DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 29 February 2016

BUNGA DI TAMAN LARANGAN - BAB 13



MESYUARAT tamat. Syarizad segera keluar dari bilik berhawa dingin itu setelah semua yang terlibat beransur-ansur keluar. Belum sempat dia duduk di tempatnya, terdengar suara Ben menegur.
Get me a Nescafe,” ujar Ben.
Syarizad sekadar mengangguk. Melihat Ben menghilang ke dalam biliknya, barulah dia bangun ke pantri. Sejak semalam Ben tidak bercakap banyak dengannya. Bersuara hanya apabila betul-betul perlu. Dia sendiri pun tidak tahu kenapa. Mungkin Ben sengaja menjauhkan diri daripadanya selepas apa yang berlaku pada malam dia ke kelab malam dua hari lepas.
Syarizad meletakkan segelas Nescafe di atas meja Ben.
“Ada apa-apa lagi, Encik Ben?”
“Duduk.” Sepatah Ben mengarah.
Syarizad menarik kerusi lalu terus duduk di depan Ben.
“Ada benda saya nak tanya awak, tapi ni tak ada kaitan dengan kerja.” Ben memandang tepat ke arah Syarizad.
Syarizad mengangguk. Bersedia mendengar apa saja soalan Ben.
“Macam mana awak kenal Marlyn?” tanya Ben tenang. Entah kenapa dia benar-benar mahukan jawapan.
Hmm... Datin kenalkan dia dengan saya,” jawab Syarizad tanpa berfikir panjang.
“Boleh saya tahu sejauh mana hubungan awak dengan mummy saya?” Ben bertanya lagi.
Syarizad tertelan liur. Kenapa tiba-tiba tanya? Takkanlah Ben dah syak sesuatu? Aduhai...
“Maksud saya, awak dengan mummy saya memang rapat ke?” Ben menjelaskan maksudnya. Memang dia tahu mereka berdua sekampung, tetapi dia yakin masih ada banyak kisah tersirat yang jauh dari pengetahuannya sendiri.
Syarizad mengangguk teragak-agak. “Bolehlah...”
Ben mengangguk faham. Ada sesuatu yang bermain dalam fikirannya. Sesuatu yang tidak dapat dipastikan. Cuma yang pasti, dia yakin Syarizad ada menyembunyikan sesuatu dari pengetahuannya. Hai, entah bilalah kepala otaknya akan lapang daripada segala hal berkaitan dengan Syarizad.
Melihat Ben diam, Syarizad segera bangun untuk keluar dari bilik itu.
“Syari...” Ben memanggil sekali gus memaksa Syarizad untuk berpaling semula. Ben menghela nafas. Hatinya berat tetapi dia tetap mahu mencuba. “Saya tahu saya tak ada hak nak tegur awak macam-macam. Cuma...”
Syarizad diam memasang telinga. Satu lagi tazkirah?
“Tak elok untuk awak pergi kelab macam tu. Saya kenal Marlyn tu macam mana dan saya tak nak awak terpengaruh dengan dia.” Lembut Ben menuturkan kata-kata itu. Niatnya untuk menasihati, bukannya nak menyindir. Jauh sekali nak memalukan.
“Kenapa Encik Ben sibuk sangat pasal hal saya? Tak boleh ke biarkan saya nak buat apa aje yang saya nak?” Syarizad bertanya dengan suara perlahan. Renungannya meredup. Penat dengan semuanya.
Ben bangkit berdiri.
“Saya bukan menyibuk, saya cuma nak tegur. Niat saya baik, Syari.”
“Saya tak perlukan teguran Encik Ben. I am who I am. Berhenti ubah saya!” Syarizad meninggikan suara di luar sedarnya. Rimas. Tersangat rimas. Saat itu, dia bagaikan lupa siapa Ben dan dia lupa siapa dirinya.
Ben melangkah mendekati Syarizad.
“Syari... you don’t know how much you matter to me,” ujarnya perlahan.
Syarizad terdiam. Semakin Ben mendekati, semakin jantungnya berdegup laju. Renungan redup Ben menghantar getar yang sukar ditafsirkan ke dalam hatinya. Apa maksud Ben? Dia penting dalam hidup Ben?
“Saya bukan nak ubah awak. Saya cuma nak sedarkan awak sebelum terlambat. Kalau saya tak peduli pasal awak, saya tak kisah awak nak buat apa pun yang awak nak,” jelas Ben. Sepasang mata Syarizad direnung dalam. Dia benar-benar memaksudkan kata-katanya.
“Jadi... Encik Ben peduli pasal saya?” tanya Syarizad berani.
Ben mengangguk.
I care about you. I really do,” akui Ben. Tidak ragu lagi dengan kata-katanya itu.
Terukir senyuman nipis di bibir Syarizad. Sinis.
“Kalau macam tu, senang aje Encik Ben. Stop caring.” Dia berpusing lalu terus keluar dari bilik itu.
Syarizad duduk di tempatnya. Keluhan panjang dilepaskan. Tangan kanannya menyentuh dada. Degupan jantung masih belum kembali kepada rentak normal.
Syari, kenapa kau cakap macam tu? Bukan ke memang itu yang kau nak dengar daripada Ben? Kenapa lepas dia mengaku yang dia ambil berat pasal kau, kau cakap macam tu pula? Bukan ke itu tandanya dia memang sayangkan kau? Tak mustahil kalau sikit masa lagi dia akan melamar kau. Tapi kenapa itu pula yang kau cakap pada dia?
Syarizad menekup mukanya di atas lengan yang dilipat di atas meja. Hatinya rasa berbelah bahagi. Sebelah kanan merayu supaya dia meneruskan perjanjian dengan Datin Hazleena manakala sebelah kiri meminta supaya dia terus menyakitkan hati Ben. Tapi kalau pun dia meneruskan rancangan Datin Hazleena, dia tetap akan dapat melukakan Ben cuma proses itu mengambil masa. Buat Ben kecewa sekarang atau lukakan Ben setelah mereka berkahwin nanti. Syarizad ambil pilihan yang kedua.



TURUN dari kereta yang dipandu Pak Ali, Syarizad segera berjalan masuk ke dalam kawasan pangsapurinya. Namun langkahnya mati apabila terpandangkan Herdy sedang tersandar di tepi sebuah kereta. Siap berpeluk tubuh sambil tersenyum riang. Syarizad kerut dahi lalu berjalan lambat-lambat mendapatkan lelaki itu.
Yes?” Syarizad angkat kening.
Herdy mendepangkan tangannya ke arah kereta itu.
What do you think?”
Syarizad melarikan matanya.
“Ini?” Jari telunjuknya lurus ke arah kereta itu.
Herdy mengangguk sambil tersenyum.
Mine?” Syarizad masih tidak percaya.
Herdy mengangguk lagi.
Oh, shut up!” Syarizad tidak dapat menahan rasa gembiranya. Terus leher Herdy dipeluk mesra lalu menghadiahkan satu kucupan pada pipi lelaki itu. Tindakan spontan yang dia sendiri pun tidak mampu kawal.
Herdy tersenyum senang. Kedua-dua belah tangannya direhatkan pada pinggang Syarizad.
Do you like it?”
I loveeee it!” jawab Syarizad seraya melepaskan pelukan. Kunci yang dihulurkan Herdy diambil. Tak sabar-sabar hendak mencuba kereta yang sudah menjadi miliknya itu. Ford Fiesta warna merah. Cun habis!
I’m glad you like it,” kata Herdy.
“Mestilah I suka. Thank you, sayang!” ucap Syarizad sambil tersenyum manja ke arah Herdy.
“Sama-sama. You nak drive tak?”
Hmm... nak. Tapi I dah lama gila tak drive. You ajarkan boleh?” pinta Syarizad manja.
“Tak ada masalah, sayang. Jom!”
Syarizad bertepuk tangan. Kekasih hati belikan kereta, siapa tak suka? Walaupun Herdy tu sebenarnya cuma boleh dikategorikan sebagai ‘lubuk emas’nya, dia tetap gembira. Bolehlah nak mengada-ada lagi minta diajarkan memandu kereta. Ketika itu terbayang wajah Liyana dalam fikiran. Padan muka kau, Yana! Hahaha!
“Seronoknya dapat bawa kereta sendiri.” Syarizad ketawa sesudah turun dari kereta. Dapat jalan-jalan di sekitar kawasan itu pun sudah cukup untuknya. Lepas ni tak perlu lagi Pak Ali hantar dan ambilnya daripada kerja. Dia sudah boleh pergi dan pulang sendiri.
Sekali lagi leher Herdy dipeluk erat. Herdy pula membalas dengan memeluk pinggangnya. Langsung tidak peduli dengan pandangan orang sekeliling.
So... I dapat hadiah jugak tak?” Herdy berbisik lembut.
Syarizad ketawa manja, faham dengan maksud lelaki itu.
“I... tengah ‘cuti’,” beritahunya.
Raut wajah Herdy berubah kecewa.
But... cuddle should be okay,” tambah Syarizad kemudiannya. Jemarinya bermain-main pada bibir lelaki itu.
Senyuman Herdy melebar semula.
“Jom, ikut I.” Tangan Herdy ditarik supaya mengikutnya.
“You tahu... hari tu I jumpa Yana.” Syarizad membuka cerita setelah masuk ke rumah.
“Dia ada cerita apa-apa dekat you ke?” tanya Herdy sambil duduk di atas sofa. Syarizad pula duduk di atas ribanya.
“Ada... dia cakap, sekarang ni you dah berubah.” Syarizad tersenyum. Langsung tiada riak bersalah di wajahnya.
Herdy terdiam. Setiap kali teringatkan Liyana, setiap kali itu juga dia rasa bersalah yang amat. Tapi entah kenapa, dia tetap tidak mampu membuang Syarizad dari fikiran dan hatinya, apatah lagi daripada hidupnya.
Syarizad memeluk leher Herdy.
“Dy... bila you nak bertunang dengan dia?”
“You nak I bertunang dengan dia?”
Syarizad mengangguk.
“Tapi... kenapa? Kalau kita nak teruskan hubungan ni, I boleh putuskan hubungan dengan dia sekarang jugak.”
Herdy hairan. Kadang-kadang dia sendiri pelik, kenapa Syarizad meminta dia meneruskan hubungannya dengan Liyana? Sedangkan mereka berdua pula perlu menjalinkan hubungan secara senyap-senyap begitu.
Namun bagi Syarizad, dia ada alasannya yang tersendiri. Dia tidak mahu Liyana tahu hubungan mereka kerana itu akan membuatkan Liyana memutuskan hubungannya dengan Herdy. Kalau itu terjadi, luka di hati Liyana tidak akan jadi terlalu dalam. Tetapi sekiranya Liyana dapat tahu hubungan Syarizad dan Herdy setelah dia dan Herdy bertunang, luka itu akan jadi semakin dalam. Itu yang Syarizad mahu, untuk melihat Liyana merana.
Syarizad menyimpul senyuman.
“Yana kan sepupu I? I tak nak dia kecewa.”
“Tapi kalau nanti dia tahu daripada orang lain, dia tetap kecewa, kan?”
“Siapa kata dia akan tahu jugak nanti?”
Herdy angkat kening. Meminta penjelasan.
“Orang kata, pandai makan, pandai simpan. I tak adalah bodoh sangat nak biarkan dia tahu hubungan kita ni,” ujar Syarizad. “You bertunang dengan Yana, buat dia yakin yang you memang sayangkan dia. Dalam masa yang sama, kita boleh teruskan hubungan kita. Okey?”
“You yakin?” Herdy mahukan kepastian.
Syarizad mengangguk. Dia bangun dari riba Herdy lalu menarik tangan lelaki itu untuk ke biliknya. Herdy yang ternyata bodoh membiarkan diri terperangkap dengan helah Syarizad, hanya mengikut langkah gadis itu.



“LAMA tak lepak-lepak macam ni. Rasa macam muda balik aje,” kata Shazwan sambil tersengih-sengih.
“Kaulah tua. Aku muda lagi,” balas Ben dengan muka selamba. Kopi panasnya dihirup perlahan. Malam-malam macam ni, minum kopi memang cari nahaslah. Sudahlah sejak kebelakangan ini dia susah tidur, dapat kopi satu cawan memang sah berjaga sampai ke subuh.
“Kes kau tu macam mana?” Shazwan mengalih topik. Telefon pintar dikeluarkan dari poket seluarnya. Buat apa lagi, hantar pesanan ringkas kepada Allisonlah walaupun hakikatnya terasa macam dia hantar mesej kepada hantu. Langsung tidak berbalas.
“Kes apa?” Ben kerut kening. Rasa macam tahu apa yang dimaksudkan Shazwan tapi malas fikir sejauh itu. Karang kalau salah, diri sendiri juga yang malu.
“Kes PA kau itulah!” jawab Shazwan tersengih. Macam kelakar pula apabila Ben mengaku jatuh cinta. Ben Ikhzal Datuk Jaini jatuh cinta? Rasa nak buat pengumuman biar satu Malaysia tahu.
Ben tersandar di kerusi. Tangannya menggaru kepala yang tiba-tiba terasa gatal.
“Entahlah...”
“Kau ni pun satu. Dah tahu nak, cakaplah kat dia. Kau pendam lama-lama macam tu, jadi apa?” ujar Shazwan. Lagak pakar cinta walaupun hakikatnya dia sendiri buntu apa yang harus dilakukan tentang hubungannya dengan Allison. Bukan setakat buntu, tapi macam sudah jumpa jalan mati terus.
“Bab-bab nak luahkan perasaan inilah yang aku tak reti, Wan.” Akui Ben lemah. Nak mengaku yang dia ambil berat tentang Syarizad pagi tadi pun rasa macam kering lidah. Inikan pula nak mengaku cinta? Hmm... haram!
“Kalau macam tu, kau ajak aje dia kahwin terus. Senang!” Shazwan memetik jarinya. Muka teruja sambil mengangkat-angkat kening.
“Lagilah tak logik. Bercinta pun aku tak pernah, nak ajak anak orang kahwin?” Ben tergeleng-geleng. Kalau bab hati dan perasaan ni, memang dia angkat bendera putih awal-awal lagi.
Shazwan ketawa kuat.
“Aku tak sangka kau boleh jatuh cinta dengan PA kau sendiri, Ben. Itulah, dulu selalu cakap, tak nak bercinta. Kalau boleh kau nak kahwin terus. Sekarang apa dah jadi?” Tawanya bersambung lagi.
Sebenarnya dia kagum juga dengan prinsip Ben itu. Tak mahu bercinta kerana takut mendekati zina. Kalau pun dia jatuh cinta, biarlah cinta itu diikat terus dalam ikatan pernikahan. Walaupun arwah mamanya bukan Melayu tulen dan bukan dilahirkan Islam, tetapi didikan untuk Ben dirasakannya hampir sempurna.
“Memanglah... tapi tengok keadaanlah jugak. Syari tu bukan macam perempuan lain. Dia tu...” Ben menggumam perlahan. Tidak tahu perkataan apa yang harus digunakan untuk menggambarkan peribadi Syarizad. “Dibuatnya aku lamar dia, lepas tu dia...”
Shazwan mengangkat kening. Melihat Ben terus diam tanpa menyambung ayatnya, dia tersengih lagi.
“Kau takut dia reject kau?”
Ben mengetap bibir. Gelaklah Wan, kau tak faham apa yang ada dalam hati aku.
“Orang kata, belum cuba belum tahu. Kalau kau nak tahu jawapan dia, kau cubalah dulu. Okey?” Shazwan menaikkan ibu jarinya. Kemudian air teh tariknya yang sudah kurang panas dihirup perlahan-lahan.
Ben melepaskan nafas panjang.
“Dah tu, kau dengan adik aku apa cerita? Hari tu dia pesan kat aku suruh beritahu kau, berhenti call atau mesej dia.”
Mati senyuman riang di bibir Shazwan.
“Dia cakap macam tu?”
“Ya. Nampak macam dia dah move on.” Giliran Ben pula mengangkat kening lalu ketawa kecil.
Shazwan mengeluh.
“Jual mahal pulak adik kau tu. Dah macam-macam benda aku buat, sikit pun dia tak pandang. Dia dah ada orang lain ke?”
“Tanya aku pulak? Kalau kau nak tahu, kau tanyalah dia sendiri. Tadi bagi nasihat macam pro aje, kan?” Ben membalas semula. Puas hatinya dapat ketawa apabila melihat muka Shazwan berubah kelat.


No comments:

Post a Comment