DARI
rak A, Zenia berpindah ke rak B pula. Matanya meliar ke sekeliling mencari buku
yang diinginkan berdasarkan call number
yang ditulis di atas kertas di tangannya. Tiba-tiba sahaja, ada suara yang
singgah di telinganya. Zenia merapatkan badannya di rak C. Dari situ, dia boleh
nampak kelibat Hayyan dengan rakannya sedang berbual-bual. Walaupun suara
mereka perlahan, masih dapat didengari oleh Zenia.
“Kau tak try call dia?”
“Dah puas call, sekali pun dia tak angkat.” Hayyan mengeluh. Tangannya
membelek-belek buku di tangan.
“Tak tanya dia apa masalah dia?”
“Macam mana nak tanya kalau call aku pun dia tak jawab? SMS lagilah.
Haram.” Hayyan tergeleng-geleng pula.
Zenia terus memasang telinga. Siapa
‘dia’ yang dimaksudkan mereka? Adakah dirinya sendiri?
Rakan Hayyan itu menggaru-garu
kepalanya. “Susahlah orang perempuan ni. Lagipun aku bukannya kenal sangat
Zenia tu macam mana. Memang jenis kuat merajuk kut?”
Sah! Memang dia.
“Tak
adalah sangat. Dia kalau ada yang dia tak puas hati, mulalah mengelak dari aku.
Tapi serius aku tak tahu apa salah aku,” ujar Hayyan.
Zenia mengetap bibir. Betul ke dia
macam tu?
“Jumpalah dia, cakap face to face. Alaa... nanti cairlah tu.
Percayalah cakap aku.” Rakannya itu meyakinkan sambil tersengih.
Hayyan diam tidak menjawab. Dan
Zenia tidak mahu menunggu lagi. Secepat kilat dia berpaling dan serentak itu
juga tubuhnya terlanggar troli yang diletakkan di tengah-tengah antara rak A
dan rak B. Buku-buku yang memenuhi ruang troli itu jatuh bertaburan di atas
lantai. Zenia ternganga di situ.
Hayyan dan Kamil yang tersentak
sama-sama menoleh. Masing-masing terkejut melihat Zenia di situ apatah lagi
dengan buku-buku yang berterabur di atas lantai.
“Nia!” Hayyan pantas menghampiri
Zenia. Dia ikut mencangkung di situ untuk membantu Zenia mengutip buku-buku
yang jatuh. “Nia, awak okey?”
“Aaa... okey, okey.” Zenia kalut
menjawab. Sebuah buku dicapai dan secara kebetulan Hayyan juga mencapai buku
yang sama. Sepantas kilat Zenia melarikan tangannya semula. Otaknya seakan-akan
kosong, tidak dapat berfikir apa yang harus dilakukan. Tidak mahu menunggu
lagi, Zenia segera bangkit dan berjalan laju ke arah pintu perpustakaan.
Hayyan memerhati dengan kerut di
dahi. Kepala ditundukkan memandang buku-buku yang belum dikutip sepenuhnya.
Matanya hinggap pada satu cebisan kertas di celah-celah buku itu. Kertas itu
dicapai. Tertulis angka-angka yang diyakini call
number kepada buku yang mahu dicari Zenia sebentar tadi. Keluhan terlepas
lemah dari mulutnya.
Di luar, Zenia menyandar di dinding
perpustakaan dengan muka yang agak pucat. Semuanya berlaku terlalu pantas
sampaikan dia hampir-hampir tidak sempat bernafas.
Kenapa aku lari tinggalkan buku-buku
tu macam tu? Tak pasal-pasal Hayyan pulak kena kutip. Arh, lantaklah! Lalu
langkah diatur laju untuk pulang ke kolej kediaman.
DI
hujung tangga, Eton ternampak Hayyan sedang berdiri menantikan seseorang. Anak
mata lelaki itu lurus merenung Zenia yang sedang berjalan di sebelahnya. Tak
tahu sama ada gadis itu betul-betul tak nampak kelibatnya atau saja buat-buat
tak nampak. Tapi tengok dari gaya, Eton yakin memang Zenia tak nampak Hayyan
yang ‘bersembunyi’ di situ.
Eton mengangkat kening ke arah
Hayyan, isyarat bertanya apa yang telah berlaku antara mereka berdua. Bukan dia
tak tahu, sudah hampir dua minggu Zenia mengelak dari Hayyan. Nak kata putus
cinta, bila masa pulak dia orang ni bercinta? Putus kawan? Macam tak logik
pulak.
“Nia, kau tak nak jumpa Hayyan
langsung ke? Sian dia tau...” Eton bersuara. Sengaja menguatkan suara agar
Hayyan dapat mendengar perbualan mereka.
Zenia tunduk memandang anak-anak
tangga yang sedang dipijak. “Nak buat apa jumpa dia?” Dingin dia membalas.
“Kau tanya aku nak buat apa? Habis
tu sebelum ni kau jumpa dia nak buat apa?” Eton memulangkan soalan.
Tergeleng-geleng kepalanya tak puas hati.
“Alaaa... aku ni bukannya penting
pun untuk dia. Taste dia mestilah
tinggi, tak sesuai dengan orang macam aku ni,” jawab Zenia macam orang tak ada
hati. Perkataan ‘sesuai’ sengaja dilemahkan bunyinya.
Eton tergeleng-geleng lagi. Belum
sempat dia menjawab, mereka berdua sudah pun sampai di anak tangga terakhir.
Ketika itu juga Zenia tersedar kehadiran Hayyan di situ. Terus terkunci
mulutnya dengan mata membulat. Erk... dia dengar ke tadi?
“Hmm... aku malas campur masalah
rumah tangga kau orang ni. Pandai-pandailah selesaikan. Aku pergi dulu. Chow!” Eton mengangkat tangan lalu
melenggang pergi bersama gelak kecilnya.
“Err...” Serba tak kena jadinya
Zenia. Tambah-tambah lagi apabila renungan Hayyan memanah terus ke wajahnya.
“Mana awak hilang? Puas saya cari,”
tanya Hayyan. Rindunya dengan Zenia... Baru terlepas beban rindu rasanya.
“Tak hilang ke mana pun. Ada aje kat
sini,” jawab Zenia acuh tak acuh. Pandangan dilemparkan ke arah lain. Dia turun
dari anak tangga terakhir dan berdiri menghadap Hayyan.
“Habis tu kenapa awak macam mengelak
aje dari saya? Saya call awak tak
jawab, saya SMS awak tak balas. Sekarang ni saya ada depan mata awak pun, awak
buat tak layan aje. Kenapa, Nia?” Lembut Hayyan bersuara. Bunyi macam orang
pasrah pun ada.
Aduhai... ketar lutut Zenia.
“Tak ada apa-apalah. Saya tak ada
kredit.” Lain yang ditanya, lain yang dijawab. Arh lantaklah! Zenia buat muka
tak bersalah.
“Nak angkat phone pun kena pakai kredit ke?” Nada suara Hayyan kedengaran
menyindir. Geram pula tiba-tiba apabila Zenia macam main-main menjawab
soalannya.
“Dah tahu saya tak angkat, kenapa call jugak?” balas Zenia masih dengan
riak yang sama. Padahal jantung dah dup-dap dup-dap satu macam.
“Sebab saya nak tahu kenapa dengan
awak. Kenapa dengan awak, Nia? Awak marah saya ke?”
“Tak ada apa-apalah. Awak tak
payahlah susah-susah pasal saya...”
“Betul ke ni?” Hayyan masih tak puas
hati. “Nia, walaupun saya kenal awak tak lama, tapi saya boleh baca hati awak.
Mesti ada something yang awak
pendamkan daripada saya, kan?”
“Orang cakap tak ada apa-apa, tak
ada apa-apalah!” Zenia merengus geram. Hisy dia ni, tak faham bahasa betul!
Terdiam sesaat Hayyan jadinya. “Okey
kalau macam tu. Jom, temankan saya makan. Lapar ni...” Selamba pula dia
mengajak.
“Kenapa nak ajak saya pulak? Pergilah
ajak Karima tu!” Tanpa sedar, terlepas sebaris nama itu dari mulut Zenia.
“Aik... kenapa tiba-tiba keluar nama
Karima ni?” Dahi Hayyan berkerut. Karima? Lurus anak matanya merenung wajah
Zenia. Mendengar daripada nada suara dan riak wajah masam Zenia, dia bagaikan
dapat membaca sesuatu.
Benarlah kata orang, when a girl says ‘nothing is wrong’, it
means ‘everything is wrong’. Hayyan sudah faham sekarang.
Zenia terdiam. Erk. Apa aku cakap
tadi? Alamak! Terlepas cakaplah! Huwaaa... malunyaaa... Janganlah Hayyan fikir
bukan-bukan. Fuhhh! Fuhhhhh!
Melihat wajah Zenia merona merah,
Hayyan ukir sengih. “Oooo... jadinya awak mengelak daripada saya selama ni,
sebab Karimalah ya?”
Zenia masih lagi diam. Malu, tapi
tak nak tunjuk. Tak sangka secepat itu Hayyan boleh baca fikirannya.
“Saya dengan dia mana ada
apa-apalah, sayang,” kata Hayyan sambil tersenyum.
Bergetar hati Zenia mendengar
panggilan ‘sayang’ meniti keluar dari bibir lelaki itu. “Kalau tak ada apa-apa,
kenapa saya tengok awak mesra sangat dengan dia?”
“Saya mesra dengan dia sebab dia tu
kawan saya. Saya dah kenal dia sejak sekolah menengah lagi tau?” Satu-persatu
Hayyan menjelaskan. Baru dia faham kenapa Zenia mengelak daripadanya selama dua
minggu ini. Rupa-rupanya Karima yang menjadi punca.
“Tapi hari tu saya nampak awak
pegang tangan dia!” Zenia masih tak puas hati. Nasib baik tak ada orang
lalu-lalang kat kawasan tu. Kalau tak, mau dapat tonton wayang free.
“Saya pegang tangan dia? Bila?”
Hayyan kerutkan mukanya.
Makin sakit hati Zenia jadinya.
“Hai... tak ingat? Dah acap kali sangat kot awak pegang tangan dia sampai tak
ingat dah bila, kan?”
Hayyan tersengih. Garang betul
Zenia. The other side of Zenia yang
dia baru tahu. “Awak jealous eh?”
Zenia menjeling tajam. Cover malu...
“Bila awak nampak saya dengan dia?”
“Dua minggu lepas.”
“Kat mana?”
“Kafe.” Marah, tapi Zenia tidak tahu
kenapa dia masih menjawab setiap soalan Hayyan. Mungkin sebab hatinya sendiri
benar-benar inginkan penjelasan sebenar daripada lelaki itu.
Hayyan diam berfikir-fikir. Lama
begitu, barulah dia bersuara semula. “Ooo... masa tu... Hmm... ya ke saya
pegang tangan dia?”
Makin tajam jelingan Zenia. Sakit
hati. Niat di hati nak blah aje tapi tak sempat apabila Hayyan cepat-cepat
menahan.
“Okey, okey... Cuba awak ingat
betul-betul, masa tu saya yang pegang tangan dia atau dia yang pegang tangan
saya?” Hayyan bertanya lagi.
Zenia diam. Namun otaknya ligat
berfikir, mengimbau babak yang disaksikan dua minggu lalu. “Dia pegang tangan
awak.”
“Then?
Awak nak salahkan saya?”
“Tapi awak boleh tolak, kan? Kenapa
biarkan aje dia pegang awak sesuka hati dia? Sukalah kan ada awek pegang-pegang
macam tu?” Zenia kembali melenting. Geram betul dengan sikap main-main Hayyan.
Nampak sangat tak serius!
Hayyan sengih lagi. Tangannya
menggaru kepala. “Okey, saya mengaku silap saya sebab tak tolak. Lagipun saya
dengan dia dah biasa macam tu. Dah tak jadi hal...”
Zenia mengetap bibir. Berasap rasa
telinganya dengan penjelasan itu. Tak sangka, rupa-rupanya Hayyan Rizqi yang
dikagumi dalam diam bersikap begitu.
“Saya mintak maaf. Lain kali, saya
akan pastikan adegan-adegan macam tu takkan jadi lagi. Okey?” Hayyan bagaikan
berjanji.
“Boleh percaya ke? Kan awak dengan
dia dah biasa macam tu? Entah-entah awak pun dah biasa pegang dia sana sini
kan?” tuduh Zenia lagi.
“Teruk jugak awak ni kalau cemburu,
kan?” Hayyan sengaja memutar-belitkan ayatnya.
Spontan buku di tangan Zenia naik ke
lengan Hayyan.
“Aduh!” Hayyan mengusap lengan yang
terasa pedih. Buku dua inci tu beb!
“Padan muka!” Zenia mula membuka
langkah untuk beredar tetapi secepat itu juga Hayyan menyekat langkahnya.
“Tepilah! Saya nak lalu ni!”
“Nope!”
Hayyan menggeleng-geleng. “Nia, dengarlah dulu apa saya nak cakap ni...”
“Dah dengar dah. Cukup dah tu!”
“Tak cukup lagi. Please, Nia... bagi saya peluang untuk
jelaskan. Please...”
Cair hati Zenia dengan rayuan Hayyan
itu. Hisy hati ni... saja aje tau!
Terhembus keluhan lega Hayyan
apabila Zenia nampak kembali tenang. “Awak janganlah salah faham. Saya bukannya
macam yang awak fikirkan. Saya dengan Karima jadi macam tu sebab kita orang
memang rapat dah lama. Tapi kalau awak tak suka, fine... saya janji saya takkan buat lagi. Demi awak, saya janji
saya akan jaga jarak antara saya dengan dia. Takkan ada lagi adegan macam yang
awak nampak hari tu. Janji!” Hayyan mengangkat tangan kirinyanya. Demi Zenia,
dia sanggup berubah tingkah.
“Orang janji tangan kananlah!”
tingkah Zenia masih tak puas hati.
Pantas Hayyan jatuhkan tangannya.
“Saya kidallah,” dalihnya sambil tahan senyum.
Zenia ketap bibir. Rasa nak ketawa
tapi tahan.
“Okey, now tangan kanan.” Hayyan angkat pula tangan kanannya.
Tiada jawapan daripada Zenia. Hanya
matanya tidak berkelip menatap wajah Hayyan.
“Janji!” ulang Hayyan lagi.
Zenia menghembus nafas panjang. “Tak
payahlah janji sampai macam tu...”
“Habis tu, kenapa susah sangat nak
percaya?”
“Okey, memandangkan awak dah
janji... saya tuntut nanti!” kata Zenia sengaja mengugut.
Hayyan tersenyum. Lega kerana Zenia
sudah mula terpujuk dengan kata-katanya. “Okey, tak ada hal.”
Lambat-lambat Zenia mengukir senyum.
“Nah, untuk awak.” Hayyan tiba-tiba
menghulur sebuah buku yang dikeluarkan dari begnya.
“Apa ni?” Zenia kerut dahi. Buku
dari tangan Hayyan diambil juga.
“Hari tu awak pergi library nak cari buku ni, kan? Saya dah
tolong pinjamkan untuk awak,” jelas Hayyan.
“Mana awak tahu saya nak buku ni?”
Bulat mata Zenia memandang Hayyan.
“Kuasa psikik.” Hayyan menyengih.
“Betul-betullah!” Zenia geram.
Hayyan ketawa kecil. “Kertas awak
jatuh hari tu. Awak ada tulis call number
buku ni atas kertas tu, kan?”
“Ohh...” Barulah Zenia teringatkan
hal itu. Memang dia sangat perlukan buku itu. Nasib baiklah ada seminggu lagi
masa untuk siapkan assignment tu.
“Terima kasih.”
“Sama-sama. Jom, teman saya pergi
makan...” Hayyan mengulangi pelawaannya tadi.
“Okey, awak belanja. Jom!” Tanpa
menunggu persetujuan Hayyan, Zenia mula mengatur langkah dengan senyuman manis
di bibir.
No comments:
Post a Comment