Monday, 29 February 2016

LOKET ZINNIA - BAB 18



BEBERAPA pasang mata asyik memandang ke arahnya. Zenia buat muka selamba masuk ke kereta Hayyan. Almaklumlah, Hayyan Rizqi tu kan pelajar popular kat kampus. Siapa tak kenal? Semua orang kenal dia. Bukan saja popular kerana status sebagai anak orang kaya dan mempunyai raut wajah yang tampan, dia juga terkenal kerana kecemerlangan akademik dan juga kokurikulum. Pendek kata, memang lulus untuk berada dalam kelompok jejaka idaman Malaya.
“Kenapa?”
Soalan yang ditanyakan Hayyan itu mengundang kerut di dahi Zenia. “Kenapa apa?”
“Tak... awak nampak macam tak selesa aje. Ada masalah ke? Ke kereta saya ni tak cukup selesa?” Hayyan bertanya lagi. Tidak berkelip matanya merenung Zenia yang duduk di sebelah.
“Eh, tak adalah...” Zenia menggeleng kepala.
Then?”
Zenia hembuskan nafas panjang. “Awak tak nampak ke tadi? Dia orang semua asyik pandang saya aje dari tadi. Pandang macam nak telan pulak tu. Agaknya, dia orang marah sebab saya keluar dengan awak kut?”
Hayyan terdiam seketika. Sesaat kemudian, ketawanya memenuhi ruang kereta. Zenia kerut dahi. Ni apasal dia gelak macam aku tengah buat lawak antarabangsa aje ni?
“Pasal tu rupanya...” Kepala Hayyan tergeleng-geleng. “Kalau sebab tu, awak tak payah risau. Biarlah dia orang nak cakap apa pun. Janji kita happy.” Senyum lagi.
Zenia terpaku memandang senyuman Hayyan. Perkataan ‘kita’ yang disebut kedengaran sangat indah di telinga.
“Awak tak kisah ke?”
“Kenapa pulak saya nak kisah?” Hayyan membalas dengan soalan.
“Yalah... manalah tahu awak takut kalau-kalau peminat awak lari lepas ni.” Selamba Zenia menutur kata. Logik kut apa dia cakap tadi tu.
Hayyan tersengih panjang. Kaki kanannya mula menekan pedal minyak. Kereta bergerak keluar meninggalkan kawasan kampus. Soalan Zenia tadi hanya dibiarkan tergantung tanpa sebarang jawapan. Zenia pula yang resah menanti Hayyan membuka mulut.
“Hayyan...”
“Ahaa... I like the way you call my name. Sekali lagi boleh tak?” Hayyan tadahkan telinganya dekat dengan Zenia.
Jantung Zenia rasa sikit aje lagi nak melompat keluar. Hisy mamat ni... tengah bawak kereta tu! Tempah maut ke apa?
“Hayyan...”
Come again?”
“Hayyan... serius boleh tak?” Suara Zenia naik tinggi sedikit. Geram. Nak ketawa tapi ditahankan.
Hayyan tersengih-sengih. “Selama ni mana pernah orang panggil saya Hayyan. Dia orang semua panggil saya Riz atau Rizqi. Jadi bila awak panggil saya Hayyan, saya rasa macam istimewa sikitlah...”
Ohh! Begitu ke? Zenia tertelan liur. Tak terkata apa.
“Hmm... apa soalan awak tadi?” Hayyan berusaha untuk serius. Kalau boleh, dia mahu Zenia selesa bersamanya. Bergurau, bergurau jugak... tapi tak naklah sampai Zenia dah serik nak keluar dengannya lagi lepas ni.
“Err...” Zenia berfikir-fikir balik. Sebenarnya, dia pun dah hampir lupa apa yang hendak ditanyakan tadi. Hayyanlah ni... suka buat otak dia melayang fikir benda bukan-bukan. Ni sekarang dia dah ‘hanyut’, siapa nak tanggung?
“Saya tanya... awak tak kisah ke dia orang nampak awak keluar dengan saya? Tak takut peminat-peminat awak lari?” Zenia mendapat suara untuk mengajukan soalannya tadi. Cuma ayatnya sudah diubah biar jadi lebih terang dan jelas.
Hayyan senyum lagi. Hujung jarinya mengetuk-ngetuk stereng kereta. “Saya tak kisahlah...”
“Betul tak kisah?” Zenia macam tak percaya mendengar jawapan selamba Hayyan itu.
“Betul...” jawab Hayyan dengan suara yang sengaja dileretkan.
“Sikit pun tak?”
“Banyak lagilah tak,” jawab Hayyan sambil tersenyum-senyum.
Zenia terdiam terus.
“Biarlah dia orang nak cakap apa pun, saya tak kisah. Asalkan saya dapat berkawan dengan awak, itu yang lebih penting untuk saya.” Hayyan menjawab dengan nada tenang. Senyuman manis masih tidak lekang dari bibir.
Zenia sudah kematian kata. Ohh Tuhan... benarkah ini Hayyan Rizqi yang aku minati dalam diam selama ini? Setiap bicara... setiap kata-katanya... hanya menambah getar dalam hati ini. Wahai hati... janganlah cepat sangat terjatuh. Bertahanlah dulu selagi terdaya, jangan mudah sangat menyerah kalah. Sekurang-kurangnya kalau Hayyan hanya anggap aku sebagai kawan, tak adalah hati akan rasa terluka sangat.
Kan?


TIDAK tahan dengan renungan ‘semacam’ Hayyan, Zenia pura-pura bermain dengan hujung rambut yang menutup dahi. Sesekali ditiup anak rambut yang berjuntaian di situ. Tak cukup dengan itu, jari-jemarinya dipatah-patahkan. Satu tabiat yang memang susah nak dibuang, atau mungkin memang sudah tidak dapat dibuang sampai bila-bila. Bila Hayyan terus asyik renung mukanya, dicapai pula straw lalu dikacau-kacau jus yang masih tinggal separuh dalam gelas. Apabila sudah hampir lima belas minit macam tu, Zenia mula rasa rimas. Dipandang muka Hayyan yang masih tak puas-puas merenungnya.
            “Hayyan...” panggil Zenia.
            Hayyan tidak bereaksi. Anak matanya masih fokus di wajah Zenia.
            Zenia pandang kiri kanan. Aduhai... apa nak buat ni? Takkan nak korek biji mata dia dengan garpu ni kut? Karang tak pasal-pasal jadi kes lain. Sungguh dia rasa tak keruan saat itu. Tangan digawang-gawangkan di depan mata Hayyan. “Hayyan? Hayyannn... Hayyan Rizqi!”
            Baru kali ini ada reaksi daripada Hayyan. Lelaki itu tersentak, terpinga-pinga dan terkelip-kelip mata. “Err... kenapa?”
            “Awak tengok apa? Sampai saya panggil pun tak dengar?”
            “Tengok awak.” Spontan jawapan itu meluncur keluar dari mulut Hayyan. Apabila terlihat riak muka Zenia berubah, barulah dia tersedar. Deham dilepaskan berkali-kali. Kemudian dia tersenyum pula, menutup malu. “Tak adalah... asyik sangat tengok muka awak. Awak tahu tak?”
            “Tahu apa?” Nak tak nak, terpaksa juga Zenia bagi respon kepada soalan Hayyan. Jantungnya sudah tidak pandai duduk diam. Kalau boleh scan, mesti boleh nampak jantung dia tengah berguling-guling dalam badan ni.
            Hayyan senyum lagi. “Kenapa saya tak pernah nampak awak pun sebelum ni?” Lain yang disoal tadi, lain pula yang dikatakannya. Sahlah otak dia sudah mereng.
            Kening Zenia terjongket. Rasa-rasanya, dia ada jawapan untuk soalan itu. “Hmm... siapalah saya ni awak nak pandang. Tak ada apa yang menarik pun untuk dipandang.”
            “Siapa cakap?”
            “Saya.” Zenia senyum segaris.
            Hayyan tertawa kecil. “Taklah. Awak cantik...” Direnung lagi wajah Zenia dalam-dalam.
            Zenia menunduk segan. “Tak payahlah nak memuji sangat...”
            “Betullah saya cakap ni. Bukan pujian semata-mata tau...” ujar Hayyan, menekan suaranya sedikit.
            Zenia mencemik. Konon tak percaya.
            Hayyan tersenyum. “Zenia...”
            “Hayyan, boleh tak kita cakap pasal benda lain?” Zenia memintas laju. Dia takut kalau terus bercakap soal ‘itu’, hati yang tak berapa kuat ni akan semakin rapuh. Serius... dia takut jatuh cinta!
            Hayyan senyum lagi. Faham sangat maksud soalan Zenia tu. Mesti gadis itu tidak selesa apabila dia terus ‘menjerumuskan’ diri mereka berdua dalam persoalan ‘itu’ yang seterusnya boleh membawa ke soal tentang hati.
            “Okey, kalau macam tu... apa kata kita cakap tentang diri masing-masing? Yalah... kalau boleh saya nak kenal awak dengan lebih dekat lagi. Boleh, kan?” Hayyan berterus terang. Sememangnya, dia tidak suka cakap putar belit. Biarlah semuanya jelas agar mudah untuk dia menawan hati Zenia, gadis yang sudah mula mendapat tempat di hatinya.


“WARNA kegemaran?”
            Purple. Awak?”
            “Hitam.”
            Zenia buat muka mendengar jawapan Hayyan itu.
            “Kenapa?”
            “Hitam tak cantik langsung.”
            “Hitam itu misteri, okey?” balas Hayyan sebelum ketawa sendiri. “So... family awak memang tinggal dekat Johor eh?”
            Zenia mengangguk. “Saya memang asal Johor. Awak pulak? Memang orang sini?” ‘Sini’ yang dimaksudkan sudah pastilah Selangor.
            Parents saya ada kat KL. Saya jarang balik sana. Kalau weekend pun, saya banyak habiskan masa dekat rumah mak cik saya dekat Shah Alam ni,” jawab Hayyan. Bercerita tentang diri sendiri terasa bagai lebih mendekatkan mereka berdua.
            “Kenapa?” Zenia berminat mahu tahu. “Awak tak rapat dengan parents awak ke?”
            Hayyan terdiam seketika. Kemudian dia tertawa kecil. “Tak.”
            “Habis tu?”
            “Hmm... nak tahu?” Dipandang Zenia dengan ekor mata.
            Zenia mengangguk. “Tu pun kalau awak nak ceritalah...”
            Hayyan senyum. “Someday.”
            “Okey.” Zenia tidak mahu memaksa. Melihat reaksi lelaki itu, dia yakin ada sesuatu yang dipendam. Biarlah... sampai masanya nanti, biar Hayyan sendiri dengan rela hati membuka cerita kepadanya.
            Cutenya bear tu!” Zenia bersuara tiba-tiba.
            Hayyan ikut memandang ke arah anak mata Zenia terpaku. Sebuah kedai yang menjual barang-barang permainan termasuk patung-patung. Laju langkah Zenia masuk ke kedai itu. Hayyan mengikut di belakang.
            “Hayyan, comel, kan?” Zenia tersenyum ke arah Hayyan sebelum kembali memandang patung beruang berwarna putih yang saiznya hampir menyerupai tubuhnya sendiri.
            “Haa... Hayyan comel?” Hayyan sengaja mengusik.
Spontan kepala Zenia tertoleh ke arah lelaki itu. “Bukan Hayyan comel. Saya cakap, Hayyan, comel, kan?” Satu-persatu Zenia menyebut patah-patah perkataan itu dengan nadanya komanya sekali.
Hayyan ketawa sebelum mengangguk. “Comel... macam awak.”
            Pipi Zenia terasa memerah. Bibirnya diketap, langsung tak berani pandang muka Hayyan lagi. Hayyan sembunyi senyum.
            “Awak nak ke?” tanya Hayyan.
            “Eh, tak adalah. Mahallah... saya mana ada duit nak beli. Duit ada pun cukup untuk makan hari-hari aje.” Zenia menggeleng.
            “Kalau nak saya boleh belikan,” tambah Hayyan.
            Zenia menoleh ke arahnya sebelum tersenyum. “Tak payahlah. Simpan duit awak tu untuk kahwin nanti. Okey?” guraunya lalu berjalan keluar dari kedai itu.
            Hayyan berjalan menyaingi langkah Zenia. “Kalau saya kahwin dan ada isteri, dah tentu-tentu orang tu awak.”
            Zenia pura-pura ketawa. “Pandai sangat buat lawak.” Dia buat muka menyampah walau hati mula bergetar satu rasa.
            Hayyan ikut ketawa. “Nia...”
            “Hmm...” sahut Zenia perlahan. Hati bergetar mendengar nada lembut itu.
            “Hari tu awak tanya saya kenapa saya beria sangat nak keluar dengan awak, kan?” Hayyan mengimbau semula.
            “Ahah...” Zenia mengangguk. Berdebar-debar menunggu kata-kata Hayyan yang seterusnya.
            “Nak tahu tak?” tanya Hayyan lagi.
            “Kalau awak nak cakap, saya dengar,” balas Zenia cuba berlagak tenang. Wajah Hayyan tidak lagi dipandang.
            Hayyan menguntum senyuman. “Saya suka awak.”
            What?” Zenia berpaling ke arah Hayyan. Mukanya nampak terkejut tetapi dalam masa yang sama bagaikan menagih jawapan.
            Hayyan senyum lagi. “Saya suka awak. Itu jawapannya.”
            Zenia terpegun di situ. Lidahnya kelu untuk membalas. Hanya diam merenung Hayyan dengan pandangan yang penuh kekeliruan.
            “Nia...”
            “Hmm...” Zenia bagaikan baru tersedar. Jam di tangan dipandang. “Dah nak maghriblah, awak. Hantar saya balik boleh?” Fuhhh! Jantung dah hampir melompat keluar. Percayalah kalau lama lagi dia di sini dengan Hayyan, alamatnya pulang ke kolej nanti dia sudah tidak berjantung.
            Hayyan tahu Zenia cuba mengelak. Mungkin gadis itu belum bersedia bercakap soal hati. Yalah, bukankah mereka baru kenal? Tapi tempoh masa bukan halangan untuk Hayyan menyedari perasaannya itu.
            “Okey.”
            Lalu mereka beriringan keluar dari SACC Mall itu untuk pulang ke kolej.



No comments:

Post a Comment