DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 29 February 2016

LOKET ZINNIA - BAB 1




JEMARI halus itu memegang krayon berwarna merah lalu dicoretkan di atas kertas membentuk satu lukisan yang berwarna-warni. Sesekali kertas itu diangkat tinggi untuk melihat hasil kerjanya sendiri. Puas hati dengan apa yang terlakar di situ, bibir comel itu tersenyum gembira.
            Pin! Pin!
            Adam tersentak. Kepalanya diangkat memandang ke arah pintu rumah. Kertas lukisannya ditinggalkan di ruang tamu lalu dia berlari mendekati pintu. Melalui langsir pintu gelangsar yang diselak sedikit, dia nampak seorang perempuan baru saja turun dari kereta dan berjalan menghampiri pagar rumah. Aunty Zatie!
            “Mama! Mama! Aunty Zatie datang!” Adam berlari-lari mendapatkan mamanya yang sedang tidur di dalam bilik. Lengan mama ditarik-tarik sambil mulut tidak henti-henti memanggil. “Mama! Mama, bangunlah! Aunty Zatie datang! Mama! Mama!”
            Zenia membuka matanya perlahan-lahan. Terasa sinar terik mentari yang memancar masuk dari arah tingkap menyilaukan pandangan. Wajah Adam perlahan-lahan singgah di mata. “Apa, sayang?”
            Aunty Zatie datang. Mama bangunlah, Adam tak pandai nak bukak kunci pintu,” gesa Adam lagi. Seronok benar bila Aunty Zatie kesayangannya itu datang.
            “Yalah, yalah... mama bangun.” Zenia paksa tubuhnya untuk bangkit dan turun dari katil. Sejak pagi lagi badannya rasa tidak enak disebabkan period pain. Tak sempat nak tidur lama, tiba-tiba Zatie dah datang. Terpaksalah dia tinggalkan katil dan menyambut gadis itu di muka pintu.
            “Assalamualaikum!” Zatie tersenyum ceria.
            “Waalaikumussalam,” jawab Zenia perlahan, masih separuh mamai.
            Aunty! Aunty!” Adam terlompat-lompat memanggil Aunty Zatienya itu.
            “Ya, sayang... Aunty datang ni. Adam rindu aunty ya?” Zatie terus menukar nada suara, sesuai bercakap dengan budak berumur empat tahun seperti Adam.
            “Rindu! Aunty, aunty kenapa dah lama tak datang tengok Adam?” Adam memuncungkan bibirnya.
            Zatie ketawa. Rambut Adam digosok-gosok geram. “Aunty sibuklah. Ni aunty datang nak ajak Adam keluar jalan-jalan. Nak tak?”
            “Nak! Nak!” Tak menyempat-nyempat Adam menjawab. Sekali lagi Zatie tertawa melihat aksinya itu.
            “Eloklah tu. Tapi jangan lama sangat. Hantar dia sebelum malam,” kata Zenia sambil berlalu ke ruang tamu.
            Zatie kerut dahi. Tangan kecil Adam dipimpin ke ruang tamu. “Siapa cakap aku nak bawak Adam sorang?”
            “Habis?” Zenia yang sudah baring di sofa pula yang kerutkan dahi.
            “Aku nak ajak kau sekali. Pergi siap cepat!” arah Zatie. Adam yang tadinya duduk di sebelahnya kini sudah bersila di lantai sambil mewarnakan lukisannya tadi.
            “Alah Tie... aku tak sedap badanlah...”
            “Dah, dah... Kau tak payah nak bagi alasan macam-macam. Aku cakap pergi bersiap, pergi bersiap cepat...”
            “Tie...”
            “Kau boleh tak jangan duduk bawah tempurung sangat?” Zatie buat muka garang. Dia tahu Zenia kalau dah bagi alasan macam-macam, itu maksudnya dia malas.
            Zenia mengeluh panjang. Belum sempat dia bangun, suara Adam mencelah tiba-tiba.
            “Mama pergilah siap-siap. Adam nak keluar jalan-jalan. Tak bestlah kalau mama tak ikut.” Petah mulut kecil itu memujuk.
            Tersentuh hati Zenia tak semena-mena. Wajah Zatie dipandang. Gadis itu cuma angkat kening.


ZATIE membawa Zenia dan Adam pergi membeli-belah. Nak beli baju baru untuk majlis perkahwinan bos mereka nanti katanya. Almaklumlah, sanding kat hotel mestilah nak baju yang glamour gitu. Tak dapat yang ala-ala Rozita Che Wan pun, yang macam Anzalna pun dah cukup. Zenia yang sememangnya sudah faham sangat dengan perangai Zatie itu hanya menurut.
            Bestnya bos dah nak kahwin. Aku ni entah bilalah dapat kahwin.” Zatie membebel-bebel sendiri sambil memilih baju yang hendak dibeli.
            “Suruhlah Fahri tu masuk meminang cepat-cepat. Nak tunggu apa lagi?” Zenia menjawab mudah. Sengaja menyebut nama kekasih Zatie yang hanya dikenali daripada cerita-cerita gadis itu. Tangan kecil Adam erat dalam genggaman tangannya.
            Zatie mencebik. “Penatlah aku dengan dia tu. Kata sayang, ajak kahwin tak nak...”
            “Macam tu pulak dah?” Zenia kerut kening. Biar betul? Bercinta dah bertahun-tahun lamanya, tapi bila tiba bab kahwin pandai pula nak mengelak.
            Zatie jongket bahu. “Hah! Ni cantik.” Sepasang baju kurung moden berwarna merah lembut diacukan pada tubuhnya. Mesti cun!
            “Cun... Harga pun cun,” komen Zenia setelah melihat tanda harga yang tergantung pada baju kurung itu.
Zatie tersengih. “Setahun sekali aje beli baju mahal macam ni. Pakai sekali untuk malam ni, lepas tu simpan buat raya.”
Zenia ketawa mendengar jawapan itu. Padahal Syawal baru saja berlalu, Zatie sudah rancang untuk beli baju raya lagi.
Penat pusing satu pusat membeli-belah itu, Zatie memutuskan untuk berhenti makan. Adamlah yang kelihatan gembira sekali. Walaupun penat berjalan, dia masih nampak ceria menghirup air Milo aisnya. Tersentuh hati Zenia melihat tingkah Adam. Sedarlah dia kini, betapa dia terlalu jarang meluangkan masa untuk membawa anaknya itu keluar berjalan-jalan.
            “Nia...” Zatie memanggil perlahan.
            Zenia mengalih pandangan ke wajah Zatie. “Ada apa?”
            “Kau tak terfikir nak kahwin ke?” soal Zatie dengan riak tenang. Tenang-tenang pun, kecut juga melihat riak wajah Zenia berubah keruh.
            “Tak habis-habis lagi hal kahwin?” Zenia pura-pura ketawa walau jelas canggung bunyinya. Jantung rasa tersentap tiba-tiba.
            Zatie angkat bahu. “Sorry, Nia kalau apa yang aku cakap ni buatkan kau terasa. Tapi... kau kena fikir masa depan Adam. Dia perlukan seorang ayah. Kau sanggup ke tengok dia membesar tanpa kasih sayang seorang ayah?” Bukan niat nak memaksa, tapi Zenia perlu disedarkan tentang hakikat itu. Sampai bila nak tutup hati hanya kerana kisah lama yang dah jauh berlalu?
            Zenia menunduk. Bukan dia tak pernah fikirkan soal Adam, malah perihal Adam tak pernah dilupakan walau sesaat. Adam jantungnya, Adam nafasnya, Adam nadinya. Adam segala-galanya untuknya. Semua orang yang mengenali dirinya terutama rakan-rakan di pejabat menganggap dia seorang janda yang telah diceraikan suami, seorang ibu tunggal yang terpaksa menjaga anak yang masih kecil. Tetapi mereka semua silap. Dia sebenarnya tidak pernah berkahwin. Malah Adam lahir dari rahimnya bukan dalam ikatan hubungan yang sah. Hanya kepada Zatie dia meluahkan segala-galanya.
            “Aku bukan tak nak kahwin, Tie. Tapi... ada ke lelaki yang sanggup terima aku? Aku bukannya perempuan yang masih suci, aku ada Adam. Adam... kau tahu dia siapa, kan?”
Tidak tergamak rasanya hendak menyebut gelaran ‘anak luar nikah’. Hatinya rasa sayu mengenangkan hakikat itu. Wajah polos Adam yang masih ralit menyedut minumannya direnung dengan pandangan yang kian kabur.
            Zatie menghela nafas panjang. Simpatinya tumpah. Entah apa malangnya nasib Zenia setelah mengandungkan Adam. Dibenci oleh ahli keluarga, dicerca dan dicemuh oleh orang sekeliling. Walaupun kedua-dua orang tuanya masih menerima dirinya dalam keluarga, Zenia nekad pergi membawa diri. Dia tidak mahu kerana dirinya, kedua-dua orang tuanya terus menerima hinaan daripada orang luar. Dia tidak sanggup melihat wajah tua itu sering menangis kerana dirinya. Dia rela keluar dari rumah orang tuanya bersama Adam dalam kandungannya. Dan kini setelah empat tahun, tak pernah sekali pun dia pulang ke rumah orang tuanya itu. Hanya sesekali mereka berhubung melalui talian telefon. Bukan tidak pernah orang tuanya meminta Zenia pulang, tetapi Zenia sendiri yang takut. Tak  berani dan tak sanggup berdepan dengan ahli-ahli keluarga yang lain dan juga orang-orang kampung.
            Zenia mengusap lembut rambut Adam. Adam masih kecil, masih tak tahu apa-apa, masih belum mengerti tentang permainan kejam dunia. Sejenak, Zenia terkenangkan seseorang. Seseorang yang telah jauh ditinggalkan dalam kotak memori. Seseorang yang telah dilukai tanpa rasa belas kasihan. Seseorang yang tulus mencintai dirinya, tetapi dia dengan tegarnya menoreh luka pada hati lelaki itu.
            Terasa ada air jernih di birai mata, Zenia pantas mengesatnya dengan hujung jemari sebelum linangannya mengalir tumpah ke pipi.

No comments:

Post a Comment