Ayuni melangkah masuk kali ke dua ke Menara Holding. Kali pertama dahulu untuk ditemuduga tetapi
berbeza untuk kali kedua, dia melangkah sebagai salah seorang kakitangan
syarikat itu. Bagaikan tidak percaya,
bahawa selepas ini kehidupannya ada kaitan dengan salah sebuah syarikat mega
yang tersenarai di bursa saham seperti yang diberitahu Hanis.
Menurut Hanis, dia perlu tahu serba sedikit latar
belakang syarikat, supaya jika ditanya pelanggan, dia boleh menerangkan dengan
baik. Seperti biasa, Ayuni akan singgah
ke bilik air dahulu. Bukan untuk
melepaskan ‘hajat’ tetapi untuk merapikan diri dan memastikan penampilannya
sesuai dengan jawatan barunya itu.
Dengan bantuan Hanis mendulukan duitnya, dapatlah dia
beberapa pasang baju untuk ke
pejabat. Walaupun Ayuni menolak keras,
tetapi Hanis tetap berdegil hendak memberi Ayuni pinjam wangnya untuk membeli
pakaian yang sesuai.
“Kau mesti buktikan yang kau memang layak dengan jawatan
tu, bukan sebab hasil pertolongan orang lain, tapi memang atas kebolehan kau
sendiri. So, salah satu cara nak tonjolkan diri kau ialah dari penampilan
kau” panjang lebar Hanis menerangkan bila Ayuni mempersoalkan wajarkah tindakan
Hanis itu.
“Pertolongan orang?” soal Ayuni pelik.
“Errr…maksud aku, aku tak nak staf yang lain sangka kau
dapat kerja ni sebab aku yang recommendkan”
cepat-cepat Hanis menjawab setelah dia baru perasan yang dia sudah terlepas
cakap.
Huh! Nasib baik Ayuni tidak bertanya lagi. Kalau tidak habislah rahsia antara dia dan
Taufik akan terpecah.
Ayuni terus menuju
ke lif. Sebaik sahaja pintu lif terbuka,
Ayuni terus masuk dan menekan butang bernombor sepuluh. Menurut Hanis, dia perlu pergi ke tingkat
sepuluh untuk bertemu dengan setiausaha CEO syarikat terlebih dahulu untuk
dibawa bertemu dengan CEO syarikat bagi melapor diri sebelum dihantar ke
bahagian pemasaran. Kedatangan Ayuni
disambut oleh seorang wanita muda yang bergaya.
“Cik Ayuni Zara?”
soal wanita itu sebaik sahaja Ayuni sampai di meja utama betul-betul berhadapan
dengan pintu masuk. Ayuni mengangguk
sambil tersenyum. Mereka
bersalaman.
“Saya Puan Zura, setiausaha kepada CEO syarikat” wanita
itu mengenalkan dirinya.
Oh! Dah bergelar puan rupa-rupanya tapi penampilannya
seperti anak dara dan tiada siapa menyangka wanita itu sudah berkahwin. Dia sendiri akan menyangka wanita itu masih
bujang jika wanita itu tidak mengenalkan diri.
Dia sempat memerhatikan penampilan
wanita itu. Sungguh bergaya. Barulah dia mengaku akan kebenaran kata-kata
Hanis.
Mujurlah dia mengikut cadangan Hanis mengenakan seluar
panjang biru gelap yang dipadankan dengan kemeja longgar berwarna biru lembut
dari kain satin. Tudung pula dia memilih
yang bercorak juga berwarna biru tetapi agak gelap dari jenama Ariani. Akhir sekali dia mengenakan blazer dan berkasut tumit tinggi warna
hitam yang bertutup penuh, sesuai dengan statusnya sebagai staf sebuah syarikat
mega. Walaupun pada mulanya agak rimas,
tetapi bila melihat cara berpakaian staf-staf yang lain, dia berasa lega. Sekurang-kurangnya dia tidak dipandang
rendah. Dalam diam, dia berterima kasih
pada Hanis yang telah banyak membantunya.
“Cik Ayuni, sila ikut
saya” arah Puan Zura dan terus berjalan mendahului Ayuni. Sudah pasti ingin mengenalkannya dengan ‘Mr.
CEO’. Ayuni menarik nafas panjang. Kini dia sudah bersedia untuk memulakan hidup
barunya bersama Menara Holding.
“Yes, come in” kedengaran suara lelaki
yang menyuruh masuk setelah mendengar ketukan pintu Puan Zura.
Sebaik sahaja Ayuni dan Puan Zura melangkah masuk,
langkah Ayuni terhenti. Matanya terpaku
memandang lelaki yang kini betul-betul berada di hadapannya.
“Encik Hisyam,
ini dia Cik Ayuni Zara. Pembantu
akauntan di bahagian pemasaran. Dia datang
untuk melaporkan diri” Puan Zura mengenalkan dirinya kepada lelaki itu.
“Cik Ayuni, ini Encik
Hisyam Datuk Bakri, CEO Menara Holding” sambung Puan Zura.
Tiba-tiba sahaja, Ayuni merasakan peluh dingin mulai
keluar. Hampir sahaja dia pengsan. Tidak disangka-sangka, rupa-rupanya lelaki
muda yang menemuduganya tempoh hari adalah CEO syarikat.
Aduh! Malunya bila mengingatkan kembali kata-kata lelaki
itu apabila mengetahui dia sebenarnya tidak tahu langsung berbahasa Jepun
sehingga dia digelar penipu. Hanis pun
tidak pernah beritahunya perihal CEO syarikat itu.
“Cik Ayuni…cik Ayuni…are
you ok?” pertanyaan Puan Zura serta-merta mematikan lamunannya.
“Err…yes I’m ok. Maafkan saya” jawab Ayuni pantas setelah
menyedari kedua-dua insan yang berada di hadapannya sedang memandangnya pelik,
lebih-lebih lagi Puan Zura.
Ayuni pula pelik kerana dilihatnya CEO muda itu sungguh
bersahaja apabila melihat dirinya seolah-olah dia tidak terperanjat langsung
dengan kehadiran Ayuni. Namun, Ayuni
segera menenangkan dirinya. Dia tidak
mahu kelihatan bodoh di hadapan dua orang penting itu. Segera dia menyapa ‘bos’nya itu untuk menutup
keresahannya ketika itu.
“Assalamualaikum
Encik Hisyam. Saya Ayuni Zara. Hari ini adalah hari pertama saya bekerja di
sini. Saya nak ucapkan terima kasih
kepada Encik Hisyam kerana telah memilih saya untuk bekerja di sini. Saya berjanji akan bekerja bersungguh-sungguh
dan tidak menghampakan pihak syarikat.
Saya nak buktikan bahawa pemilihan saya untuk jawatan ini bukan satu
kesilapan” Ayuni memulakan bicara dengan panjang lebar.
“Hmm…Zura. Can
you please excuse us?” tiba-tiba bosnya itu bersuara kepada setiausahanya.
Walaupun Puan Zura agak terkejut, tapi dia hanya
mengangguk lalu beredar keluar dari bilik CEO itu. Ayuni bertambah gerun apabila dia
ditinggalkan berdua dengan bos barunya itu.
“Awak tak perlu nak
ucapkan terima kasih kepada saya kerana bukan saya yang memilih awak untuk
jawatan ini. Kalau saya, memang saya
rasa awak tidak layak sama sekali untuk berkhidmat di sini dengan sikap yang
awak tunjukkan dulu” Hisyam menyambung bicara tanpa memandang wajah Ayuni,
setelah setiausahanya keluar.
Dia seolah-olah tidak sudi dan jijik untuk memandang
wajah Ayuni. Itulah yang Ayuni rasakan
berdasarkan reaksi bos muda itu. Ayuni
agak tersentak dengan kata-kata bosnya itu.
“Habis tu, kenapa
saya ditawarkan jawatan ni? Jadi, siapa yang memilih saya? Kalau Encik Hisyam selaku ‘big bos’ tidak memilih saya, siapa lagi
lebih layak dari Encik Hisyam untuk membuat keputusan?” tanya Ayuni yang agak
berang dengan kata-kata lelaki itu.
Dia benar-benar sedih.
Terasa sekali lagi maruahnya dijatuhkan oleh lelaki itu. Rasanya, dia belum mampu hendak melupakan
kata-kata pedas lelaki itu yang mengatakan dirinya penipu, kini dia terpaksa
lagi mendengar cacian lelaki itu. Air
matanya sudah mula bergenang di kelopak mata.
Semangatnya untuk bekerja serta-merta lenyap setelah mendengar kata-kata
Hisyam.
“Encik
Hisyam….saya tanya ni, siapa yang suruh Encik Hisyam terima saya bekerja atau
ini semua rancangan Encik Hisyam hendak memalukan saya?” tanyanya keras.
Suaranya bergetar menahan marah. Dia sudah tidak kisah jika dia akan
kehilangan jawatan barunya itu kerana padanya, apa yang penting ketika ini
adalah untuk membersihkan nama dan imejnya yang dianggap penipu oleh lelaki di
hadapannya itu.
Hisyam tersentak
dengan suara tinggi Ayuni. Dia bertambah
terperanjat apabila melihat wanita di hadapannya itu menitiskan air mata. Tidak disangka, kata-katanya itu mengundang
air mata Ayuni kerana sebelum ini dia melihat Ayuni sebagai seorang gadis yang
tegas dan berani. Tiba-tiba kedengaran
pintu diketuk. Sebaik saja pintu dikuak,
satu lagi kejutan buat Ayuni.
Taufik!
Segera dia menyeka air matanya. Dia tidak mahu Taufik melihatnya
menangis. Dia tidak mahu simpati sesiapa
terutama dua orang lelaki yang berada bersamanya ketika ini. Tidak sama sekali!
No comments:
Post a Comment