Telefon bimbit berdering tiba-tiba. Syarizad yang sedang mengemaskan
tudung di depan cermin tersentak. Sempat mengerling ke arah jam pada dinding
yang menunjukkan pukul 7.30 pagi. Kemudian terus kakinya melangkah menghampiri
katil. Telefon yang terdampar di situ dicapai. Membaca nama Idlan di skrin,
bibir terbias senyuman nipis. Dia segera menjawab panggilan itu.
“Assalamualaikum,”
ucap Idlan dengan suara yang lembut.
Syarizad
melebarkan senyuman. Biasanya tidak pernah pun Idlan ucapkan salam setiap kali
telefon, tetapi pagi ini terasa lain pula. Mungkin sebab sekejap lagi mereka
akan diijabkabulkan bersama, sebab itulah Idlan sudah jadi lain seratus
peratus. Lelaki itu bukan lagi sahabat baiknya, tetapi sudah layak digelar
sebagai bakal suami. Dan gelaran ‘bakal’ itu akan gugur sebaik saja lelaki itu
melafazkan akad tidak lama saja lagi.
“Waalaikumussalam,”
jawab Syarizad dalam nada suara yang sama.
“Ijad,
nanti kau pergi masjid dengan mak ngah dulu tau. Aku mungkin pergi lambat
sikit,” ujar Idlan.
Syarizad
mengerutkan dahi. Rasa hairan mengetuk benaknya. “La... kenapa? Hari tu kau
cakap nak pergi sekali.”
“Aku
ada hal sikit pagi ni. Kau pergilah dulu. Lagipun tak syoklah tengok kau
awal-awal. Tengok kau kat masjid nanti barulah surprise.” Idlan ketawa.
Syarizad
mencebik. Tahu Idlan sengaja bergurau begitu sebab selama ini mana pernah dia
pakai lawa-lawa dan mekap cantik-cantik.
“Itu
pun kalau aku sempat pergilah,” tambah Idlan lalu ketawa lagi.
Jantung
Syarizad mula berubah rentak. Senyumannya memudar. Ini kali kedua Idlan buat
lawak begitu. Hatinya jadi makin tidak sedap.
“Kau
janganlah cakap macam tu, Lan. Buat aku risau aje.”
Idlan
masih dengan tawa panjangnya. Langsung tidak terkesan di hatinya dengan apa
yang dikatakan Syarizad. Atau mungkin juga, dia sengaja buat-buat selamba
sedangkan di hati hanya Allah S.W.T. yang tahu.
“Ijad,
walau apa pun yang jadi nanti, aku nak kau tahu yang aku sayang kau,” luah
Idlan. Hilang tawa panjangnya, nadanya kini bertukar sayu.
Syarizad
terdiam. Sebak mendengar luahan Idlan itu. Tangan kirinya menggenggam kemas
kain baju kurung yang dipakainya.
“Aku
tahu, Lan. Kau tak payah cakap pun aku dah tahu.”
“Tak,
maksud aku... aku sayang kau. Betul-betul sayang. Kau faham, kan?” Idlan
mengulangi luahannya. Bersungguh-sungguh nadanya, mahu Syarizad benar-benar
mengerti apa yang cuba disampaikan ketika itu. Andai nanti dia tidak sempat
bertemu gadis itu, dia mahu Syarizad faham segala-gala yang terpendam di
hatinya selama ini.
Syarizad
terduduk di birai katil. Apa maksud Idlan yang sebenarnya? Betul-betul sayang?
Adakah dia memaksudkan... cinta?
“Aku
tahu kau cuma anggap aku kawan baik kau selama ni. Tapi aku nak kau tahu, aku
sayang kau. Sayang sangat-sangat...”
“Lan...”
“Aku
beritahu sekarang takut nanti tak sempat.” Idlan ketawa kecil.
Syarizad
menekup mulutnya. Kolam matanya bergenangan. Hatinya ditujah berbagai-bagai
perasaan yang dia sendiri tidak mengerti. Dugaan apa lagi kali ini? Ya Allah,
redakanlah resah di hatiku ini...
“Tu
aje aku nak cakap. Okey, bye. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Syarizad menundukkan kepalanya setelah talian dimatikan. Dia cuba untuk tidak
menangis. Ditahan sekuat hati agar air matanya tidak gugur. Ya Allah,
permudahkanlah. Aku merayu kepada-Mu. Hatinya merintih sendiri.
No comments:
Post a Comment