DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 29 February 2016

LOKET ZINNIA - BAB 6



MUKA Zatie berseri-seri setelah keluar dari bilik bos. Meja pertama yang dihampiri sudah tentulah meja sahabat baiknya, Zenia.
            “Yes, anything?” Zenia yang sudah masak sangat dengan tingkah Zatie itu terus bertanya. Kalau dah muka ceria lain macam, dah tentu ada benda yang nak diceritakan.
            “Ingat tak hari tu aku kena arrangekan family day dekat PD?” Zatie mengerdipkan matanya gaya mengada-ngada.
            “Aha...” Zenia mengangguk teragak-agak.
            Well, semua benda dah diluluskan! Kalau kau nak tahu, bos siap benarkan kita semua join event tu nanti.” Serta-merta suara Zatie naik meninggi. Sengaja nak bagi satu ofis tu dengar.
            “Serius, Tie? Wah, bestnya!” Amira sudah terlebih teruja.
            “Akak nak bawak suami dengan anak-anak akaklah, boleh?” Kak Milah pula menyampuk.
            “Boleh sangat, kak. Ditanggung beres!” Zatie mengangkat ibu jarinya.
            “Aku kau tak nak ajak?” Alief tersengih-sengih dari mejanya.
            Zatie menjulingkan mata ke atas. Malas nak melayan. Alief membalas dengan gelak panjang.
“Nanti bagi confirmation siapa yang nak join sebab nanti aku nak kena tambah tempahan bilik untuk kau orang semua. Okey?”
            “Okey!” Serentak mereka semua menjawab.
            Zatie pandang Zenia. “Kau wajib join.” Perkataan ‘wajib’ itu sengaja ditekan.
            Zenia tersengih kelat. “Baru ingat nak mengelak tadi...”
            “Tak ada mengelak-mengelak eh? Kalau aku join, kau pun kena join,” tegas Zatie tak mahu berkompromi.
            Zenia angkat kedua-dua tangannya tanda mengalah.
            “Malam ni ada buat apa-apa tak?” tanya Zatie lagi.
            Zenia menggeleng.
            Good. Malam nanti kita keluar cari barang-barang.” Zatie tarik sengih lalu terus beredar ke mejanya.
            “Kau tak keluar dating dengan boyfriend ke malam ni, Tie?” Entah bila si Alief tu pasang telinga, tiba-tiba aje tegur macam tu.
            Zatie menjeling. “Nampak ni?” Pen Pilot di tangan ditanjukkan ke arah Alief.
            Lelaki itu cuma tertawa sakan. Seronok dapat mengusik.


“ADA laki sibuk aje memanjang, ada adik pun jarang dapat jumpa. Kena paksa datang rumah, barulah nak nampak muka tu.” Herny membebel-bebel sambil menolak troli.
            Hayyan buat-buat tak dengar. Teringat tadi, sampai berpuluh-puluh panggilan yang masuk daripada kakaknya itu yang memaksanya untuk menelefon semula. Dia tahu kalau dah sampai macam tu sekali Herny mencarinya, mesti ada hal penting. Walaupun hal penting yang dimaksudkan itu cuma menemaninya ke Tesco untuk membeli barang. Nasib baiklah sekarang kakaknya itu tinggal di Shah Alam selepas berkahwin dengan Khairil. Kalau tak, jenuh juga nak balik sampai ke Kuala Lumpur semata-mata nak teman beli barang. Dahlah hari dah malam waktu tu.
            “Nanti pesan sikit kat abang ipar Riz tu, ada bini buat cara ada bini. Okey?” Herny membebel lagi. Botol pelembut Downy dicapai satu.
            “Yalah, kak...” Panjang Hayyan menjawab. Dia cuma mengikut Herny berjalan ke hulu ke hilir mencari barang. Tiba-tiba, matanya menangkap kelibat seseorang tak jauh dari tempatnya sedang berdiri. Zenia! Di sisi wania itu ada Adam dan juga seorang lagi gadis yang diyakini rakan sekerja Zenia.
            “Kak...” Hayyan memanggil tanpa memandang Herny.
            “Apa dia?” Herny kerut kening.
            Barulah Hayyan mengalih pandang ke wajah Herny. “Riz ke sana kejap... Ada barang nak beli,” ujarnya sengaja mencari alasan.
            “Haa yalah,” balas Herny tanpa langsung curiga.
            Hayyan tak membuang masa. Zenia dihampiri. Kala wanita itu berpaling ke arahnya, dia terus mengukir senyuman.
            Zatie di sebelah Zenia tercengang-cengang. Aik... ni bukan ke lelaki yang pernah datang ofis hari tu? Kalau tak silap, masa wedding bos hari tu pun dia ada. Kenapa tiba-tiba datang senyum ni? Kenal ke?
            Zenia merenung Hayyan tak berkelip. Sejak pertemuan tempoh hari, dia sangkakan mereka tak akan berjumpa lagi. Rupa-rupanya dia silap sama sekali. Hayyan yang mengekorinya atau mereka memang sudah ditakdirkan untuk berjumpa di sini?
            “Mama... ni bukan ke uncle yang tolong Adam hari tu?” Adam terlebih dahulu bersuara. Terkebil-kebil matanya memandang uncle yang dimaksudkan.
            “Err...” Zenia bagai sudah kehilangan kata. Tak sangka Adam ingat lagi.
            Hayyan menundukkan badannya sedikit. “Ya, Adam. Ni uncle... Adam ingat uncle lagi?”
            “Ingat! Mestilah Adam ingat. Kan hari tu uncle tolong Adam.” Adam tersengih-sengih gembira.
            Zatie tak bersuara. Hanya bola matanya bergerak ke kiri dan kanan, masih tak faham dengan situasi yang berlaku.
            “Err... Tie, boleh tak kau bawak Adam pergi beli aiskrim dulu? Nanti aku pergi sana,” suruh Zenia perlahan. Hatinya sudah makin resah gelisah.
            “Ohh... okey, okey.” Zatie yang masih tak mengerti hanya menurut. Tangan Adam dipimpin untuk ke bahagian yang menempatkan aiskrim.
            Zenia memandang Hayyan. “Apa awak buat kat sini?”
            “Teman kakak saya beli barang. Tak sangka pulak ternampak awak kat sini,” jawab Hayyan tenang. Dalam hati dia berterima kasih kepada Herny sebab paksa dia datang ke sini malam ini. Kalau tahu dari awal Zenia pun nak datang, dia sendiri yang akan menawarkan diri untuk teman Herny tadi.
            Zenia terangguk faham. Belum sempat dia membalas, Hayyan sudah mencapai trolinya.
            “Jom, saya teman awak beli barang.” Selamba Hayyan menolak troli itu tanpa menunggu Zenia. Dia tahu kalau dia tunggu, Zenia akan berusaha mencari jalan untuk menghalang.
            Terpaksalah Zenia melajukan langkah mengikut Hayyan. “Hayyan, apa awak buat ni?”
            “Teman awak beli baranglah..”
            “Saya boleh beli sendiri,” bantah Zenia.
            “Awak nak apa lagi? Ohh, ini mesti untuk family day kat PD tu, kan? Khairil pun ada ajak saya join,” cerita Hayyan tanpa ditanya.
            Zenia terdiam. Hayyan pun pergi?
            “Asalnya saya macam malas nak pergi sebab saya bukannya ada family nak bawak pun, tapi sebab awak pergi, saya pergi.” Hayyan tersenyum manis. Memandang sekilas ke arah Zenia lalu menyambung langkah.
            Zenia hembus nafas panjang. Langkah Hayyan diekori lagi.
            “Biskut nak? Mana tahu nanti kat sana awak lapar ke tengah-tengah malam...” kata Hayyan sambil matanya meliar memerhatikan rak biskut di situ.
            “Mana ada orang makan dah tengah-tengah malam. Orang semua tidur aje,” bebel Zenia. Wajahnya masam, tak puas hati dengan tindakan Hayyan tadi. Suka-suka hati dia aje nak tolak troli orang.
            “Eh, bukan ke dulu awak suka makan tengah-tengah malam? Kadang-kadang tu kalau dah lapar sangat, maggi pun awak bedal.”
            Zenia terkunci mulut. Wajah Hayyan dipandang. Lelaki itu nampak selamba dan bersahaja. Kenapa perlu diungkit hal itu sekarang? Memang Hayyan sengaja nak buatkan hatinya yang sudah sedia gelisah semakin huru-hara.
            “Chipsmore.” Bungkusan plastik berwarna kuning dengan gambar biskut Chipsmore itu dicapai Hayyan. “Favourite awak, kan?” Dia terus meletakkan plastik itu ke dalam troli. Bibir tak lekang dengan senyuman.
            Zenia masih diam tak bersuara. Makin banyak Hayyan bercakap, makin jantungnya berdegup laju tak tentu arah.
            “Lagi nak apa lagi?” tanya Hayyan.
            “Tak nak apa-apa dah...”
            “Haa... Mister Potato awak dah beli? Dulu-dulu kalau kita keluar dating wajib beli benda tu.” Hayyan menolak troli yang sudah hampir penuh itu lagi.
            Zenia mengikut Hayyan di belakang. “Hayyan, kita ni nak pergi family day, tidur kat resort. Bukannya pergi camping budak-budak sekolah tidur dalam hutan,” rungutnya tak puas hati. Selebihnya, dia cuma nak mengelak daripada terus bercakap soal masa lalu.
            “Kita? Hmm... macam nak pergi honeymoon pulak bunyinya tu,” gurau Hayyan sambil tersengih.
            “Hayyannnn...” Zenia hilang sabar. Dia berdiri di depan troli, sekali gus menghalang Hayyan meneruskan langkah kakinya.
            Hayyan angkat kening. Gaya orang tak bersalah. Entah kenapa, seronok pula tengok Zenia masamkan muka macam tu. Mungkin sebab rindu kut... Dah lama sangat tak mengusik wanita itu.
            “Awak cakap awak datang teman kakak awak beli barang, kan? Jadi boleh tak awak tinggalkan saya kat sini, biar aje saya nak beli apa-apa pun. Jangan kacau saya. Boleh?” Zenia meminta dengan suara yang dilembutkan. Pandangan orang yang lalu-lalang di situ cuba untuk tak dihiraukan.
            Hayyan sembunyi senyum. “Kenapa? Tak selesa kalau saya ada dengan awak?”
            Zenia tak menjawab. Bibirnya diketap.
            “Kalau awak tak selesa dengan saya, itu maknanya awak pun masih tak dapat lupakan saya sepenuhnya. Jadi... saya akan terus buat awak rasa tak selesa, sampai awak mengaku perasaan awak pada saya.” Hayyan melepaskan troli itu lalu berjalan dekat dengan Zenia.
            Zenia terasa nafasnya semput ketika itu. Apa maksud Hayyan? Dia tak tahu dan dia takut nak ambil tahu!
            “Jumpa nanti kat PD.” Hayyan berbisik lembut. Sempat mengukir senyuman manis buat gadis itu sebelum berlalu pergi.
            Zenia terdiam lama di situ. Jantungnya berdegup laju lagi. Mungkin benar kata Hayyan, dia masih belum dapat melupakan lelaki itu sepenuhnya. Tapi, kenapa susah sangat untuk dia mengaku?
            “Mama! Adam beli aiskrim Walls!” Adam berlari-lari mendapatkan mamanya dengan bekas aiskrim di tangan.
Zatie di belakang hanya berjalan perlahan. Sebenarnya dari tadi lagi dia memerhatikan Zenia dan lelaki itu dari jauh. Dia yakin ada sesuatu antara Zenia dan lelaki itu, cuma dia tak tahu apa. Siaplah Zenia lepas ni, habis rahsianya akan dikorek.
“Pandai anak mama pilih. Jom, kita pergi bayar.” Zenia pura-pura menceriakan suara. Dia perasan renungan semacam Zatie tapi sengaja buat-buat tak nampak.

No comments:

Post a Comment