SEKETUL
batu yang terdampar di atas rumput itu disepak perlahan. Keluhan terlepas lagi
dari mulutnya. “Tahulah aku ni tak bijak sangat, tapi janganlah buat aku ni
macam tak wujud. At least bincanglah
sikit sebelum buat assignment tu. Ini
tak... aku tak tahu apa-apa pun, tup-tup dah nak hantar. Eii... benci!”
Zenia melabuhkan duduk di atas
sebuah bangku. Hanya Allah yang tahu betapa sakit hatinya kini. Ada ke patut
ahli kumpulannya langsung tidak melibatkan dia dalam assignment mereka? Setiap kali ditanya bila nak bincang, asyik
keluar jawapan ‘nantilah’, ‘esok-esoklah’, tiba-tiba tadi lepas habis kelas,
elok aje ketiga-tiga mereka hantar assignment
yang sudah lengkap. Dan Zenia berdiri di situ macam orang bodoh tak tahu
apa-apa.
“Kalau ya pun tak nak suruh aku buat
sebab takut markah rendah, paling kurang ajaklah aku bincang sikit. Ini tak,
buat aku ni macam patung aje. Menyampah!” Zenia tidak habis-habis menyumpah
sendiri. Seakan-akan terbayang wajah-wajah ahli kumpulannya itu. Kalau ikutkan
hati, dah cacat dah muka sorang-sorang. Hisy!
Kalau ada Eton, dah lama dia ajak
rakannya itu berkumpulan dengannya. Tapi masalahnya, bukan semua subjek dia
sekelas dengan Eton. Jadi terpaksalah tahan sendiri tanpa gadis itu.
“Assalamualaikum...” Satu suara
tiba-tiba menghulur salam.
“Waalaikumussalam.” Zenia berpaling
ke sebelah. Hayyan tercegat di situ dengan senyuman manis. Seperti biasa,
senyuman manis itu memang tidak pernah lupa diukirkan untuknya.
“Hayyan...” panggil Zenia.
Hayyan duduk di sebelah Zenia. “Ni
kenapa ni marah-marah? Dari tadi saya duk perhatikan awak. Marah kat siapa ni?”
“Siapa lagi? Minah tiga orang tulah.
Benci betul,” rungut Zenia lagi. Hampir sebulan berkawan, dia semakin selesa
berkongsi apa sahaja dengan Hayyan.
Faham siapa yang dimaksudkan, Hayyan
mengangguk. “Dia orang buat apa?”
“Dia orang tak ajak saya discuss pun pasal assignment kita orang. Tup-tup, dah nak hantar. Manalah saya tak
sentap,” cerita Zenia laju. Dengan Hayyan, dia tidak perlu risau dengan
ekspresi wajah yang buruk. Senang cerita, dia boleh jadi diri sendiri setiap
kali berada bersama lelaki itu.
“Dia orang ada bagitahu pensyarah
tak yang awak tak terlibat siapkan assignment
tu?” Hayyan cuba menenangkan amarah Zenia. Dia tahu Zenia kalau tengah marah,
laju sahaja setiap patah perkataan keluar dari bibir comelnya itu.
“Tak.” Masih masam wajah Zenia.
“Kira okeylah tu.” Mudah Hayyan
membalas.
Zenia kerut kening. Serentak itu
kepalanya tertoleh ke sebelah. “Apa awak cakap? Okey?”
Hayyan senyum nipis. “Yalah, dia
orang tak ada buat cerita dekat pensyarah pun. Kira okeylah tu, kan? Awak pulak
boleh dapat markah free, tak payah
buat kerja langsung.”
Zenia terdiam. Semudah itu? Sungguh
dia tak faham apa yang difikirkan Hayyan. Benarlah kata orang, cara orang
lelaki dan orang perempuan berfikir bagaikan langit dengan bumi. Jauh benar
bezanya.
“Dahlah, tak payah nak fikir sangat.
Benda dah lepas, kan? Apa kata kalau sekarang ni awak teman saya pergi makan?
Ada jugak faedahnya. Perut pun kenyang,” ajak Hayyan riang.
“Awak ni...” Zenia memasamkan
mukanya. Makin cemberut jadinya.
Hayyan ketawa. “Nia awak ni comellah
bila marah.” Pipi Zenia dicuit perlahan.
“Tak kelakar!” marah Zenia.
“Siapa kata kelakar?”
Tajam renungan Zenia ke muka Hayyan.
Lelaki itu ketawa seronok. Entah apalah yang lawak sangat Zenia pun tak tahu.
“Okey, dah dah... tak naklah
masam-masam muka. Gurau aje tadi tu. Okey?” Lembut Hayyan memujuk. Mengenali
Zenia, dia sudah faham sangat sikap gadis itu yang agak lurus.
“Nak makan tak?” tanya Hayyan lagi.
“Nak kalau awak belanja,” jawab
Zenia sambil menahan senyum. Bibir diketap.
Hayyan tersengih. “Yalah, saya
belanja. Jom!”
“Okey!” Zenia bangun mengikut
langkah Hayyan menuju ke arah kafe.
Cepat betul masa berlalu, kan?
Terasa macam baru semalam dia menjejakkan kaki ke kampus. Rasa macam baru
semalam dia mengintai Hayyan Rizqi dari jauh dan mengisytiharkan lelaki itu
sebagai jejaka idaman hatinya. Rasa macam baru semalam dia dan Hayyan
ditakdirkan bertemu empat mata dan sekarang... hubungan mereka sudah semakin
rapat dan mesra.
“Classmates saya tu memang tak suka saya.
Semua orang tak suka saya.”
“Siapa
cakap semua orang tak suka awak? Ada yang suka tau?”
“Siapa?”
“Saya.”
“Gila.”
Dan Zenia pun ketawa.
KALAU
tak disebabkan janjinya dengan Hayyan semalam yang dia akan turun menemani
Hayyan bermain tenis, memang dia langsung tak akan jejakkan kaki ke gelanggang
itu. Pukul 5.30 petang dah tapi cuaca masih lagi panas terik. Zenia memakai cap untuk menghalang silau cahaya
matahari.
“Thank
you for coming,” ucap Hayyan sambil tersenyum semanis gula.
“Apa tujuan awak ajak saya datang
sini?” tanya Zenia sambil bercekak sebelah pinggang.
“Nak tunjuk kat awak betapa saya terror main tenis.”
Jawapan yang buatkan Zenia rasa nak
termuntah. Sengaja dia tayang muka menyampah sambil memasukkan jari telunjuk ke
dalam mulut, kononnya nak muntah di situ juga. Hayyan bukan main lagi ketawa
lepas.
“Saya dah selalu tengok awak
mainlah. Dah bosan dah,” ujar Zenia sambil membetulkan anak rambut yang
terkeluar dari topi yang dipakai. Tidak sedar kata-katanya itu mengundang rasa
hairan dalam diri Hayyan.
“Awak selalu tengok saya main? Bila
masa awak tengok?” tanya Hayyan.
“Lah... kan boleh nampak court ni dari bilik sa... ya...” Waktu
itu Zenia baru tersedar situasi yang sedang berlaku. Rasa nak ditampar-tampar
mulut sendiri. Yang aku pergi cakap macam tu kenapa? Tak ke nanti Hayyan ingat
aku ni duk menghendap dia selama ni? Tapi bukan ke tu memang hakikatnya?
Hayyan sudah ketawa terbahak-bahak.
Sungguh dia tak sangka itu yang dilakukan Zenia selama ini. Ohh... pandai sorok
ya. Akhirnya terkantoi juga. Diri sendiri yang kantoikan diri sendiri. Hayyan
sambung gelak.
Zenia buat-buat tak tahu. Hujung
depan topinya dibetul-betulkan walhal seluruh muka terasa merah dan pijar.
Serius malu!
“Tadi cakap nak main. Pergilah main
cepat! Panas ni tau tak?” Laju Zenia mengalih topik. Kalau dibiarkan, mahu
Hayyan gelak sampai berguling atas gelanggang tu.
Hayyan mengawal tawanya yang masih
ingin meletus. “Baiklah, cik. Saya pergi main dulu.” Bola dan raket dicapainya.
Sempat melemparkan senyuman penuh makna ke arah Zenia sebelum berlalu ke tengah
gelanggang. Kamil sudah sedia menunggu untuk memulakan permainan.
Zenia duduk di tepi gelanggang menyaksikan
permainan itu. Walaupun Hayyan suka mengusik dan kadang-kadang tu usikannya
menyakitkan hati, tapi dia terpaksa akui hatinya semakin lama semakin
menyenangi lelaki itu. Betul ke setakat crush?
Ah, malas nak ambil tahu lagi.
“Sayang, nak air.” Selamba Hayyan
meminta sesudah tamat bermain.
“Eee... suka-suka panggil orang
sayang.” Zenia mencebik. Namun botol air mineral di tangan tetap dihulurkan
kepada Hayyan.
“Nama awak panjang sangatlah. Apa
salahnya panggil sayang? Kira macam summarise
sekali gus.” Dan Hayyan gelak lagi.
Zenia mengetap bibir. Puas ditahan,
senyumannya terlepas juga. Konon aje tak suka, padahal hati berbunga mekar
setaman bila Hayyan panggil sayang. Aduhai hati, cepat betul kau cair ya...
“Pergi minum dulu nak?” ajak Hayyan
sambil mengesat peluh dengan tuala kecil yang dibawa. Tekak macam nak minum ais
aje.
Zenia menggeleng. “Nak baliklah,
lagipun penat pergi kelas tadi tak hilang lagi,” jawabnya tanda menolak.
“Alah... bilik awak kan tak jauh.
Kat situ aje, dari sini pun boleh nampak...”
Tak sempat Hayyan habiskan ayatnya
apabila Zenia sudah mencubit pinggangnya. Terjerit kesakitan dibuatnya.
“Sekali lagi cakap benda tu, siap
eh!” Zenia mengugut dengan muka masam.
Hayyan ketawa sakan. “Baiklah, Cik
Zenia. Lepas ni saya buat tak tahu aje main tenis walaupun saya tahu ada orang
perhatikan dari jauh. Okey?” Sebelah mata dikenyit.
Entah kenapa boleh terluah pula
senyuman di bibir Zenia. Hayyan ni memanglah, saje aje tau!
Jujur
Zenia katakan, kehadiran Hayyan dalam hidupnya benar-benar memberi impak yang
sangat besar. Hayyan ikhlas berkawan dengannya. Keikhlasan yang tidak perlu
diukur dengan penimbang atau apa juga jenis alat pengukur. Cukup dengan hanya
merenung sepasang matanya itu, sudah terpancar segala rahsia hati di situ.
Hayyanlah peneman di kala dia
kesedihan, Hayyan sering kali berusaha untuk membuatnya tersenyum semula setiap
kali dia berduka, Hayyan yang selalu buat dia ketawa, Hayyan yang tak pernah
jemu mendengar setiap cerita dan celotehnya, dan Hayyan juga yang tak lokek
memberi nasihat baik dari segi pelajaran mahupun kehidupan harian.
Namun,
Zenia takut untuk membenarkan kata hatinya. Selagi Hayyan sendiri belum
meluahkan cinta, selagi itu dia akan terus memendam rasa itu sendiri. Dia takut
kalau-kalau dia cuma bertepuk sebelah tangan. Memanglah Hayyan baik
dengannya... Hayyan ambil berat tentang dirinya... Hayyan prihatin tentang
keadaan dirinya... tetapi semua itu belum cukup menjadi bukti Hayyan
mencintainya, sebagaimana yang dia rasakan untuk lelaki itu.
SEHINGGALAH
pada satu hari, Zenia ternampak Hayyan bersama Karima di kafe, sedang berbual
mesra. Setakat itu boleh lagi diterima, tapi apabila dia nampak dengan
selambanya Karima peluk lengan Hayyan, Zenia rasa macam nak hantuk kepala kat
dinding.
Hayyan!
Apa maksud semua ni? Apa hubungan awak dengan Karima? Kalau kawan, kenapa mesra
sangat sampai tahap kemesraan tu boleh diukur sebagai hubungan pasangan
kekasih? Atau mungkin juga lebih daripada itu?
Zenia
memegang dada. Kolam mata terasa panas tiba-tiba. Dia cuba berfikiran positif,
tidak mahu terlalu mengikut emosi. Tetapi entahlah... dia tak mampu. Hatinya
tetap rasa sakit.
Apakah
maksudnya? Cemburu? Iri hati?
Zenia
menggeleng-geleng laju. Tak sanggup lagi tengok adegan sebabak filem Hindustan
depan mata, dia segera mengorak langkah untuk meninggalkan kafe itu. Biarlah
Hayyan tidak tahu yang sudia dah tahu hubungan Hayyan dengan Karima. Siapalah
dia di mata Hayyan? Entah-entah cuma seorang perempuan bodoh yang cepat sangat
percaya dengan permainan seorang lelaki.
Zenia...
tolong jangan negatif sangat boleh tak?
Zenia
cuba pujuk hati sendiri. Sabar...
“Ni
kenapa muka monyok sangat ni? Gaduh dengan Hayyan ke?” Eton yang pelik melihat
raut wajah Zenia terus bertanya.
“Jangan
sebut nama dia boleh tak?” Zenai melenting tiba-tiba. Beg dicampak di atas
katil sebelum dia sendiri merebahkan badan di situ. Bantal dipeluk erat-erat.
“Kau
ni dah kenapa? Sejak bila pulak nama Hayyan tu dah jadi ‘haram’ kat telinga
kau?” Eton bercekak sebelah pinggang. Apa kes pulak minah ni tiba-tiba nak
melenting ni?
“Malaslah
aku cakap pasal dia tu!” jerit Zenia geram, melepaskan perasaan yang terbuku di
hati.
“Kenapa?”
Eton masih lagi bersabar. Tetap mengulangi soalan sama dari tadi. Kenapa,
kenapa, kenapa... dijawabnya tak jugak.
Zenia
merengus. Dia bangun lalu duduk tegak di atas katil. “Tadi... aku nampak dia
dengan Karima kat kafe. Sikit punya mesra kau tahu tak?”
“Then?” Eton buat muka bodoh.
Laju
tangan Zenia mencapai bantal lalu melemparkannya tepat ke muka Eton. Eton
ketawa kuat.
“Apasal
kau gelak?” Makin geram Zenia dengan reaksi Eton itu. Tak sedar ke dia, kawan
dia yang seorang ni dah rasa macam frust
berguling-guling?
Eton
tersengih-sengih. “Kau la... cepat sangat terasa. Apa salahnya kalau dia mesra
dengan Karima tu. Kawan dia, kan?”
“Tak
salah bagi kau! Tapi salah bagi aku!” Keras suara Zenia menjawab.
Kening
Eton terangkat sebelah. “Kau jealous
eh?”
Zenia
terdiam mendengar soalan itu. Jealous?
Err...
Eton
ketawa lagi. Kepalanya tergeleng-geleng. “Janganlah buat tanggapan melulu macam
tu. Kau kena tanya dia dulu, dapatkan kepastian. Sebab kadang-kadang, apa yang
kita nampak tak sama dengan apa yang sebenarnya berlaku.” Panjang lebar
hujahnya. Padahal kalau kena kat batang hidung sendiri, dah sah-sah dia pun
sama jugak macam Zenia.
Zenia
malas peduli. Muka disembamkan ke bantal. Kedengaran bunyi telefon bimbit, dia
pantas mengeluarkannya dari dalam beg. Nama Hayyan muncul di skrin. Arh!
Telefonlah berjuta kali pun, aku takkan angkat!
Merajuk?
Mungkin...
No comments:
Post a Comment