat aku risau aje.”
Idlan masih dengan tawa panjangnya. Langsung tidak terkesan di hatinya dengan apa yang dikatakan Syarizad. Atau mungkin juga, dia sengaja buat-buat selamba sedangkan di hati hanya Allah S.W.T. yang tahu.
“Ijad, walau apa pun yang jadi nanti, aku nak kau tahu yang aku sayang kau,” luah Idlan. Hilang tawa panjangnya, nadanya kini bertukar sayu.
Syarizad terdiam. Sebak mendengar luahan Idlan itu. Tangan kirinya menggenggam kemas kain baju kurung yang dipakainya.
“Aku tahu, Lan. Kau tak payah cakap pun aku dah tahu.”
“Tak, maksud aku... aku sayang kau. Betul-betul sayang. Kau faham, kan?” Idlan mengulangi luahannya. Bersungguh-sungguh nadanya, mahu Syarizad benar-benar mengerti apa yang cuba disampaikan ketika itu. Andai nanti dia tidak sempat bertemu gadis itu, dia mahu Syarizad faham segala-gala yang terpendam di hatinya selama ini.
Syarizad terduduk di birai katil. Apa maksud Idlan yang sebenarnya? Betul-betul sayang? Adakah dia memaksudkan... cinta?
“Aku tahu kau cuma anggap aku kawan baik kau selama ni. Tapi aku nak kau tahu, aku sayang kau. Sayang sangat-sangat...”
“Lan...”
“Aku beritahu sekarang takut nanti tak sempat.” Idlan ketawa kecil.
Syarizad menekup mulutnya. Kolam matanya bergenangan. Hatinya ditujah berbagai-bagai perasaan yang dia sendiri tidak mengerti. Dugaan apa lagi kali ini? Ya Allah, redakanlah resah di hatiku ini...
“Tu aje aku nak cakap. Okey, bye. Assalamualaikum.”
Waalaikumussalam.” Syarizad menundukkan kepalanya setelah talian dimatikan. Dia cuba untuk tidak menangis. Ditahan sekuat hati agar air matanya tidak gugur. Ya Allah, permudahkanlah. Aku merayu kepada-Mu. Hatinya merintih sendiri.

No comments:

Post a Comment